Jun 16, 2008

Nafsu

Assalamualaikum...

Menyambung kembali entry yang lepas yang mana saya ingin berkongsi apa yang dikutip dan ditimba dari ceramah oleh Datuk Dr Fatma Az-Zahra. Di awal ceramahnya kali ini, beliau berbicara tentang hidayah dan kemudian tentang nafsu yang seringkali dikaitkan dengan syaitan.

Syaitan ialah makhluk Allah yang telah mendurhaka dan selepas dihalau dari syurga, misi tunggalnya adalah untuk menyesatkan kita, anak cucu Adam. Nafsu ialah apa yang wujud dalam setiap individu dan tak boleh dipisahkan sehingga nafas terakhir. Syaitan mudah menguasai nafsu jika ia tidak dididik. Kerana itulah walaupun syaitan dirantai di bulan Ramadhan, tapi ada manusia yang masih berleluasa melakukan dosa, akibat dari nafsu yang telah biasa dipandu oleh syaitan. Ibarat menaiki basikal, mula pelajarannya perlu dipegang dan diawasi, bila dah terbiasa boleh ditunggang sendiri.

Sesuatu yang saya belajar dari ceramah ini ialah nafsu bukan hanya berkaitan dengan perkara buruk, tapi juga boleh membawa kita ke arah kebaikan jika dididik. Ini kerana nafsu yang dimiliki adalah nafsu yang tidak dididik dengan ibadat dan zikir.

Menurutnya nafsu boleh dibahagikan kepada 3 bahagian yang utama iaitu:

1. Nafsu amarah

Nafsu ini adalah nafsu yang paling buruk dan ianya melahirkan perlakuan yang penuh dengan kejahatan yang telah sebati dalam diri. Dosa yang melekat dihati adalah terlalu tebal akibat dari perlakuan seharian yang mengabaikan hukum halal haram, malah ada yang berbangga melakukannya. Nafsu syahwat yang tak terkawal juga termasuk dalam kategori ini.

Kebiasaan individu yang terperangkap dalam nafsu amarah akan punya sikap seperti suka mencela orang lain dan melihat dirinya lebih baik, tidak senang melihat kelebihan orang lain, tidak mempedulikan perasaan orang, dengan sengaja menyakitkan orang lain melalui perbuatan dan kata-kata, merasakan bahawa segala kelebihan yang diperolehi adalah hasil dari usahanya sendiri tanpa bergantung pada Allah tapi bila berlaku musibah, suka menyalahkan orang lain malah adakalanya menyoal Allah pula.

Ilmu yang dipentingkan hanyalah yang berkaitan dengan keduniaan sahaja dan tidak berminat dengan ilmu akhirat. Jika ada ibadat yang dilakukan, ia tidak mampu mencegahnya dari melakukan kemungkaran yang membinasakan dirinya dan juga orang lain.

Hanya satu saja cara untuk menyucikan hati dari nafsu amarah iaitu dengan cara menerima tunjuk ajar yang berterusan dari guru agama yang mana selalunya guru-guru agama ini akan memberikan pelbagai petua penyucian hati melalui bacaan Quran, zikir dan pelbagai ibadat lain.

2. Nafsu lawwamah

Ini merupakan nafsu pertengahan yang mana individu yang memilikinya akan selalu menyalahkan diri sendiri dan menyesal bila ada kesilapan yang dilakukan. Dan seringkali mengutuk diri sendiri bila melakukan dosa.

Bila ada kesalahan yang dilakukan hati akan cepat merasai penyesalan. Ianya ibarat hidayah yang Allah berikan untuk memimpin kembali ke jalan yang benar dan lurus.

Kesedaran dan keinsafan yang terlintas difikiran jika diabaikan, lama-kelamaan ia akan hilang. Hati akan menjadi semakin keras dan kelam oleh titik dosa yang bertambah. Pengabaiannya akan membuatkan nafsu amarah lebih berkuasa terhadap diri. Itu yang menyebabkan kesilapan adakalanya masih berlaku berpunca dari kelemahan dalam pertahanan iman.

Jika mahu memperbaiki nafsu yang berada dalam peringkat ini, kita perlu istiqamah dalam beribadat, berzikir dan sentiasa beristighfar untuk memastikan hati sentiasa disucikan.

