Sep 30, 2018

Jalan Ke Syurga - 6


Sungguh bagai di kata... hanya mengambil masa sesaat untuk terluka, tapi mengambil masa yang lama untuk menyembuhkannya.

Bagai memujuk anak kecil, kata2 yang diluahkan kedengaran agak janggal bila diaplikasikan dalam keadaan sekarang. Tapi biarlah, tak salah jika mencuba, kan?

Faham benar apa yang dirasai. Kerana bagi wanita yang sama-sama bergelar isteri, lebih mudah menyelami hati.

"Sabar ya ma...." tangannya masih dalam genggaman. 

"Su tak mahu pertikaikan siapa yg betul atau salah dalam hal ni. Dah nak jadi, tak perlu perkara besar pun untuk jadi penyebab." Pandangan matanya di tundukkan. 

"Ma.... Ma maafkanlah ayah ya.... dan mintak ayah supaya maafkan ma jugak. Bukan sebab ianya salah siapa2. Tapi maaf tu perlu untuk pulihkan keadaan..." Merayu dan merayu. Aduhhh... payah sungguh untuk menghuraikan. 

"Boleh kan ma? Lupakan apa yang dah terjadi. Kalau sakit tu ada lagi, katakan dalam hati, niatkan apa yg ma buat tu kerana Allah... kerana matlamat akhir kita adalah syurga...." semoga ungkapan itu mampu menurunkan suhu hatinya. 

"Su bukan nak ajar ma pasal hidup. Cuma bila hati tengah panas, kita mudah lupa apa sebenarnya yang kita nak."

Ma masih diam. Aduhai... sukar nak dijangka apa yang berlegar difikirannya. Tapi diamnya itu memberi harapan. Diamnya itu mungkin kerana sedang cuba menghadam apa kata-kata yg dilimpahkan tadi.

"Su pun bukannya tak pernah gaduh. Tapi setiap kali Su marah atau sedih, Su ingat harapan ma dan ayah utk lihat kami bahagia. Su istighfar dan maafkan dia." Mana ada hubungan yg sempurna dlm rumahtangga. Tapi dia lelaki yang dipilih untuk memenuhi ruang hati dan menyandang gelaran suami, yang mana akad telah dimeterai, ikrar janji untuk susah senang sama2 dihadapi, jadi seharusnya apa jua dugaan yg datang, seboleh mungkin harus bertahan. 

"Lelaki payah nak mintak maaf ma, apatah lagi bila dia rasa dia tak salah. Tapi biarlah... Su yakin sangat2, yg Allah akan bantu hilangkan rasa sakit, marah dan sedih dalam hati, bila kita niatkan segalanya kerana Allah." Bimbang benar jika disangka cuba mengajar, sedangkan pahit manis kehidupan sendiripun belum cukup asam garamnya. 

"Malam ni, ma tenangkan hati ya. Istighfar banyak2... baca bismillah bila masuk bilik... baca ayat yang kita selalu baca dalam sujud terakhir solat tahajjud. Mohon Allah buka jalan keluar dari masalah ni..." pesanan demi pesanan diulang, ibarat seorang ibu menasihati anak yang nak masuk exam.

"Niatkan semuanya kerana Allah ya ma..." tiada kata yang terkeluar dari bibirnya. Nafas ditarik dalam, seolah mencari kekuatan yang hilang, dan keluhan berat dilepaskan, seolah cuba melepas keluar bahang yang menyesakkan.

"Sekarang... ma masuk bilik dan tidur ya! Percayalah... ayah dok tunggu ma masuk tu. Esok, bila ma bangun, in shaa Allah, hati ma akan tenang dan segala perasaan negatif dalam hati ma akan hilang lenyap." Bahunya disentuh mesra. Andai ada aura positif yg boleh dialirkan, nescaya disalurkan kekuatan sebagai bekalan. 

Adakala bila hati terusik dan terluka, jangan dikaji siapa yg memulakannya, jangan diselidik ianya salah siapa. Kerana ia hanya akan memudaratkan lagi keadaan yg sedia ada. Kita hanya perlu memandang ke depan, membetulkan semula matlamat yang tersasar, mengilatkan kembali niat yang mungkin pudar. 

"Su sayang ma dan ayah... Su nak kita sekeluarga kekal bahagia sampai ke hujung nyawa, sehingga ke syurga... in shaa Allah..." Perlahan susuk tubuh tua itu ditarik, dipeluk kemas dengan iringan mata yang mula basah. 

Moga dengannya, kusut yang menyesakkan dada dan minda dapat dirombak.

Ma meleraikan pelukan. Dengan wajah yang mulai jernih dan pandangan mata yang membayangkan kegugupannya, perlahan2 dia menggagahkan diri untuk bangun. Ibarat pengantin baru yang mahu melalui malam pertama, ma memulakan langkah menuju bilik yang terbuka dengan seribu satu rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata2. 

Langkahnya diiringi doa. Suami yang tersandar di ruang tamu mengangguk dengan senyuman.

Langsir diselak perlahan dan daun pintu pun ditutup. 

Ya Allah... permudahkan urusan mereka.

~♡ bersambung ♡~

Sep 24, 2018

Jalan Ke Syurga - 5


Suram malam tanpa suluhan bulan memang melemaskan. Celik atau pejam, warna sekitar tetap hitam. Sesak nafas bila ada bayangan melintas. Cemas. 

Suram di hati juga sama. Bayangan ngeri tentang segala kemungkinan terus bertandang. Silih berganti.

Walaupun berpuluh tahun menyemai kasih dan sayang, tapi tak mustahil ia akan hilang dek salah faham yang tak dapat dihuraikan. 

Gelisah melihat ma yang tak mahu mengalah. Cemas. Lemas. Terasa seolah udara malam ini kekurangan oksigen.

Aku tak berganjak. Kalau perlu tidur di sofa ini dengan ma, akan kulakukan. Biar ma rasa tak selesa bila aku menempel dengan dia dan membiarkan anaknya, suamiku lena sendiri. 

"Ma... Su suka sangat tengok ma layan ayah. Jaga makan minum ayah, teman ayah pegi mana2 dan bercerita semua perkara dengan ayah." Aku menyambung bila sunyi kembali menyelimuti. Ruang untuk aku berkata2 terbuka luas. Mampukan aku untuk menyentuh hati dan mindanya?

Ya Allah... Tolong.... 

Terbayang di mata, segala layanan istimewa ma pada ayah.... Isi ikan dicubit, diasingkan tulangnya dan diletakkan di pinggan ayah. Persis memberi makan pada dimanja yg belum pandai makan sendiri. 

Ma sentiasa memasak lauk kegemaran ayah, kadang tu sehingga mengabaikan keinginan sendiri. 

"Hari ni ayah ada majlis kat masjid, bolehlah ma masak singgang ikan, makan dengan ikan pekasam!" Berselera ma makan. Bertambah2. Sesekali berpeluang juga memenuhi keinginan sendiri.

Daging panggang akan dihiris nipis, untuk memastikan ayah dapat makan dengan mudah.

"Uishh... tebal nih... Ayah tu gigi tinggal beberapa batang je tapi nak jugak makan daging. Kena hiris nipis sama macam nak bagi makan kat budak2 la jugak... Bak sini, biar ma je buat..." katanya sambil mengambil pisau dari tanganku dan mula menghiris.

Aduhai, layanan ma pada ayah memang superb!

"Ma dan ayah selalu jadi rujukan anak2, adik beradik, sedara mara, jiran2 dan kawan2. Su kagum. Memang contoh terbaik bagi Su. Pasangan yang ideal." Mengumpan lagi. Cuba menjinak hatinya dengan pujian, menyuarakan seikhlas mungkin pendapatku tentang mereka.

"Su harap sangat, jangan sebab perkara kecik macam ni, ma dan ayah rosakkan imej tu." Sambungku lagi. Sayu....

"Su tak faham hati ma. Sakitnya dah lama. Dah tak boleh tahan lagi dah..." Luahnya memberi alasan. Jelas mendedahkan hati wanita yang terluka. Penuh emosi.

"Su faham ma.... Bila dah lama sangat ma bersabar, sakit tu terkumpul, memang pedihnya lebih dari biasa." Cuba untuk menunjukkan empati. 

"Tapi Ma... hidup kita tak lama. Muda atau tua, sampai masa kita akan mati. Sakit itu tak akan kita bawa dan tak akan kita ingat lagi bila nyawa dah putus dari badan." Dia diam. Mungkin memikirkan ke arah mana sebenarnya perbualan ini nak ku bawa. 

Merenung balik punca pergaduhan ini, membuatkan aku yakin, ia menjadi separah ini kerana hembusan syaitan. Makhluk yang tak senang melihat tenang dalam hubungan, yang pernah bersumpah untuk menarik manusia untuk bersamanya di neraka dengan pelbagai cara. 

"Kita tak tahu di mana kesudahan kita; syurga atau neraka. Semua orang nak syurga. Su pun harap dapat masuk syurga, ma pun sama kan?" Diam. Ma tak memberi apa2 reaksi.

Aku bukan ustazah, bimbang jika salah bicara, akan kedengaran seperti orang yang nak berdakwah.

"Tapi kita dah lama tahu, perempuan paling banyak masuk neraka, paling mudah berbuat dosa. Amalan yg kita kumpul, belum tentu boleh bantu kita masuk syurga." Aku menarik nafas, mencari kekuatan untuk menyambung kata, meluahkan apa yang dirasa. 

Teringat kisah orang alim yang bangga dengan ibadat yang dilakukan, tapi sudahnya ke neraka juga sudahnya akibat terpengaruh dengan bisikan syaitan. Kita...? 

Terasa kerdil. Sebak sendiri.

"Tapi Su tahu cara mudah utk masuk syurga. Ma pun tahu... Syurga isteri terletak pada suami, dihati suami. Jika dia redha dengan kita, in sha Allah, peluang kita masuk syurga cerah..." Tegang wajahnya mula mengendur. Harapan dihatiku bercambah.

"Ma dah hidup dengan ayah lebih dari 40 tahun. Tak kan ma nak lepaskan peluang masuk syurga hanya kerana hal sikit tu..." Sayu... Ma tunduk. Tak ada tindak balas. 

Mungkinkah ruang untuk dia berfikir tanpa dikawal emosi mula terbuka?

Harapnya begitu....

~♡ bersambung ♡~

Sep 20, 2018

Jalan Ke Syurga - 4


Serba salah jadinya. Agenda utama untuk merungkaikan kusut yang bergumpal belum menampakkan sinar. Ligat fikiran mencari pendekatan yang harus digunakan. 

Airmata itu harus diseka alirannya malam ini juga. Orang kata lidah itu ibarat pedang, mampu melukakan hati yang paling dalam. Lantas aku perlu berhati2, jangan sampai apa yang diucap memburukkan lagi situasi. 

"Su suka perhati ma dan ayah. Hubungan ma dan ayah macam2 gaya, macam2 cerita ada. Kalau lagu, macam2 rentak. Nada yg tinggi dan rendah, rancak dan perlahan... Semuanya ada. Lengkap!" Berhenti seketika, memancing reaksi. 

"Bila Su kawin dan masuk dalam keluarga ma, Su rasa hidup Su lengkap. Mak dan ayah su dah meninggal awal, Allah bagi ma dan ayah sebagai ganti. Su ada kakak. Bila Su jadi menantu ma, Su dapat abg, adik perempuan dan adik lelaki. Su rasa bertuah sangat... syukur Alhamdulillah...." Tangannya ku genggam. Berharap agar dia boleh rasa keikhlasan kata2 yang diluahkan. 

Diam. Sendunya semakin perlahan. Aliran sungai dipipi telah berhenti.

Bunyi cengkerik diluar sana sayup2 kedengaran. Itulah antara irama desa yang menjadi kebanggaan. 

"Ma dan ayah banyak ajar Su. Layan macam anak sendiri. Sebab tu Su tak kisah bila ma marah, ajar dan tegur Su, sebab Su tahu ma buat gitu sebab ma sayang. Arwah mak dulu cakap, marah tandanya sayang. Betulkan ma?" Soalan untuk mencari pengesahan. 

Pandangan matanya mula lunak. Dia melepaskan keluhan. Entah apa maksudnya...

Lama dulu, marah dan tegurannya pernah mengundang airmata. Mungkin kerana cara dan pendekatan yang berbeza dengan didikan ayah bonda. Tapi suami pandai mengubati, menjadikan ianya tak mereput dihati. Lama kelamaan, aku sudah pandai menepis rasa dan menukar pahit menjadi halwa.

"Marah suami pada isteri, atau rajuk isteri pada suami pun sama jugak. Sebab sayang...." kataku selembut mungkin. Mengharapkan perkataan itu meresap ke jiwa, membunuh serangga perosak cinta, membaja kasih di hatinya agar kembali sirna.

"Huhh..." Dia cuba menepis fakta yg dikemukakan. Tak boleh diterima akal agaknya... tak sesuai. Aduhai... mati akal kalau macam ni. 

"Takpe lah. Su pegilah tidur. Esok nak kerja. Ma tidur sini pun tak pe..." Tegas. Keras.

"Ma... jangan la macam ni..." Aku hampir menangis. Risau melihatkan situasi semasa.

"Sudahlah. Pegilah tidur!" Arahnya lagi. Mungkin dah malas nak dengar nasihat menantu yang macam tak nak faham sakit hatinya.

Fikiranku ligat mencari idea. Ini tak boleh dibiarkan. Kena bagi ruang untuk ma dan ayah berdepan dengan masalah ni. Harus sediakan peluang untuk mereka berbicara hati ke hati. Mesti pastikan mereka bersama meneroka masa lalu yg indah agar perit semalam dilupakan dengan mudah.

Solusinya, aku harus pastikan ma masuk bilik!

Kalau misi memujuk ma gagal dilaksanakan malam ini, esok mungkin marah dan rajuk ayah akan kembali. Tak sanggup membayangkan rajuk orang tua yang terluka.... yang pasti ia akan memberi kesan pada seluruh keluarga.

Ya Tuhan... berikan aku ilham....

~♡ bersambung ♡~

Sep 15, 2018

Jalan Ke Syurga - 3


Untuk ke sekian kalinya, aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Berdoa agar diberikan idea dan kemampuan untuk melunakkan hatinya dengan pujukan.

Sunyi malam semakin menghimpit. Selalunya waktu begini, kami masih seronok berborak di dapur. Ye lah, siang hari kami sibuk bekerja. Malam ialah waktu untuk semuanya. Bercerita tentang peristiwa semasa, berita suka duka saudara mara, kisah nakal cucu2 yang bahagia dan ada kala merancang agenda dan aktiviti keluarga. 

"Masa ma dan ayah bawak Alin pusing2 kat kampung, ma tunjuk la satu binatang tu... tanya dia, apa tu? Lama Alin diam... lepas tu dia cakap... Biru.... Apa? Biru... confident je dia jawab..." rancak ma bercerita.

"Binatang apa sebenarnya tu ma?" Aku teruja. Tertanya-tanya, apa sebenarnya binatang yang di panggil 'biru' itu...

"Biri-biri la..." berderai tawa kami pecah. Kaletah cucu yang baru masuk usia 2 tahun memang menghiburkan. 

Kemeriahan itu terpadam kini. 3 hari, rumah ini sunyi sekali. TV pun tak berbunyi. Radio apatah lagi.

Ayah sememangnya tak mesra dengan TV. Berita adalah satu2nya rancangan yang mampu membuatkan dia mahu duduk bersama diruang keluarga. Dia lebih suka membaca akhbar untuk tahu perkembangan semasa. 

Biasanya ma yang suka menonton TV. Berita, Buletin Utama, rancangan agama seperti Tanyalah Ustaz dan Hal Ehwal Islam, Discovery Channel dan beberapa rancangan tempatan adalah antara rancangan kegemaran ma. Bila ma tak ada, TV pun turut bercuti sama. 

"Ma... jangan la macam ni. Ma tahu tak, ma dan ayah adalah idola Su semenjak Su kenal ma. Ma dan ayah terlalu istimewa bagi Su..." Sebak. Mengingati kembali saat pertemuan pertama kami. Peristiwa dan perasaan tika itu masih jelas terbayang sehingga ke hari ini. 

"Adik, mak ayah kawan adik datang ziarah ayah. Balik la cepat!" Kak Dah menyampaikan berita. 

"Siapa?" Dahiku berkerut. 

"Mana la kak tahu. Dia cuma cakap dia mak ayah kawan adik." Alahai... fikiranku ligat memikirkan siapa orang itu. 

Ermm... kalau mereka datang ziarah ayah, kenapa pulak aku yang dipanggil. 

Bergegas pulang. Saat menghulur tangan bersalaman, fikiranku masih lagi tak dapat meneka siapa pasangan ini. Mereka tenang bersila dan bersimpuh di sebelah ayah yang terbaring lemah. 

"Maaf ya makcik, pakcik.... Err... sapa... err... pakcik makcik ni, mak ayah kawan saya yang mana ya?" Gugup. Sungguh tak dapat meneka. Tak tahu soalan apa yang sesuai ditanya sebagai pembuka bicara.

"Kami ni mak ayah nasrom..." Ternganga. Kaget. Aku pandang kiri dan kanan. Nasrom tak ada pun...

Pertemuan pertama. Mereka datang menziarahi ayah yang ketika itu sakit tenat.

Mereka yang tak pernah ditemui, yang tak pernah dikenali, yang tak kenal sesiapapun ahli keluarga kami, datang seikhlas hati hanya kerana tahu aku berkawan dengan anaknya. Kawan yang hanya pernah sekelas selama 6 bulan ketika ditingkatan satu dan kemudian terpisah, yang hanya berhubung melalui surat2 untuk bertukar soalan2 peperiksaan dan bertemu hanya setahun sekali, itupun semasa kunjungan dihari raya. 

Jauh sekali hubungan kami. Memang tak terlintas untuk menerima ziarah sebegitu. 

Sebak semakin menyesak dada. 

Ma menundukkan pandangannya. Matanya berkaca. Tuala kecil dicapai buat menyapu lelehan air yang tak dapat lagi diseka.

Wanita. Perasaannya terurai dengan airmata.

Sep 13, 2018

Jalan Ke Syurga - 2

Ma diam, keras membatu. Wajahnya suram. Dia meramas2 tangannya yg sememangnya sering kebas selepas kena stroke beberapa tahun yang lepas.

Tangannya ku capai dan ku urut perlahan. Tangan yang tetap lembut walaupun setiap ketika bekerja keras di dapur. Kelebihan yang Allah bagi padanya.

"Dia buat tak tahu je. Tak tegur pun..." Balas ma perlahan, sayu. Wanita ini, dalam kerasnya ada lembut yg tersembunyi. Ombak kehidupan membentuk dia menjadi begitu.

Ma kehilangan ibu semenjak berumur 7 tahun. Di usia sebegitu muda, dibesarkan oleh nenek dan ayah. Adik bongsu tika itu baru berusia 2 minggu. Beberapa tahun kemudian, nenek pula menyusul. Terpaksa menjadi dewasa dengan segera oleh tuntutan hidup, menjadikan dia seorang yang cukup kuat dan berdikari.

Bila saja ada peluang, ma akan bercerita tentang kisah suka dukanya. 

"Kulat sisir tu ma kutip. Telor ayam ma ambik walaupun hanya 2 atau 3 biji. Letak dalam bakul. Junjung. Jalan kaki, jaja kat orang kampung. Dapat la 30 sen hingga 50 sen, boleh la beli beras untuk masak hari tu..." Bagai filem hitam putih zaman P. Ramlee, aku bayangkan setiap episod hidupnya dengan penuh kelekaan. Lagi seronok dari melihat drama tv yang penuh dengan kisah hasad dengki dan iri hati.

