Jul 16, 2009

Ikhlas Yang Dibalas.

Laungan azan Zohor jelas kedengaran. Saya baru selesai menunaikan umrah, ditinggalkan jauh oleh teman-teman jemaah yang lain. Malu juga memikirkan betapa stamina saya begitu kurang berbanding dengan Makcik Imah dan Makcik Zawiah yang jauh lebih berumur dari saya. Walaupun mereka telah bercucu dan hanya bekerja di kampung, namun jelas begitu bertenaga ketika menunaikan Sa'ei.

Bersa'ei, iaitu berjalan antara Safa dan Marwah, bagi saya adalah bahagian yang paling mencabar ketika menunaikan umrah. Berjalan berulang-alik sebanyak 7 kali, jika dicampurkan keseluruhan jaraknya, lebih kurang 3 km. Perjalanan yang cukup jauh buat saya yang dah lama tidak beriadhah.

Saya bergegas mencari ruang untuk solat.

"Su! Sini!" Kedengaran nama dipanggil. Makcik Imah telahpun berada dalam saf. Mereka selesai lebih awal dari saya.

'Alhamdulillah...' Bisik hati saya melihat mereka menyediakan ruang untuk saya. Selesai menunaikan solat, kami berehat seketika sebelum pulang untuk makan tengahari.

"Ngapa makcik?" Tanya saya sambil memeluk bahu Makcik Imah. Spontan soalan itu keluar bilamana saya melihat dia mengesat matanya yang basah. Penyibuk betul saya ni!

"Makcik sedih mengingatkan arwah ayah makcik. Dia tak sempat nak buat haji dan umrah." Luahnya pilu.

"Makcik boleh upah orang buat haji untuk dia." Saya memberi cadangan.

"Itu makcik dah buat. Dah bagi duit kat adik makcik untuk uruskan. Tapi sampai sekarang org yang upah haji tu tak de bagi apa-apapun. Selalunya orang yang diupah tu akan kirim buah tangan dari Mekah, macam sejadah ke, sebagai bukti mereka dah selesai buat upah haji. Ini tak sampai apa-apa pun kat makcik." Jelasnya meluahkan apa yang dimusykilkan.

"Makcik dah tanya adik makcik?"

"Tak tergamak nak tanya. Nanti dia kata makcik tak percaya kat dia pulak." Jawabnya jujur. Jelas menunjukkan dia jenis yang memikirkan perasaan orang lain sebelum berkata sesuatu.

"Erm... Upah haji arwah mak dulu, ayah dan kakak su yang uruskan. Masa tu su sekolah asrama. Jadi tak tahu sangat tentang buah tangan tu." Teringat arwah mak yang juga meninggal sebelum sempat menunaikan haji dan umrah.

"Sebenarnya buah tangan tu bukan perkara wajib pun. Cuma sebagai bukti dan sedekah buat keluarga yg mengupah je. Lebih kepada adat, sebab kebiasaannya orang akan buat macam tu."

"Makcik sedih pasal tu ke?" Soal saya lagi.

"Makcik sedih bila ingatkan arwah ayah, sedih sebab tak dapat nak bawak mak makcik ke sini. Dia dah tua, dan makcik sendiri pun dapat buat umrah sebab ada orang bermurah hati nak taja. Bukan sedara pun, cuma kenalan lama masa sekolah." Ceritanya lagi.

"Ye ke? Alhamdulillah... Memang rezeki makcik tu. Eh...Makcik ada mak lagi?" Dia mengangguk. 4 generasi? Wow...

"Ada mak pun rezeki jugak tu. Mak ayah su dah lama meninggal. Err... Pakcik pun ditaja jugak ke?" Saya bertanya lagi, berusaha meninggalkan topik yang menyedihkan hati secepat mungkin.

"Tak lah. Belanja sendiri. Kebetulan pakcik dah pencen, bolehlah datang sama. Kalau nak harapkan duit makcik dan pakcik, entah bila la makcik dapat datang." Katanya sayu, kemudian menyambung. "Tuhan saja lah yang dapat balas jasa baik kawan lama makcik tu. Dia memang selalu hantar orang buat umrah. Setiap tahun 3 orang dia akan pilih. Memang rezeki dia murah sungguh. Mungkin sebab dia banyak buat baik pada orang." Ucapnya penuh syukur.

"Makcik pun orang baik-baik jugak, sebab tu Allah rezekikan makcik dengan umrah ni." Kata saya sambil memeluk bahunya buat seketika.

"Su ada baca satu buku pasal pengalaman umrah dan haji. Ada satu kisah ni, berlaku di Indonesia. Sepasang suami isteri ni memang dah lama kumpul duit nak buat haji, tapi selalu tak cukup sebab setiap tahun belanja buat haji akan bertambah." Fikiran saya menjelajah pada satu kisah yang pernah buat saya menitiskan air mata. Kisah benar yang bagus sekali jika dapat dikongsi.

"Sehinggalah satu tahun tu, mereka dah cukup duit, tapi tiba-tiba ada sorang kat kampungnya jatuh sakit dan perlukan belanja besar untuk buat pembedahan. Orang kat situ semuanya susah, kumpul duit sikit-sikit hasil derma orang kampung pun, masih tak cukup." Makcik Imah mendengar dengan tekun.

"Mereka suami isteri berbincang, memikirkan antara tanggungjawab membantu saudara seIslam yang kesusahan dan keinginan nak buat haji. Sudahnya mereka buat keputusan untuk dermakan semua simpanan mereka untuk belanja pembedahan." Makcik Imah mengangguk-angguk kepala, dan saya kembali menyambung.

"Doktor yang merawat hairan bagaimana pesakit dapat mengumpulkan duit yang begitu besar jumlahnya dalam masa yang singkat. Lalu diceritakan pada doktor tentang kemurahan hati pasangan suami isteri yang sanggup mengorbankan duit simpanan seumur hidup mereka untuk ke Makkah demi membolehkan pesakit menjalani pembedahan." Rasa kagum memenuhi hati bila saya membaca kisah itu. Keikhlasan seperti itu memang tak mudah diperolehi di dalam masyarakat sekarang. Apatah lagi segala yang ada kini jelas sekali membentuk hati yang cenderung kepada keduniaan dan bersifat individualistik.

"Doktor tu cukup terharu dan meminta untuk berjumpa dengan pasangan suami isteri tu. Kebetulannya dia sekeluarga akan menunaikan haji tahun itu. Katanya lagi, dia ada rezeki lebih dan berharap untuk berkongsi dengan suami isteri yang pemurah tu. Dia ajak mereka pergi sekali dengan semua urusan dan belanja ditanggung olehnya. Terus pasangan suami isteri itu sujud syukur dan menerima pelawaan doktor itu dengan gembira."

Rezeki yang tidak disangka, kebaikan yang berbalas, munculnya tidak mengambil masa jika Allah telah meluluskannya. Subhanallah....

"Setiap kebaikan dan keikhlasan akan ada ganjaran yang disediakan Allah. Samada di dunia atau diakhirat, itu Allah akan tentukan. Makcik dapat rezeki ditaja buat umrah ni, itu mungkin sebab kebaikan yang makcik buat. Cuma Allah lebih tahu kenapa Dia pilih makcik." Kata saya mengakhiri perkongsian. Dia diam sambil tangannya mula memeluk bahu saya. Tak tahu apa yang terlintas di fikirannya. Dan saya tak ingin bertanya.

Makcik Imah yang saya kenali dalam masa yang singkat, memang lembut dan manis sekali orangnya. Berada bersamanya, terasa curahan keibuan yang jernih mengalir di hati. Hangatnya cinta seorang bonda, mengalir dan tersalur bersama sentuhan jejarinya saat dia memeluk bahu saya.

Saya bersyukur, dalam kesibukan dan 'kekerasan' aura kota batu yang begitu mendugakan, saya seringkali bertemu dengan ramai insan yang kaya dengan kasih sayang. Walaupun hanya perkenalan yang singkat, yang berakhir dengan pelukan sesaat, rindu pada arwah mak sedikit terubat.

Alhamdulillah...

Jul 10, 2009

Temu Tanpa Janji.

"Su, akak ada cakap kat abg Aziz, bila kat Mekah nanti nak ajak Su dan Nas makan 'nasi chicken mandi'. Sedap tau..." Kata Kak Faridah seminggu sebelum kami berangkat untuk menunaikan umrah.

"Wokeh. Nanti akak call Su bila kat sana nanti ye!" Lalu saya berikan nombor handphone yang dipinjamkan oleh Anizah pada Kak Faridah. Penyerahan sehala, memandangkan dia tak ingat nombor yang pernah dia gunakan di sana. Malah tak pasti samada simcard yang pernah dibeli semasa beliau mengerjakan umrah tahun lepas masih boleh digunakan lagi atau sebaliknya.

Mereka berangkat 3 hari sebelum kami. Destinasi yang sama, Madinah dan Makkah. Tapi travel agen berbeza. Saya tak tahu dimana hotel yang bakal mereka huni, begitu juga sebaliknya.

Kali pertama ke Tanah Suci, saya tak boleh bayangkan bagaimana aktiviti yang akan berlangsung disana, selain dari ziarah anjuran agensi dan juga senarai ibadat yang mahu ditumpukan. Tak mahu mengharap satu pertemuan yang saya rasa tak mudah untuk berlaku. Jemaah yang ramai, penuh sesak dan pastinya masing-masing akan sibuk mengatur kehidupan singkat tika di sana.

Seminggu berada di sana. Saya seakan terlupa pada janji tak rasmi yang kami buat. Ada sekali ia terlintas di fikiran. Mahu bertanya khabar, tapi tak ada apa yang boleh saya lakukan kerana saya memang tak ada nombor hp kak Faridah.

"Sibuk agaknya. Mana tahu kot Kak Faridah tak tersimpan nombor kita ke. Ish... Yang tanya ni kenapa? Teringin nak makan 'nasi chicken mandi' yang Kak Faridah cakap tu ke?" Tanya suami, mengusik.

"Ish... kesitu pulak. Tak de lah. Nasi kat hotel tu pun dah lebih dari cukup. Saja je, dah kita sama-sama ada kat sini, saja nak tanya khabar." Balas saya menafikan. Malu nak mengaku sebenarnya.

Hakikatnya, cara kak Faridah bercerita tentang 'nasi chicken mandi' memang membuatkan saya teringin. Saya tertanya-tanya, sedap sangat ke? Nak minta suami belanja, dia pun tak tahu mana nak cari. Nak cari di kedai-kedai makan kat Makkah ni, rasanya tak mahu lah. Sempadan komunikasi, tempat yang tak biasa dan masa yang terhad, membuatkan saya lebih rela melepaskan keinginan itu.

Solat Maghrib. Saya agak terlambat, dan sudahnya saya tak dibenarkan masuk ke dewan solat wanita di paras tanah. Kami akan di arahkan naik ke ruang solat di tingkat atas. Walaupun azan kedua belum berkumandang, tapi laluan masuk telah dikawal ketat oleh polis bertugas bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang melampau sehingga mengganggu laluan.

Orang ramai telah mula memenuhi ruang solat. Saya mengatur langkah di celah-celah manusia, mencari peluang untuk berada di kedudukan yang membolehkan saya melihat Ka'abah.

"Su!!!" Tiba-tiba terdengar satu suara memanggil nama saya. Mata liar mencari.

"Kak!!!" Saya menjerit girang dgn volume suara yang terkawal dan minimum bila melihat wajah Kak Faridah. MasyaAllah... Tanpa janji dibuat kami ditemukan Allah. Sungguh tidak disangka. Baru siang hari terlintas memikirkan dia, dan kini berada betul di depan mata.

Selesai solat Isyak, Kak Faridah dan Abang Aziz membawa kami menikmati 'nasi chicken mandi' yang enak. Ianya seiras dengan nasi Arab yang saya makan, dengan sedikit kelainan yang tak tahu saya nak terangkan di sini. Yang penting, memang kena dengan selera saya.

Kedai itu kedudukannya di dalam bangunan Hilton, yang juga merupakan shopping kompleks. Tingkat dua kalau tak silap saya. Dua set dipesan tapi ianya memang lebih dari cukup untuk dimakan oleh 4 orang. Take away.

Kami lepak sambil makan di bangku menunggu di ruang legar shopping kompleks. Makan sambil bertanya khabar dan bercerita. Entah dari mana, seekor kucing muncul. Tanpa suara mengiau, ia memerhati saya dan suami makan.

Lapar agaknya. Bisik hati. Tapi macam mana nak bagi kucing ni makan? Nanti karang bersepah pulak shopping kompleks ni kalau saya berikan nasi atau tulang ayam. Saya teringatkan kucing kesayangan saya tika kecil dulu. Teringat juga kucing terbuang yang sesekali lepak di rumah saya, tapi tak pernah diberi makan (kerana masakan saya selalunya jarang berbaki, cukup-cukup saja, nak elakkan pembaziran).

Sudahnya saya pandang kiri kanan, cubit bahagian dada ayam yang tak bertulang dan hulurkan pada si kucing. Habis dimakannya. Sehingga 3 kali saya bagi ketulan daging ayam, dan semuanya bersih tanpa bersisa. Selepas tu ia menghilang dgn sekelip mata saja. Puas saya mencari, tapi tak jumpa.

Bila di fikirkan balik, saya hairan bagaimana kucing itu boleh berada di bangunan shopping kompleks di tingkat 2? Kalau di Malaysia, di One Utama, di Mid Valley, di Sunway Pyramid, mahupun di SACC atau Alam Sentral, saya tak pernah nampak binatang peliharaan berkeliaran.

Itu situasi biasa di sana atau luar biasa? Satu kebetulan atau ada sesuatu di sebalik peristiwa? Entahlah. Yang pasti, pertemuan dengan Kak Faridah di Masjidil Haram, buat saya sekali lagi rasai kebesaran Allah. Janji, niat dan keinginan yang termakbul hanya dengan satu bisikan hati saja...

Alhamdulillah...

Moga Allah kabulkan semua doa Kak Faridah dan Abang Aziz. Doa kami juga... InsyaAllah.

Nota : Gambar chicken mandi, saya 'pinjam' dari blog Azlie-Makkah. Nak tengok lebih banyak gambar di Makkah, sila masuk ke blog ini. Saya ambil sekeping, sekadar nak memberi gambaran lebih jelas ttg betapa menariknya ayam yg sedang berkubang mandi dgn nasi. :)

Jul 4, 2009

Untukmu Wanita...

Entry kali ini sedikit terkeluar dari kisah perjalanan umrah saya. Sekalipun masih banyak kisah di Tanah Haram yang ingin saya kongsi, tapi saya rasa tak ada ruginya saya selitkan apa yang diterima siang tadi.

Terkesan dengan ceramah Datuk Dr Fatimah Az-Zahra, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang dapat. Ceramah ini adalah antara aktiviti bulanan anjuran unit Mubalighat yang diadakan setiap Sabtu pertama yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam.

Dalam sesi yang diadakan khusus buat kaum wanita, beliau sering mengingatkan bahawa memahami apa yang diceritakan dalam Al-Quran itu penting. Lalu ceramahnya lebih menjurus kepada kupasan surah-surah pilihan dan kali ini giliran surah An-Nur, surah yang khusus buat wanita. Peringatan dan panduan Allah kepada kaum wanita jelas difokuskan dalam surah ini.

Banyak sekali yang saya pelajari dari ceramah beliau. Alhamdulillah.

Kupasan awal ialah tentang hukuman yang dijatuhkan kepada penzina dan juga kepada orang yang menfitnah orang baik berzina. Bila mendengar sesuatu berita yang tidak sahih, jangan menokok tambah. Sebaik-baiknya cuba menghentikan tohmahan buruk itu dari terus tersebar. Belajarlah berbaik sangka dan menutup keburukan orang lain. InsyaAllah, kelak Allah akan menutup keburukan kita.

Saya sebenarnya cukup tertarik dengan cara beliau mengupas permasalahan masyarakat kini, memberi semangat, menyindir dan sekaligus menyedarkan kita. Yang terkena batang hidung, memanglah sakit, tapi mungkin itulah titik perubahan yang diperlukan.

Dalam setiap ceramahnya, saya sering perhatikan yang beliau mahu kita melihat diri dulu sebelum melatah menyalahkan pihak lain. Kebimbangannya jelas bila berbicara tentang masalah dalam rumahtangga, masalah anak-anak dan masalah masyarakat yang semakin meruncing.

Pernah terjadi, anak remaja berumur 16 tahun telah menggugurkan 3 kali kandungan. Bila di perhatikan latar belakang keluarga, didapati ibubapanya bukanlah orang yang tiada pegangan agama. Lalu di mana silapnya? Sayang yang tidak bertempat, kemanjaan dan kebebasan berlebihan yang diberikan pada anak-anak. Didikan yang tidak tegas diawal usia. Itulah antara puncanya.

Lalu bila anak tersalah jalan, siapa yang salah? Mahu menuduh orang lain lagi? Sekalipun untuk kisah anak yang cuba merogol ibu sendiri, nak salahkan siapa? Anak? Bukan. Ibu yang salah. Salah dimana? Mungkin dari segi pakaian si ibu, mungkin dari segi pergaulan dan kebebasan yang si ibu amalkan sebelum ini. Hanya si ibu yang tahu. Hanya Allah yang lebih mengerti kenapa ia berlaku.

Beliau mengupas dan mengingatkan agar ibu-ibu yang mempunyai anak perempuan, harus dibataskan hubungan dengan lelaki (biarpun saudara mara) dan diterangkan hukum halal haram, disemai perasaan malu bermula dari usia 9 tahun kerana kebanyakan anak gadis telah mula akil baligh di usia ini. Diwajibkan menutup aurat (bagi anak gadis) dan diterangkan kenapa ia penting. Untuk memastikan maruah kehormatan sebagai seorang gadis terpelihara.

Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki keluarga bahagia yang sempurna. Bagaimana? Di mana asas mula perlu diletakkan untuk membina rumahtangga impian?

Allah ada menyatakan;
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik..." An-Nur, ayat 26.

Itu petunjuk utama. Mahu mendapat pasangan yang baik, pastikan diri juga baik. Bekalkan diri dengan keimanan dan amalan yang berterusan.

Diharap panas hingga ke petang, tapi rupanya hujan di tengahari. Bila hujan, ramai yang mahu berhenti dari berlari. Bukankah hujan itu satu rahmat? Allah turunkan ia untuk melembutkan hati, menyuburkan jiwa hamba yang hampir mati. Pilih, nak berlari dan bermain hujan, atau berhenti.

Banyak berlaku sekarang ini, bila sesebuah perkahwinan mengalami masalah, hanya buruk pasangan tampak di mata. Mengapa tak lihat ia sebagai satu cermin diri?

Kenapa hanya melihat penceraian sebagai jalan keluar?

Kenapa terlupa yang Allah itu ada untuk memberi pertolongan?

Teliti diri dahulu sebelum menuding jari. Perbaiki diri dulu sebelum mengharapkan pasangan berubah. Dan jika merasakan diri telah cukup baik, kekalkan dan tambahkan lagi kebaikan serta teruskan berdoa untuk pasangan. Bukankah doa dari suami/isteri adalah paling mustajab? Allah akan kabulkan permintaan hambaNya bila tiba masa yang sesuai. Yakinlah.

Nota : Ini adalah nota diri yang mahu dikongsi. Moga kalian juga perolehi ilham baik darinya.

Ceramah yang seterusnya akan di adakan ditempat yang sama pada 1hb Ogos, iaitu bulan depan. Sambungan untuk surah yang sama. InsyaAllah. Sesiapa yang tinggal berdekatan, amat dialu-alukan menyertai program ini.

Jun 29, 2009

Rajuk selipar...?

Entry kali ini bukan sambungan entry yang lepas-lepas. Bukan catatan harian yang berturutan, tak seperti kisah sebelumnya.

Cerita yang ingin saya kongsi ini, rasanya tak begitu menyentuh perasaan. Namun setiap peristiwa yang berlaku, bagi saya ada sebabnya, ada rahsia yang Allah mahu tunjukkan. Bukti kekuasaanNya, kebesaranNya, keluasan ilmuNya....

'Hilang selipar masa kat masjid, memang biasa berlaku. Mungkin ada yang tertukar dan terambik, mungkin terlupa letak. Tapi, eloknya sebagai ikhtiar, bungkus selipar tu dgn beg kain atau plastik, senang kenal bila nak ambik masa balik. Ataupun, bawak je sekali. Tapi pastikan selipar tu bersih lah. Macam tu nak keluar dari pintu mana pun mudah.' Itu pesan mertua saya.

Kisah selipar memang banyak sekali. Yang diceritakan dan yang dialami... Yang dilihat sendiri cukup terpahat dihati.

Suami saya bertukar selipar sebanyak 4 kali. Saya? Kekal, setia dengan satu selipar sahaja. Ops... nombornya agak popular, kan? Ish... nasib baik cuma kisah selipar.

Selalu saya diingatkan, bila berada di Madinah atau di Makkah, hati-hati dengan lintasan fikiran dan juga apa yang di sebut. Bila difikirkan balik, setiap yang berlaku adalah bersebab. Tempat mustajab sebegini, dikabulkan apa yg dikata, diuji untuk melihat tahap kesabaran diri.

'Ish... letak macam ni je ke? Hilang nanti, macamana?' Bisik hati suami, semasa solat Subuh hari pertama di Masjid Nabawi. Seliparnya di bungkus dalam plastik bersama dengan selipar Pakcik Salleh dan diletakkan di rak kasut yang tersedia.

Usai solat Subuh, suami saya keluar dari masjid dengan kaki berbogel, atau dengan kata lain, berkaki ayam. Kaki Pakcik Salleh pula tetap selesa menyarungkan selipar kesayangannya. Suami saya hairan, kenapa hanya seliparnya yang hilang, sedangkan ia diikat di dalam plastik yang sama? Kalaulah selipar itu boleh bercakap, pasti saya akan mengandaikan yang mereka bergaduh besar, lalu selipar suami saya melarikan diri. :D

Tapi bila difikirkan, mungkin itu akibat dari hati yang tak yakin, terlupa bahawa Allah itu Maha Mengawasi dan Maha Menjaga. Membungkus dan meletakkan di rak itu ikhtiar saja, tapi jagaan sebenar datangnya dari Allah. Berusaha dan bertawakkal, itu seharusnya. Jangan was-was dan ragu bila lakukan sesuatu, apatah lagi ditempat mulia sebegitu.

Tersenyum penjual selipar bila helaian rial bertukar tangan.

"Tak sedaplah pakai selipar ni. Licin..." Kata suami saya seakan bersungut ketika melangkah masuk ke masjid di Bir Ali, tempat untuk miqat (berniat umrah) dan solat sunat. 3 langkah menapak ke depan, dia hampir tergelincir. Selesai solat di Bir Ali, selipar itu merajuk. Hilang membawa diri. Memang rezeki penjual selipar lagi nampaknya. Sandal baru dibeli, lima rial sahaja.

Mungkin sebenarnya Allah mahu menyelamatkan suami saya dari risiko kecederaan akibat memakai selipar yang licin. Allah lebih tahu...

Di Makkah, kami bersetuju membimbit selipar masing masing. Membungkusnya dalam plastik dan dibawa bersama. Saya mengikatnya di beg tapi suami memasukkan kedalam beg kecil yang diberikan oleh travel ejen untuk setiap jemaah. Ukuran yang melebihi saiz beg sandang membuatkan begnya tak dapat di zip.

Hajar Aswad seakan memanggil. Cubaan pertama gagal, namun ia tak mematahkan semangatnya. Suami saya nekad. Selesai solat sunat taubat dan hajat, dia menyertai kelompok ramai yang mempunyai niat yang sama, mencium Hajar Aswad.

Berjaya! Alhamdulillah... Tapi seliparnya hilang bersama kesesakan. Mungkin terjatuh. Ye lah... beg tak zip, potensi untuk selipar tu jatuh memang ada. Tak pe, yang penting, dia berjaya mencium Hajar Aswad.

Kami ke Bin Dawood (supermarket di dalam bangunan kompleks membeli belah di Makkah) untuk mencari selipar ganti. Lucu juga melihatkan dia berkaki ayam mengelilingi kedai. Yang dijumpa, tak berkenan dihatinya. Sudahnya saya minta dia cari sendiri. Saya tak mahu ikut, hanya duduk menunggu ditepi satu kedai makan.

Akhirnya dia kembali dengan selipar yang baru di beli dari penjaja wanita berkulit hitam yang banyak terdapat di sekitar kawasan Hilton. Saya agak mereka menjual tanpa permit kerana bila saja polis datang, mereka bertempiaran lari sambil menggendong bungkusan barang jualan.

"Lamanya. Selipar apa yang abang cari? Lama betul...." Saya bertanya.

"Lama ye? Abang cari yang elok sikit." Katanya menjelaskan.

"Alah... nak pakai buat lapik kaki je. Cari selipar jepun biasa dah le. Selesa jugak. Lagipun takat nak pakai buat datang masjid je kan..." Balas saya, sedikit geram. Walaupun tahu dengan sikapnya yang memang adakalanya memilih, tapi kali ini saya rasa ia tak sesuai dengan masa dan tempat.

"Bukan mahalpun. Sepuluh rial je. Abang beli kat orang kulit hitam yang menjaja tu je. Yang penting selesa nak berjalan." Jelasnya memberi alasan. Alasan yang sama setiap kali dia pergi bershopping.

"Tak pelah, kalau abang cakap macam tu. Yang penting kaki abang tak sakit." Walaupun rasa tak puas hati masih ada tapi saya mengambil keputusan untuk menguburkan saja. Tak mahu memanjangkan isu.

Namun jodoh selipar itu dengan kaki suami saya tak panjang. Kali kedua mencium Hajar Aswad, selipar hilang lagi. Saya terfikir, adakah disebabkan sikap saya yang tak puashati dengan suami berkenaan dengan selipar, maka kehilangan itu berlaku kesekian kalinya, atau kerana Allah nak memberi pengajaran buat suami tentang sikapnya yang suka memilih tak kira tempat? Allah Maha Mengetahui.

Kali ini, saya bertekad untuk mengikut suami membeli selipar. Tempat yang sama di tuju, tapi tak ada lagi jualan selipar murah seperti sebelumnya. Terpaksalah kami mencari di kedai-kedai yang ada disepanjang jalan. Dari satu kedai ke satu kedai kami masuk, tak ada yang dapat memaut hatinya. Saya letih. Dan saya tahu kakinya sakit.

"Abang... Tak payahlah pilih lagi. Beli saja selipar jepun biasa. Kan nak pakai kejap je masa kat sini. Lusa dah nak balik. Su dah tak larat ni." Saya bersuara lemah. Memujuk dengan cara memancing simpati. Dia memandang saya sejenak, lantas mencapai sepasang selipar jepun dan terus membayarnya. Selesai.

Selipar itu akhirnya selamat pulang bersama kami ke Malaysia dan kini sedang berkhidmat di kampung. :)

Itu kisah selipar suami saya. Kisah orang lain, masih banyak yang belum dikhabarkan. Namun saya ingin berkongsi cerita selipar yang berlaku di depan mata, yang saya rasa cukup berkesan di hati.

Kisah 1 : Seperti yang di ceritakan oleh suami saya;

"Sekiranya di tempat kita, kalau sekadar berbisik di hati mahu berlaku jahat, Allah tak akan mencatatkannya sebagai dosa, apatah lagi menghukum niat jahat yang dilakukan, tapi di sini tidak begitu. Allah akan hukum biarpun hanya terlintas jahat di hati." Pesanan Ustaz Jaafar.

Seorang lelaki mundar mandir ditempat letak kasut di kawasan Kaabah. Dia membelek bungkusan kasut yang ada di situ. Satu demi satu plastik yang berisi kasut di buka. Setelah beberapa plastik dibuka dan ditutup kembali, akhirnya dia mengeluarkan salah satu kasut, meletaknya dilantai dan mencubanya. Tiba-tiba satu kerusi roda merempuhnya dari belakang. Wajahnya menyeringai kesakitan. Kasut yang dicuba tadi dimasukkan balik ke dalam plastik dan dia kemudiannya berlalu pergi.

