Apr 6, 2010

Salah saya...

Mungkin kamu telah anggap saya sebagai teman yang mudah melupakan teman. Saya yang dulunya berjanji akan bersahabat sehingga ke tua, sentiasa bertukar cerita dan berkirim berita tapi tidak mengotakan janji yang dikata. Teruk saya ni kan?

Sememangnya masa telah menjarakkan kita. Kehidupan kita tak sama lagi. Masing-masing punya tanggungjawab yang menagih segala perhatian dan keringat yang ada. Bila tamat saja pengajian, kita berpecah mengikut aliran kerjaya dan pasangan akad. Kemudian lahir pula buah-buah cinta yang memerlukan perhatian dan mengalihkan tumpuan.

"Oklah... tak boleh nak borak panjang ni, anak aku dah menangis tu..."

"Suami aku dah nak balik, aku kena pegi ni...." Dan gagang telefon di letak. Cerita yang ingin di sampaikan tergantung begitu saja.

Keutamaan telah berubah. Sahabat dan kawan-kawan telah jatuh ke ranking yang entah ke berapa... Kerja, suami/isteri, anak-anak dan keluarga lebih utama. Walaupun kita pernah tidur setilam sebantal, makan sepinggan dan minum secawan, tapi itu tak boleh dijadikan ukuran untuk ikatan hari ini. Ia menjadi laluan hidup yang kini tersimpan kemas dalam lipatan kenangan.

Selalu saya sematkan dalam hati... mahu menjadi sahabat yang baik, namun adakala tak diizinkan Allah. Saya gagal memenuhi keazaman sendiri. Corak dan liku hidup yang dilalui, mencipta keterbatasan yang bukan disengajakan. Saya... dan juga kamu. Saya faham keadaan kamu... dan kamu? Fahamkah keadaan saya?

"Saya dah selamat melahirkan anak pada .... Nanti awak call lah saya ya!" Mesej diterima. Alhamdulillah... Saya gembira untuk kamu. Kamu memang bertuah.

Jejari ini terlalu berat untuk mendail. Maaf. Saya tak ingin mendengar suara ceria kamu bercerita, kerana ia mengingatkan saya tentang kekurangan diri yang ketara. Saya mengabaikan permintaanmu bukan kerana cemburu... cuma saya bimbang kamu akan terdengar suara saya yang bergetar oleh sendu.

Malah saya lebih bimbang kamu tak sedar perubahan suara saya dan sudahnya saya akan berkecil hati. Prihatinkah lagi kamu pada diri dan perasaan saya?

"Salam... bz ke?" Saya menegur. Berkali-kali... Diam. Dan ada sekali kamu membalas mesej. "Bz jugak. Bye" Dan sepi kembali lagi. Saya faham, tugasan dan tanggungjawab kamu pada kerja dan keluarga menjadi keutamaan.

"Free to chat?" Diam, tanpa balasan darimu. Mungkinkah berkecil hati? Mungkin juga kamu tak dapat mesej yang saya hantar. Mungkin kamu tak perasan ada offline/online mesej yang menjengah.

Maaf... maaf dan maaf... Saya bukan sahabat yang baik agaknya. Ya... Saya memang bukan sahabat yang baik. Saya bersalah kerana tidak berkongsi kegembiraanmu. Saya gelisah kerana mengabaikan janji dahulu.

Saya pasti kamu bahagia dengan suami dan anak-anak tercinta. Saya juga, bahagia dan bersemangat dengan bantuan suami yang penyayang. Alhamdulillah, syukur atas rezeki Allah. Saya rasa kuat dengan adanya suami disisi saya. Tapi ada ketika saya tak begitu, tak sekuat yang kamu sangka.... Masih menadah tangan, menagih bekalan tabah dariNya.

Tahukah kamu, saat kamu mendukung anugerah impian, saya pula telah kehilangan benih harapan. Hanya seketika Allah meminjamkan rasa itu. Rasa bahagia bila diri ditemani oleh cahaya cinta yang bercambah di rahim ini.

Meminjam dan mengambilnya kembali, itu hak Allah. Saya hanyalah hamba, tak berdaya menahan ketentuanNya. Cahaya mata yang diharapkan, air mata yang menjadi gantian. Dapatkah kamu rasa pedihnya jiwa saya...?

Kembara zuriat ini masih akan diteruskan... walaupun tanpa kata-kata galakan dan semangat dari insan yang bergelar teman.

Kekurangan diri ini bukan salah kamu... ianya salahku. Sekali lagi... maaf andai sikap saya benar-benar melukakan kamu.

Ya Allah... ku tagih, ku rayu dan ku mohon kekuatan dariMu.