Jan 12, 2008

Rindu yg lupus

Kerdilnya diri. Terasa benar bila Ira merenung sejarah hidupnya yang lalu. Semakin lama semakin Ira sedar betapa sayang Allah padanya. Sebelum ini, biarpun segala kepahitan yang di bentangkan sepanjang perjalanan hidup Ira, tak pernah Ira rasa perasaan begini. Perasaan pasrah yang terhasil dari campuran segala bentuk perasaan yang lain. Dan rindu.... Ira tak ingin lagi menuai rindu seperti dulu. Tak ada gunanya merindu orang seperti itu.

“Ingat tau. Azri sentiasa temani Ira di hati. Jadi, Ira jgn rasa sunyi...."

"Azri selalu bawa bayangan wajah Ira kemana saja Azri pergi....“ Ira tersenyum pahit mengingatkan kata Azri.

"Ingatan menjelma dan rindu itu tiba. Raut wajahmu terbayang di mata..." kata Azri bermadah, meluahkan rindu yang menghuni hati. Hati Ira pedih ngilu mengingatkan kenangan lalu.

"Terima kasih... tapi di mata je? Di hati bagaimana?" Ira menguji.

"Di cermin? Di PC? Di dinding? Di laci? Di bawah meja...? Nampak bayangan wajah Ira tak?" Usikan Ira mengumpan kenakalan. Kemeriahan lama yang kini telah hilang di bawa arus masa.

Ira sedar kini bahawa hati manusia sukar di baca. Kata yang terluah mungkin tidak sama seperti yang tertera di hati. Sejak awal lagi, bila Ira mengenali Azri seboleh mungkin Ira tak mahu mempersoalkan kebenaran cerita. Dia lebih suka menerima apa yang diberitahu tanpa ada syak wasangka. Mana mungkin kita sebagai manusia boleh membaca hati orang lain. Memahami perasaan dan keinginan hati insan lain, sememangnya hanya berlaku dengan keizinan Allah.

Dulu Ira sangka dia memahami Azri. Tak pernah Ira persoalkan kebenaran bila setiap kali ada rasa curiga terdetik di hati kalau ia hanya akan membawa pertengkaran. Penting bagi Ira untuk cuba menerima penerangan Azri seadanya. Mahu percaya pada Azri sepertimana dia mahu Azri percaya pada dia. Ira selalu ingat yang Allah lebih tahu segala yang tersembunyi dan dia bukanlah orang yang layak untuk menentukan benar tidak satu perasaan yang di nyatakan, betul atau salah satu pengakuan.

Ira tak mahu menjadi manusia yang penuh dengan prasangka buruk lalu Ira belajar melayan kecurigaannya pada Azri dgn cara berbeza. Membiarkan saja masa menentukan segalanya. Dan Ira lebih tenang. Bagi Ira yang penting ialah keikhlasan hatinya.

“Azri selalu rindukan Ira. Rindu yang tak pernah ada hujungnya....“ Hati Ira pernah dihiasi warna indah bila mengingatkan bahawa satu ketika dulu, Azri kerap meluah rasa rindu itu. Tapi kini berbeza. Mengingatinya membuatkan Ira rasa pedih. Sedih membungkus hati, kesal menindih diri kerana pernah leka dengan kata kosong yang tak bermakna itu. Kata yang pernah di luah itu akhirnya Ira sedari bahawa ia bukan hanya terluah pada Ira, tapi pada semua wanita yang pernah singgah dalam hidup Azri, malah mungkin sedang diluahkan dan akan di luahkan lagi... lagi... dan lagi.

"....Mulai hari ini, setiap kata yg keluar dari mulut Azri, tak lagi jatuh ke hati. Ia jatuh ke tanah, bertukar menjadi baja atau racun yg hanya akan membuatkan pokok mati sehingga ke akar umbi...." Kata Ira menutup segenap ruang yang ada di hatinya untuk seorang lelaki bernama Azri.

Ira duduk di bangku yang mengadap tasik. Tasik yang mungkin dulunya ialah lombong tinggal yang telah banyak diubahsuai untuk di jadikan taman rekreasi untuk penghuni bandar yang masih sukakan kehijauan alam. Warna airnya agak pudar. Tercemar. Tak ternampak walau seekor ikan pun yang berenang. Mungkin ada nun di bawah sana, cuma mata bundar Ira tak mampu menjangkau kehidupan di sebalik kekeruhan air itu.

“Kalau Ira mandi.. pijak pasir.. pasir halus akan naik sikit.. lepas tu pasti ada anak-anak ikan seluang yang datang...“ Gambaran jernih air sungai di desa tempat Azri bercerita tiba-tiba terngiang di telinga. Ia hanya manambahkan lagi keinginan sedia ada untuk merasai sendiri apa yang pernah diceritakan itu.

"Jomlah kak Ira, join kami. Orang asli yang baru memeluk Islam kat sana memang perlukan lawatan kerap dari kita sebab kalau tidak, mereka mudah leka sebab tak ada dorongan. Masa kat sana nanti, kak Ira boleh nikmati semua yang asli. Ada sungai jernih kat sana tau..." Zuri pernah memujuk Ira satu ketika dulu. Hatinya telah berada di sana, tapi keadaan memang tidak mengizinkan bilamana Ira terpaksa tangguhkan keinginan itu kerana tuntutan tugas, menangguhkannya sehingga ke satu ketika yang tak dapat Ira pastikan bila.

'Insyaallah, tak kira bila, tak kira dengan siapa dan di mana, semoga Allah perkenankan hasrat untuk meneroka indah desa yang asli.' Ira tersenyum.

Kelihatan satu objek bergerak perlahan. Mata Ira mengecil, cuba mengenalpasti apakah itu. Selepas beberapa ketika baru Ira dapat meneka. Rupanya kura-kura kecil yg berenang. Ira tersenyum sendiri bila merasakan bahawa dia hampir tertipu oleh penyamaran yang dilakukan oleh kura-kura itu di sebalik celahan daun kering yang terapung di permukaan air. Azri... kesamaran adalah cara penyamarannya, membuatkan segalanya kabur di mata orang yang mengenalinya.

Ira kemudian memejamkan matanya rapat. Lama. Menumpukan sepenuh perhatian pada suara air yang mengalir lesu, cuba mendengar suara bayu bertiup rakus menyapa dedaun pohon yang gagah berdiri menghias taman tasik itu. Fikirannya menerawang seolah cuba mencari sesuatu. Mungkin sedang berusaha mencari kekuatan untuk melakar harapan yang mampu membuatkan dia memandang masa depan dgn penuh semangat. Tapi yang dia jumpa hanyalah kekuatan untuk terus memperdengarkan doa, berusaha untuk memahami rahsia disebalik semua yang terjadi, berikhtiar mengikut keupayaan yang terbatas dan selebihnya pasrah... Bertawakkal hanya pada Yang Esa.

Ketenangan yang Ira garap bila membayangkan tenang desa, terganggu oleh suara-suara manusia yang asyik bercerita, riuh rendah bergurau senda. Tapi inilah hakikatnya. Jasad Ira berada di sini, di kota ini. Di tempat yang memberikan rezeki untuk Ira meneruskan hidup. Rezeki yang Ira harapkan akan hanya digunakan untuk kebaikan.

Di sini, Ira tak pernah mendengar bunyi cengkerik berlagu riang. Tak dapat melihat kunang-kunang terbang bebas menghias malam. Tak berkesempatan menikmati tenang yg dulunya selalu dia perolehi di desa kelahiran. Mana mungkin kota ini mempunyai tempat yang benar-benar jauh dari segala pencemaran yang ada. Pencemaran udara, air dan bunyi... malah pencemaran bahasa, akhlak dan budaya... memang ada di mana-mana apatah lagi di hutan batu ini.

Ira membuka mata. Pandangannya jatuh kepada satu pasangan yang berhenti rehat selepas berjogging. Mungkin pasangan kekasih, mungkin jugak pasangan suami isteri. Mereka kelihatan begitu mesra dan gembira. Banyak yang di bualkan. Kemudian si lelaki mula berbaring di ribaan perempuan tu untuk melepaskan penat.

“Azri impikan satu ketika nanti, Azri akan terlena di ribaan seorang perempuan dan membayangkan itulah perempuan yang Azri cintai....“ Azri pernah menceritakan impiannya pada Ira satu ketika dulu.

