Feb 20, 2008

Warkah untuk ayahanda

Assalamualaikum w.b.t.

Kembali menemui ayahanda dan keluarga dikampung. Anakanda disini sihat seperti biasa, berkat doa ayahanda dan bonda. Semoga ayahanda dan keluarga juga begitu hendaknya.

Surat ayahanda telah selamat anakanda terima minggu lepas bersama duit yang dikirimkan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang telah ayahanda lakukan untuk anakanda. Terubat juga segala kerinduan anakanda tatkala menatap warkah dari ayahanda. Namun begitu anakanda ingin memohon maaf kerana kelewatan membalasnya. Kesibukan menghadapi pelajaran di sini telah menghadkan masa anakanda untuk menulis, tapi ingatan anakanda tak pernah lepas pada ayahanda. Ayahanda.... anakanda memang selalu rindukan ayahanda dan semua keluarga kita di kampung...

Untuk pengetahuan ayahanda, anakanda akan menghadapi peperiksaan bermula minggu depan. Doakan kejayaan anakanda ya! Doa ayahanda amat penting untuk anakanda. Selesai peperiksaan, anakanda akan bercuti selama dua minggu. Namun begitu anakanda telah ditugaskan untuk menguruskan penerbitan majalah sekolah, jadi kemungkinan anakanda akan balik lambat sedikit kerana perlu menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.

Ayahanda yang sentiasa dirindui,
Kalau mengikut perkiraan anakanda, musim buah sudah menghampiri, kan? Bagaimana dengan kebun kita agaknya. Sudahkah ayahanda menyiapkan bangsal menunggu durian didusun nenda? Oh ya, bagaimana dengan nenda sekarang? Masih sihatkah dia untuk mengerjakan batas-batas kebun di dusun kesayangannya itu? Sudahkan sakit lututnya itu pulih sepenuhnya?

Tiba-tiba anakanda terbayangkan kebun nenda yg pastinya telah penuh dgn batas-batas ubi yang telah mula tumbuh subur. Menjelang masa untuk buah-buah di kebun masak, pastinya tika itu juga durian telah mulai gugur, ubi-ubi yang nenda tanam pula tentunya telah cukup matang untuk di cabut. Nenda memang pakar menjangkakan tempoh untuk ubi itu menjadi besar kan?

Tahukah ayahanda bahawa anakanda pernah bertanya pada nenda, kenapa nenda hanya tanam ubi pada masa tertentu saja? Katanya, dia lakukan semua tu sebab mahu cucunya menikmati ubi bakar semasa menemaninya menunggu durian. Anakanda harap, anakanda akan berpeluang untuk menemani nenda lagi menjelang musim durian gugur nanti. Ketika menulis surat ini, anakanda sedang membayangkan bau ubi kayu dan keledek bakar yang wangi. Aduh... tak sabar rasanya nak menunggu masa itu tiba.

Ayahanda jangan lupa buat bangsal yang tahan lama sikit kali ini ya. Jangan sampai bila hujan ribut melanda, bumbungnya terbang lagi seperti tahun lepas! Anakanda suka sangat tidur dibangsal yang ayahanda sediakan itu. Bangsal yang berlantaikan buluh, berbumbungkan rumbia dan ringkas berdindingkan daun kelapa. Sejuk dan nyaman sekali rasanya bila berbaring disitu...

Ayahanda yang di kasihi,
Surat akan datang, tak perlulah ayahanda sertakan duit belanja untuk anakanda ya, kerana kiriman ayahanda yang lepas masih ada, belum terusik pun lagi. Tak banyak yang anakanda belanjakan kerana anakanda tinggal diasrama dan pihak pengurusan telah menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan pelajar di sini. Hanya sesekali saja anakanda akan membelanjakan duit itu bila teringin untuk makan kueh di kantin ataupun bila perlu membeli alat tulis di koperasi. Lagipun sekolah ada memberikan sedikit biasiswa untuk anakanda dan rasanya ia mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan anakanda disini. Kalau anakanda perlukan belanja yang lebih sikit dari biasiswa yang diberikan, anakanda akan beritahu ayahanda nanti. Janganlah ayahanda bimbang ya!

Sudah agak panjang surat yang anakanda lakarkan untuk ayahanda, semoga terubat kerinduan ayahanda pada anakanda bila menatap titipan bicara ini. Sampaikan salam kerinduan anakanda pada nenda, kekanda berdua dan juga saudara mara kita yang lain. Andai ayahanda menziarahi pusara bonda, katakan juga padanya, anakanda diperantauan sentiasa merindui segala kenangan bersama dengannya. Hanya Al-Fatihah yang mampu anakanda kirimkan, semoga roh bonda damai dipersemadian. Amin.

Wassalam.

Note : Bila membaca entri k'Kujie, tentang anaknya yang tinggal di asrama, benar-benar buat saya teringat kenangan masa sekolah dulu. Dan entri Sejuta Rasa benar-benar buat kerinduan saya pada arwah ayah membuak-buak. Saya cuba mengingatkan kembali surat-surat yg pernah saya kirimkan pd dia dan cuba mencari kembali surat-surat lama yg pernah dia hantar, tapi tak jumpa. Sememangnya saya masih menyimpan kebanyakan surat-surat yang dihantar oleh keluarga, teman dan suami. Saya ada sekotak yg berukuran sederhana yg isinya hanyalah surat-surat lama. Namun kini yg tinggal hanyalah sekotak kecil saja. Kebanyakannya telah saya buang bila saya dapati ia rosak dimakan anai-anai semasa ia ditinggalkan di rumah arwah di kampung.

Kerana kerinduan yg membuak-buak bila membaca entri
k'Kujie, saya cuba bayangkan zaman yg pernah saya lalui dan melakar kembali surat yg pernah saya kirimkan pada arwah ayah. Terasa agak kekok untuk menulis dgn kata-kata sebegitu, lantaran terlalu lama ia ditinggalkan.

Arwah ayah seorang yang berjiwa seni. Kehalusan jiwanya tergambar dari setiap hasil kerja tangannya. Tulisannya yang kemas bersambung masih jelas terbayang di mata saya. Dulu, kami berutus khabar melalui surat kerana semasa saya mula tinggal di asrama, kampung saya masih belum diberikan kemudahan telefon. Lalu hanya itu saja cara untuk kami berhubung.

Al-Fatihah untuk arwah.

4 comments:

Jie said...

Ayah KakJie tak bersekolah, lahir sebgai anak yatim kerana datuk kakjie di bawa askar Jepun ke siam. Tetapi ayah pandai membaca dan menulis kerana dia belajar dari kawan..menulis atas tanah.... tulisan dia tersendiri pengaruh tulisan tamil kerana dibesarkan di estet.

Ayah amat penyabar dan lembut hatinya...kakjie lebih rapat dgn ayah dari mak masa muda2 dulu..tapi skrg ni rasanya lebih rapat dan bercerita dgn mak..kita dah semakin berumur boleh sesuaikan diri dgn semua keadaan , kan

echah_syed said...

nak share gak..combi anak kesayangan ayah sbb combi anak pompuan bongsu dlm famili..sgt close smpi setiap bulan tym gaji mesti ikut ayah gi opis ambek gaji..dulu gaji cash kan..

bayangkan smpi mak jeles tgk kami sgt rapat..ayah meninggal mase combi darjah 6..sedeh sgt tau..

skrg combi dah dpt pengganti ayah sbb huby pun cm ayah caring n very loving..

bertuah rase..im da lucky one..cam lagu anuar zain :p

suara said...
This comment has been removed by a blog administrator.
suara said...

Adeh... terdelete komen sendiri le pulak... nak kena taip balik... inilah penangan sbb curi masa jengok blog sambil keje... hehe

Erm... Kak Jie dan Combi... masa kecik su rapat dgn ayah. bila mak meninggal, ayah kawin lain dan su mula jauh dgn ayah... apalagi bila su tinggal diasrama dan kemudian sambung belajar kat UUM. ayah agak pendiam, susah jugak nak cakap dgn dia.

sekarang ni su menumpang kasih mertua je... alhamdulillah, su jadi menantu kesayangan mrk. hehe... perasan le pulak :D

Combi... rupanya combi lagi awal kehilangan ayah erk... tapi Allah dah ganti dgn hubby yg caring dan loving. :-)

Su pun cam tu gak... hilang tpt bermanja bila hilang mak, pastu ayah pulak pegi... tapi Allah berikan Su sorang lelaki yg begitu baik utk jaga Su... syukur sgt...