Izan leka menonton rancangan Bersamamu di TV3. Melihatkan kehidupan susah yang dilalui oleh satu keluarga yang dipaparkan, membuatkan dia merasa begitu bersyukur kerana telah memberikan kehidupan yang agak selesa untuk dirinya oleh Allah Ar-Rahman.
Seingatnya, TV mula menyiarkan rancangan yang memaparkan kehidupan rakyat miskin ketika dia berada di sekolah menengah, hampir 20 tahun yang lalu. Ketika itu RTM yang mejadi pelopor rancangan seperti itu. Satu pembaharuan yang dirasakan amat positif dan menyedarkan. Penonton disedarkan bahawa ada insan lain yang lebih susah, lalu yang menjalani kehidupan yang senang seharusnya bersyukur dan seterusnya berusaha untuk membantu apa yang terdaya.
Teringat satu kisah lama, satu kisah yang hanya diketahui bila diceritakan oleh Kak Idah pada Izan bila dia pulang ke kampung untuk bercuti.
“Kak, siapa yang tinggal kat tanah dusun Ayah Aji kat depan tu?” Izan bertanya bila dilihatnya ada rumah berdinding kayu yang kelihatan sederhana usang terbina secara tiba-tiba. Baru setengah tahun dia tak pulang, dan rumah itu tiba-tiba muncul ditengah-tengah tanah dusun rambutan yang dulunya hanya dipenuhi dengan pohon-pohon kayu.
“Kak pun tak kenal, tapi Ayah Aji yang benarkan mereka buat rumah. Malah Ayah Aji tolong bina rumah tu untuk mereka. Mereka tu orang susah. Yang tinggal kat situ ialah sorang perempuan dengan 3 orang anak dan maknya yang dah agak berumur.” Cerita Kak Idah ringkas, memperkenalkan jiran dan penghuni baru kampung mereka.
“Suaminya?” Izan bertanya lagi, ingin tahu.
“Dengar kata suaminya tak tinggal sama. Tak pasti bercerai ke tak, tapi dia cerita suaminya tu selalu keluar masuk penjara, sebab tu lah dia hidup susah.” Jelas Kak Idah lagi.
“Milah! Milah!” kedengaran sayup-sayup satu suara menjerit memanggil nama yang agak asing. Serentak matanya memandang ke suara itu. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang berumur 8 tahun dengan basikal buruk memberhentikan basikal dan memanggil-manggil nama Milah dari laman rumah usang itu.
“Siapa Milah tu?” Tanya Izan sambil kembali memandang wajah Kak Idah
“Orang yang tinggal kat rumah tu lah.” Jawab Kak Idah sambil memuncungkan mulut menghala ke arah rumah itu.
“Milah tu adik budak tu ke?”
“Bukanlah. Mak dia yang nama Milah tu.”
“Mak budak tu? Tapi kenapa dia panggil nama je? Milah tu mak dia kan? Kenapa tak panggil mak? Milah ajar anak dia panggil nama je ke?” Bertalu-talu pertanyaan yang keluar dari mulutnya. Rasa ingin tahu semakin membuak-buak.
“Entahlah. Tapi kak dengar dia bahasakan dirinya mak, cuma anaknya tu yang tak mahu panggil dia mak. Agaknya dia dok dengar neneknya panggil nama dia Milah dan laki dia dulu pun panggil Milah jugak, jadi terikut-ikut agaknya.”
“Tapi budak tu kan muda lagi, masih boleh diajar. Ajarlah dia panggil panggilan yang elok sikit. Panggilan yang lebih hormat, bukannya panggil nama macam tu je. Milah tu kan mak dia. Krang ajar mananya bila panggil nama pada mak sendiri. Kita ni kan orang Melayu, orang Islam, bukannya orang putih.” Kata Izan tak puas hati.
“Memanglah, tapi kalau budak tu tak nak panggil macam tu, nak buat macam mana? Kalau dia dah jadi kurang ajar disebabkan oleh perlakuan dan sejarah keluarganya, apa sangat yang boleh mak dia buat?” Balas Kak Idah.
“Erm.. Dah ada sapa-sapa tegur dia? Suruh dia panggil Milah tu dengan panggilan mak? Mungkin kalau orang luar tegur dia rasa malu dan berubah.”
“Dah. Ayah Aji dah tegur dia, tapi tak diendahkannya. Kalau tak silap kak, Ayah Aji yang hantar kesekolah, tapi dia selalu ponteng. Kata kawan-kawan yang sekelas dgn dia, kalaupun dia ke sekolah, maaaiinn je kejenya dalam kelas, pastu gaduh. Bila balik rumah, mintak duit dengan Milah dan neneknya tu. Kalau tak bagi disepaknya orang tua tu. Mak Su Yah pernah nampak budak tu sepak neneknya bila duit yang diminta tak dibagi. Kesian betul.” Cerita Kak Idah lagi. Simpati dan geram bersatu dalam nada suaranya.
“Ye ke? Budak sedang membesar macam dia tu selalunya belajar melalui pemerhatian. Agaknya dia pernah tengok ayahnya memperlakukan mak dia macam tu tak?” Kata Izan mengagak.
“Mungkin jugak. Tapi memang kesian Milah tu sebab dapat anak yang berperangai macam tu.” Kak Idah berkata sambil kembali memandang rumah usang yang kelihatan kembali sunyi. Entah kemana perginya kanak-kanak tadi.
“Milah keje apa? Macam mana dia tanggung makan minum mak dan anak-anaknya tu?” Tanya Izan lagi.
“Tak keje. Buat masa ni, segala makan dan perbelanjaan mereka didapati hasil belas ihsan orang kampung ni je. Lagipun masa memula mrk tinggal kat sini, Milah mengandung anak ke3. Sekarang ni dah bersalin tapi katanya tak boleh nak keje jugak sebab sapa nak jaga anak-anak dia kalau dia pegi keje.”
“Habis tu?”
“Habis tu, dia orang hidup ala kadar je lah, sebab apa sangat yang boleh dibantu oleh orang kampung ni. Setakat bagi dia orang makan apa yang kami makan, pakai apa yg rasanya kami tak gunakan lagi. Itu jelah. Kami kat kampung ni pun bukannya orang kaya raya. Hidup sederhana je.” Kata Kak Idah sambil merenung jauh.
Kisah itu tak berakhir di situ. Kepulangan Izan beberapa bulan kemudian menghidangkan cerita yang lebih lain pula.
“Eh, kak, rumah tu macam dah kosong je. Milah pindah ke?” Tanya Izan.
“Dah, hampir sebulan lepas.”
“Pindah ke mana?”
“Pindah ke rumah baru, kerajaan yang bagi.”
“Eloklah tu. Rezeki dia. Syukurlah sbb kerajaan sudi membantu.”
“Mahu tak di bantu, kisah dia keluar TV beberapa bulan sebelumnya.” Jawapan Kak Idah membuatkan Izan berhenti menyuap kueh lepat pisang kegemarannya.
“Ye ke? Izan tak tahu pun. Bila keluar TV? Glamourlah Milah kalau macam tu. Mesti dia banyak dapat bantuan lepas keluar TV.” Kata Izan teruja mendengar orang kampungnya masuk TV.
“Memanglah. Banyak dapat duit. Suami dia yang dulunya entah ke mana hilang, dah pun balik.” Balas Kak Idah.
“Eloklah tu.”
“Elok apanya, kalau balik sbb nak mintak duit. Dia tahu bila dah masuk TV, ramai orang yang menderma, Milah memang dapat durian runtuh.”
“Apapun, syukurlah. Paling tidak, Milah tak rasa terbeban sangat. Mungkin duit derma tu dia boleh buat modal untuk berniaga ke, apa ke...” Izan berkata sambil membayangkan kebaikan yang diperolehi oleh Milah, satu permulaan untuk mengubah kehidupannya.
“Memang elok untuk Milah, tapi gara-gara Milah masuk TV, Mak Su Yah kamu dapat nama buruk sbb TV laporkan cerita yang tak abih.” Kata-kata Kak Idah sekali lagi membuatkan Izan berhenti mengunyah.
“Kenapa pulak? Apa kaitannya dengan Mak Su Yah?” Tanya Izan hairan.
“Kamu pun tahu, Ayah Aji dan Mak Su Yah tu macam mana orangnya. Mereka telah bermurah hati benarkan Milah sekeluarga tinggal kat tanah mereka tanpa apa-apa bayaran pun. Tapi lain pulak yang mereka dapat. Nama buruk dan kemarahan orang pada mereka.”
“Ngapa pulak macam tu?” Izan semakin hairan.
“Cerita yang dipaparkan untuk meraih simpati kepada nasib malang Milah, telah menjadi dugaan untuk Ayah Aji dan Mak Su Yah. Bagi kak, laporan yang diberikan tak menyeluruh dan mungkin terlalu mementingkan matlamat akhir yang mahu meraih simpati penonton. Memang tak salah bila mereka mahu membantu dengan memaparkan kehidupan keluarga Milah, tapi mereka tak sedar apa yang diberitakan kat TV tu memberi kesan yang mungkin tak begitu baik kepada Milah dan keluarga, termasuk Mak Su Yah."
"Izan tak faham. Apa yang kak cuba terangkan? Apa yang berlaku? Kenapa kak cakap macam tu?" Bertalu-talu soalan yang dilepaskan.
"Macam mana aku nak terangkan ye?" Katanya mengomel sendiri sambil menggaru-garu kepala, kemudian menyambung; "Erm.... Kata Ayah Aji, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terkadang orang yang selalu berbuat baik, tak terlepas jugak dari diduga. Yang tak baik pun sama. Namun setiap apa yang berlaku, samada baik atau buruk, pasti ada sebabnya. Kamu pernah jumpa anak Milah yang lelaki tu kan? Kak pernah cerita dulu kat kamu, ingat tak?”
“Ingat.” Jawabnya ringkas.
“Anak-anak ialah rezeki dan amanat. Diturunkan sebagai anugerah, peringatan dan juga dugaan untuk kita. Sebenarnya perangai anak-anak berkait rapat dengan perlakuan mak ayah mereka. Anak-anak yang dilahirkan adalah amanat dan dugaan untuk Milah. Perangai anak-anak Milah tu.... erm...mungkin kerana berpunca dari sikap Milah sendiri yang meringankan perkara yang berkaitan dengan agama, bercampur pulak dengan perangai suaminya yang liar, jadi anaknya tu membesar dengan perkelakuan kurang ajar. Alah... tak tahulah kak nak cakap macam mana, tapi kau boleh fahamlah kan."
“Erm...”
“Milah tu.... Mak Su Yah sebenarnya selalu tegur sikap mereka dua beranak, Milah dan maknya tu, yang dilihatnya tak begitu berusaha untuk cari rezeki, malah bukan tu saja, sembahyang pun tak berapa lekat. Mak Su Yah selalu ajak mereka ke masjid tapi tak dihiraunya. Nak ubah kehidupan, kita kena berusaha dan berdoa, bukannya berserah pada takdir je.” Cerita Kak Idah panjang.
“Betul tu.”
“Bila dah selalu sangat ditegur tapi tak dihiraukan, Mak Su Yah katalah yang dia tak suka orang yang malas berusaha dan beribadat tinggal kat tanah dia, dengan harapan Milah dan maknya tu akan berubah, tapi mungkin mereka tu memang jenis yang tak tau bersyukur dan berterima kasih. Cerita kemiskinan dan kesusahan mereka entah macam mana dapat kat orang TV. Bila orang TV tu datang temuramah mereka, diceritakan yang Mak Su Yah sebagai tuan tanah nak halau dia pulak. Kebaikan Ayah Aji dan Mak Su Yah selama ini tak disebutkan langsung.” Suara kak Idah nyata mengandungi kekesalan yang dalam.
“Abih tu?”
“Abih tu, itu yang dicakap oleh Milah, itulah yang keluar kat TV. Milah mungkin marah dan sedih sebab Mak Su Yah penah sebut macam tu dengan dia, tapi dia tak sepatutnya membuatkan orang melihat Mak Su Yah dengan pandangan yang buruk. Kalau Mak Su Yah tak baik, takkan dibenarkan Milah tinggal kat situ. Orang TV tu pulak, nak jadikan cerita Milah tu lebih sedih lalu diceritakan tentang kisah halau menghalau tu tanpa diselidik lebih lanjut. Akibatnya, ramai orang marah kat Mak Su Yah sebab kata mereka Mak Su Yah dan Ayah Aji ialah orang yang tak berhati perut sebab sanggup menghalau perempuan susah dan malang seperti Milah tu. Mereka tak tahu cerita sebenar. Kami yang dok kat kampung ni, yang tinggal di sekitar rumah Milah, yang lebih kenal Ayah Aji dan Mak Su Yah, yang lebih tahu bagaimana sebenarnya perangai keluarga Milah tu, tak de pulak diinterview.” Kecewa. Bukan saja pada Milah, tapi juga pada TV yang membuat liputan.
