Jun 15, 2009

Rindu Ayah...

"Nanti kat Makkah nanti, kita buat umrah badal untuk arwah. Yang niatkan untuk arwah mak, dan abang niatkan untuk arwah ayah." Kata suami saya. Saya mengangguk laju. Syukur Ya Allah...

Saat melihat salah seorang teman sekumpulan menyorong kerusi roda ayahnya, hati saya dihimpit pilu dan rindu. Bayangan wajah ayah yang masih terbayang dimata. Satu demi satu kenangan bersamanya memenuhi jiwa anak manja yang merindu.

"Adik! Balik cepat! Ayah panggil!" Kak Ngah menjerit dari laman rumah. Saya memandang Kak Ngah penuh risau. Ayah marah ke adik main congkak buah getah berlubangkan tanah ke? Atau ayah nak ajak aku ke kebun nenek? Hati menyoal sendiri, berteka-teki. Bergegas saya pulang meninggalkan sepupu yang masih leka menarikan buah getah dan menjatuhkannya ke dalam lubang.

"Ayah kat telaga. Pegi cepat!" Arah Kak Ngah sambil kakinya turut sama mengorak langkah menuju hala yang sama.

Ayah berdiri di sebelah batang buluh yang panjang melintang. Letak buluh itu separas bahu ayah, tapi melepasi kepala saya. Kayu kecil bercabang menampung kedudukan buluh tersebut, tapi salah satu hujungnya sedikit rendah.

Buluh inilah yang ayah kerjakan semenjak semalam. Sabut kelapa digunakan untuk membuang segala miang buluh. Kemudian ayah gunakan parang kecil untuk membuang ruas tajam dibuluh yang berpotensi untuk melukakan. Entah apa yang ayah nak buat, saya tak pasti. Bila ditanya, ayah hanya tersenyum. Mungkin ayah nak buat galah kait buah kot.

"Adik suka mandi hujan, kan? Bukak baju cepat, ayah buat air hujan untuk adik." Kata ayah dengan senyum melebar. Mata saya bersinar bila membayangkan air hujan. Air dari bumbung rumah menjadi tumpuan saya bermain tiap kali hujan turun.

Saya berdiri di satu hujung buluh yang lebih rendah, dan tangan ayah cepat mencabut sabut yang menutupi lubang sebesar ibu jari yang ditebuk pada buluh tersebut.

Syyuurrrr.... Sejuk air telaga membasahi badan. Segar sekali. Saya melompat kegembiraan dan ayah ketawa riang. Itulah 'air paip' ciptaan ayah. Antara hasil tangan ayah yang cukup berbekas di ingatan.

Membesar di desa yang agak pendalaman, saya sempat merasa kehidupan tanpa bekalan air dan elektrik. Bergantung sepenuhnya pada sumber alam, bermandi telaga dan berteman pelita ayan. Bergelap menjadi kebiasaan, berteman nyamuk memang tak mampu dielakkan.

Saya tak mudah jatuh sakit, tapi kalau saya sakit, memang teruk sangat.

"Adik demam ya? Nanti ayah pegi beli minyak gas, kita pasang lampu gasolin. Ada lampu nanti cerah sikit, bolehlah adik nak makan ubat." Pujuk ayah. Tangannya menyentuh dahi, mengesan suhu badan. Seharian muntah, memang membuatkan badan rasa cukup lemah. Ayah bimbang.

Sungguh saya rindukan belaian dan perhatian ayah.

Arwah ayah seorang yang berjiwa seni. Kehalusan jiwanya tergambar dari setiap hasil kerja tangannya. Tulisannya yang kemas bersambung masih jelas terbayang di mata saya. Bila saya mula melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama, suratlah yang menjadi perantara.

Sayang sekali surat-surat kiriman ayah musnah dimakan anai-anak. Surat yang saya simpan dalam satu kotak berserta dengan surat-surat lain. Saya cuba membayangkan bait-bait kerinduan yang saya ungkaikan buat tatapan ayah...

Assalamualaikum w.b.t.

Kembali menemui ayahanda dan keluarga dikampung. Anakanda disini sihat seperti biasa, berkat doa ayahanda dan bonda. Semoga ayahanda dan keluarga juga begitu hendaknya.

Surat ayahanda telah selamat anakanda terima minggu lepas bersama duit yang dikirimkan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang telah ayahanda lakukan untuk anakanda. Terubat juga segala kerinduan anakanda tatkala menatap warkah dari ayahanda. Namun begitu anakanda ingin memohon maaf kerana kelewatan membalasnya. Kesibukan menghadapi pelajaran di sini telah menghadkan masa anakanda untuk menulis, tapi ingatan anakanda tak pernah lepas pada ayahanda.

Ayahanda.... anakanda memang selalu rindukan ayahanda dan semua keluarga kita di kampung...
Untuk pengetahuan ayahanda, anakanda akan menghadapi peperiksaan bermula minggu depan. Doakan kejayaan anakanda ya! Doa ayahanda amat penting untuk anakanda. Selesai peperiksaan, anakanda akan bercuti selama dua minggu. Namun begitu anakanda telah ditugaskan untuk menguruskan penerbitan majalah sekolah, jadi kemungkinan anakanda akan balik lambat sedikit kerana perlu menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.

Ayahanda yang sentiasa dirindui,
Kalau mengikut perkiraan anakanda, musim buah sudah menghampiri, kan? Bagaimana dengan kebun kita agaknya. Sudahkah ayahanda menyiapkan bangsal menunggu durian didusun nenda? Oh ya, bagaimana dengan nenda sekarang? Masih sihatkah dia untuk mengerjakan batas-batas kebun di dusun kesayangannya itu? Sudahkan sakit lututnya itu pulih sepenuhnya?

Tiba-tiba anakanda terbayangkan kebun nenda yg pastinya telah penuh dgn batas-batas ubi yang telah mula tumbuh subur. Menjelang masa untuk buah-buah di kebun masak, pastinya tika itu juga durian telah mulai gugur, ubi-ubi yang nenda tanam pula tentunya telah cukup matang untuk di cabut. Nenda memang pakar menjangkakan tempoh untuk ubi itu menjadi besar kan?

Tahukah ayahanda bahawa anakanda pernah bertanya pada nenda, kenapa nenda hanya tanam ubi pada masa tertentu saja? Katanya, dia lakukan semua tu sebab mahu cucunya menikmati ubi bakar semasa menemaninya menunggu durian. Anakanda harap, anakanda akan berpeluang untuk menemani nenda lagi menjelang musim durian gugur nanti. Ketika menulis surat ini, anakanda sedang membayangkan bau ubi kayu dan keledek bakar yang wangi. Aduh... tak sabar rasanya nak menunggu masa itu tiba.

Ayahanda jangan lupa buat bangsal yang tahan lama sikit kali ini ya. Jangan sampai bila hujan ribut melanda, bumbungnya terbang lagi seperti tahun lepas! Anakanda suka sangat tidur dibangsal yang ayahanda sediakan itu. Bangsal yang berlantaikan buluh, berbumbungkan rumbia dan ringkas berdindingkan daun kelapa. Sejuk dan nyaman sekali rasanya bila berbaring disitu...

Ayahanda yang di kasihi,
Surat akan datang, tak perlulah ayahanda sertakan duit belanja untuk anakanda ya, kerana kiriman ayahanda yang lepas masih ada, belum terusik pun lagi. Tak banyak yang anakanda belanjakan kerana anakanda tinggal di asrama dan pihak pengurusan telah menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan pelajar di sini. Hanya sesekali saja anakanda akan membelanjakan duit itu bila teringin untuk makan kueh di kantin ataupun bila perlu membeli alat tulis di koperasi. Lagipun sekolah ada memberikan sedikit biasiswa untuk anakanda dan rasanya ia mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan anakanda disini. Kalau anakanda perlukan belanja yang lebih sikit dari biasiswa yang diberikan, anakanda akan beritahu ayahanda nanti. Janganlah ayahanda bimbang ya!

Sudah agak panjang surat yang anakanda lakarkan untuk ayahanda, semoga terubat kerinduan ayahanda pada anakanda bila menatap titipan bicara ini. Sampaikan salam kerinduan anakanda pada nenda, kekanda berdua dan juga saudara mara kita yang lain. Andai ayahanda menziarahi pusara bonda, katakan juga padanya, anakanda diperantauan sentiasa merindui segala kenangan bersama dengannya. Hanya Al-Fatihah yang mampu anakanda kirimkan, semoga roh bonda damai dipersemadian. Amin.

Wassalam.

Ayah meninggal tika usianya belum mencecah 60 tahun. Bersemadi bersama arwah mak dan nenek, meninggalkan saya dengan kenangan yang masih segar diingatan.

Saya rindu ayah.

Al-Fatihah.

Nota : Sedikit tambahan untuk entry warkah untuk ayahanda yang telah lama saya paparkan, untuk memeriahkan lagi kilauan warna Sang Pelangi sempena hari bapa.

12 comments:

umi_e said...

Al-fatihah buat ayah dan ibu Suara...

kina said...

semoga ayah saudari dicucuri rahmat...

Cikgooden (Selumbar Emas). said...

alfatihah...

Nooreena said...

Salam akak sayang..
Sebak bila baca entri akak ni. Reen cuba meletakkan diri di tempat akak, tapi Reen tahu perasaannya tidak sama. Reen rasa sedikit sakit membayangkan saat-saat jari akak menaip bait-bait kata entri di atas. Yang pastinya, Reen tidak sekuat akak.. Hmm.. sayang akak! \(-_-)/

Doa dan al-Fatihah buat arwah ayah, ibu dan nenek akak..

Iliana said...

kalaulah kita diberi lebih masa..
kalaulah kita diberi peluang memperbaiki keadaan..
kalaulah kita dibenarkan untuk ke masa silam..
tapi, kalau hanya kalau..

semoga semuanya baik-baik belaka. amin~

kayteeze said...

Hmm... kak tie sedih laa.......

fusarium solani said...

Semoga ayahanda kak Su berada dalam linkungan rahmatNya.Amin.

epalejau said...

salam..kak su..
hrm..
kak su mmg suka wat epal tersedu2 tau..
ni yg buat epal rasa nak balik kampung ni..
da berapa bulan x balek..
wua..
(cheh, sebulan pun x sampai :D)

p/s: al-fatihah utk arwah mak abah akak yer..semoga roh mereka dicucuri rahmat..amin..

Mak Su said...

arwah ayah maksu meninggal hari ni ler, kalu tak silap. 18hb enam.

suara said...

@umi-e, kina & cikgoodin
Terima kasih...

===================
@Nooreena,
Kak su percaya Reen mampu memahami perasaan kak su, cuma menjiwainya mungkin sedikit payah kerana ianya pengalaman yang tak pernah Reen lalui.

Setiap insan akan merasai pengalaman kehilangan Reen, cuma tak pasti bila masanya, dan siapa. Jika diri kata tak kuat, maka tak kuatlah... Namun Reen kena ingat, kekuatan itu milik Allah, lalu jika rasa lemah, mintalah kekuatan dariNya.

Satu petua yg kak su nak kongsi dgn Reen, petua yg agak terkenal semenjak kak su kecik lagi. Utk jadi kuat... Reen minumlah MILO!!! Nanti Reen akan jadi sihat dan kuat!! Kekekeke

==================
@Iliana,
Jikalau.... Bila terlalu memikirkan, semua jika dan kalau akan timbul. Fikiran berputar menyimpul kesal.

Ya Allah... jangan jadikan aku insan yang berkeluh kesah....

==================
@Kayteeze
Kak tie... semalam su hadiri satu kursus... penceramah tu cerita ttg ibu... dan dia pasang lagu Ibu nyanyian Aisyah... su sedih sangat... :(

==================
@Fusorium Solani...
Amin. Terima kasih alif.

==================
@epalejau,
Salam dik.
Lain kali epal sediakan tisu sblm baca catatan kak su tau. Nanti hingus meleleh kat pc, payah lak.

Balik kg? Nak ikut!!! (tapi balik kg masing-masing...)

Amin. Terima kasih dik epal.

==================
@Mak su,
Su tak ingat tarikh tepat kematian ayah dan mak... Sedih. Tarikh lahir mrk juga su tak tahu... dlm ic hanya ada tahun je. :(

Moga Allah tempatkan arwah ayah maksu dikalangan hamba yang Dia redhai. Amin.

rudy bluehikari said...

Alfatihah. sendu sekali menatap entri ini.

Rantong said...

Sekadar nasihat & peringatan sesama muslim.

Berhat-hatilah bilamana menulis blog. Tulis dengan ilmu & iman.

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. " (Al Hujurat ayat 12)

View Profile: Rantong™