Dec 31, 2019

Doa

Ya Allah... Selagi belum cukup amalanku dan sempurna tanggungjawabku sebagai hambaMu, yang melayakkan kaki ini melangkah ke syurga, mohon jangan Kau panggil aku mengadapMu.

Andai sebaliknya, jemputlah aku kerana aku bimbang dosaku bertambah dek lemahnya iman tatkala meniti laluan masa yang panjang dan penuh dugaan. 😓

Pahit atau manis

"Sesungguhnya manisnya dunia itu adalah pahitnya akhirat dan sesungguhnya pahitnya dunia itu adalah manisnya akhirat. Sesungguhnya hamba-hamba Allah SWT bukanlah mereka yang melimpah ruah hartanya."

Hati, mana yang lebih kamu mahukan?

.....

"Sesungguhnya yang paling buruk antara kamu adalah yang memiliki ilmu namun hawa nafsunya mengalahkan ilmunya, lalu dia mempengaruhi orang ramai agar mereka semua sama sepertinya."

Nafsu, jangan angkuh! Akhlak, jangan runtuh!

.....

"Jadikanlah dunia ini sebagai persinggahan dan janganlah kamu memakmurkannya."

Jasad, kesementaraan ini jangan diagungkan. Akal, pilihlah bahagia yang berkekalan...

....

"Berbahagialah orang-orang yang menangis kerana mengingati kesalahan²nya, menjaga lisannya dan melapangkan rumahnya."

Iman, semoga Allah lampirkan dalam kehidupan.

.....

Nota.
Sila rujuk gambar untuk bacaan penuh.

#nasihatbuatdiri
#alquranamazing

Dec 30, 2019

Aloe vera

"Abang, aloe vera kita dah hilang la." Adu saya kecewa.

"Hilang? Macamana boleh hilang? Kan abang tanam atas tanah." Soalnya hairan.

"Pak Ya tercantas kot semasa dia mesin rumput dua hari lepas. Tak perasan agaknya. Ye lah, anak aloe vera tu hampir sama tinggi dengan rumput." Saya menjelaskan hasil siasatan sambil tersengih pilu.

"Ye ke? Erm..." Keluhnya.

"Orang lain tanam dalam pasu, kita tanam atas tanah. Memang risiko tinggi la. Takpe lah. Tak ada rezeki. Sayang jugak sebab ia spesis besar."
Kecewa tapi redha.

Saya bukan peminat pokok bunga. Tapi bila tahu khasiat dan kelebihan aloe vera, saya meminta suami menanam anak aloe vera yang diambil dari rumah makcik Mah. Kononnya senang kalau nak guna bila-bila masa.

.....

"Banyaknya aloe vera Maksu! Geram Su tengok." Anak mata membesar dek keterujaan melihat tanaman ini.

"Nak tanam, ambillah. Anaknya banyak tu." Tawaran dibuka.

"Nak ambik daun saja boleh?" Lain yang ditawar, lain yang disambar.

😅
.....

Khasiat daun aloe vera memang banyak. Tapi kena tahu bagaimana memprosesnya. Jangan terus digunakan selepas dicantas dari pokok.

Lendir kekuningan yang keluar dari daun yang dipotong adalah toxic. Kena hilangkan dulu.

Caranya ialah potong bahagian hujung daun atau potong jadikan beberapa keping dan rendam dalam bekas berisi air. Paling kurang selama beberapa jam. Selalunya saya rendam semalaman dan tukar air 2 kali sebelum diproses.

Buang kulit hijau dan blend. Bekukan guna bekas ice cube untuk kegunaan kemudian. Dah beku nanti boleh masukkan dalam container dan disimpan dibahagian sejuk beku.

Boleh campurkan dengan bahan lain jugak seperti timun, celery (kalau nak campurkan dalam jus) dan kalau mahu, boleh gunakan essential oil bagi kegunaan luaran (masker dan rambut).

Memang best sangat. Yang pasti, tak ada bahan chemical langsung bila buat sendiri. 😍

Nak tahu kelebihan dan khasiatnya? Google je... 😁

#sihatsecaraalami

Ubati batuk cara alami

"Sejak bila batuk ni?" Tanya saya bila mendengar batuknya yang bertali arus.

"Lama la jugak. Lebih dari dua minggu dah." Jelasnya sambil mengurut dada.

"Dah makan ubat?"

"Dah. Tak berkesan." Kecewa kedengaran dari lemah suaranya.

"Dah cuba makan madu dengan limau nipis?"

"Ada jugak. Tapi payah bila travel gini."

"Faham..." Saya mengangguk perlahan.

Mata saya tiba-tiba tertumpu pada satu gerai jualan buah. Nenas!

Terus saya borong 3 plastik buah yang dah dipotong kecil.

"Tak payah letak apa-apa. Saya nak buah saja. Buah ni manis kan?" Arah dan tanya serentak. Mencari alasan untuk menolak kebiasaan. Penjual itu mengangguk sambil tersenyum.

"Ambik nih, makan." Saya menghulurkan buah nenas.

"Tak naklah. Nanti makin teruk batuk." Dia menolak. Risau batuknya akan semakin melarat.

"Insya-Allah, akan berlaku sebaliknya. Nenas ni bagus untuk batuk sebenarnya. Ia akan bantu keluarkan kahak dan lepas tu akan semakin baik." Jelas saya.

"Ye ke?" Dia masih ragu.

"Ini ubat dari Allah nih. Belum pernah dengar orang mati akibat makan nenas." Gurau saya.

Dia ketawa kecil sambil tangannya menyambut plastik yang dihulur.

Alhamdulillah.

.....

Teori dulu.

Kalau makan buah sebelum makan nasi, nanti sakit perut.

Kalau makan semasa batuk, akan semakin teruk.

Semua tu terhasil oleh pengalaman dan pemerhatian. Hakikatnya adalah berlawanan.

Sakit perut berlaku kerana setelah makan buah, berlaku proses pemulihan. Begitu juga dengan batuk. Batuk semakin kuat kerana ianya satu proses mengeluarkan kahak. Selepas tu segalanya beransur pulih.

Insya-Allah.

Alhamdulillah.

.....

Banyak sekali kelebihan nenas yang mana telah dibuktikan dengan kajian.

Tapi untuk menyenaraikan di sini, bimbang pula mengundang keboringan pada pembaca.

Insya-Allah, akan saya lanjutkan informasi tentang nenas dilain masa.

....

"Abang, nak nenas!" Saya separuh menjerit bila melihat susunan nenas yang berwarna kuning hijau berbaris ditepi jalan...

Aduhh!!! Saya tersampuk buah lagi nampaknya. Haha...

#menusihatalami.

Dec 29, 2019

Terlajak perahu...

Pembuka perut pagi nih.

Untuk saya, rendaman halba, pandan, cengkih, pelaga dan kayu manis.

Untuk suami, bancuhan cengkih, pandan, pelaga dan madu.

Semoga kami diberikan kesihatan untuk terus beribadat. Aamiin...

....

Hari ni program ziarah anak buah yang demam akibat keletihan membersihkan rumah selepas banjir. Dilla Abdul Wahab dan Mohd Azizan

Saat suami dan mentuanya mengerjakan umrah, dan dia pulang ke kampung bersama anak-anak, rumah mereka dinaiki air separas pinggang. Dianggarkan hampir 80% kerosakan berlaku.

Allahu... Dugaan Allah buat mereka. Semoga Allah gantikan rezeki kalian dengan yang lebih baik.

.....

Perjalanan ke Bukit Bunga mengambil masa lebih kurang sejam.

Opss... Pemanduan la. 😝
Kalau perjalanan, maybe memakan masa berhari-hari kot. 😅

"Nak makan nasi ayam kampung?" Tanya suami tiba-tiba.

"Nak!" Jawapan luar sedar. 😲 Cepat sekali respon diberi.

Alamak! 🙄😅

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, diet berterabur. Oh! Mulut... Huhu... 🤐

'Ayam kampung takpe kot. Organik. Masih lagi makanan sihat.' Saya memujuk hati. Keterlanjuran yang kurang dikesali.

Itulah manusia dan nafsu. Perempuan pulak dilahirkan dengan 9 nafsu dan satu akal. Bukan senang nak dikawal tau...

Tak semestinya melihat makanan di depan mata baru tersasar. Dengan hanya mendengar dan membayangkannya pun sudah menjadikan diri hilang kawalan.

Aduhai...

#kisahakundia
#menusihat

Dec 28, 2019

Detox rempah

Persiapan untuk minuman detox esok pagi.

Halba, buah pelaga, cengkih, kayu manis dan daun pandan. Rendam dengan air panas dan tutup semalaman.

Esok pagi, campurkan dengan sesudu madu (kalau mahu) dan minum sebelum sarapan. Mudah sangat!

Memang 👍👍👍😃
.....

Kalau nak disenaraikan satu persatu khasiat bahan-bahan ni, memang panjang.

Rempah-rempah juga ada disebut dalam Al-Quran, walaupun tidak disebut setiap satu. Khardal dalam bahasa Arab, disebut antara bahan yang mempunyai ikatan elektron yang paling stabil.

Biji rempah ini ada disebut dalam surah Al-Anbiya:47 dan Luqman:16.

Rempah-rempah ini banyak digunakan dalam masakan seperti sup, singgang, kari dsb. Tapi kebaikan dan khasiatnya adakala tergugat oleh bahan-bahan lain seperti santan dan lemak berlebihan.

Lagipun, tak kan kita nak makan sup setiap hari. Mahu lagi banyak buruk dari baiknya kalau dijadikan santapan harian!. 😅

.....

Untuk memaksimumkan khasiatnya, jadikan minuman pembuka perut waktu pagi atau minuman sebelum tidur.

Cuba amalkan. Badan rasa lebih ringan dan bertenaga.

Saya dah cuba dan rasai kesannya. Apakata kalian pulak cuba amalkan. Paling tidak, seminggu dua... 😃

Jom!

#sihatcaraalami

Dec 27, 2019

Manual insan

Bila syarikat mengeluarkan kereta, mereka sertakan manual sebagai panduan penggunaan secara terbaik.

Bila Allah cipta manusia, Dia sertakan juga manual untuk pastikan kita hidup dengan baik.

Apa manual yang Allah beri? Al-Quran.