"Masa bertunang lagi dia dah tidur kat atas riba saya. Masa tu saya pegi rumah rumah dia. Selamba je dia tidur lena. Lama pulak tu, sampai lengoh paha saya memangku kepala dia. Sampai mak dia sound, 'kot ye pun nak lebih-lebih, peganglah tangan tok kadi dulu'. Malu saya di buatnya, tapi nak buat macam mana, dia yang lebih-lebih." Suara Aiza kedengaran jelas saat dia bercerita mengimbau apa yang pernah wujud dalam hubungan mereka satu ketika dulu. Pertemuan antara mereka berlangsung atas permintaan Ira yang mahu mencari kebenaran tentang siapa Azri sebenarnya.

Ira tersentak mendengar cerita itu. Dari Aiza, Ira tahu Azri telah penuhi segala impian yang pernah di ceritakan dulu. Impian yang direalisasikan bersama Aiza walaupun ketika itu mereka belum di ikat oleh akad. Impian yang lama berlaku sebelum Ira tahu Aiza wujud dan telahpun menempatkan dirinya sebagai suri dalam hidup Azri.

Ira sedar kini, ada lakonan yang sedang dipentaskan oleh Azri. Dari kata-kata Aiza, Ira tahu siapa sebenarnya Azri yang tersembunyi. Aiza ialah orang yang patut Azri cintai. Mungkin Aizalah perempuan sebenar yang Azri cintai. Tapi kalau begitu, kenapa Azri tak mahu mengakui kewujudan Aiza dari dulu? Kenapa Azri tak berusaha untuk setia pada cinta yang pernah diluah pada Aiza? Kenapa Azri masih berusaha untuk mengikat diri dan hati Ira dengan segenap cara kalau perempuan yang di cintai telah di temui lama dulu? Hati Azri telah berubah arah atau perangai Azri yang buaya itu belum berubah walaupun telah memiliki dan dimiliki? Hati Ira sakit, bukan hanya sakit untuk dirinya yang telah di permainkan tapi sakit hati untuk Aiza yang pastinya lebih sakit lagi bila tahu Azri masih enggan mengakui sejarah indah cinta Azri-Aiza satu ketika dulu.

"Ya Allah, hanya Engkau yang tahu segalanya. Hanya Engkau yang boleh menghentikannya segala yang telah menjadi kebiasaannya. Semoga Kau hidupkan hati dia dalam kesedaran yang penuh terisi dengan keinsafan dan membawa dia hanya ke arah kebaikan. Ya Allah ya Tuhanku, kuatkanlah hati Aiza untuk hidup bersama lelaki itu, kuatkanlah hatiku untuk menghadapi dugaanMu..." Doa Ira berbisik dalam keluhan yang berat.

Ira leka memerhati gelagat manusia yang beriadhah. Ada yang bersendirian, ada yang berpasangan dan ada yang datang dengan keluarga. Walaupun tanpa teman, Ira tetap berbicara. Bezanya Ira berbicara dgn hatinya sendiri, tanpa suara yang mampu diratah oleh telinga. Ira kini sudah mula belajar meluahkan rasa, bercerita dan berbicara dengan cinta hatinya yang utama, Allah As-Sami’u, Tuhan Yang Maha Mendengar. Cinta agung yang layak dimiliki oleh Yang Maha Esa saja. Hanya Dia tempat Ira selalu meluahkan perasaan saat Ira mahu mengadu tentang segala perasaan yang memenuhi dada, yang menerpa minda.

Ira sedar, dirinya tak ramai kawan. Malah semakin lama Ira semakin kehilangan teman lantaran tuntutan hidup. Dia tak salahkan mereka kerana manusia memang begitu. Ira manusia biasa, Ira juga sama. Setiap insan ada keinginan lain yang perlu di penuhi, ada tanggungjawab yang sedia menanti, tanggungjawab pada kerja, pada keluarga, pada suami dan anak-anak. Lantas mana mungkin akan ada insan yang sentiasa bersedia untuk berdiri di samping saat di perlukan dan memerlukan. Ira mahu berdikari... malah Ira memang perlu jadi manusia yang lebih berdikari, perlu ingat bahawa jangan terlalu bergantung pada orang lain, hanya berpaut pada diri sendiri dan pada Allah Yang Satu.

