Feb 24, 2010

Suara hati bonda

Peristiwa ini berlaku bulan lepas, semasa saya menghadiri satu Seminar Keluarga Bahagia anjuran unit Mubalighat. Kupasan hari itu benar-benar berkesan di hati saya. Tentang pentingnya doa buat anak-anak.

"...Kita sebagai ibubapa, bila nak berdoa untuk jodoh anak-anak, biarlah seawal mungkin. Sebaiknya 10 tahun lebih awal dari masa yang di jangkakan. Contohnya anak kita diharapkan atau dijangka akan berkahwin ketika umur 25 tahun, jadi semasa umur 15 tahun tu, dah kena doa untuk dapatkan jodoh yang baik. Ajar anak-anak berdoa untuk jodoh yang baik... Jangan hanya nak yang hensem, yang cantik, yang kaya dan banyak duit saja..." Uihh... awalnya! Bisik saya di hati. Saya cuba mengimbas kembali, bila sebenarnya saya mula memikirkan tentang jodoh diri. Rasanya masa di universiti kot. Itupun tahun 2, 3 atau 4. Entahlah saya tak ingat.

"Sekarang ni, kalau kita cakap pada anak-anak tentang jodoh pada usia seawal ini, mesti mereka akan jawab; 'Saya muda lagi, belajar pun tak abih lagi, tak nak lah fikir tentang kawin.' Saya dulupun macam tu, tapi sebenarnya itulah masa yang sesuai. Ye lah, kalau dah ada pakwe, hati dah terikat, yang busuk pun bau wangi je, yang buruk pun nampak elok je. Saya ingat lagi, masa saya masih sekolah menengah, saya terdengar yang ayah bagitahu mak saya, calon menantu bagaimana yang dia mahu dijodohkan dengan saya. Paling utama, yang beriman dan boleh jadi imam buat keluarga kami. Sekarang, saya tahu yang doa ayah saya tu dah dimakbulkan Allah, alhamdulillah... Jadi, doakanlah agar jodoh untuk anak-anak kita tu baik untuk dunia dan akhirat, biarlah dapat yang boleh jadi pemimpin buat anak isteri..." Begitulah lebih kurang apa yang dipahatkan di hati kami.

Di akhir ceramah, seorang ibu tunggal berkongsi kisah yang menyayat hati semasa sesi soal jawab.

"... Bila ditinggalkan suami, saya besarkan anak saya sendirian. Sampai sekarang saya tak kawin. Saya kerja jual goreng pisang dan nasi lemak untuk sara hidup kami. Susah macamana pun, saya tak pernah mintak pertolongan orang. Bila fikirkan perit dan susahnya hidup kami, saya selalu berdoa agar anak saya berjaya dalam pelajaran dan dapat kerja yang baik. Saya tak mahu dia susah macam saya. Tak lekang doa saya untuk melihat dia bahagia dan berjaya. Alhamdulillah, dia akhirnya dapat masuk universiti dan dapat kerja yang baik." Suaranya bergetar. Ada beban yang menyesak dada.

"Kemudian dia bertemu jodoh dengan suaminya sekarang. Saya tak kisah siapa pilihannya, yang penting dia bahagia. Bila mereka kawin, mereka pindah, tinggal di rumah sendiri. Tapi selepas tu, sampai sekarang menantu saya tak benarkan anak saya datang melawat. Tak pernah jugak kirimkan duit buat saya." Seketika dia berhenti, menarik nafas, mungkin mahu menghirup semangat yang hilang.

"Bila saya dapat cucu, hanya sekali kami jumpa, lepas tu tak ada lagi. sekarang dah bertahun-tahun mereka tak jengok saya, dan saya juga tak dibenarkan jumpa mereka. Saya tak kisah mereka tak bagi saya duit sebab saya masih ada simpanan dan masih mampu kerja untuk sara diri sendiri. Tapi saya rindukan anak dan cucu saya. Saya redha dengan apa yang berlaku." Ya Allah... tabahnya dia. Saya pasti tak mudah untuk dia mengharungi semua itu. Saya yakin Allah sayangkan dia, Allah sentiasa ada untuk membantunya dan membekalkan kekuatan padanya.

"Saya sedar saya silap kerana tak berdoa agar dia dapat suami yang baik, yang boleh bimbing dia dunia dan akhirat. Saya hanya berdoa agar dia berjaya dan bahagia dalam hidup. Lebih ke arah duniawi. Doa saya memang Allah makbulkan, sebab dia dah berjaya dan bahagia sekarang, tapi saya pulak ditinggalkan sendiri...." Akhirnya saya faham apa yang mahu dia kongsikan. Tentang pentingnya doa buat anak-anak.... Doa yang merangkumi segalanya, doa kebaikan dunia dan akhirat.

Semoga Allah membekalkan kekuatan buat dirinya, dan menyampaikan keinsafan buat anak menantunya...

Ya Allah Ya Waduud, Tuhan Yang Maha Pencinta...
Layangkan rasa kerinduan di sudut jiwa
Agar anakandanya akan pulang memeluk sang bonda...

11 comments:

Mak Su said...

terima kasih untuk peringatan ini....

salam bahagia

epalejau said...

semoga satu-satu masa, hati si anakanda terbuka untuk kembali memeluk bonda yang pernah berdoa untuknya..

dan semoga epal tidak lupa apa yang sudah epal baca..amin..

Nooreena said...

Sedih bila meletakkan diri di tempat makcik tu. Tak mau anak-anak Rin nanti jadi camtu. Perlu doa dari sekarang. Dan Rin perlu minta mak ayah doakan yang spesifik untuk Rin adik-beradik.

Terima kasih akak berkongsi ilmu. Suka baca tulisan dari hati seperti ini. :)


PS: Akak sihat?

aliff muhammad said...

Salam,

Kak Su,

Doa ibu dan bapa makbul. Doa juga kenalah spesifik. Terima kasih atas ilmu ini.

Lama tak menulis? Harap sihat walafiat. Rindu dengan tulisan Kak Su.

suara said...

@maksu,
Alhamdulillah...

==================
@epalejau
InsyaAllah, sama-samalah kita berdoa untuknya.

==================
@Nooreena
Ingatan untuk kita semua.
p/s : Alhamdulillah, kak su sihat.

==================
@Aliff
Salam dik,
Betul, doa kena spesifik dan berterusan. Moga Allah makbulkan doa-doa kita.
Sekarang dah kembali menulis... :)

nohas said...

Salam,
Terharu dengar kisah ibu tunggal tersebut.Sungguh besar pengorbanan untuk anaknya, begitu pula balasan yg diterima..

Semoga anak & menantunya insaf, what goes around, comes around..

KAKTINY said...

doa ibu utk anak2 merangkumi jiwa dan raganya.. dunia dan akhirat..

kasih ibu tiada sempadan...

Masy said...

doakan dilembutkan hati suaminya utk benarkan si anak pulang bertemu ibunya.. insyaallah.. huhuuhuh

jahat arr menantu makcik ni. geram plak sy!

suara said...

@nohas,
Salam.
Pengorbanan perlukan doa yang betul dan tepat sebagai iringan. Adakala kita berkorban tanpa sedar yang pengorbanan itu mungkin memakan diri.

Semoga yang baik-baik saja akan berlaku dalam kehidupan.

====================
@tiny
Tapi dunia sekarang ni, dah banyak juga ibu tak punya kasih sayang. Sebab itu anak dibuang. Apatah lagi nak berdoa untuk bahagia anak dunia dan akhirat.
Moga kita tak termasuk dalam golongan sebegitu.

====================
@Masy
Sama-samalah kita berdoa.
Doakan juga agar kita semua tak jadi menantu yg menyakitkan hati mertua...

eeeda said...

Membaca n3 nie eeeda rasa sedih... ibu bapa sentiasa mendoakan kita... apabila mereka telah tiada nanti siapalah yg akan mendoakan kita.

Setiap kali nak periksa, eeeda mesti mintak mak ayah doakan... "boleh tak kita jawab nie?" klu mak ayah kata "boleh". Sikit pun tak rasa takut nak masuk dewan periksa. Walaupun ari tu paper susah.

suara said...

@eeeda,
Saya selalu merasakan bertuahnya mereka yang masih ada ibu bapa yg sentiasa mendoakan. Saya?

Kini giliran saya mendoakan mereka. Moga arwah mak dan ayah sentiasa berada di kalangan hamba-hambaNya yang Dia kasihi.