Jun 2, 2009

Subuh di Masjid Nabawi

Saya tak pasti pukul berapa Subuh di Madinah. Saya mencongak sendiri, mungkin seawal subuh di Bahrain juga.

3.40 pagi. Saya dikejutkan dengan azan pertama dari Masjid Nabawi. Alhamdulillah. Walaupun tanpa alarm, saya dipanggil untuk bersama-sama menyertai mereka yang berpusu-pusu memasuki Masjid Nabawi.

Dari jauh, kelihatan manusia berjalan berduyun-duyun mahu memasuki masjid. Pintu yang semalamnya ditutup rapat, kini terbuka luas, menjemput tetamuNya untuk sama-sama sujud pada Yang Satu.

Saya mengambil tempat di salah satu tiang lampu luar masjid. Kelihatan beberapa jemaah menunaikan solat sunat. Ada yang sempurna berdiri untuk mengerjakan solat, dan ada yang hanya solat dengan keadaan duduk. Ada yang datang berteman dengan ibu yang memerlukan bantuan, ada juga yang datang dengan anak kecil yang masih lena dalam kendongan.

Hati saya tertanya-tanya... kenapa solat di luar masjid yang mereka pilih? Kenapa tak cuba masuk ke dalam? Tanpa alas sejadah, tanpa hamparan karpet, mereka melabuhkan punggung, merendahkan diri pada Yang Esa, sujud di lantai marmar yang indah, yang memenuhi setiap inci kawasan masjid.

Ahh... Mungkin keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan mereka untuk bersesak-sesak masuk ke dalam, mungkin juga di dalam sana telah penuh, padat dengan mereka yang lebih awal sampai di masjid, mungkin juga mereka tak mahu membiarkan suara anak tangisan anak mengganggu jemaah lain.

Jemaah semakin ramai. Tempat yang saya duduki juga semakin penuh. Saya berundur, memberi ruang buat mereka yang mahu mengerjakan solat. Suara imam membacakan ayat-ayat suci begitu menusuk perasaan. Melihat berbaris-baris jasad yang sujud serentak memberikan satu perasaan yang cukup indah.

Saya hanya duduk kaku, membatu. Rasa sayu menyelinap di hati. Memikirkan keuzuran yang membataskan diri saya dari menyertai mereka.

Rupanya saya tak keseorangan. Di satu tiang yang lain, ada jemaah wanita berbangsa Arab yang berpakaian hitam bertudung litup turut sama menjadi pemerhati, sama seperti saya. Mungkin kami senasib.

Di bumi bertuah ini, tidak ada zikir selepas solat. Tak ada doa untuk di aminkan. Namun saya mendengar suara takbir, sejurus selepas salam diberikan. Solat sunat agaknya. Bisik hati saya sendiri. Itulah tanggapan saya yg jahil. Kemudiannya semasa di Makkah, saya dapat tahu yang itu adalah takbir untuk solat jenazah yang selalunya memang ada setiap waktu solat. Aduhai... terasa benar kejahilan diri.

Jemaah telah mula bergerak, bersurai. Saya memandang jam di tangan. Masih awal lagi kalau nak balik untuk breakfast. Sebenarnya saya tak tahu pukul berapa sarapan pagi disediakan oleh pihak hotel. Dan sukar untuk saya bertanya pada suami memandangkan kami tak dapat berhubung. Apatah lagi bila kami ditempatkan dalam bilik yang berasingan. Walaupun dia dibekalkan dengan simcard (Arab Saudi) oleh abangnya, dan saya dipinjamkan dengan simcard Mobily (juga Arab Saudi) oleh seorang teman, namun kami masih belum dapat berhubung disebabkan kredit yang belum ditambah.

Saya membuat keputusan untuk mengulangi langkah semalam. Mengelilingi masjid, menikmati udara pagi sambil berzikir dan berdoa sambil menyaksikan langit pagi yang semakin cerah. Indah sekali. Terdapat jemaah yang mula berkumpul dan diberikan kuliah subuh oleh ketua masing-masing. Sayang sekali saya tak dapat menyertai memandangkan bahasa yang di gunakan tak langsung saya fahami.

Saya melintasi satu kumpulan jemaah sedang berdoa, berselawat dan menyampaikan salam pada baginda Rasulullah dari luar bangunan. Saya berhenti seketika untuk menyertai mereka. Menadah tangan sambil berdiri, memandang kubah hijau dan mengaminkan saja apa yang dibaca. Selesai bacaan doa, saya melemparkan senyum pada jemaah yang berpaling memandang, beredar dan meneruskan langkah untuk pulang.

"Su, pegi masjid tak tadi?" Tanya Makcik Hajar semasa kami bersama menikmati sarapan pagi.

"Pegi. Tapi duduk kat luar je lah." Jawab saya sambil tersenyum tawar.

"Nas dah ambikkan air zamzam?" Tanyanya lagi. Cukup prihatin.

"Belum jumpa dia lagi pagi ni. Tak tahu dia ada ambik atau tak."

"Tak pe. Nanti bila kita buat ziarah dalam, Su bawak je botol mineral yg kosong. Nanti makcik ambilkan." Makcik Hamizun bersuara.

Pukul 8, kami berkumpul untuk melakukan ziarah dalam. Ziarah dalam ialah ziarah di dalam masjid Nabawi, termasuk ziarah ke kawasan perkuburan Baqi' (kubur bagi isteri-isteri dan sahabat-sahabat nabi, serta para anbiya'). Jemaah perempuan dan lelaki diasingkan, dan kami diketuai oleh seorang ustazah (juga dari Indonesia yg telah lama menetap di sana). Kami diberikan taklimat ringkas tentang tempat yang akan di bawa dan larangan yang perlu dipatuhi.

Sebarang bacaan sepanjang ziarah, dibaca dengan kuat oleh ustazah dan kami mengikuti. Caranya banyak membantu kami terutama untuk orang yang tak sempat menghafal semua doa seperti saya. Walaupun buku panduan umrah sentiasa ada di tangan, tapi lebih mudah mengikuti ustazah.

"Mana tadi jemaah yang uzur? Kamu boleh masuk tapi hanya boleh masuk setakat ini saja ya! Nanti kamu boleh terus pulang atau kalau mahu menyertai kumpulan, tunggu saja di pintu nombor 25." Kata ustazah sambil mengintai mencari saya di celah-celah jemaah.

"Su boleh masuk kat tempat air zamzam ni. Nanti Su minumlah ye. Berdoa dulu sebelum minum. Mintak dengan Allah supaya cepat kering. " Kata Makcik Hamizun. Bagai seorang ibu yang begitu mengambilberat.

Itulah kali pertama saya meneguk air zamzam setibanya di Madinah. Segarnya air zamzam, terasa begitu enak bila melalui kerongkong. Nikmatnya membuatkan saya menitiskan air mata. Terasa seolah-olah Allah memberikan laluan mudah untuk saya berusaha. Alhamdulillah...

Bermula dari situ, setiap kali tiba waktu solat, saya akan masuk untuk minum dan mengisi air zamzam ke dalam botol mineral water untuk diminum di hotel. (Air zamzam dibawa menggunakan tong-tong ke Madinah untuk dinikmati oleh umat Islam. Bentuk tong seperti dalam gambar. Ada yang sejuk seperti ais dan ada yang tak sejuk. Selalunya saya pilih yang biasa.)

Selalu saya dengar tentang kehebatan air zamzam, air yang cukup istimewa pemberian Allah untuk kita umat Islam. Air yang mampu diminum sebanyak mungkin oleh seluruh umat Islam di dunia ini tanpa keputusan bekalan. Walaupun tika di musim kemarau, ia tak pernah kering. Terbukti ia adalah ubat yang paling mujarab untuk segala penyakit, dengan izin Allah tentunya. Berdoa, niatkan apa yang dihajati, minum dan insyaAllah, Allah akan makbulkan.

Saya teringat satu kisah. Tak pasti di mana saya dengarinya, samada melalui pembacaan atau seseorang menyampaikan. Seorang pesakit yang disahkan mengidapi sakit ketumbuhan di dalam perut, yang telah sampai ke peringkat bahaya dan di cadangkan oleh doktor untuk dibedah, tapi kemudiannya sembuh berkat meminum air zamzam sepanjang berada di Makkah. Ubatnya hanya air zamzam dan doa yang berterusan pada Allah. Maha Suci Allah!!!...

Allah telah menjemput saya ke sini, dan tentunya Dia tak akan biarkan saya bersedih begini. Lalu kenapa saya tidak berusaha dengan cara yang sama?

Nota : Aduh... lembabnya penceritaan saya. Namun entah kenapa, saya tak mampu mengabaikan diri dari menulis setiap bicara hati, yang merupakan gambaran perasaan semasa saya berada disana.

10 comments:

kaamyl fauzi said...

assalamualaikum kak su..
betul..air zam2 adalah antara syifaa yang paling mujarab utk apa2 penyakit
ditambah dgn tawakkal, insyallah disembuhkan
kamel pun pernah dgr satu kes dr mak kamel
ada sorang patient ni kena breast cancer yang dah tahap kritikal dah
kalau ikutkan, memang xde harapan
hari2 lepastu, dia bergantung dgn minum zam2 dan makan kurma nabi
subhanallah, cancer dia lepastu mula perlahan2 mengecut!
dan alhamdulillah dia skarang dah sihat walafiat macam biasa
sungguhlah allah itu maha berkuasa..

akan sentiasa tunggu update dari kak su tentang pengalaman di sana. at least terubat juga rindu ni dekat haramain.. tenkiu kak su :)

suara said...

@Kaamyl,
Waalaikumussalam dik sayang.

Subhanallah... Breast cancer boleh sembuh dgn berkat minum air zamzam dan kurma nabi? Bertakung mata kak su di buatnya. Syukurlah pesakit tu dah sihat macam biasa. Kak su tumpang gembira...

InsyaAllah, kak su akan terus update kisah di sana selagi Allah mengizinkan.

arsaili said...

salam..saya ingin ke sana...InsyaAllah akan saya usahakan

dkama said...

doakan Dkama sampai kat sana k...

Myza Pesona said...

Salam Sue,
Teruskan berkongsi pengalaman di sana. Sesuatu yang indah untuk dibaca, apatah lagi untuk Sue yang mengalaminya sendiri!

suara said...

@Arsaili,
Jika ada kemahuan, ada usaha, berdoa, insyaAllah, masanya akan tiba nanti. :)

===================
@dkama,
InsyaAllah, Kak su doakan...

===================
@Myza,
Moga Allah berikan keupayaan untuk melahirkan perasaan melalui bilah-bilah kata di sini...
Thks Myza...

epalejau said...

salam, kak su..
kak su ni..
mana ada lembab la..
epal seronok je bc penceritaan kak su.
ringan, tp penuh dgn perasaan.
epal mmg suka 'feeling-feeling' ni..haha..
takdela, epal gurau aje.
epal akan tgu kesinambungan cerita kak su di sana ya!-)

Farid Rashidi said...

Salam,

Sebuah catatan subuh :) berani ya kak su berjalan sorang2..yerla besa kalo tempt yg tak dikenali org akan jalan berdua atu berlainnya. Apa nak ditakutkan yer tak, muslim itu bersaudara, ALLAH itu menjaga. Tempat pula mulia.

Air zam zam merupakan air yg paling qualiti di dunia. Mentol uji kaji pecah bila test!

kamar hati said...

moga kamar jg akan menjejakan kaki kesana suatu masa nanti...insyaALLAH...ingin sama2 merasai ketenangan & keberkatan Tanah Suci Mekah...

suara said...

@epalejau,
Salam dik.
Terima kasih sbb rasa penceritaan kak su tak lembab. Jadi, bolehlah kak su lembabkan lagi yek! :D

==================
@faridrashidi,
Kak su baru nak jawab begitu, Farid dah tuliskan. Hehe...
Erm... mentol ujikaji pecah? Ish... teringin lak nak tahu kisah ujikaji tu.

==================
@kamar hati
InsyaAllah. Akan tiba giliran kamar dijemput ke sana nanti... :)