Apr 20, 2018

Barokah


“Esok akak akan bertolak ke Mekah, nak buat umrah…” Bisiknya ke telingaku dengan senyuman lebar. Aku ternganga, terkejut dan teramat teruja. Terasa baru setahun dua yang lepas dia ke sana, kali ni ke sana lagi? Ya Allah… kerapnya Kau menjemput mereka kerumahMu. Aku cemburu. 

Kak Faridah dan Abg Aziz, mereka ku kenali hampir sepuluh tahun yang lalu, saat diri ini mula belajar bertatih mengisi masa dan hati yang kosong di rumah Allah. Masjid biru yang tersergam indah itu dihampiri dalam usaha mencari pengisian dalam kehidupan yang di rasakan amat suram, kurang dan kosong. Ada sesuatu yang tidak kena, ada aturan yang tak sempurna.

Mendaftarkan diri dikelas pengajian bersijil Masjid Shah Alam menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang berbeza usia. Mereka berada diperingat kematangan yang amat mengagumkan, penuh dengan  pengalaman kehidupan dan memiliki segalanya. Tapi kami mempunyai matlamat yang sama; mencari ilmu agar kami lebih dekat dengan Allah dan Rasululllah.

“Su nak panggil apa ya?” Awalnya terasa sedikit janggal bila bergaul dengan mereka. Perbezaan usia dan latar belakang paling ketara. Ramai yang telah pencen sedangkan diri ini belumpun sampai sedekad bekerja.

“Panggil apa-apapun boleh, panggil kakak pun boleh, nak panggil makcik pun tak pe.” Katanya tersenyum.

“Su panggil kakak lah ye. Biar akak rasa muda…” Usikan pertama dengan senyuman paling manis cuba diberikan. Dengan usia begitu, jelas mereka hanya sedikit muda dari ibu mertuaku sendiri.

Habis pengajian bersijil, kelas khas kami mohon diadakan dengan guru pembimbing, ustaz Burhan. Pelajarnya kebanyakannya adalah suami isteri yeng telah pencen. Aku dan suami adalah pelajar yang paling muda. Alhamdulillah, diberikan ruang oleh Allah untuk bersama di majlis ilmu walaupun siangnya kami sibuk dengan tugasan.

Semenjak mengenali mereka, hidup terasa begitu terisi. Siang sibuk dengan kerja, malam dipenuhi dengan pengajian dan kemudian bersembang sambil membuka bekalan makanan yang disediakan Kak Faridah. Paling tidak, ubi rebus cicah sambal dan kopi panas. Lebih bermakna dan membahagiakan apabila suami masing-masing melangkah seiringan disepanjang perjalanan persahabatan ini.

Mereka seluarga tak lokek dan sentiasa cuba meletakkan tangannya di atas, tangan si pemberi. Bersusah payah menyediakan dan menghantar “supper” untuk kami yang tergeliat lidah membetulkan sebutan ayat-ayat cinta Allah… sehinggakan pak guard juga turut mendapat tempias rezeki makan lewat malam kami. Tak hairanlah jika rezeki Kak Faridah sekeluarga memang murah.

Kak Faridah hanya surirumah. Abang Aziz hanya berniaga digerai kiosk di tepi tasik Shah Alam, menjual keropok dan minuman. Mereka bekerja hanya 5 hari seminggu untuk menanggung anak-anak seramai 7 orang. Dan ketika musim hujan, mereka terpaksa menutup operasi kerasa keadaan cuaca yang tidak sesuai. Pendek kata, cuti mereka lebih banyak dari kita yang bekerja makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Pendapatan mereka mudah terjejas dan tidak menentu. Tapi segalanya berjalan dengan mudah kerana mereka suami isteri mengamalkan ‘hidup dengan kadar kemampuan’.

Pandangan luaranku menafsirkan, mereka berjaya membentuk kehidupan yang sederhana tapi bermakna. Rezeki yang berkat, dari sumber yang jelas dan halal, menghasilkan anak-anak yang ringan tulang membantu di gerai diwaktu siangnya, yang sedia memberi sedikit masa untuk mengurangkan aliran keringat ayah bonda… malah lebih menyejukkan hati bila sesekali ada anak-anak kak Faridah yang turut menghadiri kelas malam kami, memperbaiki bacaan Quran dan mendalami ilmu tajwid.

Kak Faridah dan Abg Aziz yang kami kenal tak pernah bersungut tentang kesusahan hidup, seolah tak pernah ada istilah dugaan atau cabaran dalam kehidupan mereka.

Bila ditanya, dia akan selalu menjawab; “Mana ada kehidupan yang tak ada cabaran… mestilah ada ketika untuk merasa perit dan ada masa airmata tumpah. Tapi, kita kan ada Allah…”

Lalu aku menyimpulkan…. Syukur mereka selalu lebih sehingga menutupi segala kepahitan yang mereka lalui. Agaknya kerana itulah, rezeki mereka untuk ke Tanah Suci selalu melimpah ruah, jemputan Allah buat mereka selalu tiba. 

Dalam cemburu, doa dari hati sentiasa bergema, mengharapkan agar kami juga mampu mengikuti jejak langkah mereka, hidup dalam ketenangan sehingga tiba masa kami dijemput menghadapNya….

No comments: