Feb 27, 2009

Bersama Bintang



Annual Dinner 2009 - Movieganza
Meriah!













Menghiburkan!





















Kami harus memilih kostum berdasarkan karekter dalam filem tertentu. Ini adalah antara bintang-bintang filem yang hadir, Madonna, Hang Buah dan Hang Tuah, Hulk, King Kong, Charlie Chaplin, Medusa dan ramai lagi. ;)










Agak-agak, kalau ada teman-teman blogger terjumpa saya kat luar, boleh cam tak? Saya tak pandai bersolek, jadi pakaian ini paling sesuai buat saya. :D


Update : Maaf... saya terpaksa edit n3 ni.... segan bila disebut ttg lirikan mata saya. Paling bimbang bila ia membenihkan sedikit riak di hati saya yg lemah ini. Ampun Ya Allah... Maaf teman-teman blogger semua... :(

Feb 20, 2009

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Akhir)

Assalamualaikum....

Untuk siri 'Penyakit Misteri : Sihirkah puncanya?', mungkin ini adalah perkongsian terakhir saya.

Saya bukan jenis yang suka mencuba perubatan alternatif, apatah lagi yang jelas sekali perbuatan syiriknya terutama amalan berbomoh. Hanya selepas yakin bahawa kaedah yang dijalankan adalah cara yang dibenarkan dalam Islam (yang menggunakan ayat-ayat Quran dan doa), maka saya berani mencuba.

Namun penting untuk kita sedari bahawa bukan saja kaedah perubatan yang perlu dipertimbangkan, tapi ketahanan diri lebih utama. Ketahanan melalui peningkatan iman dan pembaikan amalan diri sepertimana dalam kisah yang di paparkan di blog emjay ini. Dan boleh juga dibaca luahan orang yang pernah terpedaya dengan amalan berubat yang mengelirukan seperti yang terdapat di entry ini.

Untuk sesetengah penyakit, perubatan alternatif yang paling selamat untuk kita lakukan adalah dengan mengubah cara hidup dan cara pemakanan sepertimana yang sering disarankan oleh saudara Emjay.

Sebagai pengakhiran dan sebelum kesimpulan untuk siri ini, biarlah saya ceritakan satu lagi kebenaran yang saya temui.

Saya pernah membawa seorang kenalan cyber berubat dengan seorang pengamal perubatan alternatif. Saya namakan dia A, dulunya dia seorang blogger. A kononnya mempunyai sakit yang membawa maut. Saya bersimpati dan benar-benar berniat untuk membantunya mencuba kaedah perubatan alternatif. Setelah diyakinkan oleh sepupu mengenai kaedah perubatan tersebut, saya menetapkan tarikh dan masa untuk ke sana. Kami bertiga, saya, A dan juga sepupu saya.

Tak perlu saya ceritakan proses perubatan secara teliti. Mungkin lebih baik saya tak gunakan istilah perubatan sebab pertemuan itu lebih kepada mengenal pasti sakit dan puncanya serta cadangan perubatan yang sesuai untuk A. Jika bersetuju, barulah perubatan diteruskan. Setelah mengenalpasti sakitnya, apa yang perlu dilakukan hanyalah solat hajat, bacaan Quran di rumah (bacaan dimainkan dari tape pun takpe katanya), bersedekah, melaungkan azan di rumah dan mandi ais.

Langsung tak ada kaedah yang meragukan kecuali masa soal siasat sakit yang kelihatannya menggunakan 'bantuan luar' (ala-ala permainan spirit of the coin* tapi tak gunakan syiling tapi menggunakan tasbih dan buku). Kami diberi masa untuk berfikir dan membuat keputusan kemudian. Bayaran tertentu hanya perlu dibuat bila rawatan dimulakan.

Setelah seminggu menimbangkan kaedah rawatan tersebut, A membuat keputusan untuk tidak meneruskan. Tak yakin dengan 'kebersihan' kaedah tersebut. Lebih kurang itu katanya pada saya saat menolak usaha yang mahu dilakukan.

Asalnya saya kecewa kerana bagi saya (pada waktu itu), usaha yang sebenar adalah apa yang dilakukan bila rawatan bermula. Dan semuanya menggunakan cara Islam yang 90% dilakukan sendiri. Paling utama, saya tak mahu lagi mendengar buah bicaranya yang jelas lemah dan putus harapan bila bercakap tentang derita sakit dan ajal yang bakal dihadapi. Simpati saya melimpah padanya....

Beberapa bulan selepas itu, terbongkar punca dan rahsia penolakan A bilamana identiti sebenarnya terdedah. Semua tentang A adalah satu pembohongan. Nama yang diberikan adalah nama samaran dan sakitnya juga adalah satu rekaan! Doa yang saya mohonkan untuk dia adalah sia-sia!

Apa yang saya nak tekankan bukanlah pembohongan A (walaupun saya sedih sangat bila tahu saya dibohongi). Tapi bila menilai kembali apa yang pernah berlaku pada diri saya, buat saya berfikir panjang.

Selalu di ceritakan bahawa jin atau makhluk halus ini tahu tentang apa yang kita tak tahu. Mereka mampu melihat apa yang ghaib dan tak nampak dengan mata kasar kita, seperti tahu siapa yang buat khianat, dan makhluk jenis apa yang mengganggu (seperti jin afrit, saka, hantu raya dsb), tahu sejarah peristiwa dan sebagainya.

Andai ini benar, masakan 'pembantu' pengamal perubatan itu tidak mampu mengesan pembohongannya? Yang nyata dan yang terlintas di fikiran saya ialah 'pembantu' itu juga tak mampu menjangkau misteri yg ada dan mungkin juga makhluk pembohong yang kata-katanya banyak tekaan dari kebenaran...

Katakanlah tidak ada seorangpun yang mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi kecuali Allah... (An Naml:65)

Ayat Al-Quran di atas adalah jawapan kepada soalan tersebut.

Dan saya tersedar, bahawa apa jua yang diceritakan oleh 'perantara' (baca : jin) pengamal perubatan (samada yang dipelihara atau dikatakan dihantar oleh musuh yang tak disedari), segalanya mungkin omongan kosong yang harus dibuang jauh-jauh.

Kesimpulan yang saya buat; Mungkin benar ada yang cemburu dan dengki dengan sedikit kelebihan yang ada, tapi menuduh berdasarkan satu kenyataan dari makhluk yang kita tak nampak adalah berdosa! Benar atau tidak, hanya Allah yang tahu. Jika benar, hanya Allah yang berhak menghukumnya, bukan saya. Saya hanyalah seorang hamba Allah yang penuh dengan kelemahan.

Syukurlah sakit hati dan kesedihan yang saya alami hanyalah buat seketika sahaja. Itupun saya pendam dihati tanpa mengambil apa-apa tindakan. Andai ada luka, saya lebih suka membiarkan Allah mengubatinya, membawa pergi pedih hati bersama aliran masa dan airmata keinsafan.

Teringat saya kata-kata seorang teman; "Sakit, penderitaan dan kesedihan yang berlaku dalam hidup kita hari ini datangnya dari Allah... Mungkin ia dugaan untuk menguji keimanan dan mungkin juga ia satu pembersihan dosa untuk kesalahan yang pernah dilakukan (pembalasan). Biar apapun sebabnya, itu sebenarnya tanda Allah sayangkan kita dan mahu kita selalu mengingatiNya... "

Jika melihat ia sebagai pembalasan untuk dosa yang mungkin pernah dilakukan sebelum ini, jiwa lebih terbuka untuk bertaubat. Bertaubat dan beristighfar.... Bukankah Rasulullah yang berperibadi mulia dan di janjikan syurga oleh Allah itu seringkali memohon ampun, bertaubat dan beristighfar, lebih dari 100 kali sehari? Dan kita...?

Saya ingat satu ayat dari cerpen yang pernah saya baca....
"Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..."


Itulah yang saya mahu lakukan, membetulkan jalan dan laluan yang saya lalui, agar dipenghujung perjalanan hidup saya ini, akan saya temui bahagia yang abadi... InsyaAllah.

Mohon Kau bantu hambaMu yang lemah ini Ya Allah...

Nota : Tujuan sebenar saya menulis siri ini adalah untuk menyeru pengunjung blog saya agar berusaha memperbaiki iman di dada, agar ketahanan kita terhadap apa jua pengaruh syaitan dan jin dapat kita minimumkan. Sedarilah bahawa apa jua penyakit hanya Allah yang mampu menyembuhkan, apa jua perkara ghaib, hanya Allah yang mampu menjelaskan. Semoga siri penyakit misteri yang saya tulis ini mampu membuka minda pembaca hanya ke arah kebaikan dan pencerahan fikiran.

* Spirit of the coin - mengikut seorang teman, ianya satu permainan memanggil roh untuk bertanyakan perkara ghaib, ataupun tilikan masa depan. Saya pernah tengok permainan ni dalam satu filem atau drama TV yang saya tak ingat tajuknya.

Feb 16, 2009

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 4)

“Adoi!!! Sakitlah!”

“Kalau kau tak nak sakit, baik kau cakap jawab apa yang aku tanya.!” Jeritnya keras sambil menekan lenganku dengan jari dan lututnya. Kejam!

“Aku tak tahu apa-apa pun!” Nada suaraku keras.

“Mana mungkin kau tak tahu apa-apa. Kau dah lama ikut dia kan?” Ustaz Zamin terus menyoal. Tangannya masih memegang dan `mencekik’ lenganku. Tangan suami masih kuat memegang kaki. Tak mampu ku lepaskan walaupun aku menggunakan seluruh tenaga untuk meronta. Isteri ustaz Zamin memegang tangan yang lagi satu. Sakit!

“Tak tahu! Tak nak jawab!” Jeritku keras. Antara sedar dan tidak.

“Ooo... Tak nak jawab ye! Kau nak terus sakit ye? Aku tak akan lepaskan kau selagi kau tak jawab soalan aku.” Ugut Ustaz Zamin sambil menambahkan tekanan jarinya pada lenganku. Lututnya juga ditekan di lengan. Aku menjerit kuat.

“Sakit lah woi! Gila kau!” Entah dari mana datangnya kebiadapan itu. Tak pernah aku keluarkan kata-kata kasar ataupun caci maki pada sesiapapun apatah lagi pada orang tua yang bergelar ustaz. Ya Allah... ampun!

“Siapa yang hantar kau? Siapa yang dengki dengan Su? Kenapa? Dah berapa lama kau ikut dia?” Soalan ditanya bertalu-talu. Aku mendengus marah. Rontaan dari badan kecilku tak seberapa berbanding dengan tenaga dua lelaki gagah dan seorang wanita bertubuh sederhana yang memegang tangan dan kakiku.

“Kau yang rosakkan benih dalam rahim dia ye?“ soal Ustaz Zahim lagi bila melihatkan kedegilan aku. Aku ketawa mengilai.

“Cakap! Kalau kau yang rosakkan, baik kau mengaku. Kalau tak, aku tak akan lepaskan kau.“ Ugut ustaz Zahim lagi. Tekanan semakin kuat. Sakitnya tak mampu aku gambarkan. Sepanjang hidup aku, tak pernah aku disakiti dengan sengaja.

“Ya! Ya! Ya!... Aku yang makan benih dia! Puas hati?“ Aku menjawab kasar. Kemudian ketawa mengilai.

"Siapa yang hantar? Kenapa?" Soal Ustaz Zamin. Mulutnya terus menperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Ayatul Qursi dan ayat-ayat dari surah Al-Baqarah. Ayat yang memang biasa aku dengar.

Aku mendengus kuat. Memprotes dan menunjukkan rasa benci bila di soal bertalu-talu. Marah dan geram bercampur. Mungkin sakit akibat dari cengkaman tangannya yang bersarung membuatkan aku rasa begitu.

Melihatkan aku semakin kuat meronta dan enggan bekerjasama, Ustaz Zamin mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan lebih kuat lalu dihembuskan ke mukaku. Berkali-kali dilakukan begitu.

Rontaan semakin lemah. Sakitnya lengan yang ditindih dengan lutut dan ditekan kuat oleh jejari kasarnya tak mampu digambarkan. Melawan tak berguna. Sudahnya entah kisah dogengan apa yang keluar dari mulutku. Bercerita untuk menjawab segala soalan yang diajukan.

“Ini syarat aku. Lepas ni kau pergi dari sini, jangan ikut dia lagi. Jangan balik ke rumahnya. Jangan ganggu dia dan keluarganya......” Panjang lebar syarat yang diberi. Persetujuan dicapai. Aku keletihan. Tekak ku kering dan lenganku terasa kebas walaupun pegangan telah dilonggarkan.

Kononnya ada yang mencemburui keluarga kami, ayah dan mak mertua saya terutamanya, lalu dihantar makhluk halus berupa jin untuk `mengganggu’ kami, menjejaskan fizikal dan mengacau bilaukan emosi.

Setelah rawatan itu, aku pulang dengan perasaan lega. Badanku terasa ringan sekali. Dibekalkan dengan sebotol air putih yang telah dibaca ayat-ayat suci Al-Quran yang memang selalu ku baca dan ku dengar. Ayat-ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah, yang diberikan ustaz kutampal di dinding rumah, dengan harapan, ’benda itu’ tak kembali mengganggu diri.

Tapi entah kenapa walaupun telah kuminum air bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan kutampal tulisan ayat-ayat suci, ada ketika bulu romaku meremang, seolah ada sesuatu yang `mengusik’.

Kunjungan kali kedua disyorkan untuk memastikan aku `bersih’ dari gangguan. Sayangnya masih ada yang mengekori. Bukan seekor rupanya, tapi berekor-ekor. Segala cerita yang entah dari mana terhembur keluar bila lenganku yang masih biru akibat rawatan lepas kembali di tekan dengan tangannya dan ditindih dengan lutut.

“Kalau ada apa-apa yang nak ditanya, tanyalah masa ni.“ Kata ustaz. Suamiku memandang Bahari (bukan nama sebenar), temannya yang datang bersama isteri untuk menemani kami pada kunjungan kali ini.

“Nak tanya pasal opis saya boleh ustaz? Sebab kat opis tu selalu ada benda pelik jadi.“ Tanya Bahari cepat.

“Tanyalah. Mungkin dia tahu sesuatu. Yelah, jin ni benda ghaib yang boleh bergerak dengan cepat. Mereka boleh tanya dengan makhluk sesama mereka.“ Jawab ustaz.

Omongan diluar kawalanku diperdengarkan lagi. Entah nama siapa yang kusebut. Membuat tuduhan pada insan yang tak ku tahu wujud atau tidak.

Kali ketiga, masih sama. Aku jelak. Letih. Sakit. Kecewa. Curigaku bertambah dan bercambah, bukan hanya pada orang tertentu, tapi pada semua orang. Lemas, rimas dan cemas memikirkan apa sebenarnya yang berlaku pada diri.

Kejadian yang membuatkan bulu romaku meremang semakin kerap berlaku. Tak semena-mena. Aku benci. Hatiku mula berbisik, benarkan apa yang aku lakukan? Allah memang mahu hambaNya berusaha. Dan aku telah memilih kaedah yang tak ragu dihati untuk mencuba. Mungkinkah masih salah? Dari mana sebenarnya kisah dogengan yang begitu berkebetulan dengan apa yang terjadi itu diperolehi? Dari mana `benda tu’ tahu?

Aku membuat keputusan untuk membiarkan saja. Aku tak nampak dan aku tak dengar. Aku tak mahu diselubungi rasa takut yang tak berkesudahan. Tak selesa bila hati dibaluti curiga tika aku bersendirian.

“Kalau apa yang ada dihati tak kita suarakan, adakan `benda’ tu akan tahu juga?” Aku menyoal diri. Jahilnya aku. Ampun Ya Allah....

Persoalan di fikiranku semakin sarat. Semakin bercelaru hatiku jadinya bilamana Bahari mengesahkan bahawa tak wujud langsung orang yang bernama seperti yang kusebut sebelum (tika diri dalam kerasukan) ini didalam sejarah officenya. Lalu bagaimana nak kuyakini bahawa jin yang dikatakan mendiami diriku itu tahu segala kisah ghaib dan bercakap benar?

