Apr 3, 2008

Retak

“Jamil dah kawin dengan perempuan tu.” Kata Siti dengan tenang.

“Apa!!!? Kau ni biar betul Siti.” Rina menjerit kecil. Terkejut. Sementara mulut Aini melopong mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Siti. Siti hanya tersenyum tawar sambil memandang wajah kawan-kawannya silih berganti, mengangguk perlahan dan kemudian tunduk. Mungkin sedang berusaha menahan tangisan.

“Siti, kenapa jadi sampai macam tu? Apa yang dah berlaku sebenarnya?” Aini bertanya mengisi perasaan ingin tahunya.

“Aku dah tak berdaya lagi nak menghalangnya dari terus berhubung dengan perempuan tu. Biarlah. Daripada dia berbuat dosa, lebih baik dia kawin.” Luahnya pasrah.

“Tak seharusnya semudah itu kau benarkan dia kawin. Dia tu cukup syarat ke untuk kawin lain?” Rina tak puas hati dengan sikap Siti yang dirasakan mudah mengalah.

“Kalau nak diikutkan syarat, memanglah tak wajar dia kawin lain. Tapi aku dah penat Rina... penat nak menyedarkan dia tentang hakikat perkahwinan dan tanggungjawab. Aku dah cuba menjadi isteri yang baik untuk dia. Kalau dalam usaha aku untuk menjadi sempurna dimatanya tak berjaya, kalau aku ada kekurangan dan kekurangan itu tak mampu dia terima, biarlah orang lain yang menyempurnakannya.” Katanya lemah.

“Habis tu...?” Kata Rina dengan muka berkerut.

“Agaknya itulah takdir aku. Biarlah... Kehidupan didunia ni cuma sementara je. Cinta manusia tak bernilai setinggi mana pun kalau dibandingkan dengan cinta Allah. Aku dah tak mahu menagih cinta yang tak mampu memberikan aku kebahagiaan dan ketenangan yang aku harapkan.”

“Sayang kau pada dia dah hilang ke, sampai kau buat keputusan gila macam ni?” Rina menyoal dengan geram. Aini memandangnya sambil menggeleng-gelengkan kepala mendengar ayat percakapan Rina yang agak kasar pada pendengarannya. Siti tunduk, diam. Kedengaran dia menarik nafas dalam, kemudian melepaskan keluhan berat yang telah lama bersarang dibenaknya.

“Sayang? Heh..." Perkataan itu mengundang tawa kecil yang dibuat, terasa benar nada sindiran yang terkandung dalam ungkapannya sendiri.

"Aku lepaskan keinginan aku untuk terus bersama dengannya, membiarkan dia menentukan apa yang dia mahukan adalah kerana Allah... kerana aku mahu melihat dia bersih dari dosa-dosa pergaulan dengan bukan muhrim, bukan kerana aku tak sayangkan dia lagi. Dia suami aku, lelaki yang telah berkongsi hidup dengan aku sepanjang 15 tahun yang lepas, sayang aku masih bersisa padanya walau apapun yang telah dia lakukan pada aku.” Sambung Siti menjelaskan perasaan dan sebab untuk tindakannya.

“Kau mintak cerai?” Soal Rina lagi. Aini cuma membisu, membiarkan Rina meluahkan soalan yang sama berlegar dimindanya.

“Tak. Aku cuma izinkan dia kawin lain. Terserah pada dia untuk lepaskan aku atau tidak. Tapi insyaAllah, aku tak akan mintak diceraikan selagi aku mampu bertahan. Aku tahu dia tak mampu menanggung dua isteri kerana perbelanjaan rumahtangga kami selama ini pun, aku banyak membantunya Jadi buat masa sekarang, aku masih isteri dia.” Kata Siti tersenyum pahit. Rina dan Aini terdiam, tak tahu apa yang perlu dikatakan. Segalanya telah diputuskan oleh Siti, tak ada apa yang boleh mereka katakan lagi.

Teringat kembali pertemuan mereka 3 bulan yang lalu.

“Astaghfirullah... Dia buat kau sampai macam ni pun, kau masih nak bertahan? Dah jelas-jelas dia main kayu 3 dibelakang kau, kau masih maafkan dia? Kau ni dah hilang akal ke apa?” Rina berkata sambil menjengilkan matanya.

“Demi anak-anak aku, aku harus bertahan.” Siti berkata dengan suara yang masih berselang seli dengan sendu.

“Kau ni Rina, janganlah berkasar sangat. Siti tengah sedih, kau tambahkan lagi kesedihan dia. Dah tu, cakap kau tu biar berlapik sikit, jangan sampai menyalakan api benci dalam hati Siti.”

“Lelaki macam tu memang patut dibenci. Tak kan nak biarkan je dia buat kawan kita macam ni? Kau suka tengok Siti bersedih sebab lelaki tu?”

“Ya Allah... mana mungkin aku suka tengok Siti sedih, tapi bila kau terlebih emosi, kau akan menambah benci di hati Siti dan ini hanya akan menyakitkan lagi hatinya. Itu lagilah buat dia sedih.” Aini sedikit kesal dengan sikap Rina tapi tak langsung disimpan di dalam hati kerana dia faham Rina yang kadang tu mudah mengikut perasaan .

“Tapi kalau tak buat apa-apa, seolah kita membiarkan Siti terbiar dalam masalah ni. Aku mahu dia berusaha untuk keluar dari keadaan yang membelenggu dia sekarang. Walaupun kita perempuan, tapi kita tak lemah untuk terus bergantung pada lelaki. Jangan kerana kelemahan dan kelembutan kita, mereka fikir sebab mereka lelaki, mereka boleh buat apa saja. Boleh berpoya-poya kat luar, kawin lebih dari sorang.” Kata Rina dengan rasa marah bercampur kecewa.

“Tapi apa yang kau cakapkan tu tak langsung membantu menyelesaikan masalah dia.” Kata Aini tegas, kemudian beralih memandang Siti sambil menyambung; “Siti, apa yang kau nak buat sekarang ni?”

“Aku dah tak tahu nak buat apa lagi. Macam-macam dah aku usahakan untuk sedarkan dia, nak jauhkan dia dari perempuan tu tapi gagal. Sampai aku rasa dah malas nak jadi baik. Malas nak layan Jamil lagi. Kadang tu sakit hati aku ni menyucuk-nyucuk sampai rasa macam nak bunuh je perempuan tak guna tu. Perempuan yang tak reti-reti nak menarik diri walaupun tahu Jamil tu dah beristeri. Tapi aku masih waras. Biar Tuhan je yang balas perbuatan dia kat akhirat nanti.” Kata Siti meluahkan sakit hatinya. Sisa airmata yang mengalir di pipi dikesat rakus tanda protes.


“Mungkin ini masanya untuk kau lakukan sesuatu yang lain pulak. Kita kena ajar perempuan tu, kena ajar laki kau sekali.” Kemarahan Siti turut menjalar ke hati Rina. Panas.

“Nak buat apa lagi? Nak suruh aku bercakap dari hati ke hati? Dah banyak kali aku cakap dengan dia, menangis sampai bengkak-bengkak mata. Tapi dia diam je macam orang bodoh. Aku rasa macam dah tak berdaya lagi Rina.
Kenapalah Allah duga aku macam ni? Cakap lembut pun tak jalan, cakap kasar karang, gaduh pulak. Aku dah letih. Rasa macam aku tak mampu nak ubah dia, nak sedarkan dia apatah lagi nak halang dia.” Dia benar-benar kecewa, hanya Allah saja yang tahu sakit hati yang ditahannya kini kian parah.

“Kita manusia lemah Siti, mana mungkin berupaya nak ubah orang lain kalau Allah tak izinkan. Hanya Allah yang berkemampuan melakukannya.
Berdoa dan berzikirlah selalu. Cuba kau bangun tengah malam, cari ketenangan dengan bermunajat, sembahyang tahajjud mintak petunjuk dan sembahyang hajat. Mohonlah pada Allah dengan sepenuh hati kau agar segalanya kembali pulih.” Kata Aini sambil memeluk bahu Siti.

“Aini, hanya Allah yang tahu betapa setiap masa aku berdoa, mengharapkan agar dia berubah, kembali kepada aku dan anak-anak. Tapi dia masih dengan perangainya tu jugak.” Katanya sambil mengeluh.

“Siti, aku tanya kau jangan marah ye. Kau selalu harap Jamil faham kau, tapi kau ada cuba faham Jamil?” Aini bertanya dengan berhati-hati, bimbang temannya itu terguris dan salah faham.

“Apa maksud kau?” Siti membalas pertanyaan Aini dengan pertanyaan juga.

“Maksud aku, kau dah cuba teliti apa yang kurang pada diri kau sehinggakan Jamil beralih arah dan cari perempuan lain? Pernah kau tanya dia apa yang dia tak puas hati tentang kau, mungkin dari segi layanan ke? Atau ada sikap kau yang buat dia kecil hati tanpa kau sedar? Ye lah, kita ni kan manusia biasa yang boleh lari dari buat silap.” Jelas Aini.