3. Nafsu mutmainnah

Ini adalah nafsu yang paling baik dan Allah menjamin syurga kepada mereka yang mempunyai nafsu ini. Ia dapat memberikan ketenangan hidup yang hakiki kepada sesiapa yang memilikinya.

Tidak ada perasaan gelisah yang lahir biarpun apa juga dugaan yang Allah turunkan. Mempunyai sifat sabar dan redha yang tinggi, dan segala kebaikan yang ada dalam dirinya lahir dari hatinya yang suci dan tidak berpura-pura.

Kesimpulannya, setelah mengenali jenis-jenis nafsu, rasanya kita dah boleh mengagak nafsu mana yang pernah dan sedang kita miliki. Nafsu mana yang mahu kita kita biarkan berada dalam diri dan bagaimana cara untuk memiliki nafsu yang terdidik, yang mampu memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat.

Datuk Dr Fatma ada mengedarkan 3 doa yang amat digalakkan untuk diamalkan bagi mengawal dan mendidik nafsu. Doa yang perlu dibaca setiap kali kita mahu memulakan hari iaitu doa yang perlu dibaca sebelum Subuh, semasa sujud terakhir solat Subuh dan juga selepas solat Subuh. InsyaAllah, doa-doa itu saya akan buatkan di laman Suara Pesanan nanti. Semoga dengan mengamalkannya, kita akan lebih terjaga dari gelombang nafsu yang akan membawa badai dalam hidup kita jika dada tidak disuapi dengan keimanan.

Nota : Kepada yang berada di sekitar Shah Alam, Klang dan Subang, ceramah anjuran unit Mubalighat ini boleh disertai pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan di Masjid Negeri, Shah Alam bermula dari pukul 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Terbuka untuk kaum muslimah sahaja.

Sebarang kekurangan dalam entry saya ini harap dimaafi dan jika ada kesilapan, sila berikan teguran.

Jun 13, 2008

Demi Masa...

Pagi ini semasa dalam perjalanan ke office bersama teman sepejabat, sekadar memenuhi ruang masa saya berkata; "I wish today is Friday."

Dia memandang saya dengan pandangan yang pelik. Kemudian mengalih pandangan kembali ke jalan raya.

"Memang hari ni Friday pun." Katanya.

"Hah...? Friday erk?!!.." Terkejut. Rasa macam tak percaya masa begitu cepat berlalu dan Jumaat telah datang lagi.

"Ye lah. Ada ka patut, hari pun boleh lupa." Katanya sambil tergelak. Saya jadi malu sendiri bila mengingatkan betapa saya menunggu hari Jumaat tapi kelalaian saya mengingati hari menunjukkan sebaliknya.

"Hehe... Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dia dah kabulkan doa saya. Cepat pulak tu." Balas saya sambil mentertawakan diri sendiri. Dia turut tergelak kecil.

Kenapa saya boleh sampai lupa hari ni hari apa ya? Sedangkan saya tahu semalam hari Khamis sebab saya berpuasa. Tapi bangun pagi ni, minda saya seolah memberitahu bahawa hari ini hari Khamis.

Aduhai... Mungkin saya sudah tua (macam tak nak ngaku je, tak sedar diri tuh... hehe). Sel-sel otak saya sudah lemah untuk mengingat, walaupun ianya saya lalui setiap hari.

Masa sekolah dulu, tak pernah saya lupa hari apa, sebab saya akan menulis hari dan haribulan setiap kali mengambil nota yg guru berikan. Bila sudah kerja, saya tak lupa hari tapi kadang tu haribulan terlupa jugak. Semasa saya menganggur, saya memang lupa terus soal hari dan haribulan.

Kini bila dah kembali bekerja, saya boleh lupa hari ni hari apa... Bukankah itu menunjukkan saya semakin menjadi manusia pelupa? Dan orang pelupa ni biasanya orang yang dah tua. Mungkin juga kerana banyaknya dosa yang telah malaikat Atib catitkan, maka nikmat ingatan yang Allah berikan pada saya telah semakin hari semakin berkurangan. Kalau begitu, semestinya saya perlu berusaha dan istiqamah untuk menambahkan lagi amal ibadat sebab masa dan hayat semakin singkat...

