Apr 17, 2008

Pilihan (bhg 2)

(....sambungan. Sila klik untuk baca bhg 1)

Bunyi pintu terkuak mengejutkan lamunannya. Berkecai segala bayangan kenangan lama, menjadi cebisan buih yang tak mampu dicantumkan lagi. Hilang bersama zarah-zarah yang tak mampu dilihat oleh orang lain, kecuali milik kenangan itu sendiri.

“Assalamualaikum! Wahh... Awalnya Wirda sampai opis hari ni.” Sapa Mazni, teman sepejabat yang sebaya dengan kakak sulungnya sambil tersenyum manis.

“Waalaikumussalam Kak Maz. Memang sengaja datang awal sikit hari ni, nak elakkan dari jem.” Balas Wirda sambil cuba memaniskan senyum yang nyata amat pahit dirasakan kini, bagai meneroka satu formula kaku bagi menyembunyikan resah yang menjalar di hatinya.

“Eloklah tu, kurang sikit stress. Dah le hari ni hari Isnin, keje pasti banyak. Ehh.. Wirda dah makan? Kak Maz nak turun untuk sarapan. Nak join?” Mazni mempelawa.

“Tak pelah kak, Wirda dah minum kat rumah tadi.” Kata Wirda menolak sopan. Mazni berlalu sambil mengangkat tangan. Wirda membalas dengan senyuman. Selepas kelibat Mazni menghilang, Wirda mengeluh lagi. Sedih, risau dan resah. Masa yang terluang bila bersendirian begini memang mudah membuatkan fikirannya melayang, lalu menayangkan kembali beberapa episod hidup yang telahpun berlaku.

“Wirda kena faham tugas dan tanggungjawab abang. Kenapa mesti persoalkan soal abang sayang lagi atau tak? Rasanya sebelum ni pun abang dah cakap, abang nak Wirda kerja kat sini kerana abang sayangkan Wirda. Kita dah boleh jumpa tiap hari kat opis, itu bermakna masa abang bersama Wirda lebih banyak dari masa abang bersama dengan keluarga abang sendiri. Tak cukup lagi ke?” Fazli berkata dengan nada agak tinggi.

“Tapi jumpa kat opis sekarang tak sama seperti kita jumpa dulu. Kat opis abang boss dan Wirda pekerja. Wirda rasa macam dah tak dapat perhatian abang macam dulu lagi.” Luah Wirda kecewa. Tak sangka begini suasana yang dihadiahkan oleh Fazli bila mereka bekerja sebumbung.

“Tak kan Wirna nak semua orang kat opis ni tahu tentang kita?” Wirda terdiam, hatinya terhiris. Pedih. Bunga-bunga pertengkaran dalam hubungan mereka telah mula bercambah.


Wirda melepaskan nafasnya dengan berat. Satu demi satu kenangan Wirda bersama Fazli mengambil tempat. Bersilih ganti dengan perbualan dengan Maizara sebulan yang lepas. Mai, teman baiknya yang tahu segala kisah hidupnya. Mai yang selalu menasihatinya, Mai yang sering memarahinya, Mai yang kadang tu menyakitkan hatinya, tapi Mai jugaklah yang sering mengundang tawanya.

“Kau ni biar betul. Kenapa nak risikokan masa depan kau dengan lelaki yang telah beristeri?” Kata Maizara separuh menjerit bila dapat tahu Wirda tetap mahu meneruskan hubungan dengan Fazli walaupun sudah tahu yang Fazli sebenarnya suami orang. Sebelum ini, Maizara tumpang gembira bila tahu Wirda telah jatuh cinta, tapi kini Maizara lah orang yang paling keras menentang hubungannya dengan Fazli.

“Aku bukannya minta dia ceraikan isteri dia. Aku cuma nak berkongsi je.” Kata Wirda perlahan.

“Maksudnya, kau tak kisah kalau terpaksa bermadu? Ya Allah, mana kawan aku dulu yang begitu menentang poligami, kawan aku yang pernah berjanji dan berazam untuk tak akan meletakkan status dirinya sebagai isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat, tapi hanya mahu menjadi isteri yang tunggal saja?” Maizara bersuara tinggi. Jelas benar dari nada suaranya rasa tak puas hati dengan keputusan Wirda yang disifatkan sebagai pentingkan diri sendiri bila sanggup menjadi isteri kedua Fazli. Taman rekreasi yang seringkali menjadi tempat mereka bergurau senda sambil bercerita kini menjadi saksi satu pengakuan yang benar-benar buat Maizara tak senang duduk.

“Aku sayangkan dia Mai dan dia juga sayangkan aku. Kami gembira bila bersama. Itu yang penting.” Jawab Wirda ringkas. Agak kecewa bila kawannya itu langsung tak mahu memahami keadaannya.

“Kenapa kau berubah Wirda? Dia dah mengaku telah beristeri dan gambar tu bukan palsu, apa lagi yang buat kau terikat dengan dia? Wirda, dengar sini. Aku tak mahu kau bertindak terburu-buru. Gembira bila bersama bukan jaminan kebahagiaan yg kekal. Aku yakin, kau belum kenal siapa Fazli tu.” Maizara tak mahu berputus asa untuk menyedarkan Wirda. Wirda perlu diselamatkan dari buat kesilapan yg akan dia kesali seumur hidupnya nanti.

"Kau yang belum kenal Fazli, bukannya aku. Kalau kau kenal dia, tentu kau faham kenapa aku dan dia mengambil keputusan untuk teruskan hubungan kami." Bela Wirda.

"Memang aku tak kenal dia sepertimana kau, tapi itu tak bermakna aku tak boleh menilai dia. Cukup untuk aku tahu siapa dia melalui segala cerita kau." Balas Maizara tegas.

"Kau tak faham Mai..." Wirda sudah kehilangan ayat untuk menjelaskan situasi dan perasaan dia terhadap Fazli. Kenapalah tak ada orang yang cuba faham hati dan perasaannya? Tak adil! Sungguh tak adil!

“Memang aku tak faham. Aku tak faham kenapa kau percaya pada semua kata-kata dia tu. Aku tak faham kenapa kau tak boleh faham perasaan isteri dia, sedangkan kau juga wanita! Aku tak faham kenapa kau rasa cukup kalau dapat hidup bersama dia sedangkan sekarang ni pun aku dengar kau bersungut bila dia tak hubungi kau seperti dulu lagi.” Hujah Maizara lancar.

"Dia memang dah bagitahu aku yang dia tak mampu jadi kekasih yang baik untuk aku kerana dia terikat dengan tanggungjawab. Aku faham situasi dia dan aku tak mahu memberi tekanan pada dia." Wirda memang mahu menjadi seorang kekasih yang memahami, yang menerima keadaan mereka seadanya.

“Heh, kau memang telah buta disebabkan cinta Wirda. Kalau dia tak boleh jadi kekasih yang baik pada kau, macam mana dia nak jadi suami yang baik kalau korang kawin nanti? Sekarang ni pun bila dia ada hubungan cinta dengan kau, dia dah dikira tak mampu nak jadi suami yang setia pada isterinya, kenapa pulak kau rasa dia boleh setia pada kau nanti? Tolonglah Wirda, buka mata kau luas-luas, suluh sikit hati kau yang dah rabun tu. Kalau dia boleh buat begini pada isteri dia, apa jaminan yg dia tak akan buat perkara yang sama pada kau satu hari nanti? Itu belum lagi aku timbulkan soal dia mampu atau tak. Aku tak mahu sentuh tentang itu sebab sebab terlalu banyak ukuran kemampuan yang perlu dia penuhi dalam Islam sebelum dia boleh berkahwin lebih dari satu.” Kata Maizara panjang lebar. Kalau boleh mahu rasanya dia senaraikan segala alasan yang ada dimindanya ketika itu untuk memastikan kawan baiknya itu mengubah fikiran.

“Dia bukannya buta agama Mai. Dia tahu semua tu dan kami pun dah pernah bincang tentang hal ni. Malah, aku sendiri pernah dengar dia berdebat tentang isu berkaitan dengan hukum hakam dan dari situ aku tahu yang pengetahuan agama dia cukup luas. Dia memang tahu dan sedar tanggungjawab apa yang dia akan pikul bila kami kawin nanti." Jelas Wirda penuh yakin.

“Memanglah dia tahu tanggungjawabnya, itu aku tak nafikan. Tapi sejauh mana dia mampu jalankan tanggungjawabnya tu dengan baik? Tak siapa tahu kecuali Allah. Yang pasti aku tak yakin dengan dia. Tak guna kalau ada ilmu agama tapi tak mengamalkannya. Dia tahu bohong itu berdosa dan dimurkai Allah, tapi seawal perkenalan kau lagi dia dah menipu kau tentang status dia. Kalau akulah, memang aku tak akan maafkan penipu yang pentingkan diri macam dia tu." Kata Maizara sambil mencebik dan menggeleng-gelengkan kepala. Sejarah lama Maizara memang membuatkan dia kini menjadi seorang yang penuh dengan prasangka. Prasangka yang dirasakan perlu ada untuk menjaga diri dari insan yang bernama lelaki. Terutama lelaki hidung belang dengan lidah bercabang.

“Kau tak kenal dia Mai, kau tak boleh menuduh dia dengan tuduhan seberat itu. Tak adil untuk dia.” Kata Wirda seolah merayu dan membela.

“Aku tahu tak sepatutnya aku nilai dia begini. Tapi itu bukan bermakna aku buta menilai peribadi dia. Mungkin kerana tak mengenali dia, aku lebih waras dan mudah membaca segala permainan dia.” Wirda terdiam. Dia tahu apa yang dicakapkan oleh kawannya itu mungkin ada kebenarannya, tapi.... Aduh, payahnya mencari kewarasan bila hati sudah begitu sayang, apatah lagi nak menangkis gelora perasaan. Matanya memandang jauh, seolah mahu menghilangkan diri ke tasik luas yang terbentang didepannya.

"Kau pernah jumpa isteri dia?" Tanya Maizara bila dilihatnya kawannya itu berdiam diri, mungkin sedang mencari logik buah bicaranya sebentar tadi. Wirda harus disedarkan sebelum terlambat!

“Pernah, masa annual dinner." Jawab Wirda ringkas. "Bagaimana kau tengok hubungan mereka?" Tanya Maizara pula. "Biasa je. Macam suami isteri yang lain jugak." Acuh-tak acuh reaksi yang diberikan Wirda. “Erm... macam suami isteri yang lain ya. Mesti mesra, kan? Bagaimana air muka dia bila kenalkan kau dgn isteri dia?” Petah Maizara bertanya. “Dia buat biasa je la. Tak kan nak lebih-lebih pulak. Nanti apa kata isteri dia pulak." Balas Wirda cuba mengawal emosi.

"Apa perasaan kau?" Tanya Maizara lagi, mahu mencungkil rasa dihati Wirda. "Erm... tentulah cemburu. Sakit jugak hati aku tapi aku tahu dia tak boleh layan aku seperti biasa sebab isteri dia disebelah.” Keluh Wirda.

“Hehe... Ada kau bersalam dengan isterinya?” Maizara semakin ghairah bertanya. “Mestilah aku bersalam. Semua staff bersalam dengan dia, tak kan aku pulak tak bersalam.”

“Bagaimana reaksi wife dia tu?” rasa ingin tahu semakin membuak-buak. Paling penting dia mahu mencari ‘peluru’ yang baik untuk menyerang emosi Wirda. “Biasa saja.” Ringkas jawapan Wirda. Dalam masa yang sama dia mengharapkan agar Maizara berhenti bertanya tentang perempuan yang dicemburuinya. “Mungkin sebab dia tak tahu tentang hubungan kau dan suaminya.” Teka Maizara. “Memang dia tak tahu.”

“Tapi kau tahu hubungan dia dengan kekasih kau tu, kan?” Tanya Maizara, sambil menekankan perkataan 'kekasih', menjadikan pertanyaannya itu cukup sinis. Wirda terdiam. “Kau sedih?” Sengaja Maizara bertanya lagi untuk memastikan perasaan kawannya yang sedang mabuk cinta itu. “Tentulah aku sedih. Mana ada perempuan yang tak sedih dan cemburu bila kekasihnya bersama perempuan lain.” Balas Wirda, cuak dengan soalan yang dirasakan cukup pedih. “Tapi perempuan lain yang kau katakan itu ialah isteri dia!” Kata-kata Maizara bagai hirisan kepada hatinya.

“Aku tahu aku tak patut cemburu pada isterinya, tapi aku tak boleh Mai. Aku seorang perempuan yang punya hati dan perasaan, bukannya patung.” Rintih Wirda sayu. Kenapalah mesti begini corak laluan cintanya... “Kau ingat isteri dia tak ada perasaan? Bagaimana agaknya perasaan perempuan tu kalau dia tahu tentang kewujudan kau dalam hidup suami dia?” Tanya Maizara sengaja mahu menjebakkan rasa pedih di hati Wirda. Mungkin dengan cara itu Wirda akan meneliti kembali keputusannya.

“Tolonglah Mai. Kau kawan aku, kenapa kau nak sakitkan hati aku dengan soalan-soalan tu? Kau tahu aku sayangkan dia. Tak boleh ke kau doakan kebahagiaan aku?” kata Wirda sedikit bengang. “Aku memang kawan kau dan kerana aku sayangkan kaulah aku selalu cuba nak sedarkan kau sebelum terlambat. Aku mahu kau lupakan dia.” Pinta Maizara sedikit lembut.

“Aku bukan tak pernah cuba untuk lupakan dia Mai, tapi tak boleh.” Kata Wirda. “Kau belum cuba sesungguh hati lagi. Cuba kau jangan contact dia, jangan berhubung langsung dengan dia.” Cadangan yang dirasakan perlu dilaksanakan demi masa depan Wirda. “Kau dah lupa yang aku sepejabat dengan dia?" Kata Wirda sambil menjengilkan matanya. "Alamak. Lupa la..." Maizara ketawa sambil mengetuk kepala sendiri. Wirda hanya tersenyum, lucu melihat kelakuan Maizara

“Mai, aku gembira bila bersama dengan dia. Kami boleh bercerita apa saja, boleh berkongsi segalanya. Dia boleh terima aku seadanya dan aku juga sama. Bukankah itu satu keserasian yang perlu bila kita mahu mendirikan rumahtangga? Kau juga yang cakap kat aku dulu, tak kan dah lupa?” Wirda cuba mengingatkan apa yang pernah Maizara sebut dulu, mengharapkan sedikit pengertian. Kemudian menyambung; “Semua orang ingin hidup dgn orang yang dicintai. Aku juga sama, ingin hidup bahagia dengan orang yang aku sayang. Dia baik Mai, dah banyak bantu aku. Bukankah melampau kalau aku menjadi orang yang tak tahu membalas budi. Mungkin dengan cara berada disisi dia, aku berpeluang untuk membalas segala kebaikan dia pada aku selama ini." Kata Wirda menjelaskan sebab yang dirasanya paling baik untuk membuatkan Maizara faham situasi sebenar yang dialaminya.

"Hmm... susah kalau cinta bercampur dengan termakan budi ni. Dah lah... malas aku nak bertekak dengan kau lagi. Aku cuma harap kau akan fikirkan kembali apa yang kau nak pilih sebelum terlambat." Maizara berkata sebelum mereka beralih topik. Rasa letih dan kecewa kerana cubaannya untuk membuatkan Wirda melihat apa yang dia lihat, ternyata mengalami kegagalan. Betul lah kata ustazahnya dulu. Mengubah fikiran orang bukan kerja manusia, tapi Tuhan. Manusia hanya mampu berusaha untuk menyampaikan. ‘Ya Allah, kembalikanlah kewarasan sahabatku ini.’ Bisik Maizara jauh di dalam hati.

Wirda merenung surat yang telah sedia untuk diserahkan. Komputer di depannya dipandang kaku. Selama setahun, komputer itulah yang menjadi teman rapatnya di sini. Selama setahun itu jugalah, Wirda berjaya menyembunyikan rahsia hubungannya dengan Fazli. Sesekali dirasakan seolah dia memakai topeng untuk drama cinta yang di lakonkan dipejabat itu.

Kisah ini harus berakhir. Itu nekadnya kini. Segalanya menjadi semakin tawar hari demi hari. Resah hati semakin parah walaupun kekasih hati sering ditemui. Bicara Kak Mazni dua minggu lepas seolah memberi ilham dan kekuatan untuk Wirda keluar dari masalah ini. Menyelesaikannya secepat mungkin.

"Wirda... termenung jauh nampaknya. Ingat pakwe ye?" Usik Mazni ramah. Petang yang tenang tapi Mazni boleh rasa jiwa Wira tak setenang mana. Wirda tersenyum pahit. Cuba menyembunyikan resah. Sehingga kini tak ada sesiapapun yang dapat mencium kelainan hubungan Wirda dan Fazli.

"Macam bermasalah je. Kalau tak keberatan, Wirda boleh kongsi dengan Kak Maz, biar lega sikit beban tu.” Wirda memandang sekilas ke mata Mazni. Mata yang jernih, jelas menggambarkan sifatnya yang sederhana dan lurus. “Erm... masalah dengan pakwe ye?" Teka Mazni. Wirda tunduk. Hanya keluhan yang kedengaran.

"Susah nak cerita ya? Tak pelah..." Kata Mazni memutuskan. Tak mahu mendesak kerana dia percaya tak akan berikan kesan yang baik kalau ianya dipaksa.

"Maaf ya kak." Kata Wirda kesal. Kalaulah bukan kerana Fazli, pasti Mazni akan dijadikan teman bercerita selain Maizara. Teman yang sesuai untuk meluahkan segala kerisauan yang tertanam difikirannya.

"Kak Maz tak kisah. Itu hak Wirda untuk bercerita atau menyimpannya sendiri, tapi jangan terlalu pendam sampai buat Wirda tertekan. Cuma naluri Kak Maz kuat mengatakan yang ianya berkaitan dengan cinta. Ye lah... orang muda macam Wirda ni, mesti tak boleh lari dari persoalan cinta." Wirda tersentak mendengar tekaan Mazni. "Erm... Ada sekali tu, Kak Maz hadiri satu ceramah yang mengemukakan persoalan cinta dan perkahwinan. Menarik sangat. Bagus utk org-org muda macam Wirda ni. Kak Maz nak kongsi apa yang kak Maz dengar tu dgn Wirda, bolehkan? Sebagai panduan dan ingatan je." Kata Mazni sambil merenung Wirda. Wirda mengangkat muka dan kemudian mengangguk.

"Kita manusia memang lemah, kerana kita ada nafsu dalam diri kita. Kata ustaz, keinginan terhadap dunia itulah yang dikatakan nafsu. Wirda tahu tak cerita tentang permintaan Nabi Adam dan Iblis pada Allah? Nabi Adam dan Iblis semasa mengadap Allah telah dibenarkan membuat permintaan mereka. Dan Allah telah membenarkan syaitan mempengaruhi kita anak cucu Adam dengan apa cara sekalipun. Tapi kerana Allah cintakan kita, Dia juga telah mengabulkan permintaan Nabi Adam supaya membuka pintu taubat kepada kita selagi kita hidup. Tak kira sebesar dan sebanyak manapun dosa yang kita lakukan, Allah memberi jaminan yang Dia akan beri pengampunan. Jelas sekali cinta Allah pada kita makhluknya.” Kata Mazni berhenti seketika sambil melihat reaksi Wirda yang tekun mendengar. Kemudian menyambung, “Seharusnya orang yang menyintai Allah akan menjadikan Dia sebagai rujukan untuk segala keputusan yang nak dibuat. Dengan cara begitu, Dia akan tunjukkan jalan terbaik untuk kita lalui dan cinta bagaimana yang harus kita sandarkan untuk menghiasi kehidupan kita yang singkat ini." Kata Mazni sambil tersenyum. Hati Wirda tersentuh mendengar bicara selembut itu.

"Pesan Kak Maz, janganlah terlalu mudah menyerahkan cinta dan hati kita kepada lelaki. Cinta adalah milik Allah yang abadi, hati kita juga milik Dia. Dia yang berkuasa untuk menentukan arah cinta kita, dan hanya Dia yang mampu membalik-balikkan hati. Cinta Allah ibarat cahaya yang akan menunjukkan arah untuk segala-galanya. Rasanya Wirda ada dengar tentang ini, kan?" Wirda mengangguk. Mazni kembali menyambung. "So, tak perlulah kak Maz terangkan panjang lebar, ye tak? Kak Maz cakap ni pun sebab nak ingatkan diri sendiri jugak. Dan kalau kak Maz rasa Wirda pun terlupa, memang perlu untuk kak Maz ingatkan. Harap Wirda tak marah." Ujar Mazni sopan.

"Tak lah. Walaupun saya tahu, tapi saya rasa seronok bila di ingatkan lagi. Kita kan manusia yang lemah, yang sering lupa." Kata Wirda dengan fikiran terbuka.

"Baguslah kalau Wirda faham. Kata ustaz, sebagai seorang wanita Islam, cinta seharusnya muncul hanya pada seorang lelaki yang bergelar suami. Cinta sebelum kahwin selalunya bersalut dengan nafsu, tapi cinta selepas kahwin lebih kepada ibadat. Ini kerana syaitan selalu berada antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Sedangkan kalau kita curahkan cinta pada lelaki yang telahpun bergelar suami, Allah kurniakan pahala untuk setiap apa yang kita lakukan. Segala-galanya, sentuhan, belaian dan layanan baik terhadap suami, Allah berikan ganjaran. Kerana itulah dikatakan cinta selepas kahwin adalah ibadat. Jadi, kenapa kita nak mengikut cinta nafsu yang hanya akan mengundang dosa dan belum tentu menjanjikan kebahagiaan? Bukankah lebih indah bila kita bercinta dan beribadat dalam masa yang sama? Betul tak?" Kata-kata Mazni buat Wirda tersentak. Ya Allah... cinta ku adalah cinta nafsu!

"Kak Maz tak tahu betul atau tak tekaan Kak Maz tentang masalah Wirda, tapi kalau betul sekarang ni Wirda murung sbb masalah cinta, rasanya lebih baik kalau Wirda nilai balik cinta apa yang Wirda mahukan, dan cinta bagaimana yang Wirda miliki sekarang. Mungkin masalah yang Wirda hadapi dengan dia sekarang adalah satu amaran dari Allah bahawa Wirda harus kembali meneliti sesuatu yang tak kena sebelum terlambat. Dalam hidup ini, yang paling bernilai ialah ketenangan. Jiwa yang tenang pasti lebih bahagia. Mungkin sekarang ni Wirda tak tenang kerana ada suara tentangan dari dalam diri Wirda sendiri, mungkin dari mak ayah Wirda, ataupun dari sebelah dia ke..." Kata-kata Mazni buat Wirda teringat kepada bebelan Mai.

“Apa jaminan jika kau kawin dengan dia, kau akan bahagia? Aku lebih nampak peratus risiko kedukaan kau lebih besar berbanding dengan kebahagiaan. Kau kata dia anak yang baik sebab mengikut kemahuan maknya untuk kawin. Tapi rasanya belum cukup baik kalau dia mengabaikan amanah yang mak dia serahkan. Amanah mak dia dan juga amanah dari mak ayah mertua dia bila akad dilafazkan. Pasti mak dia punya sebab tertentu untuk memilih perempuan tu menjadi isteri dia. Mana ada mak pilih perempuan tak baik untuk jadi menantunya. Biarkan Fazli menjalankan amanah tu tanpa bayangan dari kau. Jangan disebabkan asyik dengan cinta dunia yang sementara ini, buat kau jadi seseorang yang kau tak mahu jadi. Kau nak ke jadi seorang perempuan yang membuat anaknya menderhaka kepada seorang ibu, menjadi perempuan yang menarik seorang lelaki ke neraka kerana mempengaruhi seorang lelaki mengingkari dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami? Dan kalau pun jodoh kau ada dengan lelaki tu, kau rasa kau akan diterima dengan tangan yang terbuka oleh keluarga dia, terutama oleh mak dia? Mak ayah kau sendiri, macam mana, boleh ke mereka menerima kenyataan bahawa anak mereka menjadi isteri kedua? Tolonglah Wirda, sikap pentingkan diri sendiri kau dalam soal ni akan memberi banyak keburukan bukan saja kepada diri kau, tapi orang lain juga.” Mai berceramah panjang. Bebelan yang membingitkan telinganya, memanaskan hatinya, sekalipun ada kebenaran terkandung dalam setiap patah katanya.

Khayalan Wirda terganggu bila suara Mazni kembali menguasai.

“Hidup kita memang selalu berdepan dengan pilihan. Bila berlaku sesuatu yang tak diduga, sebaiknya Wirda kena fikir dan nilai baik-baik setiap peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup Wirda. Kemudian fikirkan juga apa yang Wirda inginkan, berasas atau tidak keinginan itu. Mungkin segala persoalan tentang hidup masa depan Wirda jawapannya telah tersedia cuma tinggal nak tengok sambil pejam ke, sambil celik.” Kata Mazni sambil memegang tangan Wirda. Sejuk tangannya, meresap sampai ke jiwa, menyejukkan dan menenangkan resah hati Wirda.

'Ya Allah, andainya hanya keburukan yang ada dalam cinta ini, jauhkan aku darinya. Berikan aku kekuatan untuk melangkah tanpa berpaling lagi. Jadikan aku hambaMu yang tabah dan sabar dengan dugaan yang kau berikan ini.' Doa yang dibisikkan oleh hatinya.

Wirda bangun. Langkah diatur penuh yakin menuju ke bilik Fazli. Wirda tak mahu berhadapan dengan Fazli lagi, tak mahu melihat reaksi Fazli bila surat itu diserahkan. Tak mahu menjadi insan lemah bila mendengar kata-kata Fazli. Dia tahu hatinya akan lembut jika berhadapan dengan lelaki itu. Itu kelebihan Fazli. Dan jiwa Wirda yang lembut memang lemah. Seringkali luahan kata Fazli menjadikan Wirda tersungkur. Lalu setelah ditimbang rata buruk dan baik, lebih dan kurang dalam hubungannya dengan Fazli, inilah keputusan yang dikeluarkan. Sampul surat berwarna putih diletakkan ke atas meja. Notis perletakan jawatan yang berkuatkuasa serta merta.

Nota: Masalah cinta adalah sesuatu yang tak pernah jemu diperbicarakan kerana setiap laluan hidup kita memang berkait dengan cinta. Bukan semua cinta berakhir dengan kegembiraan, tapi paling penting setiap kisah ada pengajaran. Kita ada nafsu yang sering menjadi alat syaitan untuk menyesatkan, dan kita ada Allah yang sentiasa ada untuk membantu memberi panduan. Sebaiknya kita membuat pilihan berdasarkan pertimbangan akal yang dianugerahkan.

Bersyukurlah andai kita mempunyai kawan yang sentiasa cuba memandu kita melihat duri yang melintangi jalan kehidupan. Ada teman yang selalu mendoakan kebahagiaan kita agar berkekalan. Ada rakan yang sudi membalut luka dengan senyuman dan gurauan.

"Ya Allah, ya Waduud, Tuhan yang Maha Menguasai Cinta, peliharalah cintaku mengikut arah cahayaMu. Suluhi jalan hidupku dengan sinar cintaMu. Janganlah Kau duga aku dengan cinta dunia yang melalaikan, kerana aku tak yakin mampu bertahan dengan segala kemahuan nafsu dan keinginan yang tak bersempadan. Aku lemah Ya Allah, tolonglah aku, bantulah aku, pimpinlah daku untuk menangani cintaku, agar ia hanya akan membawa aku kepada cintaMu. Amin."

Pilihan (bhg 1)

Wirda melihat jam di tangan, menunjukkan pukul 8. Masih ada sejam lagi sebelum semua rakan sepejabatnya datang. Ramai yang belum sampai, memandangkan office hour hanya akan bermula sejam kemudian. Sengaja dia datang awal untuk menyiapkan satu surat penting yang perlu diserahkan hari ini. Wirda menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan, cuba menghilangkan kegelisahan yang dirasakan semakin melemaskan.

Hari ini segalanya akan berubah. Impian yang pernah dibina akan diruntuhkan demi hukum yang telah Allah tetapkan. Berdarah, pedih dan sesakit mana sekalipun hatinya, dia pasti akan lakukan juga. Dia yakin, masa akan menyembuhkan luka. Kata-kata itu sering didengari, dan mungkin inilah masanya untuk mengalaminya sendiri. Duri yang terbenam di dalam hati perlu dicabut. Labih baik berdarah sekarang dan kemudiannya berparut asalkan tidak dibiarkan saja, kemudian merebak sehingga akhirnya bernanah.

“Abang bohong dgn Wirda. Abang kata abang belum dimiliki, abang kata abang belum beristeri, tapi rupanya abang dah ada anak pun.” Dia bersuara dalam tangisan kecewa. Tak sangka Fazli menyembunyikan sesuatu yang begitu penting.

“Wirda, maafkan abang. Abang terlalu sayangkan Wirda, abang tak sanggup kehilangan Wirda, sebab tu lah abang rahsiakan perkara ni.” Kata Fazli menjelaskan dengan penuh kekesalan. Hatinya terusik melihat airmata gadis itu menitis laju.

“Abang tak patut buat Wirda macam ni...” Esakan Wirda makin menjadi. Sedih dan sakit hati menerjah benaknya bila dia dipersembahkan dengan sekeping gambar yang menceritakan segala-galanya.

“Abang tahu. Tapi kalau abang bagitahu Wirda sedari awal, pasti abang langsung tak berpeluang nak mendekati Wirda. Sedangkan abang sukakan Wirda semenjak kita berjumpa kali pertama lagi.”

“Abang, mungkin kita tak patut teruskan lagi hubungan ini.” Kata-kata yang mengejutkan Fazli tapi memang telah dijangka.

“Wirda, please! Jangan buat keputusan terburu-buru. Abang tahu abang salah, tapi tolonglah, jangan hukum abang begini. Berikan abang peluang untuk jelaskan semuanya.” Rayu Fazli lagi.

“Nak jelaskan apa lagi? Yang jelas sekarang ialah abang bohongi Wirda!” Kata Wirda agak keras. Tak pernah suara dia bernada setinggi itu semenjak dia mengenali Fazli.

“Wirda, dengarlah apa yang abang cakap ni dulu. Kalau selepas ni Wirda masih tetap dengan keputusan Wirda, abang akan terima. Walaupun hati abang pedih, kalau abang tak mampu buat Wirda faham keadaan abang, kalau Wirda masih rasakan abang ni jahat kerana membohongi Wirda, abang akan terima apa juga kemahuan Wirda. Mungkin itu adalah hukuman buat abang kerana berdosa dgn Wirda.” Pinta Fazli sayu. Hati Wirda terusik. Mungkin dia terlalu keras tadi. Hatinya sakit kerana terlalu sayang. Memang terluka sangat oleh berita yang memang tak disangka-sangka.

“Wirda, duduk dulu. Biar abang jelaskan.” Pujuk Fazli dengan penuh mengharap sambil menarik lengan baju Wirda. Mahu tak mahu, Wirda kembali melabuhkan punggungnya kebangku kayu yang telah menyaksikan pertemuan mereka yang pertama dulu. Mungkin kerusi ini jugalah yang akan menyaksikan pertemuan terakhir mereka. Entah berapa banyak agaknya pertemuan dan perpisahan yang telah disaksikan oleh kerusi ditaman ini, tak siapa yang tahu. Fazli menarik nafas mengumpul kekuatan lalu bersuara, “Wirda tahukan, mak abang sakit. Dia dah tua dan uzur sangat.” Wirda mengangguk perlahan.

“Dah agak lama dia sakit sebenarnya. Dia selalu desak abang supaya berkahwin, tapi selalu abang tangguh sebab abang belum temui gadis yang abang suka. Sampailah satu ketika dia masuk hospital dan masa tu dia minta agar abang bersetuju dengan permintaannya nak mencari isteri untuk abang. Abang serba salah Wirda. Antara hati yang masih ingin mencari sendiri seorang perempuan yang dicintai untuk diberikan status sebagai isteri dan juga kemahuan mak yang tak mahu menunggu lagi. Abang bukan anak yang baik kalau abang tak memenuhi kehendaknya. Lagipun masa abang berkahwin dulu, kita belum kenal lagi. Kalaulah abg kenal Wirda masa tu, pasti abang akan kenalkan Wirda dgn mak abang dan abg pasti dia akan restui. Tapi abang kenal Wirda selepas abg telah dimiliki. Macam mana abang nak kenalkan Wirda pada dia? Abang serba salah Wirda. Kenapa selepas abang menjadi milik orang lain baru abang ditemukan dengan? Kenapa hati abang tak boleh melepaskan Wirda walaupun tahu yang mungkin Wirda tak rela menjadi milik abang selepas tahu siapa abang yang sebenarnya? Kenapa abang tak boleh jadi lelaki yang berani berterus terang sebelum ni? Abang tak tahu jawapannya. Yang abang tahu ialah abang sayangkan Wirda.” Fazli berkata sambil meraup muka, seolah cuba menyapu segala kekesalan yang menyaluti hatinya, yang tergambar diwajahnya. Wirda diam, sendunya telah berkurang. Sayu hatinya mendengar rintihan lelaki itu.

“Abang selalu tanya diri abg, apa yang perlu abang lakukan. Abg dah beristeri tapi abg sayangkan Wirda. Hidup abang ceria semenjak bertemu Wirda, lebih bersemangat dari dulu. Dengan Wirda, abang boleh bercerita apa saja. Mendengar celoteh Wirda, buat abang rasa benar-benar bahagia.” Luah Fazli lagi setelah dilihatnya Wirda kaku dan beku tanpa sepatah kata yang keluar dari bibirnya.

“Maafkan abang Wirda, maafkan abang” Fazli berkata sambil matanya merenung Wirda, mencari kasih yang telah gugur oleh kesilapan sendiri. Wirda membalas renungan itu sejenak, kemudian tunduk. Takungan airmata dikelopak mata lelaki begitu berkesan dihati Wirda.

“Abang dah ada isteri. Dia lebih mampu membuatkan abang bahagia dengan kedudukan dia sebagai isteri berbanding dgn Wirda yang hanya menjadi kekasih sementara abang. Pasti dia begitu istimewa sehingga mak abang telah memilih dia untuk menjadi suri hidup abang.” Wirda berkata sayu, pasrah.

“Dia tanggungjawab abang dan abang harus jaga dia, membahagiakan dia demi janji abang pada mak abang. Memang abang akui, dia isteri yang baik, tapi ... dia.... ahh... biarlah... Mungkin kekurangan abang kerana masih perlu berusaha menyayangi dia walaupun kami dah 3 tahun hidup bersama. Lagipun cinta bukan boleh dipaksa. Abang pun kadang tu tak faham dengan diri sendiri. Mungkin Wirda rasa abang kejam, tapi bukankah Wirda sendiri yang selalu cakap, kita punya pilihan untuk memilih bahagia yang kita mahukan?”

“Tapi sekarang tak sama abang...” Keluh Wirda sedih.

“Hati abang masih sama. Perasaan abang masih macam dulu. Wirda kebahagiaan abang, salahkah kalau abang memilih untuk terus bersama dengan Wirda? Dulu Wirda telah memilih untuk menerima abang dihati Wirda, kenapa tidak sekarang? Kenapa Wirda berubah?" Soal Fazli kesal. Wirda diam, tak tahu apa yang harus dicakapkan. Wirda pernah berjanji pada diri sendiri untuk menjadi seorang kekasih dan isteri yang setia hanya pada seorang lelaki. Tapi kenapa cintanya tertumpah pada lelaki yang telah berpunya? Perlukah lagi dia memegang keazaman diri yang telah ditanam semenjak dulu lagi? Kejamkah dia pada Fazli dan juga pada dirinya sendiri jika mengambil keputusan untuk melukakan hati mereka yang sama-sama menyintai?

"Abang masih orang yang sama, hati abang akan tetap menyayangi Wirda walau apapun keputusan Wirda.” Fazli berkata lemah, bernada pasrah.

“Abang, Wirda tak mahu jadi perosak rumahtangga orang. Abang tahukan yang Wirda memang sayangkan abang, tapi Wirda tak mahu lukakan hati dan perasaan isteri abang. Dia tentu menyayangi abang sepenuh hatinya. Janganlah kerana Wirda, abang dan isteri berpisah pula.” Wirda serba salah, antara sayang dan kewarasan yang menagih perpisahan.

“Wirda bagitahu abang, apa yang harus abang lakukan, supaya abang tak akan kehilangan Wirda?”

“Abang perlu terus bersama dengan isteri abang kerana tanggungjawab dan amanah mak abang.”

“Abang tahu dan itulah yang abang lakukan selama ini. Salahkah abang kerana dalam masa yang sama abang mengharapkan Wirda tetap bersama abang demi cinta yang telah lama abang cari.” Pinta Fazli mengharap. Wirda terdiam, keliru dengan apa yang perlu diputuskan. Hatinya subur disirami kemanjaan Fazli, kini telah berbunga sayang, berbuah cinta. Inilah kali pertama mereka bertengkar semenjak mereka berkenalan dan berhubung rapat. Segalanya begitu sempurna untuk satu hubungan yang diimpikan akan berkekalan.

“Terserah pada Wirda untuk buat keputusan. Abang dah jelaskan kedudukan abang. Abang memang harap sangat hubungan kita tak berakhir hanya kerana abang telah berkahwin. Abang tak boleh halang kalau Wirda nak benci abang kerana kesilapan abang merahsiakan siapa diri abang yang sebenarnya. Tapi abang harap Wirda faham, segala yang berlaku ada sebabnya. Abang yakin, kalau cinta abang ikhlas, Wirda boleh rasa dan Wirda tahu apa yang Wirda mahukan.” Kata Fazli lemah.

“Berikan Wirda masa. Wirda ada masalah lain yang perlukan perhatian Wirda, masalah adik-adik yang nak belajar, masalah kerja lagi dan sekarang ni... ini pulak yang datang. Wirda bingung!” Keluh Wirda sambil memejamkan mata seketika.

“Maafkan abang kerana bagi masalah baru pada Wirda. Selama abang bersama Wirda, abang memang harap dapat meringankan beban Wirda, buat Wirda ketawa dan release dari tekanan kerja. Abang mahu Wirda bersemangat untuk lalui kehidupan kat sini, sebab abang tahu tak mudah untuk hidup berjauhan dengan keluarga dan memikul tanggungjawab mencari rezeki untuk mereka. Tapi tak sangka, sekarang ni abang yang menambahkan beban difikiran Wirda.” Kesal. Wirda tiba-tiba rasa bersalah kerana lupa segala sumbangan yang telah Fazli berikan pada dia.

“Abang memang telah banyak bantu Wirda, berikan Wirda kekuatan dan selalu ingatkan Wirda tentang tanggungjawab Wirda. Terima kasih, Wirda hargai semua yang abang buat tu, tapi....”

“Abang masih mahu jadi orang yang sama. Itupun kalau Wirda izinkan..." Katanya penuh harapan. Wirda tunduk tanpa kata.

"Oh ya... Sekarang ni ada kekosongan jawatan kat opis abang. Wirda pun tengah cari kerja lain kan? Abang harap sangat Wirda kerja dengan abang. Soal gaji Wirda jangan risau, abang akan beri gaji yang maksimum yang dibenarkan untuk jawatan tu. Ia pasti dapat meringankan beban Wirda untuk bantu keluarga kat kampung. Mereka perlukan Wirda dan abang memang mahu Wirda jadi
anak yang baik. Sambil tu paling abang harap ialah kita boleh jumpa setiap hari sebab abang memang mahu tengok senyuman Wirda yang selalu abang rindukan itu.” Cadang Fazli dengan mata bersinar. Wirda terharu dengan sikap Fazli yang selalu cuba mencari jalan untuk membantunya. Memang Fazli lelaki yang baik dan itulah yang buat Wirda mula berfikir dua kali untuk meninggalkan lelaki itu.

Dan demi kesungguhan yang ditunjukkan oleh Fazli, Wirda bertahan. Mempersiapkan diri untuk menerima perkongsian yang diharapkan akan membahagiakan. Cuba untuk menerima kenyataan bahawa apa yang paling dibenci dulu, itulah yang mungkin terjadi padanya nanti. Bermadu.


Apr 3, 2008

Retak

“Jamil dah kawin dengan perempuan tu.” Kata Siti dengan tenang.

“Apa!!!? Kau ni biar betul Siti.” Rina menjerit kecil. Terkejut. Sementara mulut Aini melopong mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Siti. Siti hanya tersenyum tawar sambil memandang wajah kawan-kawannya silih berganti, mengangguk perlahan dan kemudian tunduk. Mungkin sedang berusaha menahan tangisan.

“Siti, kenapa jadi sampai macam tu? Apa yang dah berlaku sebenarnya?” Aini bertanya mengisi perasaan ingin tahunya.

“Aku dah tak berdaya lagi nak menghalangnya dari terus berhubung dengan perempuan tu. Biarlah. Daripada dia berbuat dosa, lebih baik dia kawin.” Luahnya pasrah.

“Tak seharusnya semudah itu kau benarkan dia kawin. Dia tu cukup syarat ke untuk kawin lain?” Rina tak puas hati dengan sikap Siti yang dirasakan mudah mengalah.

“Kalau nak diikutkan syarat, memanglah tak wajar dia kawin lain. Tapi aku dah penat Rina... penat nak menyedarkan dia tentang hakikat perkahwinan dan tanggungjawab. Aku dah cuba menjadi isteri yang baik untuk dia. Kalau dalam usaha aku untuk menjadi sempurna dimatanya tak berjaya, kalau aku ada kekurangan dan kekurangan itu tak mampu dia terima, biarlah orang lain yang menyempurnakannya.” Katanya lemah.

“Habis tu...?” Kata Rina dengan muka berkerut.

“Agaknya itulah takdir aku. Biarlah... Kehidupan didunia ni cuma sementara je. Cinta manusia tak bernilai setinggi mana pun kalau dibandingkan dengan cinta Allah. Aku dah tak mahu menagih cinta yang tak mampu memberikan aku kebahagiaan dan ketenangan yang aku harapkan.”

“Sayang kau pada dia dah hilang ke, sampai kau buat keputusan gila macam ni?” Rina menyoal dengan geram. Aini memandangnya sambil menggeleng-gelengkan kepala mendengar ayat percakapan Rina yang agak kasar pada pendengarannya. Siti tunduk, diam. Kedengaran dia menarik nafas dalam, kemudian melepaskan keluhan berat yang telah lama bersarang dibenaknya.

“Sayang? Heh..." Perkataan itu mengundang tawa kecil yang dibuat, terasa benar nada sindiran yang terkandung dalam ungkapannya sendiri.

"Aku lepaskan keinginan aku untuk terus bersama dengannya, membiarkan dia menentukan apa yang dia mahukan adalah kerana Allah... kerana aku mahu melihat dia bersih dari dosa-dosa pergaulan dengan bukan muhrim, bukan kerana aku tak sayangkan dia lagi. Dia suami aku, lelaki yang telah berkongsi hidup dengan aku sepanjang 15 tahun yang lepas, sayang aku masih bersisa padanya walau apapun yang telah dia lakukan pada aku.” Sambung Siti menjelaskan perasaan dan sebab untuk tindakannya.

“Kau mintak cerai?” Soal Rina lagi. Aini cuma membisu, membiarkan Rina meluahkan soalan yang sama berlegar dimindanya.

“Tak. Aku cuma izinkan dia kawin lain. Terserah pada dia untuk lepaskan aku atau tidak. Tapi insyaAllah, aku tak akan mintak diceraikan selagi aku mampu bertahan. Aku tahu dia tak mampu menanggung dua isteri kerana perbelanjaan rumahtangga kami selama ini pun, aku banyak membantunya Jadi buat masa sekarang, aku masih isteri dia.” Kata Siti tersenyum pahit. Rina dan Aini terdiam, tak tahu apa yang perlu dikatakan. Segalanya telah diputuskan oleh Siti, tak ada apa yang boleh mereka katakan lagi.

Teringat kembali pertemuan mereka 3 bulan yang lalu.

“Astaghfirullah... Dia buat kau sampai macam ni pun, kau masih nak bertahan? Dah jelas-jelas dia main kayu 3 dibelakang kau, kau masih maafkan dia? Kau ni dah hilang akal ke apa?” Rina berkata sambil menjengilkan matanya.

“Demi anak-anak aku, aku harus bertahan.” Siti berkata dengan suara yang masih berselang seli dengan sendu.

“Kau ni Rina, janganlah berkasar sangat. Siti tengah sedih, kau tambahkan lagi kesedihan dia. Dah tu, cakap kau tu biar berlapik sikit, jangan sampai menyalakan api benci dalam hati Siti.”

“Lelaki macam tu memang patut dibenci. Tak kan nak biarkan je dia buat kawan kita macam ni? Kau suka tengok Siti bersedih sebab lelaki tu?”

