Jun 29, 2019

Harapan

"Makcik nak sangat pegi seminar Masuk Syurga Sekeluarga nih, tapi makcik tak tahu boleh hadir atau tak." Sayu kedengaran suara di hujung talian.

"Kenapa makcik?" Soal saya spontan.

"Makcik ni sakit. Tak boleh drive. Kena mintak tolong anak. Dia tak confirm lagi boleh temankan makcik atau tak." Jelasnya satu persatu.

"Takpe lah makcik. Tunggu dia confirmkan dulu, nanti makcik call saya balik."

"Makcik sepatutnya masuk hospital untuk angiogram. Tapi kalau dah masuk, bimbangnya ditahan pulak. Langsung makcik tak boleh join seminar tu. Sayang la. Dengar tajuk pun makcik dah tertarik." Dia menyambung cerita tanpa diminta.

"Ooo... Macam tu rupanya." Saya kehilangan kata-kata. Sebak memenuhi dada.

"Makcik mintak anak makcik tanya doktor, kalau boleh tangguhkan. Ataupun mintak masuk awal, kot boleh keluar awal." Bersungguh dia bercerita. Saya dengarkan saja luahannya. Tak tahu bagaimana harus saya tunjukkan reaksi saya.

"Buku tu nanti jual kat sana jugak ke?" Soal dia tiba-tiba.

"Ya. Nanti boleh beli pada hari seminar." Jawab saya pantas.

"Makcik nak beli sorang satu pada anak-anak makcik. Kalau ditakdirkan makcik dah tak ada nanti, mereka kenang harapan makcik bila tengok dan baca buku tu...." Makin sayu suaranya. Bergetar hati saya mendengarnya.

Teringat arwah ayahbonda dan mertua saya yang telah menemui Pencipta. Kalau mereka masih ada, pasti akan saya bawa mereka sama-sama menghadiri seminar ini.

Kelopak mata terasa berat dek takungan airmata. Pipi saya basah oleh empangan yang pecah.

"Insya-Allah makcik. Makcik doakan saja. Kalau perlu jumpa doktor dan buat pemeriksaan, buat je. Saya doakan makcik tak ada komplikasi yang membuatkan makcik kena duduk kat hospital nanti..."

"Erm...Ye lah... Terpaksa ikut kata mereka. Kalau tak, panjang pulak bebelnya." Katanya berat. Redha dengan ketentuanNya.

"Nanti, makcik call atau wasap saja pada saya bila nak daftar ya. Insya-Allah, saya akan usahakan untuk makcik nanti." Saya memujuk dia dengan iringan doa agar hasratnya Allah tunaikan...

Simpati. Sayu. Kagum. Segalanya bercampur.

....

Seminar ini PERCUMA.

Setelah ditimbang tara, dicampur tolak, kali dan bahagi segala kemungkinan yang ada, tarikh 6hb Julai 2019 iaitu hari Sabtu telah dipilih  sebulat kata seikat maufakat.

Tuan Fazrul didatangkan khas dari Kuala Lumpur untuk berkongsi ilmu dengan warga Kelantan. Sayang sungguh kalau peluang begini dilepaskan begitu saja.

Tanpa perlu berbelanja, tanpa yuran kemasukan, tanpa perlu mengorbankan masa untuk perjalanan yang panjang.

Diadakan di Dewan Kuliah C, PPSK, USM Kubang Kerian, dengan parking yang tak perlu dibayar, malah refreshing dan makan tengahari kami sediakan kepada sesiapa yang cepat. Harap peserta faham bahawa semuanya disponsor dengan kuantiti yang terhad.

Mendaftarkan diri sebagai peserta akan membantu kami dalam usaha menganggar belanja.

Rugi sangat jika tak sertai. Entah bila lagi dapat kami uruskan seminar sebegini.

Semoga ia menjadi langkah pertama untuk perjalanan menggapai syurga bagi seluruh keluarga. Berkumpul di sana dengan segala kelebihan dan keindahan, bukankah ia memang menjadi impian setiap insan?

Jangan tangguh lagi. Daftar segera sementara kekosongan masih ada!

Anda boleh klik saja link ini
https://akademisinergi.onpay.my/order/form/msskelantan

Atau hubungi saja nombor hp yang tertera diposter.

Jumpa di sana! 😃

#masuksyurgasekeluarga
#akademisinergi
#PRNNK
#perjuangkansyurgamu
#BDC2019

Seminar MSS

Seminar Masuk Syurga Sekeluarga akan berlangsung minggu depan. Ingat tu!

Hari Sabtu, 6hb Julai 2019. Weekend.

Hujung minggu dipilih sebab nak bagi peluang kepada yang bekerja untuk menyertainya. Yang tak bekerja, Insya-Allah, moga lebih mudah laluannya.

.....

Syawal pun dah habis. Jadi, rasanya jemputan untuk jamuan rayapun dah tak ada lagi. Jadual agak kosong dan program ini diharap akan direbut untuk dihadiri.

Harapnya begitulah.

....

PERCUMA. Untuk peserta, kami mahu begitu.

Sebenarnya kos memang ada, dan ianya isu yang sentiasa menyesakkan dada. Tapi sebab pihak urusetia telah berniat untuk memberi ilmu percuma, maka bertungkus lumuslah unit berkenaan mencari sponsor.

"Jadi, kita semua setuju nak buat seminar ni secara percuma?" Ustaz Muhammad Syakirin Yuslan bertanya sekali lagi untuk dapatkan pengesahan. Pengarah projek kami.

Bukan sikit kos pengendalian seminar ini. Tapi atas dasar keyakinan pada pertolongan Allah melebihi segalanya, kami redah saja.

"Ada yang nak sponsor. Cuma belum dapat confirmation je. 50-50. Kalau rezeki dah tertulis, Insya-Allah semua beres." Datin Norhani teruja mengkhabarkan berita itu.

"Kalau tak dapat macamana? Atau tak cukup?" Soal salah seorang ajk yang terlibat. Masih bimbang.

"Kita lancarkan tabung infaq dan buat jualan buku MSS. Kita jual ikut harga pasaran, RM35. Sama-sama kita sebarkan. Buku tu sesuai sangat kalau nak hadiahkan pada orang, terutama sebagai hadiah kawin. Harapnya boleh tampung serba sedikit kos seminar ni." Balas Dr. Sharifah Mastura Syed Mohamad. Penuh yakin.

Alhamdulillah. Seronok berada di kalangan orang-orang yang positif. Walaupun dalam debar, terasa semuanya boleh diselesai.

Ya Allah, permudahkan jalan jihad ini. Demi cinta pada ummah...

Bak kata guru penulisan saya... Cinta Selalu Menang!

Demi cinta pada syurga abadi, kami mahu berkumpul di di sana nanti...

.....

Jom mendaftar untuk seminar MSS! Jangan lepaskan peluang ini. Hubungi nombor yang tertera diposter.

Andai ada yang berminat untuk sponsor, di alu-alukan juga. 😃

Jun 27, 2019

Jom mama, kita masuk syurga!

"Mama... Ustazah kata, best kalau hidup kat syurga. Macam-macam ada. Nana nak masuk syurga la Ma!" Berpusing-pusing anak kecil itu mengelilingi si ibu sambil memegang tangannya.

"Ya sayang. Nanti kita masuk syurga sama-sama ya!" Janji ibu dengan bahagia.

Impian indah seorang anak.

'Membesarlah kamu menjadi anak yang solehah duhai anak...' Doanya tak pernah henti.

.....

Sibuk. Macam tak menang tangan nak uruskan tugasan yang diamanahkan. Letih lesu badan dan minda dibuatnya.

Semuanya demi keluarga tercinta. Mahu sediakan yang terbaik buat mereka.

"Papa, macamana cara nak ke syurga?" Anak kecil itu tiba-tiba memegang tangannya sambil bertanya. Letihnya hilang sekelip mata dengan sentuhan itu.

"Nana kena jadi anak yang baik. Rajin tolong mama, rajin solat dan ngaji Quran setiap hari. Kena taat suruhan Allah... " Panjang senarai diberikan.

Ternganga Nana mendengarnya. Lucu melihat mulut Nana terbuka dengan mata terkebil-kebil. Entah apa yang diproses oleh otak muda itu.

"Papa, Mama pesan, kita kena doa banyak-banyak. Nanti kita masuk syurga sama-sama ya Pa!?" Pinta Nana lembut. Cair hati seorang bapa.

....

Termenung.

Cukupkah? Benarkah jika itu yang dilakukan, syurga akan berada dalam genggaman?

Sejauhmanakah apa yang dicakapkan pada Nana, dilaksanakan?

Sebanyak mana contoh yang telah dia tunjukkan pada anak itu?

Pedih. Ketat dadanya. Hati bagai diperah. #sakitnyatudisini

Allahu... Indahnya impian anak itu. Tapi apa yang dia telah lakukan untuk melaksanakan hasrat itu?

Tunggang terbalik jadual hidupnya semata-mata mahu sediakan kesenangan dan kebahagiaan pada keluarga. Itu untuk dunia. Akhirat bagaimana?

"Ya Allah... Berikan aku kekuatan. Tunjukkan aku jalan..."

.....

Andai tiba-tiba, Pencipta kita menghantar wasap meminta melaporkan diri padaNya, apa bekalan yang telah disediakan?

Yang diusahakan di dunia, telah ada senarainya.

Yang nak dikelek dan diserahkan pada Dia, apa statusnya?

....

PERCUMA!

Ilmu untuk mengetahui cara nak Masuk Syurga Sekeluarga akan diadakan pada hari Sabtu, 6hb Julai 2019.

Boleh hubungi nombor yang tertera di poster atau klik pada link berikut untuk pendaftaran.

https://akademisinergi.onpay.my/order/form/msskelantan

#masuksyurgasekeluarga
#persatuanrumahngajinegerikelantan
#bdc2019
#bercakapdengancermin
#akademisinergi
#akademibondano

Syurga Yang Kudamba

Doanya tak pernah putus. Penuh mengharap. Khusyuk memperdengarkan rayuannya pada Yang Maha Kuasa.

Ada titis putih cerah menggelusur dari pipinya yang kendur dimakan usia. Bahunya terhenjut-henjut menahan sebak di dada. Kain putih itu lencun dek airmata.

"Ya Allah...
Satukan kami dengan ikatan iman yang menyuluh jalan ke arah kebaikan...
Berikan kami ruang untuk kembali bersatu apabila kami dibangkitkan nanti....
Kumpulkan kami sekeluarga dalam syurga Firdaus yang abadi...." Panjang doanya.

Sungguh dia mahu yang terbaik buat keluarga. Mahu sempurna dan lengkap. Senang dan bahagia dunia dan akhirat.

Bagaimana lagi mahu digambarkan gunung harapan yang ditimbun. Macamana lagi mahu difahamkan tentang impian yang dihimpun.

Allahu... Dia yakin mereka tahu tapi kaku. Mereka mahu tapi diam membisu.

Di mana dia mahu bermula? Apa yang harus dia lakukan agar hasrat itu mampu dilaksana.

"Allah Ar-Rahman... Bukalah laluan... Tunjukkan jalan..." Airmata mengalir lagi.

Rayuan tulus dari hati.

Sayangnya tak pernah surut. Kasihnya tak pernah luput.

Dia tahu, doa saja tak mencukupi. Dia faham, harapan tanpa tindakan tak mungkin jadi kenyataan. Dia harus berusaha. Harus melangkah bersama....

.....

Seminar Masuk Syurga Sekeluarga akan diadakan pada hari Sabtu, 6hb Julai 2019. Anda semua dijemput menghadirinya untuk sama-sama kutip manfaatnya.

Jom! Fahami apa yang diperlukan untuk mencari jalan ke arah itu.

Ayuh.... Perjuangkan Syurgamu!

Ilmu ini mahu kami kongsikan secara PERCUMA!!... Rugi kalau tak rebut.

Klik link berikut untuk pendaftaran online.

https://akademisinergi.onpay.my/order/form/msskelantan

Jumpa di sana!

#masuksyurgasekeluarga
#msskelantan
#akademisinergi
#rumahngajikelantan
#PRNNK
#BDC2019
#perjuangkansyurgamu

Jun 25, 2019

Cair Jiwa Hamba

Tok Selehor atau nama sebenarnya ialah Hj Abdul Rahman bin Utsman. Salah seorang ulama yang terkenal di Kelantan. Asal keluarganya dari Pattani, Thailand.

Sejarahnya cukup menarik. Perjuangan ilmunya amat panjang. Cintanya pada Islam dan Al-Quran terlalu mendalam.

Google je nama Tok Selehor, pasti akan tersenarai kisahnya secara terperinci.

Salah satu yang menarik perhatian saya ialah, beliau merupakan pencinta syair. Romantis sekali bait-bait syairnya. Sehinggakan ada yang meminta dia menulis bagi melembutkan hati isteri yang terguris.

Antara syairnya yang saya jumpa;

Tiap-tiap malam kanda bermimpi
Sedap rasanya tiada terperi

Adinda di tengah kanda di tepi
Harum baunya umpama kasturi

Menghisap rokok meminum kopi
Suka dan hilai senang di hati

Memeluk tengkuk mencium pipi.
Kasih mesra sehingga mati.

#cairjiwahamba 😍☺️😘
#pondoktokselehor

Jun 24, 2019

Kisah Pondok Tok Selehor

Mereka ke sana dengan rela.
Mereka datang kerana cinta.
Mereka mencari dan mereka jumpa.
Mereka redah dan redha dengan takdirNya.

Mereka bukannya dibuang keluarga.
Mereka datang untuk bersedia.
Mereka mengumpul bekal untuk mengadap Pencipta.

....

Pandangan mereka cukup dalam. Sesekali berpaling dan tunduk. Entah apa yang bermain diminda. Hanya dengan sekilas jelingan, suara hati mereka tak dapat diteka.

Andai umur panjang, mungkin satu ketika saya juga akan seperti mereka. Menyimpan segalanya di dalam dada. Melepaskan rasa hanya dengan satu hembusan nafas. Berat. Sarat.

Dalam kepayahan, masih menyimpan hasrat.
Tak mahu menyusahkan sesiapa pun. Tak mahu diri menjadi beban. Tak mahu menjadi penumpang untuk satu perjalanan hidup yang panjang.

....

Allahu... Kuatnya mereka. Kita? Apakah kita sudah bersedia?

Mahu #masuksyurgasekeluarga tapi setakat mana kita berusaha?

#pondoktokselehor
#pondokdarulhannan

Rancang untuk masuk syurga sekeluarga

Teruja mendapat wasap dari Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad mengajak saya menyertai meeting PRNNK.

Teringat rancangan lawatan dengan kumpulan jemaah Masjid Al-Amin untuk lawatan ke Pondok Tok Selehor dan keterbatasan yang harus dilepasi.

"Insya-Allah, kalau program pagi habis awal, tak ada aral dan dapat keizinan suami, Su akan sertai meeting tu." Janji saya beserta doa agar dipermudahkan.

.....

"Abang, Kak Pah ajak Su join meeting kat rumah dia untuk satu program bawah anjuran Rumah Ngaji. Boleh tak Su pegi?" Soal saya berhati-hati.

"Program apa?" Seperti biasa, saya tak akan dapat terus keizinannya. Kena lalui fasa soal selidik dulu.

"Tak pasti lagi. Nak kena gi meeting untuk tahu detail." Jelas saya.

Jujurnya, memang saya tak tahu. Cuma saya pasti ianya sesuatu yang saya mahu. Sesuatu yang boleh saya sumbangkan mengikut kemampuan. Tenaga, idea ataupun kemahiran walaupun tak seberapa.

Tak kisahlah. Asalkan ia bermanfaat untuk diri dan masyarakat, untuk dunia dan akhirat.

"Siapa lagi yang akan join?" Soalnya lagi.

Satu persatu nama yang saya tahu yang menjadi orang kuat PRNNK dan TOTIQ saya sebut. Tak pasti samada mereka ikut serta tapi kemungkinan besar mereka ada sama.

Akhirnya dia mengangguk. Alhamdulillah...

Luv you abang... Kerana Allah. 😘😁

....

Selesai saja sambutan raya di Pondok Tok Selehor, rakan jemaah yang car pool, saya hantarkan ke rumah salah seorang rakan untuk lawatan silaturahim.

Sedikit terkilan kerana tak dapat sertai lantaran janji yang telah disanggupi.

Balik ke rumah, sekadar untuk buang air dan gantikan air. 😅🤭

Kembali masuk ke dalam kereta untuk ke destinasi seterusnya.

Lewat 10 minit dari masa yang dijanjikan. Ingatkan saya seorang je yang kelewatan, rupanya jarak waktu tiba kami macam konvoi je. 😄

....

Mendengar penerangan Kak Pah tentang program yang dirancang, memang jantung berdegup kencang.

Masuk Syurga Sekeluarga!

Sapa tak mahu, kan? Seminar yang bakal dibentangkan oleh guru TOTIQ kami, Tuan Fazrul Ismail.

Rugi kalau anda tak sertai. Block tarikhnya ya, 6hb July 2019. 🤗

Kami akan cuba cari penaja agar penyertaannya dibuka secara percuma!

Kami akan cuba cari dewan yang besar, agar peserta yang hadir mampu hadir seramai mungkin. Yang pasti sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian, Kelantan.

Allahu... Apa yang lebih membahagiakan selain daripada masuk syurga sekeluarga... Bagaimana caranya?

Nanti saya bagitahu lagi ya! Segalanya terlalu cepat. Masa untuk bersedia amat singkat. Tenaga kerja agak terhad. Kami perlu bertindak segera!

Doakan agar rancangan ini dipermudahkan Allah!

#masuksyurgasekeluarga

Jun 21, 2019

Terima kasih sahabat...

Alhamdulillah...

Mereka tahu saya baru bermula.

Mereka tahu tulisan yang saya sumbangkan hanya satu sahaja.

Tapi mereka beli juga. Kerana Allah buka hati mereka. Kerana melalui pembelian mereka, saya boleh rasa sokongan mereka. Alhamdulillah...

Semoga ada manfaat yang boleh dikutip dari perkongsian melalui BDC...

.....

Saya malu kalau tulisan saya tidak cukup menarik.

Saya segan kerana kisah saya biasa-biasa saja.

Saya bimbang andai matlamat perkongsian tidak kesampaian.

Tapi saya mahu mencuba. Kerana syurga Allah matlamat saya.

Kerana Bonda Nor kata; Tulislah, bina bekalan untuk kau tinggalkan!

Kerana diri banyak kekurangan, saya mahu berusaha untuk mengurangkan jurang kelemahan, menambah apa yang ringan, mengisi apa yang hilang.

Semoga saya dikurniakan kekuatan untuk melangkah.

"Jalan terus...!" Kata Bonda Nor.

.....

"...... Pujian (maaf, saya tak sanggup nak tulis)....." Dia berkata. Saya panik. Tersentak seketika. Malu sendiri.

Imej apa dilihat pada saya sehingga dia memuji sedemikian rupa?

"Allahu... Saya bukan baik mana pun. Sekadar berkongsi apa yang saya belajar. Dari kuliah yang saya dengar..."

"Tapi memang Aznah lebih baik dari saya... Pegi mengaji, hadir majlis ilmu, kongsikan pulak melalui penulisan..." Dia menambah lagi.

Demi Allah, saya tak bercerita untuk meraih pujian dari sesiapa. Cuma hasrat hati untuk membuat catatan diri, menarik mereka yang mungkin kurang berani. 

Kita semua manusia biasa, yang mungkin alpa seketika, kadang terlupa dan sibuk sentiasa. Saya mahu menjadi penggera, yang berdering untuk menyedarkan diri yang terlena.

Jom! Bersama kita berusaha melangkah mencari redha Allah.

Andai sebaris ayat mampu melekat dan membuat seseorang mahu mendekat pada Yang Maha Hebat, sungguh ia nikmat yang mahu dan perlu disyukur...

Saya mohon Allah bantu saya untuk lakukannya, walaupun hanya berbekalkan kemampuan yang terhad dan sokongan yang kurang berasap.

'Bunyi macam baik sangat, kan?'

Allahu... Bisikan itulah yg melemahkan...

'Shhuuhhh... pergi kamu! Jangan cuba menghalang aku. Aku mahu perjuangkan syurgaku dengan cara yg termampu!'

.....

Buat sahabats dan saudaras....
Samada yang membeli untuk bacaan sendiri atau waqaf, samada penyerahannya sempat dirakam atau sebaliknya, dan yang hanya berurusan melalui talian dan courier, terima kasih saya ucapkan.

Ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam, (walaupun tanpa sukatan kedalaman dan beratnya timbangan) saya mendoakan agar Allah limpahkan rahmat dan kurniakan keberkatan dalam kehidupan kalian.

Sayang kamu kerana Allah! 😘💝💖💞

#bercakapdengancermin
#muhasabahdiri
#bicaracintakeranaAllah
#bondanor

Jun 17, 2019

Bertemu kita...

Naj antara yang terawal sampai. Usahawan yg cukup hebat mengagih masa. Membawa kueh lopez yang lembut dan enak.

Maz juga dah sampai dengan biskut homemade yang terhias indah dalam bekas berriben merah. Kreatif! Ayu berbaju kurung, anggun seperti selalu.

Intan si ratu kebaya. Ayunya tak makan dek masa.

"Alisha dan mama macam sebaya je. Dah la sama-sama pakai kebaya...." Senyum meleret je dia.

"Aznah!... Wahh... 23 tahun kita tak jumpa. Tak sangka boleh bertemu jugak kita akhirnya." Ina menyambut mesra. Berpeluk-peluk kami semua. Mujurlah tak sampai ke peringkat melompat seperti zaman muda-muda.

Lama sungguh tak jumpa dia! Rasa macam baru semalam kita semua sama-sama berjalan merentasi tasik dan jambatan untuk ke dewan kuliah.

"Kau kecik slim macam dulu juga." Tambahnya lagi.

"Kau jangan terkejut bila tengok aku makan nanti... Haha.." Amaran agar dia bersedia.

"Ehh... Kak Ani dah sampai la..." Acara berpeluk-peluk berlangsung lagi. Sorang lagi sahabat yang tak dimakan usia. Maintain je. Datang berdua dengan anak daranya.

"Gee mana nih? Blm sampai lagi. Tak kan sesat kot." Berteka-teki.

"Assalamualaikum!" Kedengaran suara kerinduan itu dari arah pintu. Muncul dengan suami dan anak daranya yang sweet itu.

"Waalaikumussalam!.. Alhamdulillah, sampai akhirnya..." Teruja semua. Complete lah senarai yang confirm kehadiran dalam wasap.

.....

Meriah. Tetamu datang membawa berkah. Alhamdulillah...💖💝

Dari bersila beralih ke tangga. Menu penuh menghiasi meja.  🤗

Ruang tengah, cerita bercambah. Makan bertambah malu tak endah. Dok makan bihun, buah pulak dibelah. Apa lagi...ngap je lah.  😁🤭

Sambil menghantar mangkuk ke dapur, bersila pulak menambah libur. Bertanya khabar, berkongsi siar, kemesraan kami jelas tersebar. 💞

Sesekali keluar cerita semasa, tentang usia melepasi masa. Status nenek dah ada yg terima, termasuklah saya ni haa... 👵

Walaupun sekadar nenek saudara, tapi title itu dah melekat punya. 🙄

Jiwa masih terasa muda, semangat sentiasa membara-bara tapi hakikatnya kita semua memang dah 'terlebih dewasa'... 😁  Huhu...

....

"Nia dah berapa umur sekarang?" Bertanya untuk melepaskan rasa ingin tahu bila melihat satu-satunya anak dara Ina yang rajin membantu. Suweeit dan sopan sekali...

"17 tahun." Jawabnya malu.

"Alahai... Lambat lagi la nak makan kenduri. Paling cepat, 4-5 tahun lagi ni." Usik saya. Makin tersipu dia.

....

Terima kasih tak terhingga buat Puan Zarina Saad atas hidangan yang enak dan sambutan yang mesra buat kami semua.

Love you all...

#bersahabatdemiAllah
#xUUM
#ziarahygindah

Kisah BDC aku dan kamu...

Buku-buku yang di rindu. Yang ku tunggu kelahiranmu lama dulu.

BDC ada 9 beradik, Tak tahu yg mana kakak, yg mana adik.

....

Sakitnya Tu Di Sini. Mari ke mari, mahu ku ubati .

....

Selangkah baru bermula. Mahu mengorak larian ke syurga.

....

Kembara aku ke Galeri Ilmu, berusaha mencari Jalan Pulangku

....

Kenangan di sini sungguh indah, tapi ku harus Berani Berhijrah

....

Cemburu melihat bintang berkelip, tak dapat digapai diludahnya langit.

....

Bila Allah telah memilih, Bumerang Kasih pasti beralih.

....

Sungguh hati terasa seksa, takdir Kuterima Seadanya

....

#bercakapdengancermin
#BDC2019

Jun 13, 2019

Penangan BDC

Selesai berbai-bai dengan suami yang keluar bekerja, saya memeriksa wasap. Melihat andai ada mesej penting yang perlu dibalas.

Selesai.

FB pula dibuka. Minda terasa mahu memuntahkan sesuatu tapi permulaan ayat tak ketemu.

Tangguh.

.....

Semalam, buku Sakitnya Tu Di Sini telah saya khatamkan. Usai membaca, saya melintas dihadapan cermin di ruang tamu. Alamak... Mata dah bengkak!

"Kau ni, jangan la suka sangat menangis. Mata tu dah jadi bengkak, macam mata katak!" Kata seorang teman satu ketika dulu. Aduhai...

Comfirm saya tak akan keluar rumah bila ini berlaku.

Malu. Huhu...

.....

Kali ni, tangan mencapai sebuah buku BDC, Jalan Pulangku.

'Hidup ini bukan cuma seputar soal kesilapan. Lebih penting lagi soal pembetulan. Sejauh mana kau bersungguh mahu perbetulkan?'

Tak ada manusia yang sempurna tanpa kesilapan. Yang ada ialah penafian. Diri tak pernah salah! 😒🙄

Semuanya berlaku kerana kau...kau... dan kau. Kerana dia.. dia.. dan dia. Kerana mereka puncanya!

Selalunya begitu. Saya juga sama. Selalu mencari alasan membenarkan tindakan sendiri. 😪😪😪

#Muhasabahdiri tak mudah. Melihat diri yg sebenarnya salah!

Kerana ia memerlukan minda yang dibantu Allah untuk melihat apa yang salah sebagai tanda kasih Dia, teguran secara halus untuk kita mulai berubah!

.....

Bermula pukul 9 pagi, satu persatu helaian buku saya selak. Nak ke tandas pun sayang.

Tahan.

Jarum jam menjolok angka 12.

Selesai satu lagi buku BDC.

.....

Ada kisah yang sama dalam hidup kita sebagai manusia di dalamnya. Tapi ia dilihat dari sudut pandangan yang berbeza dan kesannya juga tak serupa.

Tak apa. Yang penting, ia memberi makna dalam usaha untuk mendekati Allah. Satu permulaan untuk berhijrah, mungkin.

Saya mengharapkan agar BDC mampu mencetuskan api yang menyala di hati. Bunga api...yang akhirnya membakar semangat diri.

Saya mengharapkan agar ada yang sudi menyambut kempen
#jombelidanbaca

Yang rasa tak ada masa untuk baca sendiri
#jomwaqafdankutipahala

Tak mahalpun, hanya RM20 untuk sebuah buku yang santai tapi sarat dengan ilmu.

Royalti buku ini, 💯% akan disalurkan terus kepada Rumah Anak Yatim Baitul Jannah Kedah. Moga doa penghuni rumah itu membuka jalan untuk kita ke syurga.

Yang berminat, klik pautan dibawah.
Https://orderbukubdc.wasap.my
Saya sedia membantu menghantar buku pilihan anda.

#BDC2019
#bondanor
#spmbn

Jun 11, 2019

Jalan ke syurga.

Manis orangnya. Sopan menyejukkan hati. Masih muda belia.

"Asyik berkepit dengan mak je. Bila nak kepit orang lain pulak?" Soalan yang dibenci oleh sesetengah orang terutama yang telah lama tamat belajar.

Allahu... Walaupun cuba dielak, ia terpancul juga dari mulut. Mengusik memang hobi tapi kadang tu tanpa sedar ia mungkin menyentuh hati. Maaf... Orang tua memang inilah rutin soalan. Sekadar bertanya perkembangan semasa sebenarnya. Huhu...

"Dia ni payah la. Takut nak kawin katanya." Si ibu menjawab.

"Ehh... Jangan! Nak takut apanya? Takut nak mengadap mertua ke?" Serkap saya.

"Macam-macam dengar pasal masalah orang kawin ni. Tak sanggup nak lalui masalah yang sama." Jelasnya. Entah kisah rumahtangga siapa yang dihidangkan, sehingga itu yang dia diputuskan.

"Aduhai sayang... Kehidupan kita tak indah bila tiada warna yang menghiasi. Pantai juga akan sunyi kalau ombak tak menghadirkan diri. Begitu jugak dengan alam berumahtangga. Setiap yang berlaku adalah proses untuk mematangkan kita." Diam. Mungkin tak setuju dengan apa yang dikata, mungkin juga kerana ia susah dihadam lantaran usia masih muda.

Sebelum pulang, bahunya saya peluk mesra sambil berbisik.

"Nak masuk syurga dengan mudah tak?" Dia mengangguk.

"Perkahwinan adalah jalan mudah bagi wanita untuk ke Jannah. Berbakti pada suami dan ikuti cara yang Rasulullah ajar, Insya-Allah, ada ruang untuk kita di sana nanti."

"Kalau jumpa suami yang baik, mudah nak berkhidmat untuk dia, tapi kalau sebaliknya?" Masih ragu. Jelas ada nada ketakutan di situ.

"Dah ada calon?" Soalku lagi. Dia menggeleng laju.

"Sentiasa berdoa. Mintak dengan jelas. Mohon Allah temukan jodoh yang mana dia baik untuk kamu dan kamu baik untuk dia. Dia baik untuk keluarga kamu dan kamu baik untuk keluarganya. Baik untuk dunia dan juga akhirat. Insya-Allah, tenang rumahtangga nanti..." Doa yang selalu saya ingatkan pada mereka yang masih belum berumahtangga. Kuncinya di situ.

"Cukup setakat tu dulu. Faham?" Dia mengangguk.

"Dah kawin nanti kak su bagi nasihat lain pulak. Nak cakap sekarang, nanti ada yang tak beraya karang. Tersadai kat sini. Haha..." Dia ikut ketawa. Aduhai manis sekali. Kalaulah saya ada calon yang sesuai, mahu saja saya jadi telangkai. 😄

"Kak su tolong la doakan jugak ya!" Pintanya menutup topik itu.

"Insya-Allah... Kak su sentiasa harapkan yang terbaik untuk semua ahli keluarga kita." Tubuh kecilnya dipeluk kemas.

Semoga Allah temukan kamu dengan jodoh yang saling melengkapkan...

Kekurangan itu lumrah kerana kita hanya manusia biasa, lalu Allah hadirkan pasangan agar kita saling menyempurnakan...

Yang pasti, setiap perkahwinan juga perlu melalui proses RnR; Redah dan Redha. Bila ada badai menimpa, kenalah Rehat dan Rawat pula...

#nasihatdarihati
#BDC2019
#bondanor