Nov 27, 2008

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya?

Bismillah hirrahman nirrahim.

Hati terpanggil untuk turut menulis tentang topik yang sama apabila membaca beberapa kisah tentang sihir dan penyakit misteri yang ditulis oleh teman-teman blogger. Penderitaan blogger Megat yang saya tahu dari tulisan Kujie (sebulan atau 2 bulan yg lepas) dan Irfan (SangPelangi), benar-benar membawa saya kembali mengingati kisah lama. Juga dari sedikit kisah sahabat NahwanNur.

Untuk Megat, saya kirimkan doa ikhlas dari hati, agar Allah membantu anda dalam usaha mencari penyelesaian kepada sakit misteri yang anda alami. Serta sedikit perkongsian kisah di sini, yang saya harap mampu membuatkan anda tahu yang anda tak bersendirian. Jangan lupa, teruskan usaha, berdoa dan bertawakkal.

Telah lama saya simpan hasrat untuk menulis kisah-kisah ini. Kisah yang benar-benar berlaku pada orang-orang yang saya kenali, saudara dan teman-teman, termasuk diri saya sendiri.

Bukan untuk mendedahkan keburukan, jauh sekali untuk mencela, cuma saya mahu berkongsi apa yang saya temui. Semoga ada pengajaran yang mampu dicungkil dari beberapa episod hidup insan yang adakalanya turut dialami oleh orang lain.

Perkongsian saya kali ini mungkin akan jadi panjang, kerana terlalu banyak kisah yang nak saya paparkan. Lalu saya rasa sebaiknya saya bahagikan kepada beberapa bahagian.

Namun saya amat mengharapkan agar setiap pembaca yang mengunjungi blog saya ini, dapat meluangkan masa untuk membaca tulisan emjay tentang pengalaman bersama orang kerasukan serta perkongsian pembacanya tentang azab berbomoh. Tulisan yang buat saya berfikir panjang, menimbang kembali kisah-kisah lama yang pernah saya dengar dan lihat/alami sendiri.

Nota : Ini semua kisah benar, dan saya lakarkan ia kembali untuk tatapan semua dengan cara saya. Namun nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.

Kisah 1

Segalanya punah dan musnah dengan sekelip mata. Perniagaan keluarga yang diusahakannya, pekerjaannya sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta terbesar di Malaysia, malah rumahtangganya juga turut goyah buat seketika.

“Tu lah kau. Dari dulu aku cakap, sakit kau ni bukannya sakit biasa. Bukan sakit jantung tapi sakit yang ‘dihantar’. Tapi kau tak dengar. Tak percaya.” Bebel Karim semasa melawat temannya yang terlantar di katil selepas pembedahan ketiga.

“Aku tak percaya Iblis boleh atasi kuasa Allah. Bukan aku tak percaya cakap kau.” Arman beralasan.

“Samalah tu. Kau tak ingat kisah Nabi Ayub yang menderita sakit berpuluh tahun hanya kerana Allah izinkan iblis mengujinya keimanannya? Tapi dia tu lain. Dia tu Nabi yang Allah lindungi dan Allah tahu dia mampu menanganinya. Tapi kau mampu ke? Sakit terlantar macam ni pun, habis anak bini kau tengking, kau marah. Kesian dia orang.” Syarah Karim lagi. Arman terdiam.

Bukan dia tak simpati pada isterinya, bukan dia tak sayang pada anak-anaknya, tapi kemarahannya ada kala tak mampu dikawal. Entah kenapa, sikap barannya semakin menjadi-jadi. Sakit nisteri yang ditanggungnya, masalah yang menimpanya, bersilih ganti memenuhi ruang fikirannya. Hilang pertimbangan dibuatnya.

Sakit yang berterusan memaksanya berhenti kerja. Perniagaannya diserahkan pada orang luar untuk diuruskan, dan akhirnya hanya kerugian yang terhasil, bukannya keuntungan. Jualan langsung yang membekalkan produk makanan kesihatan tambahan yang disertainya tak mampu memulihkan tahap kesihatannya. Pelanggannya tak lagi percaya pada food suppliment yang dijual.

Life insurance yang dibayar hampir seribu setiap bulan selama berbelas tahun yang lepas, terpaksa dihentikan kerana tak punya pendapatan lagi. Duit yang dilaburkan untuk keluarga hilang begitu saja. Belanja rawatan juga tak boleh dituntut dari pihak insurance kerana bayaran yang gagal dijelaskan untuk setahun yang lalu.

Kawan-kawan yang dulunya ramai dan begitu rapat, malah ada yang mengaku hubungan seperti adik beradik, kini mula menjauhkan diri. Alasannya sibuk. Cuma tinggal beberapa orang teman yang sesekali masih lagi setia mengunjungi. Jumlahnya jauh kurang berbanding tika dia senang dulu.

Ya Allah... banyak sekali dugaan yang menimpa. Bertalu-talu, bersilih ganti. Mungkinkah semua ini diberikan Allah sebagai balasan atas kesibukannya mengejar dunia sehingga terlalai menunaikan kewajibannya pada Allah? Sungguh pedih bila mengingatkan kesilapan sendiri yang mula dirasai. Ngilu.

“Apa kata doktor selepas kau buat pembedahan kali ni?” Tanya Karim bila dilihat temannya tu terdiam lama. Bimbang andai Arman berjauh hati mendengar kata-kata tajamnya.

“Dia nak buat test yang lain pulak. Tunggu aku pulih sikit.” Katanya lemah.

“Erm… Aku ada ikut sepupu aku pergi jumpa satu orang ni, dia pandai menengok sakit orang. Jadi aku tanyakan sakit kau sekali. Katanya kau terkena buatan orang yang dengki dengan kau. Dan yang buat kau ni bukan sorang, tapi ramai. Ada yang baru, ada yang lama. Bertindih-tindih penyakit yang dihantar kat kau ni. Tu yang jadi teruk sangat.” Cerita Karim sambil melihat reaksi Arman.

Arman teringat kata-kata berbau ancaman oleh salah seorang bekas pekerjanya.

"Jangan ingat dengan pangkat kau tu, kau boleh buat sesuka hati. Aku akan ajar kau biar kau sedar. Tunggulah!" Lamin menuding jari tepat ke muka Arman bila Arman menyerahkan notis amaran kerana disiplin yang teruk dan hasil jualan yang amat merosot untuk kawasan yang diletakkan dibawah kendalian Lamin. Tanpa notis perletakan jawatan, Lamin menghilangkan diri begitu saja.

Mungkinkah Lamin telah mengotakan katanya itu?

Terbayang pula tangisan Mai Arani, bekas pekerjanya yang manis dan pandai bergaya. Siapa sangka kehidupan peribadinya agak menyedihkan. Segalanya kerana seorang lelaki yang bergelar suami. Arman simpati dan sebagai majikan, dia cuba melakukan apa yang termampu.

Namun tak siapa menyangka, sikap ambil berat dan jenaka yang dibuat untuk menghiburkan hati Mai Arani telah mencambahkan kasih yang salah. Dia suami untuk isterinya, dan Mai Arani adalah isteri untuk seorang lelaki lain. Mana mungkin ada laluan yang mudah untuk mereka bersama. Paling penting, cinta kasih untuk isterinya tak mungkin dipersiakan. Itu janji yang perlu dikota. Arman menjauh, tapi hati Mai Arani parah terluka.

"Mai sanggup lakukan apa saja untuk bersama dengan Encik Arman..."

Mungkinkah Mai Arani juga...?

Wajah Pak Mahat tiba-tiba muncul dikotak fikirannya.

"Kau ni, dah tak de tempat lain ke nak meniaga? Kenapa kat sini yang kau pilih?" Kata-kata dan jelingan tajam Pak Mahat sungguh sungguh berbekas dihati. Renungan amarah berserta amaran.

Ahh... tafsiran aku mungkin salah. Bisik Arman cuba menyedapkan hati sendiri.

Pelanggan yang mengunjungi kedai runcit Pak Mahat jelas berkurang bila mini market Arman di buka. Armankah yang salah? Bukankah rezeki untuk setiap orang itu telah Allah tetapkan semenjak dari azali lagi?

Arman mengeluh dalam. Lamin menunggu andai Arman ingin berkata apa-apa, tapi hanya kebisuan yang mengisi ruang antara mereka.

“Aku tanya dia, boleh ke dia ubatkan kau. Katanya dia boleh cuba, tapi mungkin prosesnya panjang. Dan kau kena percaya pada dia, barulah mudah dia nak ubatkan kau.” Tambah Karim menyambung kisah pertemuannya dengan seorang insan luar biasa yang kononnya punya kelebihan dalam soal yang melibatkan ilmu sihir. Bomoh, dukun atau orang alim (ustaz)? Arman malas nak bertanya.

“Nantilah aku fikirkan.” Balas Arman sambil tersenyum tawar. Hatinya berbelah bagi. Antara sakit yang mahu diubati dan keraguannya pada kemampuan perubatan alternatif, serta wang yang semakin surut dan susut, mana satu yang lebih perlu diberi keutamaan?

Dia yakin hanya Allah yang mampu menyembuhkannya, tapi mungkinkah dia perlu berusaha dengan cara begitu? Mampukah dia bertahan? Sampai bila...?

Kepalanya terasa begitu berat.

akan disambung dgn kisah 2.....

Nota : Di sebabkan ramai yang bertanya apa kesudahan kisah Arman, saya buat sedikit nota tambahan. Kisah ini belum berakhir kerana ini kisah benar. Sakit Arman masih berterusan. Adakala lega, ada masa sakitnya datang tak kira masa. Menurutnya, bila sakitnya datang, terasa bagai dihiris dan dilapah daging dan kulitnya.

Entah apa yang tak kena pada dirinya, tak siapa yang dapat pastikan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dia pernah mencuba kaedah perubatan alternatif, berjumpa dengan orang-orang yang dikatakan dapat membantu, tapi tetap gagal.

Bila membaca tulisan emjay, saya perasan apa yang tak kena pada dirinya. Dulu, dia terlalu sibuk mengejar dunia untuk memastikan tanggungjawab memberi kesenangan pada anak isterinya terpenuh. Sibuk yang membuatkan dia mengambil mudah dan meringankan tanggungjawab pada Allah. Rasanya itulah puncanya...

Sebaik-baik penyelesaian adalah kembali pada Allah. Menilai semula cara hidup yang pernah dilalui dan membetulkan apa yang salah. Memperbaharui niat dan matlamat hidup. Memperbaiki dan memperbanyakkan amalan diri dan keluarga. Itulah yang harus dilakukan.

Namun, mengubah manusia itu kerja Allah. Lalu pada Dia kita meminta. Kita hanya menjadi perantara yang meluah pendapat dan idea.

Semoga Allah memberikan kekuatan padanya. Semoga Allah buka pintu penyelesaian buat deritanya. Semoga hanya yang baik-baik berlaku dalam hidupnya. Kita doakan saja...

22 comments:

JHaZKiTaRo said...

salam dari Dublin.. pekaba?? saje2 bloghopping, terhop ke sini pulak.. anyway, kalau rajin, dtg laa jenguk2 blog hamba.. :)

Ibnurashidi said...

Assalamualaikum Kak Su...

Dah lama Kak Su tak datang mencoret sesuatu di blog saya. Alhamdulillah setelah mempunyai persamaan entri baru muncul ya?Busy kot:)

Itulah, sebenarnya saya memang tengah nak tulis cerita pasal kena rasuk dan sihir..entah macam mana boleh tersama idea ya. Apapun semoga kisah-kisah benar yang dipaparkan menjadi pengajaran dan pedoman buat kita semua.

fusarium solani said...

Salam,
Lama Aliff tak jenguk blog Kak Su. Amatlah sibuk,blog sendiri pun bersawang.

Bagus entri ini, banyak maklumat boleh dikongsikan.:)

suara said...

Jhazkitaro....
Salam.
Thks sbb menyinggah. Kak su bebaik je. InsyaAllah... kak su akan buat kunjungan balas.

suara said...

Ibnurashidi...
Waalaikumussalam.
Sibuk mmg sibuk, tapi kak su mmg ada singgah blog farid, cuma kekadang tu tak tahu nak komen apa. Tu namanya jejak kak su tak bertapak... hehehe

Entry kita membincangkan isu yg hampir sama tapi dengan penyampaian yg sedikit berbeza. Tak kisahlah kan. Yang penting kita cungkil pengajaran disebalik semua yg berlaku. InsyaAllah, semoga ada manfaat yg boleh kita kongsi bersama.

suara said...

Aliff FS...
Salam. Tu lah... kak su agakpun Aliff mmg sibuk yg amat. Blog Aliff lama tak update. Walaupun sibuk, Aliff jaga diri ya!

Thks sbb masih sempat menyinggah blog kak su.

Sufi Idany said...

Mintak jauh dari semua yang tidak baik tu kak su..... Allah sedang mengatur sst yang lebih baik lagi utk kita..... ingtan tuk diri sendiri.... semoga Kasih Sayang Allah kekal bersama kita....

Tie said...

Salam su. Dah baca kisah ni...nak tunggu kisah 2 pulak. cepat sikit tau!!

MAZEMIE MAZ said...

Asmlk,

Kenapa dgn manusia hari ni?

Sanggup buat apa saja utk puaskan hati sendiri, dosa ditolak tepi.

BalQis said...

Macam dalam drama, skrip dialog dia kak su, best baca, huhu...

Tapi, ni kisah benarkan?

Nak tunggu habis citer, baru komen betul2~

Cepat update kak su, walaupun dah tahu arman ni kena buatan orang, tapi nak tahu gak camna, huhu...

TokMa said...

Salam Su...dah habis ker kisah 1 ni su...apa penamatnya, pergi ker si arman tu berobat atau masih beteleku berfikir sampai kurus kering. Ok tunggu kisah 2 lak.

^aNgRiAni^ said...

Salam su...rindu kat su

time malam2 cenggini baru dapat blog walk...uhukkkk

muahhhhsss :D

ryann said...

pun tunggu sambungan

suara said...

Sufi Idany...
Amin.

==================
Tie...
Suka kisah misteri ye? InsyaAllah, bila ada peluang, kisah seterusnya akan muncul.

==================
Mazimie Maz...
Waalaikumussalam...
Manusia semakin hilang pertmbangan, lupa apa yang perlu dipegang dan dipentingkan, lupa bahawa dunia hanya sementara.

Thks sbb singgah dan tinggalkan jejak. :)

suara said...

Balqis...
Ini memang kisah benar Balqis. Kisah ni tak de kesudahan... Kak su dah buat nota tambahan dlm n3 ni.

Komen betul-betul, jangan bengkok-bengkok tau. Haha...

=================
Tokma...
Realitinya, kisah ni tak tamat lagi. Tapi cerita Arman dlm n3 su, setakat ni je lah.

Err... dia tak kurus pun walaupun mahu kurus. Hehehe

=================
Angriani...
Salam Riani.
Lama tak datang, sibuk ye?
Memalam baru ada masa merayap tengok blog ye? En. Mat6 ikut tak? hehe
Muaahhhh...

=================
Ryann...
Wokeh, sambungannya akan muncul hari ni. :)

humaiRah said...

salam, kak sue cyg..

berbalik pada cita sihir kak sue..neem masih tak faham mengapa manusia terutamanya masyarakat melayu masih lagi pegang teguh dgn ilmu sihir ini.

jika kita tgk dalam tv sekali pun, byk cerita2 yg berkaitan dgn ilmu hitam, hantu2 dan sewaktu dgnnya. dgn cerita2 ini lah secara tidak langsung memberikan impact yg besar, terutamanya kepada kanak2. kanak2 jadi tkut akan makhluk halus lebih daripada-NYA. rosak akhlak jadinya. apabila terjadi demikian, iman seseorang jadi lemah, sebab tu senang benda2 ini ganggu. tapi x semua yg kena itu lemah iman, mahkluk yg halus2 ni jgk x suka org yg kuat iman dan membenci mereka.

minta doa smg dijauhkan dari gangguan mereka. kuatkan iman, dan lebih yakin kepada DIA..makhluk alam ghaib ini sebenarnya sama sahaja dengan kita --> mahklum Allah di dunia ini..

take care~~

humaiRah said...

ops, bukan rosak akhlak..rosak akidah!

BalQis said...

Oh, sampai di sini sahaja ker kisahnya Kak su? Kiranya arman ni masih berperang dengan penyakitnya lah yer?

Moh kita sesamer ingat lima perkara sebelum tiba lima perkara, ya!!

sihat sebelum sakit,
lapang sebelum sempit,
kaya sebelum miskin,
muda sebelum tua
hidup sebelum mati!!!!

suara said...

Salam sayang utk Humairah juga...

Manusia memilih ilmu sihir kerana mahu jalan singkat. Samada untuk memenuhi kehendak hati, atau melepaskan dendam yg bersarang.

Kak su pun tak setuju dgn penayangan cerita-cerita seram kat tv. Walaupun diakhir atau diawal cerita tu mengatakan bahawa 'ia hanya rekaan, yang buruk hendaklah dijadikan sempadan dan berdosa besar sesiapa yang memilih selain dari Allah sebagai tempat bergantung,' tapi seperti kata neem, ada kesan tersendiri pada jiwa penontonnya, terutama kanak-kanak.

Moga Allah lindungi kita semua.

suara said...

Balqis...
Betul tu. Itu mmg peringatan yg perlu disematkan dalam hati setiap kita... agar kita tak lalai dari landasan dan laluan yang telah ditetapkan Allah.

megat said...

subhanallah, tuhan maha besar. aku tak menyangka kisah aku dipanjangkan sehingga kesini.

terima kasih yang tak terhingga atas doa. tiada yang paling mujarab selain doa dari rakan-rakan, insya allah.

rupanya dah lama aku tak lihat keadaan di blog aku sehingga tidak perasan ada pautan dari sini. terima kasih sekali lagi.

rupanya masih ramai yang menerima nasib yang sama seperti aku, malah lebih teruk dari aku, masya allah.

semoga mereka yang sebelum aku dan selepas aku dirahmati dan dilindungi allah dari perkara mungkar.

ps: hingga kini aku masih sakit dan berusaha untuk mengubati. allah maha berkuasa.

suara said...

Megat, maaf ya sbb membuat pautan tanpa meminta keizinan. Saya pernah bbrp kali masuk blog megat, tapi tak tahu nak tulis komen apa.

Semoga Allah membuka jalan kesembuhan kepada Megat.