Dia adalah Tuhan yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu kecuali kepada Rasul yang diredai. (Al-Jin : 26-27)

Katakanlah tidak ada seorang pun yang mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi kecuali Allah .... (An Naml:65)


Aku sedari sesuatu.

Aku yakin Allah yang ilhamkan untuk membantuku. Sesuatu yang buat corak fikiran ku mula berubah.

Aku memangnya insan yang kurang ilmu, lemah iman dan sedikit sekali amalan. Mungkin itulah puncanya. Aku dan diriku adalah punca segalanya!

Mungkin kerana kelemahan dan kekurangan diri, unsur asing itu (jin yang dihantar oleh mereka yang kononnya dengki pada kami, entah benar wujud dalam diriku, entah tidak. Allah lebih tahu.) seringkali kembali dan menguasai diri. Lalu kenapa aku harus salahkan orang lain?

Bukankah aku yang salah? Aku leka dan lalai untuk memperbaiki diri! Aku yang lemah iman! Aku yang tak punya ketahanan diri dari pengaruh syaitan!

Jika benar ada jin yang mendiami jasadku selain dari ruhku, yang turut mengalir disetiap titisan darah dan urat sarafku, ianya adalah kerana kelemahanku. Mungkin kerana fikiran dan hatiku yang kotor. Mungkin kerana diriku yang penuh dengan dosa.

Sungguh tak pantas untuk aku mencari jalan mudah menyalahkan dan menuduh orang lain atas nasib diriku. Aku bersalah Ya Allah. Aku berdosa Ya Allah.

DariNya aku datang... KepadaNya aku kembali..... PadaNya aku berserah dan berdoa.

‘Laluan dan jalan yang kutelusuri ini, harus kubetulkan kembali. Lemah diriku dan tipis imanku perlu ku perbaiki. Cinta dan kasih pada Allah perlu kupenuhkan di segenap ruang hati. Harapan dan impian untuk menjadi seorang ibu, hanya Allah yang mampu memenuhi. KepadaNya aku meminta pertolongan, kepadaNya kupohon perlindungan. Jin dan syaitan tak akan mampu merosakkan benih yang bercambah di rahimku, jika Allah tak mengizinkannya.’
Aku yakin itu! Hatiku berbisik, mencari kekuatan yang hilang terhakis oleh kejahilan diri.

Tadahan tanganku memohon doa semakin kerap. Sujudku juga semakin lama. Merasai kehinaan diri sebagai hamba yang lemah.

‘Ya Allah, bantulah kami Ya Allah. Andai kami layak menerima anugerahMu itu, kurniakan kami dengan zuriat yang baik. Zuriat yang mahu kulahirkan dari rahimku ini. Zuriat yang kuharapkan akan dapat kami didik untuk menjadi hambaMu yang taat pada perintahMu, akur pada suruhanMu dan menjauhi laranganMu.'

'Berikan aku peluang untuk meramaikan umatMu, melahirkan khalifah yang teguh pada agamaMu, yang mampu menyumbangkan kebaikan di dunia dan di akhirat nanti. Bantulah kami Ya Allah, permudahkan usaha kami untuk mendapatkan zuriat Ya Qadir, kabulkan doa kami Ya Mujiib’


Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya ? (Az- Zumar : 36)

Cukuplah Allah sebagai penolong kita, dan Dia adalah sebaik-sebaik penolong.


Ya Allah, ampuni daku, maafkan daku.
Ya Tawwab, terimalah taubatku.
Ya Mu’id, kembalikan daku pada jalanMu.
Ya Hadi, berikan aku petunjukMu.
Ya Ghaniyy, bantulah daku untuk perbaiki iman dan amalku.
Ya Waliyy, lindungilah daku dari kesesatan.
Dekatkan aku padaMu Ya Allah....

'Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan dan memberi rahmat pd kami, nescaya jadilah kami dari kalangan orang yang rugi.'