Tangannya membelek-belek baju yang bakal di pakai esok. Sekadar memastikan segalanya sempurna tanpa cela. Ringkas sekali persediaan yang di buat. Hanya itu kemampuan yang dimiliki. Lagipun dia lebih suka sesuatu yang sederhana. Sekadar pertunangan, rasanya tak perlu di war-warkan sangat.
"Erin tak nak kahwin awal lah. Umur 28 baru nak kawin. Nak enjoy dulu puas-puas." Luahnya sambil tersenyum. Ahh... remaja, mudah saja perkiraannya. Hanya keseronokan yang difikirkan. Ana menggeleng-geleng kepala mendengar kata adiknya itu.
"Ye lah tu. Johan tak kisah ke?" Ana mencebik. Tahu adiknya sedang mabuk bercinta. Dia memang tak suka kerana baginya pelajaran perlu lebih diutamakan. Sudah dilarang, tapi tak diendahkan. Akhirnya dibiarkan saja. Erin masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan tahun ini. Mungkin bila dia semakin meningkat dewasa, fikirannya akan lebih matang.
"Entah. Tapi kalau dia nak kawin tapi Erin tak nak kawin, tak boleh kawin jugak kan?" Balas Erin sambil mengambil bantal dan mula merebahkan badan. Ana pula sibuk menyiapkan hiasan untuk gubahan hantaran untuk sepupunya yang akan melangsungkan pertunangan esok.
"Sanggup ke dia tunggu?" Ana mengacah lagi.
"Kalau dia sayangkan Erin, kenalah tunggu sampai Erin bersedia dulu."
"Kalau dia nak kahwin cepat macam mana? Kak Ana rasa mak ayahnya mesti tak suka dia bercinta lama-lama. Mama pun tak setuju. Kak Ana lagilah tak setuju." Perbualan mereka terus berlangsung tanpa menyedari ada insan yang memerhati sambil tersenyum melihat gelagat mereka dua beradik. Tangannya cekap mengikat reben dibakul yang berisi buah-buahan.
"Erin cakaplah yg Erin nak Kak Ana kahwin dulu. Mana boleh langkah bendul, kan Kak Ati?" Erin mengusik. Ati tergelak kecil. Tidak menidakkan dan tidak juga mengiyakan. Erin kemudian bangun dan duduk di birai katil sambil memeluk bantal yang telah dipakaikan sarung berwarna ungu muda. Warna tema yang dipilih oleh Makcik Mahani.
"Ish.. Apa pulak kak Ana? Kak Ana tak akan kahwin awal punye. Banyak lagi yang kak Ana nak buat sebelum kahwin. Kalau dah kawin nanti, banyak pulak halangannya. Erin tak payah tunggu Kak Ana. Kalau dah rasa malas sangat nak belajar dan kalau Johan melamar nanti, terima je lah. Lepas tu kahwin. Kak Ana tak kisah pun." Kata Ana selamba. Geram jugak dengan adiknya yang sorang tu tapi diabaikan saja.
"Mana boleh. Erin akan pastikan Kak Ana kawin sebelum Erin." Kata Erin berazam.
"Tak mungkin! Tak akan jadi macam yang Erin nak tu sebab Kak Ana tak akan bercinta macam Erin. Kalau tak bercinta, tak akan ada tekanan untuk kawin. Kak Ana tak gatal macam Erin, belum habis belajar dah sibuk bercinta." Katanya tegas sambil menyelitkan usikan melepaskan geram.
"Alah... Kak Ana tu gatal jugak cuma suka jual mahal. Nanti jadi anak dara tua baru tahu." Balas Erin sambil membaling bantal berukuran empat segi ke arah Ana. Ana menjerit kecil.
"Ish... Dah! Cukup! Korang ni macam-macamlah. Sekarang bolehlah cakap. Tup-tup, dua-dua orang kawin cepat, lagi cepat dari Kak Ati. Siapa tahu." Ati menyampuk sambil tergelak kecil melihatkan sepupunya itu bertekak mempertahankan pendirian masing-masing. Lagipun dia tak mahu melihat usikan bertukar menjadi pergaduhan.
"Tak mungkinlah... Kak Ati bertunang awal dari kami, mestilah Kak Ati yang kawin dulu." Ana berkata sambil menjeling pada Erin.
"Tapi Erin ni... lebih-lebih pulak dia, kan Kak Ati." Balas Ana. Erin menjelirkan lidahnya kepada Ana. Memang selalu mereka bergaduh macam tu, tapi tak pernah berlarutan.
"Erm... Macam mana boleh kenal Abang Zul?" Ana mengubah tajuk, faham dengan tindakan Ati mencelah. Dia berhenti seketika dari mengerjakan gubahan. Minatnya beralih untuk tahu kisah cinta kakak sepupunya yang tiba-tiba mengejutkan mereka dengan pertunangan yang nak dilangsungkan esok.
"Mak su tak cerita ke?" Tanya Ati, tak menjawab soalan yang di lemparkan.
"Tak. Mama cuma ajak kami balik sebab katanya nak tolong makcik buat persiapan sebab Kak Ati nak bertunang. Bila tanya lebih-lebih, dia senyum je. Suruh kami tanya Kak Ati sendiri." Ana menjelaskan. Dia memang tak sabar nak tahu tapi sesampainya mereka di kampung, Ati sibuk dengan urusan lain yang perlu dibuat. Dia sendiri telah diserahkan tugasan untuk menggubah hantaran. Hanya sekarang peluang untuk mereka bercerita.
"Ini mesti bercinta masa belajar. Kes tak sabar nak kahwin lah ni. hehe.... Tapi Erin dengar, Abang Zul baru balik dari belajar kat luar negara. Kak Ati pulak belajar kat sini. Macam mana kak Ati jumpa dia ye?" Erin menambah. Meminta kepastian untuk sedikit cerita yang di dengar dari bisik-bisik yang singgah ke telinganya.
"Sebenarnya, Kak Ati tak kenal pun dia. Jodoh ni Mak Ngah yang aturkan. Kak Ati pun tak sangka jodoh datang secepat ini. Ingat tu nak habiskan belajar kat U dulu, lepas tu kerja dan bantu mak dan adik-adik." Ati membuka cerita. Tak sangka Mak Su langsung tak bagitahu anak-anaknya. Mungkin nak buat surprise kot.
"Eh... macam cinta zaman dulu je. Main atur-atur. Kalau nak habiskan belajar, kenapa terima pulak? Sanggup ke Kak Ati kahwin dengan orang yg tak kenal? Kalau dia tu bukan lelaki yang baik, tak hensem pulak, macam mana?" Bertalu-talu Erin melepaskan semua soalan yang melintas difikirannya.
"Ish... mulut... Erin, cakap tu jaga sikit. Jangan main lepas je. Tak baik tau. Kalau dia bukan lelaki yang baik, tak kan Mak Ngah nak rekomen. Kak Ati bukan macam Erin, rupalistik. Nak hensem je memanjang." Marah Ana sambil menjengilkan matanya. Erin menjeling, sedikit marah tapi tak mampu nak membantah kerana ada kebenaran dalam kata-kata Ana. Namun Ati hanya tersenyum. Sikit pun tak terguris dengan kata-kata Erin.
"Err... maafkan Erin ya Kak Ati." Pinta Erin bila sedar kesilapannya. Memangnya tak elok cakap perkara buruk sedangkan pertunangan itu akan dilangsungkan tak sampai pun 24 jam.
"Tak pe... Kak Ati pun ada terfikir jugak. Tapi mungkin jodoh dah sampai kot. Pernah le cakap dengan dia sekali kat telefon. Lepas cakap tu, hati Kak Ati rasa tenang, rasa lebih yakin dengan jodoh ni. Kalau jumpa tu... belumlah lagi, setakat tengok gambar je." Jelas Ati ringkas. Senyumnya kembang lagi.
Matanya meneroka jauh ke luar tingkap. Awan putih yang bergumpal dilangit seolah bunga yang menghiasi kebiruan yang mendamaikan.
Setelah Mak Ngah menyampaikan berita tentang hasrat keluarga Zulkifli, Ati banyak termenung. Tak tahu apa jawapan yang harus diberikan. Mak Ngah terlalu baik pada mereka sekeluarga dan dia menyayangi Ati seperti anak sendiri. Dari bicaranya, Ati boleh tahu yang harapan Mak Ngah terlalu tinggi.
Saat Ati diberitahu, hatinya mahu menolak. Banyak sebabnya, tapi untuk tidak mengecewakan, Ati minta tempoh untuk berfikir. Dia mengerjakan solat istikharah hampir setiap malam. Mencari jawapan pada kekeliruan dan mengasingkan rasa serba salah yang bertandang.
Dia mahu cepat menghabiskan pengajian dan kemudian mencari kerja. Nak bantu meringankan beban mak dan membiayai adik-adik belajar. Yang merisaukan ialah kesihatan mak yang sedikit terganggu kebelakangan ini.
"Berikan Ati masa ya mak. Lagipun ini soal masa depan Ati." Pinta Ati penuh harap. Matanya merenung wajah ibunya yang kini semakin ketara garis-garis tua di sekitar wajahnya.
"Ye lah. Mak memang tak mahu paksa Ati terima jodoh ni. Yang nak kawin ialah Ati. Yang akan hidup dengan lelaki itu ialah Ati. Mak cuma bimbang kalau tak ada siapa yang nak jaga Ati kalau apa-apa berlaku pada mak. Kalau ayah masih ada, mak tak risau sangat." Balas Makcik Mahani meluahkan apa yang terpendam di hatinya.
