Jun 29, 2009

Rajuk selipar...?

Entry kali ini bukan sambungan entry yang lepas-lepas. Bukan catatan harian yang berturutan, tak seperti kisah sebelumnya.

Cerita yang ingin saya kongsi ini, rasanya tak begitu menyentuh perasaan. Namun setiap peristiwa yang berlaku, bagi saya ada sebabnya, ada rahsia yang Allah mahu tunjukkan. Bukti kekuasaanNya, kebesaranNya, keluasan ilmuNya....

'Hilang selipar masa kat masjid, memang biasa berlaku. Mungkin ada yang tertukar dan terambik, mungkin terlupa letak. Tapi, eloknya sebagai ikhtiar, bungkus selipar tu dgn beg kain atau plastik, senang kenal bila nak ambik masa balik. Ataupun, bawak je sekali. Tapi pastikan selipar tu bersih lah. Macam tu nak keluar dari pintu mana pun mudah.' Itu pesan mertua saya.

Kisah selipar memang banyak sekali. Yang diceritakan dan yang dialami... Yang dilihat sendiri cukup terpahat dihati.

Suami saya bertukar selipar sebanyak 4 kali. Saya? Kekal, setia dengan satu selipar sahaja. Ops... nombornya agak popular, kan? Ish... nasib baik cuma kisah selipar.

Selalu saya diingatkan, bila berada di Madinah atau di Makkah, hati-hati dengan lintasan fikiran dan juga apa yang di sebut. Bila difikirkan balik, setiap yang berlaku adalah bersebab. Tempat mustajab sebegini, dikabulkan apa yg dikata, diuji untuk melihat tahap kesabaran diri.

'Ish... letak macam ni je ke? Hilang nanti, macamana?' Bisik hati suami, semasa solat Subuh hari pertama di Masjid Nabawi. Seliparnya di bungkus dalam plastik bersama dengan selipar Pakcik Salleh dan diletakkan di rak kasut yang tersedia.

Usai solat Subuh, suami saya keluar dari masjid dengan kaki berbogel, atau dengan kata lain, berkaki ayam. Kaki Pakcik Salleh pula tetap selesa menyarungkan selipar kesayangannya. Suami saya hairan, kenapa hanya seliparnya yang hilang, sedangkan ia diikat di dalam plastik yang sama? Kalaulah selipar itu boleh bercakap, pasti saya akan mengandaikan yang mereka bergaduh besar, lalu selipar suami saya melarikan diri. :D

Tapi bila difikirkan, mungkin itu akibat dari hati yang tak yakin, terlupa bahawa Allah itu Maha Mengawasi dan Maha Menjaga. Membungkus dan meletakkan di rak itu ikhtiar saja, tapi jagaan sebenar datangnya dari Allah. Berusaha dan bertawakkal, itu seharusnya. Jangan was-was dan ragu bila lakukan sesuatu, apatah lagi ditempat mulia sebegitu.

Tersenyum penjual selipar bila helaian rial bertukar tangan.

"Tak sedaplah pakai selipar ni. Licin..." Kata suami saya seakan bersungut ketika melangkah masuk ke masjid di Bir Ali, tempat untuk miqat (berniat umrah) dan solat sunat. 3 langkah menapak ke depan, dia hampir tergelincir. Selesai solat di Bir Ali, selipar itu merajuk. Hilang membawa diri. Memang rezeki penjual selipar lagi nampaknya. Sandal baru dibeli, lima rial sahaja.

Mungkin sebenarnya Allah mahu menyelamatkan suami saya dari risiko kecederaan akibat memakai selipar yang licin. Allah lebih tahu...

Di Makkah, kami bersetuju membimbit selipar masing masing. Membungkusnya dalam plastik dan dibawa bersama. Saya mengikatnya di beg tapi suami memasukkan kedalam beg kecil yang diberikan oleh travel ejen untuk setiap jemaah. Ukuran yang melebihi saiz beg sandang membuatkan begnya tak dapat di zip.

Hajar Aswad seakan memanggil. Cubaan pertama gagal, namun ia tak mematahkan semangatnya. Suami saya nekad. Selesai solat sunat taubat dan hajat, dia menyertai kelompok ramai yang mempunyai niat yang sama, mencium Hajar Aswad.

Berjaya! Alhamdulillah... Tapi seliparnya hilang bersama kesesakan. Mungkin terjatuh. Ye lah... beg tak zip, potensi untuk selipar tu jatuh memang ada. Tak pe, yang penting, dia berjaya mencium Hajar Aswad.

Kami ke Bin Dawood (supermarket di dalam bangunan kompleks membeli belah di Makkah) untuk mencari selipar ganti. Lucu juga melihatkan dia berkaki ayam mengelilingi kedai. Yang dijumpa, tak berkenan dihatinya. Sudahnya saya minta dia cari sendiri. Saya tak mahu ikut, hanya duduk menunggu ditepi satu kedai makan.

Akhirnya dia kembali dengan selipar yang baru di beli dari penjaja wanita berkulit hitam yang banyak terdapat di sekitar kawasan Hilton. Saya agak mereka menjual tanpa permit kerana bila saja polis datang, mereka bertempiaran lari sambil menggendong bungkusan barang jualan.

"Lamanya. Selipar apa yang abang cari? Lama betul...." Saya bertanya.

"Lama ye? Abang cari yang elok sikit." Katanya menjelaskan.

"Alah... nak pakai buat lapik kaki je. Cari selipar jepun biasa dah le. Selesa jugak. Lagipun takat nak pakai buat datang masjid je kan..." Balas saya, sedikit geram. Walaupun tahu dengan sikapnya yang memang adakalanya memilih, tapi kali ini saya rasa ia tak sesuai dengan masa dan tempat.

"Bukan mahalpun. Sepuluh rial je. Abang beli kat orang kulit hitam yang menjaja tu je. Yang penting selesa nak berjalan." Jelasnya memberi alasan. Alasan yang sama setiap kali dia pergi bershopping.

"Tak pelah, kalau abang cakap macam tu. Yang penting kaki abang tak sakit." Walaupun rasa tak puas hati masih ada tapi saya mengambil keputusan untuk menguburkan saja. Tak mahu memanjangkan isu.

Namun jodoh selipar itu dengan kaki suami saya tak panjang. Kali kedua mencium Hajar Aswad, selipar hilang lagi. Saya terfikir, adakah disebabkan sikap saya yang tak puashati dengan suami berkenaan dengan selipar, maka kehilangan itu berlaku kesekian kalinya, atau kerana Allah nak memberi pengajaran buat suami tentang sikapnya yang suka memilih tak kira tempat? Allah Maha Mengetahui.

Kali ini, saya bertekad untuk mengikut suami membeli selipar. Tempat yang sama di tuju, tapi tak ada lagi jualan selipar murah seperti sebelumnya. Terpaksalah kami mencari di kedai-kedai yang ada disepanjang jalan. Dari satu kedai ke satu kedai kami masuk, tak ada yang dapat memaut hatinya. Saya letih. Dan saya tahu kakinya sakit.

"Abang... Tak payahlah pilih lagi. Beli saja selipar jepun biasa. Kan nak pakai kejap je masa kat sini. Lusa dah nak balik. Su dah tak larat ni." Saya bersuara lemah. Memujuk dengan cara memancing simpati. Dia memandang saya sejenak, lantas mencapai sepasang selipar jepun dan terus membayarnya. Selesai.

Selipar itu akhirnya selamat pulang bersama kami ke Malaysia dan kini sedang berkhidmat di kampung. :)

Itu kisah selipar suami saya. Kisah orang lain, masih banyak yang belum dikhabarkan. Namun saya ingin berkongsi cerita selipar yang berlaku di depan mata, yang saya rasa cukup berkesan di hati.

Kisah 1 : Seperti yang di ceritakan oleh suami saya;

"Sekiranya di tempat kita, kalau sekadar berbisik di hati mahu berlaku jahat, Allah tak akan mencatatkannya sebagai dosa, apatah lagi menghukum niat jahat yang dilakukan, tapi di sini tidak begitu. Allah akan hukum biarpun hanya terlintas jahat di hati." Pesanan Ustaz Jaafar.

Seorang lelaki mundar mandir ditempat letak kasut di kawasan Kaabah. Dia membelek bungkusan kasut yang ada di situ. Satu demi satu plastik yang berisi kasut di buka. Setelah beberapa plastik dibuka dan ditutup kembali, akhirnya dia mengeluarkan salah satu kasut, meletaknya dilantai dan mencubanya. Tiba-tiba satu kerusi roda merempuhnya dari belakang. Wajahnya menyeringai kesakitan. Kasut yang dicuba tadi dimasukkan balik ke dalam plastik dan dia kemudiannya berlalu pergi.

"Kalau itu memang hak dia, buat apa nak bukak tutup uncang selipar orang lain, lepas tu cuba-cuba pakai. Ambik dan pergi je lah. Lagipun itukan dalam kawasan masjid, mana boleh pakai selipar." Kata suami saya.

"Mungkin selipar dia hilang dan dia cuba nak ambik selipar orang lain sebagai ganti. Tapi Allah tak benarkan. Itu yang dia kena langgar kat wheel chair tu. Allah sebenarnya nak tegur niat dan perbuatan dia tu...." Balas saya, meneka.

Jika benar tekaan saya, mungkin itu salah satu cara Allah 'bayar cash' bila hambaNya cuba melakukan sesuatu yang salah dirumahNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di hati.

Kisah 2 : Ketika pulang dari Raudhah, lebih kurang pukul 12 lebih.

"Kak su, saya nak singgah kejap kat tempat rak kasut depan pintu tu. Tengahari tadi kasut saya hilang, tinggal sebelah je." Jelasnya semasa kami balik dari solat di Raudhah.

"Habis tu, As balik macam mana tadi?" Tanya saya ingin tahu.

"Balik dengan sebelah kaki ayam la. Tak nak saya ambik orang lain punya." Tegasnya mempertahankan pendirian.

Kami mengintai timbunan kasut yang ada. Menurut salah seorang jemaah yang juga ada di situ, kasut itu bakal dibuang. Pekerja wanita yang bertugas membersihkan masjid akan mengumpulkan kasut yang tidak diambil tuannya selepas beberapa hari. Ada yang tidak dituntut, ada yang pasangannya tak cukup.

"Tak ada pun." Kata As kecewa, kemudian dia menyambung; "Tak pelah. Dah bukan rezeki saya agaknya." Redha. Dan kami melangkah keluar.

"Nanti kita cuba tengok rak kasut yang kat luar pintu lain pulak. Mana tahu kot tersesat kat situ." Cadang saya. Dia mengangguk. Makcik Ani membontoti dari belakang. Kami terus mengatur langkah untuk pulang. Jarum jam telah melepasi angka 12.

"Haa... itu ada satu rak kasut. Jom kita pegi tengok." Laju dia melangkah. "Ya Allah... biarlah ada kasut tu kat situ." Doa As jelas saya dengar. Amin... Bisik saya dalam hati.

"Kak Su!!!... Ada laa... Kasut saya ada!" Katanya girang. Alhamdulillah...

"Heheh... Jodoh As dengan kasut tu masih panjang nampaknya..." Saya tumpang gembira.

Hilang sebelah kasut, mungkin Allah mahu menguji teman saya itu. Mahukah dia pulang berkaki ayam, atau mengambil jalan mudah, 'meminjam' kasut orang? Nampaknya dia lulus, dan Allah pulangkan kembali apa yang disembunyikan buat seketika.

Walaupun entry ini hanya kisah sepasang selipar/kasut, tapi bagi saya semua yang saya kutip di sana terlalu mahal ajarannya. Menyemak kembali apa yang di lalui, menilai kesannya pada hati yang mencari erti, sungguh saya bersyukur pada Allah kerana dijemput ke rumahNya....

Syukur Ya Allah.

Jun 26, 2009

Anugerah di Raudhah

Di Madinah, antara tempat yang amat makbul doa adalah di Raudhah.

"Raudhah dibuka sampai pukul berapa ye?"

"Untuk perempuan, sampai pukul 12 malam. Kalau lelaki, bila-bila masa boleh masuk."

"Bukanlah... untuk perempuan rasanya sampai pukul 10.30 saja. Lepas waktu tu, pintu dah tutup, tak boleh masuk lagi."

Perbualan rakan jemaah.

Saya berkira-kira sendiri. Kebanyakan mereka telahpun pergi ke Raudhah semasa hari pertama lagi, ketika 'ziarah dalam' dengan bimbingan dari Ustazah. Saya belum. Keadaan saya tika itu tak mengizinkan saya menyertai mereka. Selesai solat Zohor tadi, orang terlalu ramai. Maklumlah hari Jumaat, hari yang penuh keberkatan. Tambahan lagi fikiran saya tertumpu pada suami, tak sabar nak menyampaikan berita gembira ini. 'Abang! Su dah boleh solat!' Terasa ingin menjerit saja.

Raudhah. Dengan masjid yang sebegini besar, arah mana yang perlu dituju?

"Kau masuk dalam masjid tu, ikut je laluan orang ramai yang menuju ke tengah masjid. Kebanyakan mereka memang nak ke Raudhah. Adakalanya kau boleh tengok ada polis yang mundar mandir, dan sesekali menjerit 'Ziarah! Ziarah!!' Itu tunjuk arah untuk orang-orang yang nak ke Raudhah." Terang Anizah, rakan jemaah MSSAAS yang telah beberapa kali menjadi tetamuNya.

Saya cuba mengingat kembali apa yang pernah dia ceritakan.

Tangannya rancak melakar garis-garis di atas helaian kertas. Saya memerhati dengan tekun, bersungguh-sungguh untuk cuba menghafal dan memahami apa yang diterangkan.

"Kawasan Raudhah sebenarnya adalah kawasan lelaki, kita tak boleh masuk. Tapi pada waktu ia dibuka untuk perempuan, tirai sekatan akan dibuat. Tiang-tiang macam tiang Jibril, tiang Aisyah dan beberapa tiang lagi yang ada kat Raudhah, memang kita tak boleh nampak. Mimbar Rasulullah, makam Nabi dan sahabat pun kita tak boleh nampak." Dahiku berkerut. Bagaimana nak tahu itu kawasan Raudhah kalau tak boleh tengok penanda yang dikatakan tu?


"Kita tak boleh masuk macam tu je. Sekarang ni, mereka akan kumpulkan kita dalam kumpulan sebelum di benarkan masuk. Selalunya jemaah Malaysia gabung dengan Indonesia. Mereka tempatkan kita di satu sudut dalam masjid tu. Lepas tu tunggulah sampai polis tu panggil, suruh masuk." Dia menjelaskan seteliti mungkin.


"Aku selalunya akan cuba solat kat depan sekali. Rapat ke kiri dan tunggu giliran sehingga ada ruang untuk menuju ke depan. Nanti akan ada ruang untuk kau solat. Polis selalunya tak bagi solat lama-lama. Sebab ramai lagi yang nak solat. Kalau nak mintak apa-apa, berdoa masa sujud...." Nasihat Anizah. Saya mengangguk tanda faham.


Hati sedikit ragu. Alangkah baiknya kalau boleh ke sana bersama suami. Dia dah sampai ke Raudhah, dah solat berkali-kali disana.

"Yang tak boleh masuk ikut pintu utama yang selalu abang guna tu. Dalam masjid ni, tempat lelaki perempuan disekat, pintu masukpun diasingkan. Tak boleh abang nak bawak Yang." Katanya sambil tangannya memegang gelas yang berisi air oren. Waktu makan, itulah waktu untuk kami bertemu dan bercerita.

"Tak pelah, cubalah tanya sapa yang nak pegi. Kalau ada kawan nanti, tak de lah abang risau sangat." Tanbahnya lagi.

"Nanti Su tanya. Kalau tak de sapa nak pegi, Su ingat nak pegi jugak. Rugi kalau tak solat kat sana. Allah dah bantu Su, bagi Su boleh solat kat Masjid Nabawi, tak kan Su nak sesiakan peluang untuk ke Raudhah macam tu saja." Kata saya sambil mencari dan mengumpul keyakinan diri. Tak mahu menerbitkan kebimbangan dia untuk sesuatu yang boleh dilakukan, walaupun saya bersendirian.

'Ya Allah... permudahkanlah laluanku ke Raudhah...' Bisik hati saya.

Selepas solat Isyak, saya pulang ke hotel untuk makan. Kemudiannya saya masuk ke bilik untuk mengemaskan diri dan memperbaharui wuduk sebelum kembali melangkah ke Masjid Nabawi.

"Kak su nak ke Raudhah tak malam ni?" Tanya teman sebilik saya, As yang datang bersama suami dan ibu mertuanya. Dia bertanya sebelum sempat saya membuka mulut.

"Memang nak pegipun. As nak ikut? Dah boleh solat?" Saya meminta kepastian. Dia sebenarnya mengalami haid yang tidak teratur. Baru saja suci, sempat bersolat beberapa waktu dan tiba-tiba haidnya datang lagi.

"Jumaat tadi saya dah solat. Ingat nak pergi. Mak pun nak pegi jugak." Jelasnya.

"Makcik dah pegi kan?" Pandangan saya jatuh ke wajah tua itu.

"Dah. Tapi As nak pegi, makcik nak ikutlah jugak." Jawabnya sambil tersenyum.

"Oklah, kalau macam tu, kita pergi samalah nanti." Hati saya lega. Ada teman, saya lebih yakin untuk melangkah.

"Tutup pukul berapa ye? Ada yang cakap pukul 10 pun dah tutup. Ada yang kata pukul 12." As bersuara. Jam menunjukkan pukul 9.50 malam.

"Entahlah. Tak pe, kita pergi je. Kalau ada rezeki kita, insyaAllah boleh masuk. Tapi kita kena pegi cepat. Lambat pegi karang, lambat pulak balik." Saya nekad.

Pukul 10.20 malam. Kami bertiga mengatur langkah memasuki Masjid Nabawi. Orang masih ramai walaupun tidak seramai waktu solat fardhu. Seolah ada satu aliran manusia yang menuju ke satu arah yang sama. Saya yakin, mereka juga mahu ke Raudhah.

Sampai di satu ruang, saya boleh nampak kumpulan jemaah diasing-asingkan.

"Hajjah!! Hajjah! Sini!" Kedengaran suara memanggil. Saya meninjau, mencari arah suara tersebut. Rupanya polis wanita berpakaian hitam bertudung litup itu yang menyeru. Tangannya melambai-lambai ke arah kami dan menunjuk ke arah satu kumpulan jemaah yang bertelekung putih. Jemaah dari Indonesia.

Saya berdiri, memerhati persekitaran. Beberapa orang polis mundar mandir, sambil mengawal jemaah yang datang. Apa yang saya perhatikan, untuk arahan ringkas, mereka mampu menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh jemaah, tapi dengan slang yang sedikit lain, membolehkan saya tahu bahawa penuturnya bukan Melayu.

"Hajjah! Duduk!" Bahu saya dipegang. Saya mengangguk. Saya melihat Makcik Ani yang berada berdekatan tiang, sedang menunaikan solat sunat. Saya tersedar. Seharusnya saya solat sunat tahiyatul masjid sebaik saja masuk, sebelum duduk.

"Allahuakbar..."

Selesai menunaikan solat, sambil menunggu giliran dipanggil, saya hanya berzikir. Mata saya leka memerhatikan gelagat para jemaah. Ada yang tidak sabar, meluru masuk bersama kumpulan lain. Bangsa Arab rasanya, dengan pakaian jubah serba hitam.

Agak lama menunggu, kumpulan jemaah dari Asia (Malaysia dan Indonesia) belum dipanggil. Sabar. Bertenang. Hati saya tertanya, adakah kami dianaktirikan? Dengan kumpulan yang tak ramai seperti jemaah lain, seolah kami dibiarkan menunggu lebih lama.

Seingat saya, hampir sejam menunggu, barulah kami dibenarkan masuk. Jemaah bersesak dan bertolak-tolak untuk masuk. Saya memegang Makcik Ani dan As. Bimbang terpisah dalam kelompok yang ramai. Namun tekanan demi tekanan akhirnya meregangkan pegangan kami.

"Macam mana nak solat ni. Ramainya..." Kata saya.

"Kak su, susah nak solat kalau kita nak duduk sekali. Kita ikut arus je lah. Nanti lepas solat, kita jumpa kat luar. Kat tempat menunggu tadi ke..." Kata As memberi cadangan.

"Oklah kalau macam tu." Tak lama, As hilang dalam kelompok orang ramai. Makcik Ani masih bersama saya. Bimbang juga nak membiarkan dia sendirian. Sedikit ruang yang ada, pasti ada jemaah yang bersolat. Walau payah, walau sempit, mereka tak lepaskan peluang. Kalau nak melangkah walaupun setapak, harus berhati-hati, jangan sampai terpijak kepala orang yang sedang sujud.

"Makcik, kita ke depan ye. Kita tuju saf paling depan." Cadang saya sambil tangannya tak saya lepaskan. Dia mengangguk.

Tiba-tiba bahu Makcik Ani dicuit. Ada sedikit ruang terbuka bila salah seorang jemaah Arab selesai menunaikan solat. Dengan menggunakan isyarat tangan, dia mempelawa Makcik Ani mengambil ruangnya untuk solat. Makcik Ani memandang saya, seolah meminta pandangan.

"Tak pelah, dah ada peluang ni, makcik solatlah kat sini. Su nak pegi depan. Nanti bila dah selesai, makcik keluarlah ye. As dah janji nak tunggu kat luar. Makcik dan As balik dululah, tak payah tunggu Su." Kata saya.

"Ye lah." Jawabnya ringkas. Lengannya yang saya paut kemas sedari tadi, saya lepaskan. Dia mengangkat takbir dan saya terus mara ke depan bersama kumpulan jemaah yang masih menunggu giliran untuk solat.

Saya teringat amalan sunat ketika berada di Raudhah yang di baca dari buku panduan umrah. Salah satunya ialah salam dan selawat kepada Rasulullah dan para sahabat. Dengan suara perlahan, saya membisikkannya. Tak lupa juga kiriman salam dari teman dan saudara buat kekasih Allah.

Saya sebenarnya tak berapa suka berada dalam kesesakan manusia, tak suka berbaris panjang, bertolak-tolak menunggu giliran sambil berdiri dengan badah basah dengan peluh. Rimas. Cukuplah pengalaman semasa pendaftaran subject setiap awal semester, lama dulu.

Tapi di sini, menunggu giliran untuk sujud ditempat paling 'mahal' di Masjid Nabawi ini, memberikan saya perasaan yang berlainan. Ingatan saya tertumpu pada gambaran padang Mahsyar. Entah kenapa. Saya terfikir, bagaimanakah nanti tika semua manusia dikumpulkan, menunggu nama dipanggil untuk dibentangkan timbangan dosa dan pahala. Gerun. Hati saya bergetar.

'Ya Allah... bantulah daku. Berikan aku ruang untuk solat di saf paling depan. 2 rakaat pun jadilah....' Hati berbisik dan berdoa, sambil mulut saya beristighfar, memohon ampun atas segala doa yang menimbun.

Bila badan terdorong ke depan, itu tandanya ada jemaah berganti solat. Sehinggalah saya hampir ke saf sasaran, baru saya perasan ada polis yang menunggu, berdiri memerhati jemaah solat di barisan paling depan. Jemaah yang telah selesai solat dua rakaat diarahkan bangun, lalu terbukalah ruang pada jemaah yang lain.

Saya teringatkan pesan mak mertua saya. "Di Raudhah, solatlah mengikut keadaan. Cukup dengan dua rakaat jika keadaan tidak mengizinkan. Jangan berdoa berjela-jela selepas solat, tapi berdoalah dalam keadaan bersujud. Kerana tika itu kita paling hampir dengan Allah. Dan polis juga tak akan halau bila dilihatnya jemaah masih dalam keadaan bersujud."

Saya antara kumpulan jemaah yang terakhir. Tika saya bangkit dari sujud yang panjang, kesesakan sudah mulai surut. Menghormati jemaah yang masih menunggu giliran dibelakang, saya bangkit untuk beredar. Selang beberada langkah, saya lihat ada ruang kosong. Saya menoleh kiri dan kanan, melihat jika masih ada jemaah yg berhampiran mengintai ruang untuk solat. Tak ada.

'Ini rezeki ni.' Bisik hati saya. Tanpa berlengah, saya memperkemaskan kedudukan dan sekali lagi saya mengangkat takbir, menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat. Memohon ampun, berdoa dan menangis semahunya...

'Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah, kerana Kau izinkan aku solat disini.' Mata saya merah, basah. Mengingati betapa pemurahnya Allah pada saya. Saya hanya minta diberikan peluang untuk solat dua rakaat, tapi Dia berikan saya ruang untuk solat enam rakaat!

'Abang! Su dapat solat di Raudhah!' Terasa mahu menjerit, mengkhabarkan nikmat yang Allah berikan pada saya.

Tepat pukul 12 malam... Saya melangkah keluar dari Masjid Nabawi dengan perasaan girang yang tak mampu saya gambarkan....

Nota : Raudhah dibuka sehingga pukul 12 tgh malam. Tapi pintu untuk masuk ke masjid Nabawi akan ditutup lebih awal.

Jun 19, 2009

Alhamdulillah....

Hati saya gementar. Harapan masih menimbun walaupun masa kian singkat. Esok pagi perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah akan diteruskan. Apakah sempat saya mengutip gandaan pahala di Masjid Nabawi?

'Ya Allah... berikan aku kesempatan untuk memasuki Masjid Nabawi dan beribadat di sini. Berikan aku peluang untuk merasai nikmat solat di masjid nabi ini. Permudahkanlah laluan aku untuk ke Raudhah... Ya Allah... aku milikMu, diriku dlm kawalanMu... hanya Engkau tempat aku mohon pertolongan. Tolonglah aku Ya Rahman...' Setiap kali ada ruang untuk berdoa, hati saya akan membisikkannya.

Ibarat menunggu keputusan peperiksaan, debaran memenuhi setiap rongga badan dan menggoyah setiap sendi. Azan Zohor akan berkumandang dalam masa lebih kurang 2 jam lagi. Subuh tadi masih memberikan keputusan negatif terhadap doa saya. Mungkinkah masih ada sisa merah yang tertinggal?

Balik dari ziarah luar, saya bergegas ke bilik. Masuk ke bilik air.... Maha Suci Allah!!!... Alhamdulillah!!... Bagai mahu menjerit rasanya...

Lebih kurang pukul 12 tengah hari, saya melangkah sendiri penuh gagah. Bersemangat laksana pahlawan perang yang mahu berjuang. Jauh di sudut hati ada kerisauan, bimbang andai ibadat saya tak sempurna seperti seharusnya. Maklumlah, ini kali pertama. Namun ada ketika saya rasa jejak kaki saya bagaikan seorang pemenang, melangkah laju saat mahu menerima hadiah.

Kini saya bersama-sama kelompok ramai, berjalan menuju pintu masuk Masjid Nabawi. Senyum saya melebar. Ucapan syukur meniti bibir. Terima kasih Ya Allah... Syukran Ya Rahman...

Di pintu masjid, polis wanita dengan pakaian hitam tertutup litup memeriksa beg yang saya bawa. Seorang polis wanita yang bersebelahan memeriksa seorang jemaah dan menjumpai telefon bimbit berkamera. Sambil menunjukkan handphone itu, dan menggerakkan tangan kearah luar masjid, dia menuturkan sesuatu dalam bahasa Arab yang saya tak faham. Namun dari isyarat tangannya saya mampu mengagak. Dia menyuruh wanita itu solat di luar.

Memangnya hanya satu perkataan yang saya boleh faham... "Amanah... Amanah..." Mungkin menerangkan pada jemaah tersebut bahawa dia cuma menjalankan amanah dan tanggungjawab. Sememangnya sebarang alatan untuk mengambil gambar, samada handphone atau kamera tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid. Namun ada juga yang terlepas... termasuk suami saya.

Saya mengeluarkan plastik untuk mengisi selipar dan meletaknya di rak yang disediakan, seperti yang dipesan oleh mertua saya.

'Hilang selipar masa kat masjid, memang biasa berlaku. Mungkin ada yang tertukar dan terambik, mungkin terlupa letak. Tapi, eloknya sebagai ikhtiar, bungkus selipar tu dgn beg kain atau plastik, senang kenal bila nak ambik masa balik. Ataupun, bawak je sekali. Tapi pastikan selipar tu bersih lah. Macam tu nak keluar dari pintu mana pun mudah.'

Di celah-celah ribuan manusia yang telah mula memenuhi masjid, saya mencari ruang untuk menunaikan solat. Jelas sekali tak ada kekosongan, selain dari laluan dengan sekatan tali yang telah dibentuk untuk memudahkan jemaah berlalu mencari tempat.

Ya Allah... Berikan aku ruang untuk solat di dalam masjid ini.