Dengan Allah, bila-bila masa Ira boleh meluah rasa. Terkadang Ira mengadu resah di dada, terkadang Ira menyoal diri mencari jawapan, memohon petunjuk, meminta pertolongan dan menagih belas kasihan untuk diberikan kekuatan bagi menghadapi apa jua rintangan yang terbentang. Malah ada ketika Ira berbicara, bercerita tentang rindunya terhadap ayah bonda yang telah lama tiada kerana hanya Dia Yang Maha Mendengar dan hanya Dia yang mampu menyampaikan doanya untuk mereka.

Ira menarik nafas sambil memejamkan mata, kemudian melepaskannya perlahan. Menghirup udara sedalam mungkin, mengumpulkannya di dada, mengeraskan semangat untuk berhadapan dgn sebarang kemungkinan masa depan. Tatkala nafas di lepas, Ira mengharapkan agar segala sesak dan resah di dada berlalu bersama hembusan nafas. Segala yang terjadi, Ira tak menyalahkan semuanya pada Azri, salah Ira juga sebenarnya. Kesalahan yang paling awal dan paling besar ialah kerana mempercayai orang yang salah. Lalu Ira pasrah pada takdir. Hanya Allah yang tahu kenapa semua ini terjadi... Biarkan saja... Lupakan saja.. Lepaskan saja... Begitulah Ira memujuk hati sendiri.

“Azri sukakan alam. Suatu hari nanti, Azri mahu kembali ke desa untuk menikmati apa yang Azri suka...“ Keinginan yang sering diluahkan pada Ira. Dan Ira memang sentiasa berharap agar Azri akan mendapat apa yang mengembirakan hatinya, hidup bahagia dan tenang bersama Aiza walaupun lelaki itu pernah membuatkan hatinya sakit.

Matanya kemudian di buka perlahan. Kelihatan dedaun kering yang gugur berterbangan bila di usik bayu. Indah, bisik hati Ira. Terasa oleh kulitnya akan sentuhan angin yang tak berwajah, angin yang sama menyapa pohonan hijau yang tegak merendang.

Kehijauan taman bertambah seri bila dalam kelompok warna hijau yang segar itu, terhias jarang-jarang daun yang matang dengan warna kekuningan. Dalam diam Ira membisikkan kekaguman tak terhingga pada Yang Maha Pencipta.

Dia leka menikmati nyaman dan lembutnya sentuhan bayu membalut diri. Sentuhan yang tak nampak dek pandangan mata, tak terdengar bisikannya dek telinga. Namun yang pasti, tiupan angin pagi itu telah melagukan irama indah yang tak mampu diterjemahkan dgn apa jua bahasa insan.

Ira masih memerhati. Asyik sekali. Dedaun yang telah mencapai usia matang, pastinya amat mudah gugur. Realitinya memang begitu. Bila sampai masa, ia dikatakan akan gugur sendiri, tapi hakikatnya ia gugur kerana Allah telah mengatur dan menghendaki ia begitu. Segala yang berlaku adalah bersebab. Malah gugurnya daun juga mungkin disebabkan oleh satu sentuhan alam yang tak mampu dibuktikan oleh pandangan kasar.

Ira memandang dedaun yang gugur. Bila angin kuat bertiup, lebih banyak daun yang gugur. Bila angin berhenti, tetap ada daun yang gugur walaupun tak banyak. Hati Ira turut terbuai bila melihat daun yg jatuh dgn gerakan yang penuh dgn kelembutan, melenggok, terhayun longlai, seperti sedang menarikan satu tarian alam. Asyik sekali, leka menikmati dan memerhatikan persembahan yang terlalu istimewa dari Yang Maha Esa.

Tiba-tiba Ira terasa ingin sangat untuk berada di sana, di desa impian. Di daerah yang kaya dengan seni alam. Tempat yang masih wujud pepatung melebarkan sayapnya, masih ada kelip-kelip yang terbang menghias malam, masih riuh dengan suara reriang hutan, malah masih kelihatan dengan mudah unggas yg bebas terbang mencari makan. Ira ingin sekali mendengar bagaimana bunyi gajah menarik buluh seperti yang Azri pernah bagitahu dulu. Ingin melihat dan menyentuh sendiri keindahan orkid hutan yang pastinya tumbuh subur menghias kehijauan alam.

