Jul 30, 2008

Tag



Tag by Combi. Maaf sbb lambat sangat su siapkan lukisan ni.

Teringat zaman memula kenal pensil dulu. Belajar lukis gambar orang... lebih kurang beginilah rupanya. Tapi rasanya lukisan kat
pyzam.com ni, jauh lebih cun dari lukisan su dulu. Huhu...

Ini gambar versi muda tau... zaman tadika dulu... Keke...

It's only me and my hubby... masih honeymooooooonnnnn.....

Jul 24, 2008

Marah?

Bila terbaca entry thafiexq tentang marah, saya terpanggil untuk menulis tentang tajuk yang sama. Saya tak pasti samada ini boleh dikatakan tips untuk mengawal kemarahan atau sekadar entry biasa.

Bila hati rasa panas, saya seringkali mengingatkan diri tentang beberapa perkara yang akan saya kongsi di sini. Perkara-perkara yang buat saya berusaha lebih kuat untuk menenangkan diri.

Marah memang perlu dijauhi. Ia bukan sahaja bahaya untuk diri, tapi juga bahaya untuk orang lain. Bahaya untuk satu hubungan samada hubungan suami isteri, keluarga, kekasih mahupun kawan. Malah, lebih teruk lagi, menambah bahaya dengan musuh yang sentiasa mencari sebab untuk berlawan.

Memikirkan tentang bahaya yang dihadapi jika membiarkan marah merobek diri, lalu saya berusaha mempraktikkan sabar. Mengharapkan diri sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terkawal.

Kata thafiexq, dia cuba berubah, berusaha untuk menahan marah dengan cara memendamkan segalanya di dalam hati. Sayangnya kesan yang terjadi adalah kemurungan. Emosi mudah gugah kerana memendamkan perasaan. Individu yang memendam perasaan akan mengalami satu keadaan yang dipanggil
al-Fatrah (feeling down).

Memendam perasaan memang akan memakan diri, lalu kenalah meluahkan. Tapi meluahkan marah kesannya mungkin lebih parah terutama jika tak kena caranya. Lalu bagaimana cara nak menyejukkan hati sendiri, agar tak ada yang merana dan terseksa berduka, agar ceria tetap ada menghiasi bibir sentiasa?

Mari kita kaji kenapa marah dan murung seringkali terjadi. Bila sesuatu perkara atau peristiwa terjadi dan ia mencetuskan rasa tak puas hati, maka akan ada 'perbualan' antara hati dan fikiran. Seolah ada syaitan dan malaikat yang sedang berdebat sehingga kita yang menghakimi menjadi letih sendiri. Kegilaan dan kewarasan berebut dan berperang. Yang menang akan berkuasa mempengaruhi setiap tindakan yang dilakukan.

Sehingga kini, siapa yg menang? Tanya diri, bersuaralah hati...

Kembali kepada cara nak mengawal kemarahan. Banyak cara yang boleh dipraktikkan. Antaranya boleh dibaca dalam satu artikel menarik bertajuk
'Natijah dari kemarahan'. Satu lagi artikel yang perlu dibaca ialah 'Sifat marah cermin jiwa tidak tenteram'.
Untuk muslim, 'petua' dan ilmu mengawal kemarahan yang diperturunkan zaman berzaman oleh Allah melalui Rasulullah SAW, tak boleh ditinggalkan. Beristighfar dan berwuduklah. Mudah saja. Walaupun mudah, tapi tak ramai yang mempraktikkannya.

Saya tak akan mengulas panjang apa yng telah dikupas dalam kedua artikel itu. Anda boleh membacanya di situ. Jadi saya akan lebih tekankan kepada kaedah lain yang mungkin boleh membantu menguatkan keazaman untuk mengawal kemarahan.

Kemarahan terjadi kerana rasa tidak puas hati dengan sesuatu atau seseorang. Suara-suara negatif berlegar meracun fikiran, menyebabkan 'kesakitan' yang memberi kesan kepada mental dan fizikal individu terbabit.
Bagaimana nak hilangkan segala bisikan negatif tu? Bagaimana nak jadi lebih positif? Tak mudah, tapi tak mustahil untuk dilakukan.

Selalunya kalau hati sudah panas, kata-kata yang terluah tak mampu dikawal. Keluar pelbagai kata-kata yang tak sedap di dengar samada di depan orang mahupun tika bersendiri. Samada kata-kata kasar itu terluah dimulut mahupun secara bertulis.

Kalau perlu meredakan kemarahan dengan cara meluahkan, lakukanlah. Tapi elakkan guna bahasa yg kasar sebab tanpa kita sedari itulah yang membuatkan 'sakit' itu semakin parah.

Pernah baca tak buku atau artikel tentang kuasa ungkapan terhadap air?
'Message from the water' memaparkan kajian oleh Prof Masaru Emoto tentang struktur molekul air yang dibekukan selepas acara 'bercakap dgn air' dilakukan. Sungguh menarik. Dan saya diberitahu bahawa air yang dibaca dengan ayat-ayat Quran juga telah diuji dan ianya sungguh menakjubkan!

Ungkapan kata negatif seperti sumpah seranah atau muzik liar seperti black metal pula jelas menunjukkan hasil yang amat buruk. Manakala kata-kata yang baik menghasilkan molekul yang begitu indah.

Tahukah anda bahawa 80% dari badan kita terdiri dari kandungan air? Lalu tak terlintaskah difikiran tentang keadaan molekul dalam badan kita bila marah? Marah yang menyebabkan kita mengeluarkan segala kata-kata negatif termasuk sumpah seranah terhadap orang lain dan mungkin juga terhadap diri sendiri?

Words have power!
Words can heal, words can kill.
Words can influence our thoughts.
Words lead to thoughts lead to action.


'Watch what you say' adalah mesej utama Barbara Levine's dalam bukunya yang saya tak pasti apa tajuknya. Apa yang saya tahu ialah beliau memulakan catatan bukunya dengan menceritakan pengalamannya melawan penyakit barah otak yang dihidapi. Keinginan untuk terus hidup membuatkan dia mengkaji faktor-faktor yang membuatkan seseorang itu jatuh sakit dan bagaimana sesetengah orang pula boleh kekal sihat.

Fokusnya tertumpu pada kajian saintifik yang menunjukkan ada hubungan yang menarik antara 'languange and disease'. Dia membuktikan kemampuan mengawal kesihatan diri dengan cara membuang segala 'bahasa' negatif yang ada dalam fikiran.

Jelasnya bila diri dikuasai kemarahan, banyak sekali bahasa negatif yang terluah mahupun tersimpan. Diluahkan atau disimpan, ia tetap memakan diri. Kerana itu, ubat yang terbaik ialah 'forgive and forget'. Bukannya 'forgive but it will remain in memory'. Bukan kemaafan namanya kalau ia masih disebut dan diungkit. Itu kata-kata dari Datuk Dr Fatima Az-Zahra yang buat saya merenung kembali segala kenangan lama.

Jika ingatan pahit masih dibongkar, tanpa sedar bahasa negatif di minda masih berlegar. Dan ia menjadi salah satu faktor utama yang menyebabkan tekanan dalam diri atau stress. Lebih parah jika pendengar yang dipilih untuk berkongsi cerita terlebih emosi dari diri sendiri. Sudahnya, sembuh yang sedikit akan menjadi lebih parah. Itu dari segi mental. Dari segi fizikal pun ada kesannya, kerana ia saling berkait. Kalau orang kata lagu dan irama tak boleh dipisahkan, tapi saya kata mental dan fizikal lagiiii... lah tak boleh dipisahkan.

Sedarkah kita bahawa semua itu mendedahkan diri kepada risiko gangguan kesihatan dalam jangka masa panjang. Sesihat manapun badan kita, sekerap manapun kita bersukan untuk menjaga kesihatan, seteliti manapun diet dijaga dengan segala suppliment tambahan, kalau roh sudah sakit, jasad akan turut berpenyakit.

Tak mahu sakit dan berpenyakit, mulakan dengan mengawal rasa marah. Berusaha untuk memahami dan difahami. Buka ruang untuk perbincangan yang menjadikan tenang sebagai asas penting. Maksudnya, jangan sesekali menggunakan bahasa yang keras dan kasar, jauhkan sumpah seranah dari menjadi bunga bahasa yang berulam di bibir.

Mungkin akan ada pula yang terus bertanya; bagaimana nak berbincang dengan tenang bila hati sedang marah? Lalu kembalilah kita pada nasihat yang selalu kita dengar; bila rasa marah, beristighfarlah. Ambillah wuduk, kerana air wuduk yang membasahi badan akan dapat memadamkan api kemarahan.

Kepada thafiexq dan sesiapa saja yang punya masalah mudah marah, jangan berputus asa untuk berubah. Ingatlah, jangan kita beri kemenangan kepada syaitan dengan membenarkan kemarahan mengisi hati. Membiarkan perasaan menguasai fikiran hanya membawa ke arah kebinasaan. (Ingatan untuk saya juga)

Demi kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam, mulakan dengan memberi kemaafan. Maafkan saya kerana menggunakan tajuk yang sama. Semoga ada isi dalam artikel ini yang boleh dimanfaatkan bersama...

Jul 19, 2008

Mungkar di mata (Part 2)

Dia menarik nafas panjang kemudian melepaskan perlahan. Seolah sedang melakukan latihan pernafasan sewaktu warm-up.

Dia menyambung cerita.

"Aku katakan pada diri; aku tak lemah. Kalau aku tak menegurnya, aku mungkin tak berpeluang lagi. Peluang untuk aku melihat dia berubah kerana teguran aku mungkin hanya 0.01% tapi kalau aku tak cuba, percentage tu mungkin jadi 0%. Lagi teruk, kan?" Katanya dengan nada gagah penuh keazaman.

"Kau pegi tegur dia?" Saya bertanya meminta pasti walaupun boleh mengagak apa tindakannya. Dia bukannya baru ku kenal sehari dua, dah boleh mengagak rentak tarinya.

"Kau tahu aku kan? Hehe... Aku bangun... "

Yusliza bangun. Langkahnya teratur penuh yakin. Dia menyentuh bahu anak gadis itu sambil tersenyum.

"Boleh Kak Yus cakap sikit?" Memulakan bicara dengan pertanyaan seolah meminta izin. Selesa membahasakan namanya kerana baginya itu memudahkan mesra bercambah. Gadis itu diam, kemudian mengangguk perlahan.

"Dik... Bila Kak Yus tengok adik kan, rasa macam tengok adik Kak Yus yang umurnya lebih kurang sebaya dengan adik." Dia berhenti seketika kemudian menyambung; "Adik muslim?" Gadis itu mengangguk.

"Ok... Alhamdulillah..." Dia menarik nafas lega.

"Lagilah Kak Yus terasa macam tak salah kalau Kak Yus nak tegur sikit. Boleh kan?" Gadis masih tak bersuara. Lelaki yang bersama dia juga terdiam. Hanya berkelip-kelip matanya memandang.

"Boleh agak tak apa yang Kak Yus nak tegur?" Pertanyaan dengan nada lembut penuh hati-hati terus diasak tanpa menunggu jawapan di beri untuk soalan tadi.

"Erm... pakaian saya?" Jawapan berbentuk soalan diberikan dengan suara sedikit serak. Gugup dan teragak-agak. Yusliza senyum.

"Pandai... Erm... Apa yang tak kena dengan pakaian adik ni?" Tanyanya lagi.

"Seluar saya kot."

"Adik rasa cantik ke?"

"Kalau tanya saya mestilah saya cakap cantik. Tapi mungkin ada orang tak suka tengok." Jelasnya sambil pandangannya matanya dilepas jauh.

"Erm... itu adik sendiri cakap tau. Kak Yus tak tegur pun adik dah boleh tahu apa yang ada dalam fikiran orang lain. Itu tandanya adik masih boleh menilai buruk baik sesuatu perkara." Katanya lembut. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Gadis itu kembali tunduk.

"Kak Yus pun rasa seluar adik tu rendah sangat. Tak manis untuk anak gadis. Adik lebih cantik kalau tak pakai fesyen macam ni. Betul tak?" katanya sambil fokus matanya beralih memandang lelaki yang sedari tadi hanya memerhati. Mata mereka bertembung seketika.

"Adik ni pakwe dia?" Tanyanya sambil memandang terus lelaki itu, memerhati dan cuba mencari riak yang boleh di jangka.

"Sayang dia?" Dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Mungkin malu dan segan ditanya soalan begitu oleh orang asing.

"Nak kawin?" Lelaki tu terus membisu.

"Mesti nak kawin kan? Tak kan nak bercinta macam ni je." Katanya menjawab soalan sendiri.

"Kalau adik nak kawin dengan dia, adik kenalah didik dia." Lirikan matanya menghala ke arah gadis tadi yang juga membekukan diri.

"Suka ke kalau orang lain tengok makwe adik dengan pakaian macam ni? Suka tengok lelaki lain terliur kat dia? Mesti tak suka, kan?" Matanya masih tak lepas memandang wajah lelaki yang tak bersuara sedari tadi. Kemudian matanya beralih ke arah anak gadis yang juga masih begitu. Kaku.

"Cuba ubah ya sayang?!!.." Katanya sambil menyentuh pipi gadis itu. Tersentak dengan dingin tangan yang menyentuhnya dengan mesra.

"Kak Yus tegur ni macam tegur adik sendiri je. Tegur untuk kebaikan adik berdua. Kalau bolehlah kan, adik janganlah pakai lagi macam ni. Tak elok sangat bila kita bagi orang tengok apa yang sepatutnya kita jaga." katanya sambil memperlahankan suara di hujung ayat. Sedikit berbisik, namun masih boleh didengari jelas.

"Erm... Oklah. Kak Yus pegi dulu. Assalamualaikum." Dia berlalu tanpa menunggu salamnya berjawab. Senyumnya tak dibalas. Dia mengatur langkah sambil melemparkan sekilas pandangan.