"Mak..!! Jangan cakap macam tu. Ati tak akan biarkan apa-apa berlaku pada mak." Ati tak senang dengan bicara terkandung kebimbangan. Kepalanya diletakkan ke paha ibunya. Kemanjaan yang tak pernah hilang walaupun usianya telah menginjak ke alam dewasa. Hanya ibunya yang tinggal untuk mereka adik beradik. Ibu yang tak jemu melimpahkan kasing sayang pada mereka.
"Mak tak mahu Ati risaukan mak. Cuma bila fikirkan Ati dan adik-adik, macam-macam terlintas. Ye lah, anak-anak mak semuanya perempuan. Semuanya masih belajar. Itu yang buat mak tak halang bila mak ngah cadangkan jodoh ni pada mak." Jelasnya lagi, kemudian menyambung; "Lagipun, mak dah jumpa Zul." Suaranya kedengaran ceria. Kata-kata itu membuatkan kepala Ati terangkat dan matanya memandang tepat ke wajah ibunya. Makcik Mahani tersenyum sambil mengusap lembut rambut anak gadis itu.
"Mak jumpa dia? Bila?" Hati Ati disambar debar. Rasa ingin tahunya mula menjalar.
"Beberapa bulan yang lepas. Makcik Lina, umi Zul tu kawan baik Mak Ngah. Mak pun kenal jugak masa zaman sekolah dulu, tapi kenal macam tu jelah. Kenal sebab Mak Ngah selalu cerita. Tapi tak pernah jumpa mereka selepas habis sekolah dan masing-masing berkahwin dan mengikut suami. Akhir tahun lepas Makcik Lina balik ziarah saudaranya di sini dan itu yang buat mereka mereka sambung balik hubungan sahabat lama yang terputus.” Terang Makcik Mahani satu persatu.
"Erm... jadi Ati ni nak dijadikan penyambung hubungan mereka ke?" Teka Ati rambang. Dia bingkas bangun. Mahu memberikan lebih perhatian pada setiap patah perkataan yang keluar dari bibir ibunya.
"Tak de lah macam tu. Mak pun tak pasti kenapa Makcik Lina tu nak jadikan Ati menantunya. Mungkin Mak Ngah banyak cerita tentang Ati kot." Beritahunya jujur.
"Erm... Entah apa Mak Ngah cakap untuk promote Ati kat kawan dia tu. Risau jugak kalau dia puji lebih-lebih sedangkan Ati ni mungkin tak sebagus mana pun." Luah Ati sedikit bimbang. Tak mahu kalau nanti dia dikatakan indah khabar dari rupa.
"Mak percaya Mak Ngah tahu apa yang dia buat." Kata Makcik Mahani mahu menenangkan anak kesayangannya. Sunyi mengambil tempat buat seketika.
"Err... Tadi mak kata, mak dah jumpa budak tu kan. Apa pendapat mak tentang dia?” Tanya Ati lagi. Penting untuk dia tahu pendapat ibunya sebab Ati percaya naluri ibu selalu benar.
"Pendapat mak tak usah di ambilkira lagi. Yang penting hati Ati sendiri. Mak tak mahu pendapat mak mempengaruhi keputusan Ati. Tak baik begitu. Lagipun Ati kan dah dengar banyak tentang Zul daripada Mak Ngah, betul tak?" Ati tak menjawab, tapi kata orang, tak menjawab itu juga adalah satu jawapan. Sebolehnya dia mahu Ati bertanggungjawab atas keputusan yang diambilnya. Ajaran yang arwah suami berikan, rasanya cukup untuk membantu Ati membuat pertimbangan yang sewajarnya. Namun Ati tahu benar cara ibunya. Dari nada suara yang ceria, dia tahu ibunya tak membantah.
"Mungkin lebih baik kalau Ati cuba bercakap sendiri dengan dia. Ati nilai sendiri dari cara dia bercakap.” Cadang Makcik Mahani ringkas. Sebenarnya itulah yang nak disampaikan sedari tadi.
”Macam mana Ati nak bercakap dengan dia? Ati tak pernah jumpa dia, tak tahu nombor telefon dia, jadi macam mana nak contact dia?” Ati beralasan. Hatinya ragu untuk berbicara dengan lelaki yang tak pernah dikenalinya.
“Dia ada tinggalkan nombor telefon dia kat mak. Dia suruh mak bagi kat Ati. Nanti mak ambilkan. Lepas dah cakap dengan dia nanti, Ati timbangkanlah." Bagitahu Makcik Mahani. "Jangan lupa mintak petunjuk dari Allah.” Pesannya lagi.
"InsyaAllah mak. Ati tak kenal dia, mak pun tak nak bagi apa-apa petunjuk. Hanya Allah yang tahu siapa dia. Kalau dia baik untuk Ati, Allah pasti akan buka hati Ati untuk terima dia. Mak doakan agar Ati tak tersalah buat keputusan ya mak." Pinta Ati sambil mencium tangan ibunya. Angin petang menderu masuk dari pintu yang terbuka, mengusap lembut jasad mereka dan meghadiah nikmat desa yang tak mungkin dilupa.
klik ,sini untuk sambungan....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment