Jun 26, 2009

Anugerah di Raudhah

Di Madinah, antara tempat yang amat makbul doa adalah di Raudhah.

"Raudhah dibuka sampai pukul berapa ye?"

"Untuk perempuan, sampai pukul 12 malam. Kalau lelaki, bila-bila masa boleh masuk."

"Bukanlah... untuk perempuan rasanya sampai pukul 10.30 saja. Lepas waktu tu, pintu dah tutup, tak boleh masuk lagi."

Perbualan rakan jemaah.

Saya berkira-kira sendiri. Kebanyakan mereka telahpun pergi ke Raudhah semasa hari pertama lagi, ketika 'ziarah dalam' dengan bimbingan dari Ustazah. Saya belum. Keadaan saya tika itu tak mengizinkan saya menyertai mereka. Selesai solat Zohor tadi, orang terlalu ramai. Maklumlah hari Jumaat, hari yang penuh keberkatan. Tambahan lagi fikiran saya tertumpu pada suami, tak sabar nak menyampaikan berita gembira ini. 'Abang! Su dah boleh solat!' Terasa ingin menjerit saja.

Raudhah. Dengan masjid yang sebegini besar, arah mana yang perlu dituju?

"Kau masuk dalam masjid tu, ikut je laluan orang ramai yang menuju ke tengah masjid. Kebanyakan mereka memang nak ke Raudhah. Adakalanya kau boleh tengok ada polis yang mundar mandir, dan sesekali menjerit 'Ziarah! Ziarah!!' Itu tunjuk arah untuk orang-orang yang nak ke Raudhah." Terang Anizah, rakan jemaah MSSAAS yang telah beberapa kali menjadi tetamuNya.

Saya cuba mengingat kembali apa yang pernah dia ceritakan.

Tangannya rancak melakar garis-garis di atas helaian kertas. Saya memerhati dengan tekun, bersungguh-sungguh untuk cuba menghafal dan memahami apa yang diterangkan.

"Kawasan Raudhah sebenarnya adalah kawasan lelaki, kita tak boleh masuk. Tapi pada waktu ia dibuka untuk perempuan, tirai sekatan akan dibuat. Tiang-tiang macam tiang Jibril, tiang Aisyah dan beberapa tiang lagi yang ada kat Raudhah, memang kita tak boleh nampak. Mimbar Rasulullah, makam Nabi dan sahabat pun kita tak boleh nampak." Dahiku berkerut. Bagaimana nak tahu itu kawasan Raudhah kalau tak boleh tengok penanda yang dikatakan tu?


"Kita tak boleh masuk macam tu je. Sekarang ni, mereka akan kumpulkan kita dalam kumpulan sebelum di benarkan masuk. Selalunya jemaah Malaysia gabung dengan Indonesia. Mereka tempatkan kita di satu sudut dalam masjid tu. Lepas tu tunggulah sampai polis tu panggil, suruh masuk." Dia menjelaskan seteliti mungkin.


"Aku selalunya akan cuba solat kat depan sekali. Rapat ke kiri dan tunggu giliran sehingga ada ruang untuk menuju ke depan. Nanti akan ada ruang untuk kau solat. Polis selalunya tak bagi solat lama-lama. Sebab ramai lagi yang nak solat. Kalau nak mintak apa-apa, berdoa masa sujud...." Nasihat Anizah. Saya mengangguk tanda faham.


Hati sedikit ragu. Alangkah baiknya kalau boleh ke sana bersama suami. Dia dah sampai ke Raudhah, dah solat berkali-kali disana.

"Yang tak boleh masuk ikut pintu utama yang selalu abang guna tu. Dalam masjid ni, tempat lelaki perempuan disekat, pintu masukpun diasingkan. Tak boleh abang nak bawak Yang." Katanya sambil tangannya memegang gelas yang berisi air oren. Waktu makan, itulah waktu untuk kami bertemu dan bercerita.

"Tak pelah, cubalah tanya sapa yang nak pegi. Kalau ada kawan nanti, tak de lah abang risau sangat." Tanbahnya lagi.

"Nanti Su tanya. Kalau tak de sapa nak pegi, Su ingat nak pegi jugak. Rugi kalau tak solat kat sana. Allah dah bantu Su, bagi Su boleh solat kat Masjid Nabawi, tak kan Su nak sesiakan peluang untuk ke Raudhah macam tu saja." Kata saya sambil mencari dan mengumpul keyakinan diri. Tak mahu menerbitkan kebimbangan dia untuk sesuatu yang boleh dilakukan, walaupun saya bersendirian.

'Ya Allah... permudahkanlah laluanku ke Raudhah...' Bisik hati saya.

