Aug 20, 2009

Jalan Kita

Kami sekelas hanya selama 6 bulan. Dia pergi bila mendapat tawaran (panggilan kedua) ke MRSM. Saya tak rasa sedih pun. Lega sebenarnya. Dia pernah mengejek saya dikelas, sehingga air mata anak manja ini tumpah dek geram yang amat. Dia tak tahu, dan tak pernah ambil peduli. Itu dulu.

"Awak balaslah surat dia. Nanti boleh mintak bertukar-tukar kertas soalan periksa. Saya tukar dengan kawan di Maktab Tentera, awak dengan dia diMRSM. Lepas tu kita bincang dalam kumpulan, buat latihan sama-sama." Avy memujuk. Tak suka dia, bagaimana nak merutus surat?

"Alah... dalam surat je. Tulis je lah pasal cikgu ke, pasal aktiviti sekolah ke. Tak kisahlah, asal jangan terputus hubungan. Dia pun mesti nak kertas soalan periksa kita jugak." Pujuk Avy lagi. Dulu, kalau nak soalan peperiksaan percubaan dari sekolah lain, kena usaha sendiri.

Kesian juga bila memikirkan surat yang dikirim untuk kelas kami, tak ada seorangpun yang mahu membalasnya. Akhirnya saya membalas suratnya setelah hampir 4 bulan menimbang suara hati.

Tingkatan 4 dan 5, saya pula ke sekolah berasrama. Surat-suratnya masih setia mengunjungi, selalunya sebulan dua kali.

"Ehh... kenapa surat kamu selalu lepas ye?" Tanya Zakida, teman sebilik bila dia tahu surat yang mengunjungi saya setiap 2 minggu, penulisnya adalah seorang lelaki. Rutin biasa untuk surat-surat yang datang dari luar, cikgu merangkap felo asrama akan membaca surat-surat kami untuk memastikan tiada unsur yang menghanyutkan perasaan sebelum menyerahkan kepada pemilik sebenar.

"Mestilah lepas, sebab kami cuma bercerita tentang aktiviti sekolah dan pelajaran je. Kami kan kawan. Mana ada bahasa jiwang-jiwang ni. " Saya menjelaskan sambil tergelak kecil.

"Dia tinggal kat mana?"

"Errr... kalau ikut alamat kampungnya, kat Kg K*****."

"Eh, aku biasa dengan kampung tu. Rumah dia kat mana?"

"Entah."

"Tak penah pegi?"

"Tak penah."

"Erm... Dia anak ke berapa? Mak ayahnya keje apa? Ada gambar tak?" Soalan bertalu-talu dihemburkan pada saya.

"Ish... mana la aku tahu. Dulu dia sekelas kejap je. Gambar kelas kan selalunya ambik akhir tahun. Mana ada muka dia." Jelas saya.

"Tadi kata dah berkawan lama, tapi macam tak kenal dia pun. Tanya apapun tak tahu..." Zakida memuntahkan kemusykilan yang tersimpan dibenaknya. Aku terkedu. Benar, untuk seorang kawan yang dah lama wujud dalam hidup saya, yang selalu berutus surat dan bercerita, saya tak perasan yang kami sebenarnya tak kenal diri masing-masing.

Setelah hampir 5 tahun berutus surat, baru kami mula mengambil tahu tentang latar belakang diri dan keluarga.

"Nak jumpa kawan? Lelaki? Erm... kalau nak borak, suruh dia datang rumah waktu mak ada. Tak elok jumpa kat luar." Kata arwah mak, memberikan syarat kepada kakak. Dan saya tahu, arahan itu kekal untuk saya walaupun mak telah meninggal.

Lalu, hanya sekali setahun kami berpeluang untuk berjumpa. Raya. Ayah sempat kenal teman saya itu (kini, suami saya) sebelum dia meninggal dunia. Tapi ayah tak tahu bahawa lelaki yang menjadi tetamu saya setiap kali raya menjelang adalah lelaki yang akhirnya memiliki hati dan jasad anaknya ini.

Saat kami melanjutkan pelajaran di IPTA, hubungan kami tidak berubah. Saya dikelilingi hutan hijau nun di Utara, dia pula di hutan batu. Terpisah oleh jarak ratusan kilometer. Kami kekal berhubung dengan surat, lantaran kemampuan kewangan yang terhad. Handphone tika itu adalah barang mewah.

Tahun ke3, dia melamar saya menjadi teman istimewa. Melalui surat tentunya.

"Aku rasa baik kau terima dia. Percayalah, mulut aku ni masin tau. Kau akan menyesal kalau lepaskan peluang ni." Kata Misah, teman sebilik saya.

"Yang kau beria-ia sangat ni kenapa?"

"Dia baik, dan aku rasa dia sesuai dengan kau."

"Kalau kau berkenan sangat, apa kata kau je lah yang ambik?"

"Kalau dia nak, aku memang sanggup je. Tapi dia tak nak aku. Aku dah cuba 'ayat' dia, tapi tak jalan. Memang jenis lelaki yang payah nak masuk perangkap jugak lah."

Antara yakin dan curiga pada kesetiaan cinta jarak jauh, saya terima lamarannya.

".....Saya tak mahu hubungan kita menyekat peluang awak atau saya untuk bertemu dengan orang yang lebih baik. Kita jauh, dan peluang awak untuk mengenali orang lain masih banyak. Selagi kita tak punya ikatan pasti, kalau awak jumpa orang lain yang lebih sesuai dari saya, silakan. Cuma tolong beritahu saya sendiri. Jangan sampai saya tahu dari orang lain. InsyaAllah, saya tak marah. Dan terus terang saya cakap, saya jugak nak kenal orang lain....." Tulis saya. Cuba untuk jadi sejujur mungkin, bersedia dengan segala kemungkinan.

"....Saya dah jumpa orang yang saya cari dan saya akan tunggu masa awak yakin saya lah orang yang awak cari...." Balasnya.

Satu ketika, saya benar-benar rasa takut. Keliru sebenarnya.

"....Bukankah lebih baik cari orang yang sayangkan awak dan dia akan jaga awak dengan baik...."

"....Kalau itu yang awak rasa, sebenarnya ia untuk diri awak. Bagaimana kalau saya katakan saya sayangkan awak dan saya akan jaga awak sebaik mungkin. Bukankah itu yang awak cari?..."

Lalu lantaran jodoh kami telah tertulis, kami bersatu dengan restu keluarga. Alhamdulillah...

"Su ni anak yatim piatu. Lepas ni, Su sepenuhnya menumpang kasih abang dan mak ayah abang. Harapnya abang tak akan sesiakan Su..." Bisik saya sambil mencium tangannya setelah kami sah diikat olah lafaz akad.

Abang,
Selamat Menyambut Ulang Tahun Perkahwinan.
Terima kasih atas segala cinta sayang, perhatian, kemeriahan dan keindahan yang abang berikan sepanjang usia perkahwinan kita.

Nota : Tahun lepas, suami menghadiahkan saya buah durian yang cukup enak. Saya ketawa sakit perut. Kononnya nak suprisekan saya dengan hadiah istimewa tapi gagal sebab bau buah tu memenuhi segenap ruang rumah sebaik saja saya membuka pintu. Pemberian dari suami yang mengisinya dengan cinta kasih dan tawa, terlalu mahal harganya buat hati saya. Su sayang abang..... :)

Ya Allah... Kurniakan kami hati yang penuh dengan kasih sayang dan cinta antara satu sama lain. Kekalkan ikatan akad ini sehingga kehujung usia dan satukan kami diatas sana. Jadikan kami saling berpaut berkongsi kekuatan untuk menempuh dugaan di bumi sementara.

6 comments:

nohas said...

Nak wish juga..Happy Anniversary..and Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak..

suara said...

@nohas,
Thks. :)
Selamat menyambut Ramadhan buat kamu juga. Semoga kita berjaya menjadikan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. InsyaAllah....

Nooreena said...

Selamat Ulangtahun Perkahwinan akak!! Reen doakan semoga berkekalan sehingga bertemu semula di syurga kelak. Ameen.. (sob..sob..terharu baca kisah akak) ;_)

eeeda said...

Tak kira dah lewat pun nak ucap jugak selamat ulang tahun perkahwinan...semoga berkekalan hendaknya..

Adliff said...

Salam,
Kak Su,

Baru berkesempatan baca entri yang ini, menarik. Teman berutus surat sejak dibaku sekolah akhirnya jadi teman hidup.

Selamat ulang tahun perkahwinan. Sudah berapa tahun ye?

Aliff doakan yang terbaik untuk kalian.

epalejau said...

alaaa..
sweet..
:)

nk wish jgk..
slmt menyambut ulang tahun prkahwinan, kak su.
wish lewat sikit takpe kot?
huuu...

smoga bahagia selalu dan berkekalan hendaknya.
amin...
:)
:)
:)
:)

*doakan epal jg mengecapi kebahagiaan begitu*