'Ya Allah... ampunilah daku kerana kelalaianku menghargai masa yang Kau berikan... Bantulah daku mengatasi kelemahanku ini kerana sesungguhnya hanya Engkau yang mampu menolongku...'

Jun 9, 2008

Hidayah

Assalamualaikum...

Sabtu lepas, di Masjid Negeri Shah Alam (MSSAAS) saya menyertai majlis ilmu yang dihadiri oleh Datuk Dr Fatma Az-Zahra. Majlis yang diadakan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan anjuran Unit Mubalighat memang memberikan banyak pengetahuan dan
ilmu yang amat berguna untuk diamalkan.

Datuk Dr Fatma boleh ditemui dalam banyak rancangan agama terutama tafsir Quran seperti di dalam rancangan Usrah di TV9. Sayangnya saya memang tak dapat mengikuti rancangan tersebut kerana ia ditayangkan diwaktu kerja. Jadi kesempatan bertemu beliau setiap Sabtu awal bulan di MSSAAS memang saya tak mahu lepaskan.

Memang banyak yang menarik untuk dikongsi. Kalau nak ditulis semuanya, memang panjang, ditambah lagi dengan stail penulisan saya yg tak tahu nak buat ayat pendek. Bimbang ianya jemu dibaca. Kerana itulah apa jua yang saya rasakan menarik dan berkesan dijiwa, saya cuba serapkan dalam bentuk cerpen dengan harapan ia tidak membosankan jika ada yang sudi membacanya.

Berbalik kepada ceramah oleh Datuk, antara yang menarik dalam ceramahnya ialah tentang hidayah. Selalu kita dengar seseorang berubah setelah mendapat hidayah dari Allah. Bila Allah telah buka pintu hati seseorang, maka berlakulah perubahan dari segi sikap dan penampilan. Dari yang tak bertudung, berubah kepada bertudung. Yang dulunya selalu pakai skirt dan seluar, kini fesyennya lebih kepada baju yang longgar seperti baju kurung. Yang selalu cakap kasar, komplen itu ini dengan mak ayah/suami/isteri/anak-anak, sudah mula bercakap sopan dan lembut serta bersikap lebih bertolak ansur. Yang tak pernah sembahyang dah mula cari sejadah dan banyak lagilah perubahan yang positif yg membawa kepada kebaikan.

Katanya, hidayah perlu dicari, diusahakan dan didoakan agar sentiasa terjaga. Kita tak seharusnya menunggu saja hidayah itu diberikan oleh Allah, kita harus meminta dan Dia akan berikan. Mintalah supaya hidayah diberikan pada diri sendiri, untuk ahli keluarga, saudara mara dan teman-teman. Jangan sayang pada 1-2 minit masa yang kita habiskan untuk merayu pada Allah kerana Allah yang memberikan masa pada kita.

Saya teringat salah satu ceramah oleh Ustaz Akil Hayy (tak ingat tajuk) yang mana dalam ceramah tu beliau ada bercerita tentang hidayah dan perubahan yang berlaku pada dirinya. Menurutnya, doa dari mak ayah mungkin antara penyebab dia tergerak hati untuk berubah. Dan saya yang dah lama tak ada mak ayah, mungkin mendapat doa dari orang-orang yg terdekat dengan saya, yg menyayangi saya.

Kita hidup dalam keluarga dan masyarakat, lalu jangan pentingkan diri bila berdoa. Selain berdoa untuk diri sendiri, doakan juga untuk orang lain, walaupun untuk orang yang tak kita kenali seperti saudara seagama kita di bumi Palestin, orang yang mungkin membenci kita atau orang yg kita benci seperti Bush. Tapi doa tu biarlah kena dengan cara dan situasinya...

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita punya sebab tertentu. Saya selalu cuba untuk mengingatkan diri bahawa bila ada dugaan yg dihadapi, ianya tentu peringatan dari Allah kerana saya lalai dan leka. Kerana itulah, sebaiknya sebelum tidur, luangkan masa untuk meneliti perjalanan hidup, berfikir dan kemudiannya berazam untuk memperbaiki.

Perlu kita ingat bahawa setiap masa syaitan akan cuba untuk membenihkan perasaan 'jahat' dalam diri yang wujud akibat dari nafsu yang tidak terdidik. Datuk Dr Fatma ada menceritakan tentang jenis-jenis nafsu dan bagaimana nak mendidik dan mengawal nafsu melalui doa. Rasanya itu akan saya kongsikan dalam entry yang akan datang. InsyaAllah...

Ish... Ini dah macam entry dalam blog
'ilmu dicari perbaiki diri'... (blog saya yg lagi satu.)

Saya dalam tempoh percubaan untuk menulis dengan pendekatan yang baru, cara yang berbeza dengan corak penulisan saya sebelum ini. Maafkan saya andai ada kekurangan kerana dalam diri saya memang wujud kelemahan yang tak akan saya nafikan. Saya masih berusaha memperbaiki diri dan tujuan utama saya menulis adalah untuk mengingatkan diri dan juga teman pembaca. Semoga dengan begitu, sedikit ilmu yang saya kutip tak akan hilang terbenam ke dalam diri sehingga tak dapat dicungkil lagi....

Jun 5, 2008

Pesanan

"Selamat hari ibu dan selamat hari guru Kak Yah!" ucap Fika sambil memeluk Cikgu Maziah semasa bertemu di lapangan ilmu Bicara Ad-Din di masjid Shah Alam. Wanita yang seusia dengan Umi Alia, ibu saudara Fika yang tinggal di Johor dipeluk erat. Walaupun jarak umur antara mereka seperti anak dan ibu, tapi Fika selesa memanggil wanita itu dengan panggilan Kak Yah. Lebih mesra.

Aktiviti setiap hari Sabtu yang bermula seawal Subuh memberi Fika peluang untuk mengenali ramai teman-teman yang kebanyakannya jauh lebih tua darinya dan sememangnya mereka kaya dengan pengalaman. Cikgu Maziah adalah salah seorang darinya. Namun begitu, jarang sekali Fika berpeluang untuk bertemu dengan wanita ini lantaran tugas sebagai ibu dan guru seringkali menagih masanya untuk urusan lain yang lebih penting.

"Selamat untuk Fika juga. Erm... Lama betul kita tak jumpa, Fika sihat?" Tanyanya prihatin.

"Alhamdulillah. Kalau tak sihat, rasanya Fika tak mungkin dapat datang ke sini dan kalau tak datang, tak bolehlah lepaskan rindu dan borak dengan kak Yah..." katanya mengusik sambil memeluk dan mencium Cikgu Maziah. Mereka tergelak kecil, jelas sekali kemesraan yang bercambah subur.

Pertemuan yang bermula dengan bertukar khabar menjadi semakin rancak. Banyak yang dibualkan sambil menikmati nasi lemak sebagai sarapan pagi yang memangnya disediakan oleh pihak masjid untuk mereka yang menghadiri program mingguan Bicara Ad-Din setiap Sabtu selepas solat Subuh.

Rezeki jangan ditolak. Lagipun, kerana sarapan tu mereka berpeluang untuk beramah mesra dan berkenal-kenalan. Kehidupan di kota metropolitan membataskan masa untuk menjalin dan mengikat silaturrahim lantaran kesibukan yang tak pernah surut. Lalu kesempatan yang ada mahu Fika gunakan sebaiknya.

"Semuanya bermula dengan rezeki yang Allah bagi, macam kata ustaz tadi. Kalau ada rezeki yang 'tercalar' maka orang yang memakannya mungkin akan ada akhlak yang 'tercalar' jugak, sebab kita adalah apa yang kita makan. Kerjaya guru pun, kalau tak jaga amanah yang diberikan, gaji yang diterima boleh dikatagorikan tercalar jugak. Kak Yah dah lama jadi guru, dah tengok pasang surut tugasan guru." Kata Cikgu Maziah mengingati apa yang telah disampaikan oleh ustaz tadi. Tajuk yang berkaitan dengan rezeki dan akhlak memang menarik dan membuka mata.

"Memang tak mudah jadi guru kan Kak Yah, tapi yang tak mudah itulah ganjarannya banyak. Ganjaran yang bukan saja dapat masa kita kat dunia tapi juga ganjaran di akhirat nanti." Fika pernah meletakkan cita-citanya ditempat itu satu ketika dulu. Tapi Allah telah menentukan bahawa rezeki Fika bukan sebagai pendidik agaknya.

