Jun 11, 2019

Jalan ke syurga.

Manis orangnya. Sopan menyejukkan hati. Masih muda belia.

"Asyik berkepit dengan mak je. Bila nak kepit orang lain pulak?" Soalan yang dibenci oleh sesetengah orang terutama yang telah lama tamat belajar.

Allahu... Walaupun cuba dielak, ia terpancul juga dari mulut. Mengusik memang hobi tapi kadang tu tanpa sedar ia mungkin menyentuh hati. Maaf... Orang tua memang inilah rutin soalan. Sekadar bertanya perkembangan semasa sebenarnya. Huhu...

"Dia ni payah la. Takut nak kawin katanya." Si ibu menjawab.

"Ehh... Jangan! Nak takut apanya? Takut nak mengadap mertua ke?" Serkap saya.

"Macam-macam dengar pasal masalah orang kawin ni. Tak sanggup nak lalui masalah yang sama." Jelasnya. Entah kisah rumahtangga siapa yang dihidangkan, sehingga itu yang dia diputuskan.

"Aduhai sayang... Kehidupan kita tak indah bila tiada warna yang menghiasi. Pantai juga akan sunyi kalau ombak tak menghadirkan diri. Begitu jugak dengan alam berumahtangga. Setiap yang berlaku adalah proses untuk mematangkan kita." Diam. Mungkin tak setuju dengan apa yang dikata, mungkin juga kerana ia susah dihadam lantaran usia masih muda.

Sebelum pulang, bahunya saya peluk mesra sambil berbisik.

"Nak masuk syurga dengan mudah tak?" Dia mengangguk.

"Perkahwinan adalah jalan mudah bagi wanita untuk ke Jannah. Berbakti pada suami dan ikuti cara yang Rasulullah ajar, Insya-Allah, ada ruang untuk kita di sana nanti."

"Kalau jumpa suami yang baik, mudah nak berkhidmat untuk dia, tapi kalau sebaliknya?" Masih ragu. Jelas ada nada ketakutan di situ.

"Dah ada calon?" Soalku lagi. Dia menggeleng laju.

"Sentiasa berdoa. Mintak dengan jelas. Mohon Allah temukan jodoh yang mana dia baik untuk kamu dan kamu baik untuk dia. Dia baik untuk keluarga kamu dan kamu baik untuk keluarganya. Baik untuk dunia dan juga akhirat. Insya-Allah, tenang rumahtangga nanti..." Doa yang selalu saya ingatkan pada mereka yang masih belum berumahtangga. Kuncinya di situ.

"Cukup setakat tu dulu. Faham?" Dia mengangguk.

"Dah kawin nanti kak su bagi nasihat lain pulak. Nak cakap sekarang, nanti ada yang tak beraya karang. Tersadai kat sini. Haha..." Dia ikut ketawa. Aduhai manis sekali. Kalaulah saya ada calon yang sesuai, mahu saja saya jadi telangkai. 😄

"Kak su tolong la doakan jugak ya!" Pintanya menutup topik itu.

"Insya-Allah... Kak su sentiasa harapkan yang terbaik untuk semua ahli keluarga kita." Tubuh kecilnya dipeluk kemas.

Semoga Allah temukan kamu dengan jodoh yang saling melengkapkan...

Kekurangan itu lumrah kerana kita hanya manusia biasa, lalu Allah hadirkan pasangan agar kita saling menyempurnakan...

Yang pasti, setiap perkahwinan juga perlu melalui proses RnR; Redah dan Redha. Bila ada badai menimpa, kenalah Rehat dan Rawat pula...

#nasihatdarihati
#BDC2019
#bondanor

No comments: