Sep 23, 2008

Antara Sedih Dan Syukur.




Lailatul Qadar.
Sedih. Syukur.

"Malam ni sejuk semacam je. Rasanya mungkin malam ni lah." Kata Haji Jamulus semasa di tangga masjid. Ramai yang menjangkakan malam lailatul qadar tahun ini jatuh pada malam 21 Ramadhan. Itu bisik-bisik yang saya dengar dari makcik-makcik yang saya temui di masjid.

11.45 malam.
Saya menjengok ruang solat di tingkat bawah. Kelihatan ramai sekali pelajar tahfiz yang masih berkumpul, cuba untuk menghabiskan bacaan Quran 30 juzuk dalam masa kurang lebih 24 jam. (Mereka bermula awal pagi. Saya sempat mengikuti bacaan mereka untuk Surah Al-Baqarah sebelum saya beredar untuk meneruskan tuntutan lain yang perlu diselesaikan.)

Malam ini juga, orang-orang biasa seperti saya kelihatan lebih ramai berbanding hari yang lepas. Masing-masing tenggelam dalam alunan bacaan kitab suci dan zikir munajat.

"Ish... Su rasa tak nak tidur je malam ni." Kata saya pada suami sambil langkah terus diatur menuju tempat parking. Dia diam.

"Tapi esok nak bangun awal. Kalau tak tidur, takut pulak tak terjaga terus untuk qiamullail." Tambah saya lagi. Hati berbelah bagi. Nak tidur dan bangun awal atau nak cuba untuk tak tidur. Bimbang kalau saya akan tertidur terus hingga ke subuh lalu terlepas qiamullail bersama adik-adik tahfiz. Bimbang kerana mengejutkan suami adalah tugas saya.

"Sebaiknya tidur dan bangun awal. Nak solat tahajjud kan kena tidur dulu." Saya akur.

12.15 pagi.
Mata cuba dipejam tapi fikiran masih sedar. Tidurlah mata, esok kan nak bangun lagi. Saya memujuk diri.

1.45 pagi.
Terjaga. Ahh.. Masih awal. Jam dikunci pukul 3 pagi.

2.20 pagi.
Tersedar. Tapi badan lemah sangat. Mungkin sebab baru sekejap terlena.

3.00 pagi.
Tersedar oleh bunyi alarm. Bangkit dan terus ke bilik air. Perut rasa memulas. Lama jugak saya bertapa dibilik sempit. 15-20 minit rasanya. Sedangkan masa itu emas.

3.45 pagi.
Sampai di masjid. Qiamullail yang dipimpin oleh pelajar Tahfiz terus bermula.

6.40 pagi.
Pulang awal walaupun ada kuliah Subuh sedang berlangsung. Abang pula sakit perut dan rasa nak muntah. Salah masakan saya agaknya. Saya pun sedikit pening. Kurang tidur barangkali. Balik nanti, tidur pasti di sambung kembali.

9.00 pagi.
Saya tersedar dari tidur. Langit begitu tenang dan suram. Lain sekali suasananya. Mendung tapi tak berawan. Mungkin benar semalam ialah malam keemasan yang ditunggu ramai umat Islam.

Tiba-tiba saya rasa sedih.
Saya tak patut tidur semalam.

Sedih sangat.
Patutnya bila saya tersedar, saya bangun walaupun hanya sekejap saja mata lelap.

Saya punya banyak permintaan dan impian untuk disebutkan pada Ar-Rahman. Dan saya ingin sekali ianya dikabulkan. Mahu ia jadi kenyataan. Saya juga mahu mohon keampunan atas dosa-dosa menimbun yang saya pernah lakukan.


Saya insan yang sering membuat kesilapan. Dan hanya Allah tempat saya mengadu, hanya Dia yang tahu betapa dada saya sarat dengan rasa bersalah dan berdosa atas segala kesilapan yang saya sengajakan dan tidak sengajakan. Saya mahu mohon keampunanNya... mahu minta perlindunganNya. Lindungi saya dan keluarga dari kejahatan dan kelalaian dunia.

Saya mengharapkan Ramadhan ini saya akan temui keajaiban yang sering diceritakan. Melihat pohon-pohon tunduk menyembah bumi mungkin. Agar saya tahu bahawa itulah antara waktu yang Allah tak akan tolak permintaan hambaNya. Dan saya mahu memperdengarkan segala keinginan dan harapan saya.

"Sekurang-kurangnya kau boleh puasa dan solat. Aku nih, cuti terpanjang pulak kali ni. Doa dan zikir je yang aku boleh buat." Kata teman lama yang saya hubungi semalam. Syukur mula mengambil ruang dihati.

Dan hari ini, dalam kesibukan tugasan yang ada, saya mencuri masa menjengah beberapa blog untuk mencari motivasi bagi meneruskan usaha mengejar keistimewaan Ramadhan yang masih tinggal seminggu saja lagi.

Hati saya lega bila membaca tulisan Ustaz Zaharudin.
Syukur Alhamdulillah. Jangan kita bazirkan masa Ramadhan yang masih ada.

'Ya Allah... berikan aku kekuatan dan ketahanan diri untuk meneruskan perjuangan menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya...'
Keazaman. Mampukah saya bertahan hingga ke akhirnya?

9 comments:

Akak said...

Salam Su...

terima kasih sudi berkongsi cerita, semuga ianya membawa manafaat pada kita semua, insyaAllah..

Tie said...

Su..tie juga rasa begitu..ingin sekali nak rasai nikmat mlm lailatulqadar..kalau tak dapat jumpa dia pun sekurang2 nya dpt lihat pohon2 tunduk menyembah bumi..belum ada rezeki lagi la tu..

e-leeyana said...

salam..terima kasih melawat di blog saya...
uum??? hehe ok sahaja..tidak lama lg akan dilancarkan website utk survey ex-uum...ble da dilancarkan, sy mklmkan ya...

p/s : tidak mengapa...keletihan hari ini moga2 akan diganti dgn tenaga utk hari esk....

nooreena said...

Salam akak. Reen juga lega bila baca tulisan Ustaz Zaharudin. InshaAllah masih sempat lagi mengejarnya. :)

suara said...

Salam akak...
Erm... lama tak datang kak. Sibuk ye? :)
Sekadar berkongsi perasaan sedih dan syukur yang datang dalam sekejap masa.

Tie...
Memang nikmat lailatul qadar hanya org terpilih mampu melihatnya. Su berusaha tapi mungkin usaha su tak cukup lagi. 10 mlm terakhir, dugaan makin banyak. Dugaan kesibukan membuatkan su rasa makin letih dan lemah. Ya Allah... Aku mohon kekuatan dariMu.

e-leeyana...
lawatan muhibbah tu.
ya... semoga esok akan lebih bertenaga. :)

noreena
Salam reen. Syukurlah kalau reen juga rasa lega. Kita kejar sama-sama ye reen. Bak kata Ustaz Hasrizal, kita perlu memburu lailatul qadar, bukan menanti.

Madu Warna Biru said...

Terima kasih sudi beri satu pengisian... insyaallah

warungkampung said...

Salam Kak Su,

Sedikit informasi yang saya dapat melaui al-ahkam.net:

http://www.al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=printview&t=27919&start=0

Jika guna formula Imam Ghazali,tahun ini jatuh pada tarikh 21 Ramadhan. TETAPI, mengikut para ulama yang lain, kebanyakannya berpendapat 27 Ramadhan adalah tarikhnya.(Perlu baca keseluruhan artikel untuk penjelasan)

Apa2 pun, mari sama2 hidupkan malam ke-27 (hari ini)! Jangan terlepas kawan-kawan!

Tirai Hidup said...

SU SEMOGA SEJAHTERA DI RAMADHAN INI...LAMA KITA X BERPANTUN KAN? KU RINDU....

suara said...

Madu warna biru...
uniknya nama pilihanmu. erm... sesamalah kita mengingatkan. Saya pun banyak yg nak di perbaiki.

warungkampung...
Terima kasih atas maklumat tu. InsyaAllah... kak su akan cuba buat apa yang terdaya. Tapi kan... malam ni kak su dah bertolak balik tau. Mungkin hanya zikir yang dapat kak su lakukan malam ni. Itupun kalau tak tertidur. Huhu...

tirai hidup...
lawaaaaa.... su pun rindu jugak! Tapi masa tak mengizinkan su merayap banyak sangat. huhu... Ada masa nanti kita berpantun balik ye.