"Memang. Barangsiapa mahu menjadi guru, memang kena amanah dan istiqamah. Kalau tugasan yang diamanahkan tu dilakukan sebaiknya, memang akan dapat imbuhan pahala yang Allah janjikan, tapi kalau sebaliknya, dosa pulak yang akan dapat. Bila tengok sebahagian dari guru yang buat acuh tak acuh dengan amanah yang telah diberikan, Kak Yah jadi sedih. Sebenarnya walau apa sekalipun tugas yang diberikan, apa sekalipun kerja yang kita buat, kalau tak lakukan dengan ikhlas kerana Allah, rezeki tu tak berkat." Kata Cikgu Maziah lagi yang merupakan pengetua di salah sebuah sekolah di Shah Alam. Ingatannya melintas pada salah seorang guru yang pernah datang kebiliknya dengan keadaan marah dan kecewa.

"Puan, kenapa puan tak nak tandatangan surat anjakan gaji saya?!!" Tanya Cikgu Salhan dengan suara yang tegang sambil memandang tepat ke wajah pengetua perempuan di depannya. Dia memang tak suka bekerja di bawah perempuan yang baginya begitu cerewet. Tapi apakan daya, dia tak punya pilihan lain selain dari terus bertahan.

Kalau anak murid dilaporkan ada masalah disiplin, itu dah biasa dan Cikgu Maziah tak rasa hairan dengan situasi itu, tapi bila murid yang melaporkan guru yang ada masalah displin, dia memang rasa amat kecewa. Terasa benar kegagalannya sebagai ketua. Tapi apakan daya, dia tak mungkin mampu mengubah manusia kalau Allah tak mengizinkan. Pelbagai cara telah dicuba untuk menyedarkan guru-guru yang mungkin leka menjalankan tugas termasuk menganjurkan ceramah agama disekolah dan mewajibkan semua guru muslim menghadirinya, tapi nyata tak memberi kesan pada Cikgu Salhan.

Cikgu Maziah menarik nafas panjang dan sambil menyandarkan badan ke kerusi dia berkata; "Bagaimana saya nak tandatangan borang anjakan gaji cikgu kalau prestasi cikgu tak memuaskan? Cikgu tentu tahu sejauhmana prestasi cikgu selama ni, kan?" Katanya tenang dan sinis sambil membalas pandangan lelaki didepannya. Soalan yang dijawab dengan soalan oleh Cikgu Maziah memang menambahkan sakit hati. Tanpa sepatah kata Cikgu Salhan keluar sambil menghempas pintu dengan kuat. Cikgu Maziah hanya mampu beristighfar panjang sambil mengurut dada.

Bukan dia tak simpati pada Cikgu Salhan yang dikatakan mempunyai masalah dengan isterinya kerana bebanan hutang yang tak mampu ditanggung lagi tapi dia harus bersikap adil dan amanah. Pernah dia cuba untuk menasihati Cikgu Salhan, tapi hanya sia-sia. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Allah menunjukkan sebaik-baik jalan untuk Cikgu Salhan dan melapangkan kehidupan lelaki itu yang dia tahu penuh bergelombang sekarang ini.

"Agaknya mereka jadi begitu disebabkan pemilihan kerjaya guru atas sebab-sebab lain dan bukannya minat nak jadi pendidik. Dan mungkin juga mereka yang bersikap begitu kesan dari tekanan lain yang kita tak tahu." Fika meneka untuk memahami.

"Ya... Mungkin juga. Tapi itu bukan alasannya. Rezeki untuk kita, Allah dah tetapkan sejak azali lagi. Setiap orang lahir dengan rezeki masing-masing. Berkat atau tidak rezeki yang Allah berikan tu, kita yang tentukan. Kalau nak tahu rezeki tu berkat atau tak, lihat saja corak hidup kita." Kata Cikgu Maziah sambil tangannya terus mengasingkan kacang yang bercampur dengan ikan bilis.

"Macam mana tu Kak Yah?" Fika menyoal ingin tahu.

"Ye lah... Kalau gaji beribu-ribu sebulan tu tak cukup dan banyak hutang keliling pinggang, itu tandanya ada yang tak kena dengan diri kita, dengan hati kita. Rezeki yang berkat ialah rezeki yang mencukupi untuk kita, yang membuatkan hidup kita tenang, yang boleh berikan kita masa untuk beribadat, yang tak memerlukan kita untuk kerja siang malam, buat OT, lepas tu buat kerja sambilan lagi. Akibatnya nanti, tenggelam dalam kesibukan sehingga tak ingat nak sembahyang." Jelas Cikgu Maziah sambil memandang wajah Fika yang begitu memberi perhatian pada setiap buah bicaranya.

"Tapi... bukankah ada seruan yang menyuruh kita supaya bekerja seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi. Jadi kerja itu adalah ibadat jugak, kan?" Fika meminta kepastian.

"Memang... tapi bersama dengan pesanan tu, kita juga disuruh beribadat seolah-olah kita akan mati esok hari. Sabda Rasulullah tu bukan nak suruh kita kerja sehingga tak ingat tanggungjawab kita yang lain." Balas Kak Yam sambil menyambung; "Itu sebenarnya seruan supaya kita bekerja bersungguh-sungguh untuk pastikan kita hidup selesa, sederhana dan boleh melakukan ibadat dengan tenang. Bukannya kerja untuk dapatkan duit dan lepas tu buat hutang lagi. Ataupun kerja tunggang terbalik untuk berikan kemewahan kepada isteri atau anak-anak, nak penuhi apa yang dimintak, sampaikan lupa tanggungjawab kita yang paling utama sebagai hamba Allah." Balas Cikgu Maziah.

"Erm... Macam tu ya. Tapi memang betul cakap Kak Yah, kalau dah sibuk kerja tu, memang kadang tu boleh buat manusia lupa tanggungjawab terhadap Tuhan. Sibuk sangat sampai rasa 5 minit untuk sembahyang pun rasa seolah begitu bernilai sebab nak kena siapkan kerja. Takut sangat kalau boss marah, tapi tak takut kalau Allah marah." Fika meluahkan pendapat. Tapi di dalam hati, dia mengutuk diri sendiri kerana pernah berada dalam keadaan itu.

Kerana mahu melarikan diri dari masalah, Fika pernah beberapa kali bertukar kerja, cuba menyibukkan diri dengan tugas dengan harapan dia akan lupa pada kesedihan yang menimpa. Tak akan punya masa untuk merenung nasib diri dan merintih. Tapi nyata itu bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalahnya yang sedia ada, tapi menambahkan lagi masalah bila kadangkala tugasan yang diberi, gagal disiapkan mengikut jadual. Ya Allah... ampunilah daku. Dia beristighfar di dalam hati.

"Betul tu Fika. Sebenarnya kalau kita kerjakan solat dengan khusyuk, berdoa pada Allah supaya memudahkan urusan kita di dunia ni, insyaAllah Dia akan bantu. Tapi masalahnya bila Allah bantu, kita tak sedar dan kita lupa untuk berterima kasih padaNya, tak tahu nak bersyukur. Sebaliknya rasa bangga pada diri sendiri. Perasan kononnya diri sangat efektif, sedangkan hakikatnya Allah yang menghulurkan bantuan." Kata Cikgu Maziah sambil memandang wajah Fika. Hanya sedikit yang dia tahu tentang perempuan muda didepannya itu. Jarang Fika bercerita tentang dirinya, tak tahu kenapa. Dan dia sendiri tak pernah cuba untuk mengorek cerita dari Fika, bimbang jika dikatakan cuba menyibuk.

"Betul tu kak Yah. Fika tahu dan yakin, Allah sentiasa ada untuk bantu kita. Apa yang kita minta, Allah sentiasa cuba untuk mengabulkan. Kalau Dia tak tunaikan apa yang diminta, itu sebenarnya Dia telah menyediakan sesuatu yang lebih baik lagi untuk kita. Hanya menunggu masa saja yang sesuai saja untuk Dia berikan. Fika percaya itu. Percaya sangat-sangat..." Kata Fika dengan penuh yakin. Pandangan matanya tiba-tiba menjadi kabur dek air jernih yang tertahan dikelopak mata. Cepat-cepat dia tunduk dan matanya dikelip-kelipkan untuk meratakan air yang hampir tumpah.