Seringkali aku terpegun mendengar kisah zaman kanak2nya yang penuh dengan liku. Sungguh tak jemu. Memahami corak dan warna kehidupan yang dilaluinya, berjaya meletakkan dia dalam kedudukan istimewa dalam hati ini. 

Wajahnya yang telah mulai dipenuhi garis2 ketuaan pada usia 60an, melimpah dengan kasih sayang. 

'Ya Allah, mohon padaMu Tuhan, jadikan pahit hidupnya yg dulu tenggelam dengan kemanisan dan moga bahagia menemaninya sehingga ke akhir hayat.' Doa itu sering ku bisikkan setiap kali dia menamatkan cerita laranya. 

Aku menarik nafas. Mencari ilham menghalau suram.

"Buat tak tahu bukan bermakna ayah tak peduli ma. Dia cuma tak tahu nak mula dari mana. Mungkin jugak ayah segan dengan anak menantu." Masih tiada reaksi yang positif. 

"Dah lewat ni, ma masuklah tidur ya!" Pujukan yang disertai doa, mohon Allah bantu meleraikan kusut hati pasangan ini. 

Sedikit saja puncanya. Dan ia bukan salah sesiapapun. Hanya perbezaan pendapat dan pendekatan, lalu rajuk mula berkembang. Rumah adik Liza dijadikan tempat untuk bertenang. Kami sepakat, biarlah ma berehat di sana 2 malam, sambil berdoa dan mengharap rajuk menjadi sejuk. 

"Ma tidur kat sofa ni je la..." Putusnya. Aahh... sudahh... tak selesai lagi lah jawabnya. 

Lagi 30 minit, jarum jam akan bersatu di angka 12. 

"Jangan macam ni ma. Ayah tunggu ma masuk bilik tu. Sebab tu pintu bilik tu, dia biarkan terbuka." Memujuk lagi. Menterjemahkan bahasa aksi yg mungkin tak dapat dibaca kerana tak ada huruf abjadnya. 

"Huh..." Hanya itu yg kedengaran

Dia masih diam. Membekukan diri. Mengeraskan hati. 

Aduhai... Aku mengeluh perlahan. Dalam.... 

~♡ bersambung ♡~

Sep 12, 2018

Jalan Ke Syurga - 1

Matanya layu berbekas sendu. Rajuk yg tak dipujuk, memang akan melarat jika dibiarkan.

3 hari, cukup untuk tempoh bertenang. Panas dan bahang dihati patutnya dah berkurang. Tapi melihatkan suami yang bersikap tak acuh, sedihnya kembali bertandang. 

Ego lelaki yg amat difahami. Apatah lagi di depan anak menantu. Malu nak memujuk macam zaman muda2 dulu. 

"Ma, ayah dah tak marah tu. Su nampak muka ayah tadi. Dah tak muram macam semalam. Su tahu ayah suka bila tengok ma dah balik."

"Huh... ye lah tu..." Balasnya tak percaya.

"Betul ma... masa ma takde, ayah diam je. Kami ajak bercakap pun tak dilayan. Makan pun beberapa suap je. Risau Su. Nampak sangat dia muram. Rindukan ma agaknya." Usik yang diharap dapat membuahkan senyum dibibir bonda tercinta. 

Dia mencebik, menolak cerita yang dihidangkan.

"Ma tahu tak, bila Su bagitahu ayah yang Liza akan hantar ma balik malam ni, ayah dah banyak cakap. Dah nak borak dan bertanya itu ini. Dah mula turun rumah jengok ayam itek..."  Ma memandang dengan hujung mata. Meninjau ruang dan sudut rumah yang ditinggalkan beberapa hari.

Di satu sudut, kelihatan tilam terhampar, dengan kipas meja yang setia terletak di situ, dilengkapi dengan rak buku yang penuh tersusun kitab2 lama yang menjadi rujukan ayah. Itulah sudut rehat yang ayah selalu habiskan masanya dengan membaca Quran, membelek kitab2, meneliti perkembangan semasa melalui akhbar harian, bermain dengan cucu2nya dan berehat melepaskan lelah.

Tilam usang itulah yang menjadi saksi kemanjaan cucu yang dipujuk. Terbayang jelas keletah atok dan cucu yang terakam di situ...

"Tak nak tidur ya? Takpe... tak payah tidur. Meh sini, berehat dgn tok ayah..." Pujuknya sambil tangannya terus membelek suratkhabar. 

Sudahnya Nabeel terlena memeluk paha tok ayah, menumpang bantal dan tilam tok ayah. Aahhh... cucu kesayangan tok ayah dah lena dibuai mimpi tanpa perlu didodoi.

Begitulah selalunya... 

Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ianya memang asam garam dalam kehidupan berumahtangga. Tak kira berapa pun usia perkahwinan, ia pasti dialami oleh setiap pasangan. 

Sakitnya hanya seketika.
Marahnya berbunga cinta.
Rajuknya sementara.
Melihat hubungan mereka, jelas sungguh keindahan alam rumahtangga.

Manis pahitnya berbaur rindu...

~♡ bersambung ♡~

Sep 5, 2018

Idola


Lelehan peluh di dahi dibiarkan mengalir. Biar segala toksik dlm badan keluar melalui liang2 roma. Sendi2 dan otot2 badan juga perlu diaktifkan. Jantung dan hati harus melakukan tugas tambahan, mengepam darah dan oksigen untuk badan. Lemak2 lebihan dibawah lapisan kulit juga perlu dibakar. 

Gerakan fizikal bebas cara orang kampung. Bukan jogging, cycling, gym, aerobik ataupun zumba.

Rindu pada sembang lama. Fikiran memutar memainkan filem kenangan. 

"Orang tua dulu2 payah nak cari yg ada penyakit macam orang sekarang. Mereka makan banyak pun tak pe. Minum air manis tapi tak ada kencing manis. Makan ikan kering dengan budu hari2 pun, tak kena darah tinggi, tak dapat stroke pun. Kau tahu kenapa? Sebab mereka kerja kuat, berpeluh... Peluhpun kering dengan angin alam, bukan dengan kipas, bukan dengan aircond..." panjang  ceramah kesihatan percuma oleh pak samad. Aku mengangguk faham, bersetuju dengan apa yg dibentangkan. 

Susuk tubuhnya masih kemas, gambaran jejaka perkasa zaman sebelum merdeka. Tok guru silatkah dia? Soalan yg tak sempat ditanya. 

"Tapi satu perkara kau kena ingat, buat keje bukan sambil bersiul, sambil menyanyi dan merokok. Membebel marahkan tupai, memaki tikus dan siput yg makan padi, menyumpah babi yg menggali ubi...." dia menarik cawan yg berisi kopi buatan sendiri yg masih berasap. Panas. Menghirupnya dengan perlahan. Nikmat.

"Tapi.... buat keje kena bersulam dengan ibadat. Tangan menyangkul, mulut berzikir. Kaki melangkah, hati berdoa... dah dapat hasil, jangan lupa berkongsi, bersedekah.... barulah berkat apa dibuat, berkembang rezeki...." sambungnya. Nada suaranya lembut. Aku mengangkat muka. Rasa kagum semakin melimpah. 

Wajahnya cerah walaupun kulitnya sawo matang. Matanya bercahaya saat bercerita. Gambaran ketenangan hati tampak jelas sekali. 

Zaman dia dan aku jauh berbeza. Gaya hidup memang tak sama. Tapi tak salah kan, andai aku punya cita2 untuk menghabiskan sisa hidup seperti dia. Menikmati tenang desa sambil menyelongkar kenangan lama... berusaha mengutip ilmu dan cuba beramal seperti dia... 

Ya Allah... kuatkan keazamanku, jangan biarkan ia layu... 

Peluh mengalir semakin laju.