Jan 2, 2008

Selamat Hari Lahir

Nisha berteleku di atas sejadah. Jam menunjukkan pukul 12.30 malam. Hari baru telahpun bermula setengah jam yang lalu. Tangannya di angkat tinggi separas bahu, matanya terpejam dan mulutnya terkumat-kamit. Hari ini, 2 January ialah hari ulangtahun kelahiran suami tercinta.

Hadiah yang sama dan berulang-ulang, di berikan hanya untuk lelaki itu. Hadiah yang lahir dari hatinya untuk insan yang membuktikan keikhlasan menyayanginya semenjak dulu lagi. Hadiahnya hanya lah doa; doa kesejahteraan, doa kebahagiaan, doa kesihatan untuk Shazrin tak pernah lekang dari bibirnya walaupun usia perkahwinan mereka telah mencecah 11 tahun. Nisha biasanya akan bangun menunaikan sembahyang hajat sendiri, dan kali ini sempena ulang tahun, Nisha lakukannya khusus untuk mendoakan agar segala yang terbaik menjadi milik Shazrin.

Nisha bahagia. Sungguh-sungguh bahagia, walaupun hidup mereka tidak di serikan oleh cahaya mata. Bagi Nisha, pilihan untuk bersama lelaki itu menempuh gelombang kehidupan adalah pilihan yang tepat. Setiap manusia memang ada kekurangan, namun seboleh mungkin mereka tak mahu jadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk kurangnya kasih sayang dan kemesraan. Yang penting mereka memiliki satu sama lain untuk melengkapkan kekurangan itu. Biarpun ada dugaan di tengah-tengah laluan hidup mereka sepanjang mereka bersama, Nisha yakin berbekalkan doa, segalanya mampu di pulihkan. Shazrin yang Nisha kenali sedari dulu ialah lelaki yang penuh kesungguhan dan keyakinan.

Teringat hadiah pertama Shazrin untuk Nisha, semasa mereka masih di alam persekolahan. Bulu pelepah ayam belanda yang Nisha jadikan penanda buku. Sehingga sekarang, hadiah itu masih ada, terselit kemas di kamus. Kata Shazrin, bulu tu ialah dari ayam peliharaannya sendiri. Memang satu hadiah yang simple, tapi Nisha cukup menyayangi pemberian itu, benar-benar menghargainya.

Hadiah ulang tahun yang pertama untuk Shazrin selepas mereka mengesahkan hubungan mereka ialah satu buku kecil, ‘Panduan Berhenti Merokok’. Buku yang terkandung harapan Nisha yang pertama. Ia juga adalah syarat utama dan perkara pertama yang Nisha mahu Shazrin penuhi dan buktikan kalau benar Nisha begitu bernilai di hati Shazrin.

“Kalau dia nak masuk keluarga kita, pastikan dia berhenti merokok. Keluarga kita tak ada yang merokok dan kak ngah mahu dia tunjuk contoh yang baik pada anak-anak kecil...” Kata kak ngah tegas.

Nisha akur pada permintaan kakaknya. Sememangnya dia sendiri tidak suka pada perokok. Satu ketika dulu ayah juga pernah merokok dan Nisha selalu membantu ayah membelinya bila bekalan rokok ayah kehabisan. Sehinggalah ayah sakit dan batuk teruk, kak ngah yang menjadi jururawat memaksa ayah berhenti demi memulihkan kesihatan ayah yang terganggu akibat tabiat buruk itu. Dengan kesungguhan dan semangat kental, ayah berjaya mengatasi tabiat itu dan keluarga mereka bersih dari asap rokok. Bila kakak-kakak Nisha juga mengahwini lelaki yang bukan perokok, syarat yang sama telah mereka kenakan pada Shazrin.

"Saya nak kehidupan yang sihat bila berkeluarga. Saya nak suami saya nanti sihat dan tak batuk-batuk sebab paru-parunya di penuhi asap rokok." Nisha bersuara semasa mereka keluar untuk makan. Shazrin tak pernah merokok bila mereka bersama kerana menghormati Nisha, namun dia memang mengakui bahawa dia memang merokok.

"Nanti saya berhentilah." Kata Shazrin.

"Eh, awak nak jadi suami saya ke?" Nisha mengusik.

"Tak kan awak tak nak saya sebab saya merokok. Mana aci macam tu. Lagipun kenapa awak benci sangat orang yang merokok ni?" Soal Shazrin ingin tahu.

"Saya tak kata saya tak nak awak sebab awak merokok, cuma saya nak awak tahu yang saya nak hidup lama jugak, nak panjang umur. Kalau dapat suami perokok macam awak, mana tahu kot nanti saya akan pendek umur. Awak tentu tahu kan, orang yg sedut asap rokok orang lain tu lebih banyak terima kesan buruk berbanding dengan orang yang merokok itu sendiri. Kalau awak sayangkan saya dan nak saya hidup lama, awak berhentilah ya." Dan Shazrin memang telah membuktikan kesungguhan hatinya untuk hidup di samping Nisha bila tabiat merokok itu di tinggalkan sebelum mereka berkahwin lagi.

Nisha memang tak pandai memilih hadiah. Apa yang pernah di beri ialah semua yang simple namun penuh makna. Malah pernah beberapa kali, hadiah Nisha hanyalah ucapan dan ciuman kasih sayang serta makan malam yang Nisha sediakan sendiri, yang sedikit istimewa berbanding hari-hari yang biasa, khas darinya untuk suami tercinta.

Selesai tangan di raub ke muka, Nisha berpaling memandang lelaki yang telah menjadi imam hidupnya. Wajah berkumis itu tertera keletihan yang amat jelas. Lena sungguh. Nisha tahu Shazrin penat, di tambah lagi bila yang kedengaran di telinga Nisha ialah dengkuran perlahan.

Perlahan Nisha mendekati Shazrin lalu melabuhkan punggungnya ke birai katil. Telekung yang dipakai belum di tanggalkan. Tangan Shazrin di capai lembut lalu di cium. Sentuhan Nisha nyata telah membuatkan lena Shazrin terganggu, namun tiada kata yang keluar, hanya pandangan mesra menyentuh wajah isterinya itu.

“Abang, selamat ulangtahun kelahiran. Happy birthday to you.” Ucap Nisha ringkas sambil tangannya menyentuh kepala Shazrin lembut. Nisha telah menjadi orang pertama yang mengucapkan selamat hari ulang tahun untuknya semenjak dulu lagi, bertahun-tahun lamanya, sebelum mereka di ijabkabulkan lagi dan Nisha mahu mengekalkan tradisi itu. Menjadi orang yang pertama selamanya di sisi Shazrin.

“Terima kasih sayang.” Balas Shazrin sambil tersenyum. Badan Nisha yang masih bersalut kain sembahyang di tarik perlahan, merebahkan kepala Nisha ke dadanya. Rasa bahagia terus kembang mekar di jiwa, berlagu bersama degupan jantung yang masih rancak bernada.

No comments: