Jul 31, 2013

Impian itu...

Saya cemburu. Ya Allah... jahatnya hati.
Saya cemburu membaca catatan mereka yang riang bercerita tentang anak-anak. Semakin cemburu saya bila membaca anak-anak itu mereka didik menjadi anak yang soleh dan solehah. Bergenang tasik mata bila memikirkan impian saya menjadi milik mereka. Dan saya masih begini, masih kekal berdua menjalani masa mengukir garis usia.
 
Bila tangan diangkat, memohon doa untuk arwah di alam hakiki, hati berbisik, siapakah nanti yang akan menadah tangan mendoakan kami?
Saat tangan menceduk nasi menyiapkan hidangan buat keluarga dan mertua, hati bersuara, siapakah nanti yang akan melayani kami dihujung usia?
 
Anak-anak kami.... permata hati impian kami... yang kami angankan untuk dididik menjadi hafiz dan hafizah, semakin berbalam, kelam dan menghilang... Walaupun ramai yang menyarankan untuk mencari kasih yang boleh di tumpang, tak mungkin sama dengan apa yang mahu dididik sedari mula. Saya tak yakin hati mampu menerima dan memberi dengan maksima.
 
Apa yang sehingga kini tak mampu dimiliki, seolah mencipta jarak komunikasi dengan mereka yang  saya pandang sempurna.  Saya cuak bila mereka bertanya. Bukan salah mereka... cuma saya sudah letih menjawab soalan yang sama.
 
Mereka sentiasa ada topik menarik untuk bercerita... Anak ini sudah pandai bertatih... Anak itu nakalnya lebih, tapi sungguh prihatin. Anak ini khatam Qurannya sudah kali ke-5. Anak itu, sasa badannya persis si bapa... bla.. bla.. bla... Saya hanya mampu mendengar sahaja... Pedih sekali bila cuba menyembunyikan tangisan hati dalam senyuman.
 
Ya Allah... adakah hati ini kian bebal kerana hanya melihat kelebihan orang dan kekurangan diri?
Adakah hati ini makin gelap bila merintih memikirkan impian yang kian tipis untuk diraih?
Ampuni hambaMu ini Ya Allah....
 
Mohon belas kasihanMu Ya Allah... Mohon agar impian itu mampu aku gapai...

May 24, 2013

Keinginan....

Masa berlalu begitu cepat.
Terfikir juga, apakah yang telah dilakukan sepanjang hidup ini. Apa pencapaian yang telah diperolehi. Apa yang telah di kumpul buat keluarga dan diri.

Hanya mahu jadi insan biasa yang hidup dengan segala yg sederhana. Cukup kalau tenang yang memenuhi minda dan jiwa. Dunia hanya sementara, tak ada yang boleh dibawa ke alam sana. Itu yang sentiasa dibenamkan difikiran.

Bukan apa, cuma bimbang keinginan yang keterlaluan akan buat diri hilang kawalan. Nafsu manusia ini pelbagai. Nafsu akan menggerakkan diri untuk melakukan apa saja. Nak jadi orang kaya, nak jadi terkenal, nak jadi muda, nak dihormati dan disanjungi, nak berkuasa, nak... nak... nak... itu dan ini.

Lalu bagaimana masa dihabiskan? Bagaimana harta dan ilmu dipergunakan? Bagaimana persaudaraan dan persahabatan diperlakukan?

Ya Allah... bimbinglah daku ya Allah. Bantulah aku untuk menangani nafsu.... Jauhkan sifat mazmumah dan penuhi daku dengan sifat mammudah... Aku lemah Ya Allah...Dekatkan daku dengan jalanMu...