Petang itu sewaktu turun untuk makan malam, Yusliza melihat gadis yang sama datang menujunya dengan senyum terukir dibibir.

"Kak... Saya dah nak balik. Mulanya saya ingat nak stay kat sini dengan pakwe saya. Lepas akak cakap tadi, saya buat keputusan nak balik petang ni jugak. Boleh saya ambil nombor telefon akak?" Yusliza tersenyum puas.

"Kau bagi?" Saya bertanya penuh minat.

"Tentulah aku bagi. Tak ada apa yang mengembirakan hati aku dari mendengar pengakuannya tu. Kerana teguran yang ringkas tu, dia buat keputusan nak balik, tak jadi stay kat situ. Secara tak langsung aku dah menghalang satu kemungkaran besar yang bakal berlaku. Kalau dia stay, kau tentu tahu apa maknanya, kan?" Saya mengangguk, tanda bleh mengagak apa maksudnya.

"Allah telah berjanji untuk menghadiahkan kemenangan bagi yang berani berkata kerana benar. Aku tak melihat ia sebagai kemenangan aku, tapi kemenangan adik tu yang pasti lebih hebat. Jihad menentang nafsu." Kagum. Ahh... Yusliza memang begitu sedari dulu. Jujur, berani dan ikhlas bila menyatakan sesuatu. Mungkin kerana itu, setiap langkahnya dipermudahkan.

Baginya, formula untuk jadi berani menentang kemungkaran mudah saja. Lihatlah dan anggaplah mereka sebagai keluarga dan pasti hanya yang terbaik mahu diberikan. Kekerasan hanya akan menjarakkan lalu gunakanlah kelembutan untuk mengalirkan kasih sayang. Teguran itu niatkanlah kerana Allah. Pasti Dia akan membantu membetulkan perjalanan yang jelas bersimpang dan berliku.

Kita tak tahu latar belakang mereka, tak pasti sejarah hidup mereka. Setiap yang berlaku adalah bersebab. Jangan mudah membuat andaian, jangan terus memberi hukuman. Terkadang teguran orang luar lebih berkesan, lalu kenapa tak mahu cuba untuk membuat perubahan? Itu nasihatnya.

"Kalau satu hari nanti anak aku 'tersesat' atau hilang arah, dan aku tak ada disisi untuk membimbingnya, aku harap ada insan yang sudi menegur, menarik dia ke jalan betul. Kerana aku akan lakukan perkara yang sama untuk adik-adik dan anak-anak di luar sana yang aku tak tahupun namanya."

Saya terkedu mendengar katanya, mendengar ceritanya. Semoga ramai lagi yang mampu melakukan sesuatu sepertinya tanpa ragu. Saya juga seperti kebanyakan orang lain, suka mengambil langkah berjaga-jaga. Tak punya keberanian untuk menegur bimbang dikatakan penyibuk dan suka menjaga tepi kain orang. Tapi kisah ini benar-benar membuka mata. Bukankah kita selalu kata; belum cuba belum tahu...

Mampukah saya jadi sepertinya? Dalam diam saya berdoa, "Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk berjuang demi kebenaran, mencegah mungkar di mata yang semakin berleluasa dengan cara yang aku terdaya...."

Jul 15, 2008

Mungkar di mata (Part 1)

Seorang teman sepejabat bercerita...

"Semasa aku ke seminar di Genting, aku jumpa sepasang remaja sebaya adik aku yang berkepit mesra. Melihatkan pakaiannya aku memang tak tahan. Dengan baju sendat dan seluar jeans yang hampir terlucut, yang menampakkan lurah belakang, memang buat mata aku sakit. Bukan mata saja, hati akupun turut sakit. Aku beristigfar panjang..." Bersungguh dia bercerita. Seperti biasa, begitulah caranya.

"Ustaz kata kalau tak dapat berjihad dengan anggota badan seperti kaki tangan atau mulut, berjihad dengan hati pun cukuplah." Aku mendengar tekun tanpa mahu mencelah.

"Aku tanya hati sendiri... aku ni lemah ke? Lemah sehingga tak boleh nak menegur cela yang berada di depan mata?" Kemudian dia berhenti sambil menarik nafas panjang.

"Habis tu? Apa kau buat?" Aku bertanya."Kalau kau... kau nak tegur tak?" Tanya dia kembali.

Aku diam. Hati aku bertanya soalan yang sama...

'Bagaimana ya? Aku ni pun banyak kelemahan. Tapi lemah sangatkah aku? Lemah sehingga tak mampu nak membuka mulut menegur apa yang Allah tak suka? Memprotes apa yang Allah murka? Akan dianggap celuparkah jika aku aku membuka mulut? Mungkinkah akan diherdik sebagai penyibuk?'

Kalau anda berada di tempat kawan saya... apa yang akan anda lakukan?

Jul 11, 2008

Award


Terima kasih Combi atas award yg di berikan...
Adeh beratnya award ni... berat sbb memikul harapan supaya rajin update blog... huhu...
InsyaAllah... Su akan cuba walaupun bukan daily basis.

Akak juga... terima kasih ya (Su tambah kat sini je, tak pe ya?). Su amat hargai galakan yang diberikan. :)

Su pernah melawat banyak blog yg menarik, tapi kini sunyi tanpa sebarang entry terbaru. Terfikir juga, selama mana agaknya Su mampu bertahan?

Semoga Allah memberikan idea utk Su menulis. Semoga ada cetusan minda yg mampu Su sumbangkan dari penulisan Su yang tak seberapa ni...

Jul 10, 2008

Tolonglah... Jangan merokok lagi.

Tertarik dengan satu lagi entry tentang merokok, saya ingin memetik satu jawapan ringkas bila ditanya kenapa merokok.

"Best... Entah la..Payah nak explain. Ada satu feel yang tak boleh nak terangkan. Nikmat rasa."

Saya lebih suka menafsirkan kata-kata itu sebagai 'merokok membuatkan seseorang itu kehilangan perasaan (feel) atau deria rasa.' Bukan nikmat namanya kalau tak boleh menjelaskan kenikmatan itu!

Saya pernah berjumpa dgn ramai perokok. Saya memang bukan jenis yg suka bertanya walaupun nak tahu, apatah lagi kalau ianya soalan yg mungkin menaikkan kemarahan... Mungkin itu kebaikan dan mungkin juga keburukan saya.

Tapi saya suka membayangkan jawapan yang diberikan jika ditanya kepada individu tertentu yang merokok.

Doktor : Saya merokok sebab tekanan kerja. Pesakit banyak sangat bercerita tentang masalah mereka. Masalah saya, sapa nak dengar. Lagipun saya sibuk sehingga tak ada masa untuk diri sendiri. Merokok adalah masa untuk diri.

Ustaz : Saya ni manusia biasa. Ada masalah jugak. Merokok sekadar suka-suka je, bukan bermaksud apa-apa, bukan niat nak mempengaruhi sapa-sapa.

Guru/Ibubapa : Saya beli rokok dengan duit sendiri aper. Kenapa sibuk nak menyoal? Kalau tahu asap rokok tak elok, pegi duduk jauh-jauh. Kalau tahu merokok tak baik, jangan le ikut.

Itu mungkin jawapan daripada orang-orang yang dirasakan paling patut menjauhi rokok kerana mereka adalah role model dalam masyarakat kita. Apa jawapan dari golongan profesional atau yang biasa-biasa? Apa pula alasan mereka?

Penulis : Saya merokok untuk mendapatkan idea. Bila otak rasa beku je, merokok boleh mencairkan idea dan dengan itu saya lebih mudah menulis.

Engineer / Arkitek : Beban kerja banyak. Masalah duit, diri dan keluarga.

Buruh / Tukang kebun : Letih buat kerja buruh ni. Merokok sebab nak rehat.

Pelajar IPT : Banyak assignment! Tension!

Pelajar sekolah : Saja nak try. Best je tengok orang merokok ni...

Itu hanya sebahagian dari jawapan yang akan diberikan jika ditanya kenapa mereka merokok. Mungkin ada banyak lagi jawapan yang saya lebih suka mengkategorikan semua jawapan itu sebagai alasan.

Apa sekalipun alasan yang diberikan, tapi kenapa rokok yang dipilih? Bukankah kita ada Allah untuk mengadu dan merintih? Bukankah Dia sentiasa ada untuk kita menagih bantuan meringankan beban?

Merokok bukan saja merosakkan kesihatan sendiri, tapi juga kesihatan keluarga tersayang atau teman terdekat. Kejamkah kalau perokok dikatakan pembunuh? Bukankah hanya mereka yang tidak berperasaan sahaja yang sanggup menjadi pembunuh...? Lalu salahkan tafsiran saya tentang jawapan yang diberikan oleh salah seorang perokok diluar sana?

Bagi saya merokok adalah satu tindakan yang boleh dikatakan membunuh diri sendiri dan orang lain. Antara penyebab kematian yang boleh dielakkan.

Memang semua orang akan mati tak kira perokok atau tidak. Terdedah kepada asap rokok meningkatkan lagi risiko kematian. Tapi adakah orang yang merokok itu ingat tentang mati? Mengingati mati adalah satu cara untuk mengubati hati sepertimana
sabda Rasulullah. Tapi adakah ia membuatkan perokok lagi kuat beribadat? Lalu dimana kebaikan merokok? Tak ada!!..

Malah rokok mungkin menjadikan hati seseorang tu keras sehingga tak mempedulikan nilai dan nikmat kesihatan yang Allah berikan. Tanpa sedar mereka menjadi insan yang tidak prihatin terhadap orang lain. Boleh juga dikatakan perokok tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang Allah berikan sehingga melakukan pembaziran setiap kali asap dihembuskan.

Bayangkan.... Nilai rokok itu boleh membeli makanan untuk si fakir yang kelaparan, boleh mengubah masa depan bila ia digunakan untuk menjelaskan yuran peperiksaan, boleh menyembuhkan sakit ibu yang malang yang mungkin sedang menahan kesakitan.

Kerana sayang, prihatin dan simpati... saya ingin sekali menyeru kepada perokok hentikanlah tabiat yang tak elok itu. Kuatkanlah azam untuk mengubah diri. Kepada yang mengenali perokok, berikanlah galakan pada mereka agar berhenti merokok.

Mungkin tulisan saya tak begitu bernas sebab tak ada fakta dan data ttg keburukan merokok dan pandangan merokok dalam Islam. Jadi saya berikan link yang mana penulisnya memberikan kupasan yang jauh lebih baik dan berkesan.

Rokok : Satu Kajian. oleh ibnurashidi
Anti rokok oleh saladin
Sebab rokok oleh raszana
Kenapa merokok? oleh neemhumairah

Semoga dengan maklumat yang diberikan, akan tercetus keinginan untuk berhenti merokok. Bacalah walaupun tak suka kerana yang pahit itu banyak baiknya.

Saya pernah dengar satu ceramah tentang khasiat Asma Ul-Husna dalam usaha penyembuhan penyakit. Dan antara yang menarik, ialah beramal dengan Asma Allah Al-Khabiir. Masalah ketagihan kepada sesuatu bukan senang untuk disembuhkan. Mengamalkan nama Allah yang ini amat disarankan kerana ia juga merupakan satu kaedah rawatan pemulihan. Bukan itu saja, ia juga boleh mencerdaskan minda bagi sesiapa yang masih belajar.

Kerajaan telah memfatwakan yang merokok adalah haram. Lalu kenapa masih ramai yang merokok? Masa hidup ibarat memandu di jalan sehala, akan selamat jika kita ikut peraturan yang ditetapkan. Allah telah berikan panduan untuk pastikan hidup kita selamat, tapi dalam sesetengah perkara, seperti merokok, mengapa masih ada yang mahu memandu menghala ke arah gaung? Hairan saya dengan pilihan sebegitu.

Kalau kempen kerajaan tak menjadi, biarlah kita blogger kempen sesama sendiri.

Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.... lalu, apa pilihan anda?

Jul 7, 2008

Ubati rindumu...

Alahai... Combi sedang bersedih. Sedih kerana merindukan anakandanya yang telah kembali meneruskan perjuangan mencari ilmu di UiTM. Itulah hati seorang ibu, di depan matapun rindu tak jemu, inikan pula jauh beribu batu.

Tapi rindu Combi rindu zaman moden yang banyak sekali cara untuk mengubati. Tiba-tiba saya teringat rindu saya yang lama. Zaman persekolahan dan kehidupan di kampung yang serba kekurangan.

Semasa mula tinggal di asrama, saya tak jelingpun telefon yang tegak berdiri di sebelah bangunan. Yang saya tunggu adalah surat. Yang saya rindu adalah lembaran bertulis yang dihantar posmen.

Bila kakak sudah bekerja, barulah telefon dipasang dirumah. Tapi saya pulak yang terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk membuat panggilan. Terkadang nasib tak menyebelahi, beratur berjam-jam, sudahnya terpaksa berlalu pergi bila tertera 'emergency call only'.

Sayang sekali generasi sekarang tidak lagi merasai nikmatnya berutus surat terutama surat pada ayahanda dan bonda tercinta.

Surat sudah tak digunakan lagi untuk mencurahkan rindu dihati. Public phone pun sudah tak kelihatan lagi orang beratur panjang menunggu giliran untuk melepaskan rindu dendam.

Kini, segalanya mudah. Memiliki handphone seolah satu kemestian dalam kehidupan sehingga ada yang cakap; "Aku tak boleh hidup kalau tak ada hp". Ungkapan yang menunjukkan betapa pentingnya hp sebagai alat komunikasi di zaman sekarang. Selain dari hp, email, ym ataupun webcam menjadi alat perhubungan alternatif yang paling kerap digunakan.

Terkadang saya rindukan masa lalu. Dimana saya akan mengumpul rindu, melakar dan mencurahkannya di atas kertas. Ia mengajar saya erti kesabaran dan menjauhkan saya dari prasangka.

Bagi saya, penantian itu satu keindahan dan bukannya penyeksaan, tapi prasangka yang menukarkan keindahan penantian itu menjadi penyeksaan.

Jul 5, 2008

Tak Seindah Wajah

Ku sangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Ku sangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Ku kira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Ku kira puji seikhlas budi
Ku lupa lidah tidak bertulang

Dek manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Dek manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Nota : Lagu ini lagu lama. Saya bukan sukakan lagunya, saya suka liriknya.

Jul 4, 2008

Jodoh... sambungan

(Erm... panjang sangat. Saya buat keputusan utk pecahkan kepada 2 bahagian. Kadang tu saya sendiri pun letih baca cerita yang saya buat bila terlalu berjela-jela. Sila klik sini untuk baca bahagian pertama)

"Makcik Ani tak kisah ke Kak Ati kahwin sebelum abih belajar?" Tanya Ana mengejutkan lamunan Ati.

"Mak serahkan segala keputusan pada Kak Ati. Harapnya keputusan ni baik untuk kak Ati dan juga keluarga. Ana dan Erin tolong doakan juga ya?" Tangan sepupunya diganggam erat. Mengharapkan sokongan dari mereka untuk menempuh kehidupan yang entah bagaimana coraknya.

"InsyaAllah. Ana sayang Kak Ati, pasti Ana doakan yg terbaik untuk Kak Ati. Lagipun Kak Ati baik. Anak yang taat dan kakak yang penyayang. Mama selalu kata, jodoh yang baik pasti untuk orang yang baik. Jadi Ana yakin, walaupun Kak Ati tak kenal dia, tapi tentu ada sesuatu yg baik tentang dia yang telah buat Kak Ana terbuka hati untuk terima lamaran ni." Senyumannya menghias bibir.

Kenapa hatinya boleh terbuka untuk menerima ya? Semenjak berita lamaran di sampaikan, Ati selalu teringat perbualan dengan seorang kenalan semasa dia bekerja sambilan dulu.

Pertemuan yang singkat saja. Pertemuan yang tak ada kali keduanya. Kesal juga sebab masa tu dia tak terlintas untuk mengambil nombor telefonnya. Tak ada maklumat langsung tentang perempuan itu. Hanya satu nama; Roslina Rosli.

Kak Ros singgah membeli beberapa buah buku di kedai tempat Ati bekerja. Kebetulan hari tu suaminya menghadiri mesyuarat dan pulang agak lewat, lalu dia mengambil peluang itu untuk solat berjemaah bersama Ati. Lagipun Ati selalu solat Maghrib di surau selepas kerja.

Selepas bersalam, Kak Ros mengajak Ati menemaninya makan. Melihatkan wajah bersih berhias senyuman mesra, Ati tak sampai hati untuk menolak. Gerai tepi jalan yang selalu Ati makan menjadi pilihan. Hanya itu yang Ati mampu. Biasanya Ati tak makan malam kerana perutnya telah diisi semasa rehat petang.

"Ati dah ada pak we?" Tiba-tiba terpancul soalan itu dari mulut wanita itu semasa mereka menikmati makan malam.

"Hah...?" Terperanjat. Hampir tersedak dia di buatnya. "Err...erm... tak de." Katanya gugup. Agak janggal bila tiba-tiba wanita asing ini bertanya soalan yang terlalu peribadi. Tangannya yang rancak mengasingkan kerang dari gumpalan mee sedikit terganggu.

"Maafkan Kak Ros ya. Bukan niat nak menyibuk, cuma bagi Kak Ros, anak remaja sekarang perlu di nasihatkan berkenaan jodoh dan pasangan seawal mungkin." Dia menjelaskan. Mungkin dia sedar ada rasa resah bertapak di hati Ati bila tiba-tina diaju pertanyaan begitu.

"Erm... Tak pe. Ati segan kalau ditanya soalan macam tu." Jelasnya malu. Senyum Kak Ros semakin lebar.

"Soal jodoh ni Allah yang tentukan. Hanya Dia yang tahu bila jodoh tu sampai dan siapa si dia yang bakal dijadikan pasangan. Paling penting ialah berdoa agar ditemukan dengan seseorang yang baik dan disatukan bila diri dah sedia untuk pikul tanggungjawab berat tu." Nasihatnya sambil memerhati reaksi Ati. Kaku. Kekok.


Soal jodoh. Terlalu awal untuk Ati ambil tahu tentang ini semua.

"Ati pun patutnya dah mula berdoa dari sekarang, sebab Ati dah berada di akhir zaman remaja." Tambah Kak Ros cuba mengusik Ati yang lebih banyak membisu. Gadis ini tebal sekali perasaan malunya. Mungkin sebab dia ialah orang asing yang muncul tiba-tiba dan bertanya soalan yang tak wajar di ajukan dalam pertemuan pertama.

"Ati baru lepas SPM. Tak nak fikir pasal ni. Lagipun, lambat lagi Ati nak kahwin sebab Ati nak belajar dulu." Kata Ati perlahan. Wajahnya terasa panas.

"Memang patutpun Ati utamakan pelajaran. Tapi itu tak bermakna Ati tak payah fikir langsung. Bila seorang anak gadis tu dah akil baligh, maknanya bila-bila masa dah boleh kahwin. Lambat atau cepat, Allah yg tentukan. Jodoh setiap orang kan berbeza.
Matlamat perkahwinan juga berbeza. Yang penting niatkan segalanya kerana Allah. Jadikan perkahwinan yang di bina sebagai ibadat. Barulah ada ketenangan." Jelas Kak Ros panjang. 'Perkahwinan sebagai ibadat?' Ati tak faham tapi mulutnya kaku untuk bertanya. 'Mungkin satu hari nanti aku akan faham.' Bisiknya dalam hati.

Mungkin itulah petunjuknya. Mungkin itulah jawapan yang Allah telah ilhamkan pada Ati.

"Kak Ati!!.. Kak Ati!.. Ish... Mengelamun jauh benar tu. Erin panggil pun tak dengar. Tanya pun tak berjawab. Ingatkan cik abang tu lah agaknya...." Erin mengusik sambil ketawa. Ati tersenyum malu.

"Err... Erin tanya apa tadi?" tanyanya cuba mengembalikan fokus yang hilang dibawa kenangan.

"Dia cakap apa sampai Kak Ati tergerak nak terima lamaran dia?" Tanya Erin mengulangi soalan tadi.

"Erm...." Dan fikirannya kembali mengingati perbualan ringkas tiga minggu lepas yang hanya berlangsung melalui telefon.

"Saya kenal Ati tapi mungkin Ati tak ingat saya. Mungkin kita tak berpeluang kenal hati masing-masing secara langsung, tapi alhamdulillah saya dapat banyak maklumat tentang Ati." Jelas Zulkifli bila Ati tanya samada mereka pernah kenal.

"Awak pasang spy ke? Siapa?" Ati curiga.

"Rasanya tak perlulah saya dedahkan sekarang. InsyaAllah, jika kita ada jodoh, segalanya akan terbongkar. Tapi percayalah, saya terima cadangan ini bukan kerana umi, tapi kerana hati saya telah lama terusik oleh sikap dan peribadi Ati. Allah telah memudahkan dan memberi jawapan pada gerak hati saya bila gambar Ati sampai ke tangan saya." Katanya lagi. Ati tak sangka dalam diam ada lelaki yang pernah memerhatinya.

"Saya ada kekurangan yang mungkin belum terlihat. Banyak dan berat benar tanggungjawab yang terpikul di bahu kerana saya anak sulong. Saya tak mahu awak bersungut kemudian nanti kerana saya tak mungkin membelakangi mak dan adik-adik saya." Ati mahu berlaku jujur. Dia tak tahu sebanyak mana Zulkifli tahu tentang dirinya dan dia mahu lelaki itu faham siapa yang paling penting dalam hidupnya.


"Saya tahu. Mungkin kekurangan saya lebih lagi." Katanya merendah diri.

Sunyi seketika.

"Mengahwini Ati bermakna menerima keluarga Ati. Masa tu, mak Ati adalah mak saya dan adik-adik Ati adalah adik-adik saya jugak. InsyaAllah, saya tahu dan sedar tanggungjawab yang perlu saya pikul. Saya dah bersedia untuk itu." Zulkifli menyambung bila tiada balasan kata dari Ati.

"Erm..." Ati masih kehilangan kata-kata. Segan dan malu membungkus rasa.

"Ati anak sulong dan saya anak bongsu. Mungkin itu kesesuaiannya. Itu keindahannya. Kalaulah saya boleh andaikan hubungan yang bakal terjalin sebagai buaian, saya boleh katakan bahawa satu hujung di pegang oleh saya dan satu lagi oleh Ati. Bebannya kita pikul di tengah-tengah." Dia berhenti seketika, mengumpul kata-kata terbaik untuk menjelaskan keikhlasan hatinya.

"Perkahwinan adalah perkongsian. Kita perlu kuat dan saling berpaut, berkongsi kekuatan untuk memikul beban yang tak boleh ditimbang. Ianya tanggungjawab yang saya tahu tidak mudah." Dia berhenti lagi. Fikirannya ligat memikirkan apa yang patut diperkatakan.

Lamaran belum diterima dan ini bukan perbincangan yang menjurus kepada persetujuan tapi seolah interview yang sedang dijalankan untuk menentukan dia layak atau tidak untuk menempatkan diri di hati gadis itu. Bimbang juga kalau perbualan ini menjadi perbualan terakhir dan hasratnya untuk menyunting gadis itu menjadi miliknya tidak kesampaian.

"Saya tak mahu Ati menerima jodoh ini kalau hati Ati tak kuat untuk bersama saya. Sebab saya juga tau, kekuatan dan kelemahan lelaki banyak bergantung pada wanita." Ati tersentak mendengar kata-kata itu. Dia tersenyum. Senyuman yang tak mampu dilihat oleh lelaki itu. Sunyi memenuhi ruang talian antara mereka. Tapi kehadiran masing-masing tetap boleh dirasa. Akhirnya Ati bersuara.

"Terima kasih sebab tak paksa saya. Berikan saya masa, mungkin seminggu atau dua. Paling lama sebulan. Saya akan fikirkannya. Mungkin jodoh ini banyak kebaikan untuk saya. Tapi saya tak boleh pentingkan diri. Itu tak cukup untuk melayakkan saya menjadi isteri kepada awak." Ati menarik nafas dalam dan ditahan seketika. Mengharapkan oksigen lebih banyak dibekalkan ke otak dan dia mampu berbicara dengan lebih baik agar tidak menimbulkan salah faham.

"Saya juga harap saya boleh menyumbangkan sesuatu pada pasangan saya dan keluarga mertua. Mungkin bukan sekarang, tapi satu ketika nanti. Erm... Tentunya awak tahu kan yang saya ni masih belajar."

"Ya. Memang saya tahu." Jawabnya ringkas.

"Saya sebenarnya tak tahu sumbangan bagaimana yang mampu saya berikan. Tapi andai ada kebaikan yang mampu saya curahkan pada awak, semoga Allah akan perkenan kan jodoh ini." Kata Ati sebelum menutup perbualan tunggal mereka.

Masa berjalan dan gelap malam tetap datang walaupun tidak diundang. Ati tak tahu malam ini adakah tidurnya akan lena. Yang pasti esok akan muncul bersama mentari, bersinar menyuluh harapan yang tumbuh subur dihati. Satu cincin akan disarung dijari sebagai tanda dirinya telah dimiliki.

Dan Ati tersenyum lagi. Teringat jawapan yang dia temui untuk soalannya dulu. 'Cinta selepas akad akan menjadikan perkahwinan itu satu ibadat...'.

Ana dan Erin tertawa kecil sambil mengangkat kening melihat kelakuan sepupunya itu. Agaknya begitulah keadaannya kalau bahagia dah bertakhta di hati...

Nota : Aduh... Entah apa yang tak kena dalam cerita ini. Saya rasa banyak yang kosong walaupun panjang. Mungkin kerana mesej yang nak disampaikan tak kesampaian...

Menampung kekosongan yang wujud, saya sertakan beberapa petikan menarik dari artikel tentang cinta dan perkahwinan yang saya pernah baca.

Pasangan wajar disiasat elak buta kerana cinta. "...Rasulullah SAW banyak berpesan supaya setiap kita berusaha memilih pasangan yang baik, beragama dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Beragama tidak hanya menjadikan Islam sebagai agama anutannya, tetapi menjadikan agama sebagai landasan hidupnya, beramal dengan peraturan agama, menghayati halal haram, dosa pahala, menjadikan rahmat dan berkat Allah adalah matlamat dalam kehidupannya..."

Kahwin untuk apa? "...Orang yang kahwin kerana Allah akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah untuk mendapatkan pasangan..."

Mahalnya perkahwinan bila ada ketenangan. "...rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan. Jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan..."

Tips memilih pasangan hidup. "Manusia tidak dapat memilih siapa yang patut jadi ibu dan bapanya. Tetapi manusia masih ada ruang dan peluang untuk memilih siapa bakal pasangan hidupnya..." ops.... ini untuk yg belum berkahwin saja tau. Yang dah kahwin, tak usahlah pilih lagi ya... :) hehehe

Jodoh

Tangannya membelek-belek baju yang bakal di pakai esok. Sekadar memastikan segalanya sempurna tanpa cela. Ringkas sekali persediaan yang di buat. Hanya itu kemampuan yang dimiliki. Lagipun dia lebih suka sesuatu yang sederhana. Sekadar pertunangan, rasanya tak perlu di war-warkan sangat.

"Erin tak nak kahwin awal lah. Umur 28 baru nak kawin. Nak enjoy dulu puas-puas." Luahnya sambil tersenyum. Ahh... remaja, mudah saja perkiraannya. Hanya keseronokan yang difikirkan. Ana menggeleng-geleng kepala mendengar kata adiknya itu.

"Ye lah tu. Johan tak kisah ke?" Ana mencebik. Tahu adiknya sedang mabuk bercinta. Dia memang tak suka kerana baginya pelajaran perlu lebih diutamakan. Sudah dilarang, tapi tak diendahkan. Akhirnya dibiarkan saja. Erin masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan tahun ini. Mungkin bila dia semakin meningkat dewasa, fikirannya akan lebih matang.

"Entah. Tapi kalau dia nak kawin tapi Erin tak nak kawin, tak boleh kawin jugak kan?" Balas Erin sambil mengambil bantal dan mula merebahkan badan. Ana pula sibuk menyiapkan hiasan untuk gubahan hantaran untuk sepupunya yang akan melangsungkan pertunangan esok.

"Sanggup ke dia tunggu?" Ana mengacah lagi.

"Kalau dia sayangkan Erin, kenalah tunggu sampai Erin bersedia dulu."

"Kalau dia nak kahwin cepat macam mana? Kak Ana rasa mak ayahnya mesti tak suka dia bercinta lama-lama. Mama pun tak setuju. Kak Ana lagilah tak setuju." Perbualan mereka terus berlangsung tanpa menyedari ada insan yang memerhati sambil tersenyum melihat gelagat mereka dua beradik. Tangannya cekap mengikat reben dibakul yang berisi buah-buahan.

"Erin cakaplah yg Erin nak Kak Ana kahwin dulu. Mana boleh langkah bendul, kan Kak Ati?" Erin mengusik. Ati tergelak kecil. Tidak menidakkan dan tidak juga mengiyakan. Erin kemudian bangun dan duduk di birai katil sambil memeluk bantal yang telah dipakaikan sarung berwarna ungu muda. Warna tema yang dipilih oleh Makcik Mahani.

"Ish.. Apa pulak kak Ana? Kak Ana tak akan kahwin awal punye. Banyak lagi yang kak Ana nak buat sebelum kahwin. Kalau dah kawin nanti, banyak pulak halangannya. Erin tak payah tunggu Kak Ana. Kalau dah rasa malas sangat nak belajar dan kalau Johan melamar nanti, terima je lah. Lepas tu kahwin. Kak Ana tak kisah pun." Kata Ana selamba. Geram jugak dengan adiknya yang sorang tu tapi diabaikan saja.

"Mana boleh. Erin akan pastikan Kak Ana kawin sebelum Erin." Kata Erin berazam.

"Tak mungkin! Tak akan jadi macam yang Erin nak tu sebab Kak Ana tak akan bercinta macam Erin. Kalau tak bercinta, tak akan ada tekanan untuk kawin. Kak Ana tak gatal macam Erin, belum habis belajar dah sibuk bercinta." Katanya tegas sambil menyelitkan usikan melepaskan geram.

"Alah... Kak Ana tu gatal jugak cuma suka jual mahal. Nanti jadi anak dara tua baru tahu." Balas Erin sambil membaling bantal berukuran empat segi ke arah Ana. Ana menjerit kecil.

"Ish... Dah! Cukup! Korang ni macam-macamlah. Sekarang bolehlah cakap. Tup-tup, dua-dua orang kawin cepat, lagi cepat dari Kak Ati. Siapa tahu." Ati menyampuk sambil tergelak kecil melihatkan sepupunya itu bertekak mempertahankan pendirian masing-masing. Lagipun dia tak mahu melihat usikan bertukar menjadi pergaduhan.

"Tak mungkinlah... Kak Ati bertunang awal dari kami, mestilah Kak Ati yang kawin dulu." Ana berkata sambil menjeling pada Erin.

"Tapi Erin ni... lebih-lebih pulak dia, kan Kak Ati." Balas Ana. Erin menjelirkan lidahnya kepada Ana. Memang selalu mereka bergaduh macam tu, tapi tak pernah berlarutan.

"Erm... Macam mana boleh kenal Abang Zul?" Ana mengubah tajuk, faham dengan tindakan Ati mencelah. Dia berhenti seketika dari mengerjakan gubahan. Minatnya beralih untuk tahu kisah cinta kakak sepupunya yang tiba-tiba mengejutkan mereka dengan pertunangan yang nak dilangsungkan esok.

"Mak su tak cerita ke?" Tanya Ati, tak menjawab soalan yang di lemparkan.

"Tak. Mama cuma ajak kami balik sebab katanya nak tolong makcik buat persiapan sebab Kak Ati nak bertunang. Bila tanya lebih-lebih, dia senyum je. Suruh kami tanya Kak Ati sendiri." Ana menjelaskan. Dia memang tak sabar nak tahu tapi sesampainya mereka di kampung, Ati sibuk dengan urusan lain yang perlu dibuat. Dia sendiri telah diserahkan tugasan untuk menggubah hantaran. Hanya sekarang peluang untuk mereka bercerita.

"Ini mesti bercinta masa belajar. Kes tak sabar nak kahwin lah ni. hehe.... Tapi Erin dengar, Abang Zul baru balik dari belajar kat luar negara. Kak Ati pulak belajar kat sini. Macam mana kak Ati jumpa dia ye?" Erin menambah. Meminta kepastian untuk sedikit cerita yang di dengar dari bisik-bisik yang singgah ke telinganya.

"Sebenarnya, Kak Ati tak kenal pun dia. Jodoh ni Mak Ngah yang aturkan. Kak Ati pun tak sangka jodoh datang secepat ini. Ingat tu nak habiskan belajar kat U dulu, lepas tu kerja dan bantu mak dan adik-adik." Ati membuka cerita. Tak sangka Mak Su langsung tak bagitahu anak-anaknya. Mungkin nak buat surprise kot.

"Eh... macam cinta zaman dulu je. Main atur-atur. Kalau nak habiskan belajar, kenapa terima pulak? Sanggup ke Kak Ati kahwin dengan orang yg tak kenal? Kalau dia tu bukan lelaki yang baik, tak hensem pulak, macam mana?" Bertalu-talu Erin melepaskan semua soalan yang melintas difikirannya.

"Ish... mulut... Erin, cakap tu jaga sikit. Jangan main lepas je. Tak baik tau. Kalau dia bukan lelaki yang baik, tak kan Mak Ngah nak rekomen. Kak Ati bukan macam Erin, rupalistik. Nak hensem je memanjang." Marah Ana sambil menjengilkan matanya. Erin menjeling, sedikit marah tapi tak mampu nak membantah kerana ada kebenaran dalam kata-kata Ana. Namun Ati hanya tersenyum. Sikit pun tak terguris dengan kata-kata Erin.

"Err... maafkan Erin ya Kak Ati." Pinta Erin bila sedar kesilapannya. Memangnya tak elok cakap perkara buruk sedangkan pertunangan itu akan dilangsungkan tak sampai pun 24 jam.

"Tak pe... Kak Ati pun ada terfikir jugak. Tapi mungkin jodoh dah sampai kot. Pernah le cakap dengan dia sekali kat telefon. Lepas cakap tu, hati Kak Ati rasa tenang, rasa lebih yakin dengan jodoh ni. Kalau jumpa tu... belumlah lagi, setakat tengok gambar je." Jelas Ati ringkas. Senyumnya kembang lagi.

Matanya meneroka jauh ke luar tingkap. Awan putih yang bergumpal dilangit seolah bunga yang menghiasi kebiruan yang mendamaikan.

Setelah Mak Ngah menyampaikan berita tentang hasrat keluarga Zulkifli, Ati banyak termenung. Tak tahu apa jawapan yang harus diberikan. Mak Ngah terlalu baik pada mereka sekeluarga dan dia menyayangi Ati seperti anak sendiri. Dari bicaranya, Ati boleh tahu yang harapan Mak Ngah terlalu tinggi.

Saat Ati diberitahu, hatinya mahu menolak. Banyak sebabnya, tapi untuk tidak mengecewakan, Ati minta tempoh untuk berfikir. Dia mengerjakan solat istikharah hampir setiap malam. Mencari jawapan pada kekeliruan dan mengasingkan rasa serba salah yang bertandang.

Dia mahu cepat menghabiskan pengajian dan kemudian mencari kerja. Nak bantu meringankan beban mak dan membiayai adik-adik belajar. Yang merisaukan ialah kesihatan mak yang sedikit terganggu kebelakangan ini.

"Berikan Ati masa ya mak. Lagipun ini soal masa depan Ati." Pinta Ati penuh harap. Matanya merenung wajah ibunya yang kini semakin ketara garis-garis tua di sekitar wajahnya.

"Ye lah. Mak memang tak mahu paksa Ati terima jodoh ni. Yang nak kawin ialah Ati. Yang akan hidup dengan lelaki itu ialah Ati. Mak cuma bimbang kalau tak ada siapa yang nak jaga Ati kalau apa-apa berlaku pada mak. Kalau ayah masih ada, mak tak risau sangat." Balas Makcik Mahani meluahkan apa yang terpendam di hatinya.

"Mak..!! Jangan cakap macam tu. Ati tak akan biarkan apa-apa berlaku pada mak." Ati tak senang dengan bicara terkandung kebimbangan. Kepalanya diletakkan ke paha ibunya. Kemanjaan yang tak pernah hilang walaupun usianya telah menginjak ke alam dewasa. Hanya ibunya yang tinggal untuk mereka adik beradik. Ibu yang tak jemu melimpahkan kasing sayang pada mereka.

"Mak tak mahu Ati risaukan mak. Cuma bila fikirkan Ati dan adik-adik, macam-macam terlintas. Ye lah, anak-anak mak semuanya perempuan. Semuanya masih belajar. Itu yang buat mak tak halang bila mak ngah cadangkan jodoh ni pada mak." Jelasnya lagi, kemudian menyambung; "Lagipun, mak dah jumpa Zul." Suaranya kedengaran ceria. Kata-kata itu membuatkan kepala Ati terangkat dan matanya memandang tepat ke wajah ibunya. Makcik Mahani tersenyum sambil mengusap lembut rambut anak gadis itu.

"Mak jumpa dia? Bila?" Hati Ati disambar debar. Rasa ingin tahunya mula menjalar.

"Beberapa bulan yang lepas. Makcik Lina, umi Zul tu kawan baik Mak Ngah. Mak pun kenal jugak masa zaman sekolah dulu, tapi kenal macam tu jelah. Kenal sebab Mak Ngah selalu cerita. Tapi tak pernah jumpa mereka selepas habis sekolah dan masing-masing berkahwin dan mengikut suami. Akhir tahun lepas Makcik Lina balik ziarah saudaranya di sini dan itu yang buat mereka mereka sambung balik hubungan sahabat lama yang terputus.” Terang Makcik Mahani satu persatu.

"Erm... jadi Ati ni nak dijadikan penyambung hubungan mereka ke?" Teka Ati rambang. Dia bingkas bangun. Mahu memberikan lebih perhatian pada setiap patah perkataan yang keluar dari bibir ibunya.

"Tak de lah macam tu. Mak pun tak pasti kenapa Makcik Lina tu nak jadikan Ati menantunya. Mungkin Mak Ngah banyak cerita tentang Ati kot." Beritahunya jujur.

"Erm... Entah apa Mak Ngah cakap untuk promote Ati kat kawan dia tu. Risau jugak kalau dia puji lebih-lebih sedangkan Ati ni mungkin tak sebagus mana pun." Luah Ati sedikit bimbang. Tak mahu kalau nanti dia dikatakan indah khabar dari rupa.

"Mak percaya Mak Ngah tahu apa yang dia buat." Kata Makcik Mahani mahu menenangkan anak kesayangannya. Sunyi mengambil tempat buat seketika.

"Err... Tadi mak kata, mak dah jumpa budak tu kan. Apa pendapat mak tentang dia?” Tanya Ati lagi. Penting untuk dia tahu pendapat ibunya sebab Ati percaya naluri ibu selalu benar.

"Pendapat mak tak usah di ambilkira lagi. Yang penting hati Ati sendiri. Mak tak mahu pendapat mak mempengaruhi keputusan Ati. Tak baik begitu. Lagipun Ati kan dah dengar banyak tentang Zul daripada Mak Ngah, betul tak?" Ati tak menjawab, tapi kata orang, tak menjawab itu juga adalah satu jawapan. Sebolehnya dia mahu Ati bertanggungjawab atas keputusan yang diambilnya. Ajaran yang arwah suami berikan, rasanya cukup untuk membantu Ati membuat pertimbangan yang sewajarnya. Namun Ati tahu benar cara ibunya. Dari nada suara yang ceria, dia tahu ibunya tak membantah.


"Mungkin lebih baik kalau Ati cuba bercakap sendiri dengan dia. Ati nilai sendiri dari cara dia bercakap.” Cadang Makcik Mahani ringkas. Sebenarnya itulah yang nak disampaikan sedari tadi.

”Macam mana Ati nak bercakap dengan dia? Ati tak pernah jumpa dia, tak tahu nombor telefon dia, jadi macam mana nak contact dia?” Ati beralasan. Hatinya ragu untuk berbicara dengan lelaki yang tak pernah dikenalinya.


“Dia ada tinggalkan nombor telefon dia kat mak. Dia suruh mak bagi kat Ati. Nanti mak ambilkan. Lepas dah cakap dengan dia nanti, Ati timbangkanlah." Bagitahu Makcik Mahani. "Jangan lupa mintak petunjuk dari Allah.” Pesannya lagi.

"InsyaAllah mak. Ati tak kenal dia, mak pun tak nak bagi apa-apa petunjuk. Hanya Allah yang tahu siapa dia. Kalau dia baik untuk Ati, Allah pasti akan buka hati Ati untuk terima dia. Mak doakan agar Ati tak tersalah buat keputusan ya mak." Pinta Ati sambil mencium tangan ibunya. Angin petang menderu masuk dari pintu yang terbuka, mengusap lembut jasad mereka dan meghadiah nikmat desa yang tak mungkin dilupa.

klik ,sini untuk sambungan....