Jul 4, 2008

Jodoh... sambungan

(Erm... panjang sangat. Saya buat keputusan utk pecahkan kepada 2 bahagian. Kadang tu saya sendiri pun letih baca cerita yang saya buat bila terlalu berjela-jela. Sila klik sini untuk baca bahagian pertama)

"Makcik Ani tak kisah ke Kak Ati kahwin sebelum abih belajar?" Tanya Ana mengejutkan lamunan Ati.

"Mak serahkan segala keputusan pada Kak Ati. Harapnya keputusan ni baik untuk kak Ati dan juga keluarga. Ana dan Erin tolong doakan juga ya?" Tangan sepupunya diganggam erat. Mengharapkan sokongan dari mereka untuk menempuh kehidupan yang entah bagaimana coraknya.

"InsyaAllah. Ana sayang Kak Ati, pasti Ana doakan yg terbaik untuk Kak Ati. Lagipun Kak Ati baik. Anak yang taat dan kakak yang penyayang. Mama selalu kata, jodoh yang baik pasti untuk orang yang baik. Jadi Ana yakin, walaupun Kak Ati tak kenal dia, tapi tentu ada sesuatu yg baik tentang dia yang telah buat Kak Ana terbuka hati untuk terima lamaran ni." Senyumannya menghias bibir.

Kenapa hatinya boleh terbuka untuk menerima ya? Semenjak berita lamaran di sampaikan, Ati selalu teringat perbualan dengan seorang kenalan semasa dia bekerja sambilan dulu.

Pertemuan yang singkat saja. Pertemuan yang tak ada kali keduanya. Kesal juga sebab masa tu dia tak terlintas untuk mengambil nombor telefonnya. Tak ada maklumat langsung tentang perempuan itu. Hanya satu nama; Roslina Rosli.

Kak Ros singgah membeli beberapa buah buku di kedai tempat Ati bekerja. Kebetulan hari tu suaminya menghadiri mesyuarat dan pulang agak lewat, lalu dia mengambil peluang itu untuk solat berjemaah bersama Ati. Lagipun Ati selalu solat Maghrib di surau selepas kerja.

Selepas bersalam, Kak Ros mengajak Ati menemaninya makan. Melihatkan wajah bersih berhias senyuman mesra, Ati tak sampai hati untuk menolak. Gerai tepi jalan yang selalu Ati makan menjadi pilihan. Hanya itu yang Ati mampu. Biasanya Ati tak makan malam kerana perutnya telah diisi semasa rehat petang.

"Ati dah ada pak we?" Tiba-tiba terpancul soalan itu dari mulut wanita itu semasa mereka menikmati makan malam.

"Hah...?" Terperanjat. Hampir tersedak dia di buatnya. "Err...erm... tak de." Katanya gugup. Agak janggal bila tiba-tiba wanita asing ini bertanya soalan yang terlalu peribadi. Tangannya yang rancak mengasingkan kerang dari gumpalan mee sedikit terganggu.

"Maafkan Kak Ros ya. Bukan niat nak menyibuk, cuma bagi Kak Ros, anak remaja sekarang perlu di nasihatkan berkenaan jodoh dan pasangan seawal mungkin." Dia menjelaskan. Mungkin dia sedar ada rasa resah bertapak di hati Ati bila tiba-tina diaju pertanyaan begitu.

"Erm... Tak pe. Ati segan kalau ditanya soalan macam tu." Jelasnya malu. Senyum Kak Ros semakin lebar.

"Soal jodoh ni Allah yang tentukan. Hanya Dia yang tahu bila jodoh tu sampai dan siapa si dia yang bakal dijadikan pasangan. Paling penting ialah berdoa agar ditemukan dengan seseorang yang baik dan disatukan bila diri dah sedia untuk pikul tanggungjawab berat tu." Nasihatnya sambil memerhati reaksi Ati. Kaku. Kekok.


Soal jodoh. Terlalu awal untuk Ati ambil tahu tentang ini semua.

"Ati pun patutnya dah mula berdoa dari sekarang, sebab Ati dah berada di akhir zaman remaja." Tambah Kak Ros cuba mengusik Ati yang lebih banyak membisu. Gadis ini tebal sekali perasaan malunya. Mungkin sebab dia ialah orang asing yang muncul tiba-tiba dan bertanya soalan yang tak wajar di ajukan dalam pertemuan pertama.

"Ati baru lepas SPM. Tak nak fikir pasal ni. Lagipun, lambat lagi Ati nak kahwin sebab Ati nak belajar dulu." Kata Ati perlahan. Wajahnya terasa panas.

"Memang patutpun Ati utamakan pelajaran. Tapi itu tak bermakna Ati tak payah fikir langsung. Bila seorang anak gadis tu dah akil baligh, maknanya bila-bila masa dah boleh kahwin. Lambat atau cepat, Allah yg tentukan. Jodoh setiap orang kan berbeza.
Matlamat perkahwinan juga berbeza. Yang penting niatkan segalanya kerana Allah. Jadikan perkahwinan yang di bina sebagai ibadat. Barulah ada ketenangan." Jelas Kak Ros panjang. 'Perkahwinan sebagai ibadat?' Ati tak faham tapi mulutnya kaku untuk bertanya. 'Mungkin satu hari nanti aku akan faham.' Bisiknya dalam hati.

Mungkin itulah petunjuknya. Mungkin itulah jawapan yang Allah telah ilhamkan pada Ati.

"Kak Ati!!.. Kak Ati!.. Ish... Mengelamun jauh benar tu. Erin panggil pun tak dengar. Tanya pun tak berjawab. Ingatkan cik abang tu lah agaknya...." Erin mengusik sambil ketawa. Ati tersenyum malu.

"Err... Erin tanya apa tadi?" tanyanya cuba mengembalikan fokus yang hilang dibawa kenangan.

"Dia cakap apa sampai Kak Ati tergerak nak terima lamaran dia?" Tanya Erin mengulangi soalan tadi.

"Erm...." Dan fikirannya kembali mengingati perbualan ringkas tiga minggu lepas yang hanya berlangsung melalui telefon.

"Saya kenal Ati tapi mungkin Ati tak ingat saya. Mungkin kita tak berpeluang kenal hati masing-masing secara langsung, tapi alhamdulillah saya dapat banyak maklumat tentang Ati." Jelas Zulkifli bila Ati tanya samada mereka pernah kenal.

"Awak pasang spy ke? Siapa?" Ati curiga.

"Rasanya tak perlulah saya dedahkan sekarang. InsyaAllah, jika kita ada jodoh, segalanya akan terbongkar. Tapi percayalah, saya terima cadangan ini bukan kerana umi, tapi kerana hati saya telah lama terusik oleh sikap dan peribadi Ati. Allah telah memudahkan dan memberi jawapan pada gerak hati saya bila gambar Ati sampai ke tangan saya." Katanya lagi. Ati tak sangka dalam diam ada lelaki yang pernah memerhatinya.

"Saya ada kekurangan yang mungkin belum terlihat. Banyak dan berat benar tanggungjawab yang terpikul di bahu kerana saya anak sulong. Saya tak mahu awak bersungut kemudian nanti kerana saya tak mungkin membelakangi mak dan adik-adik saya." Ati mahu berlaku jujur. Dia tak tahu sebanyak mana Zulkifli tahu tentang dirinya dan dia mahu lelaki itu faham siapa yang paling penting dalam hidupnya.


"Saya tahu. Mungkin kekurangan saya lebih lagi." Katanya merendah diri.

Sunyi seketika.

"Mengahwini Ati bermakna menerima keluarga Ati. Masa tu, mak Ati adalah mak saya dan adik-adik Ati adalah adik-adik saya jugak. InsyaAllah, saya tahu dan sedar tanggungjawab yang perlu saya pikul. Saya dah bersedia untuk itu." Zulkifli menyambung bila tiada balasan kata dari Ati.

"Erm..." Ati masih kehilangan kata-kata. Segan dan malu membungkus rasa.

"Ati anak sulong dan saya anak bongsu. Mungkin itu kesesuaiannya. Itu keindahannya. Kalaulah saya boleh andaikan hubungan yang bakal terjalin sebagai buaian, saya boleh katakan bahawa satu hujung di pegang oleh saya dan satu lagi oleh Ati. Bebannya kita pikul di tengah-tengah." Dia berhenti seketika, mengumpul kata-kata terbaik untuk menjelaskan keikhlasan hatinya.

"Perkahwinan adalah perkongsian. Kita perlu kuat dan saling berpaut, berkongsi kekuatan untuk memikul beban yang tak boleh ditimbang. Ianya tanggungjawab yang saya tahu tidak mudah." Dia berhenti lagi. Fikirannya ligat memikirkan apa yang patut diperkatakan.

Lamaran belum diterima dan ini bukan perbincangan yang menjurus kepada persetujuan tapi seolah interview yang sedang dijalankan untuk menentukan dia layak atau tidak untuk menempatkan diri di hati gadis itu. Bimbang juga kalau perbualan ini menjadi perbualan terakhir dan hasratnya untuk menyunting gadis itu menjadi miliknya tidak kesampaian.

"Saya tak mahu Ati menerima jodoh ini kalau hati Ati tak kuat untuk bersama saya. Sebab saya juga tau, kekuatan dan kelemahan lelaki banyak bergantung pada wanita." Ati tersentak mendengar kata-kata itu. Dia tersenyum. Senyuman yang tak mampu dilihat oleh lelaki itu. Sunyi memenuhi ruang talian antara mereka. Tapi kehadiran masing-masing tetap boleh dirasa. Akhirnya Ati bersuara.

"Terima kasih sebab tak paksa saya. Berikan saya masa, mungkin seminggu atau dua. Paling lama sebulan. Saya akan fikirkannya. Mungkin jodoh ini banyak kebaikan untuk saya. Tapi saya tak boleh pentingkan diri. Itu tak cukup untuk melayakkan saya menjadi isteri kepada awak." Ati menarik nafas dalam dan ditahan seketika. Mengharapkan oksigen lebih banyak dibekalkan ke otak dan dia mampu berbicara dengan lebih baik agar tidak menimbulkan salah faham.

"Saya juga harap saya boleh menyumbangkan sesuatu pada pasangan saya dan keluarga mertua. Mungkin bukan sekarang, tapi satu ketika nanti. Erm... Tentunya awak tahu kan yang saya ni masih belajar."

"Ya. Memang saya tahu." Jawabnya ringkas.

"Saya sebenarnya tak tahu sumbangan bagaimana yang mampu saya berikan. Tapi andai ada kebaikan yang mampu saya curahkan pada awak, semoga Allah akan perkenan kan jodoh ini." Kata Ati sebelum menutup perbualan tunggal mereka.

Masa berjalan dan gelap malam tetap datang walaupun tidak diundang. Ati tak tahu malam ini adakah tidurnya akan lena. Yang pasti esok akan muncul bersama mentari, bersinar menyuluh harapan yang tumbuh subur dihati. Satu cincin akan disarung dijari sebagai tanda dirinya telah dimiliki.

Dan Ati tersenyum lagi. Teringat jawapan yang dia temui untuk soalannya dulu. 'Cinta selepas akad akan menjadikan perkahwinan itu satu ibadat...'.

Ana dan Erin tertawa kecil sambil mengangkat kening melihat kelakuan sepupunya itu. Agaknya begitulah keadaannya kalau bahagia dah bertakhta di hati...

Nota : Aduh... Entah apa yang tak kena dalam cerita ini. Saya rasa banyak yang kosong walaupun panjang. Mungkin kerana mesej yang nak disampaikan tak kesampaian...

Menampung kekosongan yang wujud, saya sertakan beberapa petikan menarik dari artikel tentang cinta dan perkahwinan yang saya pernah baca.

Pasangan wajar disiasat elak buta kerana cinta. "...Rasulullah SAW banyak berpesan supaya setiap kita berusaha memilih pasangan yang baik, beragama dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Beragama tidak hanya menjadikan Islam sebagai agama anutannya, tetapi menjadikan agama sebagai landasan hidupnya, beramal dengan peraturan agama, menghayati halal haram, dosa pahala, menjadikan rahmat dan berkat Allah adalah matlamat dalam kehidupannya..."

Kahwin untuk apa? "...Orang yang kahwin kerana Allah akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah untuk mendapatkan pasangan..."

Mahalnya perkahwinan bila ada ketenangan. "...rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan. Jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan..."

Tips memilih pasangan hidup. "Manusia tidak dapat memilih siapa yang patut jadi ibu dan bapanya. Tetapi manusia masih ada ruang dan peluang untuk memilih siapa bakal pasangan hidupnya..." ops.... ini untuk yg belum berkahwin saja tau. Yang dah kahwin, tak usahlah pilih lagi ya... :) hehehe

2 comments:

zamry said...

Teruskan bercerita, manusia mana yang tiada kekurangan....

Tidak perlu mengetahui apa kesannya kepada orang lain,Berkarya dengan ikhlas pasti ada manfaat lantaran keikhlasan itu

suara said...

Terima kasih atas galakan...
Mmg harap agar ada yg boleh dimanfaatkan. Moga Allah permudahkan...