“Aku dah tanya, tapi macam tu lah, dia buat tak tahu, buat tak dengar... diam, beku macam batu. Abih-abih dia akan cakap 'semuanya ok je'. Itu yang buat aku jadi lagi sakit hati dengan dia.”

“Mungkin kau kena bagitahu dia tujuan kau tanya soalan tu. Cakap kat dia yang kau harapkan jawapan ikhlas dan jujur dari dia sebab kau nak baiki apa yang dia rasakan kurang.” Kata Aini lagi.

“Alah... kau ni macamlah tak kenal Jamil tu macam mana. Dari zaman belajar sehingga dia kawin dengan Siti, kau bukannya tak tahu sejarah casanova dia tu dulu. Kau ingat lelaki macam tu senang nak berubah? Dia mungkin setia pada Siti untuk satu tempoh tertentu, tapi tak mustahil dia kembali pada perangai lama dia tu.” Kata Rina menyampuk. Tak senang dengan sikap Aini. Rasanya seperti Aini cuba mencari salah Siti dan secara tak langsung seolah membela Jamil.

“Aku tahulah Jamil dulu tu bagaimana, tapi tak mustahil kalau dia berubah jika Allah izinkan. Bukan semua lelaki yang ada rekod buruk tu jahat, ada jugak yang insaf dan benar-benar kembali kepada ajaran Allah.” Kata Aini pula.

“Kau ni macam membela Jamil pulak. Kalaulah Jamil tu benar-benar berubah dari perangainya yang dulu, Siti mesti tahu. Kalau dia benar-benar bertaubat, pasti boleh dilihat dari sikap dan perangainya. Tapi ini tidak. Setakat yang aku perhatikan, dan dari apa yang Siti ceritakan, dia masih Jamil yang sama yang aku kenal masa kat U dulu.” Rina berkata sambil mengingati kembali zaman kegemilangan Jamil yang sering bertukar pasangan.

“Aku bukannya membela Jamil, tapi bagi aku, paling penting ialah kita cuba melihat kesalahan diri dulu.
Mungkin juga Siti yang perlu berubah untuk menarik perhatian Jamil. Mungkin kena lebih berusaha berbanding memula kawin untuk menarik hati Jamil. Siapa tahu dengan cara begitu Jamil akan sedar bahawa Siti tak ada yang kurang.

“Bagi aku, Siti dah lakukan yang terbaik. Aini, kau bukan tak tahu Siti kita ni sayang sangat kat Jamil tu sampai aku naik muak tengok dia layan Jamil yang manja tak bertempat tu.” Kata Rini sambil tersenyum sinis dan menjuihkan bibir.

“Tapi aku setuju bila Aini cakap kau kena berubah. Paling penting kau kena ubah sikit falsafah sayang kau kat Jamil tu. Sayang biar bertempat,
cinta biar bersyarat. Lagi satu, kau kena lakukan sesuatu, buktikan dan tunjukkan bahawa kau bukan perempuan lemah yang hanya akan memejamkan mata melihat perbuatan dan perlakuan jantan tak guna tu.” Rina memberikan pendapatnya dengan perasaan geram.

“Rina...
Jangan sebut perkataan tak elok boleh tak? Buruk macam mana pun Jamil tu, dia tetap suami Siti yang perlu Siti hormati. Lagipun setiap patah perkataan kita adalah doa, jadi hati-hati bila cakap tu.”

“Maaflah, tapi aku memang sakit hati bila lihat kawan baik aku diperlakukan macam ni.”

“Akupun sakit hati jugak... tapi janganlah keterlaluan sangat.”

“Dah lah tu, tak payah korang nak bertekak pasal aku.” Siti berkata tiba-tiba.

“Siti, aku ingat nak bawak kau jumpa sorang pakcik kat Melaka. Kawan opis aku bagitahu pakcik tu boleh bantu orang-orang bermasalah macam kau nih.” Cadang Rina pada Siti.

“Dia buat macam mana?” Tanya Siti lagi, ingin tahu lebih lanjut tentang kaedah yang digunakan.

“Dia akan tengok dulu nama kau dan Jamil. Lepas tu dia akan bagi kau gula atau beras untuk kau campurkan dalam makanan Jamil.” Jelas Rina ringkas.

“Kau nak bawak Siti jumpa bomoh Rina? Aku tak setuju. Jangan sekali-kali kau pegi ke tempat macam tu Siti.” Bantah Aini tiba-tiba. Suaranya keras, tegas.

“Aini... kita kena berusaha. Bukankah Allah menggalakkan kita berusaha dan bukan berserah pada takdir saja? Aku cuma nak bantu Siti selamatkan rumahtangga dia.” Kata Rina mempertahankan niatnya.

“Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan, bukan dengan cara jumpa bomoh. Jangan gadaikan akidah kita untuk perkara seperti itu. Siti, kita tak tahu bomoh tu macam mana, entah kaedah apa yang dia gunakan, nanti tak pasal-pasal kita tanggung dosa.” Aini memberi alasan untuk pendapatnya. Dia memang tak suka dengan cadangan itu walaupun niat Rina baik.

“Kau ni Aini, jumpa lah dulu. Kita tanya dan tengok, lepas tu kalau tak suka, tak payah ikut apa yang dia suruh buat.” Rina berkata memujuk.

“Jangan menghampiri sesuatu yang salah walaupun sekadar nak tahu, kerana kita tak tahu sekuat mana iman kita untuk menghalang bisikan syaitan. Tolonglah Siti, berusahalah cara lain. Kita ada Allah, mintaklah terus pada Dia,
jangan gunakan bomoh sebagai perantaraan.” Bimbang benar dia kalau Siti bersetuju.

“Tapi...”

“Siti, sebelum kau cakap apa-apa, kau dengar sini. Aku tahu kau yang mengalami semua keperitan ni, kau lebih faham sakit hati kau, malah lebih kenal Jamil berbanding dengan aku. Aku memang mahu kau bahagia, tapi kebahagiaan itu bukan terletak pada suami kita saja. Bagi aku, kebahagiaan itu terlalu luas untuk dihuraikan. Yang jelas, ini semua adalah dugaan untuk kau. Allah sayangkan kau, sebab tu Dia duga kau. Allah mahu kau kembali pada Dia, jangan sampai kau tewas pada dugaan yang Allah turunkan ini.”

“Erm...” Siti terdiam mendengarkan kata-kata Aini.

“Kehidupan kita singkat saja di dunia ini Siti. Sabarlah, disamping tu perbanyakkan doa dan zikir.
Selalulah beristighfar. Kita manusia yang lemah, banyak buat dosa samada secara sedar atau tidak. Lalu mungkin kerana dosa itu, Allah menguji dengan pelbagai cara. Banyak beristighfar bermakna kita banyak mohon keampunan dari Allah, dan ia akan membantu menanamkan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Dengan mengingati Allah, kau akan lebih tenang. Jangan mudah putus asa untuk terus meminta padaNya. Insyaallah, lambat laun aku pasti akan ada penyelesaian untuk masalah kau ni.” Kata Aini penuh yakin.

“Rina, maafkan kalau aku agak berkasar dengan cadangan kau tadi. Aku tahu kau berniat baik, tapi sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus berhati-hati.”

“Aku faham... Aku cuma bagi cadangan je. Terserah pada Siti nak ikut atau tak.” Katanya perlahan.

“Dah lah. Aku faham niat baik kau berdua. Terima kasih. Tak kisah apa sekalipun cadangan yang diberikan, aku amat hargai dan akan mempertimbangkannya.” Ucap Siti sambil tersenyum.

“Itulah sebaiknya Siti. Kalau kau rasa nasihat aku keterlaluan, atau larangan aku tadi agak keras dan kau masih rasa mahu mencuba cara yang Rina cakapkan tadi, aku harap kau sembahyang istikharah dulu. Tambahkan ibadat sunat yang kau kerjakan. Berikan satu tempoh untuk kau nilai kembali apa yang harus kau buat. Semoga Allah berikan petunjuk untuk kau.” Harapan dan doa seorang sahabat.

“A’ah... Bagitahu aku kalau kau rasa nak pegi jumpa pakcik tu. Nanti aku mintak kawan aku tunjukkan.” Ucap Rina mengakhiri pertemuan mereka.

“Insyaallah...” Ucap Siti perlahan, mengangguk dan memegang tangan kedua teman baiknya itu.

Sunyi. Semua terdiam melayani fikiran sendiri. Segalanya telah ditentukan olehNya. Dia Yang Maha Pencipta, Dia yang merancang peristiwa, Dia yang menentukan segalanya. Pertemuan kali ini seolah mengenalkan mereka kepada Siti yang baru, Siti yang pasrah, Siti yang tabah, Siti yang menyandarkan segala tindakannya hanya kerana Allah. Siti kelihatan tenang walaupun mungkin hakikatnya dia menjeruk pedih disudut hati yang paling dalam. Hanya Allah yang tahu sejauh mana ketabahan yang telah Dia bekalkan pada Siti. Allah sayangkan Siti, Dia tak akan benarkan Siti rasa dirinya bersendirian kerana Allah sentiasa ada untuk Siti sandarkan harapan.