“Ya Allah... mana mungkin aku suka tengok Siti sedih, tapi bila kau terlebih emosi, kau akan menambah benci di hati Siti dan ini hanya akan menyakitkan lagi hatinya. Itu lagilah buat dia sedih.” Aini sedikit kesal dengan sikap Rina tapi tak langsung disimpan di dalam hati kerana dia faham Rina yang kadang tu mudah mengikut perasaan .

“Tapi kalau tak buat apa-apa, seolah kita membiarkan Siti terbiar dalam masalah ni. Aku mahu dia berusaha untuk keluar dari keadaan yang membelenggu dia sekarang. Walaupun kita perempuan, tapi kita tak lemah untuk terus bergantung pada lelaki. Jangan kerana kelemahan dan kelembutan kita, mereka fikir sebab mereka lelaki, mereka boleh buat apa saja. Boleh berpoya-poya kat luar, kawin lebih dari sorang.” Kata Rina dengan rasa marah bercampur kecewa.

“Tapi apa yang kau cakapkan tu tak langsung membantu menyelesaikan masalah dia.” Kata Aini tegas, kemudian beralih memandang Siti sambil menyambung; “Siti, apa yang kau nak buat sekarang ni?”

“Aku dah tak tahu nak buat apa lagi. Macam-macam dah aku usahakan untuk sedarkan dia, nak jauhkan dia dari perempuan tu tapi gagal. Sampai aku rasa dah malas nak jadi baik. Malas nak layan Jamil lagi. Kadang tu sakit hati aku ni menyucuk-nyucuk sampai rasa macam nak bunuh je perempuan tak guna tu. Perempuan yang tak reti-reti nak menarik diri walaupun tahu Jamil tu dah beristeri. Tapi aku masih waras. Biar Tuhan je yang balas perbuatan dia kat akhirat nanti.” Kata Siti meluahkan sakit hatinya. Sisa airmata yang mengalir di pipi dikesat rakus tanda protes.


“Mungkin ini masanya untuk kau lakukan sesuatu yang lain pulak. Kita kena ajar perempuan tu, kena ajar laki kau sekali.” Kemarahan Siti turut menjalar ke hati Rina. Panas.

“Nak buat apa lagi? Nak suruh aku bercakap dari hati ke hati? Dah banyak kali aku cakap dengan dia, menangis sampai bengkak-bengkak mata. Tapi dia diam je macam orang bodoh. Aku rasa macam dah tak berdaya lagi Rina.
Kenapalah Allah duga aku macam ni? Cakap lembut pun tak jalan, cakap kasar karang, gaduh pulak. Aku dah letih. Rasa macam aku tak mampu nak ubah dia, nak sedarkan dia apatah lagi nak halang dia.” Dia benar-benar kecewa, hanya Allah saja yang tahu sakit hati yang ditahannya kini kian parah.

“Kita manusia lemah Siti, mana mungkin berupaya nak ubah orang lain kalau Allah tak izinkan. Hanya Allah yang berkemampuan melakukannya.
Berdoa dan berzikirlah selalu. Cuba kau bangun tengah malam, cari ketenangan dengan bermunajat, sembahyang tahajjud mintak petunjuk dan sembahyang hajat. Mohonlah pada Allah dengan sepenuh hati kau agar segalanya kembali pulih.” Kata Aini sambil memeluk bahu Siti.

“Aini, hanya Allah yang tahu betapa setiap masa aku berdoa, mengharapkan agar dia berubah, kembali kepada aku dan anak-anak. Tapi dia masih dengan perangainya tu jugak.” Katanya sambil mengeluh.

“Siti, aku tanya kau jangan marah ye. Kau selalu harap Jamil faham kau, tapi kau ada cuba faham Jamil?” Aini bertanya dengan berhati-hati, bimbang temannya itu terguris dan salah faham.

“Apa maksud kau?” Siti membalas pertanyaan Aini dengan pertanyaan juga.

“Maksud aku, kau dah cuba teliti apa yang kurang pada diri kau sehinggakan Jamil beralih arah dan cari perempuan lain? Pernah kau tanya dia apa yang dia tak puas hati tentang kau, mungkin dari segi layanan ke? Atau ada sikap kau yang buat dia kecil hati tanpa kau sedar? Ye lah, kita ni kan manusia biasa yang boleh lari dari buat silap.” Jelas Aini.

“Aku dah tanya, tapi macam tu lah, dia buat tak tahu, buat tak dengar... diam, beku macam batu. Abih-abih dia akan cakap 'semuanya ok je'. Itu yang buat aku jadi lagi sakit hati dengan dia.”

“Mungkin kau kena bagitahu dia tujuan kau tanya soalan tu. Cakap kat dia yang kau harapkan jawapan ikhlas dan jujur dari dia sebab kau nak baiki apa yang dia rasakan kurang.” Kata Aini lagi.

“Alah... kau ni macamlah tak kenal Jamil tu macam mana. Dari zaman belajar sehingga dia kawin dengan Siti, kau bukannya tak tahu sejarah casanova dia tu dulu. Kau ingat lelaki macam tu senang nak berubah? Dia mungkin setia pada Siti untuk satu tempoh tertentu, tapi tak mustahil dia kembali pada perangai lama dia tu.” Kata Rina menyampuk. Tak senang dengan sikap Aini. Rasanya seperti Aini cuba mencari salah Siti dan secara tak langsung seolah membela Jamil.

“Aku tahulah Jamil dulu tu bagaimana, tapi tak mustahil kalau dia berubah jika Allah izinkan. Bukan semua lelaki yang ada rekod buruk tu jahat, ada jugak yang insaf dan benar-benar kembali kepada ajaran Allah.” Kata Aini pula.

“Kau ni macam membela Jamil pulak. Kalaulah Jamil tu benar-benar berubah dari perangainya yang dulu, Siti mesti tahu. Kalau dia benar-benar bertaubat, pasti boleh dilihat dari sikap dan perangainya. Tapi ini tidak. Setakat yang aku perhatikan, dan dari apa yang Siti ceritakan, dia masih Jamil yang sama yang aku kenal masa kat U dulu.” Rina berkata sambil mengingati kembali zaman kegemilangan Jamil yang sering bertukar pasangan.

“Aku bukannya membela Jamil, tapi bagi aku, paling penting ialah kita cuba melihat kesalahan diri dulu.
Mungkin juga Siti yang perlu berubah untuk menarik perhatian Jamil. Mungkin kena lebih berusaha berbanding memula kawin untuk menarik hati Jamil. Siapa tahu dengan cara begitu Jamil akan sedar bahawa Siti tak ada yang kurang.

“Bagi aku, Siti dah lakukan yang terbaik. Aini, kau bukan tak tahu Siti kita ni sayang sangat kat Jamil tu sampai aku naik muak tengok dia layan Jamil yang manja tak bertempat tu.” Kata Rini sambil tersenyum sinis dan menjuihkan bibir.

“Tapi aku setuju bila Aini cakap kau kena berubah. Paling penting kau kena ubah sikit falsafah sayang kau kat Jamil tu. Sayang biar bertempat,
cinta biar bersyarat. Lagi satu, kau kena lakukan sesuatu, buktikan dan tunjukkan bahawa kau bukan perempuan lemah yang hanya akan memejamkan mata melihat perbuatan dan perlakuan jantan tak guna tu.” Rina memberikan pendapatnya dengan perasaan geram.

“Rina...
Jangan sebut perkataan tak elok boleh tak? Buruk macam mana pun Jamil tu, dia tetap suami Siti yang perlu Siti hormati. Lagipun setiap patah perkataan kita adalah doa, jadi hati-hati bila cakap tu.”

“Maaflah, tapi aku memang sakit hati bila lihat kawan baik aku diperlakukan macam ni.”

“Akupun sakit hati jugak... tapi janganlah keterlaluan sangat.”

“Dah lah tu, tak payah korang nak bertekak pasal aku.” Siti berkata tiba-tiba.

“Siti, aku ingat nak bawak kau jumpa sorang pakcik kat Melaka. Kawan opis aku bagitahu pakcik tu boleh bantu orang-orang bermasalah macam kau nih.” Cadang Rina pada Siti.

“Dia buat macam mana?” Tanya Siti lagi, ingin tahu lebih lanjut tentang kaedah yang digunakan.

“Dia akan tengok dulu nama kau dan Jamil. Lepas tu dia akan bagi kau gula atau beras untuk kau campurkan dalam makanan Jamil.” Jelas Rina ringkas.

“Kau nak bawak Siti jumpa bomoh Rina? Aku tak setuju. Jangan sekali-kali kau pegi ke tempat macam tu Siti.” Bantah Aini tiba-tiba. Suaranya keras, tegas.

“Aini... kita kena berusaha. Bukankah Allah menggalakkan kita berusaha dan bukan berserah pada takdir saja? Aku cuma nak bantu Siti selamatkan rumahtangga dia.” Kata Rina mempertahankan niatnya.

“Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan, bukan dengan cara jumpa bomoh. Jangan gadaikan akidah kita untuk perkara seperti itu. Siti, kita tak tahu bomoh tu macam mana, entah kaedah apa yang dia gunakan, nanti tak pasal-pasal kita tanggung dosa.” Aini memberi alasan untuk pendapatnya. Dia memang tak suka dengan cadangan itu walaupun niat Rina baik.

“Kau ni Aini, jumpa lah dulu. Kita tanya dan tengok, lepas tu kalau tak suka, tak payah ikut apa yang dia suruh buat.” Rina berkata memujuk.

“Jangan menghampiri sesuatu yang salah walaupun sekadar nak tahu, kerana kita tak tahu sekuat mana iman kita untuk menghalang bisikan syaitan. Tolonglah Siti, berusahalah cara lain. Kita ada Allah, mintaklah terus pada Dia,
jangan gunakan bomoh sebagai perantaraan.” Bimbang benar dia kalau Siti bersetuju.

“Tapi...”

“Siti, sebelum kau cakap apa-apa, kau dengar sini. Aku tahu kau yang mengalami semua keperitan ni, kau lebih faham sakit hati kau, malah lebih kenal Jamil berbanding dengan aku. Aku memang mahu kau bahagia, tapi kebahagiaan itu bukan terletak pada suami kita saja. Bagi aku, kebahagiaan itu terlalu luas untuk dihuraikan. Yang jelas, ini semua adalah dugaan untuk kau. Allah sayangkan kau, sebab tu Dia duga kau. Allah mahu kau kembali pada Dia, jangan sampai kau tewas pada dugaan yang Allah turunkan ini.”

“Erm...” Siti terdiam mendengarkan kata-kata Aini.

“Kehidupan kita singkat saja di dunia ini Siti. Sabarlah, disamping tu perbanyakkan doa dan zikir.
Selalulah beristighfar. Kita manusia yang lemah, banyak buat dosa samada secara sedar atau tidak. Lalu mungkin kerana dosa itu, Allah menguji dengan pelbagai cara. Banyak beristighfar bermakna kita banyak mohon keampunan dari Allah, dan ia akan membantu menanamkan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Dengan mengingati Allah, kau akan lebih tenang. Jangan mudah putus asa untuk terus meminta padaNya. Insyaallah, lambat laun aku pasti akan ada penyelesaian untuk masalah kau ni.” Kata Aini penuh yakin.

“Rina, maafkan kalau aku agak berkasar dengan cadangan kau tadi. Aku tahu kau berniat baik, tapi sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus berhati-hati.”

“Aku faham... Aku cuma bagi cadangan je. Terserah pada Siti nak ikut atau tak.” Katanya perlahan.

“Dah lah. Aku faham niat baik kau berdua. Terima kasih. Tak kisah apa sekalipun cadangan yang diberikan, aku amat hargai dan akan mempertimbangkannya.” Ucap Siti sambil tersenyum.

“Itulah sebaiknya Siti. Kalau kau rasa nasihat aku keterlaluan, atau larangan aku tadi agak keras dan kau masih rasa mahu mencuba cara yang Rina cakapkan tadi, aku harap kau sembahyang istikharah dulu. Tambahkan ibadat sunat yang kau kerjakan. Berikan satu tempoh untuk kau nilai kembali apa yang harus kau buat. Semoga Allah berikan petunjuk untuk kau.” Harapan dan doa seorang sahabat.

“A’ah... Bagitahu aku kalau kau rasa nak pegi jumpa pakcik tu. Nanti aku mintak kawan aku tunjukkan.” Ucap Rina mengakhiri pertemuan mereka.

“Insyaallah...” Ucap Siti perlahan, mengangguk dan memegang tangan kedua teman baiknya itu.

Sunyi. Semua terdiam melayani fikiran sendiri. Segalanya telah ditentukan olehNya. Dia Yang Maha Pencipta, Dia yang merancang peristiwa, Dia yang menentukan segalanya. Pertemuan kali ini seolah mengenalkan mereka kepada Siti yang baru, Siti yang pasrah, Siti yang tabah, Siti yang menyandarkan segala tindakannya hanya kerana Allah. Siti kelihatan tenang walaupun mungkin hakikatnya dia menjeruk pedih disudut hati yang paling dalam. Hanya Allah yang tahu sejauh mana ketabahan yang telah Dia bekalkan pada Siti. Allah sayangkan Siti, Dia tak akan benarkan Siti rasa dirinya bersendirian kerana Allah sentiasa ada untuk Siti sandarkan harapan.

Tak ada tangisan dan airmata yang menghiasi petang yang suram merintik hujan. Sesungguhnya cerita kehidupan tak akan berakhir begitu saja selagi hayat dikandung badan. Siti mahu menjadi hambaNya yang redha, yang mengembalikan segala keputusan hidupnya hanya pada Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang dan Dia lebih tahu mana yang terbaik untuk Siti. Hatinya membulatkan nekad untuk mengejar bahagia abadi yang Allah janjikan untuk hambaNya. Bahagia setelah dibangkitkan semula, itulah bahagia abadi yang mahu dia cari kini.

Note : Perjalanan hidup terkadang tak berlaku seperti yang dirancang dan diimpikan. Dugaan yang singgah dalam kehidupan harus dilihat sebagai tanda Allah meluahkan kasih sayang.

Dia mahu kita sedar bahawa Dia ada untuk dijadikan tempat untuk mengadu dan tempat bergantung harapan. Dia mahu hambanya tahu Dia jadikan hidup kita begitu kerana mahu menggugurkan dosa-dosa yang lalu.

Perbaiki diri dan amal, kita akan jadi hamba yang lebih tenang bila kita mampu menerima segalanya dengan perasaan sabar dan redha dengan segala takdir. Bersyukurlah kerana kita telah terpilih untuk diuji dan jadikan ujian itu adalah penggerak utama untuk kita mendekatiNya.

"Ya Allah, Ya Muhaimin, Ya Dzul Jalaali Wal Ikram, berikanlah aku petunjuk untuk setiap keputusan yang aku ambil, setiap langkah yang aku atur, setiap tindakan yang aku pilih, agar segalanya hanya akan mendekatkan aku padaMu. Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa bersyukur dengan pemberianMu, yang tabah menghadapi dugaanMu, yang redha dengan segala ketentuanMu. Kurniakanlah aku apa jua yang Kau kurniakan kepada hambaMu yang soleh dan solehah. Amin."