Dec 27, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah.

Masa terus berlalu. Ada tika mimpi jadi nyata, ada waktu impian jadi debu. Namun itulah hakikat kehidupan. Tak semua yang dihajati mampu dimiliki. Malah mungkin yang tak disukai itulah yang terbaik sebenarnya.

Sebagai muslim, seharusnya kita lepaskan semalam dengan penuh rasa keinsafan di dada, dan kita mulakan lembaran baru dengan azam sebaik cara.

Kita ada Allah untuk kita bergantung dan memohon. Dia Al-Waliyy, Allah Yang Maha Pelindung dan Al-Mujiid, Yang Maha Mengabulkan Doa. PadaNya kita meminta, padaNya kita serahkan jiwa dan raga.

Seharusnya kita akhiri tahun 1429H dengan doa, memohon agar segala dosa dan kesilapan kita di tahun lepas akan diampunkan Allah. Dan kita mulakan 1430H juga dengan doa, meminta agar hanya yang baik-baik saja berlaku dalam kehidupan kita untuk tahun seterusnya.

Kepada sesiapa yang tinggal di sekitar Selangor, terutama Shah Alam dan kawasan yang berjiran, anda semua dijemput untuk menghadiri sambutan Maal Hijrah. Maklumat lanjut adalah seperti berikut;

Tempat : Masjid Negeri, Shah Alam.
Tarikh : 28 Disembar 2008
Masa : 6.30 petang - 10 malam.
Pengisian : Bacaan doa akhir dan awal tahun, qasidah dan forum.

Salam Maal Hijrah dari saya untuk semua. Assalamualaikum.

Dec 17, 2008

...Korban Terakhir...

Raya korban terakhir.... untuk tahun ini. (errkkk.... ada ke raya korban berkali-kali?)

Saya dilanda badai kesibukan akhir tahun. Siri Penyakit Misteri tergendala buat seketika. Masih ada beberapa kisah yang mahu saya kongsi. Kepada yang berminat membacanya, sabar ye!

Mungkin buat sementara, saya boleh kongsikan kemeriahan perayaan Aidiladha di kampung saya. Sedikit kisah bergambar tentang acara tahunan keluarga. Err.... acara makan-makan tentunya. :)

Cuti raya adalah cuti yang paling saya tunggu. Tika ini, semua akan berkumpul. Anak-anak buah yang masih belajar diasrama dan di IPTA, akan pulang.

2 hari sebelum Aidiladha.

Makan steamboat di rumah kak ngah bersama keluarga kak long dan adik-adik.

Hidangan yang mudah dan ringkas, tapi cukup menyelerakan. Berselera bukan hanya disebabkan hidangan, tapi lebih kepada kemeriahan berkumpul, bergurau senda, mengusik dan bercerita.

Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah, kerana masih berikan masa untuk kami menikmati ini semua.


Sehari sebelum Hari Raya Korban.

Ayah mertua saya anak yang sulung, dan rumahnya memang menjadi tempat berkumpul. Satu keluarga yang cukup besar, hampir 40 orang dari 4 keluarga dan 3 generasi.

Hidangan yang simple juga, nasi goreng berlaukkan ayam BBQ. Memang enak bila dimakan dalam keriuhan gurauan.

Menjelang Hari Raya Aidiladha (hari pertama)

Tumbangnya lembu pertama. Ayah mertua saya menyembelih sendiri lembu yang terpilih untuk dikorbankan. Penuh gaya, kalah orang main bowling. Hehe...

Langit yang mendung, tanpa titisan air hujan menyediakan suasana yang cukup damai untuk dinikmati. Suasana desa memang begitu.



Tahun ini, dua ekor lembu, hanya untuk kami anak beranak. Lembu pertama dilapah oleh bapa saudara, abang-abang dan adik-adik ipar (mereka semua terdiri dari cikgu-cikgu, ustaz, doktor pakar dan bakal fisiotherapist.)

Bagi kami orang kampung, walau setinggi mana pelajaranpun, harus tahu cara nak melapah lembu, kerana itu juga acara tahunan keluarga.




Selepas siap 'mengerjakan' seekor lembu, kami dihidangkan dengan masakan ma. Nasi minyak berlaukkan gulai daging, daging goreng, acar dan sambal cili. Enak sekali. Licin. Memang berbeza sekali rasa manis daging lembu yang segar.

Syukur Ya Allah...




Hari Raya Korban (Hari Kedua)

Kembali beraya di rumah kak ngah.

Permintaan anak buah yang teringin nak makan black pepper steak, lalu inilah yang menjadi menu utama selain dari bihun sup dan soto.

Nampak tak menarik, kan?




Tapi inilah rupa hidangan yang siap dihias untuk dihidangkan. Segar sekali warnanya. Seenak rasanya. :)

Alhamdulillah. Nikmat percutian yang membuatkan saya semakin rindu untuk pulang lagi.





Sebelum raya, makan.
Semasa hari raya, makan.
Selepas raya, makan lagi.
Tiba-tiba terdengar ada yang berbisik, 'Si Suara ni, makan untuk hidup atau hidup untuk makan?' Hehe...

Belum pernah saya masukkan gambar aktiviti keluarga. Ini entry ringkas yang mampu saya sediakan, mencuri masa di celah kesibukan. Sekadar sedikit gambar kemeriahan yang ingin dikongsi. Semoga kalian juga telah menikmati meriahnya Aidiladha.

Kata Tawel, 'Meriah itu relatif sifatnya; berbeza penafsirannya oleh insan yang berbeza'. Falsafah yang muncul diminda orang yang beraya di luar negara. Kan Tawel kannn.... :D

Untuk adik-adik dan teman-teman yang menyambut Aidiladha di luar negara, anggaplah entry ini sebagai catatan hiburan buat kalian yang kerinduan pada suasana perayaan tradisi di kampung halaman. :)

Dec 2, 2008

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 2)

Bismillah hirrahman nirrahim...

Saya kembali dengan kisah seterusnya. Kisah yang hanya berakhir disini, kerana realitinya juga telah berakhir.

Mulanya saya memikirkan untuk menjelaskan apa yang saya faham dan pengajaran yang boleh diambil dari setiap kisah diepisod terakhit kisah penyakit misteri ini. Tapi saya bimbang, ada yang tak akan membaca sehingga siri ini tamat. Lalu, saya buat keputusan untuk meletakkan nota, mengulas dan mengupas apa yang saya faham, yang saya tahu tentang kenapa ia terjadi.

Nota diakhir setiap kisah (termasuk kisah 1 yang saya tambah nota dibawahnya), adalah luahan minda saya, pendapat saya, dan saya mahu kita semua mengambil pengajaran untuk setiap peristiwa yang berlaku. Agar kita mampu menetapkan arah bagi hati kita, bahawa hanya Allah yang perlu dijadikan tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Itulah yang sebaiknya, itulah ubatnya. InsyaAllah....

Kisah 2

“Aku panasss! Baju ada jarum! Sakit. Tak nak pakai!” Kata Rani sambil menanggalkan satu persatu baju yang membalut tubuhnya. Setiap lekukan dibadannya terlalu mahal untuk dipertontonkan begitu saja. Tapi Rani tak kisah. Dia kini tak mengenal dirinya sendiri, apatah lagi memahami erti malu yang harus ada pada setiap anak gadis. Yang dia tahu, dia rimas, sakit, pedih bila ada sesuatu menyentuh kulitnya.

“Jangan! Malu kat orang!” Tegah ibunya sambil mencapai helaian baju yang dilempar untuk disarungkan balik ke badan anak gadisnya itu. Sambil itu, Mak cik Mah kelam kabut menutup dan mengunci setiap pintu. Bimbang anak gadisnya itu berjaya meloloskan diri seperti sebelumnya.

“Tak mahu. Panas. Sakit. Pedih!” Rani memberikan alasan. Dia melarikan diri, bersembunyi disebalik pintu almari. Kini badannya tak berbalut. Ibu tua itu semakin panik.

“Mari sini, pakai baju ni. Cantiknya gambar kat baju ni. Marilah pakai!” Pujuk Makcik Mah lembut, laksana memujuk anak kecil lagaknya. Rani menggeleng kepala. Matanya melilau, mengintai peluang melarikan diri.

Cahaya yang masuk amat terbatas bila semua pintu dan tingkap ditutup. Suramnya merimaskan Rani. Dia makin gelisah. Panas dan pedih yang dirasa makin menjadi-jadi. Kepalanya memberat, terasa seperti mahu pecah.

“Aaaahhhhhhhhh.....Sakitnya!!!!... Perrgiiiiiiiiii!!!!....“ Jeritnya keras. Makcik Mah menggelabah. Dia tahu dia tak mungkin mampu melawan dan bertahan bila Rani kerasukan. Kekuatannya sebagai ibu tua tak setanding dengan anak gadis itu. Dia perlu segera mencari Pak Mahat dikebun.

Makcik Mah membaling baju ke arah Rani. Helah untuk mengalih tumpuan Rani yang dibimbangkan akan mengikutnya keluar. Cepat-cepat pintu dibuka dan ditutup kembali. Terketar-ketar tangannya mengunci pintu.

Makcik Mah bersandar seketika melepaskan lelah dan resah. Airmatanya mula mencurah.

Baru Makcik Mah mahu melangkah menuruni anak tangga, Pak Mahat kelihatan berlari-lari pulang. Jeritan anak gadisnya walaupun tak mampu didengari, tapi hati seorang ayah mampu mengesan getar derita yang ditanggung anak isterinya. Terus dia melepaskan cangkul dan berlari pulang.

“Ayahnya, cepat tolong!!!… Rani mengamuk lagi!” Seru Makcik Mah bersulam tangisan.

“Pegi cari Atim. Cepat!” Arah Pak Mahat. Tanpa memakai selipar, Makcik Mah berlari ke rumah Atim, satu-satunya menantu lelaki yang tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

Pintu yang terkunci dibuka. Bilik kecil itu dah jadi seperti tongkang pecah. Belumpun dia sempat melangkah masuk, daun pintu dihempas kuat dari dalam sehingga mengenai kepalanya. Pandangannya jadi sedikit kabur.

Tiba-tiba badannya dirempuh kuat. Tapi Pak Mahat lebih cekap memaut anak gadisnya yang kini tak berbaju. Rani terus menjerit dan meronta. Pergelutan berlaku. Pak Mahat tak boleh biarkan Rani terlepas dengan keadaan begitu. Maruah anak gadisnya perlu dijaga walaupun Rani tak macam orang siuman lagi.

Rani memaut leher Pak Mahat lalu telinga orang tua itu digigit Rani sekuat hati. Pak Mahat menjerit keras. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Lelehan darah mula mengalir memenuhi tepi wajahnya. Pak Mahat berpusing sehingga Rani tercampak ke dinding. Jeritan sakit dan marah bercampur. Kegilaan Rani semakin menjadi-jadi.

“Rani, maafkan ayah.“ Bisik Pak Mahat. Simpati dan rasa bersalah menyerang benaknya. Tapi dia terpaksa lakukan begitu. Airmatanya mengalir kini. Dia mendekati Rani. Sebaik saja tangannya dihulur untuk membantu, Rani menyerang lagi. Tangan Pak Mahat digigit kuat sehingga dia terduduk. Terkejut dan sakit.

Rani tergesa-gesa bangun bila melihat pintu yg terbuka luas. Peluang untuknya melarikan diri kini di depan mata. Namun kaki Pak Mahat cekap menahan langkahan Rani sehingga anak gadis itu jatuh tertiarap. Tangan Rani dikilas kebelakang. Kain tuala yang berada berhampiran dicapai, diikat tangan Rani agar tidak mampu bergerak. Kain lilit kepalanya dibuka, kaki Rani pula diikat. Rani menjerit dan terus meronta. Pak Mahat menekan badan anaknya, untuk memastikan Rani tak akan terlepas.

Jeritan Rani semakin lemah sehingga akhirnya tak kedengaran lagi. Rani pengsan, keletihan. Pak Mahat tahu kerana itu bukan kali pertama situasi itu berlaku. Sehelai kain batik sarung diambil, dibuka dan diselimutkan sekujur tubuh anak gadisnya yang tadinya tak dibalut dengan seurat benangpun.

Pak Mahat tersandar ditepi katil usang dengan nafas yang tercungap-cungap. Peluh dan darah mengalir sealiran diwajahnya. Pedihnya mula terasa. Setitis demi setitis darah bercampur peluh itu menitik. Selari dengan detikan jam dinding usang di rumahnya.

“Abang!!..“ Jerit Makcik Mah terperanjat melihatkan Pak Mahat yang berlumuran darah. Telinganya.... sebahagian cuping telinganya dah hilang!!!...

Tangisan kuat Makcik Mah bergema bila melihatkan keadaan suami dan anaknya. Jelas menggambarkan keadaan yang berlaku sepeninggalannya tadi. Derita yang menghuni hatinya yang hebat terasa. Rani terbaring dilantai dengan keadaan terikat. Rambutnya kusut masai.