Selepas solat Isyak, saya pulang ke hotel untuk makan. Kemudiannya saya masuk ke bilik untuk mengemaskan diri dan memperbaharui wuduk sebelum kembali melangkah ke Masjid Nabawi.

"Kak su nak ke Raudhah tak malam ni?" Tanya teman sebilik saya, As yang datang bersama suami dan ibu mertuanya. Dia bertanya sebelum sempat saya membuka mulut.

"Memang nak pegipun. As nak ikut? Dah boleh solat?" Saya meminta kepastian. Dia sebenarnya mengalami haid yang tidak teratur. Baru saja suci, sempat bersolat beberapa waktu dan tiba-tiba haidnya datang lagi.

"Jumaat tadi saya dah solat. Ingat nak pergi. Mak pun nak pegi jugak." Jelasnya.

"Makcik dah pegi kan?" Pandangan saya jatuh ke wajah tua itu.

"Dah. Tapi As nak pegi, makcik nak ikutlah jugak." Jawabnya sambil tersenyum.

"Oklah, kalau macam tu, kita pergi samalah nanti." Hati saya lega. Ada teman, saya lebih yakin untuk melangkah.

"Tutup pukul berapa ye? Ada yang cakap pukul 10 pun dah tutup. Ada yang kata pukul 12." As bersuara. Jam menunjukkan pukul 9.50 malam.

"Entahlah. Tak pe, kita pergi je. Kalau ada rezeki kita, insyaAllah boleh masuk. Tapi kita kena pegi cepat. Lambat pegi karang, lambat pulak balik." Saya nekad.

Pukul 10.20 malam. Kami bertiga mengatur langkah memasuki Masjid Nabawi. Orang masih ramai walaupun tidak seramai waktu solat fardhu. Seolah ada satu aliran manusia yang menuju ke satu arah yang sama. Saya yakin, mereka juga mahu ke Raudhah.

Sampai di satu ruang, saya boleh nampak kumpulan jemaah diasing-asingkan.

"Hajjah!! Hajjah! Sini!" Kedengaran suara memanggil. Saya meninjau, mencari arah suara tersebut. Rupanya polis wanita berpakaian hitam bertudung litup itu yang menyeru. Tangannya melambai-lambai ke arah kami dan menunjuk ke arah satu kumpulan jemaah yang bertelekung putih. Jemaah dari Indonesia.

Saya berdiri, memerhati persekitaran. Beberapa orang polis mundar mandir, sambil mengawal jemaah yang datang. Apa yang saya perhatikan, untuk arahan ringkas, mereka mampu menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh jemaah, tapi dengan slang yang sedikit lain, membolehkan saya tahu bahawa penuturnya bukan Melayu.

"Hajjah! Duduk!" Bahu saya dipegang. Saya mengangguk. Saya melihat Makcik Ani yang berada berdekatan tiang, sedang menunaikan solat sunat. Saya tersedar. Seharusnya saya solat sunat tahiyatul masjid sebaik saja masuk, sebelum duduk.

"Allahuakbar..."

Selesai menunaikan solat, sambil menunggu giliran dipanggil, saya hanya berzikir. Mata saya leka memerhatikan gelagat para jemaah. Ada yang tidak sabar, meluru masuk bersama kumpulan lain. Bangsa Arab rasanya, dengan pakaian jubah serba hitam.

Agak lama menunggu, kumpulan jemaah dari Asia (Malaysia dan Indonesia) belum dipanggil. Sabar. Bertenang. Hati saya tertanya, adakah kami dianaktirikan? Dengan kumpulan yang tak ramai seperti jemaah lain, seolah kami dibiarkan menunggu lebih lama.

Seingat saya, hampir sejam menunggu, barulah kami dibenarkan masuk. Jemaah bersesak dan bertolak-tolak untuk masuk. Saya memegang Makcik Ani dan As. Bimbang terpisah dalam kelompok yang ramai. Namun tekanan demi tekanan akhirnya meregangkan pegangan kami.

"Macam mana nak solat ni. Ramainya..." Kata saya.

"Kak su, susah nak solat kalau kita nak duduk sekali. Kita ikut arus je lah. Nanti lepas solat, kita jumpa kat luar. Kat tempat menunggu tadi ke..." Kata As memberi cadangan.

"Oklah kalau macam tu." Tak lama, As hilang dalam kelompok orang ramai. Makcik Ani masih bersama saya. Bimbang juga nak membiarkan dia sendirian. Sedikit ruang yang ada, pasti ada jemaah yang bersolat. Walau payah, walau sempit, mereka tak lepaskan peluang. Kalau nak melangkah walaupun setapak, harus berhati-hati, jangan sampai terpijak kepala orang yang sedang sujud.

"Makcik, kita ke depan ye. Kita tuju saf paling depan." Cadang saya sambil tangannya tak saya lepaskan. Dia mengangguk.

Tiba-tiba bahu Makcik Ani dicuit. Ada sedikit ruang terbuka bila salah seorang jemaah Arab selesai menunaikan solat. Dengan menggunakan isyarat tangan, dia mempelawa Makcik Ani mengambil ruangnya untuk solat. Makcik Ani memandang saya, seolah meminta pandangan.

"Tak pelah, dah ada peluang ni, makcik solatlah kat sini. Su nak pegi depan. Nanti bila dah selesai, makcik keluarlah ye. As dah janji nak tunggu kat luar. Makcik dan As balik dululah, tak payah tunggu Su." Kata saya.

"Ye lah." Jawabnya ringkas. Lengannya yang saya paut kemas sedari tadi, saya lepaskan. Dia mengangkat takbir dan saya terus mara ke depan bersama kumpulan jemaah yang masih menunggu giliran untuk solat.

Saya teringat amalan sunat ketika berada di Raudhah yang di baca dari buku panduan umrah. Salah satunya ialah salam dan selawat kepada Rasulullah dan para sahabat. Dengan suara perlahan, saya membisikkannya. Tak lupa juga kiriman salam dari teman dan saudara buat kekasih Allah.

Saya sebenarnya tak berapa suka berada dalam kesesakan manusia, tak suka berbaris panjang, bertolak-tolak menunggu giliran sambil berdiri dengan badah basah dengan peluh. Rimas. Cukuplah pengalaman semasa pendaftaran subject setiap awal semester, lama dulu.

Tapi di sini, menunggu giliran untuk sujud ditempat paling 'mahal' di Masjid Nabawi ini, memberikan saya perasaan yang berlainan. Ingatan saya tertumpu pada gambaran padang Mahsyar. Entah kenapa. Saya terfikir, bagaimanakah nanti tika semua manusia dikumpulkan, menunggu nama dipanggil untuk dibentangkan timbangan dosa dan pahala. Gerun. Hati saya bergetar.

'Ya Allah... bantulah daku. Berikan aku ruang untuk solat di saf paling depan. 2 rakaat pun jadilah....' Hati berbisik dan berdoa, sambil mulut saya beristighfar, memohon ampun atas segala doa yang menimbun.

Bila badan terdorong ke depan, itu tandanya ada jemaah berganti solat. Sehinggalah saya hampir ke saf sasaran, baru saya perasan ada polis yang menunggu, berdiri memerhati jemaah solat di barisan paling depan. Jemaah yang telah selesai solat dua rakaat diarahkan bangun, lalu terbukalah ruang pada jemaah yang lain.

Saya teringatkan pesan mak mertua saya. "Di Raudhah, solatlah mengikut keadaan. Cukup dengan dua rakaat jika keadaan tidak mengizinkan. Jangan berdoa berjela-jela selepas solat, tapi berdoalah dalam keadaan bersujud. Kerana tika itu kita paling hampir dengan Allah. Dan polis juga tak akan halau bila dilihatnya jemaah masih dalam keadaan bersujud."

Saya antara kumpulan jemaah yang terakhir. Tika saya bangkit dari sujud yang panjang, kesesakan sudah mulai surut. Menghormati jemaah yang masih menunggu giliran dibelakang, saya bangkit untuk beredar. Selang beberada langkah, saya lihat ada ruang kosong. Saya menoleh kiri dan kanan, melihat jika masih ada jemaah yg berhampiran mengintai ruang untuk solat. Tak ada.

'Ini rezeki ni.' Bisik hati saya. Tanpa berlengah, saya memperkemaskan kedudukan dan sekali lagi saya mengangkat takbir, menunaikan solat sunat taubat dan solat hajat. Memohon ampun, berdoa dan menangis semahunya...

'Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah, kerana Kau izinkan aku solat disini.' Mata saya merah, basah. Mengingati betapa pemurahnya Allah pada saya. Saya hanya minta diberikan peluang untuk solat dua rakaat, tapi Dia berikan saya ruang untuk solat enam rakaat!

'Abang! Su dapat solat di Raudhah!' Terasa mahu menjerit, mengkhabarkan nikmat yang Allah berikan pada saya.

Tepat pukul 12 malam... Saya melangkah keluar dari Masjid Nabawi dengan perasaan girang yang tak mampu saya gambarkan....

Nota : Raudhah dibuka sehingga pukul 12 tgh malam. Tapi pintu untuk masuk ke masjid Nabawi akan ditutup lebih awal.

10 comments:

Rantong said...

Sekadar nasihat & peringatan sesama muslim.

Berhat-hatilah bilamana menulis blog. Tulis dengan ilmu & iman.

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. " (Al Hujurat ayat 12)

View Profile: Rantong™

suara said...

@Rantong...
Terima kasih atas ingatan.
Saya insan yg kurang ilmu dan iman juga entahkan lebih nipis dari kulit bawang. Sedari awal saya menulis, saya mengharapkan teguran dari semua pembaca, andai ada salah yang saya lakukan tanpa sedar, andai tulisan saya melampaui batas dan garisan Islam.

Sila berikan teguran... dan nyatakan kesalahan, agar dapat saya perbaiki keadaan.

Farid Rashidi said...

Assalamualaikum Kak Su,

Bagi saya Kak Su tidaklah menulis sesuatu yang melanggar syara'. Ia sebuah catatan diari diri.

Tak mengapa, teruskan menulis ya. Mana tahu ianya mencetuskan perasaan orang mahu ke sana dan beribadat juga.

suara said...

@Farid Rashidi,
Waalaikumussalam.
Lega kak su. Berkali-kali kak su baca n3 kak su nih, kot-kot ada yg salah. Mana tahu kalau ada yg terlepas, berbau unsur tak sihat untuk hati kak su dan pembaca lain.

Kak su mmg berdoa, andai blog kak su nih membawa keburukan pd diri kak su dan/atau pd org lain, biarlah Allah tunjukkan. Dan mungkin tika itu, kak su akan berhenti menulis... dan menguburkan blog ni.

Thks Farid.

Nooreena said...

Salam akak sayang..
Lama sudah Reen tidak menyinggah di sini. Line internet di rumah tidaklah sebaik di Penang. Huhu.

Banyak sungguh yang akak kongsikan di sini. Pengalaman akak amat berharga buat Reen serta sahabat-sahabat yang belum berkesempatan lagi ke sana. Membuatkan ku begitu kepingin ke sana. Teruskan menulis lagi ya akak.


PS: Reen sudah ada di SA. :)

Balqis said...

Kak Su! Kak Su!
(sambil berlari-lari anak mendapatkan Kak Su)

Huhu, rindu kak Sulah...
Kak Su, saya sudah selesai imtihan!! Alhamdulillah... terima kasih atas doanya dulu... ^_^

Sekali lagi Kak Su buat saya rasa pilu baca entri Kak Su... Mesti ada part2 yang akan buat saya rasa sedih dan rasa diri ini memang sungguh banyak berdosa.

Terima kasih kak Su berkongsi cerita, sebab ada juga tips2 yang boleh diguna di sini... huhu... Raudhah, Raudhah...

suara said...

@Reen...
Salam dik manja.
Reen dah ada kat SA ye? Berapa lama? Ni mesti dok berkepit bawah ketiak mak dan abah ni... betul kan?

Jom dating... lokasi MSSAAS. Masa, bicara AdDin hari Sabtu. Lepas tu kak su bawak Reen makan nasi lemak. Nak? :D

===================
@Balqis...
Ye...Ye... (Sambil berlari-lari kakak mendapatkan Balqis... :D)

Alhamdulillah, dah selesai imtihan ye? So banyak le masa yg diabihkan dgn merayap? Amboi...

Nanti kak su buat entry yg tak de sendu pulak ye! Tak nak lah nanti blog kak su kena chop blog pilu sembilu je... Macam tak banyak warna la pulak, kan?

Nooreena said...

Salam akak..
Semalam masa akak call, Reen tengah 'dating' laa. :D Reen baru perasan akak ajak Reen date kat MSSAAS hari ni. Petang ni Reen balik Penang dah. InshaAllah Ramadhan ni kita berkesempatan jumpa. Tak sabarnya! ;)


PS: Sejak bila nama Reen tukar jadi 'dik manja' ni.. (sambil tersipu-sipu malu) :P
PS2: Reen dah terserempak sama empunya Hembusan (tempat kita bertemu) hari tu. Nampaknya dia lebih awal jumpa Reen dari akak. :D

suara said...

@Nooreena
Salam Reen,
Bicara Ad Din tu bukan hari ni la, hari Sabtu.

p/s: Adik-adik blogger kak su semuanya manja-manja per... :D

p/s: Kak su pun rasa macam penah ternampak org seiras owner Hembusan di MSSAAS, tapi tak berani nak confirm. Salah orang karang... malu. Rumah keluarga dia diPJ (Pdg Jawa), bukan jauh sangat dari SA pun.

fusarium solani said...

Syukurlah :) Allah SWT berikan kenikmatan pada kak Su untuk solat di Raudhah. Entah bila giliran saya pula.