Dec 17, 2010

Aku ingin....

Anak. 99.9% pasangan yang berkahwin bermatlamat untuk mendapatkan anak. Itu statistik hentam keromo tanpa kajian dan penyelidikan dari saya yang tak boleh diambil kira sangat.

"Dapat sorang pun jadilah. Boleh buat teman masa sunyi."

"Ada anak tu perlu. Melihat keletah mereka terhiburlah sikit bila hati sedih."

"Percayalah, anak mampu memberi kekuatan untuk meneruskan hidup."

"Ada anak, bolehlah buat main. Tak de lah hidup ni boring sangat."

"Doa anak yang soleh tu lah yang diharapkan dapat membantu kita bila dah meninggal nanti."

"Dah tua nanti, kalau ada anak, bolehlah dia orang jaga kita."

"Bila dah tak kerja, dah pencen... harapnya anak-anaklah pulak yang bagi duit belanja kat mak ayah."

"Ikat suami dengan anak. Bila dah ada anak, suami tak boleh cari alasan nak kawin lain untuk dapatkan anak."

Itulah yang seringkali saya dengar. Keinginan tersirat, matlamat terselindung, serampang bukan setakat dua mata tapi bermata-mata.

Akan terjagakah diri saat tua nanti jika ada zuriat yang boleh dipaut lengan? Akan hilangkah kesunyian hati jika ada anak penyambung keturunan? Akan kekalkah suami disisi, jika kasih anak menjadi tambatan?

Tak pernah ada jaminan yang pasti untuk semua soalan itu. Lalu kenapa hati ini begitu meronta mahu memiliki sikecil yang dibenihkan dan lahir dari rahim sendiri?

Ya Allah... jangan biarkan keinginan ini menghanyutkan fikiran dan perasaanku dari mengingatiMu. Jangan biarkan kemahuan diri ini menjebakkan aku dikalangan hamba yang tak tahu bersyukur dan lupa pada nikmatMu.

Nov 25, 2010

Cakap siang... pandang-pandang..???

Muhasabah diri. Itu penting... paling penting buat diri yang mahu berubah.

Musibah dan dugaan Allah turunkan bertujuan menarik kembali hambaNya dari jalan yang salah, laluan yang tersasar. Tak mudah melakukannya dan tak semua orang mampu berpatah arah.

"Bila anak buat maksiat, orang pertama yang harus muhasabah diri ialah mak ayah. Pasti ada kurang dimana-mana. Samada dalam didikan, dalam kehidupan yang lalu ataupun dalam diri mereka sendiri." Telinga menangkap bicara dari meja sebelah. Menarik! Mataku mengerling ke arah suara itu. Ianya milik seorang wanita berperawakan sederhana dengan wajah yang tenang.

"Mana boleh macam tu. Tak semua anak yang bermasalah itu disebabkan oleh ibubapanya. Aku pernah jumpa seorang teman yang liar masa remajanya, tapi mak ayah dia memang orang yang baik, solat tak tinggal, selalu ke masjid. Mereka didik dan tegur kawan aku sebaiknya, tapi jalan yang dipilih masih terpesong." Bantah temannya, seketika berhenti menyuap nasi goreng yang dah dilesapkan separuh.

"Macam mana kawan kau tu sekarang?" Si merah jambu (pakaiannya) yang duduk berhadapan menyoal dengan rasa ingin tahu.

"Nasib baik dia dah sedar dan berubah. Malah jauh lebih baik sesetengah orang yang kononnya tak pernah buat silap."

"Tak ada istilah nasib baik dalam kehidupan kita cik kak oi. Semua yang berlaku ada sebab dan hikmahnya, dan itu semua dibantu oleh Allah." Balas seorang lagi wanita yang paling kecil antara mereka berempat.

"Aku yakin, sebagai muslim yang kuat pegangan agamanya, doa mereka untuk melihat anaknya berubah digandakan siang dan malam. Dan akhirnya Allah makbulkan. Bukankah itu bukti yang doa orang tua adalah doa yang paling mustajab?" Ayat soal yang berbentuk jawapan. Aku semakin tertarik pada buah bicaranya.

"Erm... Betul jugak tu. Tapi bila aku lihat diri aku di kedudukan sebagai seorang ibu dan aku rasa dah bagi didikan agama anak-anak aku sebaik mungkin, tapi kalau mereka buat maksiat jugak, rasanya tak patut aku disalahkan." Ahh... setuju tapi mahu membina perisai menyelamatkan diri dari dipersalahkan. Aku tersenyum sendiri. Air horlick yang beransur suam dihirup perlahan.

"Ini bukan soal salah siapa. Aku cuma percaya bila sesuatu berlaku dalam kehidupan, baik atau buruk, adalah kerana Allah sayangkan kita. Sebagai anak, memang tak seharusnya menyalahkan ibu bapa. Sebagai ibu bapa pulak, jika anak berkelakuan buruk, tak eloklah dibiarkan saja. Sayang anak bukan bermakna perlu sentiasa berfikiran terbuka dan merelakan." Sesekali dia mengacau air yang tinggal separuh dengan straw.

"Memanglah... Tapi apa yang boleh kita buat lagi kalau teguran langsung tak diendahkan. Marah pun tak berbekas di hati. Tak kan nak dipukul. Silap haribulan, jadi kes mahkamah. Ishh... sekarang ni bukan kira siapa kalau nak saman." Benar. Anak saman mak dan pernah berlaku. Ayah saman anak pun dah pernah terjadi. Nyata benar tanda akhir zaman semakin menghampiri.

"Menyalahkan dan menuding jari tak akan menyelesaikan kekusutan. Mahkamah bagi aku bukan tempat menyelesaikan masalah. Mungkin ya bagi sesetengah pihak dan dalam keadaan tertentu. Tapi kesan negatifnya memang ada." Tak ramai yang ambil peduli tentang kesan buruk yang berlaku. Kepuasan diri saja yang dipentingkan ketika itu.

"Habis tu, kau rasa apa yang boleh mengatasi keadaan ni?" Temannya kembali bertanya.

"Seelok tindakan ialah berfikir tentang hikmah disebalik peristiwa yang berlaku, muhasabah diri dan menyesali kesilapan, perbaiki situasi jika boleh. Paling penting ialah berusaha, berdoa dan bertawakkal. Musibah seharusnya mendekatkan kita pada Allah, bukan menjauhkan."

Saya teringat kisah salah seorang sahabat Baginda, (Saidina Umar kalau tak salah)yang bersedih kerana dirinya tak diduga Allah dengan kesakitan dan keperitan hidup. Sesungguhnya sakit dan pedih dugaan itu adalah penghapus dosa.

Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Saya pula... dengar cakap orang disiang hari. Mencuri dengar perbualan empat sekawan yang cukup mengesankan hati.
:D

Nota: Drama kehidupan yang diolah kembali sesedap rasa mengikut apa yang bermain diminda.

Oct 12, 2010

Kembara Zuriat - Gelora

"Kak Su, Nor stress la sekarang ni. Bila balik kampung je, orang selalu tanya Nor bila nak dapat baby! Serabut! Tension!" Luahannya jelas menunjukkan tekanan yang di terima. Saya mengenalinya semasa sama-sama mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital disini.

"Releks la. Jangan fikir sangat pasal tu." Saya cuba meredakan walaupun tahu ia langsung tidak berkesan.

"Tapi Kak Su, sedih sangat bila dapat tahu yang kawan dan adik Nor yang baru kawin pun dah nak dapat baby. Tapi Nor...." Nadanya merendah menahan sebak.

"Kak Su faham sangat perasaan Nor. Nor rasa rendah diri, kan? Rasa cemburu pun ada. Dan kalau boleh memang nak jauhkan diri. Tak selesa bila ditanya soalan tu setiap kali jumpa. Macam la tak ada soalan lain, kan?" Perasaan yang juga sebati dengan diri. Kami seolah dua jiwa satu hati berkongsi cerita yang sama.

"Tu la. Ini bukan kehendak kita kan. Dia orang tanya samada Nor merancang. Mana ada! Nor tak merancang pun. Merancang untuk dapat baby ada la. Soalan-soalan dia orang tu buat Nor rasa rimas, rasa nak lari je. Rasa malas nak balik kampung, tak nak jumpa saudara mara. Sedih la Kak Su!" Dadanya berombak, selari dengan air yang yang bakal melimpah di bibir mata.

"Nor... Jangan macam ni. Nor masih boleh berusaha kan!? Kak Su pun masih berusaha, tak kan Nor dah give up."

"Nor memang berusaha. Tapi tak tahu kenapa, Nor jadi sensitif sangat. Ada masanya kata-kata gurauan pun buat hati Nor sakit. Rasa macam menyindir Nor je. Jumpa saudara mara dan kawan-kawan dah tak seronok lagi macam dulu." Ceritanya lagi.

"Orang perempuan memang sensitif, apatah lagi orang macam kita ni. Tambah pulak masa nak datang bulan ataupun tengah period. Lagilah. Nor sabar ya! Anggap saja semua yang keluar dari mulut mereka tu hanya perbualan kosong yang tak lekat di hati." Mudahnya berkata. Tapi itu tidak mampu menolak kenyataan yang rasa itu terlalu menekan perasaan. Saya dah lalui. Jauh lebih berbisa, jauh lebih lama menahan kecewa, sehingga ianya lali pada hati.

"Kak Su boleh buat tak tahu ke kalau mereka cakap macam-macam pada kak Su?" Soalnya. Mungkin tak puas hati dengan apa yang saya kata. Saya tahu, bukan mudah untuk melupakan.

"Kena cuba. Kak Su tak nak tunjuk diri lemah depan mereka. Bukan boleh tolong pun." Meratapi nasib diri bukan penyelesaian. Juga ia langsung tidak dapat melegakan perasaan.

Ingatan mengimbau pada serpihan masa yang pernah berlaku satu ketika dulu. Jemputan kenduri saudara jauh, saya terima dengan hati terbuka walaupun hanya jemputan saat-saat akhir melalui kakak. Kehidupan di asrama ketika sekolah dan kemudian bekerja jauh, membuatkan hubungan saya dengan keluarga lain agak terjarak. Tak ramai saudara mara yang saya kenal.

"Anak dah berapa?" Tiba-tiba soalan itu muncul dari mulut perempuan separuh umur yang rasanya hampir seusia dengan arwah bonda.

"Belum ada rezeki lagi Mak Jah." Saya menjawab sambil memegang gelas yang berisi air. Meneguknya untuk menghilangkan dahaga dek cuaca yang membahang. Langit yang cerah tanpa awan. Hari yang cukup sesuai untuk berkenduri.

"Tak ada lagi? Dah berapa lama kawin?" Soalan biasa yang dah dijangka.

"8 tahun." Ringkas. Rasa cuak mula memenuhi lompang hati.

"Dah lama tu. Agaknya kau ni mandul macam mak kau jugak." Katanya bersahaja.

"Mak saya mandul? Dah tu mana datangnya saya tiga beradik ni?" Saya merenung wajahnya dengan perasaan bercampur. Sedih. Geram.

"Memang la dia beranakkan kau tiga orang, tapi lambat benar. Tengoklah jarak kau dengan kakak-kakak kau tu. Nak dapat sorang-sorang bukan main susah lagi." Entah setakat mana pemahaman dia tentang makna sebenar perkataan yang baru disebutkan itu.

"Tapi dapat jugak kan!" Tegas saya.

"Mujurlah dapat. Ehh... kakak kau dah berapa anak?" Dia mengusul lagi. Entah ke mana arah perbualan ini mahu di bawa.

"Sepuluh. Mereka senang, saya je yang susah sikit." Jawab saya sambil cuba menenangkan hati, membawa diri kembali ke dunia realiti.

"Tak pe. Adalah tu nanti. Lambat sikit macam arwah mak kau jugak agaknya." Mak Jah tersenyum nipis. Senyuman yang tak dapat saya baca suara isi hatinya.

"InsyaAllah, harapnya adalah rezeki saya lepas ni." Balas saya dengan senyuman menutup luka.

"Kak Su, macamana Nor nak berhadapan dengan mereka yang mulut pedas tu. Nor sedih sangat tidap kali mereka tanya pasal anak."

"Semua ni sementara je Nor. Bukan selalu jumpa mereka pun. Kalaupun yang jumpa hari-hari, mereka tak akan larat nak sebut selalu. Fikir secara positif. Mereka bertanya bukan nak mencungkil kelemahan kita. Sekadar ambil berat sebab sayangkan kita. Dan apa yang disebut tu selalunya doa. Mana tahu, nanti akan makbul. InsyaAllah Nor, kalau dah ditentukan rezeki kita, akan ada satu hari nanti. Apapun yang Allah tetapkan, ada sebab yang mungkin kita tak tahu."

Mandul. Perkataan yang cukup tajam untuk menghiris hati wanita yang dah berkahwin. Itu gambaran ketidaksempurnaan diri yang cukup memilukan. Naluri keibuan yang tak dapat dipenuhi sememangnya satu siksaan jika terus dibiarkan tanpa sandaran.



'Ya Allah Ya Aziz, Engkaulah pembekal kekuatan. Berikan kekuatan pada kami untuk melalui laluan hidup yang telah Engkau tentukan. Jangan biarkan kami rebah tanpa sandaran iman. Jangan biarkan keluhan menjadi kulat dan kudis di hati kami yang akhirnya membawa kami jauh dariMu Ya Allah. Hilangkanlah gelora di hati dan tenangkanlah jiwa kami Ya Rabbi.'

Sep 24, 2010

10 hari diHari Raya!

Antara lagu raya yang paling saya suka ialah nyanyian M.Nasir...

Satu hari di Hari Raya
Ku lihat cahaya bersinar indah
Langit cemerlang tak terkira
Tanda kuasa yang Maha Esa
Memberi nikmat pada manusia

Satu hari di Hari Raya
Ku dengar irama yang sungguh indah
Ku coba mendekati padanya
Kira irama itu adalah
Suara pujian pada yang Esa

Satu hari di Hari Raya
Aku menangis tanda gembira
Aku menangis tanda ku cinta kepadaNya

Satu hari di Hari Raya
Ku lihat wajah suci ibuku
Ku lihat wajah kasih ayahku
Ku gembira
Mungkin inilah dia kebahagiaan
(Sedihhh bila dengar lagu ni...)

Entry kali ni, saya cuba buat sesantai mungkin. Ermm.... Saja nak kongsi kisah saya 10 hari terawal bulan Syawal... Jeles tengok entry panjang tiny bercerita tentang sambutan rayanya. Ahaks...

Sehari sebelum raya
Tolong mak mertua siang itik serati seramai 4 ekor untuk hidangan pagi raya. Seekor serati bersamaan dengan 2 ekor ayam. Kiranya 8 ekor lah. Menu special ma setiap kali raya ialah nasi minyak dengan gulai ayam/itik/serati Kelantan style.

Raya pertama.
Pagi raya, acara breakfast kami bermula dengan membasahkan mulut dan perut dengan hidangan istimewa ma. Kemudian bersolat sunat Aidilfitri dimasjid berdekatan. Balik, bersalaman dan bermaafan tapi tak sampai ke tahap bertangis-tangisan.

Selepas menyiapkan hidangan buat tetamu yg bakal datang, abang mencuit saya, mengajak ke rumah mak saudara kesayangannya untuk melepaskan kerinduan pada nasi dagang.

Saya memohon izin ma untuk balik kg, nak ziarah pusara arwah mak, ayah dan neneks. Niat tak kesampaian kerana memenuhi ajakan kakak melawat mak saudara dan sepupu. Jemputan kenduri di rumah sepupu (sebelah saya) pada raya ketiga terpaksa saya tolak. Kaki dan tangan saya telah 'dirantai' dek susun perkara adik ipar. Selesai solat Jumaat saya dah balik ke rumah mertua, sebab malamnya cousin (sebelah abang) akan diijabkabulkan. Erm... macam la tak de hari lain nak kawin. Raya pertama yang dia pilih. Ish...

Raya kedua
Seawal pagi, sesudah subuh lagi kami sudah ke rumah mak saudara untuk bantu apa yang patut - berkenduri kesyukuran meraikan anak perempuannya yang nikah semalam. Petangnya, kami mohon diri untuk balik.

Di rumah, persiapan untuk perkahwinan adik ipar menunggu giliran. Bunga telur dan nasi manis dua warna disediakan sebagai cenderahati untuk mereka yang akan sertai majlis adik di Terengganu nanti.

Raya ketiga
Pepagi lagi dah ajak hubby ke pusara arwahs memandangkan raya pertama kami terlepas. "Maaf mak, ayah, nenek's, auntie's dan uncle's. Walaupun raya pertama Su tak sempat ke sana, doa dan bacaan suci tetap Su kirimkan buat kalian."

Hari ini cousin yang kawin nak di export ke rumah mertua. Mulanya ia dimasukkan dalam susun acara, tapi memandangkan acara itu agak lewat, niat itu terpaksa dibatalkan. 11.30 pagi kami bertolak ke Terengganu.

Malamnya adik ipar bersalaman dengan tok kadi untuk acara 'bertukar geran'. Sehabis urusan bersalaman, bergambaran dan bersantapan nasi kunyit dan nasi dagang (versi Terengganu), kami pulang untuk mula mengeramkan telur ayam untuk hantaran. Penyu di pantai terpaksa saya biarkan menangis sendirian.

Raya keempat
Tengahari, saya and the geng menyerbu rumah 'beras' (biras la) baru tanpa iringan riuh paluan kompang (walaupun tak ada, tapi tetap meriah, tetap indah, percayalah...). Hanya membawa perut untuk di isi sambil mengelek hantaran pilihan (hantaran jam yg saya usung, sebab itu antara yg paling ringan. ahaks...).

Rasanya hampir 80 orang (termasuk si comels dalam dukungan) yang menyertai acara menyerahkan anak teruna kami kepada keluarga baru. Nasib baik 'besen' (besan la) baru mertua saya tu tumbangkan dua ekor lembu, jadi tak adalah terkejut sangat melihat rombongan kami yang mengalahkan rombongan Cik Kiah.

Lewat petang kami pulang. Tok Bali menjadi singgahan untuk melihat remang senja yang kemerahan.

Raya kelima
Kak Ngah dan keluarga dah balik selepas beberapa hari beraya di Kedah. Saya mohon keizinan mertua untuk men'ghaib'kan diri buat seketika. Mahu berkumpul, melepaskan rindu pada keluarga sebelah saya; Kak Ngah (dan kuncu-kuncunya), kak Dah (berserta menteri dan rakyatnya) dan adik-adik.

Menu raya kami kali ini biasa saja. Hidangan tengahari, kuey tiew goreng dan yong tau fu. Petangnya (dinner le tu) nasi berlaukkan belut goreng, telur dadar, kerang rebus dan ulam-ulaman. Simple.

Penutupnya kami sudahi dengan solat Maghrib berjemaah dan membaca surah Yassin, hadiah buat arwah yang dah tiada. Sob.. sob...

Raya keenam
Kembali sibuk untuk persiapan kenduri menyambut menantu baru. Segala persiapan disemak buat kali terakhir. Segala bahan mentah dan rempah ratus ribu harus di sediakan untuk urusan masak memasak esok hari.

Alahai... Sedih hati saya melihat lembu di laman sudah hilang selera makan memandangkan esoknya ia bakal ditumbangkan. Ohh... kesian dia. Tapi... Erm... sedapnya gulai kawah yang bakal dibelasah esoknya. Hoho...

Raya ketujuh
Sesudah Subuh, kami memulakan tugasan. Hidangan untuk tetamu sederhana saja; gulai kawah (daging), ayam percik dan ayam goreng, acar timun, ikan kering, sambal garam (erm... macam sambal belacan jugak, tapi kami gunakan lada kering tanpa dimasukkan belacan). Pembasuh mulut ialah agar-agar merah hijau dan buah-buahan (dokong dan rambutan) penghujung musim.

Tetamu jemputan datang tak putus-putus, malah malamnya pun kami masih menerima tetamu. Adat di kampung, kunjungan tetamu tak boleh ditolak, walaupuh kami tuan rumah berdiri pun dah tak tegak.

Raya kelapan
Acara pembersihan saki baki alatan memasak dilakukan.

Tengahari, saya menerima panggilan yang memberitahu Ayah Soh (sepupu arwah ayah) meninggal dunia. Innalillah.... DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Dia meninggal dipagi Jumaat, penghulu segala hari. Alhamdulillah... Syukur, Allah memilih hari dan bulan yang indah untuk menjemputnya.

Tika kami tiga beradik + pasangan sampai, kami hanya sempat melihat tanah-tanah yang mula diturunkan di liang lahad. Semoga Allah melapangkan ruang kuburnya dan mengumpulkan beliau di kalangan hambaNya yang dikasihi. Amin...

Raya kesembilan
Bawa adik dan wan (mak tiri) ke KB. Jalan-jalan (memamg kena jalan walaupun berkereta), makan-makan (perut kena la isi) dan beli bayar belah (tak kan nak beli belah je, tak bayar, kan?).

Petangnya saya dan hubby balik ke rumah kak Dah, dan di bekalkan dengan buah salak, dokong dan rambutan (setiap satu separuh guni). Tambah lagi kuih raya 2 bekas, hasil buah tangan Ana (anak buah). Rezeki tu... Alhamdulillah.

Raya kesepuluh
Balik ke sarang dan ke medan perjuangan untuk meneruskan kehidupan dirantauan!! Fuh... nasib baik tak banyak kenderaan memilih hari ini untuk pulang, lalu lancarlah perjalanan kami sepanjang laluan.

Sesampainya di rumah menjelang malam, kami memenuhi jemputan jiran yang mengadakan makan-makan sempena Syawal. Alhamdulillah... Syukur Ya Allah... Segala urusan kami dipermudahkanNya....

Buat semua pasangan yang disatukan pada Syawal ini, semoga Allah memberkati rumahtangga yang dibina, menjauhkan cabaran yang tak mampu dihadapi dan memberikan segala kebaikan dunia dan akhirat buat kalian.

Berdasarkan susun perkara diatas, satu soalan ingin saya tanya, anda rasa.... berayakah saya? Berapa lama?
:D

Aug 31, 2010

Sedihnya hati ini...

Pandangan saya jatuh kepada tajuk akhbar yang terpampang. Mulut melopong. Keluhan dilepaskan. Kesal.

"MasyaAllah... ada kes buang bayi lagi! Kita yang nakkan anak, tak dapat-dapat. Yang dapat, dibuang macam sampah. Mana peginya kemanusiaan mereka ni?"

Tiba-tiba saya rasa nak membebel. Entah pada siapa. Tapi sekadar nak mengeluarkan apa yang terlintas di minda.

Bagaimana nak perbaiki kepincangan yang ada dalam masyarakat kita sekarang ni? Di mana harus kita bermula? Ia tak akan berkesudahan dengan hanya memberatkan hukuman kepada pesalah laku. Malah untuk manusia lalai yang dipenuhi dengan nafsu, hukuman itu seolah tidak berbekas diminda dan hati mereka.

Tak akan mampu mengurangkan statistik andai hanya beberapa pihak yang berusaha. Ibarat kata, mana mungkin pesakit kencing manis akan sembuh dengan hanya makan ubat dan dalam masa yang sama masih meneguk air tebu 5 gelas sehari. Tak campur lagi dengan air tin dan teh tarik mamak, donut dan trifle yang bahan utamanya adalah gula.

Tak akan berubah nasib generasi akan datang sekiranya hanya ustaz-ustaz,alim ulama, badan NGO dan sebahagian individu tertentu yang berusaha berkempen untuk menyedarkan dan menyelamatkan akhlak masyarakat kita yang semakin tenat. Tapi dalam masa yang sama, kita tak sedar diri sendiri dan keluarga terdedah dengan virus yang boleh merosakkan jiwa dan hati.

"Apa nak jadi dengan masyarakat kita sekarang ni. Sifat kemanusiaan dah hilang, kebinatangannya menyerlah. Ish... geram betul la. Astaghfirullah hal azhim..." Luah saya pada suami, dalam bicara santai kami. Tangan saya masih membelek helaian kertas yang bertulisan kecil itu.

"Orang sekarang ramai yang kurang beri perhatian pada fahaman agama. Tu yang nafsu mudah sangat kuasai pertimbangan hati." Suami membalas.

"Statement tu tak tepat. Ramai yg faham, tapi tak amalkan. Amal apa yg tahu itu penting." Saya meluahkan apa yg turut bermain di minda.

"Samalah lah tu... Itulah yang abang maksudkan tadi." Katanya tak mahu mengalah. Saya tergelak kecil. Faham dengan sikapnya.

"Su ni kiranya mind reader abang lah ye? Abang cakap sekerat, Su dah tahu apa sebenarnya yang abang nak cakap..." Dia tersengih mendengar kata saya.

Bicara santai kami tak terhenti di situ. Niat hati mahu mencari 'ubat' bagi 'penyakit' yang dibimbangi.

Ermm... Rasanya bukan ubat yang dicari, tapi 'pendinding' diri yang mahu dikuasai. Pendinding dari kemusnahan dunia dan akhirat.

Ya Allah... Mudahkanlah jalan ilmu bagi kami, berikanlah kami kefahaman yang benar dan sebaik-baiknya serta jadikan kami hambaMu yang beramal dengan sebaik-baik amalan.

Aug 12, 2010

Cerita Cinta

Jarinya ada kesan luka dan bekas balutan plaster. Terhiris semasa proses menyediakan makan malam hujung minggu lepas.

"Laaa... apasal toreh jari tu sikit sangat. Sesekali kena, potonglah lebih sikit, baru nampak jelas bukti masuk dapur. Terus husband bagi cuti masak seminggu. Kan bagus gitu." Usik saya. Laila, teman sekerja saya yang manis, tergelak silu.

"Kak, masa abang balutkan jari saya ni kan, dia kata... Mesti saya ada buat salah dengan sesapa ni. Dengan suami ke... dengan mak ayah ke... Dosa dengan suami dan mak ayah cepat dapat pembalasan katanya. Pandai je dia nak mengenakan saya." Dia bercerita seiring dengan tawa ceria.

"Betul la tu." Balas saya cepat.

"Betul?" Dia membutangkan matanya.

"Ya dik sayang... betulll... Selalunya begitu. Cuma kita je yang kadang tu tak sedar. Setiap musibah yang berlaku pada kita tu adalah ruang untuk kita muhasabah diri. Mungkin itu teguran dari Allah akan perbuatan kita."

Tiba-tiba minda saya menempah ingatan pada perbualan beberapa minggu yang lepas...

"Geram betul!!. Pendapat saya ni bukan nak dengar. Tiba-tiba dia beli. Bukan murah. Beribu tu... Duitnya pulak...bla.. bla..bla..." Hani melepaskan perasaan terkilan yang menghimpit.

Beberapa hari selepasnya saya terima panggilan telefon darinya...

"Awak tahu tak, selepas mengadu dengan awak hari tu, malamnya saya sakit sangat. Kaki dan pinggang saya lenguh yang amat, sampaikan tak boleh nak tidur. Esoknya pun. Cik abang saya tolong urutkan. Tapi tak berkesan. Pastu dia tanya... Kenapa sakit sangat ni... Ada buat kerja apa-apa ke? Saya diam. Fikir kejap. Lepas tu saya cakap yang saya ada buat salah dengan dia, dan saya mintak maaf. Tak lama lepas tu, sakit saya tu hilang. MasyaAllah..." Bersungguh-sungguh dia bercerita. Di hujung talian, saya tersenyum. Bukan senyuman sindiran, tapi senyuman tanda bersyukur kerana Allah bukakan fikirannya untuk sesuatu yang seindah itu.

Situasi begitu bukan hanya sekali saya dengari. Malah saya juga mengalami. Tapi dengan corak dan cerita yang berbeza. Mana mungkin kita sebagai hamba Allah yang lemah mampu bersih dari dosa. Salah kita dengan Allah dan silap kita sesama manusia sering terjadi samada di atas atau di bawah sedar.

Kami mohon keampunanMu Ya Allah, Ya Ghaffar...

"Jadi memang betullah, pembalasan Allah tu akan ditunjukkan di dunia lagi?" Tanyanya lagi meminta kepastian.

"Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita, ada rahsianya. Muhasabah diri itu penting. Kesakitan dan dugaan adalah touch point untuk kita fikir balik apa yang telah dilalui. Walaupun sikit, tapi tak ada ruginya kita ambik masa untuk nilai balik setiap perlakuan dan tindakan kita. Bagi Kak Su, untuk bahagia dalam hidup, dalam rumahtangga, mulut kena ringan untuk mohon keampunan, hati kena sedia untuk memaaf dan melupakan, dan paling penting selepas tu ialah apa juga perkara yang menimbulkan situasi tegang perlu segera diperbetulkan." Balas saya seringkas mungkin.

Dia diam dan kemudian mengangguk perlahan. Saya tak mahu bertanya apa yang ada dalam fikirannya. Biarlah apa juga cerita rumahtangga, tersimpan kemas di dalam hati. Semoga ia menjadi warna bunga yang menambah seri kanvas kehidupan.

Nota : Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat yang sudi mengunjungi. Marilah kita sama-sama tanamkan keazaman untuk menjadi insan yang lebih baik dari diri kita yang semalam.

Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya dan menjadi permulaan untuk perubahan kearah kebaikan yang berterusan. Amin.

Jul 16, 2010

Kurang Dan Lebih Kita

Dia gelisah. Hati gusar dengan masa depan yang tak pasti.

"Kak Su tak pe la... ada suami. Saya tak ada. Entah bagaimana saya nak jalani hidup tua nanti. Hidup sorang-sorang, pasti sunyi." Luahan yang jelas menyatakan ketakutan terhadap bayangan masa depan yang tak pasti.

"Arin kan ada anak. InsyaAllah tak akan sunyi." Saya cuba meredakan, mengingatkan dia akan 'harta' yang dia miliki.

"Anak-anak akan ada keluarga sendiri nanti. Mereka belum tentu akan jaga dan tinggal dengan saya." Risau.

"Antara Kak Su dan suami, tak tahu siapa yang akan 'pergi' dulu. Dibuatnya dia yang dijemput dulu, tak ada bezanya antara kita." Kemungkinan yang harus di hadapi. Kami harus bersedia kerana saat itu akan tiba. "Walaupun mungkin anak-anak Arin tak tinggal bersama, InsyaAllah mereka akan datang menjengok." Saya cuba menanam keyakinan di hatinya.

"Itu kalau mereka datang..." Keluhnya lagi. Resah itu tak langsung berkurang.

"Mereka tak akan abaikan Arin kalau mereka ambil berat tentang ajaran agama... Dengan ilmu agama, mereka akan faham tanggungjawab mereka sebagai anak dan hak seorang ibu yang perlu dipenuhi." Siraman ilmu Allah yang akan mencambahkan iman di dada anak-anak. Terlalu penting untuk diabaikan oleh setiap insan yang bergelar ibubapa.

"Ermm... Tapi Kak Su memang bertuah sebab ada suami menemani bila tua nanti..." Dia kembali kepada pernyataan yang asal. Mesej yang cuba saya sampaikan, nampaknya berlalu begitu saja. Mungkin kerana gelisah hati yang menghantui terlalu menebal menguasai mindanya.

"Alhamdulillah... Allah rezekikan Kak Su dengan suami yang baik. Dan Arin juga patut bersyukur sebab Arin ada apa yang Kak Su belum dapat. Anak-anak..." Saya mengingati lompang harapan yang ada dalam kehidupan. Hampir mengalihkan perhatian saya tentang isu siapa yang perlu diselesaikan. Saya menarik nafas lalu menyambung.

"Anak atau suami, mereka hanya pinjaman Allah pada kita... Bila diambil dan bagaimana cara, bukan kita yang tentukan. Janganlah di fikirkan sangat kekurangan diri, nanti pedihnya menjadi-jadi." Saya menasihati. Nasihat itu untuk diri sendiri sebenarnya.

"Saya tahu. Tapi tak boleh nak lupakan macam tu saja. Saya risau... saya takut... saya mengharap... dan kemudian fikiran saya jadi tepu. Beku."

"Cubalah alihkan segala perasaan tu pada Allah. InsyaAllah, kalau kita selalu ingat Allah, hati akan jadi tenang." Lagi pesanan untuk diri sendiri yang ingin dikongsi. Dia diam dan mengeluh panjang. Wajah kecewanya jelas.

Nota : Saya menghadiri seminar 7 Habits of Highly Effective People. Salah satu topik penting ialah kemahiran mendengar. Bila diingatkan kembali perbualan ini, rasanya saya bukan pendengar yang baik. Dia meluahkan rasa untuk didengari, bukan untuk mendengar nasihat.

"If we were supposed to talk more than listen we would have been given two mouths and one ears." - Mark Twain

Jun 29, 2010

Kerana sayang...

Kenapa belajar?

Belajar sebab nak...
Kerja baik dan gaji banyak, insyaAllah, rezeki tu ada dimana-mana.
Nak meneroka ilmu baru? Jalan ke arah gedung pengetahuan memang sentiasa terbuka luas.
Mahu dihormati dan disegani dek kelulusan yang tinggi? Pasti ada yang akan mengkagumi.
Sekalipun hanya sekadar mahu menilai tahap kemampuan diri... tentu ianya dipermudahkan Allah.

Namun itu semua matlamat dunia semata.

"Bila belajar, disamping memenuhi kemahuan peribadi, niatkan kerana Allah. InsyaAllah, dunia dapat, akhirat pun dapat. Kalau belajar tanpa niatkan kerana Allah, dapat dunia je... Dapat ilmu tapi tak dapat pahala, kan rugi tu!" Nasihat saya pada anak-anak buah dan adik-adik, lewat perbualan santai bersama mereka bila berkesempatan.

Dulu... tak ada sesiapa yang menasihati saya. Saya belajar tanpa matlamat, tanpa cita-cita tertentu. Mungkin berbekalkan sedikit keinginan untuk memperbaiki kehidupan, saya melangkah mencari ilmu dunia. Tak pernah ada niat untuk belajar kerana Allah.

Hati ngilu tak semena-mena...

Tak tahu kenapa... tak bersebab. Mungkin ianya kesan dari sedikit sentuhan kasih Allah yang mahu saya berpesan untuk generasi akan datang, berdasarkan sekelumit pengalaman.

"Belajar rajin-rajin, cari ilmu sebanyak mungkin... Ilmu dunia dan ilmu akhirat. Hanya itu harta yang tak boleh dirampas dan dirompak. Yang tak akan hilang dan tak akan berkurang. Yang boleh membantu saat diri dalam kesesakan dan kesesatan.... Jangan sesekali mengharapkan harta warisan, kerana ia hanya akan membawa perpecahan jika tidak dikelola dengan iman... Jangan sesekali mengharapkan keluarga dan teman, kerana mereka manusia biasa yang ada batasan kemampuan..."

Saya membebel panjang. Dengan bahasa biasa dan ayat yang lagi berjela-jela. Entah di dengari dan meresap ke hati atau hanya melintasi rongga telinga dan menghilang tanpa kesan.

"Ya Allah... aku meluahkan apa yang diharapkan dapat memberi sedikit suluhan pada perjalanan hidup mereka. Liku yang pernah aku lalui, tak kuharapkan mereka akan lintasi. Bantulah mereka Ya Allah... aku sayangkan mereka semua... dan aku tahu kasih sayangMu pada mereka berlebih-lebih lagi... Lindungi mereka dari laluan berliku dan berlumpur Ya Allah... Lindungi aku dari dugaan yang tak mampu ditahan Ya Rahman..."

Kerana sayang... aku berpesan.

May 19, 2010

Manusiakah kamu?


Satu sindiran buat manusia-manusia yang telah hilang kemanusiaannya.

Begitu mudah membuang satu anugerah yang bukan semua orang mampu memilikinya. Mungkin bagi mereka, ia bukan anugerah tapi sampah yang perlu dibuang dan dilupuskan.


Zaman jahiliah, mereka cuma membunuh anak perempuan dengan menanam anak itu hidup-hidup. Zaman kita?

Teringat seruan seorang ustaz dalam satu slot ceramah yang pernah saya hadiri.

"...Bala dari Allah akan tiba sebagai hukuman akibat bagi masyarakat yang akhlak penduduknya dah rosak dan musnah. Dan ia akan menimpa bukan sahaja pada orang yang berdosa tapi juga yang taat pada Allah.... Jadi apa yang kita perlu buat? Amal makruf nahi mungkar... Dekatilah Allah, tambahlah amalan kerana insyaAllah, ia akan mencegah kemungkaran. Dan serulah keluarga kita untuk kembali ke jalan Allah, ajaklah jiran tetangga kita, ingatkanlah sahabat-sahabat kita..."

Ya Allah... selamatkanlah masyarakat kami dari kemusnahan akhlak, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharakanlah kami dari mala petaka akibat dari kekurangan iman kami... Ya Allah Ya Rahman, Kau bukalah hati dan jiwa kami untuk menerima cahayaMu, agar kami tak sesat oleh mehnah dunia yang meruntuhkan....

May 12, 2010

Musim Cinta Sudah Berlalu... Haruskah Dibiarkan?

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, "ya" atau "tidak" sahaja yang tertera di layar telefon bimbit.

Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi...semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.

Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau "bergayut" berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin "kami" ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyenyap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi 'ahli falsafah' semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.

Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati.

Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggung jawab? Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita "tanggung" di dunia, "disoal" di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab. Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah.

Rumah tangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga... umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita.

Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten.

Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi? Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan "fail lama" untuk mencipta keserasian baru.

Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman? Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada "mood" untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati.

Dan itu semua adalah berpunca darinya lalai dan alpanya hati daripada zikirullah (mengingati Allah).

Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." Ar Ra'd:28

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggung-jawab. Walaupun berat rasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah. Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah... dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunnah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.

Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah "pohon" tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali, ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggung jawab:

* Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
* Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
* Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
* Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
* Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
* Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
* Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati... itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Apr 6, 2010

Salah saya...

Mungkin kamu telah anggap saya sebagai teman yang mudah melupakan teman. Saya yang dulunya berjanji akan bersahabat sehingga ke tua, sentiasa bertukar cerita dan berkirim berita tapi tidak mengotakan janji yang dikata. Teruk saya ni kan?

Sememangnya masa telah menjarakkan kita. Kehidupan kita tak sama lagi. Masing-masing punya tanggungjawab yang menagih segala perhatian dan keringat yang ada. Bila tamat saja pengajian, kita berpecah mengikut aliran kerjaya dan pasangan akad. Kemudian lahir pula buah-buah cinta yang memerlukan perhatian dan mengalihkan tumpuan.

"Oklah... tak boleh nak borak panjang ni, anak aku dah menangis tu..."

"Suami aku dah nak balik, aku kena pegi ni...." Dan gagang telefon di letak. Cerita yang ingin di sampaikan tergantung begitu saja.

Keutamaan telah berubah. Sahabat dan kawan-kawan telah jatuh ke ranking yang entah ke berapa... Kerja, suami/isteri, anak-anak dan keluarga lebih utama. Walaupun kita pernah tidur setilam sebantal, makan sepinggan dan minum secawan, tapi itu tak boleh dijadikan ukuran untuk ikatan hari ini. Ia menjadi laluan hidup yang kini tersimpan kemas dalam lipatan kenangan.

Selalu saya sematkan dalam hati... mahu menjadi sahabat yang baik, namun adakala tak diizinkan Allah. Saya gagal memenuhi keazaman sendiri. Corak dan liku hidup yang dilalui, mencipta keterbatasan yang bukan disengajakan. Saya... dan juga kamu. Saya faham keadaan kamu... dan kamu? Fahamkah keadaan saya?

"Saya dah selamat melahirkan anak pada .... Nanti awak call lah saya ya!" Mesej diterima. Alhamdulillah... Saya gembira untuk kamu. Kamu memang bertuah.

Jejari ini terlalu berat untuk mendail. Maaf. Saya tak ingin mendengar suara ceria kamu bercerita, kerana ia mengingatkan saya tentang kekurangan diri yang ketara. Saya mengabaikan permintaanmu bukan kerana cemburu... cuma saya bimbang kamu akan terdengar suara saya yang bergetar oleh sendu.

Malah saya lebih bimbang kamu tak sedar perubahan suara saya dan sudahnya saya akan berkecil hati. Prihatinkah lagi kamu pada diri dan perasaan saya?

"Salam... bz ke?" Saya menegur. Berkali-kali... Diam. Dan ada sekali kamu membalas mesej. "Bz jugak. Bye" Dan sepi kembali lagi. Saya faham, tugasan dan tanggungjawab kamu pada kerja dan keluarga menjadi keutamaan.

"Free to chat?" Diam, tanpa balasan darimu. Mungkinkah berkecil hati? Mungkin juga kamu tak dapat mesej yang saya hantar. Mungkin kamu tak perasan ada offline/online mesej yang menjengah.

Maaf... maaf dan maaf... Saya bukan sahabat yang baik agaknya. Ya... Saya memang bukan sahabat yang baik. Saya bersalah kerana tidak berkongsi kegembiraanmu. Saya gelisah kerana mengabaikan janji dahulu.

Saya pasti kamu bahagia dengan suami dan anak-anak tercinta. Saya juga, bahagia dan bersemangat dengan bantuan suami yang penyayang. Alhamdulillah, syukur atas rezeki Allah. Saya rasa kuat dengan adanya suami disisi saya. Tapi ada ketika saya tak begitu, tak sekuat yang kamu sangka.... Masih menadah tangan, menagih bekalan tabah dariNya.

Tahukah kamu, saat kamu mendukung anugerah impian, saya pula telah kehilangan benih harapan. Hanya seketika Allah meminjamkan rasa itu. Rasa bahagia bila diri ditemani oleh cahaya cinta yang bercambah di rahim ini.

Meminjam dan mengambilnya kembali, itu hak Allah. Saya hanyalah hamba, tak berdaya menahan ketentuanNya. Cahaya mata yang diharapkan, air mata yang menjadi gantian. Dapatkah kamu rasa pedihnya jiwa saya...?

Kembara zuriat ini masih akan diteruskan... walaupun tanpa kata-kata galakan dan semangat dari insan yang bergelar teman.

Kekurangan diri ini bukan salah kamu... ianya salahku. Sekali lagi... maaf andai sikap saya benar-benar melukakan kamu.

Ya Allah... ku tagih, ku rayu dan ku mohon kekuatan dariMu.

Mar 24, 2010

Pedihnya hati ini....

Gerun.

Akhlak masyarakat kini semakin parah. Saya teringat beberapa kenyataan yang saya kumpul dan amat menakutkan.

Yang saya dengar dan baca, cukup membuatkan hati menjadi gelisah.

Dalam satu sampel kajian di Selangor yang dilakukan oleh pensyarah UKM keatas pelajar sekolah menengah, hampir 90% pelajarnya telah hilang kehormatan diri, dengan kata lain pernah melakukan melakukan hubungan seks. Bagaimana dengan anak-anak dan adik-adik kita? Terjagakah mereka?

Ceramah oleh Dr Harlina dalam sesi terakhir untuk siri Pembentukan Keluarga Bahagia anjuran Unit Mubalighat, memberitahu bahawa pendedahan terhadap hubungan antara lelaki dan perempuan telah bermula seawal umur anak-anak. Sedar atau tidak, setiap rancangan kartun dan permainan yang anak-anak selalunya berpasangan. Mickey and Minnie, Donald dan Daisy, Barbie dan Ken... dan banyak lagi. Semua itu menimbulkan tanggapan awal di mata anak-anak kecil kita bahawa hubungan antara jantina itu perkara normal dalam masyarakat.

Seorang Dr non-muslim yang memiliki klinik persendirian mengakui melakukan pengguguran atas permintaan ramai. Ada ketika, sebanyak 20 kes dilakukan hanya pada hujung minggu. Untuk kerja tak sampai 15 minit, pulangan yang di perolehi cukup lumayan. Paling mengejutkan bila peratusan tinggi mereka yang terlibat adalah dari orang melayu beragama Islam! Kebanyakan mereka terdiri dari pelajar sekolah, pelajar IPTA dan pekerja kilang. Apa dah jadi dengan masyarakat Islam sekarang? Pelajar IPTA, bijak dalam pelajaran tapi tewas bila bermain perasaan. Di mana silapnya?

Satu kisah sedih dan mengejutkan. Seorang ibu berumur 28 tahun yang baru melahirkan anak ke-6 tiba-tiba bertanya pada Dr, adakah dia boleh menjaga anaknya sendiri kali ini? Hairan bila soalan sebegitu dikemukakan. Bukankah anak itu milik ibubapa. Bila di siasat, rupanya kesemua anak yang pernah dilahirkan adalah anak luar nikah dari 3 teman lelaki yang berbeza. 5 anaknya yang pertama dilahirkan dan diserahkan kepada mereka yang sudi memeliharanya. Dijual atau di berikan begitu saja? Entah.

Saya membaca blog Saifulislam dan tertarik dengan statistik yang dikemukakan. 'Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!'.

Dan anak yang dibuang? Google saja kisah tentang kes pembuangan bayi, pasti anda akan melihat senarai panjang kisah dan tentang statistik yang jelas merunsingkan kita.

Anak yang digugurkan? Jika mampu dikutip statistik itu dan dicampurkan, pasti peratusannya lebih mengejutkan. Mungkinkan kita akan dapati yang setiap seminit, ada benih haram yang telah terbentuk?

Kenapa ramai orang Islam yang terlibat? Kerana syaitan sentiasa cuba menambahkan bilangan 'ahli' yang akan menemani mereka di neraka.

Sedarkah kita yang bisikan syaitan sentiasa berdesir, membuatkan mata hati kerapkali terpejam pedih? Buta pandangan minda, saat cinta dan nafsu digaul menjadi satu. Iman senipis bawang terbang melayang tak mampu digenggam.

Kepada yang membaca perkongsian minda ini, jika anda membacanya dari ayat ke ayat, saya mengharapkan ada hati yang akan 'tersentuh'. Saya membayangkan reaksi anda, mungkinkah akan menggelengkan kepala ataupun mencebik bibir. Atau sekadar tersengih dan mengatakan, "Biasalah tu. Mana ada manusia yang sempurna...."

Sejauh mana kesan kesedaran yang mengengah hati anda? Hanya Allah yang tahu, dan hanya anda yang mampu merasai.

Saya teringat ungkapan popular; 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Pasti ramai yang telah menghadamnya dan menyetujui benarnya kata itu. Tapi berapa ramai yang mengorak langkah untuk menambah iman dengan mendekatkan diri dengan Allah? Kenapa kesedaran yang sedikit tidak dijadikan turning point untuk memulakan langkah mencari kaedah pencegahan yang bakal menyelamatkan diri dan generasi akan datang?

Seoalan yang saya tak pernah lupa dan tak mahu saya lupa.... Bila kali terakhir saya menghadiri majlis ilmu yang melunakkan hati dan perasaan? Bila kali terakhir saya memeluk rakan jemaah masjid yang sentuhannya memberi kedamaian? Saya mahu berada di kalangan mereka, mahu sentiasa mencari halwa telinga yang meresap ke jiwa. Bukankah hati mudah kaku dan beku bila terlalu lama dibiarkan tanpa belaian kalam Tuhan?

Saya menulis bukan untuk menuding jari, saya menulis untuk berkongsi cetusan rasa hati. Keluhan pada diri sendiri. Apa yang saya dah sumbangkan untuk mencari pencerahan kepada zaman kemajuan yang gelap ini? Mampukah saya menyuarakan sedikit teguran dan seruan ke arah kebaikan? Ya Allah... lemahnya hambaMu ini. Ampun Ya Allah...

Tuhanku Allah Ar-Rahman Ar-Rahim, Kau bukalah hati-hati kami untuk menerima cahaya bimbinganMu. Kau kuatkanlah langkah kaki kami untuk menuju ke arahMu. Kau lindungilah jiwa kami dari sentuhan syaitan yang beracun. Kau tutuplah mata kami dari pandangan iblis yang mendorong. Kau tutuplah telinga kami dari bisikan nafsu yang mudah tersandung. Ya Allah... selamatkan kami dan generasi kami dari kemusnahan... selamatkan kami dunia dan akhirat....

Nota tambahan :
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah:
. Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
• Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128),
• Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)

Mar 9, 2010

Aku Pemandu (2) - Saman

Dulu, bila ke sekolah dan tayar basikal pancit, ada satu kedai mekanik yang akan kami tuju. Untuk tayar pancit, kalau cuma tukar 'ba' basikal, hanya 30 sen atau 50 sen saja. Kalau tukar tiubnya, tak sampaipun RM5. Ingat-ingat lupa. Sekarang? Saya tak tahu sebab dah lama tak beramah mesra dengan basikal.

Berbasikal memang seronok. Kenangan berbasikal semasa zaman sekolah memang manis.

Tapi cinta saya pada basikal mulai pudar bila kaki semakin panjang. Saya mula berjinak-jinak dengan motosikal kakak semasa berumur 11 tahun. Mahu menguji setakat mana kemampuan diri.

Belajar memandu motosikal tak sesusah belajar menunggang basikal. Asas menyeimbangkan badan dah ada, cuma memerlukan kaki yang kuat untuk memastikan motosikal tak terbalik ketika berhenti. Kedua kaki saya memang tak mampu mencecah tanah, tapi saya masih mampu menampung motosikal.

Ketika berada di darjah 6, saya pernah menunggang motosikal ke sekolah beberapa kali, tapi hanya separuh jalan. Saya tak ingat bagaimana arwah ayah, mak dan kakak boleh benarkan saya menunggangnya. Tapi saya hanya lakukan dengan kebenaran mereka. Itu pasti!

Sebenarnya mereka izinkan saya menunggang motosikal hanya di sepanjang jalan kampung yang tak sibuk. Bila sampai di jalan besar, saya perlu berjalan kaki. Apapun, saya cukup puas hati. Bangga lagi! Kebanggaan anak kecil kerana berjaya melakukan sesuatu yang saya rasakan agak luar biasa diusia saya. Perempuan, dan masih kanak-kanak!

Ketika di sekolah menengah, saya masih berbasikal ke sekolah. Motosikal itu milik kakak, dan saya bersekolah di pekan. Nak ke sekolah, mesti melalui balai polis, dan ada ketika mereka mengadakan sekatan. Dengan motosikal, saya hanya mampu menguasai jalan-jalan kampung saja.

Saya memohon lesen memandu L, di usia 16 tahun kalau tak silap. Bila berlesen, barulah saya berani menunggangnya di jalan besar. Tapi nasib saya tak baik bila saya mendapat saman pertama kerana saya tak tampalkan L di belakang motosikal. Panik. Bila di minta lesen dan IC, terus saya keluarkan tanpa sepatah kata.

Akui kesalahan diri dan menerima denda yang dikenakan dengan hati terbuka. Itu prinsip saya.

Mar 4, 2010

Aku Pemandu (1) - Terbang Di Awan

Dah lama saya tak menulis secara santai. Saya mahu, tapi kadangkala tak mampu. Selalunya terhenti separuh jalan, lantaran kesibukan, lantaran idea yang terbang melayang.

Entry bersiri Aku Pemandu mungkin tak berisi, kerana ia sekadar calitan kisah.

Kenangan sebagai seorang pemandu. Basikal. Motosikal. Kereta.
Banyak sekali ingatan yang tak mahu saya lepaskan sepanjang saya bergelar pemandu.

Pemanduan terawal tentulah basikal (pemanduan? Tak kisahlah. hehe). Dulu, tak mudah nak belajar basikal. Apatah lagi orang kampung dan susah seperti saya. Mana ada basikal kecil beroda 4 seperti yang ada sekarang.

Saya belajar mengayuh basikal seawal usia 6 tahun. Basikal tua yang berpalang kepunyaan arwah Ayah Aji (bapa saudara) menjadi sasaran. Dengan badan yang kecil, dan palang basikal yang menyusahkan saya menyeimbangkan badan, membuatkan saya seringkali jatuh. Sakit! Tapi saya tak mudah serik. Terus cuba dan cuba bila saja Ayah Aji beri kebenaran meminjam basikalnya. Tapi tak berjaya. :(

Lepas tu ayah beli basikal untuk kakak. Basikal tanpa palang. Apa lagi, memang lebih kerap dan mudah saya kerjakan. Akhirnya saya berjaya! Walaupun saya tak boleh duduk sebab terlalu tinggi, tapi saya tak kisah. Nikmat mengayuh basikal, tak mungkin saya lupa! Teruja sangat!

Bila masuk darjah 3, ayah belikan basikal untuk saya. Basikal kecil yang ada raga di depan. Letak beg sekolah. Dulu buku tak sebanyak sekarang. Saya mengayuh basikal ke sekolah yang jauhnya lebih kurang 3km dari rumah. Paling saya suka, bila ke sekolah diawal pagi saat kabus tebal. Terasa seolah terbang di angkasa merempuh awan (Memang awan pun kan, awan cumulus nimbus). Segar!

Dengan basikal itu juga, saya bantu arwah mak menghantar barang jualan. Diusik oleh budak lelaki, sehingga saya hampir menangis kerana geram.

Melihat aksi budak lelaki yang merempit dengan basikal, mengangkat tayar depan, membuatkan saya teringin mencuba. Ada sekali, saya cuba aksi tu untuk melepasi tali biri-biri nenek uang merentang di jalan. Tayar tak terangkat,tapi saya yang jatuh terguling sebab tali terbelit. Aduh... sakitnya tak terkira. Lutut dan tangan berdarah.

Selepas tu saya tak mahu cuba lagi, sampai sekarang. Serik! Kalau berjaya, pasti saya mempunyai sejarah sebagai minah rempit, kan? Hahaha...

Feb 24, 2010

Suara hati bonda

Peristiwa ini berlaku bulan lepas, semasa saya menghadiri satu Seminar Keluarga Bahagia anjuran unit Mubalighat. Kupasan hari itu benar-benar berkesan di hati saya. Tentang pentingnya doa buat anak-anak.

"...Kita sebagai ibubapa, bila nak berdoa untuk jodoh anak-anak, biarlah seawal mungkin. Sebaiknya 10 tahun lebih awal dari masa yang di jangkakan. Contohnya anak kita diharapkan atau dijangka akan berkahwin ketika umur 25 tahun, jadi semasa umur 15 tahun tu, dah kena doa untuk dapatkan jodoh yang baik. Ajar anak-anak berdoa untuk jodoh yang baik... Jangan hanya nak yang hensem, yang cantik, yang kaya dan banyak duit saja..." Uihh... awalnya! Bisik saya di hati. Saya cuba mengimbas kembali, bila sebenarnya saya mula memikirkan tentang jodoh diri. Rasanya masa di universiti kot. Itupun tahun 2, 3 atau 4. Entahlah saya tak ingat.

"Sekarang ni, kalau kita cakap pada anak-anak tentang jodoh pada usia seawal ini, mesti mereka akan jawab; 'Saya muda lagi, belajar pun tak abih lagi, tak nak lah fikir tentang kawin.' Saya dulupun macam tu, tapi sebenarnya itulah masa yang sesuai. Ye lah, kalau dah ada pakwe, hati dah terikat, yang busuk pun bau wangi je, yang buruk pun nampak elok je. Saya ingat lagi, masa saya masih sekolah menengah, saya terdengar yang ayah bagitahu mak saya, calon menantu bagaimana yang dia mahu dijodohkan dengan saya. Paling utama, yang beriman dan boleh jadi imam buat keluarga kami. Sekarang, saya tahu yang doa ayah saya tu dah dimakbulkan Allah, alhamdulillah... Jadi, doakanlah agar jodoh untuk anak-anak kita tu baik untuk dunia dan akhirat, biarlah dapat yang boleh jadi pemimpin buat anak isteri..." Begitulah lebih kurang apa yang dipahatkan di hati kami.

Di akhir ceramah, seorang ibu tunggal berkongsi kisah yang menyayat hati semasa sesi soal jawab.

"... Bila ditinggalkan suami, saya besarkan anak saya sendirian. Sampai sekarang saya tak kawin. Saya kerja jual goreng pisang dan nasi lemak untuk sara hidup kami. Susah macamana pun, saya tak pernah mintak pertolongan orang. Bila fikirkan perit dan susahnya hidup kami, saya selalu berdoa agar anak saya berjaya dalam pelajaran dan dapat kerja yang baik. Saya tak mahu dia susah macam saya. Tak lekang doa saya untuk melihat dia bahagia dan berjaya. Alhamdulillah, dia akhirnya dapat masuk universiti dan dapat kerja yang baik." Suaranya bergetar. Ada beban yang menyesak dada.

"Kemudian dia bertemu jodoh dengan suaminya sekarang. Saya tak kisah siapa pilihannya, yang penting dia bahagia. Bila mereka kawin, mereka pindah, tinggal di rumah sendiri. Tapi selepas tu, sampai sekarang menantu saya tak benarkan anak saya datang melawat. Tak pernah jugak kirimkan duit buat saya." Seketika dia berhenti, menarik nafas, mungkin mahu menghirup semangat yang hilang.

"Bila saya dapat cucu, hanya sekali kami jumpa, lepas tu tak ada lagi. sekarang dah bertahun-tahun mereka tak jengok saya, dan saya juga tak dibenarkan jumpa mereka. Saya tak kisah mereka tak bagi saya duit sebab saya masih ada simpanan dan masih mampu kerja untuk sara diri sendiri. Tapi saya rindukan anak dan cucu saya. Saya redha dengan apa yang berlaku." Ya Allah... tabahnya dia. Saya pasti tak mudah untuk dia mengharungi semua itu. Saya yakin Allah sayangkan dia, Allah sentiasa ada untuk membantunya dan membekalkan kekuatan padanya.

"Saya sedar saya silap kerana tak berdoa agar dia dapat suami yang baik, yang boleh bimbing dia dunia dan akhirat. Saya hanya berdoa agar dia berjaya dan bahagia dalam hidup. Lebih ke arah duniawi. Doa saya memang Allah makbulkan, sebab dia dah berjaya dan bahagia sekarang, tapi saya pulak ditinggalkan sendiri...." Akhirnya saya faham apa yang mahu dia kongsikan. Tentang pentingnya doa buat anak-anak.... Doa yang merangkumi segalanya, doa kebaikan dunia dan akhirat.

Semoga Allah membekalkan kekuatan buat dirinya, dan menyampaikan keinsafan buat anak menantunya...

Ya Allah Ya Waduud, Tuhan Yang Maha Pencinta...
Layangkan rasa kerinduan di sudut jiwa
Agar anakandanya akan pulang memeluk sang bonda...

Jan 15, 2010

Sembang Kedai Kopi

Pinggan-pinggan yang berisi penuh sebelumnya telah licin disapu dek garfu dan sudu. Paras air di dalam gelas juga sudah separuh surut disalur dek straw berwarna putih. Semuanya menuju ke satu distinasi; perut.

Kedai kopi, nama yang terlalu sinonim dengan saya. Semua kedai makanan kecil yang menyediakan minuman dan masakan panas digelar sebagai kedai kopi. Itu dulu. Disana... di kampung saya. Malah, arwah mak merupakan salah seorang pemilik kedai kopi. Harga secawan kopi dan teh jualan arwah hanya 50 sen atau 70 sen. Saya pun tak ingat.

Tapi di sini lain, Kedai Kopi yang saya kunjungi di sini lain sekali keadaannya terutama harga hidangan yang disediakan. Lebih kepada taraf restoran. Mungkin kerana lokasi ditepi tasik, mungkin kerana suasana yang menyediakan privasi dan mungkin juga kerana zaman telah berubah.

3 pasangan, termasuk saya dan suami singgah ke Kedai Kopi untuk makan lewat malam. Sesekali kami berkumpul sehabisnya kelas talaqi. Jarak umur yang agak berbeza antara kami dan pasangan Abang Aziz-Kak Faridah dan Abang Rahman-Kak Faizah tak langsung membuatkan saya rasa kekok walaupun sebenarnya usia kami lebih dekat dengan anak-anak mereka.

"Abang Aziz, amacam kelas syariah? Ustaz ajar apa-apa tak hari ni?" Saya mengambil giliran, menukar topik perbualan.

"Okehh... Suai kenal sikit-sikit, lepas tu Ustaz bercerita pasal sumpah." Katanya sambil tersenyum.

"Sumpah apa? Apa yang ustaz cakap?" Kak Faridah, isteri abang Aziz melepaskan soalan yang sama terlintas di fikiran saya.

"Sumpah yang dia cerita ni lebih kepada bercakap bohong la. Bercakap bohong yang boleh menganiayai orang lain." Balas abang Aziz. Ia buat saya teringat kata orang yang sumpah bohong selalunya akan memakan diri sendiri.

"Nak selamatkan diri, seseorang tu akan bersumpah. Nak yakinkan orang tentang sesuatu berita, bersumpah jugak. Ustaz kata, akibat sumpah bohong lambat laun akan terlihat kesannya. Kalau tak berbalik pada diri sendiri, akan terkena anak-anak. Anak-anak akan bermasalah. Masalah fizikal ke... mental ke..." Jelasnya sambil tangannya menyentuh gelas air yang masih bersisa.

"Erm... cakap abang Aziz ni buat saya teringat satu email yang saya baca je. Tak tahu boleh kaitkan atau tak, tapi lebih kepada isu penganiayaan la." Suami saya menyampuk.

"Apa kisahnye?" Tanya saya laju. Mana tahu mungkin saya juga ada terbaca kisah tu.

"Hamba Allah ni ada 4 orang anak, dan semuanya ada masalah kesihatan dan cacat. Bila dia pergi Mekah, ada sekali tu seorang ustaz bertanya masalah dia. Jadi, dia ceritakan tentang nasib anak-anaknya. Ustaz tu mintak dia ingat balik apa yang pernah dia buat salah dulu. Mungkin ada sakitkan hati orang ke, ada buat salah dengan sesiapa ke. Ustaz suruh dia bertaubat dan mintak maaf atas dosanya." Suasana sunyi. Kami semuanya tekun mendengar kisah yang di ceritakan.

"Balik rumah, dia cuba recall kisah-kisah lama. Teringat tentang seorang kawan yang dia permainkan. Dulu ada sorang clasmate ni selalu je masuk kelas lambat. Bila tanya, katanya lewat sebab letih pergi kelas tambahan. Satu hari, dia mengikut kawannya tu secara sembunyi. Rupanya kawannya tu bukan pegi kelas tambahan, tapi pegi keje kat kedai dobi. Sebab nak mengenakan membernya tu, dia ambik gambar dan kemudian sebarkan gambar tu kat sekolah." Hanya Allah yang tahu apa niat sebenar hamba Allah itu. Mungkin geram kerana kawannya berbohong, mungkin juga sekadar mahu mempermainkan.

"Malu le member ni, tapi sebab itu memang keadaan sebenar, dia tak nafikan. Buat diam je. Orang susah, keje sebab nak cari duit belanja sekolah dan bantu mak ayah. Lepas tamat sekolah, mereka tak jumpa lagi. Dia pun tak tahu kawannya tu sekarang kat mana. Bila ingat balik, dia rasa bersalah sangat, jadi dia hantar email, mintak disebarkan sebab nak mintak maaf pada kawannya tu atas perbuatan dia zaman sekolah dulu." Suami saya mengakhiri perkongsian kisah itu. Kami semua terdiam. Melayan fikiran masing-masing. Saya sendiri pun tak tahu apa yang patut saya perkatakan.

"Tak tahulah samada nasib anak-anaknya tu adalah pembalasan perbuatan dia dulu atau memang ujian Allah untuk dia. Tapi teguran ustaz masa dia kat Mekah tu buat dia berfikir." Suami melepaskan apa yang terlintas di fikirannya.

"Itu tandanya Allah sayangkan dia. Ermm... dia jumpa tak kawannya tu?" Tanya Kak Faizah.

"Tak tahulah... Tapi sekurang-kurangnya dia berusaha." Mana mungkin abang tahu, sebab dia pun cuma pembaca untuk email tu tanpa mengetahui siapa penulisnya. Mungkin hanya yang terlibat yang tahu siapa yang dimaksudkan.

"Tu lah kan. Dosa dengan Allah boleh mintak ampun terus pada Allah dan bila-bila masa, tapi dosa dengan orang, kena mintak dengan maaf dengan orang tu sendiri. Nak cari orang tu satu hal... entah sudi maaf kan atau tidak pun satu hal lagi..." Abang Rahman bersuara.

Gerun. Allah Maha Kuasa. Pembalasan Allah terhadap apa yang dilakukan mungkin akan diberikan di dunia, dan mungkin juga diakhirat nanti. Adakah kita mampu mengambil iktibar dari apa yang berlaku dalam kehidupan dan memulakan langkah untuk memperbaiki diri? Atau hanya berfikir, menyesali dan sudahnya tenggelam dalam lautan keresahan?

Semoga Allah selalu memberi ilham untuk kita faham hakikat perjalanan kehidupan, dan diberikan kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan... dunia dan akhirat!

Jan 2, 2010

Hadirmu... hadiah buatku.

Buat suami...
Insan yang penuh dengan cinta dan sayang.

Ku panjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah Al-Wahhab, kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.

Buat suami tercinta, doaku kutujukan khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupan abang sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umur abang, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan.

Ku doakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku bang, agar aku mampu membuat abang sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun tika hidup kita di hempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih abang kerana hadirmu begitu membahagiakanku....

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran
Moga kita akan saling menemani perjalanan kehidupan untuk mencari bahagia dunia dan akhirat.

Nota : Aduhai... saya tak tahu nak hadiah apa kat dia. Memang masalah tahunan saya. Huhu.... Selain dari doa, ucapan, pelukan dan ciuman tanda cinta, saya miskin dengan idea romantis. Tambahan pula hujung minggu ini ada tetamu yang datang bermalam dan perlu dilayani.