Tak ada tangisan dan airmata yang menghiasi petang yang suram merintik hujan. Sesungguhnya cerita kehidupan tak akan berakhir begitu saja selagi hayat dikandung badan. Siti mahu menjadi hambaNya yang redha, yang mengembalikan segala keputusan hidupnya hanya pada Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang dan Dia lebih tahu mana yang terbaik untuk Siti. Hatinya membulatkan nekad untuk mengejar bahagia abadi yang Allah janjikan untuk hambaNya. Bahagia setelah dibangkitkan semula, itulah bahagia abadi yang mahu dia cari kini.

Note : Perjalanan hidup terkadang tak berlaku seperti yang dirancang dan diimpikan. Dugaan yang singgah dalam kehidupan harus dilihat sebagai tanda Allah meluahkan kasih sayang.

Dia mahu kita sedar bahawa Dia ada untuk dijadikan tempat untuk mengadu dan tempat bergantung harapan. Dia mahu hambanya tahu Dia jadikan hidup kita begitu kerana mahu menggugurkan dosa-dosa yang lalu.

Perbaiki diri dan amal, kita akan jadi hamba yang lebih tenang bila kita mampu menerima segalanya dengan perasaan sabar dan redha dengan segala takdir. Bersyukurlah kerana kita telah terpilih untuk diuji dan jadikan ujian itu adalah penggerak utama untuk kita mendekatiNya.

"Ya Allah, Ya Muhaimin, Ya Dzul Jalaali Wal Ikram, berikanlah aku petunjuk untuk setiap keputusan yang aku ambil, setiap langkah yang aku atur, setiap tindakan yang aku pilih, agar segalanya hanya akan mendekatkan aku padaMu. Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur dengan pemberianMu, yang tabah menghadapi dugaanMu, yang redha dengan segala ketentuanMu. Kurniakanlah aku apa jua yang Kau kurniakan kepada hambaMu yang soleh dan solehah. Amin."

4 comments:

aNgRiAni said...

Su...macam cerpen laaa...su nak publish novel ker? kalau yer...konpom riani akan beli...yehaaaaa...muaaahhhsss

suara said...

Riani ni... su mmg suka menulis tapi takdelah sampai nak publish novel, tak de keyakinan lah nak jadi penulis macam k'norz tu. dari dulu su menulis setakat suka-suka je, cuma dulu bila su menulis, su selalu buang atau tinggalkan je.

Tujuan su buat blog ni sbb nak kongsi kisah kehidupan yang boleh diambil pengajaran. Kisah yg dikutip dari sesiapa saja. Kadang tu su jadi watak utama, kadang watak sampingan, kadang tu tak de pun watak su didlmnya sbb ianya diceritakan oleh kawan2 su.

Dan kisah ini ialah kisah yg diceritakan oleh kawan su tentang kawannya... su sendiri tak penah jumpa pun watak utamanya. Tapi kisah hidupnya buat su rasa bersyukur memiliki apa yg telah Allah anugerahkan.

Kisah-kisah sedih dan menyakitkan hati buat su rasa betapa bertuahnya diri ini kerana melalui kehidupan yg su ada sekarang. Memangnya setiap orang ada dugaan tersendiri yang kadang tu tak terlintaspun di fikiran. Alangkah bernilainya dugaan itu jika ia membuatkan kita kembali pada Allah dan bukannya memberi kemenangan kepada musuh Allah iaitu syaitan yang seringkali membisikkan rasa negatif dlm diri kita.

Dugaan diturunkan untuk meluruskan jalan yg mungkin bengkok dan tersasar. Lalu bila kita kembali berpegang pd Allah, pasti hati yang bergolak akan kekal tenang. Kalau kita tak mampu mencari jalan kembali pd Allah tu lah yg buat ada org nak terjun bangunan tu... stress yg mungkin tak mampu ditangani lagi.

Ya Allah Ya Mujiib, pelihara diri ku, keluargaku dan teman-temanku (termasuk rakan blogger) dari dugaan yang tak terpikul oleh diri. Amin.

Pegang Cahaya said...

apa yang diceritakan buat aku menyedarinya..
mungkin aku lupa pada Dia..
mungkin dugaan ini menimpa kerana aku terlalu alpa dan leka...

penunggucahaya.blogspot.com

suara said...

Pegang Cahaya... kita manusia biasa yang sering terlupa... tapi kita ada teman yang sedia untuk mengingatkan, cuma kita harus pandai mencari teman yang membawa kita ke jalan yang lurus dan terang berbekalkan pesanan Tuhan. Dan harapnya kita yg pernah lupa juga akan jadi teman yang menjadi tali yang meluruskan laluan, bukan tali yang memutuskan rahmat Tuhan.