Soalnya, sejauh mana kita baca 'manual' kita? Yang membolehkan kita 'berfungsi' dengan keadaan terbaik sebagai hamba Allah.

.....

Banyak masalah?
Stress?
Buntu?
Risau?
Takut?
Marah?
Sedih?
Sakit?
Kecewa?
Geram?
Seram?
Curiga?
Was-was?
Serabut?
Lapar?
Mamai?

Mudah saja penyelesaiannya kalau kita ikut manual.

Tapi... Persoalannya sekarang ialah;
~ Kita baca tak manual tu?
~ Kita faham tak manual tu?
~ Kita ikut tak instructions yang diberi dalam manual tu?

Allahu....
.....

Abu Daud berkata, daripada Huzaifah r.a., dia berkata, "Apabila Nabi SAW tertekan oleh suatu urusan, baginda mengerjakan solat." Hadis riwayat Abu Daud.

.....

Surah Ghafir 40:44

فَسَتَذْكُرُونَ مَآ أَقُولُ لَكُمْۚ وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

"(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya".

Ada masalah? Carilah Allah. Sesungguhnya Dia sedang menunggu kita untuk mendengar segala luahan dan permintaan....

#solusidarilangit

Detox hijau

Timun. Sifatnya menyejukkan.

Celery. Membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah.

Air kelapa muda. Detox.

Hijau itu indah. Sihat itu mudah.

.....

Bagi sesiapa yang mengalami masalah sukar buang air besar, jangan ambil ringan. Ianya satu signal bahawa badan kekurangan enzim.

Perbaiki dengan cara mengubah pola makan pagi sebagai permulaan. Ambik makanan yang tinggi seratnya seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Insya-Allah, proses pembuangan akan lancar.

Bila usus sihat, anggota badan dan organ lain juga akan melakukan 'kerja' dengan lebih baik.

Ingat! Breakfast itu penting. 

#menusihat

Dec 26, 2019

Legasi sihat

"Kesihatan itu adalah hasil dari ketaatan." Itulah apa yang sering Dr. Zaidul Akbar tekankan.

....

"Jika hati sihat, automatik kita akan akur pada  pesanan Allah, kita lebih rajin untuk lakukan ibadat dan kebaikan, jaga diri, elak dari perkara yang melalaikan dan merosakkan, dan dengan izin Allah, hasilnya kita akan lebih sihat."

Habis tu, jika masih sakit, macam mana?

"Itu tandanya Allah masih mahu kita perbaiki kualiti hidup dan ibadah kita. Nilai kembali apa yang telah kita lakukan. Tetapkan matlamat dan kejar sampai dapat. Bina legasi. Buat 'pelaburan' yang akan terus 'bekerja' walaupun selepas kita mati."

Dah letih. Tak larat. Diduga dan kecewa.

"Selagi nafas masih ada, jangan pernah merasa cukup dengan apa yang telah dibuat. Fikirkan ganjaran akhirat yang mahu dicapai. Nikmat yang kekal, syurga!"

#legasiuntuksihat

Dec 25, 2019

Delima

"Abang, nak air delima. Orang kata air delima kat sini sedap. Takde campuran langsung." Saya mengemukakan permintaan saat melihat gerai yang menjual jus delima di Spice Baazar.

Bukan tak ada di Malaysia, tapi di tempat kita selalunya jus buah akan dicampur gula dan ais. Mungkin menggunakan kordial.

Terus sahaja suami singgah dan memenuhi permintaan.

"Berapa harganya?" Soal saya sebaik saja jus delima berpindah tangan.

"Lebih kurang RM7 duit kita." Jelasnya.

"Takde lah mahal sangat. Dalam ranking mampu beli lagi la." Saya mencongak sendiri.

Itu kali pertama merasa jus delima asli tanpa campuran. Sedap!

Kenangan delima. 😍
.....

Delima @ Rumman

Salah satu buah yang di sebut dalam Al-Quran. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Antaranya dalam surah Al-An'am, 6:99, 6:141 dan Ar-Rahman, 55:68.

Ia disebut sebagai makanan di syurga.

Allah dah bagi kita 'hint' dan 'clue' tentang buah ini. Kelebihan dan kebaikan yang Allah turunkan untuk dimanfaatkan.

Delima merupakan 'blood cleanser' atau pembersih darah yang paling baik. Dan amat digalakkan jika dimakan bersama dengan bijinya.

Uihh, gitu ke...? 😲

Akan ku cuba telan nanti... 😊

.....

"Banyaknya abang beli buah!" Mata saya menangkap sekotak delima dan anggur yang dibawa balik.

"Nak bawak untuk pakcik Majid dan makcik Mah yang tak sihat. Kawan abang, Hishamshi masuk wad, nak ziarah dan bawak untuk dia. Nanti kita bagi budak-budak tu jugak." Jelas sekali pada siapa dia nak agihkan. Infaq kesihatan. 😁

"Nanti Su buat air untuk abang jugak ya!" 😍

Hasilnya, sebiji buah delima mampu menghasilkan hampir dua gelas jus untuk kami. Wahh!! Lagi murah dari yang dibeli di Turki nih. 😃

Next time tak payah beli jus lagi lah. Buat sendiri lagi baik.

Jom hidup sihat!

#menusihatalami
#makanansyurga
#menudarialquran

Dec 21, 2019

Tips untuk kekal cantik dan sihat.

Semenjak saya masih remaja, saya memang suka mencuba pelbagai petua untuk kesihatan dan kecantikan.

Tapi bila kesibukan mula menguasai kehidupan, banyak yang saya abaikan.

Saya suka membaca buku-buku tentang khasiat herba, termasuk menonton dokumentari ditv dan mencari informasi di YouTube. Terasa mudahnya untuk hidup sihat dan cantik tanpa belanja yang mahal.

Tapi itu tak cukup untuk membuatkan saya termotivasi dan istiqamah dalam penggunaannya.

Sibuk! Malas! Leceh!

Ada-ada saja alasan. Huh!

Sehinggalah....

....

Mulut saya terlopong. Tak sangka sebegitu banyak maklumat tentang kesihatan yang Allah berikan.

"Lebih kurang ada 800 ayat yang memberikan tips kesihatan dalam Al-Quran. Tapi ramai antara kita yang tidak mengendahkannya..." Berulang kali Dr Zaidul Akbar menyebut dalam ceramahnya.

Dikongsikan beberapa ayat yang dipilih. Dijelaskan maksudnya. Ditadabburkan untuk mudah difahami. Kebetulan pula saya sedang belajar tadabbur Al-Quran. Semakin indah jadinya.

Beliau membuat kajian tentang pemakanan sihat dan perubatan secara alami, menggunakan bahan-bahan mudah dapat,  lalu dikongsi melalui ceramahnya.

Segalanya dilakukan kerana mahu melihat umat Islam kuat dan sihat, fizikal dan spiritual, zahir dan batin.

Allahuakbar...

Perjuangan yang bukan mudah. Mahu mengubah kebiasaan dan pola pemakanan zaman kini memang mencabar. Banyak sekali halangan dan dugaan yang harus dicantas. Nafsu adalah yang utama.

"Kesihatan itu terhasil dari ketaatan. Bila kita akur pada apa yang disampaikan dalam kitabNya, mengikut segala tips yang dinyatakan dalam Al-Quran dan As-Sunnah, maka tidak ada penyakit yang tidak dapat dielakkan dan disembuhkan..."

Saya mahu sertai perjuangannya. Bermula dengan diri sendiri tentunya... Jom!

#mylegacy
#hidupsihat
#BYL

Dec 20, 2019

Best seller.

Ia berbeza dengan semua jenis buku yang wujud di dunia.

Sebanyak mana pun dibaca, tak pernah puas.

Tak faham, tapi tetap dipegang, diulang.

Bila faham, rasa tak boleh berenggang.

Semakin dibaca, semakin banyak masa untuk melakukan banyak perkara.

Keberkatan masa yang Allah janjikan pada hamba²Nya.

Itulah Al-Quran.

Tak percaya? Buat dulu.

#BYL
#akademisinergi

Stress?

Tak ada manusia yang tak pernah stress.

Kajian menunjukkan terdapat 8 punca stress yang sering menggugat  ketenangan.

1. Kesedihan
2. Kegelisahan
3. Lemah
4. Malas
5. Pengecut
6. Bakhil
7. Hutang
8. Penindasan

Nilai diri. Stress mana yang telah dan sedang dialami?

Dec 19, 2019

Janji yang diabai

Banyaknya peluang nak generate pahala. Tapi, apakah ikhlas itu hadir bersama?

Andai tersalah memandu bisikan kalbu, pahala dikutip menjadi debu.

Astaghfirullahhalazhim...

Malu sendiri. Malu pada Illahi. Mudahnya terpesong dari janji. Mudahnya berjanji, mudah juga memungkiri. Lemahnya hati.

....

Janji malam tak nak makan nasi. Bila berhadapan dengan hidangan penuh kalori, terus rasa lemah kaki, tak dapat lari. Tangan pula setia dan akur menjalankan tugas hakiki.

Dah 3 hari begini. Bila bercuti bersama famili, memang terkubur azam dan janji....

Nantilah... Ia akan digali kembali, disiram dan dibajai...

Azam untuk makan secara sihat diperbaharui lagi. Untuk kesekian kali.... Uhukkss...

#amalmakansihat

Dec 17, 2019

Detox alami

Detox alami.

Ambik apa yang ada di dapur dan belakang rumah.

Serai, pandan, kunyit dan halia. Cantas je kat belakang rumah. Kurma kat dapur, memang selalu ada.

Semua bahan-bahan ini adalah antioksida yang baik untuk usus.

Minum malam dan sebelum sarapan. Selalunya saya akan selang seli kan dengan air rempah.

Penyakit kita berpunca dari apa yang kita makan. Nak memperbaiki kesihatan, juga harus dimulakan dengan perut.

Kalau tak boleh amalkan selalu, jangan tinggal terus. Bila makan menu yang berlebihan kandungan gula, lemak dan garam, cuba neutralkan kembali dengan air rebusan sebegini.

Bila usus dah bekerja kuat sebelumnya, kenalah detox. Macam mesin jugak, kena servis kalau nak pastikan prestasi kekal dalam keadaan terbaik.

Badan kita adalah amanah Allah pada kita yang harus kita jaga.

Saya juga sedang mencuba dengan sebaiknya. 😁

#detoxalami

Dec 16, 2019

Titik

Membaca catatan perkongsian kak Ezatul Marini, buat saya menyelongkar perlakuan sendiri, terutama di layar FB.

Tentang kemesraan yang dipamerkan.

Seronok sebenarnya bila diusik bersemut. Bahagia menyelinap masuk ke hati dan jiwa.

Tapi benar, mesra dan tebalnya cinta sayang bukan dinilai dari sentuhan akrab yang dirakam dan dipertontonkan. Sekalipun ia dirakam, sebaiknya simpan dan rasai keindahannya  dihati.

Adakala lembutnya pandangan, lunaknya panggilan dan ringannya tangan menghulur bantuan lebih romantis dan mencairkan jiwa pasangan.

Cukup hanya diri yang tahu dan rasa.

Titik.

Ubat dari alam

Sekarang ni, musim demam, selesema dan batuk. Saya dan suami tidak terkecuali. Entah dari mana datangnya, saya tak pasti.

Saya tak ambil ubat hospital apatah lagi antibiotik. Saya akan lebihkan pengambilan sayur dan buah bagi meningkatkan daya tahan badan. Juga elakkan dari makanan berminyak dan minum ais.

Untuk pulihkan diri sendiri dari demam dan batuk, saya buat jus. Sayur dan buah selalunya. Kali ni, saya blender moringa bersama batang celery dan kurma. Minum begitu saja.

Tapi agak sukar kalau nak bagi pada suami minum. Padahal bukan ada rasa apapun.

Jadi, untuk dia, saya buat omelet moringa.
Resepinya...
Telur *
Karot (cincang) *
Bawang besar (cincang) *
Bawang putih (cincang) *
Sedikit serbuk lada sulah *
Sedikit garam *
Minyak zaitun. *
Daun moringa

Bancuh semuanya bahan * dan masak dengan suhu kecil menggunakan kuali non-stick. Bila separuh masak, taburkan daun moringa.

Sumber protein telur mudah musnah kalau dimasak dengan api besar. Jadi saya masak dengan api kecil.

Sebaik saja moringa ditabur, saya matikan api. Lipat atau gulung telur. Siap!!...

Kentang dan karot pulak, saya masak  menggunakan kuali non-stick. Macam bakar la jugak. Taburkan sedikit serbuk lada sulah. Baunya harum dan manis aslinya kekal.

Alhamdulillah, suami suka makan. Dan dengan izin Allah, demam, selesema dan batuk beransur hilang.

Mana taknya, moringa dikatakan mempunyai khasiat berganda berbanding dengan makanan yang biasa kita makan.

Nikmat apa lagi yang mahu kita dustakan?  😃

#menusihat
#perubatanalami

Dec 15, 2019

Refresh azam.

Semalam ada 3 jemputan makan. Alhamdulillah.

Perut kena buat overtime la jadinya. 😅

Walaupun saya cuba untuk tidak mengambil makanan berlemak, berminyak dan manis, tapi bila memenuhi jemputan sebegini, terus lupa diri, lupa azam. Adeehh... 😂

Jadi pagi ni saya mahu kembali pada menu sihat. Azam diperbaharui lagi! 😃

Sesudah solat Subuh, terus ke dapur, siapkan breakfast.🔪🥄🍳

Jadi, terhasillah...🍱🥃
Air rebusan serai + halia + kunyit + pandan
Omelet moringa
Karot
Kentang
Kurma

Semoga Allah berikan kesihatan buat kami sebagai permulaan hari....  Sayangnya suami tak boleh telan air 'buatan' saya. Huhu...

Pagi!

#menusihat
#perubatancaraalami

Awet Muda.

Nak awet muda?
Puasa dan amalan minum air rebusan kunyit adalah anti-aging paling baik.

Tak percaya? Cubalah... 😃

Dec 14, 2019

Kita dan alam

Jom fikir dan zikir...

Bila Allah cipta manusia, Allah ciptakan sekali ubatan untuk menyembuhkan penyakit yang dihadapi.

Ibarat kereta, bila dibuat satu² jenis kereta, pasti akan dihasilkan juga spare parts bila kereta bermasalah atau rosak.

Selalunya, spare parts terbaik adalah yang original. Yang dihasilkan dari kilang yang sama.

Manusia adalah produk Allah. Seperti kereta, kita juga begitu.

Rasulullah pernah bersabda:
“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.” (HR Bukhari).

Bilamana Allah ciptakan manusia dari tanah, Allah keluarkan juga ubat untuk kita; dari tanah.

Allah Maha Pemurah, Dia bekalkan kita dengan produk alam yang mudah didapati dan tidak perlu kos yang tinggi. Kaedah perubatan dan bahan yang digunakan, sebenarnya Allah telah berikan clue pada kita dalam Al-Quran.

Sebanyak lebih kurang 800 ayat dalam Al-Quran yang memberikan tips untuk kita hidup sihat.

Lebih dari 20 produk alam yang disebut dalam Al-Quran, hasil dari tanah yang mampu menjadi penyembuh kepada sakit yang manusia hadapi, samada penyakit yang dulunya tak pernah wujud, sehinggalah penyakit zaman sekarang yang munculnya cukup menggerunkan.

Malah beribu-ribu tanaman yang bila dibuat kajian, boleh membantu memperbaiki tahap kesihatan. Mudah dan murah dengan kaedah yang tidak membebankan.

Paling penting dalam apa juga cara pengubatan, ialah doa sebelum pengambilannya. Penyembuh hakiki adalah Allah, bukan bahan-bahan ini.

 “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku.” [QS Asy Syu’ara: 80]

Insya-Allah, saya akan kongsikan info yang saya perolehi tentang penjagaan kesihatan kaedah alami dari semasa ke semasa. Saya mahu tulis di sini sebagai nota diri.

Andai ia memberi kebaikan kepada sahabat dan pengguna FB, harap disebarkan dan diamalkan.

Semoga Allah izinkan.... selagi ia memberi manfaat dan kebaikan kepada kita semua.

#perubatansecaraalami
#AllahMahaPenyembuh

Gerun

Sesungguhnya jarak kita dengan kematian terlalu dekat. Andai Allah mahu, dengan hanya jarak masa sesaat, satu helaan nafas, satu kelipan mata, kita akan berada dialam yang berbeza.

Gerun!

Banyak dosa yang telah dibuat , dengan sedar atau tanpa sedar. Banyak salah yang masih belum dimaafkan. Banyak amalan yang masih terawang-awang, yang belum tentu diterima Tuhan.

Tapi andai masa saya telah tiba, saya 'pergi' dengan begitu saja, harapnya niat dan keazaman untuk memperbaiki diri dan amalan dimasa depan, akan Allah terima sebagai tiket pelepasan dari api neraka.

Sungguh saya sedar kelayakan diri yang terlalu kurang untuk menjadi penghuni syurga. Namun sebagai manusia biasa, impian itu tetap ada....

#azamselalu

Dec 13, 2019

Azam lagi

Akhir tahun dan awal tahun tak memberikan apa-apa perbezaan pada saya.

Apatah lagi bila azam tahun² sebelumnya tidak mampu disempurnakan. Apa yang jelas hanyalah pertambahan usia dan tanda² penuaan yang semakin ketara setiap kali nombor berubah.

Lalu atas dasar untuk menghilangkan rasa kecewa yang keterlaluan dek azam yang kecundang, saya menyertai bengkel ini. Mahu mencari kekuatan untuk menghadapi 2020 dengan berbekalkan apa yang telah Allah turunkan; Al-Quran.

Kemudian saya sedar... Bahawa keazaman yang paling utama untuk dicapai bukanlah setakat untuk tahun 2020 tapi kesudahan saya selepas kematian.

Kejayaan azam saya akan diumumkan keputusannya di akhirat. Misi saya ialah menjauhi keperitan api neraka dengan segenap cara. Semoga dengan jauhnya bahang api neraka, akan mendekatkan saya kepada syurga.

Allahuakbar!
Astaghfirullahalazim...

Sempitnya pemikiran saya sebelum ini. Kecewa bila gagal menyempurnakan azam yang pernah dibuat dan kemudian mengabaikan proses memperbaharui azam untuk tahun-tahun seterusnya.

Tak mahu tunggu tahun baru untuk berazam lagi. Azam baru harus bermula serta merta!
Dan perlu diperbaharui setiap masa. Kerana tempoh tamatnya bukan berdasarkan angka tahun, bulan dan hari, tapi bila angka itu tak bergerak lagi. Dengan kata lain, kita telah mati!

Lalu, selagi helaan nafas ini masih mampu dilakukan, selagi itu keazaman itu tak harus padam. Kecewa harus diketepikan.

Allah lebih tahu apa yang layak diberikan berdasarkan kepada tingkat usaha yang telah dilakukan. Tak harus berhenti meminta, tapi saat keputusannya nanti, redhalah dengan apa jua hasilnya.

".... Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." Surah Hud, 11:88

Lalu, kenapa harus bermain² lagi dengan azam?

Psssttt... Satu lagi azam saya bersama FB; tak mahu tulis panjang² lagi dah... Bolehkah? Akan berjaya kah? 😃

#akademisynergy
#tadabburalquran

Dec 11, 2019

Quotes

Manusia tak sempurna. Setiap orang ada sisi pandang yang berbeza. Ibarat puzzle, yg berbeza itulah adakalanya menyempurnakan.

Dec 10, 2019

Moringa

Moringa.

Dulu asing sangat nama ni bagi saya.

Kali pertama jumpa semasa saya tinggal di Pinggiran USJ. Jiran belakang rumah, keluarga India memang ada satu pokok besar yang sering berbuah. Buahnya panjang macam kacang panjang. Tapi keras.

Tak tahu gunanya, tak tahu nak masak macam mana. So, saya abaikan.

Kali kedua, saya berubat dengan seorang ustaz. Dia minta dibawakan akar pohon ini, untuk tujuan menghalau makhluk "perosak".

Kali ketiga, saya ke rumah seorang tukang urut. Di depan rumahnya ada pokok ini yang dicantas batangnya. Daun muda tumbuh segar dan hijau. Katanya daun ini banyak sekali khasiatnya. Goreng dengan telur pun boleh. Sedap!

Kali yang seterusnya, ada produk kesihatan berasaskan moringa ditawarkan pada saya. Tak ingat keluaran syarikat apa. Tapi saya abaikan saja.

Banyak lagi penemuan dan pemberitahuan tentang pokok ini. Sehinggalah Dr Zaiful ada menyebut tentang antioksidan semulajadi yang mudah didapati dan paling baik dalam banyak-banyak buah dan sayuran.

Apa lagi... Ambil sebatang celery, kurma 3 biji dan daun moringa. Blend... Jadilah jus cekumo... 😁

Uihh... Sedap rupanya. 😍

Rutin baru

Masuk saja ke dapur, sebelum siapkan breakfast suami, telan dulu minuman ini. Minuman rempah yang berfungsi untuk detox.

Halia
Kunyit
Kayu manis
Daun pandan
Air panas

Sebelum tidur, saya minum segelas. Kemudian,  tambah lagi air untuk bahan yang sama dan tutup. Paginya saya minum lagi.

Alhamdulillah, badan rasa ringan sangat. Cuba amalkan dan rasai sendiri kesannya.

Sememangnya bahan-bahan ini padat dengan khasiat kesihatan. Google saja, banyak info yang akan diberikan tentang kelebihan setiap satu.

Atau... Kalian mahu saya bantu berikan info itu?

.....

"Bila dah berusia, macam ni lah. Memang sakit akan datang. Redha je lah." Kedengaran macam dialog putus asa, kan?

Jangan... Allah tak pernah pilih kasih. Dia mudahkan hidup kita dengan menyediakan ubat disekitar kita saja. Tinggal nak guna atau tidak.

Usaha. Istiqamah.

Itu yang saya ikhtiarkan juga.

Dec 9, 2019

Pantang

Saya tak ada pantang larang dalam bab-bab makan ni. Pantang jumpa, pantang ada depan mata memang clear pinggan saya.

Lagipun, memang tak elok membazir. Betul kan? 😉

Cara nak kawal satu je. Jangan bagi ada atas meja, dalam peti ais, kat dapur. Boleh la kawal sikit selera yang bermaharajalela ni.  😅

Kadang tu tersengaja jugak bila bayangan melintas fikiran. Dah namanya manusia yang punya nafsu 9 dan akal 1, selalulah terjadi tragedi keazaman yang terbabas dari landasan.🤣🤣🤣

Sementara masih hangat dengan azam baru semalam, maka terhasillah breakfast pagi seperti dalam gambar... Langkah pertama untuk memenuhi tanggungjawab menjaga usus. 😎😍

Bukan setakat berkhasiat, malah sedap, sihat dan mengenyangkan... 😃

Semoga tengahari keazaman masih terpelihara... 😁

Dec 8, 2019

Azam?

"Wahh... Sedapnya!"

"Memang berselera sangat. 3 pinggan nasi panas senang je hilang kalau makan lauk camni."

"Allah bagi nikmat makan, kita makan je la. Orang open table pulak tu. Apa lagi, jangan tolak rezeki oii!"

"Masa sihat ni la kita nak makan, dah tua dan sakit nanti, makan apapun tak mahu lagi..."

Antara dialog yang menyokong, mendorong dan menggalakkan kita makan. Banyak bonar hujahan yang membuatkan kita makan, makan dan makan.

Errr... Itulah dialog saya setiap kali berhadapan dengan makanan. 🤭

Allahu... Mudahnya mengenepikan pesanan Allah dalam Al-Quran. Senangnya hati terdorong dengan pujukan syaitan.

"....makan dan minumlah sekehendakmu dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan..."

Pesanan yang diabaikan. 😥😪

Ampun Ya Allah... 🤲

Badan kita adalah amanah Allah pada kita, yang perlu kita jaga dan pelihara sebaiknya. Agar dengan badan dan jasad yang sihat, kita akan lebih mudah beribadat dan mengerjakan kebaikan.

Menjelang hari-hari terakhir ditahun ini, saya berazam... Nak mengawal makan. Bukan kerana nak kurus (saya memang dah kurus) tapi sebab saya nak sihat.

Azam baru diaktivatekan serta merta. Tak nak tunggu tahun baru. 😃

Ehh... Macam pernah dengar azam macam ni... Tahun bila ya? 🤔😅

Dec 7, 2019

Quote

It's not a fat that make you fat but sugar. Obese? Pls stop taking white sugar first!

Dec 6, 2019

Aloe Vera

"Kak su, Yah guna aloe vera gel yang beli kat Watson dan apply kat rambut. Dalam 2-3 minggu, macam nampak banyak anak rambut yang baru tumbuh." Wasap dari my beras. 😄

Saya teruja!

.....

"Kak su nak buat apa dengan aloe vera tu?" Tanya Aini bila melihat saya mematahkan daun aloe vera dalam pasu.

"Macam-macam boleh buat nih. Untuk rambut, untuk kulit... Kalau makan pun bagus."

"Macamana tu?"

"Ambik isi tengah daunnya dan blend. Tapis dan bekukan. Sebab tak abih kalau nak guna sekaligus. Cuba la..."

.....

Aloe vera.

Saya dah lama tahu tentang khasiat tumbuhan yang satu ni. Tapi payah betul nak cari daun yang besar. Sudahnya aloe vera arwah mentua jadi mangsa. Dari dibiarkan daunnya tua dan kering, baik saya manfaatkan. Kecik tak bermakna tak berkhasiat.

.....

Bila daun diambil dari pokok, dipotong, ia akan mengeluarkan lendir kuning. Itu adalah lendir yang tak elok. Kalau terkena kulit, gatal.

Seharusnya dibuang dulu lendirnya dengan cara membasuhnya menggunakan air yang mengalir. Itu yang terbaik. Biarkan beberapa ketika.

Jika tiada air mengalir, potong bahagian atas dan bawah, rendam dalam bekas yang berisi air dalam sejam, semalaman atau sehingga puas hati. Selepas tu, buang kulitnya dan ambil bahagian dalam yang jernih. Basuh dan blend. Jangan campurkan air.

Tapis dan masukkan dalam bekas kiub ais untuk memudahkan penggunaan bila diperlukan.

Jika disapu pada kulit kepala dan rambut, ianya  membantu pertumbuhan dan melembutkan rambut. Tak payah guna conditioner lagi dah.

Jika disapu pada kulit muka, buat masker ke, kulit akan jadi lembut dan lembap.

Kalau nak dibuat minuman pun boleh. Campurkan saja dengan jus buahan dan sayuran. Tak perasan pun rasanya. 😁

Super jimat untuk biaya kesihatan dan kecantikan! 👍

Paling penting, tak ada langsung bahan kimia yang merbahaya! 😄😁

Sila cuba ya!

Dec 5, 2019

Mula

Saya sering mengikuti ceramah Dr. Zaidul Akbar melalui YouTube. Semuanya bermula dari keengganan saya untuk mengambil ubat hospital.

Saya pernah membaca satu kiriman WhatsApp yang menceritakan tentang bagaimana hospital-hospital di Mekah dan Madinah tidak ramai penghuninya. Bila sakit, yang pertama di cari ialah Allah, bukan doktor dan bukan ubat.

Lalu, bila Allah menyatakan dalam Surah Asy-Syu'araa bahawa yang memberikan sakit ialah Dia dan yang menyembuhkan sakit juga adalah Dia, maka saya pasti Allah memudahkan ubat dengan menyediakan segalanya di sekitar kita saja. Tanpa kos yang mahal dan secara semulajadi.

Saat saya mencari kaedah perubatan secara semulajadi, saya bertemu dengan YouTube Dr. Zaidul Akbar. Bagi beliau, permulaannya ialah bila dia meragui soal kehalalan ubatan moden.

"Sehat adalah kesan sampingan, hasil dari ketaatan seseorang menerapkan semua syariat dalam agama. Mereka yang rajin menerapkan semua ajaran Allah akan sihat, Insya-Allah."

"Tuhan Maha Tahu apa yang kita perlukan. Hanya perlu kembali pada Allah SWT dan ikuti petunjuk Nabi Muhammad SAW (Sunnah). Di situ kita bermula. Amat mudah. Semuanya memenuhi kemampuan setiap orang, dengan kata lain, belanjanya murah sahaja." - Dr Zaidul.

#JSR
#thibbunnabawi
#sihatsecaraalami

Sihat Vs Sakit

Allah Maha Penyayang.

Sihat itu anugerah. Sakit itu peringatan. Sihat atau sakit, Dia hadirkan sebagai tanda sayang. Dia tak pernah susahkan kita dengan sakit asalnya. Yang cari penyakit ialah kita sendiri.

Allah Maha Mengetahui.

Sakit puncanya dari perut. Yang masuk ke perut ialah makanan. Makanan yang 'salah' dengan kuantiti yang salah, itulah yang menyebabkan penyakit menguasai badan. 

Allah Maha Penyembuh.

Bila punca sakit adalah makanan, maka untuk menyembuhkannya juga adalah makanan. Makanan alami atau semulajadi tanpa diproses adalah yang terbaik.

Allah Maha Pemurah.

Kita sakit tak kira masa dan ketika. Dia sediakan ubat dengan apa-apa yang ada disekitar kita. Yang tinggal ialah mahu berusaha atau sebaliknya.

Allah Maha Adil

Yang miskin atau yang kaya, bila sakit, tak ada bezanya. Dia sediakan ubat yang sama, cara yang serupa dan nilai yang tidak membebankan hambaNya.

Allah Maha Pencipta.

Kita diciptakan dari tanah. Bila sakit, ubatnya juga dikeluarkan dari tanah. Mudah dan murah. Insya-Allah.

.....

Saya seronok mencari ilmu kesihatan dan bila ketemu, ingin sekali saya kongsikan. Moga dipermudahkan Allah.

Nantikan ya! 😄

Dec 2, 2019

Nota diri.

Nota diri.

"Kau akan mati!"😰

Allahuakbar! 

Benar! Mati itu pasti.

"Bila-bila masa malaikat maut akan datang. Tanpa amaran, tanpa salam. Untuk memanggil kamu pulang..." 😰

Di mana? Bagaimana? 

"Tak usah kau peduli. Itu rahsia Illahi." 😓

Allahurabbi!

"Dah sedia?" 😓😰

Sempit dada ini.

Aku masih leka melayan dunia. Ampunkan hamba ya Allah. Ingatkan aku sentiasa tentang ajal yang bakal tiba... 😭😭😭