'Erm.... mungkin aku tidak di takdirkan untuk semua itu. Entahlah...' bisik hati Ira sendiri bila memikirkan diri yang telah terperangkap di kota batu kerana rezekinya tumpah disini.

Terbayang difikirannya rumah desa yang sederhana. Rumah kayu yang masih mengekalkan tingkap berdaun. Rumah ringkas yang mengekalkan warna asli kayu tanpa calitan cat. Rumah kampung yang terhias dengan kehijauan pepohonan di sekitarnya. Cerita ttg kejernihan dan sejuknya aliran air sungai di belakang rumah Azri sering menggamit rindunya pada kedamaian desa.

Ingin merasa kembali perasaan mandi air telaga dgn air yang di karai dgn timba seperti yang pernah di rasai bersama arwah nenek satu ketika dulu. Malah, Ira ingin mencuba kemahiran lama, memasak nasi menggunakan kayu api yang telah hampir di lupakan. Gila... Keinginan untuk merasa semua itu masih ada walaupun Ira kini hidup dizaman penuh kemodenan.

“Insyaallah… suatu hari nanti Ira akan boleh tengok. Ira akan pergi dan rumah tu akan jadi milik Ira... ” Indahnya impian yang di semai oleh Azri, impian yang mungkin di semai dlm hati semua perempuan yang ingin Azri permainkan perasaannya. Ari selalu cakap, mahu mencabar hidup bersama seorang perempuan yang telah menyedarkannya tentang kewujudan kasih sayang. Semoga Azri sedar kini bahawa kasih sayang itu telahpun dia miliki lama dulu. Hati Aiza ialah satu-satunya yang perlu di jaga dan dihargai kerana kemaafan Aiza ialah lambang kasih sayang seorang isteri yang menyayangi dia seadanya.

Mata Ira tiba-tiba bergenang dgn air. Sedari dulu, Ira memang mengharapkan kasih sayang yang mampu membekalkan dia kekuatan untuk mengharungi hidup yang penuh dgn cabaran. Ira tahu dan sedar kini kasih Ari tak akan mampu membekalkan kekuatan itu dlm dirinya. Kekuatan kasih Azri bukan untuk Ira tapi mungkin untuk Aiza.

Entahlah. Ira tak tahu bagaimana nasibnya nanti. Yang Ira tahu, rasa dan sedar sekarang ialah cinta Allah terhadap hambaNya terlalu tinggi, tak terbilang, tak terukur. Ira telah melihat bahawa kerana sayang Allah padanya, kerana cinta Allah terhadap hambaNya, Dia telah duga Ira sebegini. Dia mahu Ira kembali berpegang pada apa yang Ira mahu cari, pada apa yang sepatutnya Ira pegang dari dulu lagi.

Ira yakin segala yang berlaku adalah bersebab dan Ira juga yakin, Dia mampu menunaikan apa saja permohonan hambaNya selagi doa tak jemu di perdengarkan. Dan Ira akan terus perdengarkan doa keinsafan dan doa kebahagiaan. Doa agar dirinya sentiasa insaf akan kekurangan diri yang perlu diperbaiki, doa agar Azri juga insaf betapa selama ini terlalu banyak hati yang dia lukai. Semoga mereka semua akan diberi peluang untuk bahagia di dunia dan di akhirat nanti.

“Ya Allah Ya Azhim. Aku ingin hidup dalam redhaMu. Membina satu kehidupan yang sederhana, yang dilengkapi dengan tenang dan tawa, yang terhias dengan sayang dan cinta, yang di pagari oleh iman dan takwa. Aku yakin padaMu Ya Mujiib, yakin yang tak berbelah bahagi bahawa hanya Engkau yang boleh mengabulkan doaku, hanya Engkau yang tahu apa yang terbaik untuk ku, lalu berikanlah apa yang layak untuk diriku, berikanlah aku anugerah mahupun dugaan yang mampu ku tanggung dalam kehidupan yang singkat di bumiMu ini.... “ Ira kembali memejamkan mata. Membayangkan impiannya, satu kehidupan sederhana yang penuh keberkatan.

No comments: