Jan 30, 2009

Alkisah... Satu ketika dulu

Buah manggis masaknya hitam
Hati teringat kampung halaman

Ayam dan itik bergelak ketawa
Indahnya kenangan mengusik jiwa

Anak bebiri melompat tinggi
Sejuk menggigil nak mandi perigi
(Mandi perigi, air dikarai menggunakan baldi yang dicangkuk dihujung galah buluh. Tak pun guna baldi besi yg diikat dengan tali. Bapa saudara saya, Pak Soh, menggunakan upih pinang untuk buat timba - alternatif untuk baldi. Kreatif, kan?)



Kasut dipakai terasa ketat
Rupanya katak sedang berehat
(Dulu masa nak pegi sekolah waktu pagi, selalu ada katak dalam kasut. Geli!!!...)

Sejuk gedi mengayuh basikal
Segar merempuh kabus yang tebal
(Kabus embun pagi tebal sangat, sampaikan bulu mata pun jadi tempat singgahan kabus. Bila pejam mata, sejukkkk... dan segar sekali)

Anak dara melayan lara
Memotong getah mengikut bonda
(Suka ikut mak, sebab boleh kutip getah lebihan, kumpul utk buat bola. Tak mampu nak beli, jadi buat sendiri je bola tu.)

Susu getah di dalam baldi
Mesin getah memakan jari
(Mak sibuk membancuh getah dgn cuka, saya bermain mesin meleperkan getah dengan sepupu. Mesin daun-daun hutan yg dikutip sepanjang jalan… Tapi sudahnya tergelek jari sekali. Adoiii....)

Darah mengalir menitik merah
Ayah Min berlari tak cukup tanah
(Saya didukung bapa saudara, berlari bawa ke klinik desa. Hilang dua kuku, jari tengah dan jari manis. Nasib baik kuku tumbuh balik. Huhu)

Ikan gopi mencari arah
Meraung nak ikut ayah ke sawah
(Ada sekali ayah menanam padi. Katanya nak bagi anak-anak rasa bagaimana jadi pesawah. Selalunya ayah sewakan saja tanah tu pada orang kampung)

Bergotong royong menyemai padi
Aku berlumpur menyibukkan diri
(Orang menyemai, sayapun nak buat jugak. Nak cuba skil sebagai petani kononnya. Hehe...)

Batas sawah laluan ibu
Melihat lintah langkah seribu
(Tak suka lintah sebab bila dia dah mula hidap darah, memang susah nak cabut dari kulit. Kenyalnya semacam je. Heeiii… geli!!)

Anak katak bernama berudu
Leka mengejar si ikan puyu
(Anak semaian padi entah kemana sudahnya. Haha…)

Itik nenek bertelur merata
Tugas akulah untuk mengutipnya
(Saya usik nenek; “Nenek dah rabun, tak nampak telur itik lagi dah... kecuali kalau telur dah ada dalam pinggan depan mata, dan siap untuk dimakan. Hehehe")

Hujan merintik sehingga ke petang
Mengejar itik menyuruh pulang
(Paling suka kejar itik masuk ke rebannya masa hujan. Boleh main hujan sekali… Best!!)

Sirih pinang diracik digobek
Gigi nenek hilang, aku yg lembik
(Sebab kena tolong nenek 'menggobek' sirih sampai hancur, baru dia boleh makan.)

Ulat memakai baju berbulu
Bermain pacat dulu kegemaranku
(Sekarang tak lagi. Suka masukkan pacat dalam abu kayu dan tengok ia menggelepar lepas tu kaku. Ohhh... kejamnya.)

Durian berbunga, nenek bersedia
Ubi ditanam berjenis banyaknya
(Ubi kayu, keledek, ubi besar dan ubi takrak adalah antara ubi yg akan ditaman nenek sebelum musim durian gugur bermula.)

Meneman nenek menunggu durian
Nasi berlauk ikan kering makan berulam
Ditelan rakus berpinggan-pinggan
(Ops... pantun 3 kerat? Ada ke? Ahh... tak kisahlah kan.)

Ubi dibakar baunya harum
Perlu dijaga supaya tak rentung
(Ubi bakar... sedaaapppp sangat.)

Musim banjir, meriah sekali
Acara tahunan sering dinanti
(Macam pesta air meriahnya. Airnya jernih, sampaikan boleh nampak ikan berenang lenggang kangkung depan tangga rumah. Itu dulu... sekarang tak banjir lagi, selepas kerajaan buat terusan ke sawah padi. Salah satu kenangan yang hilang oleh kemajuan.)

Batang pisang dibuat rakit
Aku memandang sambil menjerit
(Mak tak bagi main rakit sebab takut jatuh. Teringin sangat nak naik rakit sebenarnya...)

Bunga melor dibelakang rumah,
Harumnya segar rindu bercambah
(Bunga yang senang nak hidup. Tak perlu dijaga dan dibelai sepanjang masa. Aromaterapi cara desa.)

Kudup si melor dikutip teliti
Dicucuk disimpul diikat mati
(Bunga melor yg dicucuk bertali, dibawa nenek ke masjid untuk dibahagikan pada kawan-kawannya. Ada ketika dijual dengan harga 10 sen untuk dua atau tiga tali bunga melor.)

Batang pisang dijadikan tali.
Daun kelapa pula dikisik dijadikan lidi
(Antara dua alat penting untuk cucuk bunga melor. Cara ikatannya lain sikit dari yang biasa kaum India buat. Mesra alam sungguh, kan?)

Orang kampung mengacau syura
Hitam pekat campuran segala benda
(Saya paling suka kalau syura tu banyak daging dan jagung.)

Kanak-kanak bersuara teruja
Sibuk mengikis tempurung kelapa
(Ibu bapa yang tak nak bagi anak-anak menyibuk, disuruhnya mengikis tempurung sehingga licin dan bersih. Nanti bila dah masak, syura yg panas tu dicedok, dmasukkan dalam tempurung tadi. Makan pulak dengan daun nenas yg dibentuk seperti sudu. Itulah syura yang paaaaling sedap rasanya.)

Gelap malam berteman pelita
Bulan mengambang senyum berbunga
(Masa bulan mengambang macam ni, mak dan ayah akan benarkan saya dan sepupu bermain dilaman. Bulannya cukup terang, udara malam juga sangat nyaman, tak perasan pun nyamuk yg terbang berkeliaran.)

Kunang-kunang terbang bebas
Kutangkap, kusimpan di dalam bekas
(Bekas tu botol putih lutsinar biasanya. Indahnya macam melihat percikan bunga api. Cuma bezanya, ia tak mudah padam.)

Aduhai kenangan, kekal diingatan
tersenyum sendiri, teringat kemeriahan
(Bukan berangan tau...)

Indah desa banyak yang hilang
Ditinggal masa, dipeluk kemajuan
(Sedihnya...)

Waaaa.... rindukan kampung... nak balik lagiiii....
(Walaupun baru je saya balik bercuti)

Nota : Saya belum ada mood nak menulis sebenarnya. Hati masih dikampung sana. Tulisan ringan suka-suka ini sekadar melanjutkan ilham dari suara hati yang merindui kenangan lama dikampung halaman bila membaca entri Ibnurashidi.

Jan 18, 2009

Alhamdulillah...




Hari ini...
hari yg biasa...
hari ulangan bermulanya kembara ku di alam fana

Syukur Alhamdulillah atas segala kurniaanNya







Alhamdulillah...
Aku masih bernafas, masih terjaga dari lena, bangkit segar menyedut udara
Alhamdulillah...
Kesihatanku Kau pelihara sentiasa, nikmatnya tak terungkap dengan kata-kata
Alhamdulillah...
Kurniaan rezeki sentiasa ada, cukup untuk kami berdua, malah boleh dikongsi keluarga
Alhamdulillah...
Laluan ilmu sentiasa Kau buka, Kau permudahkan, seiring berpimpin kami mengejarnya
Alhamdulillah...
Kau kurniakan dia yg setia, aku bahagia, senyum dan tawa pengisi masa
Alhamdulillah...
Kau pelihara aku dari duka, kala terluka Kau sembuhkan segera
Alhamdulillah...
Tenang dijiwa sentiasa ada, syukur dihati melimpah sentiasa

'Lalu nikmat Allah yang mana hendak didustakan?'

Terlalu banyak senarai disedia
Aku malu untuk meminta
Tapi kugagahi juga
Kerana Engkau Maha Pengurnia

Ya Allah Ya Wahhab, Ya Fattah, Ya Azim...
Moga kurniaanMu, pemberianMu kekal hingga ke hujung usia,
bertambah dan melimpah setakat yang terdaya aku memikulnya

Ya Allah Ya Ghaffur, Ya Waliyy, Ya 'Affuww
Ampunilah dosa-dosaku yang lalu
Jauhilah aku dari keburukan dalam diriku dan sekitarku
Agar kesilapan tak berulang lagi seperti dulu

Ya Allah Ya Sami', Ya Syakurr, Ya Shabur...
Jadikanlah aku hambaMu yg sentiasa bersyukur...

Jan 15, 2009

Apa matlamat hidupmu?



A : Apa matlamat hidup kau?

B : Matlamat hidup? Aku sekarang ni hidup demi anak-anak. Mereka perlukan aku.

A : Kau?

C : Aku nak balas budi mak ayah aku. Nak beri kesenangan pada mereka. Dah lama mereka susah.

A : Bagaimana dengan kau?

D : Aku nak capai kejayaan dalam karier aku. Nak buktikan yang bangsa kita juga boleh maju. Nak sumbangkan sesuatu untuk negara.

A : Ok. Kau pulak?

E : Entah. Aku hidup dengan seadanya. Selagi bernafas, selagi itu aku akan berusaha capai yang terbaik. Aku lebih suka ikut arus. Kita mana tahu apa yang ada di masa depan, kan?

A : Ye ke tak tahu? Aku ingat semua orang tahu apa yang akan berlaku dimasa depan.

C : Mana ada ahli nujum yang mampu meramal segalanya. Kalau yang diramal itu berlaku, itu hanya kebetulan saja.

D : Betul. Aku setuju.

E : Kau sibuk tanya orang, bagamana dengan matlamat hidup kau?

A : Matlamat aku adalah pengakhiran hidup aku.

B : Tak faham. Apa maksud kau?

A : Sedar atau tidak, distinasi kita satu. Matlamat kita sepatutnya sama.

Semua terdiam.

A : Yang hidup akan mati. Itu pasti. Penghujung satu kehidupan adalah kematian. Bukankah itu sebenarnya yang patut dilabelkan sebagai distinasi? Pengakhiran untuk semua usaha untuk mencapai matlamat lain yang hanya bersifat duniawi. Jadi matlamat kita seharusnya bersedia menuju kematian.

B : Maksud kau kita kena beribadat dan lupakan dunia?

A : Bukan sampai lupakan dunia. Tapi kita kena jadikan dunia sebagai jejantas selamat untuk kita menuju kematian, agar syurga mampu kita sentuh tanpa luka dari dosa akibat kelalaian kita pada tuntutan agama.

Sunyi lagi.

Nota : Intipati diambil dari tazkirah. Entah kenapa tiba-tiba saya teringat kata-kata sepupu yang mengibaratkan dunia ini sebagai titian Siratul Mustaqim. Apa yang dibuat didunia ini, adalah gambaran perjalanan kita menuju ke syurga. Mahu merangkak, berjalan atau berlari, sebenarnya kita yang memilih.

Apapun yang saya pilih, saya tak mahu rasa lelah. Anda bagaimana?
'Ya Allah... bantu daku ya Tuhan!'



Jan 8, 2009

DIA sayang kamu.



DIA sayang kamu.
Aku juga sayang kamu.
Kita kembali pada DIA ye sayang!?
Bukankah kita akan KEMBALI padaNYA juga nanti...

Jan 7, 2009

Semoga... buatmu sahabat



Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Buat Sahabat.
Zuriani (Awiey)

Semoga Allah melimpahkan hatimu dengan kasih sayang dan keimanan.
Semoga Allah memelihara dirimu dari segala keburukan.
Semoga dianugerahkan Allah umur yang panjang dengan pengisian amalan yg berterusan.
Semoga rezekimu sentiasa mencurah dan penuh keberkatan.
Semoga hanya yang baik-baik saja berlaku dalam kehidupan.

Jan 5, 2009

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 3)

Riduan termenung panjang. Mengingatkan kata-kata isterinya yang tak masuk akal. Kesanggupan dalam keterpaksaan. Dan kini dia kehilangan arah.

“Abang, tolonglah bang. Mintak dia tarik balik apa yang dia dah buat pada saya. Dia boleh mintak apa saja, saya sanggup! Kalau dia nak kawin dengan abang pun, saya akan izinkan. Tolonglah... Saya dah tak tahan lagi... Sakit sangat!” Fini menangis dan merintih. Sejak semalam, itulah yang diulang.

Tangan suaminya digenggam kuat. Jejarinya lembab dengan peluh. Gelap malam membuatkan kesunyian yang terisi terasa lebih menyakitkan.

“Fini! Apa yang Fini cakap ni? Fini, tolonglah, jangan mengalah dengan perempuan tu!” Riduan sedikit kecewa dengan kesanggupan isterinya. Tapi dia tahu, sakit yang ditanggung terlalu menduga. Mahu hilang kewarasan dibuatnya.

“Abang... saya sakit!” Rintih Fini, menambah sayu di hati.

Kata-kata Fini sekarang, jauh berbeza dengan apa yang pernah diucapkan dulu. Keazaman yang hancur. Ketahanan hatinya lebur.

“Abang…. Saya bahagia sekali hidup dengan abang. Saya harap kita hidup macam ni sampai kita tua, tak nak kongsi abang dengan sesiapapun…” Luahan manja seorang isteri yang masih terpahat kemas di ingatannya. Sinar mata Fini begitu menenangkan.

Riduan cuba menjejak masa lalu. Mencari petunjuk yang menyedarkan dia saat bila janji itu mula menjadi kabur dari hati mereka.

“Aduh.... Ya Allah... Sakitnya.....” Rintih Fini sambil mengusap perutnya yang membusung. Dengan sekejap masa, tak sampai sebulan, perutnya seperti orang yang sarat mengandung 8 bulan. Riduan duduk bersandar sambil memegang kepala. Kusut benar fikirannya. Keadaannya jelas tak terurus.

“Mak Lang Endot cakap, satu-satunya cara hanyalah suruh orang yang hantar tu tarik balik.” Kata Kak Long sambil tangannya ligat mengelap lelehan peluh yang bertali di dahi Fini.

“Tapi kita tak tahu siapa yang hantar.” Balas Riduan, buntu.

“Saya boleh agak. Saya yakin dia yang buat semua ni. Siapa lagi kalau bukan perempuan gatal tu!” Suara Fini keras. Hatinya membara.

“Rista?” Kak Long spontan menyebut nama perempuan yang menjadi nanah dalam hati Fini.

“Siapa lagi kalau bukan dia. Lainlah kalau abang ada perempuan lain lagi selain dia.” Sinis suara Fini, menahan getar dan tangis.

“Ya Allah, mana ada. Dengan dia pun, abang cuma berkawan je. Dia tu yang salah faham.” Hatinya sedikit terguris. Namun dia sedar, tak guna bertekak menegakkan benang yang basah. Memang dia tersilap langkah.

“Kau yang buat dia salah faham. Yang kau pegi layan dia tu buat apa?” Soal Kak Long dengan suara yang sedikit meninggi. Kalau boleh, Kak Long tak mahu masuk campur dalam soal ini, tapi Riduan adik kandungnya. Dia tak mahu Riduan jadi suami yang curang. Kalau salah, Riduan perlu ditegur.

“Sekarang ni, dosa abang, saya yang tanggung. Adil ke?” Soal Fini sedikit keras dengan suara yang bergetar. Air mata meluncur laju.

“Fini, abang dah tak hubungi dia lagi.“ Tegas Riduan, mengharapkan Fini akan berhenti memarahinya.

“Saya ni jahat sangat ke bang? Abang dah khianati kepercayaan saya bila abang berhubung dengan betina gatal tu. Boleh tak abang bayangkan remuk hati saya bila tengok sms romantik nak muntah yang dia hantar kat abang tuh?” Bagai air di empangan yang pecah, jeritan derita di hati terluah kasar.

“Atau abang dah pernah terlanjur dengan dia?” Kata Fini sinis menghiris hati Riduan.

“Fini jangan nak menuduh abang sembarangan. Mungkin benar abang pernah berhubung dengan dia, tapi tak perlulah Fini menuduh abang sampai macam tu sekali!” Hati Riduan berdarah. Kalau tak diingatkan Fini yang kesakitan, pasti tangannya ringan menyentuh pipi Fini.

“Abang nak bela diri atau nak bela dia? Cuba abang baca sms yang dia hantar kat saya ni!” Marah Fini semakin membara. Handphone Nokia kesayangannya dicampak, melantun menyembah bantal tipis di hadapan Riduan. Riduan memandang kak long. Tanpa reaksi. Tangannya perlahan mencapai hp itu, hadiah ulang tahun perkahwinannya pada Fini beberapa tahun yang lalu.

~Sakit kamu itu adalah pembalasan dosa Mas Iwan padaku. Jangan ingat dia boleh selamat ya! ~

Riduan terpaku membaca sms yang tertera. Mulutnya terkunci. Benarkah Rista yang…?

“Dia tak bagitahu abang yang sebelum ni saya pernah call dia, mintak dia putuskan hubungannya dengan abang. Abang tahu apa dia cakap? Dia kata abang berhubung dengan dia sebab saya tak pandai layan abang, tak faham apa yang abang mahu.” Marahnya membara. Kalau tak disebabkan oleh sakit yang ditanggungnya, dan kak long yang setia menemaninya, pasti perang periuk belanga akan tercetus. Kepercayaannya pada suami telah patah. Sabarnya telah musnah.

“Jangan percaya cakap dia Fini.” Pinta Riduan, pilu.

“Habis tu siapa yang saya nak percaya? Abang dengar sendiri cakap Pak Teh Muda, Mak Sinah dan Wak Karim. Mereka pun cakap orang yang hantar ilmu hitam untuk kenakan saya ni adalah perempuan Indonesia yang sukakan abang dan nak rebut abang dari saya. Siapa lagi kalau bukan dia!”


`Ya Allah... apa yang telah aku lakukan? Apa yang harus aku lakukan!?’ Hatinya mencari jalan tenang yang telah hilang.

“Kami cuma berkawan. Tak lebih dari itu.” Alasan, penjelasan atau penegasan? Riduan sendiri tak pasti.

“Kalau sekadar berkawan, tak perlulah sampai keluar makan berdua-duaan. Tak payah nak bergayut dan bersms dgn dia siang malam. Kau tak fikirkan perasaan Fini ke?” Madi bersuara keras. Tak setuju dengan perlakuan Riduan.

“Bukan macam tu. Cuma ada masanya aku kecewa dengan sikap Marni yang suka bandingkan aku dengan orang lain. Masa tu aku fikir, teruk sangat ke aku ni, sampai tak boleh nak jadi macam apa yang dia nak.” Mungkin itulah permulaan untuk segala kecelaruan dalam hidupnya.

“Hei... mana perginya pasangan romantik Rafini dan Riduan? Tak kan kau dah lupa persefahaman yang pernah korang ada masa hangat bercinta dulu?” Madi cuba mencari semangat cinta yang lama. Sayang sekali kalau dibiarkan hubungan yang terikat dihinggap kulapuk.

“Kau tak faham Die. Ida tu tak macam Fini.” Keluh Riduan, kematian akal untuk memberi logik atas perbuatannya.

“Tengok tu. Kau pun apa kurangnya. Membandingkan Fini dengan Ida. Kau tak sedar agaknya.” Tempelak Madi. Riduan terdiam.


Perkahwinan ini perlu diselamatkan. Saat melihat wajah-wajah kecil yang terbaring keletihan di sisinya, dia cuba mencari kekuatan untuk menahan segala rasa gelisah dan kecewa yang ada.

“Abang, tolonglah... Kalau sayang abang pada saya masih ada, tolong selesaikan soal hubungan abang dengan dia. Jangan biarkan saya terus menjadi mangsa. Saya tak cukup kuat untuk menahan segalanya.” Rayu Fini menyedarkan lamunan yang jauh. Genggamannya masih basah dengan peluh, tanda sakitnya tak berkurang. Riduan mengangguk perlahan. Tak mahu berjanji, tapi apa lagi yang mampu dilakukan untuk menenangkan resah isterinya.

Malamnya dia tak tidur lena. Kepalanya ligat memikirkan apa jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Dia terperangkap oleh keadaan. Kata-kata Rista sekejap tadi, membuatkan nafasnya seakan terhenti.

“Kalau benar mas mahu membantu isteri mas, hanya ada satu cara saja. Ceraikan dia dan nikahi saya. Saya cuma mahu dia rasa natijah penghinaan yang pernah dia lemparkan pada saya.”

Hatinya kelam. Tak mungkin! Airmatanya mengalir laju. 'Ya Allah… Bantulah aku!!!...'

Nota : Kisah ini berdasarkan apa yang di ceritakan oleh kawan saya. Dan ia tak dapat di pastikan pengakhirannya. Tak banyak yang saya dapat catatkan di bahagian nota ini, kerana saya memang tak mengenali mereka. Cuma mengungkapnya dalam bentuk cerita adalah cara untuk saya cuba menunjukkan bahawa setiap peristiwa yang berlaku ada penyebabnya. Bukan soal salah siapa yang harus ditekankan, tapi pengajaran apa yang boleh diambil.

Tak ada manusia yang sempurna. Tapi ketidaksempurnaan itu boleh diminimumkan dengan kesedaran betapa setiap tindakan yang diambil, pasti akan ada pembalasan. Lalu beringat sebelum kena. Berhati-hati bila berbicara. Harapan bukan semudah luahan, kerana ia mungkin punca penderitaan.

Kembali pada Allah, hanya itu penyelesaian yang perlu dilakukan. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa, yang mampu membantu dengan pelbagai cara. Serahkan padaNya. Sedarlah bahawa kita adalah selemah-lemah hamba...

Jan 2, 2009

Doa untuk suami...

"Abang!... Selamat hari lahir!" Ucapan yang entah ke berapa kali semenjak semalam. Sibuknya sengaja ku ganggu.... dan ku lampirkan suara penuh rindu.

"Terima kasih..." Balasnya ringkas dihujung talian sana.

"Abang nak Su nyanyi lagu birthday lagi ke?" Aku menawarkan. Dia tergelak.

"Tak payahlah... nanti hujan. Abang bawak baju hujan je ni. Seluar hujan abang tak bawak." Katanya memberi alasan. Giliran aku pula tergelak.

Buat suami...
Insan yang penuh dengan cinta dan sayang.

Ku panjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah Al-Wahhab, kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.

Buat suami tercinta, doaku kutujukan khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupan abang sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umur abang, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan.

Ku doakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku bang, agar aku mampu membuat abang sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun tika hidup kita di hempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih abang kerana hadirmu begitu membahagiakanku....