Dec 30, 2007

Pesan Bonda

Ira melangkah memasuki office dengan bacaan Bismillah. Berdoa agar hari ini dia akan berjaya melalui segalanya dengan tabah. Berharap agar rezeki yang diperolehi nanti akan diberkati, dengan keazaman untuk membelanjakan pendapatannya ke arah kebajikan. Berkongsi rezeki yang diberikan oleh Allah bila berpeluang, seperti pesanan arwah ibunya.

Ingatan Ira terhadap ibunya menyapa minda.

“Mak, Mak Nab tu gila ke mak?“ pertanyaan yang entah ke berapa kali dikemukakan pada ibunya.

“Adik, tak baik cakap orang gila tau. Ingat pesan mak, jangan sebut perkataan tak elok pada orang.” Kata mak tak puas hati dengan bahasa yang digunakan oleh anak kecil itu.

“Abih tu, kenapa dia kadang tu adik tengok selalu cakap sorang-sorang. Mandipun siap kira lagi. Jarang mandi, tapi kalau mandi, punyalah lama. Adik tengok dia kira tau mak. Agaknya dia nak bagi cukup 40 baldi kot?” Ira menyatakan apa yang terlintas difikirannya tentang kelakuan Mak Nab yang agak luar biasa pada pandangannya.

“Tak tahulah dik. Biar je lah. Itu urusan dia.“ Kata mak tak ambil kisah.

“Kenapa dia tak keje? Dia tu sihat je adik tengok. Boleh berjalan kaki berbatu-batu lagi. Kalau dia keje, mesti dia boleh buat belanja hidup dia. Tak payahlah dia merayap dan menumpang rumah orang merata-rata. Ini tidak, makan pun nak harapkan belas kasihan orang je.” Ira terus mengemukakan pendapatnya.

“Manalah mak tahu. Mungkin dia ada penyakit ke. Kita mana tahu, kan?” Kata mak cuba memberikan pandangan.

“Kenapa mak baik sangat dengan Mak Nab tu? Perangai dia pun bukannya baik sangat. Kalau dia tak gila, kenapa dia tak pernah sembahyang? Adik pernah dengar mak suruh dia baca Fatihah, dan dia boleh baca elokpun. Kalau tak ada kain sembahyang, kita boleh bagi, kan?” Ira berkata lagi kemudiannya.

“Itu urusan dia dengan Allah. Tapi kita sebagai orang Islam, kenalah baik dengan semua orang. Jangan suka buat andaian dan hina orang. Tak boleh cakap orang gila tau. Tak elok. Kasar sangat bahasa tu. Walaupun perangai mak nab tu pelik, tapi tak boleh cakap macam tu. Kalau dia dengar, kecil hati dia nanti. Lagipun dia orang tua, kita kenalah hormat dia. Kalau adik tak suka, adik diam je. Kalau kita diam, paling tidak kita tak sakitkan hati orang dan adik tahu kan, menyakiti hati orang adalah berdosa. Nak bersihkan diri dari dosa kena mintak maaf dengan orang tu. Adik sanggup mintak maaf dengan Mak Nab sebab kata dia gila?“ Tanya mak mengakhiri nasihat panjang lebarnya itu. Dia rasa anaknya itu perlu dibetulkan. Bimbang andai besarnya nanti akan menjadi insan yang keras hati. Ira menggeleng kepala laju.

“Tapi adik tak suka dia. Takut pun ada jugak.” Wajah Ira sedikit berkerut. Jelas tidak senang.

“Kenapa pulak nak takut. Dia bukannya kacau adikpun.” Kata mak cuba menghalau kebimbangan yang menghantui anak bongsunya itu.

“Memanglah. Tapi baik dgn dia bukannya bagi apa-apa faedahpun kat kita. Tapi adik tengok mak selalu benarkan dia tidur kat sini, bagi dia makan, dan dia, apapun tak pernah bagi kat kita, tak adapun boleh tolong apa-apa.” Muka Ira masam.

“Mak bagi makan dan tumpangkan dia tidur bukan sbb nak harapkan dia boleh bagi apa-apa kat kita. Adik, dengar mak cakap ni. Kita kena beri dan tolong orang dengan ikhlas, baru boleh dapat pahala. Insyaallah, nanti Allah akan bantu kita bila kita perlukan bantuan, takpun Dia akan hantar orang lain untuk bantu kita. Siapa tahu, nanti kita akan perlukan pertolongan dan insyaallah, nanti akan ada orang tolong kita.” Panjang lebar penjelasan mak. Ira tak mampu berkata apa-apa lagi. Mak memang baik. Terlalu baik. Lembut dan begitu sabar. Walaupun Ira masih tak dapat mengikis perasaan tak senang terhadap mak nab, tapi Ira tahu, kata mak memang benar.

Hati Ira digamit rindu yang terlalu.

“Mak...“ Ira memanggil dengan suara bisikan tanpa sedar. Lebih 20 tahun ibunya meninggal. Saat umurnya baru mencecah 15 tahun. Tahap umur pembentukan peribadi yang kritikal mengikut kata seorang pakar psikologi. Ira ditinggalkan terumbang ambing. Berusaha sendiri mencari identiti yang perlu disandarkan untuk meniti kehidupan yang masih panjang.

Sedikit kenangan bersama arwah ibunya, dijadikan panduan. Ira masih ingat dan masih mampu merasa kegelisahan yang dialami semasa usia remaja, saat dia memerlukan pandangan tentang apa yg paling penting dalam kehidupan, tiada siapa yang boleh dirujuk. Ayah dan kakak-kakak Ira tak punya masa untuk mencungkil resah hati Ira sepertimana yang arwah mak lakukan.

Meniti usia remaja yang penuh dengan kekeliruan, Ira menyimpan impian dalam diam. Impian untuk menemui seorang insan yang mampu bersamanya untuk mencari keredhaan Tuhan. Impian masa depan yang penuh kesederhanaan. Yang paling penting ialah ketenangan untuk menjalani hari-hari dengan orang yang mampu membuatkan dia rasa dirinya benar-benar dicintai.

Seorang lelaki yang boleh menenangkan dia kala hati dalam kerisauan, menghiburkan dia dengan tawa ketika diri dihimpit kesunyian, meneguri dia kala langkah hidup mulai sumbang. Dia impikan begitu kerana sedar dirinya penuh kelemahan dan kekurangan. Perlukan bimbingan, dorongan dan juga ’kongkongan’ agar perjalanan hidupnya tidak menyimpang dari landasan.

Ira mengimpikan diri untuk menjadi wanita yang mampu memberikan cahaya bila insan tersayang dalam kegelapan, mengusik ria mengundang tawa bila wajah rajuk dipamerkan, menyalurkan kekuatan yg tersisa dengan hanya berbekalkan pelukan cinta dan sayang. Harapannya agar nanti, 2 hati yang penuh dengan kasih sayang akan tenang bila saling memberi dan menerima, saling membayangi dan meneduhi hati yang gundah gulana.

Ira tahu dan sedar, hidup ini pastinya tak boleh lari dari dugaan yang telah Allah sediakan untuk menguji keimanan insan sebagai hamba. Entah bagaimana corak dugaan yang Allah akan berikan padanya nanti.

"Ya Allah, biar apapun yang Kau sediakan untukku, susah ataupun senang, suka ataupun duka, sedih ataupun gembira, sihat ataupun sakit, janganlah Kau biarkan aku leka dari mengingatiMu, janganlah Kau lalaikan aku dari tunduk dan sujud padaMu, janganlah Kau sesatkan hatiku setelah Kau berikan petunjuk kerana sesungguhnya aku ingin hidupku bersuluhkan cahaya iman, matiku bertemankan cahaya iman dan perjalananku untuk menemuiMu nanti biarlah bertemankan amal dan iman....."

No comments: