Jun 16, 2008

Nafsu

Assalamualaikum...

Menyambung kembali entry yang lepas yang mana saya ingin berkongsi apa yang dikutip dan ditimba dari ceramah oleh Datuk Dr Fatma Az-Zahra. Di awal ceramahnya kali ini, beliau berbicara tentang hidayah dan kemudian tentang nafsu yang seringkali dikaitkan dengan syaitan.

Syaitan ialah makhluk Allah yang telah mendurhaka dan selepas dihalau dari syurga, misi tunggalnya adalah untuk menyesatkan kita, anak cucu Adam. Nafsu ialah apa yang wujud dalam setiap individu dan tak boleh dipisahkan sehingga nafas terakhir. Syaitan mudah menguasai nafsu jika ia tidak dididik. Kerana itulah walaupun syaitan dirantai di bulan Ramadhan, tapi ada manusia yang masih berleluasa melakukan dosa, akibat dari nafsu yang telah biasa dipandu oleh syaitan. Ibarat menaiki basikal, mula pelajarannya perlu dipegang dan diawasi, bila dah terbiasa boleh ditunggang sendiri.

Sesuatu yang saya belajar dari ceramah ini ialah nafsu bukan hanya berkaitan dengan perkara buruk, tapi juga boleh membawa kita ke arah kebaikan jika dididik. Ini kerana nafsu yang dimiliki adalah nafsu yang tidak dididik dengan ibadat dan zikir.

Menurutnya nafsu boleh dibahagikan kepada 3 bahagian yang utama iaitu:

1. Nafsu amarah

Nafsu ini adalah nafsu yang paling buruk dan ianya melahirkan perlakuan yang penuh dengan kejahatan yang telah sebati dalam diri. Dosa yang melekat dihati adalah terlalu tebal akibat dari perlakuan seharian yang mengabaikan hukum halal haram, malah ada yang berbangga melakukannya. Nafsu syahwat yang tak terkawal juga termasuk dalam kategori ini.

Kebiasaan individu yang terperangkap dalam nafsu amarah akan punya sikap seperti suka mencela orang lain dan melihat dirinya lebih baik, tidak senang melihat kelebihan orang lain, tidak mempedulikan perasaan orang, dengan sengaja menyakitkan orang lain melalui perbuatan dan kata-kata, merasakan bahawa segala kelebihan yang diperolehi adalah hasil dari usahanya sendiri tanpa bergantung pada Allah tapi bila berlaku musibah, suka menyalahkan orang lain malah adakalanya menyoal Allah pula.

Ilmu yang dipentingkan hanyalah yang berkaitan dengan keduniaan sahaja dan tidak berminat dengan ilmu akhirat. Jika ada ibadat yang dilakukan, ia tidak mampu mencegahnya dari melakukan kemungkaran yang membinasakan dirinya dan juga orang lain.

Hanya satu saja cara untuk menyucikan hati dari nafsu amarah iaitu dengan cara menerima tunjuk ajar yang berterusan dari guru agama yang mana selalunya guru-guru agama ini akan memberikan pelbagai petua penyucian hati melalui bacaan Quran, zikir dan pelbagai ibadat lain.

2. Nafsu lawwamah

Ini merupakan nafsu pertengahan yang mana individu yang memilikinya akan selalu menyalahkan diri sendiri dan menyesal bila ada kesilapan yang dilakukan. Dan seringkali mengutuk diri sendiri bila melakukan dosa.

Bila ada kesalahan yang dilakukan hati akan cepat merasai penyesalan. Ianya ibarat hidayah yang Allah berikan untuk memimpin kembali ke jalan yang benar dan lurus.

Kesedaran dan keinsafan yang terlintas difikiran jika diabaikan, lama-kelamaan ia akan hilang. Hati akan menjadi semakin keras dan kelam oleh titik dosa yang bertambah. Pengabaiannya akan membuatkan nafsu amarah lebih berkuasa terhadap diri. Itu yang menyebabkan kesilapan adakalanya masih berlaku berpunca dari kelemahan dalam pertahanan iman.

Jika mahu memperbaiki nafsu yang berada dalam peringkat ini, kita perlu istiqamah dalam beribadat, berzikir dan sentiasa beristighfar untuk memastikan hati sentiasa disucikan.

3. Nafsu mutmainnah

Ini adalah nafsu yang paling baik dan Allah menjamin syurga kepada mereka yang mempunyai nafsu ini. Ia dapat memberikan ketenangan hidup yang hakiki kepada sesiapa yang memilikinya.

Tidak ada perasaan gelisah yang lahir biarpun apa juga dugaan yang Allah turunkan. Mempunyai sifat sabar dan redha yang tinggi, dan segala kebaikan yang ada dalam dirinya lahir dari hatinya yang suci dan tidak berpura-pura.

Kesimpulannya, setelah mengenali jenis-jenis nafsu, rasanya kita dah boleh mengagak nafsu mana yang pernah dan sedang kita miliki. Nafsu mana yang mahu kita kita biarkan berada dalam diri dan bagaimana cara untuk memiliki nafsu yang terdidik, yang mampu memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat.

Datuk Dr Fatma ada mengedarkan 3 doa yang amat digalakkan untuk diamalkan bagi mengawal dan mendidik nafsu. Doa yang perlu dibaca setiap kali kita mahu memulakan hari iaitu doa yang perlu dibaca sebelum Subuh, semasa sujud terakhir solat Subuh dan juga selepas solat Subuh. InsyaAllah, doa-doa itu saya akan buatkan di laman Suara Pesanan nanti. Semoga dengan mengamalkannya, kita akan lebih terjaga dari gelombang nafsu yang akan membawa badai dalam hidup kita jika dada tidak disuapi dengan keimanan.

Nota : Kepada yang berada di sekitar Shah Alam, Klang dan Subang, ceramah anjuran unit Mubalighat ini boleh disertai pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan di Masjid Negeri, Shah Alam bermula dari pukul 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Terbuka untuk kaum muslimah sahaja.

Sebarang kekurangan dalam entry saya ini harap dimaafi dan jika ada kesilapan, sila berikan teguran.

7 comments:

Mak Su said...

:), tq

GDIZ said...

terima kasih dgn segala ilmu yang dikongsikan disini.:)

shopforshoppers said...

Salam Su,

Terima kasih yg tak terhingga sudi berkongsi ilmu, akak nie mmg lerr tak pandai sangat, tapi alhamdulillah banyak pengajarannya disini..

Bila PMS menyerang memang akak jadi cepat marah gak..

KAKTINY said...

salam su..
bagusnya n3 su.. kerap2 lah selitkan entri camni.. dapat gak berkongsi ilmu.. best sgt.. time kasih..
.. Nafsu mutmainnah... bila lah boleh capai peringkat nafsu camni yer..

suara said...

mak su... sesama. :)

gdiz... kasih diterima. ilmu apapun seharusnya dikongsi. itulah keindahan dalam hubungan saudara sesama Islam

akak... salam. su pun banyak yang kurang, mana yang su tahu serba sedikit, su memang nak kongsi. itu semua sbb su sayang. bila rasa nak marah je, su amalkan beristgfar. su bayangkan yg syaitan dok sebelah, tersenyum dan menunggu masa utk ketawa. hehe

kaktiny... salam. ye lah, su pun terfikir, mampukah su capai tahap nafsu mutmainnah ni. Namun su telah jadikan ia sebagai matlamat, su nak kejar dengan segala kudrat yang ada. Allah tak akan hampakan hambaNya yang berusaha, kan? InsyaAllah. (Tingginya cita-cita...)

rendah diri said...

Saya nak capai nafsu pertengahan pun bukan main susah lagi.

Betullah kata sahabat Nabi S.A.W, menentang nafsu lebih susah dari menentang orang kafir dalam peperangan.

Nafsu mesti dilawan dan dikawal. lawan tetap lawan.

suara said...

Betul tu. Tak mudah menentang nafsu amarah. Nafsu lawwamah adalah nafsu yg normal ada dalam diri kebanyakan kita. Saya sendiripun kadang tu tergelincir ke arah nafsu amarah juga kerana saya manusia biasa yg punya banyak kelemahan....

InsyaAllah, sama-samalah kita berusaha mengawal nafsu ya.