"Eloklah kalau Fika yakin begitu. Pegang kepercayaan Fika tu kuat-kuat, jangan sampai ia mengganggu-gugat hati Fika tau!" Kata Cikgu Maziah sambil memegang tangan Fika. Fika mengangguk sambil tersenyum. Entah kenapa tiba-tiba ada satu perasaan sayu muncul dihati. Dia menarik nafas panjang dan menghelanya seolah mahu melepaskan beban di hati.

"Dan satu lagi, Fika tentu pernah dengar orang cakap yang hidup ini adalah satu kitaran yang mana apa yg berlaku pada kita mungkin adalah hasil dari sikap dan tindakan kita sendiri. Mungkin kita tak sedar, tapi sebenarnya itu adalah peringatan dari Allah. Segala perkara buruk atau baik yang dialami adalah ujian dari Allah yang diturunkan dalam bentuk anugerah dan juga dugaan." Kata Cikgu Maziah satu persatu.

"Semua tu menunjukkan kasih sayang Allah pada kita, sebab tu lah Dia bagi amaran pada kita. Selalunya bila Allah berikan kejayaan atau kesenangan, kita jadi lalai, lalu Dia turunkan ujian dan dugaan untuk menyedarkan kita kembali. Dia mahu kita nilai balik setiap perjalanan hidup yang dilalui. Bila sedar ada yang salah, yang tak selari dengan ajaran Allah, kita perlu ubah. Jangan tangguh-tangguh, sebab kita tak tahu apakah esok masih ada untuk kita....." Mendengar bicara Cikgu Maziah, hati Fika bagai disentuh salji. Sejuk dan mencair, mengalir dan membersihkan titik-titik noda yang pernah terpercik dihatinya.

"Kak Yah cakap ni untuk mengingatkan diri Kak Yah dan Fika jugak. Kak Yah sebagai pengetua, sebagai guru... memang punya tanggungjawab yang besar. Tak tahulah sejauh mana kemampuan kak Yah memikul amanat ni." Katanya berat. Fika tahu tanggungjawab itu bukan mudah.

"Kak Yah fikir kalau anak-anak atau pelajar sekolah Kak Yah ataupun guru-guru di sekolah tu tak bersikap seperti yang diharapkan, tak mengikut nasihat dan didikan yang diberikan, Kak Yah selalu cuba cari kesilapan sendiri dulu. Mungkin cara Kak Yah tak berkesan, mungkin ada yang salah dalam pendekatan Kak Yah." Nada suaranya ada cebisan kecewa yang teradun.

"Selalu Kak Yah pesan pada guru-guru, jangan sibuk menuding jari mencari salah siapa, tapi paling penting menilai diri dulu sebab itu juga yang Kak Yah lakukan. Ini amat-amatlah penting. Dalam masa yang sama, kita perlu celik emosi." Kata Cikgu Maziah panjang lebar.

"Celik emosi? Ermm.... kalau buta huruf berlaku sebab tak boleh membaca... bila boleh membaca dikatakan celik huruf, kan? Kalau celik emosi... Itu maknanya boleh baca emosi erk? Macam Pak Nujum lah pulak.Ish... Kak Yah ada ilmu tu ke?" Kata Fika tiba-tiba dengan nada mahu mengusik. Suram yang tiba-tiba terjadi dari bualan tadi perlu di serikan sikit.

"Fika ni... Mana ada. Nujum sekalipun tak ada yang boleh baca hati. Apa lagi Kak Yah ni ha. Kalau Kak Yah ada skil tu, mudahlah kalau tahu segala rahsia Fika. Haha..." Usikan Fika dibalas.

"Apalah Kak Yah ni. Macam tu susahlah Fika nak simpan rahsia..." Fika tergelak lucu. Mereka ketawa bersama.

"Erm...Celik emosi tu sebenarnya lebih kepada kemampuan psikologi, maknanya memahami 'signal' yang diberikan supaya kita boleh lakukan sesuatu. Kak Yah tak delah pandai pasal psikologi, tapi Kak Yah selalu ingat bahawa Allah akan memberi petunjuk pada kita jika kita dekat denganNya." Jelas Cikgu Maziah selepas tawa mereka reda.

"InsyaAllah, itu memang Allah dah lakukan tapi kita yang kadang tu tak sedar. Fika sedih bila fikirkan betapa banyaknya masalah sosial dikalangan masyarakat kita. Pelajar diperingkat sekolah menengah memang mudah terjebak ke dalam masalah sosial, dan bila ia berlaku kesalahan itu mungkin disebabkan oleh banyak pihak, akibat dari sikap tidak prihatin dan pentingkan diri sendiri. Tapi kan... nak jugak Fika tahu, apa yang Kak Yah rasa paling penting untuk diubah?"

"Niat. Ubah niat dulu. Sebab segala perkara baik atau buruk bermula dengan niat. Biasanya bila nak lakukan sesuatu kita mulakan dengan niat, lepas tu sebut dan kemudian barulah buat. Contohnya, kalau sebelum ni wanita yang bekerja selalu kata nak cari duit untuk anak-anak, nak bantu suami, nak bagi kesenangan pada keluarga, nak menyimpan untuk masa tua... dan banyak lagilah niat asal kita kerja, sekarang kena ubah sikit. Niatkan segalanya kerana Allah. Kalau sebelum ni kita kata nak bantu suami... sekarang sematkan dalam hati, kita kerja kerana Allah menggalakkan kita untuk membantu suami, menyenangkan hati suami. Mungkin dengan gaji yang kita dapat untuk membantu suami, dia tak akan sibuk sangat dan boleh habiskan masa bersama keluarga dan beribadat sama-sama." Syarah Cikgu Maziah panjang lebar.

"Erm..." Fika mengangguk-angguk tanda faham.

"Tapi jangan pula jadi sebaliknya. Jangan sampai kita kerja tunggang terbalik sehingga lupakan tanggungjawab kita memberi layanan zahir dan batin pada suami. Nak dapat pahala, tapi sebaliknya dapat dosa pulak..." Cikgu Maziah mengingatkan. Sungguh Fika rasa bertuah mengenali wanita yang kaya dengan ilmu dan pengalaman ini.

Dia merenung wajah yang putih bersih itu. Terasa seolah satu ruang kosong dalam hatinya terisi bila setiap kali dia mendapat ilmu yang baru, mengutip pesanan yang amat berharga untuk menampung kekurangan diri. Dia yakin layar hidupnya tak akan karam kerana Allah sentiasa ada untuk menjaganya, selagi dia teguh menjadikan Allah sebagai tempat bergantung.

"Ya Allah. Pimpinlah daku sentiasa, lindungilah daku selalu. Aku lemah Ya Allah. Tetapkanlah imanku. Perbaikilah niatku hanya keranaMu untuk semua yang ingin ku lakukan dalam hidup ini. Terima kasih kerana mengatur pertemuan ini. Hanya Engkau yang dapat membalas segala kebaikan Cikgu Maziah...." Hatinya berbisik tulus...

Nota : Cerpen ini agak lambat saya publishkan biarpun target sebenar ialah untuk meraikan hari ibu dan hari guru. Tertangguh agak lama lantaran kesihatan yang sedikit terganggu. Alhamdulillah, kini semakin pulih. Agak hambar jalan cerita ini, tapi rasanya hanya ini yang termampu.

Andai ada yang baik untuk dijadikan tauladan, ambillah, tapi kalau yang terlihat hanyalah keburukan, jadikanlah ia sebagai sempadan...

Buat semua insan yang pernah mengajar saya erti kehidupan, mahu saya katakan bahawa kalian juga adalah 'guru' saya. Kepada guru-guru yang pernah mengajar saya dulu... hanya ucapan terima kasih yang mampu saya ucapkan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian.

Antara cikgu yang paling ingin saya temui (tapi tak dapat dikesan) ialah Cikgu Razif (cikgu yang mengajar saya membaca) dan Cikgu Isa Senik (cikgu matematik). Keduanya adalah cikgu masa sekolah rendah dulu. Saya pernah kena denda berdiri atas kerusi dan kemudian dicubit tarik oleh Cikgu Isa. Sakit!!! Tapi dia antara cikgu kesayangan saya yang amat saya hormati. Dia tu lebih tua dari arwah ayah saya. Masa saya masuk sekolah menengah, dia dah nak pencen rasanya. Bila diingatkan kembali, saya bersyukur kerana dia pernah denda saya begitu. Kesannya begitu mendalam.

"Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku; dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)." ~ Surah Al-Ahqaf (Ayat 15)