Hati seorang ibu dipagut sayu. Tika rutin hidup mereka mula berubah, usia Rani baru mencecah 16 tahun. Anaknya dulu manis dan sopan, disukai oleh teman dan adik beradik. Walaupun kemampuan belajarnya tidak seberapa, tapi dia rajin berusaha.

Semuanya bermula semenjak perkahwinan anak lelakinya. Sehari selepas kenduri, dia sekeluarga dikejutkan dengan jeritan Rani. Seperti orang kerasukan. Histeria. Rani tak mampu dipegang oleh ayah dan abang-abangnya. Rehatnya hanyalah bila dia pengsan, sedarnya bersulam dengan jeritan, kewarasannya hilang sekelip mata.

Dukun dan bomoh silih berganti ditemui. Pantang ada yang mengatakan ada orang pandai mengubati penyakit misteri, pasti tempat itu akan dituju. Wang simpanan habis dikeluarkan, namun tak mampu memulihkan Rani sepenuhnya. Dia jarang lagi menjerit liar, tapi ada kelakuannya seperti kanak-kanak sedangkan rakan seusianya ada yang telah berumahtangga dan beranak pinak. Ada masa menungannya panjang seolah cuba mencari sisa ingatan yang telah hilang.

“Ada orang yang marah dengan salah sorang anak kamu. Ada yang baru kawin ye?“ Tanya Pak Tam sambil matanya tekun memerhati kain warna berkuning yang terhampar didepannya.

“Anak lelaki saya baru kawin.” Jawab Pak Mahat ringkas.

“Masa tu lah semua ni mula berlaku, kan?” Pak Mahat mengangguk.

“Salah makan ni. Ada orang hantar makanan pada kamu, dan anak perempuan kamu ni yang makan dulu. Jadi dia yang kena paling teruk. Kalau ada orang lain yang makan pun, mungkin kesannya sikit je. Demam atau sakit kepala. Ada tak?“ Tanya Pak Tam lagi. Pak Mahat terperanjat. Memang anaknya Rahim demam selepas kejadian tu. Kata Sita, menantu barunya tu, Rahim sakit kepala sampai tak boleh bangun.

“Ada. Anak lelaki saya yang baru kawin tu lah.“ Pak Mahat mengakui.

“Tapi dia tak de maracau dan mengamuk macam anak kamu yang ni kan?”

“Memang tak. Cuma tak boleh bangun 2-3 hari lepas tu. Sakit kepala katanya.” Jelas Pak Mahat lagi.

“Ada orang suka kat anak kamu, tapi dia tak balas. Marah benar budak tu kat dia. Orang dekat, dan kamu memang kenal dia. Sebab tu mudah dia nak kenakan kau dengan makanan.“ Cerita Pak Tam. Segala penjelasannya seakan kena dengan segala kejadian. Hampir dapat jelaskan segala yang tersembunyi. Menjelaskan sangkaan yang bersarang dihati.

“Kalau ada yang masukkan benda tak elok tu masa masak untuk makanan kenduri, mesti ramai yang kena, tapi kenapa anak perempuan saya yang kena teruk?“ Pak Mahat musykil.

“Dia hantar makanan yang disediakan kat rumahnya, dan dia tujukan pada anak beranak kamu. Sebab tu lah yang kalau ada anak kamu yang makan, dia lah yang kena teruk. Orang luar makan tak ada kesan apa pun.“ Jelas Pak Tam. Pah Mahat dan Makcik Mah saling berpandangan.

“Memang ada yang hantar makanan. Tak tak tahu yang mana satu. Sebab kat kampung kami memang begitu. Bila ada kenduri, orang tu hantar sikit lauk, orang ni hantar sikit kueh. Ramai yang hantar makanan, untuk kami makan sama-sama masa dok bergotong royong buat persiapan kenduri tu.“ Makcik Mah bersuara. “Pak Tam tahu ke mana satu yang buat khianat kat kami ni?“ Sambungnya lagi.

“Itu aku tak boleh cakap. Tak elok menuduh. Allah saja lah yang tahu betul ke tak orang tu. Aku cuma boleh bagitahu sikit-sikit je. Rasanya kamu lebih tahu sapa yang suka kat anak kamu tu, kan?” Balasnya tak menjawab persoalan yang bermain di fikiran Makcik Mah.

Tergambar difikiran mereka, anak lelaki yang baru saja melangsungkan perkahwinan. Pemuda berkulit putih, tinggi lampai dan pandai mengambil hati itu memang ramai yang meminati. Namun jodoh telah tersurat. Pilihan hati telah dibuat. Hubungan dengan kekasih idaman telah diikat.

Kisah cinta tidak berbalas memang perit. Sakit hati hanya sendiri yang merasa. Sakit yang merebak ibarat barah, penyelesaian yang terlintas di minda singkat, hanyalah melepaskan geram dan dendam dengan cara yang hina dan keji.

"Pak Tam tak nak bagitahu, tak pe. Kami faham. Tapi boleh tak hantar balik apa yg orang tu buat kat kami. Biar dia pulak yang rasa!" Pinta Makcik Mah geram.

"Susah... Yang dihantar ni kuat sungguh. Apa yang aku boleh cuba, buat sikit pendinding untuk anak kamu ni. Harapnya dia tak mengamuk lagi. Itupun aku tak jamin berjaya." Kata-kata Pak Tam seperti yang dijangka. Pak Tam bukanlah orang yg pertama berkata begitu. Bukan juga yang kedua dan ketiga. Dia adalah orang yang entah keberapa.


Rani tak pernah pulih seperti asal. Derita yang ditanggung seolah ombak yang sesekali membadai tinggi, sesekali beralun rendah, namun ia tak pernah surut. Apa lagi yang harus dilakukan? Apa yang tak kena pada kehidupan?

Berbelas tahun Rani menderita. Pak Mahat dan Makcik Mah yang memikul bebannya. Bila Pak Mahat meninggal, kesihatan Makcik Mah semakin merosot. Menjaga anak gadis yang ditimpa penyakit misteri bukan mudah.

Saban masa fikiran Makcik Mah berserabut memikirkan nasib Rani. Siapa yang akan menjaga Rani jika dia pula yang meninggal nanti? Abang-abang dan kakak-kakak Rani telah punya keluarga dan tanggungjawab sendiri. Adik-adik Rani juga baru memulakan kehidupan mereka. Tak sanggup Makcik Mah membebankan mereka.

“Ya Allah… bantulah aku… bantulah aku Ya Allah… Tunjukkan apa yang harus aku lakukan....” Hanya doa itu yang kedengaran.

Sesungguhnya Allah itu Maha berkuasa. Mengatur hidup hambanya sebegitu rupa. Doa Makcik Mah didengari Allah. Rintihan Makcik Mah mendapat perhatianNya. Tak lama bersama bonda mengharungi hidup yang semakin sunyi, Rani mengikuti jejak ayahanda tercinta. Meninggal di usia awal 30-an dengan cara yang cukup mudah. Dijemput Allah semasa tidurnya. Berbelas tahun Rani menderita penyakit misteri. Penyakit yang meragut kewarasannya sebelum segalanya berakhir dengan kematian.

Antara syukur dan sedih, Makcik Mah sujud dalam tangisan. Tak sampai 2 tahun, dia pula menyusul. Bersemadi di kerak bumi milik Allah bersama anak dan suami. Al-Fatihah.

....InsyaAllah, kisah 3 akan menyusul...

Nota : Mengingatkan kisah ini, dan kembali pada tulisan emjay, saya seolah faham apa yang Allah cuba sampaikan. Pak Mahat yang saya kenali satu ketika dulu (dengan sedikit masa yang diberi Allah, ketika dia belum ditimpa musibah), juga insan lemah yang kerap meringankan suruhan Allah. Mengambil apa yang paling asas, sekadar sambil lewa.

Iman yang lemah, pastinya mudah syaitan nak menguasai. Lalu Allah turunkan dugaan untuk menarik dia kembali ke jalan benar. Tapi sayangnya, keinginan untuk menyembuhkan penyakit misteri yang menimpa anak gadisnya, membuatkan dia berusaha pelbagai cara, terutama melalui bomoh. Mungkin dia tak pernah terfikir, bahawa bila dia berusaha mencari bantuan dari orang yang tak sepatutnya, dia telah membuatkan syaitan semakin kuat menguasai.

Bukankah mudharat itu Allah datangkan kerana sayang pada hambaNya. Lalu kenapa tak kembali pada Allah, membalas kasih sayang Allah dengan membetulkan apa yang salah? Menampung apa yang kurang? Menjahit apa yang carik?

Saya bukan nak mendedah keburukan insan yang telah menjadi sejarah, tapi kisah kini amat baik untuk dijadikan iktibar oleh kita semua.

'Astaghfirullah.... Mohon ampun Ya Allah atas perkongsian ini. Moga hanya kebaikan yang akan diambil oleh pembaca, dan membuang jauh kejahatan yang tercatat. Lindungi hati kami Ya Allah.'

Nov 27, 2008

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya?

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hati terpanggil untuk turut menulis tentang topik yang sama apabila membaca beberapa kisah tentang sihir dan penyakit misteri yang ditulis oleh teman-teman blogger. Penderitaan blogger Megat yang saya tahu dari tulisan Kujie (sebulan atau 2 bulan yg lepas) dan Irfan (SangPelangi), benar-benar membawa saya kembali mengingati kisah lama. Juga dari sedikit kisah sahabat NahwanNur.

Untuk Megat, saya kirimkan doa ikhlas dari hati, agar Allah membantu anda dalam usaha mencari penyelesaian kepada sakit misteri yang anda alami. Serta sedikit perkongsian kisah di sini, yang saya harap mampu membuatkan anda tahu yang anda tak bersendirian. Jangan lupa, teruskan usaha, berdoa dan bertawakkal.

Telah lama saya simpan hasrat untuk menulis kisah-kisah ini. Kisah yang benar-benar berlaku pada orang-orang yang saya kenali, saudara dan teman-teman, termasuk diri saya sendiri.

Bukan untuk mendedahkan keburukan, jauh sekali untuk mencela, cuma saya mahu berkongsi apa yang saya temui. Semoga ada pengajaran yang mampu dicungkil dari beberapa episod hidup insan yang adakalanya turut dialami oleh orang lain.

Perkongsian saya kali ini mungkin akan jadi panjang, kerana terlalu banyak kisah yang nak saya paparkan. Lalu saya rasa sebaiknya saya bahagikan kepada beberapa bahagian.

Namun saya amat mengharapkan agar setiap pembaca yang mengunjungi blog saya ini, dapat meluangkan masa untuk membaca tulisan emjay tentang pengalaman bersama orang kerasukan serta perkongsian pembacanya tentang azab berbomoh. Tulisan yang buat saya berfikir panjang, menimbang kembali kisah-kisah lama yang pernah saya dengar dan lihat/alami sendiri.

Nota : Ini semua kisah benar, dan saya lakarkan ia kembali untuk tatapan semua dengan cara saya. Namun nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.

Kisah 1

Segalanya punah dan musnah dengan sekelip mata. Perniagaan keluarga yang diusahakannya, pekerjaannya sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta terbesar di Malaysia, malah rumahtangganya juga turut goyah buat seketika.

“Tu lah kau. Dari dulu aku cakap, sakit kau ni bukannya sakit biasa. Bukan sakit jantung tapi sakit yang ‘dihantar’. Tapi kau tak dengar. Tak percaya.” Bebel Karim semasa melawat temannya yang terlantar di katil selepas pembedahan ketiga.

“Aku tak percaya Iblis boleh atasi kuasa Allah. Bukan aku tak percaya cakap kau.” Arman beralasan.

“Samalah tu. Kau tak ingat kisah Nabi Ayub yang menderita sakit berpuluh tahun hanya kerana Allah izinkan iblis mengujinya keimanannya? Tapi dia tu lain. Dia tu Nabi yang Allah lindungi dan Allah tahu dia mampu menanganinya. Tapi kau mampu ke? Sakit terlantar macam ni pun, habis anak bini kau tengking, kau marah. Kesian dia orang.” Syarah Karim lagi. Arman terdiam.

Bukan dia tak simpati pada isterinya, bukan dia tak sayang pada anak-anaknya, tapi kemarahannya ada kala tak mampu dikawal. Entah kenapa, sikap barannya semakin menjadi-jadi. Sakit nisteri yang ditanggungnya, masalah yang menimpanya, bersilih ganti memenuhi ruang fikirannya. Hilang pertimbangan dibuatnya.

Sakit yang berterusan memaksanya berhenti kerja. Perniagaannya diserahkan pada orang luar untuk diuruskan, dan akhirnya hanya kerugian yang terhasil, bukannya keuntungan. Jualan langsung yang membekalkan produk makanan kesihatan tambahan yang disertainya tak mampu memulihkan tahap kesihatannya. Pelanggannya tak lagi percaya pada food suppliment yang dijual.

Life insurance yang dibayar hampir seribu setiap bulan selama berbelas tahun yang lepas, terpaksa dihentikan kerana tak punya pendapatan lagi. Duit yang dilaburkan untuk keluarga hilang begitu saja. Belanja rawatan juga tak boleh dituntut dari pihak insurance kerana bayaran yang gagal dijelaskan untuk setahun yang lalu.

Kawan-kawan yang dulunya ramai dan begitu rapat, malah ada yang mengaku hubungan seperti adik beradik, kini mula menjauhkan diri. Alasannya sibuk. Cuma tinggal beberapa orang teman yang sesekali masih lagi setia mengunjungi. Jumlahnya jauh kurang berbanding tika dia senang dulu.

Ya Allah... banyak sekali dugaan yang menimpa. Bertalu-talu, bersilih ganti. Mungkinkah semua ini diberikan Allah sebagai balasan atas kesibukannya mengejar dunia sehingga terlalai menunaikan kewajibannya pada Allah? Sungguh pedih bila mengingatkan kesilapan sendiri yang mula dirasai. Ngilu.

“Apa kata doktor selepas kau buat pembedahan kali ni?” Tanya Karim bila dilihat temannya tu terdiam lama. Bimbang andai Arman berjauh hati mendengar kata-kata tajamnya.

“Dia nak buat test yang lain pulak. Tunggu aku pulih sikit.” Katanya lemah.

“Erm… Aku ada ikut sepupu aku pergi jumpa satu orang ni, dia pandai menengok sakit orang. Jadi aku tanyakan sakit kau sekali. Katanya kau terkena buatan orang yang dengki dengan kau. Dan yang buat kau ni bukan sorang, tapi ramai. Ada yang baru, ada yang lama. Bertindih-tindih penyakit yang dihantar kat kau ni. Tu yang jadi teruk sangat.” Cerita Karim sambil melihat reaksi Arman.

Arman teringat kata-kata berbau ancaman oleh salah seorang bekas pekerjanya.

"Jangan ingat dengan pangkat kau tu, kau boleh buat sesuka hati. Aku akan ajar kau biar kau sedar. Tunggulah!" Lamin menuding jari tepat ke muka Arman bila Arman menyerahkan notis amaran kerana disiplin yang teruk dan hasil jualan yang amat merosot untuk kawasan yang diletakkan dibawah kendalian Lamin. Tanpa notis perletakan jawatan, Lamin menghilangkan diri begitu saja.

Mungkinkah Lamin telah mengotakan katanya itu?

Terbayang pula tangisan Mai Arani, bekas pekerjanya yang manis dan pandai bergaya. Siapa sangka kehidupan peribadinya agak menyedihkan. Segalanya kerana seorang lelaki yang bergelar suami. Arman simpati dan sebagai majikan, dia cuba melakukan apa yang termampu.

Namun tak siapa menyangka, sikap ambil berat dan jenaka yang dibuat untuk menghiburkan hati Mai Arani telah mencambahkan kasih yang salah. Dia suami untuk isterinya, dan Mai Arani adalah isteri untuk seorang lelaki lain. Mana mungkin ada laluan yang mudah untuk mereka bersama. Paling penting, cinta kasih untuk isterinya tak mungkin dipersiakan. Itu janji yang perlu dikota. Arman menjauh, tapi hati Mai Arani parah terluka.

"Mai sanggup lakukan apa saja untuk bersama dengan Encik Arman..."

Mungkinkah Mai Arani juga...?

Wajah Pak Mahat tiba-tiba muncul dikotak fikirannya.

"Kau ni, dah tak de tempat lain ke nak meniaga? Kenapa kat sini yang kau pilih?" Kata-kata dan jelingan tajam Pak Mahat sungguh sungguh berbekas dihati. Renungan amarah berserta amaran.

Ahh... tafsiran aku mungkin salah. Bisik Arman cuba menyedapkan hati sendiri.

Pelanggan yang mengunjungi kedai runcit Pak Mahat jelas berkurang bila mini market Arman di buka. Armankah yang salah? Bukankah rezeki untuk setiap orang itu telah Allah tetapkan semenjak dari azali lagi?

Arman mengeluh dalam. Lamin menunggu andai Arman ingin berkata apa-apa, tapi hanya kebisuan yang mengisi ruang antara mereka.

“Aku tanya dia, boleh ke dia ubatkan kau. Katanya dia boleh cuba, tapi mungkin prosesnya panjang. Dan kau kena percaya pada dia, barulah mudah dia nak ubatkan kau.” Tambah Karim menyambung kisah pertemuannya dengan seorang insan luar biasa yang kononnya punya kelebihan dalam soal yang melibatkan ilmu sihir. Bomoh, dukun atau orang alim (ustaz)? Arman malas nak bertanya.

“Nantilah aku fikirkan.” Balas Arman sambil tersenyum tawar. Hatinya berbelah bagi. Antara sakit yang mahu diubati dan keraguannya pada kemampuan perubatan alternatif, serta wang yang semakin surut dan susut, mana satu yang lebih perlu diberi keutamaan?

Dia yakin hanya Allah yang mampu menyembuhkannya, tapi mungkinkah dia perlu berusaha dengan cara begitu? Mampukah dia bertahan? Sampai bila...?

Kepalanya terasa begitu berat.

akan disambung dgn kisah 2.....

Nota : Di sebabkan ramai yang bertanya apa kesudahan kisah Arman, saya buat sedikit nota tambahan. Kisah ini belum berakhir kerana ini kisah benar. Sakit Arman masih berterusan. Adakala lega, ada masa sakitnya datang tak kira masa. Menurutnya, bila sakitnya datang, terasa bagai dihiris dan dilapah daging dan kulitnya.

Entah apa yang tak kena pada dirinya, tak siapa yang dapat pastikan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dia pernah mencuba kaedah perubatan alternatif, berjumpa dengan orang-orang yang dikatakan dapat membantu, tapi tetap gagal.

Bila membaca tulisan emjay, saya perasan apa yang tak kena pada dirinya. Dulu, dia terlalu sibuk mengejar dunia untuk memastikan tanggungjawab memberi kesenangan pada anak isterinya terpenuh. Sibuk yang membuatkan dia mengambil mudah dan meringankan tanggungjawab pada Allah. Rasanya itulah puncanya...

Sebaik-baik penyelesaian adalah kembali pada Allah. Menilai semula cara hidup yang pernah dilalui dan membetulkan apa yang salah. Memperbaharui niat dan matlamat hidup. Memperbaiki dan memperbanyakkan amalan diri dan keluarga. Itulah yang harus dilakukan.

Namun, mengubah manusia itu kerja Allah. Lalu pada Dia kita meminta. Kita hanya menjadi perantara yang meluah pendapat dan idea.

Semoga Allah memberikan kekuatan padanya. Semoga Allah buka pintu penyelesaian buat deritanya. Semoga hanya yang baik-baik berlaku dalam hidupnya. Kita doakan saja...

Nov 14, 2008

Berbicara dengan DIA... fahamkah kita?

Berapa ramai yang menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan harian? Fahamkah kita maksud setiap ayat suci yang dibaca? Memangnya berapa keratkah dari kita yang menjadikan bacaan Al-Quran sebagai hidangan yang harus disantap oleh mata, dikecap di bibir, dihalwakan ditelinga sepertimana hidangan makanan yang disentuh setiap hari?

Bila Al-Quran disentuh seminggu sekali, dimana Yaasin dibaca dimalam Jumaat. Mungkin ada yang berkata, "Cukuplah tu. Dah baca Quran, kira ok lah tu, daripada tak baca langsung!"

Malah ada yang berkata, "Sembahyang pun kira macam dah baca Quran jugak kan?"

Membaca Al-Quran hanya dalam solat? Mana cukup! Apatah lagi ayat yang dibaca biasanya hanyalah ayat-ayat pendek yang sama setiap hari. Itupun kalau solat, kalau tak solat?

Gusarnya hati bila melihat masyarakat kini semakin mudah terperangkap dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab sehingga dirasakan tak cukup 24 jam sehari. Resahnya jiwa bila ramai yang berkata mereka sedar kematian semakin hampir tapi bekalan tak seberapa. Lalu, kenapa dibiarkan saja?

Di dalam solat ataupun di luar solat, kita sepatutnya sentiasa menyebut dan mengingati Allah. Membaca Al Quran tanpa memahami apa yang dituturkan, bukankah ia seolah menanam padi, berbuah tapi tak berisi? Mungkin ramai yg dah khatam membaca Quran, paling tidak sekali dalam hidup. Tapi berapa ramaikah yang khatam membaca terjemahan Quran, sehingga mampu memahami setiap cabang dahan dan ranting tafsiran?

Membaca dan memahami itu penting untuk memastikan apa yang dibaca itu meresap ke jiwa. Ibarat menatap kisah lama yang penuh bermakna atau membaca novel bahagia bersulam lara. Tanpa sedar, pipi basah tanpa mampu diseka. Bukankah itu menunjukkan pentingnya memahami apa yang dibaca? Tak mungkin airmata akan bergenang kalau hati tak mampu menghayatinya.

Al-Quran. Sejauh mana kita memahaminya? Seharusnya kita berusaha untuk mengkhatamkan terjemahan Al-Quran. Jika dapat membaca kitab-kitab tafsir Al-Quran, itu lebih baik. (Terjemahan dan tafsiran adalah dua perkara yg berbeza. Untuk tafsiran, sebaiknya mengikuti ceramah atau kelas tafsiran yang dikendalikan oleh Ustaz yang bertauliah.)

Bila kita memahami dan menghadamkan apa yang dibaca, ia memberi banyak kebaikan dan memberi kesan positif pada diri. Dan kegagalan menghayati bacaan kitab suci itu, mungkin membuatkan pembacanya hilang 'kekebalan' diri. Kebal yang dimaksudkan ialah ketahanan diri dari ujian Tuhan dan kejahatan syaitan.

Paling penting, bila kita memahami ayat-ayat suci yang dituturkan (terutama semasa solat), ia akan membantu mempertingkatkan kekhusyukan. Semasa berdoa dan meminta ampun dari Allah, seharusnya setiap ucapan dilafazkan dengan penuh perasaan. Tapi, bagaimana jika kita tak mampu memahami apa yang didoakan? Mahukah Allah memberi perhatian pada buah bicara kita dan mengabulkan apa yang diminta?

Membaca Yaasin setiap malam Jumaat seolah satu tradisi pada masyarakat kita. Kenduri arwah Yaasin dibaca, anak nak exam, air dari bacaan Yaasin diberikan, nak naik rumah baru, Yaasin juga yang dipilih! Sedangkan banyak sekali surah-surah lain yang baik, boleh dan perlu dijadikan amalan.

Surah Al-Waqiah (bacaan murah rezeki), surah Al-Mulk (bacaan harian yang amat digalakkan), As-Sajdah, Ad-Dukhaan, Al-Kahfi (bacaan paling baik untuk menghiasi malam Jumaat) dan banyak lagi.

Ramai yang tak tahu surah Al-Baqarah mampu menghalang jin dan syaitan dari memasuki rumah. Tapi bukannya dengan sekali bacaan, 'benteng ketahanan' itu kekal sehingga bila-bila. Ia hanya mampu menjadi pendinding untuk 3 hari saja. Dan ia perlu dibaca lagi. Dan lagi... dan lagi... Dan itulah sebaiknya.

InsyaAllah, jiwa akan tenang bila sering mengungkapkan kalimah suci milik Allah Ar-Rahman. Damai akan bertandang bila mengalunkan ayat-ayat suci pemberian Al-Wahhaab. Bahagia itu pasti milik diri bila mendekatkan diri pada Allah Al Waduud, Tuhan Yang Maha Pencinta.

Bacalah Al-Quran. Jadikan ia santapan nurani, makanan hati, minuman jiwa dan cicipan minda. Istiqamah dalam amalan dan fahami apa yang dibaca. Itulah yang sebaiknya.

Nota : Di ambil isinya dari ceramah oleh Ustaz Mohd Nizam Abd Kadir (Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran UIA) dalam slot Bicara Ad-Din (8 Sep 2008, 6.45 - 8.00 pagi) bertempat di MSSAAS, Shah Alam.

Nov 7, 2008

What Am I Like?

Yusliza, my colleague told me about my character. At one time, I feel like she know me more than myself. Interesting!

Then, I found this link, and start to answer a couple of question, and here is the result. Feel like I know my self better now! (Don't think that I don't know who am I before. Hahaha...)

Results
Your answers suggest you are Realist

The four aspects that make up this personality type are:







Summary of Realists

* Loyal and steady workers who meet deadlines
* Believe in established rules and respect facts
* Think of themselves as mature, stable and conscientious
* May appear too logical or tough-minded and forget their impact on other people

More about Realists
Realists are loyal to the people around them and work hard to keep their promises. They are honest and straightforward with others and expect the same in return. Realists believe in standard procedures and will only support change when there is a demonstrable benefit.

Realists respect factual information, which they store up to use when making decisions. This group likes to have time to think quietly and carefully before taking action.

These extremely productive people like to be occupied in their leisure time with pursuits such as craftwork, hiking or reading.

In situations where they can't use their talents or are unappreciated, Realists may become obsessed with schedules, critical of others or have trouble trusting other people to get the job done properly. Under extreme stress, Realists may complain loudly that events have taken a turn for the worse and predict negative outcomes.

Realists typically only share their opinions or personal experiences with trusted friends.

Realist Careers
Realists are attracted to jobs where decision making based on factual knowledge and experience is required.

It's important to remember that no survey can predict personality type with 100 percent accuracy. Experts say that we should use personality type to better understand ourselves and others, but shouldn't feel restricted by our results.

Note : Why don't you guys take part in this Personality Test and share the result in your blog or here (at comment column). Should be interesting, rite? Well... I just want to understand you all better, if you guys don't mind. ;)

Nov 1, 2008

Merawat Retakan Hati.

Bermesej segera (IM) dgn seorang kenalan. Bukan niat nak mendedahkan keburukan, tapi nak berkongsi cerita. Satu kisah yg sering terjadi dlm rumahtangga yg diharapkan boleh dijadikan panduan buat mereka yg baru atau yg akan berumahtangga. Krisis penyesuaian diri dgn life partner...

Kawan : Salam. Akak ingat tak ari tu sy nak tanya akak tentang sesuatu

Suara : Salam... Adik tanya banyak jugak, yg mana satu?

Kawan : Eerr.. banyak erk. Hehe… Skrg nak tanya lagi ni. Tu pun klu akak nk beri jawapan

Suara : Tanye je... kalau akak boleh jawab, akak jawab le... kalau tak leh, akak cakap le tak leh jawab. Lagipun soalan adik tu bukan ada markah pun... hehe

Kawan : Klu bawa kebaikan pd sy, ada markah tak nampak utk akak. Dapat pahala tau…

Suara : Alah… buatlah markah... pastu convert jadi biskut ke... kerepek ke... ok gak tu...hahaha

Suara : Eeh... tadi gurau je lah.. :D

Kawan : Pandai akak erk. hahaha :p

Suara : Adik nak tanya apa sbnrnya ni?

Kawan : Sy ni baru "setahun jagung" kawin...

Suara : Jagung pun ada kawin gak ke?

Kawan : Akak ni… nak merapu lah tu.

Suara : Tak leh ke? Oklah… serius… serius. Sambung.

Kawan : Biasanya dlm tempoh bertunang tak semua perkara di tunjukkan. Masing2 sembunyikan keburukan dan tonjolkan kelebihan. Tup2 bila dah kawin semuanya nampak

Kawan : sedia maklum setiap org ada kelebihan dan tentunya kekurangan Tapi kadang2 kekurangan tu macam tak boleh diterima. Sampai timbul juga rasa tak puas hati walaupun cuba nak elak. cam ner nak atasi erk?

Suara : Erm…

Kawan : Mmg tahu kena byk sabar. Tp kadang2 rasa nak ckp apa yg kita tak puashati tu. Bila cakap, dia tak boleh terima lak. Nak wat cam ner ni kak?

Suara : Aduhai... Akak bukan kaunselor bertauliah. Tapi nak cakap sikit-sikit boleh le. Masalah ni selalu berlaku. Terutama di awal perkahwinan. Kita akan benar-benar kenal pasangan kita hanya lepas kita kawin je.

Kawan : Betul tu.

Suara : Sbnrnya, jodoh yg kita ada adalah yg terbaik buat kita, walaupun ada kekurangan. Mana ada org yg sempurna, kan?

Suara : Formula kehidupan yg bahagia mudah saja. Jadi hamba yg bersyukur. Syukur sekalipun tika di timpa musibah. Musibah datang sbb Allah nak kita teliti balik diri kita.

Kawan : Hmmm.

Suara : Dalam rumahtangga, kita perlu saling melengkapkan. Walaupun tak semua kekurangan boleh ditampung oleh pasangan, tapi paling tidak kurangkan jurang berbezaan. Tapi sebelum tu, kena wujudkan komunikasi yg berkesan. Kalau tak, susah jadinya. Antara suami isteri kena selalu bercakap. Kalau dgn org lain tak pe lah jadi pendiam pun.

Suara : Kena biasakan cakap dari hati ke hati. Apa yg tak puas hati, mmg kena bagitau. Tapi biar kena caranya.

Kawan : Ni yg nak kena belajar nih. Cara bagaimana paling baik supaya teguran lebih berkesan?

Suara : Ia bergantung pada jenis macam mana pasangan kita tu. Karekter dia. Pendiam ke, panas baran ke...

Suara : Kalau jenis yg sensitif, kena cakap lembut sikit. Nak sampaikan apa-apa kena berseni dan halus, supaya dia tak terasa dan berjauh hati. Kalau dia terasa hati karang, susah pulak. Simpan dlm hati, merajuk. Silap haribulan jadi dendam dan barah pada hati dan perasaan.

Suara : Kalau jenis yg lembab dan pekak badak... mungkin guna suara keras sikit boleh le kot. haha... Bukan nak suruh derhaka. Just utk tunjukkan yg kita tegas dan serius. Itu maksud akak.

Kawan : Ohh... boleh ye?

Suara : Tapi akak tak harap mana-mana isteri guna cara tu, sbb kita sbg isteri, walau macam mana pun suami kita tu, kena berlembut. Nanti dosa tak pepasal pulak sbb tinggikan suara dgn suami. Ingat, syurga mudah dicapai oleh wanita yg bersuami kerana khidmat kita pd suami. Neraka juga mudah dimasuki jika kita mendurhakai suami.

Suara : Erm... kalau jenis yg jenis tak ambil peduli, atau akak suka anggap mrk ni jenis yg tak kuat daya ingatan, cakap sekali tak berkesan, mungkin kena cakap berkali-kali. Kena ulang suara, ulang tayang, ulang segala-galanya

Suara : Macam anak-anak jugak, larang sekali bukannya dgr, kena larang banyak kali, kena terangkan jugak sampai dia faham kenapa kita larang.

Kawan : Alahai. Letihlah kalau macam tu. Budak lainlah, tapi ini org tua.

Suara : Tua muda sama je. Penah dgr og cakap, manusia mudah lupa?

Kawan : Kalau melayu mudah lupa, itu biasalah dgr.

Suara : Itu Mahadhir yg cakap. Tapi hakikatnya manusia mudah lupa, tak kira melayu ke, cina ke, India ke, mat saleh ke… sama je

Kawan : Hehe

Suara : Perempuan ni fitrahnya suka meneliti dan melihat sst dgn detail. Tapi lelaki tak macam tu. Err... ada juga yg jenis teliti, tapi jarang la.

Suara : Jadi kita sbg isteri kena nasihatkan, dan beri pandangan. beri sbb kenapa kita tak suka. tunjukkan akibat yg mungkin berlaku.

Kawan : Hmm..

Suara : Itu nasihat akak secara general lah... adik pun tak cakap situasi bagaimana yg di hadapi .

(saya mmg tak tanya lebih sbb tak nak nanti perbualan biasa jadi medan aduan dan umpatan.)

Kawan : Entah la kak... agaknya sy ni byk dosa kot pd suami

Suara : Then ubahlah diri dulu

Kawan : Hmm... Tapi mmg ssy selalu tak puas hati dgn dia, pastu simpan dlm hati

Suara : Adik tak penah cuba cakap kat dia ke?

Kawan : Sy tak bleh ckp apa yg sy tak puas hati tu. Sbb sblm ni, bila cakap, dia cam tak leh terima. Maybe dia rasa itu soal remeh jer kot... Remeh pd dia la. Pada saya tak gitu... Bila cakap, dia buat acuh tak acuh. Sudahnya sy rasa baik sy diam je

Suara : Cuba bgtau dia berkali-kali... supaya dia tahu adik tak anggap benda tu remeh.

Kawan : Bagitau berkali2 nanti gaduh pulak. Tak nak la. Tp kan kak, asik simpan dlm hati timbul perasaan lain plak

Suara : Perasaan cam ne?

Kawan : Marah… pastu rasa benci

Suara : Hah? Ish tak boleh tu.

Kawan : Pastu bila buat benda, semuanya jadi tak ikhlas

Suara : Jgn macam tu. Cuba adik cakap lagi kat dia... Ubah cara bercakap sikit. Contohnya kalau dulu cakap sambil tengok TV, kali ni cakap masa keluar makan kat luar ke. Kalau dia masih anggap remeh, tanya dia kenapa dia anggap benda tu remeh. Dan bagitau dia... adik cakap sbb tak nak perasaan tak puas hati tu terus ada dlm diri adik... bimbang ia akan jadi lebih teruk

Kawan : Hmm...

Suara : Bgtau dia adik sayangkan dia dan sayangkan perkahwinan yg dah terjalin, tak nak benda kecik macam tu jadi besar satu hari nanti, gara-gara dia ambik remeh apa yg adik cakap. Paling tidak, adik harapkan sedikit perubahan, agar adik tahu dia peduli apa yg adik cakap dan berusaha utk ubah...

Suara : Dan sebagai balasannya, adik tanya dia apa yg dia tak puas hati ttg adik, yg dia rasa susah nak bgtahu tapi harap adik akan ubah. Tawarkan perkara yg sama pd dia. Sbb mungkin dia juga ada rasa tak suka, marah, benci… yg dia simpan dlm hati, tapi tak cakap kat adik.

Kawan : Maybe betul juga apa yg akak ckp tu. Maybe sy ada buat bende remeh temeh yg dia tak suka tp dia diamkan ajer

Suara : Cubalah... dan berusahalah sblm terlambat. Jgn sampai dia cari org lain utk lepaskan rasa tak puas hati dia pd adik.

Kawan : Hah?

Suara : Selalunya luahkan perasaan tak puas hati tu (terutama pd yg berlainan jantina) yg akan mulakan hubungan org ke tiga. Jangan bagi peluang utk dia rasa tak puas hati pd adik dan rasa org lain lebih baik.

Kawan : Hmm...

Suara : Biar dia rasa yg adik sentiasa faham dia, sensitif dgn perasaan dia, sentiasa cuba nak perbaiki kekurangan. Bila adik dah mampu buat dia rasa begitu, insyaAllah, nanti dia juga akan lakukan yg sama utk adik. Sebaik-baiknya solat sunat mohon agar Allah lembutkan dan bukakan hatinya untuk terima apa yg adik cakap dgn fikiran terbuka.

Kawan : Ok. Sy paham. Terima kasih kak. Nanti saya cuba.

Suara : Sesama.

Saya tak tahu apakah nasihat saya ini sesuai atau tidak, betul ataupun salah. Saya bukanlah pakar dlm psikologi rumahtangga, tapi pengalaman diri dan kekawan dalam menjalani liku hidup berumahtangga, telah membentuk diri saya hari ini. Sedikit bahan bacaan dan nasihat orang tua saya jadikan panduan.

Saya mahu semua orang bahagia. Mungkin nasihat saya bukanlah yg terbaik untuknya, tapi hanya itu yg saya mampu saya fikirkan saat itu. Dasarnya, itulah yg saya amalkan dalam kehidupan rumahtangga saya.

Mohonlah pada Allah agar rumahtangga yang dibina sentiasa terpelihara dari dugaan yang meretakkan ikatan.


Bentuklah komunikasi yg berkesan.

Jadilah hamba yang bersyukur...

Oct 24, 2008

Demi Kameelah...

Saya di tag oleh Kaamyl!!! Nak saya cerita tentang pengalaman pahit manis masam masin dok kat dapur. Nak kena selongkar sejarah lama la nih. Memang saje je budak ni tau. Nasib baik dia tinggal jauh, kalau dekat depan mata, mahu saya paksa dia masak untuk saya tujuh hari tujuh malam. huhu...

Err... Aci tak kalau tulis begini je;

Pengalaman manis memasak ialah buat air terlebih manis. Pengalaman pahit ialah terbuat kopi pahit. Pengalaman masin ialah masak lauk terlebih garam. Kenangan masam ialah masak asam pedas lupa nak letak asam. Hehe...
Huh.. siap satu tag.

Tapi rasa macam tak patut pulak menghampakan permintaan pertama Kaamyl ni. Jadi demimu Dr Kameelah, Kak Su akan cuba kongsikan sedikit kisah tentang makanan/masak-masak ni.

Sama macam Kaamyl, saya tak ingat bila kali pertama masuk dapur. Tapi yang pasti saya masuk dapur seawal usia tanpa ingatan lagi. Mungkin masa umur sebulan atau setahun. Di heret masuk ke dapur untuk makan dan minum tentunya. Kekeke...

Kisah 1
Masa kecik dulu, saya suka sangat makan ikan masak kicap. Bila sahur dan tak lalu nak makan, kakak akan masak lauk ni. Confirm saya makan habis sepinggan ++. Hampir setiap hari. Hidangan yang sama tanpa jemu. Nasib baik kulit tak bertukar warna seiras kicap. Huhu...

Ada sekali tu, kakak tak masak lauk ni. Cuma goreng ikan je. Lauk lain ada tapi saya tak gemar. Saya frust sangat, sbb saya suka berkuahkan kicap tu sehingga nasi hitam legam. Di sebabkan dah angau dan fanatik sangat dengan ikan goreng kicap, saya mengambil inisiatif memasak sendiri.

Tanpa menggunakan kuali dan api, saya ambil kicap dan tuang atas ikan yg dah siap ada dalam pinggan. Letak cili dan bawang sikit. Siap. Main masak dalam pinggan je. Hehe... Masa tu pakai kicap cap budak pegang bola kot. Kicap lemak manis kipas udang tak wujud pun lagi.

Bila saya makan, ia tak sesedap yang kakak buat. Masin dan payau semacam je rasanya. Sudahnya saya tak termakan nasi tu. Tak sanggup nak telan. Huhu... Baru saya tahu, masak ikan kicap bukan semudah sangkaan saya.

Kisah 2
Saya masuk dapur secara rasmi untuk memasak ialah semasa tingkatan 1. Masa tu arwah mak kena serangan angin ahmar. Strok yang mak alami agak serius dan pergerakannya jadi amat terbatas. Mak tak dapat nak masak lagi. Arwah ayah pula memang tak pandai masak. Kakak sulung saya masa tu ada kursus di Trg dan kak ngah saya sedang menjalani latihan jururawat di P.Pinang. Jadi tak ada orang lain untuk mengambil alih tugas mak untuk memasak kecuali saya.

Masakan pertama saya ialah acar masak bersantan. Fuhh... baunya memang semerbak bila ditumis. Dan memang sedap sangat. Err... Tentunya saya lakukan dgn arahan mak. Step by step. Dan hasilnya cukup untuk membuatkan mak tersenyum. Perfect.

Tapi bila mak meninggal, saya mula tinggal di asrama. Dan tugas memasak saya telah diambil alih oleh kakak dan mak tiri. Sesekali balik, saya memang tak masak. Maklumlah tinggal di asrama, balik je nak bermanja dengan kakak. Tak masaklah jawabnya. Satu-satunya yg saya teramat mahir memasak ialah masak maggi. Hehe...

Ia kekal begitu sehinggalah saya belajar di IPTA. Bila cuti sekolah atau cuti semester, saya masuk dapur sekadar jadi assistant chef je. Tolong kupas bawang, tumbuk cili, potong sayur, kacau lauk dlm periuk, basuh pinggan. Itu saja. Tak ada yg saya buat sendiri dari A sampai Z.
Sampaikan abang ipar saya mengusik, katanya kalau saya kawin nanti, mesti menu utama siang malam saya ialah maggi je. Muncung saya panjang sedepa masa tu. Kurang asam tul la. Grrr...

Kisah 3
Bila saya nak kawin, saya tak bimbang tentang memasak. Sebab saya tahu kemampuan saya. Semasa tinggal menyewa dengan kekawan, sayalah yg jadi tukang masak. Siap bawak bekal lagi pegi opis.

Saya bagitahu abang (masa tu tunang), yang saya tak tahu masak. Dan saya ceritakan usikan abang ipar saya tentang diri saya yg cuma tahu masak maggi. Dia risau. Suruh saya belajar masak. Pegi kelas masakan kalau boleh. Kebimbangannya berasas sebab maknya pandai masak. Ye lah... nanti bila masuk keluarga baru dan tak pandai masak, harus saya kena kritik sakan.

Saya tergelak. Dia pulak yang gayat sedangkan sebenarnya saya sekadar mengusik. Seronok membiarkan dia dengan kerungsingannya tu, sambil menunggu hari untuk kami di satukan. Rancang saya masa tu, bila dah tinggal serumah nanti, akan saya kejutkan dia dengan skil memasak saya yang dirisaukan sangat tu.

Kisah 4
Kali pertama masak untuk mak dan ayah mertua ialah masa saya bertunang. Goreng mee untuk breakfast. Masa tu sebulan atau dua bulan sebelum ikatan termeteri.

Abang dah sewa rumah dan tinggal sorang-sorang dengan rumah yang dilengkapi dapur ringkas. Dia tak tahu memasak seperti arwah ayah juga (kecuali masak air, tapi resepinya lain dari Kaamyl. Hahaha). Jadi dia tak kisah sangat untuk melengkapkan barangan dapur. Barang-barang untuk memasak seperti bawang, minyak masak, rempah ratus dan lain-lain memang langsung tak ada.

Lelaki tak reti masak, itu biasa. Lelaki pandai masak, itu istimewa. Dan suami saya adalah lelaki biasa merangkap 'tester' untuk setiap masakan baru saya. Cukuplah. :)

Ada sekali tu, keluarganya datang untuk meninjau dan tinggal bermalam sehari dua. Saya yang tinggal menyewa tak jauh dari rumahnya, dengan penuh debaran menghantar mee yang saya goreng untuk mereka bersarapan.

Mak mertua puji masakan saya sedap, cuma terkurang gula. Ish... tak tahu pulak saya yg masak mee nak kena masuk gula. Jadi dia masukkan balik dalam kuali, masukkan sikit gula, kacau dan hidang balik.

Huhu... Segan sangat sbb masakan saya 'diperbaiki.' Tapi saya tak kecil hatipun. Saya tahu mak mertua saya pakar dalam bab memasak ni. Dan saya bertuah sebab boleh belajar banyak dengan dia. Su saaayang ma sangat...

Kesimpulan. (Uih... ada kesimpulan la pulak. Macam karangan zaman sekolah je)

Aahh... tak payah simpul-simpul lah ye.

Cuma pesanan ringkas dari penaja, walau sebesar gunung dan seluas lautan pun cinta lelaki kepada perempuan, walau ditabur janji 'abang tak kisah sayang tak pandai masak. Biar abang je yg masak', tapi pastikan kita sebagai perempuan, kemahuan memasak dan skill tu tetap ada. Sedap tak sedap tu lain kira. Remember, practise make perfact. Don't give up.

Saya ingat lagi cerita seorang teman yang diceraikan oleh suaminya dengan alasan dia tak pandai masak. Entah betul, entah tidak. Ahh... dah namanya alasan.

Kalau dah tak suka, perkara simple macam tu pun nak dijadikan sebab untuk runtuhkan rumahtangga. Sedangkan dulu mereka memang bercinta, dan perkahwinan bukanlah pilihan keluarga.

Geram membungkus hati saya. Semudah itu tanggungjawab di lepaskan dengan alasan seringan pinggan plastik. Huh...

Ermm... Manusia mmg mudah lupa. Mudah berubah di hempap badai dan masa.

Untuk semua yang baru dan dah lama berkahwin, semoga ikatan yang terjalin dipelihara Allah sentiasa. Amiin...

Pssstt... Kaamyl, ini cubaan pertama Kak Su menulis santai begini. Adoi... Macam apa je... huhu.

Oct 19, 2008

Bulan Dan Hari

"Puasa sebulan, sebab tu dipanggil bulan puasa. Raya sehari sebab tu lah di sebut hari raya. Ada orang panggil hari-hari raya? Tak de kan? Jadi raya tu berpada-padalah. Jangan lebih-lebih pulak." Cerita abang pada saya tentang bebelan bossnya bila ada staff yang masih lagi ambil EL (emergency leave) tanpa sebab yang munasabah. Tak puas beraya kot.

Saya tergelak. Betul juga tu.

Tapi ramai yang pegang prinsip puasa sebulan, raya pun kenalah sebulan jugak. Alasannya, bulan Syawal tu sebulan. Aduhai...

Seakan sudah menjadi tradisi, masyarakat kita memang suka bersedekah di bulan Ramadhan. Dan ziarah pula selalunya dilakukan di bulan Syawal. Itupun kerana ada jemputan open house. Kenapa mesti begitu? Ziarah pun nak dijemput ke? (Menyoal sambil mengutuk diri sendiri ni. Huhu...)

Mak dan ayah mertua saya memang suka menziarahi saudara dan kawan-kawan. Tak hairanlah mereka cukup di kenali dan disegani oleh ramai orang (tapi takde lah sehebat celebriti).

Kali pertama saya bertemu dengan mereka, ialah bila mereka datang ziarahi arwah ayah yang sakit masa tu. Saya terkejut. Saya tak kenal mereka. Mereka datang hanya kerana saya berkawan dengan anaknya (bukan bercinta ye).

Mungkin mereka punya niat serampang dua mata. Ziarah sambil nak kenal orang yang berkawan dengan anak mereka (Err... Merisik secara tak rasmi?). Terus saya jatuh kasih pada mereka. Sungguh saya kagum dengan sikap mereka. Terharu dengan cara mereka.

Saya nak jadi macam mereka. Tapi saya pemalu. (Erk... Betul ke? Boleh pakai alasan ni? Haha...)

Oct 14, 2008

Bertahanlah...

"Aku bertahan hidup dengan dia sekarang sebab malu dengan keluarga. Dah takdir aku. Dulu, mak ayah dah nasihatkan aku, tapi aku degil, nak jugak dia. Walaupun kakak dan abang aku tak begitu suka kat dia, tapi aku teruskan jugak." Luah seorang teman. Matanya basah.

Aku terkedu. Dimanakah cinta dulu? Hilang disapu masa?

Kehidupan hari esok adalah rahsia Allah. Kita tak mungkin mengetahuinya. Yang kita tahu ialah setiap dari kita punya harapan dan impian.

Mahu bahagia dinikmati sentiasa. Hari ini, esok... dan esok... dan esok... dan selamanya.

"Sahabat, sabarlah... Bertahanlah. Aku pasti cinta itu masih ada. Kau cuma perlu menerima apa yang tersedia. Redha. Dan teruskan memberi. Aku tahu cinta di hatimu masih melimpah untuknya. Kau cuma terluka.

Allah sentiasa bersamamu. Aku juga. InsyaAllah." Hanya itu yang mampu aku katakan. Doaku sentiasa ada.

Oct 8, 2008

Realiti... Ramadhan Terakhir

“Mak, Wa nak keluar kejap ye. Kawan sekolah ajak jumpa. Eh... baju melayu Wa dah basuh ke? Wa nak pakai esok.” Jam menunjukkan pukul 12 malam. Suasana kampung masih meriah dengan bunyi mercun.

“Ye lah. Jangan lama sangat. Esok nak kena bangun awal.“ Pesan Kak Ani sambil memandang sekilas anaknya yang berpakaian t-shirt dan berseluar jeans. Simple tapi nampak begitu segak. Tangannya tetap sibuk menyediakan bahan-bahan untuk di masak esok pagi. Malam raya, keluarga mana yang tak sibuk.

Kak Ani tersenyum. Hatinya gembira benar bila anak menantu yang tinggal jauh pulang untuk beraya. Bunyi deruman motor meninggalkan laman rumah kedengaran semakin perlahan sehingga sunyi malam kembali mengambil tempat.

Kak Ani tahu kebiasaan anaknya. Sesekali pulang, dia suka berkumpul bersama kawan yang dah lama tak berjumpa. Lagipun dia suka melihat kemeriahan bandar KB dimalam lebaran. Berbeza benar dengan hari-hari biasa.

Mata Kak Ani bengkak dan basah kerana menangis sepanjang malam dan pagi, pipinya lencun dengan airmata. Sehingga saat mentari Syawal telah muncul menghiasi hari, air matanya belum kering lagi.

Kawan Arif, kawan Anuar juga. Hubungan mereka memang rapat walaupun jarak umur berbeza 2 tahun.

“Arif, kau baliklah dulu, jaga mak. Nanti kejap lagi aku balik.“ Arif menurut tanpa banyak soal. Entah kenapa malam itu, mereka buat keputusan untuk pergi dengan motor masing-masing. Bila cuti semester, memang itulah peluang yang dinanti Anuar untuk bertemu dengan kawan-kawan lamanya sambil merehatkan minda yang sebu disumbat dengan segala curahan ilmu oleh pensyarah.


Arif termenung panjang. Fikirannya kosong. Hatinya kosong. Suaranya juga hilang bila mendengar berita itu.

‘…kau baliklah dulu, jaga mak….. kau baliklah dulu, jaga mak…. Kau baliklah dulu, jaga mak…’ Bagai pita rakaman yang diputar kembali dan kembali, pesanan itu bergema memenuhi ruang mindanya. Pesanan terakhir dari satu-satunya abang yang dia ada.

“Kak Ina, bagi aku pegang perut kau kejap.“ Pintanya pada kakaknya yang sedang sarat mengandung 7 bulan.

“Ish... gelilah. Nanti kau dah abih belajar dan keje kat hospital, atau bila kau kawin nanti, bolehlah kau pegang perut orang mengandung.“ Ina cuba mengelak.

“Alah... bagilah aku rasa baby kau...“ Katanya bernada rayuan. Tak menghiraukan alasan yang Ina bagi

“Ye lah... yelah... tapi jangan gosok, aku geli. Pegang je tau.“


Azlina tersandar di dinding dengan mata yang bengkak. Tak pernah Anuar mahu menyentuh perutnya semasa mengandung kali pertama. Tiba-tiba kali ini dia meminta. Sentuhan terakhir untuk anak buah yang belum lahir.

“Ana... jangan lupa ye. Kau tolong kenenkan aku dengan budak tu. Aku memang suka kat dia.“

“Jangan risaulah Wa. Tahulah aku nak promote kau kat dia nanti. Kau jangan cakap apa-apa, jangan bagi nampak yg kau tu dah tergila-gilakan sangat kat dia tuh. Biar aku je yang uruskan.“ Janji Farhana. Dia tahu Anuar ikhlas dan bersungguh.

“Lepas ni Ana dah tak de kawan nak balik kolej atau pegi kuliah sama-sama lagi....” Bisikku pada Farhana yang teresak-esak dalam pelukan. Sendunya semakin kuat bila mendengar kata-kataku. Pelukannya semakin erat. Aduh... kesalnya hati meluahkan kata begitu.

Mereka memang membesar bersama. Rumah mereka yang kedudukannya hanya di pisahkan oleh sebatang jalan kampung, menyaksikan hubungan rapat mereka. Tambahan lagi mereka bersaudara dua pupu.

Air mataku bagai anak sungai melihat keadaan mereka semua. Aku bukanlah rapat dengan Anuar. Sekadar mengenalinya sebagai anak kepada kakak sepupuku. Namun aku selalu mendengar cerita tentangnya daripada anak buahku Farhana.

Aduhai... Begitu cantik hari yang dipilih untuk Allah menjemput hambanya. 011008 bersamaan 1 Syawal 1429H. Namun tarikh keramat untuk umat Islam itu meninggalkan kepahitan yang mendalam buat keluarga dan teman-teman Anuar. Entah bagaimana Kak Ani dan Abang Man nak hadapi Syawal yang seterusnya. Tak mampu aku bayangkan.

Aku mendekati Kak Ani yang kelihatan begitu lemah.

“Kak Ani. Sabarlah… Allah lebih sayangkan dia.” Hanya itu kata-kata yang mampu aku keluarkan. Apa lagi kata-kata yang sesuai. Air mata yang gugur semakin lebat mencurah.

Tubuhku dirangkul erat. Aku memeluk tubuh kering itu sambil menggosok-gosok bahu yang jelas terasa tulangnya. Mulutku terkumat-kamit membacakan selawat Syifa. Tak tahu apa yang harus aku baca untuk mengubati kesedihan hatinya. Hanya selawat Syifa yang terlintas, sambil berdoa agar Allah kuatkan hatinya, sembuhkan duka yang bersalut dijiwanya.

Selepas seketika, dia menarik nafas dalam kemudian melepaskannya perlahan. Pelukanku mula dilonggarkan.

“Kak Ani tahu. Kak Ani menangis bukan sebab tak rela Allah ambik dia, cuma sedih...” Katanya lirih. Aku mengangguk faham.

Aku tahu bukan senang melepaskan anak kesayangan yang menjadi harapan keluarga pergi dengan usia sebegitu muda. Tapi ketentuan Allah bukan boleh dihalang. Usia pula bukan penentu masa untuk ajal maut datang bertandang. Malah helmet yang berharga RM1800 yang baru dibelinya tidak langsung menjamin keselamatan.

Menurut cerita temannya, motosikal Anuar di himpit oleh kereta kancil sehingga terlanggar pembahagi jalan. Anuar terpelanting merempuh tiang papan iklan. Kereta kancil itu khabarnya hanya berhenti seketika dan kemudian menghilang dalam kegelapan malam. Dimanakah kemanusiaanmu wahai pemandu? Hatiku menjerit lantang. Kesal.

Selepas solat Zohor, barulah jenazah sampai di rumah. Selepas dimandikan, keluarga dan teman-teman dibenarkan untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Berkali-kali ciuman ibu singgah di pipi jasad anak yang telah kaku. Airmataku tumpah kembali melihat Kak Ani begitu. Tapi dia tak menangis lagi. Tak seperti semalam dan pagi tadi. Tabahnya dia. Mungkin bila melihat mayat yang kembali dari hospital kelihatan begitu sempurna, dia jadi lega. Seolah kematiannya bukan disebabkan oleh kemalangan jalanraya.

“Kak Ani tengok muka dia sekarang... sama macam masa dia lahir dulu...“ luah Kak Ani sayu. Aku mendengar tanpa membalas. Sungguh aku kehilangan kata-kata.

'Ya Allah. Tempatkanlah Mohd Anuar bin Abd Rahman di kalangan hamba-hambaMu yang Kau kasihi. Bakalkanlah kekuatan dan semangat yang kuat kepada ibu bapa dan ahli keluarganya. Bantulah mereka... Bantulah mereka Ya Allah Ya Aziiz...’

Tiba-tiba aku teringat sajak yang kukarang diawal Ramadhan. Sajak 'Ramadhan terakhir' sebagai ingatan...


Dihari terakhir Ramadhan kali ini, saat fajar Syawal masih enak beradu sebelum muncul esok pagi dengan harapan dan kegembiraan, kakak sepupuku telah kehilangan cahaya harapan hari tuanya... Dan tak siapa menyangka itulah Ramadhan terakhir buat Anuar...

Al-Fatihah buat arwah.

Nota : Di ketika insan lain bergembira menyambut kedatangan Syawal, ada hati yang berduka, meratap menangisi pemergian tersayang. Keluarga sepupu saya adalah salah seorang daripadanya. Sungguh kemeriahan raya saya juga sedikit terjejas bila melihat air mata dan wajah-wajah sayu yang berada di depan mata saat saya menziarahi mereka.

Kehilangan... Saya pernah mengalaminya berkali-kali. Melaluinya sekali lagi mengingatkan saya pada arwah ayah yang pendiam tapi tegas, arwah mak yang lembut dan peramah dan arwah nenek yang sangat memanjakan saya. Juga arwah sepupu-sepupu saya yang meninggal di usia muda. Mereka semua telah lama meninggalkan saya.

"Keluarga kita memang ramai yang mati muda... Kita ni, entah bila agaknya." Kata kakak. Saya terdiam. Diam yang mengakui kebenaran. Sesungguhnya ajal dan maut adalah di tangan Tuhan. Tapi kita harus sentiasa bersedia.

'Ya Allah... bantulah aku untuk sentiasa memperbaiki amalanku sehingga tiba masa aku kembali padaMu.'


Edit : Saya baru menziarahi blog hamka (keretamayat). Dia juga bercerita ttg kematian di bulan akhir Ramadhan dan Syawal ini. Semua orang tahu yg 'life goes on' but.... 'death goes on?'

Memang kematian tidak memilih siapa. Munculnya tak mampu diramal. Kita punya pilihan sebelum mati. Maksud saya pilihan untuk sedar dan berubah atau tidak. Apa pilihan kita?

Oct 7, 2008

Kad Raya

Dari Azza

Dari Ibnurashidi



Dari Lawa


Terima kasih semua. Su benar-benar hargainya. Maaf sbb lambat ambik. Sibuk beraya la. Dan maaf, Su tak de kad nak balas. Huhuhu...

Sep 27, 2008

Syawal oh Syawal...



Salam Ramadhan penuh keberkatan...
Dan selamat bersedia untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang.

Ucapan ini saya tujukan buat semua pengunjung blog ini, yang saya kenal dan tak kenal, yang kenal saya dan yang tak kenal saya juga....

Seboleh mungkin saya cuba untuk tidak menyakitkan hati sesiapa, namun saya perlu akur bahawa tanpa saya sedari dan sengajakan, mungkin ada hati-hati yang tercalar akibat kata-kata saya. (Ada ke?)

Lalu sedaya upaya saya cuba untuk melayangkan dan menayangkan permohonan maaf saya di tempat-tempat yg saya selalu singgah. Namun masa dan kesempatan yang ada begitu terbalas. Mungkin saya tak dapat nak berkelana dari satu blog ke satu blog untuk menyusun kata dan memberikan ucapan.

Jadi disini saya ingin melontarkan (macamlah kata-kata tu berketul-ketul, boleh dilempar. hehe...) ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin (standard ucapan dlm kad raya. Biasa lah tu...) kepada semua.

Ini pantun raya yg saya jaja kat rumah kekawan blogger (mana yg sempat je lah... huhu)

Salam Ramadhan penuh keberkatan
Salam Syawal yg bakal menjelang
Andai salah kemaafan dipohonkan
Moga rahmat Allah terus berkekalan.

Ucapan tambahan;
Sebulan Ramadhan dah puasa sakan,
tiba masa nak beraya dan makan,
tapi jangan sampai semua benda nak ditelan,
hanya pesanan, ingat-ingatlah jugaklah kat Tuhan.
(Ingatan untuk saya sebenarnya nih...) ;)

Nota : Tika n3 ini di terbitkan, mungkin saya sedang sibuk mengejar dan memintas ayan dan itek di kampung untuk di jadikan hidangan berbuka puasa. Mungkin juga saya sedang memanggang ikan terubuk bersambal sambil memasak sup kaki lembu (sup gear box).

Ini adalah n3 yang dischedulekan lebih awal. Bukan apa, kadang kesibukan kerja datang tanpa di duga dan saya tak mahu terlepas menghantar n3 terakhir dalam bulan Ramadhan ini.

Sep 26, 2008

Kemaafan bonda.

Satu hari di pagi raya.

Mak menarik tangan nenek. Memimpinnya masuk ke bilik. Hairan. Apa yang rahsia sangat sampaikan diajaknya nenek ke bilik. Aku memerhati dengan hujung mata, tanpa bersuara untuk bertanya walaupun fikiranku sarat dengan pertanyaan.

"Adik jangan masuk bilik mak dulu ya. Tunggu sampai mak keluar." Pesan kakak yang seolah tahu pertanyaan yang bermain di kepalaku. Dia menyarungkan baju ke tubuhku. Kemudian menyapu sedikit bedak ke muka.

Lamanya.
Itu yang aku rasa. Rasa ingin tahuku makin membuak-buak.

Selesai menyiapkan aku, kakak beredar ke bilik. Aku memandang langkah kakinya yang kemudiannya menghilang di sebalik daun pintu. Pandanganku beralih kembali ke pintu bilik mak. Tak langsung kedengaran apa-apa. Curiga sungguh.

Rasa ingin tahu tak mampu ku tahan lagi. Apa yang aku nak cakap kalau aku tiba-tiba masuk ke biliknya ye? Fikiranku ligat mencari alasan.

Mengintai kakak yang masih berada di bilik kami, aku mengatur langkah untuk masuk ke bilik mak tanpa mengetuk terlebih dulu. Sungguh kurang sopan, tapi rasanya itu akan memberikan aku peluang yang lebih untuk tahu apa sebenarnya yang mak sedang lakukan dengan nenek.

Aku terpaku di muka pintu.

Nenek duduk di birai katil dengan mata yang basah. Mak pula berada di atas lantai sambil jejarinya kemas memegang tangan nenek. Suara mak serak dan sayu... tangisannya beralun bersama bilah kata yang meluncur keluar dari bibirnya yang merah.

"... Halalkan makan minum Som yang mak berikan pada Som sejak lahir, halalkan titis susu yang pernah mak berikan pada Som dulu. Maafkan kekasaran Som kalau ada ketikanya suara Som agak tinggi dari biasa..." Sendunya bersilih ganti.

Aku menutup pintu perlahan.
Tak pernah aku melihat mak menangis seperti itu.

"Adik!!" Panggil kakak bernada amaran bila dia sempat melihat aku memegang tombol pintu.

"Err... Adik nak ambik gelang dengan mak." Aku memberi alasan. Rasa bersalah menyerang diri. Kakak tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Melihatkan kakak yang tak langsung marah, aku memberanikan diri untuk bertanya bagi memuaskan hati; "Kak... Kenapa mak dan nenek nangis?"

"Hari ni kan hari raya. Pagi macam ni, selalunya mak memang akan ajak nenek masuk bilik untuk mintak maaf dengan nenek." Jelas kakak ringkas.

Aku diam.

Mataku kembali menatap majalah di depan mata.

"Mak.. maaf ye kalau saya ada buat salah. Kira kosong-kosonglah ye!?" - Petikan kata-kata dalam salah satu artikel dalam majalah Anis yang membicarakan tentang kemaafan di pagi raya.

Begitukan orang sekarang meminta maaf di pagi raya dengan ibubapa? Aduh... berbeza sekali dengan cara arwah mak. Lembut dan syahdu. Mungkin bukan semua, tapi pasti ada yang mengucapkan kalimah penuh erti itu dengan nada bersahaja dan selamba.

Aku terfikir, andai arwah masih ada, adakah aku mampu lakukan seperti dia? Penuh ikhlas dan begitu berbekas.

Lakukan begitu dengan mak mertua? Ahh... tak mungkin sama perasaannya.

Baru kini aku faham kenapa mak bawa nenek ke bilik. Mahu bersendirian dengan nenek. Untuk mengumpul kekuatan menguasai perasaan. Itu tanggapanku.

Rinduku pada arwah mak terkumpul semenjak 21 tahun yang lalu. Masih sama. Tak mungkin ada pengubatnya. Hanya ingatan pada Allah yang menjadi penawar hati yang lara.

Pandangan mataku kabur oleh air mata yang hampir melimpah. Selamat hari raya mak!

Sep 23, 2008

Antara Sedih Dan Syukur.




Lailatul Qadar.
Sedih. Syukur.

"Malam ni sejuk semacam je. Rasanya mungkin malam ni lah." Kata Haji Jamulus semasa di tangga masjid. Ramai yang menjangkakan malam lailatul qadar tahun ini jatuh pada malam 21 Ramadhan. Itu bisik-bisik yang saya dengar dari makcik-makcik yang saya temui di masjid.

11.45 malam.
Saya menjengok ruang solat di tingkat bawah. Kelihatan ramai sekali pelajar tahfiz yang masih berkumpul, cuba untuk menghabiskan bacaan Quran 30 juzuk dalam masa kurang lebih 24 jam. (Mereka bermula awal pagi. Saya sempat mengikuti bacaan mereka untuk Surah Al-Baqarah sebelum saya beredar untuk meneruskan tuntutan lain yang perlu diselesaikan.)

Malam ini juga, orang-orang biasa seperti saya kelihatan lebih ramai berbanding hari yang lepas. Masing-masing tenggelam dalam alunan bacaan kitab suci dan zikir munajat.

"Ish... Su rasa tak nak tidur je malam ni." Kata saya pada suami sambil langkah terus diatur menuju tempat parking. Dia diam.

"Tapi esok nak bangun awal. Kalau tak tidur, takut pulak tak terjaga terus untuk qiamullail." Tambah saya lagi. Hati berbelah bagi. Nak tidur dan bangun awal atau nak cuba untuk tak tidur. Bimbang kalau saya akan tertidur terus hingga ke subuh lalu terlepas qiamullail bersama adik-adik tahfiz. Bimbang kerana mengejutkan suami adalah tugas saya.

"Sebaiknya tidur dan bangun awal. Nak solat tahajjud kan kena tidur dulu." Saya akur.

12.15 pagi.
Mata cuba dipejam tapi fikiran masih sedar. Tidurlah mata, esok kan nak bangun lagi. Saya memujuk diri.

1.45 pagi.
Terjaga. Ahh.. Masih awal. Jam dikunci pukul 3 pagi.

2.20 pagi.
Tersedar. Tapi badan lemah sangat. Mungkin sebab baru sekejap terlena.

3.00 pagi.
Tersedar oleh bunyi alarm. Bangkit dan terus ke bilik air. Perut rasa memulas. Lama jugak saya bertapa dibilik sempit. 15-20 minit rasanya. Sedangkan masa itu emas.

3.45 pagi.
Sampai di masjid. Qiamullail yang dipimpin oleh pelajar Tahfiz terus bermula.

6.40 pagi.
Pulang awal walaupun ada kuliah Subuh sedang berlangsung. Abang pula sakit perut dan rasa nak muntah. Salah masakan saya agaknya. Saya pun sedikit pening. Kurang tidur barangkali. Balik nanti, tidur pasti di sambung kembali.

9.00 pagi.
Saya tersedar dari tidur. Langit begitu tenang dan suram. Lain sekali suasananya. Mendung tapi tak berawan. Mungkin benar semalam ialah malam keemasan yang ditunggu ramai umat Islam.

Tiba-tiba saya rasa sedih.
Saya tak patut tidur semalam.

Sedih sangat.
Patutnya bila saya tersedar, saya bangun walaupun hanya sekejap saja mata lelap.

Saya punya banyak permintaan dan impian untuk disebutkan pada Ar-Rahman. Dan saya ingin sekali ianya dikabulkan. Mahu ia jadi kenyataan. Saya juga mahu mohon keampunan atas dosa-dosa menimbun yang saya pernah lakukan.


Saya insan yang sering membuat kesilapan. Dan hanya Allah tempat saya mengadu, hanya Dia yang tahu betapa dada saya sarat dengan rasa bersalah dan berdosa atas segala kesilapan yang saya sengajakan dan tidak sengajakan. Saya mahu mohon keampunanNya... mahu minta perlindunganNya. Lindungi saya dan keluarga dari kejahatan dan kelalaian dunia.

Saya mengharapkan Ramadhan ini saya akan temui keajaiban yang sering diceritakan. Melihat pohon-pohon tunduk menyembah bumi mungkin. Agar saya tahu bahawa itulah antara waktu yang Allah tak akan tolak permintaan hambaNya. Dan saya mahu memperdengarkan segala keinginan dan harapan saya.

"Sekurang-kurangnya kau boleh puasa dan solat. Aku nih, cuti terpanjang pulak kali ni. Doa dan zikir je yang aku boleh buat." Kata teman lama yang saya hubungi semalam. Syukur mula mengambil ruang dihati.

Dan hari ini, dalam kesibukan tugasan yang ada, saya mencuri masa menjengah beberapa blog untuk mencari motivasi bagi meneruskan usaha mengejar keistimewaan Ramadhan yang masih tinggal seminggu saja lagi.

Hati saya lega bila membaca tulisan Ustaz Zaharudin.
Syukur Alhamdulillah. Jangan kita bazirkan masa Ramadhan yang masih ada.

'Ya Allah... berikan aku kekuatan dan ketahanan diri untuk meneruskan perjuangan menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya...'
Keazaman. Mampukah saya bertahan hingga ke akhirnya?

Sep 16, 2008

Rezeki yang 'pulang'


Teringat zaman dikampung dulu. Buat satu kueh atau lauk dgn banyak, kemudian akan ada ahli keluarga yang ditugaskan untuk menghantar pinggan yang berisi tu ke rumah jiran dan saudara mara. Selalunya saya le. Balik nanti, pinggan tak kosong. Diganti dengan kueh atau lauk yg lain.

Sudahnya bila tiba waktu berbuka, meja terhias indah dgn makanan yg pelbagai. Rezeki yg 'dipulangkan' memang menambah kemeriahan Ramadhan.

Hidup di bandar mungkin sedikit berlainan. Kesibukan memang membuatkan ramai yang meraih rezeki dan membuang rezeki di bazaar Ramadhan. Tapi itu rezeki masing-masing. Bila ada yang menjual, maka adalah yang membeli. Dan bila ada pembeli, maka ramailah penjual yang mengambil peluang berniaga utk menambah rezeki. Harapnya mereka tak lupa pada Tuhan Yang Maha Pemberi. Merebut peluang untuk mengumpul 'rezeki' utk akhirat juga!

Alhamdulillah, sepanjang 2 minggu lebih berpuasa, hanya sekali saya dan suami ke bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Program ziarah bazaar Ramadhan untuk diri saya tak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Saya masak biasa-biasa je, tapi abang tetap berselera.

Keazaman memperbaiki Ramadhan kali ini berbanding dengan yang lepas, membuatkan saya tak berselera nak ke sana. Sungguh ia pemberian dari Allah. Memberikan rasa cukup pada keperluan saya dan mengekang nafsu perut dan mata. Saya tahu susah nak menolak keinginan membeli bila melihat juadah yang pelbagai warna.

Malah selepas terawih pun, sebelum tadarus bermula, saya akan 'berpiknik' dalam 10 minit dgn suami disatu sudut masjid untuk minum dan menyantap baki kuih masa berbuka yang saya bawa bersama. Indah sekali perasaannya. Lebih indah dari piknik di Pantai Irama. Syukur Ya Allah...

'Murei' (betul ke ejaan ni?)mmg disediakan pihak masjid, tapi saya tak pernah sertainya. Memikirkan masa yang nak dipadatkan dan pembaziran yang nak dielakkan, saya memilih untuk berbekal.

Kembali kepada budaya memberi di Ramadhan ini, weekend (2 minggu) lepas saya cuba praktikkan di sini. Minta tolong abg untuk hantar pada jiran-jiran... Dan hujung minggu lepas, saya buat lagi. Menu yang lain pula. Abang masih diberikan tugas yg sama. Menghantar kuih pada jiran-jiran. Tapi kelakarnya, mereka (para suami) bertembung sesama sendiri semasa nak menghantar kueh muih...

Penuh meja saya hari tu. Senyum pun melebar. Alhamdulillah, budaya memberi masih wujud. Cuma perlu memulakannya.

Pengumuman:
Malam ini di Masjid Negeri Shah Alam (MSSAAS) akan diadakan ceramah dan qiamullail sempena Nuzul Quran.
Ceramah oleh Ust Wan Sohor Bani Leman selepas solat terawih.
Qiamullail pula bermula pukul 4.00am di MSSAAS (Masjid Negeri Shah Alam) akan dipimpin oleh Kpt Zulkarnain Hamzah. Sahur disediakan oleh pihak pentadbiran masjid.

Nota :
Mampukah saya untuk bangun berqiamullail? Moga Allah berikan kekuatan, jauhkan malas dan ringankan mata... InsyaAllah, sebelum ni pun, setiap hari saya memang tidur antara pukul 1 pagi dan bangun pukul 4.45 pagi untuk siapkan juadah bersahur. Bangun awal sejam, rasanya tak susah sangat. Mohon bantuanMu Ya Allah...

Sep 15, 2008

Satu kisah tanpa tajuknya....

Assalamualaikum...

Saya ingin kongsikan satu kisah yang amat menarik. Gambaran kehidupan muda mudi masa kini yang amat membimbangkan. Ianya diforwardkan pada saya tanpa sebarang rujukan. Malah tajuknya pun tak ada. Apatah lagi penulisnya.

Saya ingin berkongsi pengajaran dan perasaan tika membaca kisah ini walaupun saya terfikir yang mungkin tak patut saya siarkan karya tanpa mendapat keizinan penulisnya. Tapi membiarkan ianya bertapa di inbox saya, rasanya begitu membazir. Apatah lagi saya memang suka kisah yang mempunyai nilai pengajaran.

Andainya ada sesiapa yang membaca cerpen ini tahu siapa penulis asal atau sumbernya, diharap dapat memberitahu saya. Ingin sekali saya mengucapkan tahniah kepada penulisnya....
***************************************

Berdosakah
Jika mereka dibiarkan tertimbus
Sedang menanti diriku sempurna
Bagai menanti sesuatu yang takkan tiba
Melihat mereka terus-terusan menggali lubang kemurkaan Tuhan,
Lantas memekakkan telinga menafikan kebenaran mata
Umpama menempah tempat tidur dalam kebencianNya
Mengeluarkan warkah nasihat
Seolah menyiat kepercayaan sahabat sendiri
Tersepit
Sahabatkah?
(Sahabat tidak meninggalkan sahabatnya)
Rimas

I
Hari-hari yang berlalu cukup merimaskan. Seolah ingin pulang ke sekolah lama. Sekolah yang majoriti pelajarnya tidak mengakui ketauhidan yang Esa. Paling tidak dia mampu mengerti mengapa remaja di situ selalu menghilang tiap kali pemeriksaan dijalankan, bahkan cukup kagum dengan kehandalan menghilangkan diri tiap kali serbuan dilakukan. Cukup faham sebab mereka mendiami parit belakang waktu pembelajaran, dengan asap-asap yang menyesakkan. Tahu faktor mereka mengeluarkan kata-kata kesat kala ditegur penjaga asrama. Gelak tawa mereka mempersendakan pelajar yang dinilai sebagai ulat buku. Manusia-manusia jahil itu memang dimaklumi kebutaan hati mereka. Diterima kekurangan keberanian mereka dalam menerima hidayah. Mereka mungkin masih tidak memperoleh penyampaian ilmu daripada mana-mana sumber (hatta dirinya).

Tapi insan-insan bertuah di bumi ini...? Naik muak jiwanya yang sudah sedia sebal. Kadang-kadang lebih kuning daripada manusia yang mengamalkan budaya kuning itu. Seolah-olah lupa erti perkataan `Islam' itu. Seperti lambat menyerap makna `Melayu' itu.

"Nak ikut?" Hafizi menyedut rokok, dalam. Entah sedar atau tidak darah yang mengalir dalam pembuluh itu ada Penciptanya.

"Huh?" Ezeqiel tersentak. Merentap pandangannya dari jendela ke wajah kurniaan Pencipta di sisinya. Lampu masih merah. Tidak dengar barangkali alveoli miliknya juga meraung-raung.

"Clubbing malam ni. Last night was a blast!" asap dilepaskannya bebas ke udara. Jin-jin di sekitar menari kesyukuran. Rezeki...

"Oh," dia mengangguk mengiyakan. Raut muka ditarik tenang biar dia keliru. Hafizikah nama lelaki di sisinya ini? Pemimpin Islam masa depankah ini?

"Aku rasa kau dah seminggu memerap dalam bilik belajar. Cuti lama lagi! Aku rasa kali terakhir kau keluar mungkin 3, 4 tahun lepas haha.. Tak pernah nampak kau kat mana-mana," Hafizi senyum. Terbayang-bayang indahnya malam kota dipeluk nikmat di Espanza.

Ezeqiel menekan pedal sebaik lampu bertukar rona. Kadang-kadang rasa tersepit. Mahu menegah, ingin sekali tapi itu bukan prinsipnya. Dia tahu hati manusia seperti ini. Lagi dilarang lagi dilaku. Mahu menurut, dia enggan. Mahu menasihati, dikhuatiri tidak mampu diterima.

"Zaman meronda dari bilik ke bilik malam tadi," terngiang-ngiang suaranya dua minggu sudah. Tergambar wajah bersih milik Zaman, pelajar yang aktif berdakwah di luar kolej. Kagum Ezeqiel dengan kesungguhan Zaman.

"Dia datang jugak bilik aku," Hafizi menyahut. "Aku malas nak dengar, keluar je," sambungnya. "Daripada cakap belakang, baik aku tunjuk aku tak suka," terangnya lagi. Dia tak suka senyum di depan, mencaci di belakang. Itu bukan Hafizi. Ramai yang kononnya menerima inti yang cuba Zaman sampaikan, tapi di belakang, segala macam sumpahan yang dilemparkan. Tunjuk alim, ingat kita ni di zaman batu, kolot...

"Tapi betul jugak apa yang dia cakap," Ezeqiel cuba meyakinkan. "Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..." Kalau tak paksa sampai bila-bila begini!

Hafizi diam sebentar. "Memanglah betul... tapi bila aku tengok dia macam tu, aku takut. Macam susah sangat je nak jadi orang baik ni..." Tergambar kopiah putih yang selalu mendiami rambut Zaman. "Kau boleh bayang tak, aku pakai jubah, jadi imam tiap-tiap hari?"

"Kau pesimis!" Ezeqiel tergelak kecil. "Baik tak bermaksud pakai kopiah semata. Lagipun, sampai bila kita nak terus macam ni..."

Hafizi mengeluh. "Aku tau. Tapi, ah, nantilah... Aku tak sedia lagi..."

Biarpun kematian itu sentiasa mengejar? "Bila lagi?" Berubah, tiada kena mengena dengan orang yang menegur, masa lampau sekali juga keluarga, Hafizi, dia berbisik dalam hati.

Hafizi tunduk. "Bila orang tak lagi prejudis," katanya. Aku sendiri tak ingin mendiami lubuk rasa penuh puaka ini. Sesekali terasa diri terlalu kotor untuk kembali ke jalan pulang. "Aku tak kata Zaman, tapi sesetengah orang, pandang aku ni macam jijik sangat. Nak cakap pun tak boleh nak masuk. Macam ada dinding," katanya.

Ezeqiel menelan payah. "Dinding yang kaumaksudkan?"

"Bila orang yang menegur tu tegur sebab dia rasa dia lebih baik." Tegas dan tepat.

Ezeqiel diam.

"Malam ni kita ke Zouk," Hafizi senyum, menarik sahabatnya dari alam lampau.

II
Belum apa-apa lagi mata Ezeqiel menangkap kelibat lelaki yang terbaring di kawasan parkir. Huh. Perkara lazim. Kejang. Dia menggeleng. Kalau nasib baik, dua atau tiga jam. Kalau dari subuh sampai ke senja seperti Adam dulu, tanggunglah. Datangnya tak kira masa. Tapi jika sudah begitu berani acap kali menelan, beranilah pula untuk sekali-sekala merasa. Dan kalau tak serik lagi, Ezeqiel senyum kecil. Adzmin di sebelahnya menggeleng. Sakit satu hal, malu satu hal lagi...

Dari dalam kereta dia resah. Menyesal tak sudah... terseksa hatinya membiarkan keretanya dikenderai ke tempat sebegitu. Jalan Ampang yang hidup sedari tadi semakin hangat dibanjiri manusia. Ezeqiel menarik langkahnya. Terkadang rasa bosan. Dia sudah muak sebenarnya mencampuri situasi ini. Terasa bebalnya mereka yang berniat mencari ketenangan di celah kemurkaan Tuhan.

Hafizi di sisi tak luak dengan senyuman. Terasa bangga menjejak tanah maksiat ini. Kagum kerana melanggar suruhan Fikri. Sesekali peristiwa itu menimbulkan kemarahan dalam hatinya.

"Sekali lagi aku tahu kau balut weed ni, mampus kau!" terdengar suara kasar Fikri di gegendangnya. Petang itu entah bagaimana Fikri boleh datang ke rumah sewa Robert, teman sekelasnya.

"Asal cuti, sinilah syurga kau, kan?" puas agaknya hati seorang abang melihat pipi adiknya merah ditangankan sendiri.

"Kau ingat aku tak tau, Glow, Thai Club, tempat-tempat haram yang kau pergi tu? Aku tunggu masa ibu takde je, tau tak? Kau ni ada agama ke tak?!" mulut itu masih terus-terusan memuntahkan panah. Disabarkan hati, berkali-kali diingatkan, lelaki itu sembilan tahun lebih tua daripadanya. Lelaki itu abangnya. Dan lelaki itu tak tahu tekanan yang dia hadapi. Fikri anak kesayangan. Fikri anak yang baik. Selalu dibangga-banggakan. Sering menurut kata. Gemar duduk di rumah. Sedang dia, takkan mampu menjadi Fikri. Dia anak terbuang.

Sedari dulu, semua kesalahan akan dilemparkan ke mukanya. Keputusan peperiksaan tak pernah menyenangkan. Fikri sentiasa lebih baik daripadanya. Jika keluar malam ke rumah teman, dituduh panjang kaki. Terjumpa abu rokok dalam kereta, dia dituduh menghisapnya. Sesekali terasa kebenaran berkawan dengan tukang besi, terasa juga panasnya. Tapi dia masih bijak mengawal diri. Masih, ke mana pergi mesti diberitahu. Pulang sebelum waktu yang ditetapkan. Dia 17 ketika itu, tapi terasa seperti tujuh tahun! Takkan ibu dan ayah mengharapkan dia akan menjadi seperti Fikri? Mengharapkan dia ke surau selalu? Macamlah ayah selalu ke sana! Dia seorang yang non-conformist (jika masyarakat masih meneruskan adat mengikut peraturan). Dia tak sukakan protokol. Tapi bukannya dia tinggalkan solat, macam ayah.

Mungkin dia seorang yang ekstrovert, gemar mencari teman. Tapi bukannya dia bergaul bebas. Dia mahu berteman cuma. Siapa yang mahu memahaminya di rumah itu? Ibu sentiasa sibuk dengan persatuan yang entah apa fungsinya. Menjadi pemangkin keretakan rumah tangga mungkin. Ayah selalu di pejabat. Fikri lebih senang dengan komputer dan buku-bukunya. Semua kesalahan diletakkan di atas pundaknya.

Terkadang terbetik persoalan di hatinya, Fikri benar-benar memarahinya kerana menyayanginya, atau kerana Fikri rasa lebih hebat? Fikri fikir dia tiada perasaan? Bosan dituduh, alang-alang dikata, biar dia laksanakan. Biar dia panjang kaki. Biar dia kenal erti rokok. Mereka yang mulakan. Biar dia teruskan. Biar sakit hati Fikri.

"Aku tak minum," terdengar suara Ezeqiel menolak apabila Aizad menghulurkan segelas minuman yang dicampurkannya sendiri. Hafizi lirik botol di sisi jag Coke. Jack D? Heh. Dia senyum. Patutpun.

"Aku minum," katanya kepada Aizad. Terasa pandangan Ezeqiel menegah, namun diendahkannya. Biar kata-kata Fikri jadi realiti. Fikri memang selalu menampar mukanya dengan tuduhan mabuk, biarpun dia bersumpah dia tidak pernah meneguk air najis itu. Biar malam ini kata-kata Fikri jadi suatu fakta baru. Dia puas.

Muzik semakin rancak. Ezeqiel semakin pening melihat rakan-rakannya meneguk racun itu. Memerhati benci Adzmin yang tersenyum menelan pil-pil kecil yang ditakuti neuronnya sendiri. Seolah-olah kisah silam menari-nari di depan matanya.

III
Resah. Galau. Kacau.

Macam mana postinor tak jalan? Ah. Bingit.

"Saya telan lewat sedikit" gadis comel itu tampak tenang, tak menggambarkan kecut hatinya. "Mungkin sebab itu.."

Ezeqiel mundar-mandir. Entah siapa ayahnya, perempuan ni pun mungkin tak pasti. Aku apa cerita? Takkan mama nak anak tu? Dah tu... takkan nak gugurkan?

"Tak mengapa. Saya faham." Veronica tunduk. Malam itu dia menelan aramin 5, namun dia cukup pasti memang Ezeqiel yang bertanggungjawab. Dia terdesak, buntu. Dan kini dia sendiri tertanya-tanya mengapa dia menceritakan semuanya kepada lelaki itu. Dia tahu Ezeqiel kaki perempuan tapi dia sendiri tak punya kekuatan untuk menerima kelahiran itu. Jika perkara ini diketahui bapa tirinya, dia pasti akan dibelasah. Untuk membeli setin beer pun terpaksa peras dari ibu, inikan pula menanggung seorang cucu! Tapi takkan kerana itu dia harus belajar membunuh nyawa yang tak berdosa?

"Saya.. perlu pergi," perlahan suara Veronica. Dia bangun meninggalkan Ezeqiel sebelum lelaki itu sempat berkata apa-apa.

Ezeqiel hanya mampu membiarkan. Serasa ingin diputar masa. Serasa ingin dicampak botol Swing yang ditaja entah siapa di parti haram itu. Memaki-maki polis yang malam itu tidak pula mengadakan serbuan. Jiran-jiran buang tabiat, sudah serasi dengan muzik berdentum barangkali. Menyalahkan rakan-rakan yang menariknya ke parit belajar mengenal rasa Heineken tatkala pelajar lain mengenal istilah saintifik. Menyumbat sistem saraf dengan up john dan red camel dan entah apa-apa biji lagi. Memarahi peraturan sekolah berasrama yang terlalu menekan (tapi tak pernah pula terfikir untuk menghukum diri sendiri).

Dia bangkit, pantas. Meninggalkan perempuan itu sendirian sudah cukup menambah rasa berat di hatinya. Paling kurang biar dia yang sediakan wang untuk wanita itu - sama ada untuk gugurkan, atau... dia sendiri tak sanggup nak teruskan. Untuk membesarkan zuriat yang dikatakan anaknya itu... ah, dia sendiri jahil membezakan perasaan gentar membunuh nyawa suci atau menggendong tanggungjawab!

Belum sempat keluar dari rumah, Ezeqiel terdengar dentuman yang maha kuat. Dia gegas berlari. Sebuah treler sebesar raksasa terperosok ke arah sebatang pokok, di bawahnya darah merah yang likat mengalir. Dan sekujur tubuh yang berbalutkan blouse yang baru dilihatnya tadi, terbaring lesu.

Tuhan!

Entah dari mana kalimah itu hadir. Begitu lama rasanya lidah itu kelu dari menyebut perkataan keramat itu. Terasa dalam mimpi. Mimpi di mana nafasnya tersekat. Nyawanya melayang. Meninggalkan mama dan papa. Melepaskan zaman kanak-kanaknya. Melepaskan rakan-rakannya. Melihat mereka tertawa dalam alam khayal, mempersetankan pemergiannya, mengendahkan julang api yang kian meninggi, yang semakin menghampirinya.

Tuhan!

IV
"Kau dah gila?" terkejut Hafizi dibuatnya.

Belum sempat syaitan bergolek bangga membuatkan manusia meneguk hasil kumuhannya, Ezeqiel bingkas menarik tangan Hafizi. Air najis itu tumpah membasahi lantai.

"Aku nak balik," perlahan suaranya.

Aizad bangun. "Eh, enjoy..."

"Aku nak balik," pintas Ezeqiel. Dia separuh mencampak kunci kereta sebelum bergegas ke luar. Dia semakin mual. Bukankah dia pernah berjanji dulu?

Dari jauh kelibat Adzmin yang sedang asyik menari diseret sayu. Aizad kembali duduk. Terbayang-bayang wajah remuk Veronica yang beberapa saat sebelum itu begitu sempurna.

Tuhan!

Dia menapak di tengah lautan kereta.

Kau sepatutnya lebih kuat! Bukan lalang!

Betapa rela dirinya mendiami Gua Kahfi! Daripada punya iman namun tak punya kekuatan menjananya ke dalam diri teman-teman. Punya diri tapi tak punya kepimpinan.

"Ezeqiel!" Hafizi tercungap-cungap memaut bahunya. "Kau ni kenapa?"

Ezeqiel berhenti, merenung mata Hafizi. Tajam. "Aku sayang kau. Tinggalkan semua ni," dalam kepalanya kata-kata Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berlegar-legar. "Tak perlu kaukisahkan apa orang lain fikirkan, jangan jadikan keluarga sebagai pembatas, kalau mahu kau sendiri yang perlu membuat langkah," bergetar-getar dilafazkan satu per satu kepada Hafizi.

"Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..."

Hafizi terpempan.

Dan katakanlah (wahai Muhammad)): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (Al-Kahf: 29)

bandar sungai buaya
june 4th 2006
4.10pm