Di depan saya, ada deretan kerusi roda. Ibu-ibu tua dan mereka yang kurang upaya di berikan satu saf untuk solat di atas kerusi roda. Seorang jemaah Malaysia/Indonesia memandang saya, memberi isyarat agar duduk di belakang kerusi roda emaknya.

"Duduk aja di sini dulu. Nanti akan ada ruangnya." Katanya ramah... Ohh... dari Indonesia rupanya. Melihatkan ruang yang sempit, saya tahu agak sukar untuk solat dengan selesa. Tapi saya cukup bersyukur, paling tidak dia mengizinkan saya duduk sementara menanti waktu solat. Hanya ucapan terima kasih yang keluar dari bibir saya.

Saya sujud di celah-celah kerusi roda seorang ibu. Di sisinya anak perempuan yang begitu prihatin. Alhamdulillah....

Saat itu tidak ada lain yang terlintas di hati saya, selain dari gambaran wajah arwah mak yang amat saya rindu. Arwah yang tak sempat menjejakkan kaki ke sini. Arwah yang tetap membina harapan, andai di izinkan Allah, bila sakit angin ahmarnya semakin pulih, dia mahu mengerjakan haji. Harapan yang tak kesampaian....

Arwah mak saya mengalami sakit angin ahmar yang amat teruk. Dia tak mampu berjalan, bangun pun perlu di bantu. Kencing beraknya hanya di katil. Tika itu tak ada lampin dewasa, lalu arwah ayah menyediakan satu kerusi khas yang dibuat lubang seperti tandas. Najisnya ditadah di dalam besen dan perlu diangkut ke dalam bilik air untuk dibuang. Terpaksa begitu, kerana untuk melangkah ke bilik air juga, arwah mak tak mampu.

Seingat saya, arwah tak pernah tinggalkan solatnya, walaupun dalam keadaan begitu uzur. Dia tetap solat walaupun hanya dengan kerlipan mata. Dia menghembuskan nafas terakhir saat hanya ayah berada di sisi. Saya ke sekolah dan kakak-kakak semuanya bekerja. Sehingga saat dia di kapankan, raut wajahnya seolah tersenyum, tenang sekali.

Pertama kali menunaikan solat Jumaat... dan saya menunaikannya di masjid kesayangan nabi, di belakang seorang ibu tua. Mata saya basah... dengan air mata kerinduan... dengan air mata penyesalan... dengan airmata kesyukuran...

Allahuakbar!!!!...

Jun 15, 2009

Rindu Ayah...

"Nanti kat Makkah nanti, kita buat umrah badal untuk arwah. Yang niatkan untuk arwah mak, dan abang niatkan untuk arwah ayah." Kata suami saya. Saya mengangguk laju. Syukur Ya Allah...

Saat melihat salah seorang teman sekumpulan menyorong kerusi roda ayahnya, hati saya dihimpit pilu dan rindu. Bayangan wajah ayah yang masih terbayang dimata. Satu demi satu kenangan bersamanya memenuhi jiwa anak manja yang merindu.

"Adik! Balik cepat! Ayah panggil!" Kak Ngah menjerit dari laman rumah. Saya memandang Kak Ngah penuh risau. Ayah marah ke adik main congkak buah getah berlubangkan tanah ke? Atau ayah nak ajak aku ke kebun nenek? Hati menyoal sendiri, berteka-teki. Bergegas saya pulang meninggalkan sepupu yang masih leka menarikan buah getah dan menjatuhkannya ke dalam lubang.

"Ayah kat telaga. Pegi cepat!" Arah Kak Ngah sambil kakinya turut sama mengorak langkah menuju hala yang sama.

Ayah berdiri di sebelah batang buluh yang panjang melintang. Letak buluh itu separas bahu ayah, tapi melepasi kepala saya. Kayu kecil bercabang menampung kedudukan buluh tersebut, tapi salah satu hujungnya sedikit rendah.

Buluh inilah yang ayah kerjakan semenjak semalam. Sabut kelapa digunakan untuk membuang segala miang buluh. Kemudian ayah gunakan parang kecil untuk membuang ruas tajam dibuluh yang berpotensi untuk melukakan. Entah apa yang ayah nak buat, saya tak pasti. Bila ditanya, ayah hanya tersenyum. Mungkin ayah nak buat galah kait buah kot.

"Adik suka mandi hujan, kan? Bukak baju cepat, ayah buat air hujan untuk adik." Kata ayah dengan senyum melebar. Mata saya bersinar bila membayangkan air hujan. Air dari bumbung rumah menjadi tumpuan saya bermain tiap kali hujan turun.

Saya berdiri di satu hujung buluh yang lebih rendah, dan tangan ayah cepat mencabut sabut yang menutupi lubang sebesar ibu jari yang ditebuk pada buluh tersebut.

Syyuurrrr.... Sejuk air telaga membasahi badan. Segar sekali. Saya melompat kegembiraan dan ayah ketawa riang. Itulah 'air paip' ciptaan ayah. Antara hasil tangan ayah yang cukup berbekas di ingatan.

Membesar di desa yang agak pendalaman, saya sempat merasa kehidupan tanpa bekalan air dan elektrik. Bergantung sepenuhnya pada sumber alam, bermandi telaga dan berteman pelita ayan. Bergelap menjadi kebiasaan, berteman nyamuk memang tak mampu dielakkan.

Saya tak mudah jatuh sakit, tapi kalau saya sakit, memang teruk sangat.

"Adik demam ya? Nanti ayah pegi beli minyak gas, kita pasang lampu gasolin. Ada lampu nanti cerah sikit, bolehlah adik nak makan ubat." Pujuk ayah. Tangannya menyentuh dahi, mengesan suhu badan. Seharian muntah, memang membuatkan badan rasa cukup lemah. Ayah bimbang.

Sungguh saya rindukan belaian dan perhatian ayah.

Arwah ayah seorang yang berjiwa seni. Kehalusan jiwanya tergambar dari setiap hasil kerja tangannya. Tulisannya yang kemas bersambung masih jelas terbayang di mata saya. Bila saya mula melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama, suratlah yang menjadi perantara.

Sayang sekali surat-surat kiriman ayah musnah dimakan anai-anak. Surat yang saya simpan dalam satu kotak berserta dengan surat-surat lain. Saya cuba membayangkan bait-bait kerinduan yang saya ungkaikan buat tatapan ayah...

Assalamualaikum w.b.t.

Kembali menemui ayahanda dan keluarga dikampung. Anakanda disini sihat seperti biasa, berkat doa ayahanda dan bonda. Semoga ayahanda dan keluarga juga begitu hendaknya.

Surat ayahanda telah selamat anakanda terima minggu lepas bersama duit yang dikirimkan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang telah ayahanda lakukan untuk anakanda. Terubat juga segala kerinduan anakanda tatkala menatap warkah dari ayahanda. Namun begitu anakanda ingin memohon maaf kerana kelewatan membalasnya. Kesibukan menghadapi pelajaran di sini telah menghadkan masa anakanda untuk menulis, tapi ingatan anakanda tak pernah lepas pada ayahanda.

Ayahanda.... anakanda memang selalu rindukan ayahanda dan semua keluarga kita di kampung...
Untuk pengetahuan ayahanda, anakanda akan menghadapi peperiksaan bermula minggu depan. Doakan kejayaan anakanda ya! Doa ayahanda amat penting untuk anakanda. Selesai peperiksaan, anakanda akan bercuti selama dua minggu. Namun begitu anakanda telah ditugaskan untuk menguruskan penerbitan majalah sekolah, jadi kemungkinan anakanda akan balik lambat sedikit kerana perlu menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.

Ayahanda yang sentiasa dirindui,
Kalau mengikut perkiraan anakanda, musim buah sudah menghampiri, kan? Bagaimana dengan kebun kita agaknya. Sudahkah ayahanda menyiapkan bangsal menunggu durian didusun nenda? Oh ya, bagaimana dengan nenda sekarang? Masih sihatkah dia untuk mengerjakan batas-batas kebun di dusun kesayangannya itu? Sudahkan sakit lututnya itu pulih sepenuhnya?

Tiba-tiba anakanda terbayangkan kebun nenda yg pastinya telah penuh dgn batas-batas ubi yang telah mula tumbuh subur. Menjelang masa untuk buah-buah di kebun masak, pastinya tika itu juga durian telah mulai gugur, ubi-ubi yang nenda tanam pula tentunya telah cukup matang untuk di cabut. Nenda memang pakar menjangkakan tempoh untuk ubi itu menjadi besar kan?

Tahukah ayahanda bahawa anakanda pernah bertanya pada nenda, kenapa nenda hanya tanam ubi pada masa tertentu saja? Katanya, dia lakukan semua tu sebab mahu cucunya menikmati ubi bakar semasa menemaninya menunggu durian. Anakanda harap, anakanda akan berpeluang untuk menemani nenda lagi menjelang musim durian gugur nanti. Ketika menulis surat ini, anakanda sedang membayangkan bau ubi kayu dan keledek bakar yang wangi. Aduh... tak sabar rasanya nak menunggu masa itu tiba.

Ayahanda jangan lupa buat bangsal yang tahan lama sikit kali ini ya. Jangan sampai bila hujan ribut melanda, bumbungnya terbang lagi seperti tahun lepas! Anakanda suka sangat tidur dibangsal yang ayahanda sediakan itu. Bangsal yang berlantaikan buluh, berbumbungkan rumbia dan ringkas berdindingkan daun kelapa. Sejuk dan nyaman sekali rasanya bila berbaring disitu...

Ayahanda yang di kasihi,
Surat akan datang, tak perlulah ayahanda sertakan duit belanja untuk anakanda ya, kerana kiriman ayahanda yang lepas masih ada, belum terusik pun lagi. Tak banyak yang anakanda belanjakan kerana anakanda tinggal di asrama dan pihak pengurusan telah menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan pelajar di sini. Hanya sesekali saja anakanda akan membelanjakan duit itu bila teringin untuk makan kueh di kantin ataupun bila perlu membeli alat tulis di koperasi. Lagipun sekolah ada memberikan sedikit biasiswa untuk anakanda dan rasanya ia mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan anakanda disini. Kalau anakanda perlukan belanja yang lebih sikit dari biasiswa yang diberikan, anakanda akan beritahu ayahanda nanti. Janganlah ayahanda bimbang ya!

Sudah agak panjang surat yang anakanda lakarkan untuk ayahanda, semoga terubat kerinduan ayahanda pada anakanda bila menatap titipan bicara ini. Sampaikan salam kerinduan anakanda pada nenda, kekanda berdua dan juga saudara mara kita yang lain. Andai ayahanda menziarahi pusara bonda, katakan juga padanya, anakanda diperantauan sentiasa merindui segala kenangan bersama dengannya. Hanya Al-Fatihah yang mampu anakanda kirimkan, semoga roh bonda damai dipersemadian. Amin.

Wassalam.

Ayah meninggal tika usianya belum mencecah 60 tahun. Bersemadi bersama arwah mak dan nenek, meninggalkan saya dengan kenangan yang masih segar diingatan.

Saya rindu ayah.

Al-Fatihah.

Nota : Sedikit tambahan untuk entry warkah untuk ayahanda yang telah lama saya paparkan, untuk memeriahkan lagi kilauan warna Sang Pelangi sempena hari bapa.

Jun 9, 2009

Bila Izrail datang memanggil....

Hari kedua di Madinah, Jumaat yang cukup istimewa, penghulu segala hari. Kali ini kami dibawa untuk melakukan ziarah luar.

Bas menunggu di depan hotel tak berbintang, (gelaran yang diberi oleh Ustaz Daud Che Ngah) tempat penginapan yang kami huni untuk seminggu lamanya. Suami saya memilih tempat duduk yang paling depan, di belakang pemandu bas berbangsa Arab.

Tak mudah mengumpulkan semua jemaah yang punya pelbagai karenah. Namun begitu, alhamdulillah... kami mampu bertolak ansur, cukup memahami. Sesetengah jemaah terutama yang agak berusia punya keuzuran yang membataskan sedikit pergerakan mereka. Walaupun tidak begitu menepati masa yang dijadualkan, akhirnya bas yang kami naiki mula bergerak.

Sekali lagi kami melalui perkuburan Baqi', tempat yang telah kami ziarahi semalam. Dari jauh kelihatan batu-batu yang terpacak kaku. Tanpa hijau dedaun pokok bersulam bunga yang menghiasi, tanpa batu nesan terukir indah yang dijaga rapi. Memandangnya membuatkan fikiran saya mengingati kisah bersama arwah ayah dulu.

"Adik, jgn pijak batu tu. Itu tanda kubur tu. Tak baik pijak atas kubur orang." Larang arwah ayah saat melihat saya leka bermain mengimbangi badan sambil memijak batu sungai yang terpacak di tepi kubur atuk.

"Kenapa batu macam ni je. Kenapa bukan batu nesan macam yang atuk punya? Nanti macam mana nak tahu siapa yang mati kalau tak ada batu nesan?" Saya menyoal, mencurahkan persoalan yang bermain di fikiran.

"Mungkin yang mati tu ialah anak yang baru lahir. Jadi tak ada nama lagi..." Jawab ayah dengan penjelasan yang paling mudah saya terima berdasarkan logik akal.

Kemudian samar-samar saya teringatkan kata-kata salah seorang ustaz dalam satu ceramah yang pernah saya hadiri.

"Kita di galakkan untuk meletakkan batu sungai dan tanam pokok renek atas kubur sebab batu dan pokok sentiasa berzikir. Harapnya, zikir batu dan pokok itu menemani si mati. Kalau kita tabur kelopak bunga yang berwarna warni tu, buat apa? Kelopak bunga itu akan kering dan layu. Sebagai simbol kematian bolehlah, tapi tak memberi manfaat pada si mati pun. Siraman air yang selalu kita tengok orang buat tu, sebenarnya untuk pokok tu, bukan untuk si mati. Itupun kalau tanam pokoklah...."

Saya teringat pada pokok melor yang saya tanam di kuburan arwah ayah, mak dan nenek. Entah masih hidup atau telah mati kekeringan. Sedih dan sayu hati saya bila memikirkan dalam setahun, hanya sesekali saya akan singgah untuk membersihkan rumput liar yang tumbuh berkeliaran.

'Mak, ayah... Maafkan Su...' Hati bersuara bersama keluhan kesal. 'Ya Allah... Kau sampaikanlah pada mereka pahala setiap ibadat yang ku lakukan. Hanya itu yang mampu kuhadiahkan buat mereka...' Sayu benar perasaan saya bila memikirkan mak meninggal tanpa sempat melihat kejayaan pertama yang saya cipta di alam persekolahan. Ayah pula telah dijemput pergi tanpa melihat saya menaiki pentas untuk menyambut segulung ijazah.

"Seharusnya setiap dari kita menyimpan cita-cita untuk dikebumikan di tanah suci ini. Samada di perkuburan Baqi di Madinah, ataupun di perkuburan Ma'ala di Makkah. Kerana bila tiba hari kebangkitan nanti, mereka yang di kuburkan di sini adalah yang pertama akan Allah bangkitkan dan diberikan kelebihan seperti yang dinikmati oleh para sahabat dan anbiya." Suara Ustaz Jaafar mengejutkan saya dari lamunan. Baru saya sedar sebahagian awal ucapan Ustaz Jaafar tenggelam dalam bayangan kenangan. Aduhai...

"Ada satu kisah yang cukup terkenal tentang seorang hamba Allah yang bercita-cita untuk meninggal di sini. Seorang lelaki dari Turki datang kesini untuk menunaikan haji, terus jatuh cinta pada tanah barakah ini. Lalu dikatakan pada anaknya, dia berharap untuk meninggal dan dikuburkan di sini. Dan dipesan juga agar dia dikuburkan bersama Al-Quran kesayangannya, Al-Quran bertulisan tangan yang cukup cantik dan tidak ada duplicatenya. Memangnya dia menulis sendiri Quran tersebut." Suasana sunyi. Jelas sekali semua jemaah memasang telinga untuk mendengar pengisian oleh Ustaz Jaafar.

"Sehingga dia kembali ke negaranya Turki, dia masih sihat. Tak lama kemudian, dia meninggal dunia. Mengingatkan keinginan ayahnya, si anak tadi telah meletakkan Al-Quran itu di dada ayahnya dan disemadikan diTurki. Lagipun mana mungkin mayat itu dibawa ke Madinah untuk dikuburkan disini." Ustaz Jaafar berhenti seketika. Menarik nafas dan melepaskannya beberapa ketika. Mungkin juga mencari ruang untuk menyusun kata.

"Selang beberapa tahun selepas itu, anaknya tadi telah datang mengerjakan haji dan singgah di satu kedai buku. Dia terlihat satu Al-Quran yang serupa milik ayahnya lalu ditanya kepada pekedai itu, bagaimana dia mendapatkan Al-Quran yang cukup indah tulisannya itu. Mulanya penjual itu keberatan sekali mahu menceritakan, tapi setelah di desak, barulah dia memberitahu bahawa Al-Quran itu dijual oleh seorang penyelenggara jenazah."

"Lalu si anak tadi berusaha mencari orang itu. Bila ketemu, lantas ditanya bagaimana dia mendapat Al-Quran bertulisan tangan yang cukup indah itu. Penyelenggara jenazah itu menceritakan; 'Satu hari saya yang ditugaskan membersihkan kubur, dan tatkala satu kubur dibuka, saya terkejut melihat mayat yang masih utuh dengan Al-Quran didadanya. Saya yakin mayat ini tidak pernah saya selenggarakan. Saya membuat keputusan untuk mengambil dan menyimpan Al-Quran itu untuk diri saya. Sayang jika khazanah ilmu seperti itu dibiarkan di sisi mayat tanpa dimanfaatkan. Tapi disebabkan satu ketika saya benar-benar perlukan wang, saya telah menjual Al-Quran itu.'" Saya memasang telinga dengan teliti. Kisah yang cukup menarik!

"Sebenarnya memang tidak boleh diletakkan Quran bersama mayat. Hukumnya haram kerana bila mayat itu mereput, Quran itu akan terkena kotoran bangkai. Tapi mayat orang Turki itu cukup cantik. Anaknya memberitahu, ayahnya itu memang bekerja menulis Quran untuk menampung hidup. Itulah sumber pendapatannya. Dan satu ketika ayahnya telah membuat satu Quran yang cukup indah bertulisan tangan untuk kegunaannya sendiri. Itulah Qurannya...." Campuran bahasa Malaysia-Indonesia yang digunakan cukup mudah untuk difahami.

"Nah! Itulah kuasa Allah. Sesungguhnya Allah berkuasa mengalihkan mayat itu kemana saja tempat yang kita niatkan. Lalu kenapa kita tak mahu bercita-cita untuk disemadikan disini? Biarpun hanya dengan niat, tidak mustahil bagi Allah untuk melakukannya." Maha Suci Allah...

"Lama dulu ada satu jemaah dari Indonesia, yang begitu menyintai Tanah Haram. Dia tidak pernah datang berhaji atau berumrah, tapi begitu merindui Kaabah yang hanya dikenali melalui cerita dan kisah yang dikhabarkan oleh sahabat dan saudara yang pernah datang. Kerana azamnya, dia berjaya mengumpul wang untuk mengerjakan haji. Sebaik saja menjejakkan kaki keMasjidil Haram, terus dia meluru menyentuh Kaabah, dengan tangisan kerinduan yang sarat. Saat tangannya menyentuh Kaabah, saat itu jua rohnya dijemput Allah. MasyaAllah... Sungguh bertuah dia meninggal di saat Kaabah berada begitu dekat dengannya...." Suara Ustaz Jaafar jelas kedengaran. Mata saya basah dengan kisah yang sebegitu indah.

Suasana jadi sunyi. Mungkin masing-masing leka menghayati kisah yang diperdengarkan. Bas yang dinaiki terus bergerak melintasi jalan menuju ke tempat lawatan yang berikutnya...

Nota : Hidup ini satu singgahan untuk mengumbul bekalan menghadapi hari kebangkitan. Seringkali hati tertanya, adakah saya juga akan menghadapi kematian diawal usia seperti kebanyakan saudara sepupu saya?

Ya Allah... Kau hidupkanlah kami dalam iman, matikanlah kami dalam iman, bangkitkanlah kami dengan iman dan satukan kami di syurga bersama orang-orang yang beriman....

P/S : Tadi menyinggah kat blog dik Balqis. Mengelek pulang award yang diberi untuk ditampalkan disini. Thks dik sayang. Bertuahnya kita kerana masih menghirup udara sehingga ke detik ini....

Jun 2, 2009

Subuh di Masjid Nabawi

Saya tak pasti pukul berapa Subuh di Madinah. Saya mencongak sendiri, mungkin seawal subuh di Bahrain juga.

3.40 pagi. Saya dikejutkan dengan azan pertama dari Masjid Nabawi. Alhamdulillah. Walaupun tanpa alarm, saya dipanggil untuk bersama-sama menyertai mereka yang berpusu-pusu memasuki Masjid Nabawi.

Dari jauh, kelihatan manusia berjalan berduyun-duyun mahu memasuki masjid. Pintu yang semalamnya ditutup rapat, kini terbuka luas, menjemput tetamuNya untuk sama-sama sujud pada Yang Satu.

Saya mengambil tempat di salah satu tiang lampu luar masjid. Kelihatan beberapa jemaah menunaikan solat sunat. Ada yang sempurna berdiri untuk mengerjakan solat, dan ada yang hanya solat dengan keadaan duduk. Ada yang datang berteman dengan ibu yang memerlukan bantuan, ada juga yang datang dengan anak kecil yang masih lena dalam kendongan.

Hati saya tertanya-tanya... kenapa solat di luar masjid yang mereka pilih? Kenapa tak cuba masuk ke dalam? Tanpa alas sejadah, tanpa hamparan karpet, mereka melabuhkan punggung, merendahkan diri pada Yang Esa, sujud di lantai marmar yang indah, yang memenuhi setiap inci kawasan masjid.

Ahh... Mungkin keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan mereka untuk bersesak-sesak masuk ke dalam, mungkin juga di dalam sana telah penuh, padat dengan mereka yang lebih awal sampai di masjid, mungkin juga mereka tak mahu membiarkan suara anak tangisan anak mengganggu jemaah lain.

Jemaah semakin ramai. Tempat yang saya duduki juga semakin penuh. Saya berundur, memberi ruang buat mereka yang mahu mengerjakan solat. Suara imam membacakan ayat-ayat suci begitu menusuk perasaan. Melihat berbaris-baris jasad yang sujud serentak memberikan satu perasaan yang cukup indah.

Saya hanya duduk kaku, membatu. Rasa sayu menyelinap di hati. Memikirkan keuzuran yang membataskan diri saya dari menyertai mereka.

Rupanya saya tak keseorangan. Di satu tiang yang lain, ada jemaah wanita berbangsa Arab yang berpakaian hitam bertudung litup turut sama menjadi pemerhati, sama seperti saya. Mungkin kami senasib.

Di bumi bertuah ini, tidak ada zikir selepas solat. Tak ada doa untuk di aminkan. Namun saya mendengar suara takbir, sejurus selepas salam diberikan. Solat sunat agaknya. Bisik hati saya sendiri. Itulah tanggapan saya yg jahil. Kemudiannya semasa di Makkah, saya dapat tahu yang itu adalah takbir untuk solat jenazah yang selalunya memang ada setiap waktu solat. Aduhai... terasa benar kejahilan diri.

Jemaah telah mula bergerak, bersurai. Saya memandang jam di tangan. Masih awal lagi kalau nak balik untuk breakfast. Sebenarnya saya tak tahu pukul berapa sarapan pagi disediakan oleh pihak hotel. Dan sukar untuk saya bertanya pada suami memandangkan kami tak dapat berhubung. Apatah lagi bila kami ditempatkan dalam bilik yang berasingan. Walaupun dia dibekalkan dengan simcard (Arab Saudi) oleh abangnya, dan saya dipinjamkan dengan simcard Mobily (juga Arab Saudi) oleh seorang teman, namun kami masih belum dapat berhubung disebabkan kredit yang belum ditambah.

Saya membuat keputusan untuk mengulangi langkah semalam. Mengelilingi masjid, menikmati udara pagi sambil berzikir dan berdoa sambil menyaksikan langit pagi yang semakin cerah. Indah sekali. Terdapat jemaah yang mula berkumpul dan diberikan kuliah subuh oleh ketua masing-masing. Sayang sekali saya tak dapat menyertai memandangkan bahasa yang di gunakan tak langsung saya fahami.

Saya melintasi satu kumpulan jemaah sedang berdoa, berselawat dan menyampaikan salam pada baginda Rasulullah dari luar bangunan. Saya berhenti seketika untuk menyertai mereka. Menadah tangan sambil berdiri, memandang kubah hijau dan mengaminkan saja apa yang dibaca. Selesai bacaan doa, saya melemparkan senyum pada jemaah yang berpaling memandang, beredar dan meneruskan langkah untuk pulang.

"Su, pegi masjid tak tadi?" Tanya Makcik Hajar semasa kami bersama menikmati sarapan pagi.

"Pegi. Tapi duduk kat luar je lah." Jawab saya sambil tersenyum tawar.

"Nas dah ambikkan air zamzam?" Tanyanya lagi. Cukup prihatin.

"Belum jumpa dia lagi pagi ni. Tak tahu dia ada ambik atau tak."

"Tak pe. Nanti bila kita buat ziarah dalam, Su bawak je botol mineral yg kosong. Nanti makcik ambilkan." Makcik Hamizun bersuara.

Pukul 8, kami berkumpul untuk melakukan ziarah dalam. Ziarah dalam ialah ziarah di dalam masjid Nabawi, termasuk ziarah ke kawasan perkuburan Baqi' (kubur bagi isteri-isteri dan sahabat-sahabat nabi, serta para anbiya'). Jemaah perempuan dan lelaki diasingkan, dan kami diketuai oleh seorang ustazah (juga dari Indonesia yg telah lama menetap di sana). Kami diberikan taklimat ringkas tentang tempat yang akan di bawa dan larangan yang perlu dipatuhi.

Sebarang bacaan sepanjang ziarah, dibaca dengan kuat oleh ustazah dan kami mengikuti. Caranya banyak membantu kami terutama untuk orang yang tak sempat menghafal semua doa seperti saya. Walaupun buku panduan umrah sentiasa ada di tangan, tapi lebih mudah mengikuti ustazah.

"Mana tadi jemaah yang uzur? Kamu boleh masuk tapi hanya boleh masuk setakat ini saja ya! Nanti kamu boleh terus pulang atau kalau mahu menyertai kumpulan, tunggu saja di pintu nombor 25." Kata ustazah sambil mengintai mencari saya di celah-celah jemaah.

"Su boleh masuk kat tempat air zamzam ni. Nanti Su minumlah ye. Berdoa dulu sebelum minum. Mintak dengan Allah supaya cepat kering. " Kata Makcik Hamizun. Bagai seorang ibu yang begitu mengambilberat.

Itulah kali pertama saya meneguk air zamzam setibanya di Madinah. Segarnya air zamzam, terasa begitu enak bila melalui kerongkong. Nikmatnya membuatkan saya menitiskan air mata. Terasa seolah-olah Allah memberikan laluan mudah untuk saya berusaha. Alhamdulillah...

Bermula dari situ, setiap kali tiba waktu solat, saya akan masuk untuk minum dan mengisi air zamzam ke dalam botol mineral water untuk diminum di hotel. (Air zamzam dibawa menggunakan tong-tong ke Madinah untuk dinikmati oleh umat Islam. Bentuk tong seperti dalam gambar. Ada yang sejuk seperti ais dan ada yang tak sejuk. Selalunya saya pilih yang biasa.)

Selalu saya dengar tentang kehebatan air zamzam, air yang cukup istimewa pemberian Allah untuk kita umat Islam. Air yang mampu diminum sebanyak mungkin oleh seluruh umat Islam di dunia ini tanpa keputusan bekalan. Walaupun tika di musim kemarau, ia tak pernah kering. Terbukti ia adalah ubat yang paling mujarab untuk segala penyakit, dengan izin Allah tentunya. Berdoa, niatkan apa yang dihajati, minum dan insyaAllah, Allah akan makbulkan.

Saya teringat satu kisah. Tak pasti di mana saya dengarinya, samada melalui pembacaan atau seseorang menyampaikan. Seorang pesakit yang disahkan mengidapi sakit ketumbuhan di dalam perut, yang telah sampai ke peringkat bahaya dan di cadangkan oleh doktor untuk dibedah, tapi kemudiannya sembuh berkat meminum air zamzam sepanjang berada di Makkah. Ubatnya hanya air zamzam dan doa yang berterusan pada Allah. Maha Suci Allah!!!...

Allah telah menjemput saya ke sini, dan tentunya Dia tak akan biarkan saya bersedih begini. Lalu kenapa saya tidak berusaha dengan cara yang sama?

Nota : Aduh... lembabnya penceritaan saya. Namun entah kenapa, saya tak mampu mengabaikan diri dari menulis setiap bicara hati, yang merupakan gambaran perasaan semasa saya berada disana.