"Kalau itu memang hak dia, buat apa nak bukak tutup uncang selipar orang lain, lepas tu cuba-cuba pakai. Ambik dan pergi je lah. Lagipun itukan dalam kawasan masjid, mana boleh pakai selipar." Kata suami saya.

"Mungkin selipar dia hilang dan dia cuba nak ambik selipar orang lain sebagai ganti. Tapi Allah tak benarkan. Itu yang dia kena langgar kat wheel chair tu. Allah sebenarnya nak tegur niat dan perbuatan dia tu...." Balas saya, meneka.

Jika benar tekaan saya, mungkin itu salah satu cara Allah 'bayar cash' bila hambaNya cuba melakukan sesuatu yang salah dirumahNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hati.

Kisah 2 : Ketika pulang dari Raudhah, lebih kurang pukul 12 lebih.

"Kak su, saya nak singgah kejap kat tempat rak kasut depan pintu tu. Tengahari tadi kasut saya hilang, tinggal sebelah je." Jelasnya semasa kami balik dari solat di Raudhah.

"Habis tu, As balik macam mana tadi?" Tanya saya ingin tahu.

"Balik dengan sebelah kaki ayam la. Tak nak saya ambik orang lain punya." Tegasnya mempertahankan pendirian.

Kami mengintai timbunan kasut yang ada. Menurut salah seorang jemaah yang juga ada di situ, kasut itu bakal dibuang. Pekerja wanita yang bertugas membersihkan masjid akan mengumpulkan kasut yang tidak diambil tuannya selepas beberapa hari. Ada yang tidak dituntut, ada yang pasangannya tak cukup.

"Tak ada pun." Kata As kecewa, kemudian dia menyambung; "Tak pelah. Dah bukan rezeki saya agaknya." Redha. Dan kami melangkah keluar.

"Nanti kita cuba tengok rak kasut yang kat luar pintu lain pulak. Mana tahu kot tersesat kat situ." Cadang saya. Dia mengangguk. Makcik Ani membontoti dari belakang. Kami terus mengatur langkah untuk pulang. Jarum jam telah melepasi angka 12.

"Haa... itu ada satu rak kasut. Jom kita pegi tengok." Laju dia melangkah. "Ya Allah... biarlah ada kasut tu kat situ." Doa As jelas saya dengar. Amin... Bisik saya dalam hati.

"Kak Su!!!... Ada laa... Kasut saya ada!" Katanya girang. Alhamdulillah...

"Heheh... Jodoh As dengan kasut tu masih panjang nampaknya..." Saya tumpang gembira.

Hilang sebelah kasut, mungkin Allah mahu menguji teman saya itu. Mahukah dia pulang berkaki ayam, atau mengambil jalan mudah, 'meminjam' kasut orang? Nampaknya dia lulus, dan Allah pulangkan kembali apa yang disembunyikan buat seketika.

Walaupun entry ini hanya kisah sepasang selipar/kasut, tapi bagi saya semua yang saya kutip di sana terlalu mahal ajarannya. Menyemak kembali apa yang di lalui, menilai kesannya pada hati yang mencari erti, sungguh saya bersyukur pada Allah kerana dijemput ke rumahNya....

Syukur Ya Allah.

Jun 26, 2009

Anugerah di Raudhah

Di Madinah, antara tempat yang amat makbul doa adalah di Raudhah.

"Raudhah dibuka sampai pukul berapa ye?"

"Untuk perempuan, sampai pukul 12 malam. Kalau lelaki, bila-bila masa boleh masuk."

"Bukanlah... untuk perempuan rasanya sampai pukul 10.30 saja. Lepas waktu tu, pintu dah tutup, tak boleh masuk lagi."

Perbualan rakan jemaah.

Saya berkira-kira sendiri. Kebanyakan mereka telahpun pergi ke Raudhah semasa hari pertama lagi, ketika 'ziarah dalam' dengan bimbingan dari Ustazah. Saya belum. Keadaan saya tika itu tak mengizinkan saya menyertai mereka. Selesai solat Zohor tadi, orang terlalu ramai. Maklumlah hari Jumaat, hari yang penuh keberkatan. Tambahan lagi fikiran saya tertumpu pada suami, tak sabar nak menyampaikan berita gembira ini. 'Abang! Su dah boleh solat!' Terasa ingin menjerit saja.

Raudhah. Dengan masjid yang sebegini besar, arah mana yang perlu dituju?

"Kau masuk dalam masjid tu, ikut je laluan orang ramai yang menuju ke tengah masjid. Kebanyakan mereka memang nak ke Raudhah. Adakalanya kau boleh tengok ada polis yang mundar mandir, dan sesekali menjerit 'Ziarah! Ziarah!!' Itu tunjuk arah untuk orang-orang yang nak ke Raudhah." Terang Anizah, rakan jemaah MSSAAS yang telah beberapa kali menjadi tetamuNya.

Saya cuba mengingat kembali apa yang pernah dia ceritakan.

Tangannya rancak melakar garis-garis di atas helaian kertas. Saya memerhati dengan tekun, bersungguh-sungguh untuk cuba menghafal dan memahami apa yang diterangkan.

"Kawasan Raudhah sebenarnya adalah kawasan lelaki, kita tak boleh masuk. Tapi pada waktu ia dibuka untuk perempuan, tirai sekatan akan dibuat. Tiang-tiang macam tiang Jibril, tiang Aisyah dan beberapa tiang lagi yang ada kat Raudhah, memang kita tak boleh nampak. Mimbar Rasulullah, makam Nabi dan sahabat pun kita tak boleh nampak." Dahiku berkerut. Bagaimana nak tahu itu kawasan Raudhah kalau tak boleh tengok penanda yang dikatakan tu?


"Kita tak boleh masuk macam tu je. Sekarang ni, mereka akan kumpulkan kita dalam kumpulan sebelum di benarkan masuk. Selalunya jemaah Malaysia gabung dengan Indonesia. Mereka tempatkan kita di satu sudut dalam masjid tu. Lepas tu tunggulah sampai polis tu panggil, suruh masuk." Dia menjelaskan seteliti mungkin.


"Aku selalunya akan cuba solat kat depan sekali. Rapat ke kiri dan tunggu giliran sehingga ada ruang untuk menuju ke depan. Nanti akan ada ruang untuk kau solat. Polis selalunya tak bagi solat lama-lama. Sebab ramai lagi yang nak solat. Kalau nak mintak apa-apa, berdoa masa sujud...." Nasihat Anizah. Saya mengangguk tanda faham.


Hati sedikit ragu. Alangkah baiknya kalau boleh ke sana bersama suami. Dia dah sampai ke Raudhah, dah solat berkali-kali disana.

"Yang tak boleh masuk ikut pintu utama yang selalu abang guna tu. Dalam masjid ni, tempat lelaki perempuan disekat, pintu masukpun diasingkan. Tak boleh abang nak bawak Yang." Katanya sambil tangannya memegang gelas yang berisi air oren. Waktu makan, itulah waktu untuk kami bertemu dan bercerita.

"Tak pelah, cubalah tanya sapa yang nak pegi. Kalau ada kawan nanti, tak de lah abang risau sangat." Tanbahnya lagi.

"Nanti Su tanya. Kalau tak de sapa nak pegi, Su ingat nak pegi jugak. Rugi kalau tak solat kat sana. Allah dah bantu Su, bagi Su boleh solat kat Masjid Nabawi, tak kan Su nak sesiakan peluang untuk ke Raudhah macam tu saja." Kata saya sambil mencari dan mengumpul keyakinan diri. Tak mahu menerbitkan kebimbangan dia untuk sesuatu yang boleh dilakukan, walaupun saya bersendirian.

'Ya Allah... permudahkanlah laluanku ke Raudhah...' Bisik hati saya.

Selepas solat Isyak, saya pulang ke hotel untuk makan. Kemudiannya saya masuk ke bilik untuk mengemaskan diri dan memperbaharui wuduk sebelum kembali melangkah ke Masjid Nabawi.

"Kak su nak ke Raudhah tak malam ni?" Tanya teman sebilik saya, As yang datang bersama suami dan ibu mertuanya. Dia bertanya sebelum sempat saya membuka mulut.

"Memang nak pegipun. As nak ikut? Dah boleh solat?" Saya meminta kepastian. Dia sebenarnya mengalami haid yang tidak teratur. Baru saja suci, sempat bersolat beberapa waktu dan tiba-tiba haidnya datang lagi.

"Jumaat tadi saya dah solat. Ingat nak pergi. Mak pun nak pegi jugak." Jelasnya.

"Makcik dah pegi kan?" Pandangan saya jatuh ke wajah tua itu.

"Dah. Tapi As nak pegi, makcik nak ikutlah jugak." Jawabnya sambil tersenyum.

"Oklah, kalau macam tu, kita pergi samalah nanti." Hati saya lega. Ada teman, saya lebih yakin untuk melangkah.

"Tutup pukul berapa ye? Ada yang cakap pukul 10 pun dah tutup. Ada yang kata pukul 12." As bersuara. Jam menunjukkan pukul 9.50 malam.

"Entahlah. Tak pe, kita pergi je. Kalau ada rezeki kita, insyaAllah boleh masuk. Tapi kita kena pegi cepat. Lambat pegi karang, lambat pulak balik." Saya nekad.

Pukul 10.20 malam. Kami bertiga mengatur langkah memasuki Masjid Nabawi. Orang masih ramai walaupun tidak seramai waktu solat fardhu. Seolah ada satu aliran manusia yang menuju ke satu arah yang sama. Saya yakin, mereka juga mahu ke Raudhah.

Sampai di satu ruang, saya boleh nampak kumpulan jemaah diasing-asingkan.

"Hajjah!! Hajjah! Sini!" Kedengaran suara memanggil. Saya meninjau, mencari arah suara tersebut. Rupanya polis wanita berpakaian hitam bertudung litup itu yang menyeru. Tangannya melambai-lambai ke arah kami dan menunjuk ke arah satu kumpulan jemaah yang bertelekung putih. Jemaah dari Indonesia.

Saya berdiri, memerhati persekitaran. Beberapa orang polis mundar mandir, sambil mengawal jemaah yang datang. Apa yang saya perhatikan, untuk arahan ringkas, mereka mampu menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh jemaah, tapi dengan slang yang sedikit lain, membolehkan saya tahu bahawa penuturnya bukan Melayu.

"Hajjah! Duduk!" Bahu saya dipegang. Saya mengangguk. Saya melihat Makcik Ani yang berada berdekatan tiang, sedang menunaikan solat sunat. Saya tersedar. Seharusnya saya solat sunat tahiyatul masjid sebaik saja masuk, sebelum duduk.

"Allahuakbar..."

Selesai menunaikan solat, sambil menunggu giliran dipanggil, saya hanya berzikir. Mata saya leka memerhatikan gelagat para jemaah. Ada yang tidak sabar, meluru masuk bersama kumpulan lain. Bangsa Arab rasanya, dengan pakaian jubah serba hitam.

Agak lama menunggu, kumpulan jemaah dari Asia (Malaysia dan Indonesia) belum dipanggil. Sabar. Bertenang. Hati saya tertanya, adakah kami dianaktirikan? Dengan kumpulan yang tak ramai seperti jemaah lain, seolah kami dibiarkan menunggu lebih lama.

Seingat saya, hampir sejam menunggu, barulah kami dibenarkan masuk. Jemaah bersesak dan bertolak-tolak untuk masuk. Saya memegang Makcik Ani dan As. Bimbang terpisah dalam kelompok yang ramai. Namun tekanan demi tekanan akhirnya meregangkan pegangan kami.

"Macam mana nak solat ni. Ramainya..." Kata saya.

"Kak su, susah nak solat kalau kita nak duduk sekali. Kita ikut arus je lah. Nanti lepas solat, kita jumpa kat luar. Kat tempat menunggu tadi ke..." Kata As memberi cadangan.

"Oklah kalau macam tu." Tak lama, As hilang dalam kelompok orang ramai. Makcik Ani masih bersama saya. Bimbang juga nak membiarkan dia sendirian. Sedikit ruang yang ada, pasti ada jemaah yang bersolat. Walau payah, walau sempit, mereka tak lepaskan peluang. Kalau nak melangkah walaupun setapak, harus berhati-hati, jangan sampai terpijak kepala orang yang sedang sujud.

"Makcik, kita ke depan ye. Kita tuju saf paling depan." Cadang saya sambil tangannya tak saya lepaskan. Dia mengangguk.

Tiba-tiba bahu Makcik Ani dicuit. Ada sedikit ruang terbuka bila salah seorang jemaah Arab selesai menunaikan solat. Dengan menggunakan isyarat tangan, dia mempelawa Makcik Ani mengambil ruangnya untuk solat. Makcik Ani memandang saya, seolah meminta pandangan.

"Tak pelah, dah ada peluang ni, makcik solatlah kat sini. Su nak pegi depan. Nanti bila dah selesai, makcik keluarlah ye. As dah janji nak tunggu kat luar. Makcik dan As balik dululah, tak payah tunggu Su." Kata saya.

"Ye lah." Jawabnya ringkas. Lengannya yang saya paut kemas sedari tadi, saya lepaskan. Dia mengangkat takbir dan saya terus mara ke depan bersama kumpulan jemaah yang masih menunggu giliran untuk solat.

Saya teringat amalan sunat ketika berada di Raudhah yang di baca dari buku panduan umrah. Salah satunya ialah salam dan selawat kepada Rasulullah dan para sahabat. Dengan suara perlahan, saya membisikkannya. Tak lupa juga kiriman salam dari teman dan saudara buat kekasih Allah.

Saya sebenarnya tak berapa suka berada dalam kesesakan manusia, tak suka berbaris panjang, bertolak-tolak menunggu giliran sambil berdiri dengan badah basah dengan peluh. Rimas. Cukuplah pengalaman semasa pendaftaran subject setiap awal semester, lama dulu.

Tapi di sini, menunggu giliran untuk sujud ditempat paling 'mahal' di Masjid Nabawi ini, memberikan saya perasaan yang berlainan. Ingatan saya tertumpu pada gambaran padang Mahsyar. Entah kenapa. Saya terfikir, bagaimanakah nanti tika semua manusia dikumpulkan, menunggu nama dipanggil untuk dibentangkan timbangan dosa dan pahala. Gerun. Hati saya bergetar.

'Ya Allah... bantulah daku. Berikan aku ruang untuk solat di saf paling depan. 2 rakaat pun jadilah....' Hati berbisik dan berdoa, sambil mulut saya beristighfar, memohon ampun atas segala doa yang menimbun.

Bila badan terdorong ke depan, itu tandanya ada jemaah berganti solat. Sehinggalah saya hampir ke saf sasaran, baru saya perasan ada polis yang menunggu, berdiri memerhati jemaah solat di barisan paling depan. Jemaah yang telah selesai solat dua rakaat diarahkan bangun, lalu terbukalah ruang pada jemaah yang lain.

Saya teringatkan pesan mak mertua saya. "Di Raudhah, solatlah mengikut keadaan. Cukup dengan dua rakaat jika keadaan tidak mengizinkan. Jangan berdoa berjela-jela selepas solat, tapi berdoalah dalam keadaan bersujud. Kerana tika itu kita paling hampir dengan Allah. Dan polis juga tak akan halau bila dilihatnya jemaah masih dalam keadaan bersujud."

Saya antara kumpulan jemaah yang terakhir. Tika saya bangkit dari sujud yang panjang, kesesakan sudah mulai surut. Menghormati jemaah yang masih menunggu giliran dibelakang, saya bangkit untuk beredar. Selang beberada langkah, saya lihat ada ruang kosong. Saya menoleh kiri dan kanan, melihat jika masih ada jemaah yg berhampiran mengintai ruang untuk solat. Tak ada.

'Ini rezeki ni.' Bisik hati saya. Tanpa berlengah, saya memperkemaskan kedudukan dan sekali lagi saya mengangkat takbir, menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat. Memohon ampun, berdoa dan menangis semahunya...

'Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah, kerana Kau izinkan aku solat disini.' Mata saya merah, basah. Mengingati betapa pemurahnya Allah pada saya. Saya hanya minta diberikan peluang untuk solat dua rakaat, tapi Dia berikan saya ruang untuk solat enam rakaat!

'Abang! Su dapat solat di Raudhah!' Terasa mahu menjerit, mengkhabarkan nikmat yang Allah berikan pada saya.

Tepat pukul 12 malam... Saya melangkah keluar dari Masjid Nabawi dengan perasaan girang yang tak mampu saya gambarkan....

Nota : Raudhah dibuka sehingga pukul 12 tgh malam. Tapi pintu untuk masuk ke masjid Nabawi akan ditutup lebih awal.