Aug 30, 2008

Merdeka!!!

Merdeka!! Merdeka!! Merdeka!!

Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, kita seharusnya menyambut ulang tahun kemerdekaan negara dengan cara yang lebih bersesuaian.

Saya baru dapat tahu tentang program yang akan diadakan di Masjid Negeri Shah Alam semasa saya menghadiri Bicara Ad-Din pagi tadi. Maklumat adalah seperti berikut :

Tempat : Masjid Negeri Shah Alam.
Aturcara : Solat Isyak
Jamuan makan
Tayangan dokumentari (9.30 am)
Forum (Tajuk: Merdekakah kita?)
Zikrullah (11.30)
Solat hajat (12.00)
Sujud syukur
Zikir dan Doa
Pengerusi - Datuk Nawawi Hashim (bekas Pengerusi Jais)
Penceramah - Datuk Daud Che Ngah
Dr Zulkifly Al Bakry
Dijangka habis pukul 1230 malam.

Jom!!!....

Nota : Maaf... n3 yg terlalu ringkas dan tergesa-gesa. Nak cepat ni...

Aug 28, 2008

Zodiac

Pagi tadi saya terima satu email dari teman sepejabat. Subject; zodiac, dalam file pps. Memenuhi ruang masa sebelum memulakan kerja, saya buka dan baca sekadar suka-suka.

'Once you have opened this email, there's no turning back. Below are true descriptions of zodiac signs with traits from a book written 35 years ago by an astrologist perdiction. Read your sign, then forward it on, with your zodiac sign and label on the subject line. This is real deal, try ignoring it and the first thing you'll notice is having a horrible day starting tomorrow morning and it only gets worst from there'

'Capricorn - The Passionate Lover'

'Love to bust (Erm... tak faham sgr maksud sebenar). Nice (Insyaallah). Sassy (Ni pun tak faham). Intelligent (Anugerah... kalau itu milik saya, Alhamdulillah). Sexy (????...). Predict future (Saya bukan tok nujum la). Irresistible (Adeh... ye ke?). Loves being in long relationships (Of course la). Great talker (Hah..???). Always gets what he or she wants (Mana ada...). Cool (Ye lah tu). Loves to own Gemini's in sports (Entah, tak penah tanyapun zodiac apa). Extremely fun (Ye ke...). Loves to joke (Cuba buat org terhibur, tapi takdelah sampai buat org gelak sampai lupa diri). Smart (Erm...). 24 years of bad luck if you not forward.(Hah!!?????...)'

Zodiac saya yang paling lama akan dapat menerima 'bad luck' kalau tak forward. 24 tahun tu....

Tak semua saya baca. Malas. Saya pilih untuk delete je email tu. Esok bukan hak sesiapa untuk menentukannya. 5 minit lagipun bukan milik saya kalau Allah dah tentukan begitu. Saya redha kalau itu yg terbaik untuk saya.

'Bad luck' adalah dugaan, cubaan dan cabaran yang Allah turunkan pada saya sebagai tanda ingatan. Mungkin saya terleka... mungkin saya terlupa... mungkin saya terlalai seketika dari mengingatiNya.

Saya hamba Allah yang lemah yg terkadang terpalit oleh dosa walaupun saya sedaya upaya untuk menghindarinya (ampunilah aku ya Allah). Allah sayangkan saya sebab itu Dia beri peringatan pada saya. 'Bad luck' bukannya 'buruk tuah', tapi anugerah bagi saya kerana itu tandanya Dia sayangkan saya. Alhamdulillah....

Allah tempat saya bergantung, bukan tilikan yang merapu 100% tu. Nasib baiklah teman sepejabat yg hantarkan email kat saya tu Chinese... kalau tak, memang nak 'basuh' sikit dia tu.

Kepada yang beragama Islam, sebarang email yang mintak di forwardkan (email atau surat berantai)... walaupun ianya satu email atau surat yg mengajak kita bertakwa kepada Allah, tapi kalau disertakan amaran akan dapat nasib yg baik atau sebaliknya jika tidak di forwardkan, sebaiknya janganlah buat. Abaikan saja.

Berdosa jika kita mengambil bahagian untuk memanjangkan email tersebut kerana bila kita forward, walaupun untuk suka-suka, secara tak langsung kita seolah percaya pada apa yang tertulis. Jangan sampai tanpa sedar kita syirik pada Allah. Nauzubillah....

Aug 23, 2008

80% tidak mengerjakan solat?

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud:

'Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.'

Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

"Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit."

"Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,'' kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini.

Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari.

Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam seketika.

"Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut, natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama."

"Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum. Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja,'' terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati. Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:

'Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.'

Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam.

"Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak. Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak."

"Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar."

"Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama,'' kata beliau.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan seseorang itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman, pengaruh luar yang tidak menggalakkan dan sebagainya.

Namun, punca sebenar berlakunya demikian ialah kerana tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan sembahyang, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang. Dr. Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka menumpukan perolehan yang bersifat material.

"Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah-Nya,'' ujarnya.

Nota : Artikel ini saya dapati dari email yg dihantar teman. Terdiam seketika saya bila membacanya. Memikirkan tanggungjawab berpesan-pesan (surah Al Asr) yang perlu dilaksanakan... Memikirkan kata-kata ramai pemerhati yang menyebut bahawa kitalah umat akhir zaman yang penuh dengan kerosakan akhlak.

Terlintas ingatan pada surah Al-Waqiah yang menceritakan 3 golongan; golongan kiri, golongan kanan dan golongan terdahulu. Golongan terdahulu adalah golongan yg paling banyak daripada umat Muhammad dan yang terkemudian pula golongan yang paling sedikit dari umat Muhammad. Kita ni umat Muhammad yang terkemudian kan?

Sebagai penganut agama Islam, kita dah memang tahu bahawa solat itu ialah tiang agama. Perkara paling penting dan asas yang perlu dipenuhi. Mengerjakan solat akan dapat mencegah diri dari perkara mungkar. Tapi walaupun tahu betapa solat itu amat penting, kenapa masih ramai yg mengambil mudah?

Lalu soal lah diri; dimana kita sekarang (didalam peratusan yang yang berikan oleh Datuk Dr Fadzilah)? Di kalangan 20% atau 80%?

Dan dimana kita mahu berdiri? Di kalangan 20% atau 80%?

Tepuk dada, tanya minda. Tepuk dahi, tanya hati.

Aug 20, 2008

Untukmu suami...

Bismillah hirrahman nirrahim.

*Uniknya tarikh hari ini... 20082008*

Abang...
Dengan izin Allah kita telah disatukan. Dengan izin Allah juga, kita masih bersatu. Dan Su mohon pada Allah agar terus mengizinkan kita untuk terus bersatu... tahun.. demi tahun... demi tahun... Sehingga satu detik nanti kita akan tahu siapa yang bakal 'dijemput' dahulu.

Malah Su harapkan agar kita tetap disatukan juga selepas waktu itu... disaat kita dibangkitkan kembali untuk menilai amalan diri, saat kita telahpun berada di alam abadi.

Cerita tentang dugaan perkahwinan begitu menakutkan, sehingga resah di hati sering datang menerpa walaupun telah di halau sedaya upaya. Su mahu ikatan perkahwinan kita kekal tanpa alasan untuk retak. Kerana itulah Su telah tetapkan hati... mahu menyayangi dan menyintai abg kerana Allah....

Su mahu menjadikan cinta antara kita sebagai ibadah. Su mahu cinta di hati kita tumbuh subur sehingga nyawa di jasad telah gugur. Kita semua adalah pengembara di bumi Allah... Kita makhluk lemah yang sering terdedah dgn dugaan panas membahang dan hujan mencurah...

Su berdoa, agar iman di dada kita mampu menjadi seperti akar pokok yg mencengkam bumi, kuat dan mampu bertahan oleh ribut dan taufan... mampu menahan dugaan dan cabaran umat akhir zaman...

Mampukah Su jadi begitu...? Mampukan kita...?

Doa suami / isteri

"Ya Allah... Ya Rahman... Ya Rahim...
Kau ampunilah dosaku yang telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah... Ya Wahhab...
Sekiranya suamiku / isteriku ini adalah pilihanMu di Arash...
berikanlah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suamiku / isteriku ini adalah yang akan membimbing tanganku dititianMu...
kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suamiku / isteriku adalah bidadara untukku di JannahMu...
limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawadhuk akan segala perintahnya
Sekiranya suamiku / isteriku ini adalah yang terbaik untukku di duniaMu...
peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suamiku / isteriku ini jodoh yang dirahmati olehMu...
berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi Ya Allah
Sekiranya suamiku / isteriku ini ditakdirkan bukan diriku seorang... (Ya Allah, mintak dijauhkan)
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu
Sekiranya suamiku / isteriku tergoda dengan keindahan duniaMu...
limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suamiku / isteriku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan...
kurniakan aku kekuatanMu untuk aku perbetulkan keadaannya
Sekiranya suamiku / isteriku menyintai kesesatan...
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah Ya Mutakabbir
Kau Yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku
Sekiranya aku tersilap membuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai suami / isteri
Kau hukumlah aku didunia tapi bukan di akhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu

Ya Allah...
Sesungguhnya
aku lemah tanpa petunjukMu
aku buta tanpa bimbinganMu
aku cacat tanpa hidayahMu
aku hina tanpa rahmatMu

Ya Allah...
Kuatkanlah hati dan semangatku
tabahkan aku menghadapi segala cabaranMu
jadikanlah aku suami / isteri yang disenangi isteri / suami
bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
bimbinglah aku menjadi isteri soleha / suami soleh
hanya padaMu ya Allah, ku pohon segala harapan
kerana aku pasrah dengan dugaanMu
kerana aku sedar hinanya aku
kerana aku insan lemah yang kerap keliru
kerana ku leka dengan keindahan duniaMu
kerana kurangnya kesabaranku menghadapi cabaranMu
kerana pendek akalku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Waliyy
Aku hanya ingin menjadi suami / isteri yang dirahmati
suami / isteri yang dikasihi
suami / isteri yang soleh/a
suami / isteri yang sentiasa di hati.

Ya Allah
Berkatilah perkahwinan kami...

Amin.. Amin Ya Rabbal Alamin..."


Nota: Abang... terima kasih atas segala curahan kasih sayangmu yang melimpah dan sering membuatkan aku tersenyum selalu... Saaayaaaannngggg abang... :-)

Aug 16, 2008

Nisfu Sya'aban


Malam ini malam Nisfu Sya'aban, malam diangkat buku amalan kita selama setahun dan diganti dengan buku baru. Malam yang paling sesuai untuk membersihkan hati dan jika perlu.... 'menukar hati' yang bukan lagi milik diri.

Jangan dipersia-siakan malam yang penuh keberkatan ini.... Hidup ini hanya sementara. Segala yg ada di dunia ini hanya pinjaman semata. Masa yang ada juga dipinjamkan. Kematian akan datang tanpa amaran. Luangkan masa untuk pastikan kita membuka buku baru dengan penuh keberkatan...

Aug 15, 2008

Hadirnya hanya pinjaman...

"Aku tak boleh gambarkan keadaan aku ditempat Faridah. Aku rasa aku tak boleh hidup tanpa Adi... Aku tak ada sesiapapun di dunia ni kecuali dia." Luah Mimi tiba-tiba selepas usai menunaikan solat Zohor. Wani terkejut.

Mungkin ada kaitan dengan apa yang mereka bualkan awal pagi tadi. Berita seorang teman lama yang kematian suami nampaknya benar-benar mengganggu fikiran Mimi. Surau sempit yang hanya mampu memuatkan beberapa orang sahaja menjadi tempat mereka berehat selepas makan tengah hari.

"Kenapa nak gambarkan pulak? Benda tu tak berlakupun lagi." Wani pelik.

"Aku tahu. Aku cuma cakap je. Aku tak bersedia untuk kehilangan Adi." Lemah. Wani sedar semangat temannya tak sekuat mana. Mudah benar rasa gugah bila bercerita tentang perpisahan atau kematian.

"Kenapa nak fikirkan sangat perkara buruk macam tu. Dah.. Jangan fikir sangat." Wani cuba menyingkir kerisauan Mimi.

"Tak tahu kenapa aku terfikir, tapi aku memang bimbang." Keluhan dilepaskan. Berat. Tangannya melipat telekung sembahyang.

"Bimbang tak bertempat lah kau ni."

"Aku tahu. Aku bimbang sebab aku terlalu sayangkan dia." Katanya sambil merenung jauh. Dinding putih yang berada di depannya di tenung kosong.

"Memang patut pun kau sayangkan dia sebab dia tu suami kau. Tapi janganlah bimbang sampai fikiran kau dah jadi tak menentu pulak." Pujuk Wani.

"Aku cuma terfikir, semenjak aku kahwin dengan Adi, dia banyak bantu aku. Memang seorang suami yang bertanggungjawab. Dia melindungi aku, jaga aku dengan baik, pastikan aku gembira dengan penuhi segala kemahuan aku. Dia dah berjaya buat aku jadi sayang sangat kat dia. Sampaikan aku rasa seolah aku tak boleh hidup kalau dia tiba-tiba hilang dari hidup aku." Luah Mimi panjang.

"Dia jalankan tanggung jawab dia sebagai suami untuk menjaga kau. Tapi itu tak bermakna dia mahu kau jadi lemah. Aku rasa dia pun tak suka kalau kau macam ni. Kau dah terlampau bergantung dgn dia Mimi. Jangan macam tu. Bahaya!" Wani memberikan amaran.

"Akupun tak tahu kenapa aku rasa tak berdaya sangat. Dunia aku cuma di rumah dan tempat kerja. Dan itu benar-benar membahagiakan aku. Tapi kalau dia tak ada, maknanya dunia aku dah tinggal sebahagian saja. Dan bahagian yang satu lagi terasa benar kosongnya." Katanya sambil tunduk.

"Kita perempuan, isteri dan ibu. Memang dunia kita seharusnya di rumah. Dan dengan izin suami, kita berada di sini; bekerja. Itu sepatutnya buat kau lebih kuat. Bukannya makin lemah." Wani memandang Mimi yang masih tunduk, kemudian menyambung;

"Kau tak boleh terlalu bergantung pada dia. Lagipun kau bukan tak ada orang lain. Kau masih ada keluarga walaupun jauh. Kau masih ada kawan-kawan. Kau masih ada aku." Tangannya menyentuh bahu Mimi yang tersandar.

"Memang... tapi masing-masing dah ada keluarga, dah ada tanggungjawab sendiri yang perlu diutamakan. Aku ni siapa? Aku tak boleh bebankan mereka. Tak mahu susahkan mereka dengan masalah aku. Dan kau pun sama. Punya tanggungjawab kau sendiri. Aku tak boleh selalu susahkan kau lagi. Tak boleh! Tak sanggup!" Kata Mimi semakin emosi.

"Habis tu?" Geram. Entah apa yang berada di fikiran temannya sehingga begitu sekali perasaan takut menyelimuti diri.

"Aku tak boleh kehilangan dia, Wani. Setiap kali aku sujud, aku mohon pd Allah, biarlah aku mati dulu dari dia." Kata Mimi dengan mata yang mulai panas. Wani terkejut.

"Ada pulak doa macam tu. Tak elok!" Suaranya sedikit tinggi.

"Tapi itulah yang aku rasa. Aku tak boleh bayangkan kehidupan aku tanpa dia." Matanya berair tiba-tiba. Bergenang. Wani tahu dia tak boleh biarkan Mimi berada dalam keadaan begitu. Kalau terjadi apa-apa nanti, pasti dia akan hilang kewarasan.

Wani merapatkan diri dengan Mimi. Nafasnya di tarik dalam. Mengumpul kata-kata terbaik untuk menanamkan kesedaran pada Mimi bahawa segala yang ada di dunia ini adalah sementara.

"Kau kena ingat Mimi, semua yang ada di dunia ini adalah pinjaman Allah. Kau dah selalu dengar itu, kan?" Mimi diam. Hanya hatinya yang mengakui.

"Mak ayah, suami, adik beradik, anak-anak dan kawan-kawan, semuanya dipinjamkan Allah pada kita. Dia berhak ambik balik dengan cara yang Dia tetapkan. Dia boleh ambik secara kekal mahupun sementara." Kata Wani satu persatu.

"Kekal atau sementara?" Kening Mimi berkerut.

"Contoh mudah. Adi, suami kau tu, adalah pinjaman. Allah pinjamkan dia untuk menjadi pasangan kau. Allah berhak ambik balik dan kau tak boleh halang. Kalau dia tak ambik dengan cara kematian, Dia mungkin diambil untuk di berikan pada orang lain. Dia bukan milik kau. Dia dipinjamkan saja. Dan kalau Allah takdirkan Adi tu diambil dari kau dan diberikan kepada perempuan lain, kau kena terima jugak." Sambungnya lagi.

"Apa yg kau nak cakapkan ni?" Hati Mimi terdetak. Bimbang semakin bimbang. Apakah Wani cuba nak jelaskan sesuatu pada dia? Matanya memandang tepat ke wajah Wani.

"Jangan lah tension. Aku bagi contoh je. Aku nak kau sedar bahawa terlalu banyak cara Allah nak ambil barang atau orang yang kita sayang. Bukan dengan cara kematian je." jelas Wani. Dia mengutuk diri dalam diam. Adi tak patut di jadikan contoh. Dah lain pulak yang Mimi fikirkan. Mudah benar perempuan ni jadi gelabah bila sebut tentang Adi.

"Aku ingatkan kau tahu sesuatu tentang Adi yang aku tak tahu." Mimi mengurut dada. Lega. Dia kembali bersandar.

"Tak de lah macam tu. Aku cuma nak kau faham, kau tak boleh terlalu bergantung pada suami kau sehingga hilang pegangan diri. Kau kena ingat, tempat bergantung kau ialah Allah, bukannya suami kau!" Kata Wani tegas.

"Erm..."

"Aku tahu kau sayangkan dia. Aku tahu kau cintakan dia. Tapi kau kena tahu, kau tak boleh keterlaluan sehingga seolah-oleh nyawa kau ada pada dia. Aku tak nak kawan aku hilang pedoman hanya kerana satu nikmat kasih sayang dari seorang lelaki di tarik balik." Terang Wani lagi. Mimi masih diam.

"Bukan tak pernah berlaku kejadian yang mana isteri gila selepas kematian suami. Ataupun suami yang kehilangan harga diri dan kewarasan selepas isteri lari dengan lelaki lain. Bukan tak pernah jadi ibu menderita murung setelah kehilangan anak. Semua tu jadi sebab hati yang terlalu bergantung pada makhluk yang lemah! Lupa bahawa apa jua yang dimiliki, bukan sebenarnya milik sendiri tapi sebenarnya dipinjamkan oleh Allah." Katanya berkobar-kobar. Semangat berpidato masih tersisa walaupun dunia itu telah lama di tinggalkan.

"Aku tahu..." Pandangan Mimi sedikit terbuka.

"Tahu saja tak cukup. Kau kena faham, kena menjiwai. Allah sayangkan kita hambanya melebihi semua kasih sayang yg wujud di dunia ini. Tapi cara kau cakap tadi seolah-olah kau lupa bahawa Allah itu wujud... Allah itu ada... Allah itu berkuasa.... Jangan sesekali gantungkan harapan hanya satu makhluk Allah yang lemah, yang boleh diambil bila-bila masa saja oleh Allah. Tapi bergantunglah pada Dia yang Maha Kekal." Wani terbayang wajah Tok Wan. Mengulang kata-kata yang pernah singgah di telinganya lama dulu. Saat dia kehilangan ayah, saat dia ditinggal ibu.

"Salahkah aku kalau menggambarkan sayang dan cinta aku dengan cara begitu?" Mimi bertanya perlahan.

"Banyak lagi cara lain kau nak gambarkan kasih sayang kau tu." Kata Wani lagi.
"Erm..." Fikirannya sedikit tenang, walaupun masih ada sisa bimbang yang bertapak.

"Sebaik-baiknya kau berdoa agar kasih sayang sentiasa kekal memberikan kekuatan tak kira apa pun yang ditentukan oleh Allah di masa depan. Doakan agar cinta antara kau dan dia sentiasa terpelihara. Semoga nikmat kesihatan yang Allah berikan pada kalian berterusan. Dan banyak lagi yang boleh kau doakan selain dari doa mintak Allah tarik nyawa kau dulu sebelum dia..." Jelas Mira.

Mimi masih diam. Hatinya mula mengiyakan apa yang dikata Wani. Mula rasa yang tadi dia sedikit keterlaluan memikirkan kemungkinan yang entah bila akan berlaku. Mula tahu bagaimana cara nak membetulkan fikiran yang tersasar.

"Aku nak kau fikirkan balik apa yang aku telah cakapkan tadi. Jangan biarkan kasih sayang dan cinta kau tu menjadi punca diri kau jadi lemah. Jangan sampai perasaan kau menyesatkan diri dan akidah kau tanpa kau sedari. Jangan bergantung pada manusia, tapi bergantunglah pada Allah. Ingat tu." Katanya sambil memegang tangan Mimi buat seketika.

"Dah lah... Rehat dah nak abih ni. Jom... sambung kerja..." Ajak Wani sambil bangun mencapai tudung untuk dipakai.

Dari Wanita...

Pakai batik berhias permata,
Lenggok berjalan begitu menggoda;
Indahnya bunga lambang wanita,
Warnanya lembut menyegar mata.

Masak lemak tidaklah susah,
Di bantu oleh si anak dara;
Terima kasih wahai kak Kamsiah,
Hatiku kembang jiwaku terbuka.

Aug 13, 2008

Tagged...?


Waaa... Akak dah tag Su. Gayatnyeee....

Su tak penah kena tag tau. Ini kali yg pertama. Sebenarnya Su fobia dengan ayat yg berbentuk soalan subjektif dan bertulis sbb ia mengingatkan Su ttg exam.

Su akan cuba jawab, tapi kalau tak terjawab, akak jangan marah ye? Boleh ulang soalan tu bila kita jumpa lagi nanti... ;)

1. When you buy greeting cards, are the words or the picture more important to you?
Dah lama Su tak beli kad. Tapi selalu dapat kad.... Tahun ni saja dah beberapa keping kad. Errr... kad kahwin. Ada yg ada gambar ada yang tak de gambar...

2. What's your favorite kind of cake?
Cake... bila translate, jadi kek. Su suka gak makan ikan kekek... ikan kekek mak eloi-eloi... ikan gelama mak ilai-ilai...

3. Do you ever make gifts for people, if so what, or do you buy them?
Bergantung, tergantung, digantung, menggantung... kepada keadaan semasa. Akak rasa Su jenis yg mana satu? ;)

4. What's your favorite holiday?
Asalkan holiday... semua jadi peberet Su.

5. Are you going on holiday this year? If so, where?
Err… Ada sesapa nak sponsor Su pegi holiday ke?

6. What was the best party you've ever been to?
Parti? PAS, BN, Keadilan, MCA, DAP, MIC….. Tak penah masuk parti

7. If you are married, describe your wedding. If not, what would your ideal wedding be like?
Candle. :D (Senyum sesorang sbb Su sorang je yg paham)

8. What's the most romantic thing that's ever happened to you?
Romantik… Ro Man… Tik… Itik… macam penah dengar. Nama makanan itik ke?

9. What's your favorite girl's name?
Suka nama je buat apa. Baik suka orangnya...

10. What's your favorite boy's name?
Apa ada pada nama…

11. Which celebrity would you like a dream date with?
Kalau setakat nak date dlm mimpi je, buat apa?

12. Which female celebrity do you find beautiful?
Beauty… (alaa… partner the beast tu lah…)

13. Which male celebrity do you think is attractive?
Nemo tu celebrity gak kan? Kalau dia dah besar mesti warnanya lagi menarik kan?

14. What is your best character trait?
Ntah le. None kot.

15. What is your worst habit?
A lot. Huhu…

Su menjawab soalan ke? Kalau soalan ni ialah soalan periksa, agaknya Su boleh lulus tak? Huhu….

Nota : Hari ni, hari Su merapu meraban. Stress kot... (Malam ni ada ujian lisan Talaqi. Huhu... Menggigil lagi lah alamatnyee...)

Award!!!...


Award dari Akak dan Tie. Macih... Macih...


Award dari Azza... Macih.. Macih...
Su teringat kata-kata seorang teman, 'Rules are create to be broken'. Tetiba je Su rasa nak 'broken'kan rules yg di buat oleh teman-teman blogger yg memberikan Su award ni. Hehehe... (Gelak bertanduk)

Antara rules yg Su nak pecahkan ialah:

Nak kena 'perpanjangkan' award ni kepada teman blogger yg lain. Su tak nak buat sbb;

Pertama, Su tamak, jadi Su nak 'kongker' award ni sesorang, tak nak bagi kat orang lain. Jahatnya Su, kan....?

Kedua; Su tak nak rumah kekawan runtuh dek sarat sangat dengan award-award yang datang berduyun-duyun ni. Baiknye Su... kan?

Rules seterusnya utk dipecahkan ialah;

Su nak kena bagi ucapan berangan... (Adeh... lutut dah berlaga ni. Menggeletar.)

Disebabkan ucapan berangan Su dalam filem kaler itam putih macam pilem Charlie Chaplin dulu, maka suara tak de. Jadi tak sesuai nak buat ucapan pun sbb tak leh dengar jugak...kan.. kan... hehehe

Note : Su hargai persahabatan kalian dan pemberian kalian di alam maya ini. Entah kenapa perangai Su buruk benar hari ni. (Sindrom bulanan kot.) Harapnya tak ada yang teman yg serik nak bagi award kat Su ye. hehehe...

Aug 12, 2008

Puasa.

"Let's have a breakfast at the pantry." Ajak Yoke Nyen.

"I'm fasting today." Saya menjelaskan.

"Puasa ganti ke?"

"Taklah." Saya menafikan. Puasa ganti dah lama berbayar. Selalunya saya cuba menyelesaikan 'hutang' itu secepat mungkin. Bimbang andai tak punya waktu jika ditangguhkan.

Lai Fong mencelah; "Bukan bulan puasa lagi kan?" Saya tersenyum.

Ingin sekali saya menerangkan betapa umat Islam digalakkan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis. Tambahan lagi sekarang ni kita baru melepasi bulan Rejab dan memasuki bulan Syaaban. Ingin saya ceritakan tentang betapa banyaknya fadhilat dan kelebihan beribadat di bulan ini, tapi rasanya ia terlalu mendalam untuk diterangkan kepada mereka yang hanya mahu tahu sekadarnya saja.

Kalau boleh, saya mahu jawapan saya mampu membuahkan rasa kagum mereka kepada agama Islam. Kalau dapat, saya mahu jawapan saya membuatkan mereka ingin tahu lebih lanjut lagi tentang Islam. paling penting, saya tak mahu jika penerangan saya menjadi kekeliruan kepada mereka, tak mahu membuatkan mereka bosan mendengarnya. Aduh... Banyak sekali harapan, namun sebanyak itu juga kelemahan diri.

"Belum lagi. Berpuasa walaupun bukan di bulan puasa, actually good for health. Bagi cuti untuk perut yang bekerja kuat untuk proses makanan yang kita makan setiap hari." Saya cuba menerangkan dengan cara yang saya rasa mampu membuatkan mereka tertarik.

"Really?" Katanya seolah tidak yakin.

"Puasa ni banyak kebaikan tau. It's good for spiritual, mental and physical." Kata saya berhati-hati. Ligat fikiran saya mencari ilham untuk menjelaskan jika mereka bertanya lebih lanjut. Kening mereka berkerut. Hati saya kecut memikirkan ilmu saya yang tak seberapa.

"Erm... I remember last training that I've attended with Prof Leonard Yong. He did mention about one of the advantage of fasting. He encourage all of us to practise it even for non-muslim. Actually, scientific research has been done and it has been proof that fasting is good for health. If you want to confirm, you can ask Erin. She has been there too." Kesan kepada kesihatan fizikal. Mungkin itu lebih menarik menarik minat mereka berbanding dengan penjelasan ilmiah yang melibatkan menerangan berkenaan kesan mental dan spiritual.

"Erm.. ok. But not all the muslim do it consistantly, right? Is it something like a practise before real fasting month?" Lai Fong menyoal lagi.

"Yeah. Something like that too." Kata saya mengiyakan.

"Don't you feel hungry?"

"Well... a bit. But I know I tak akan mati sebab tak makan separuh hari je." Saya tertawa kecil.

"You ni...Of course la tak akan mati. But I don't think I can. I selalu lapar. At least, I need to drink." Lai Fong berkata sambil meneguk minuman paginya.

'Ya Allah. Ampunkan aku ya Ghaffur. Lemahnya diri ini...' Saya mengeluh sendiri. Jauh di sudut hati, sedih dan sayu menerpa diminda bila jawapan yang saya berikan tak mampu memuaskan hati sendiri.

Bekerja di syarikat yang 80% pekerjanya ialah non-muslim, memang punya cabaran yang tersendiri. Teringat kata-kata
NahwanNUR; "Peluang untuk berdakwah tu...." Tapi, mampukah saya? Apakah jawapan terbaik yg patut saya berikan jika saya ditanya lagi?

Nota: Saya linkkan beberapa artikel ilmu tentang bulan Rejab dan Syaaban yang amat menarik untuk dibaca. Walaupun Rejab telah berlalu, tapi tak salah jika kita mengutip ilmu, kan?
Bulan ALLAH
Ada Apa Dengan Rejab
Sinar Syaaban Menyelusuri Sirah.
Indahnya Syaaban Dihiasi Dengan Sunnah.

Aug 3, 2008

Pilihan.


Pilihan.
Setiap dari kita selalu berdepan dengan persoalan pilihan.
Selagi kita ada masa...
Selagi nafas mampu dihela...
Selagi kita bernyawa dan berjiwa...
Persoalan pilihan tak pernah luput.
Tak pernah surut.

Kita sentiasa punya pilihan.
Namun pilihan yang ada, mungkin terhad, malah terbatas.

Pilihan wujud bersama persoalan.
Bersama andaian.
Bersama harapan.
Bersama kemungkinan.
Ketidakpastian.
Risiko. Bersediakah menghadapinya?
Akibat. Mampukah menerimanya?

Pilihan.
Allah kan ada.
Mintalah petunjuk dariNya.
Itu cara kita.
Jangan lupa.
Kita ada Dia.

Nota: Tak tahu nak tulis apa. Ini saja yang sempat dan terlintas di minda. Bukan sajak, bukan puisi, dan tentunya bukan cerpen. Sekadar satu catatan. Sekadar satu ingatan.