Jul 16, 2010

Kurang Dan Lebih Kita

Dia gelisah. Hati gusar dengan masa depan yang tak pasti.

"Kak Su tak pe la... ada suami. Saya tak ada. Entah bagaimana saya nak jalani hidup tua nanti. Hidup sorang-sorang, pasti sunyi." Luahan yang jelas menyatakan ketakutan terhadap bayangan masa depan yang tak pasti.

"Arin kan ada anak. InsyaAllah tak akan sunyi." Saya cuba meredakan, mengingatkan dia akan 'harta' yang dia miliki.

"Anak-anak akan ada keluarga sendiri nanti. Mereka belum tentu akan jaga dan tinggal dengan saya." Risau.

"Antara Kak Su dan suami, tak tahu siapa yang akan 'pergi' dulu. Dibuatnya dia yang dijemput dulu, tak ada bezanya antara kita." Kemungkinan yang harus di hadapi. Kami harus bersedia kerana saat itu akan tiba. "Walaupun mungkin anak-anak Arin tak tinggal bersama, InsyaAllah mereka akan datang menjengok." Saya cuba menanam keyakinan di hatinya.

"Itu kalau mereka datang..." Keluhnya lagi. Resah itu tak langsung berkurang.

"Mereka tak akan abaikan Arin kalau mereka ambil berat tentang ajaran agama... Dengan ilmu agama, mereka akan faham tanggungjawab mereka sebagai anak dan hak seorang ibu yang perlu dipenuhi." Siraman ilmu Allah yang akan mencambahkan iman di dada anak-anak. Terlalu penting untuk diabaikan oleh setiap insan yang bergelar ibubapa.

"Ermm... Tapi Kak Su memang bertuah sebab ada suami menemani bila tua nanti..." Dia kembali kepada pernyataan yang asal. Mesej yang cuba saya sampaikan, nampaknya berlalu begitu saja. Mungkin kerana gelisah hati yang menghantui terlalu menebal menguasai mindanya.

"Alhamdulillah... Allah rezekikan Kak Su dengan suami yang baik. Dan Arin juga patut bersyukur sebab Arin ada apa yang Kak Su belum dapat. Anak-anak..." Saya mengingati lompang harapan yang ada dalam kehidupan. Hampir mengalihkan perhatian saya tentang isu siapa yang perlu diselesaikan. Saya menarik nafas lalu menyambung.

"Anak atau suami, mereka hanya pinjaman Allah pada kita... Bila diambil dan bagaimana cara, bukan kita yang tentukan. Janganlah di fikirkan sangat kekurangan diri, nanti pedihnya menjadi-jadi." Saya menasihati. Nasihat itu untuk diri sendiri sebenarnya.

"Saya tahu. Tapi tak boleh nak lupakan macam tu saja. Saya risau... saya takut... saya mengharap... dan kemudian fikiran saya jadi tepu. Beku."

"Cubalah alihkan segala perasaan tu pada Allah. InsyaAllah, kalau kita selalu ingat Allah, hati akan jadi tenang." Lagi pesanan untuk diri sendiri yang ingin dikongsi. Dia diam dan mengeluh panjang. Wajah kecewanya jelas.

Nota : Saya menghadiri seminar 7 Habits of Highly Effective People. Salah satu topik penting ialah kemahiran mendengar. Bila diingatkan kembali perbualan ini, rasanya saya bukan pendengar yang baik. Dia meluahkan rasa untuk didengari, bukan untuk mendengar nasihat.

"If we were supposed to talk more than listen we would have been given two mouths and one ears." - Mark Twain

11 comments:

kayteeze said...

Betul tu su. Ramai yang boleh menasihat orang tapi tak ramai yang boleh mendengar luahan hati yang memerlukan. Kekadang, orang meluahkan perasaan ni bukan nak minta nasihat, kerana dia dah tahu, dia cuma nak lepaskan rasa bebanan di dada.

epalejau said...

Salam Kak Su. :)

Selalu, kalau seseorang tu meluahkan perasaan, apa yang mereka perlukan hanyalah telinga untuk mendengar. Dan ya, jika ada nasihat, tentunya yang ingin mereka dengar juga cuma yang sedap dilalui telinga.

Tapi tak apa. Sebab sekurangnya, kak su mengingatkan apa yang hampir dia lupakan. kan?:)

Kamsiah said...

salam
lama kita tak berbicara...cewahhh...
su..seseorang tu takkan meluahkan perasaannya jika dia merasakan kita bkn tempat yg sesuai utk mendengar masalahnya..yg penting kita ikhlas mendengar,bkn sambil lewa...

suara said...

@kayteeze
Tu la kan. Su nak kena practise untuk jadi pendengar yang baik lepas ni... Tak mudah kan kak tie?

=================
@epalejau
Salam rindu dik...
Setuju. Tapi memang lumrah, kita susah nak terima nasihat kalau bercanggah dengan kemahuan perasaan. Tersilap ayat nasihat, kedengaran suara hati berkata.... "macamlah dia tu bagus sangat." huhuhu...

==================
@kamsiah
Salam sayang kak kam...
Lama kak kam tak bertandang, sibuk ye kak?
Ermm... Rasanya susah nak cari/nak jadi orang yg mendengar dengan ikhlas.

Apa yang Su belajar dlm seminar tu, jika kita ada kemahiran mendengar yg baik, perbualan itu akan berakhir dengan kesediaan si pencerita untuk menerima nasihat. Dan kadang-kadang mereka sendiri tersedar yg penyelesaian memang dah ada di depan mata. Isunya hanyalah soal pilihan.

Mak Su said...

yakinlah sentiasa yang Allah tidak pernah lupa kat kita, insyallah... kan :)

eeeda said...

Menjadi pendengar yg baik dpt mengubati keresahan yg melanda seseorang. Manakala memberi pandangan pula, membuka ruang kpdnya supaya berfikir dan mempertimbangkan apa yg didengar.

suara said...

@maksu
InsyaAllah.

==================
@eeeda
betul..betul.. betull...
Tapi adakalanya kan eeeda, apabila mulut terbuka hanya untuk bercerita, telinganya akan tertutup untuk mendengar kata yg selalunya tak selari dengan rasa.

Kujie said...

Konflik selalu berlaku bila kita tak faham tujuan org meluahkan perasaan... dia cuma nak meredakan gelodak dan biasanya hal2 mcm ni bukan sepanjang masa... ada masa2 tertentu saja dia tertekan.

Tapi, itulah...bukan mudah menjadi pendengar sebab mulut gatal betul nak bercakap....

suara said...

@Kujie
Ahaks... tu la kak jie. Mulut mmg gatal nak bercakap, apatah lagi bila apa yg diluahkan tu macam tak betul je... *Ceh... perasan diri betul la tu... huhu*

denaihati said...

Seperti kata bijak pandai Masalah itu peluang tetapi majoriti kita melihat masalah itu bebanan sedangkan dari pandangan Allah masalah itu ujian untuk mendapat meningkatan iman apabila hambanya redha dan bersabar.

suara said...

@denaihati
Peluang begitu susah nak nampak sebab sibuk melayan perasaan. Tambah lagi dengan bisikan2 yang lebih menghanyutkan.