“Erm... Macam tu lah pulak ye...” Izan turut merasa kekecewaan yang dialami oleh Ayah Aji dan Mak Su Yah.
“Tapi elok jugak dia orang dipindahkan dari sini. Baik untuk Milah sekeluarga dan baik untuk Mak Su Yah jugak. Kak pun tak suka dengan perangai anaknya tu. Dah macam nak ikut perangai bapaknya pulak, tapi tak tahulah kan. Ada yang kak dengar cerita, ada yang kak tengok sendiri, memang kak tak berkenan sangat kalau dia berkawan dengan anak kak, banyak pengaruh buruk yang dibawanya.” Kata Kak Idah sedikit lega walaupun rasa kecewa tetap ada.
“Erm... Tak sangka macam tu sekali.”
“Itulah kebenarannya. Orang tak tahu sebab mereka tak alami dan tak tengok sendiri apa yg berlaku. Mereka tahu melalui TV je. Ayah Aji kata, segala yang berlaku tu ada hikmahnya. Hanya Allah yang lebih tahu apa yang disediakan untuk hambaNya. Orang nak cakap apa, nak cerita apa, itu hak mereka. Paling penting kita tahu apa yang kita buat, Allah tahu apa yang sebenarnya berlaku. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Bersedialah untuk apa jugak baik buruk bahagian yang akan diberikan oleh Allah nanti, sama ada di dunia ataupun diakhirat.” Kak Idah mengakhiri cerita dengan menyerahkan segalanya kepada Allah, seperti yang dinasihatkan oleh Ayah Aji, yang juga bapa saudara mereka.
Izan termenung mengingatkan cerita lama. Rancangan Bersamamu telah lama berakhir. Apa yang ada difikiran Izan semenjak tadi hanyalah kisah Milah. Milah ibu pada 3 anak kecil. Milah yang digambarkan tabah dan pasrah. Milah ibu yang penyayang dan kerana sayang terhadap anak-anaknya, Milah mahu kekal menjaga mereka walaupun ada yang mahu mengambil anak Milah sebagai anak angkat. Milah yang mungkin kerana kebaikan yang pernah dibuat, maka Allah telah anugerahkan dia dgn rezeki untuk memberi dia jalan memperbaiki diri dan kehidupannya.
Izan pernah melintasi rumah pemberian kerajaan yang dikatakan dihuni oleh keluarga Milah satu ketika dulu. Rumah yang sederhana tapi selesa. Pernah melihat anak-anak Milah riang mengayuh basikal baru.
Namun beberapa tahun selepas itu, Izan melalui jalan yang sama, jalan yang melintasi rumah Milah. Rumah yang sama masih di situ, tapi kini kelihatan usang dan sunyi. Tertanya juga di hati Izan, apa agaknya kisah keluarga Milah sekarang? Sebagai manusia biasa, Izan sedar tak semua perkara mampu diketahui dan perlu diketahui. Sebagai makhluk yang punya kemampuan terbatas, Izan hanya mampu tahu apa yang Allah mahu dia tahu dan kisah keluarga Milah mungkin bukan sesuatu yang patut Izan ambil tahu. Semoga hanya yang terbaik akan dimiliki dan dianugerahi pada kita semua kerana setiap orang berhak untuk merasai bahagia. Milah juga sama...
Nota: Ini ialah kisah benar. Kisah bapa saudara saya, arwah Ayah Aji dan Mak Su Yah. (Al-Fatihah) Antara kisah kehidupan yang terkadang buat saya menjadi manusia curiga tentang kebenaran yang dilaporkan. Tapi kita hanya manusia biasa, hanya akan tahu apa yang berlaku kalau Allah mahu kita tahu. Setiap yang buruk pasti ada baik yang terselindung, lalu saya doakan agar diri tak menjadi manusia yang terlalu mudah berprasangsaka buruk terhadap orang lain. Setiap yang baik mungkin ada buruk yang tersembunyi, lalu saya doakan agar diri dilindungi dari keburukan yang tak mampu saya hindari dan tak dapat saya ketahui tanpa izinNya. Ya Allah, ampunilah daku, lindungilah daku dari kesilapan dan kecuaian akibat dari kelemahan diriku sendiri.
Mar 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment