Jul 11, 2019

Rezeki Luar Biasa

Mendengar kisahnya membuat diri rasa kerdil.

Ustaz Jaa menarik nafaz dalam. Menyelitkan kisah yang menjadi pengajaran untuk dijadikan panduan, memang berkesan.

Ini kisah Amin. Insan biasa yang luar biasa rezekinya.

Bicaranya tak pernah menyakitkan. Perkataan maaf selalu diulang-ulang. Bantuan yang diperlukan orang tak pernah dihampakan.

"Amin, abang nak mintak tolong sikit, boleh?"

"Boleh... Boleh..." Jawabnya pantas. Belum pun diberitahu apa pertolongan yang diperlukan, dia dah menyanggupi. Begitulah selalunya.

Dia akan cuba sehabis daya untuk membantu. Biarpun terpaksa mengorbankan masa dan keringat, tapi dia tak pernah rasa penat. Kerana sikapnya yang suka membantu, dia ditawar mengerjakan umrah. Percuma. Disponsor oleh hamba Allah. Alhamdulillah

Dia tidak berpendidikan tinggi. Kemampuan membacapun, saya tak pasti. Lalu, apabila ditawarkan bekerja sebagai jaga untuk satu dewan perhimpunan, terus dia terima.

RM1000 sebagai gaji permulaan. Jumlah yang sebenarnya amat sedikit untuk sara hidup zaman sekarang. Tapi dia tak kisah. Syukur dengan rezeki yang ada.

Ustaz bercerita lagi, tentang perbualannya dengan Amin.

"Apa yang Amin buat dengan gaji sebanyak tu?" Tanya ustaz.

"Amin ambik RM200 untuk belanja makan." Jawabnya jujur.

"Cukup ke?" Tanya ustaz lagi. Hairan. Apa yang dia makan dengan hanya RM200 sebulan?

"Cukup. Sebab banyak kali berlaku, bila masuk kedai untuk makan, selalu ada orang bayarkan." Balasnya sambil tersenyum.

"Siapa yang bayar?" Soal ustaz ingin tahu.

"Kadang tu, kenal. Kadang tu, tak tahu sapa yang bayar." Jelasnya lagi.

Allahuakbar! Murahnya rezeki dia.

"Lebih dari yang diambik untuk makan, apa lagi yang dibuat?" Ustaz meneruskan soal siasat.

"Bagi mak." Ringkas jawapannya.

"Semua?" Mata ustaz membutang memandang Amin dengan hairan.

Amin mengangguk. Ustaz tertunduk.

Allahu... Untuk seorang yang bergaji sebanyak itu, sebahagian besar diserahkan pada ibu. Sedangkan ada antara kita yang gaji beribu-ribu, malah berbelas dan berpuluh ribu, pemberian pada ibu tak sampaipun jumlah itu. Malah ada yang langsung tak dihulur dengan alasan belanja sendiri pun tak lepas.

Belum lagi disebut tentang sedekah. Atau kesanggupan menolong pada yang mereka yang memerlukan.

Renungi seketika sikap kita. Sejauh mana kesanggupan untuk membantu tanpa bertanya dulu apa yang perlu?

Kita....
Kadang bantuan dihulur beserta syarat.
Kadang ada maksud tersirat.
Kadang mengharap jasa diingat.
Kadang dibantu tapi kemudian diumpat.

Bagaimana hidup kita nak lapang andai setiap perkara mahukan balasan? Macamana hati nak tenang kalau setiap kali peluang membuat kebajikan, kita selalu cari alasan? 😔

Jom kita perhati, fahami dan hayati surah Al-Mujadila, ayat 11. (Rujuk Al-Quran dan terjemahan)

Allah terangkan setiap tingkah laku baik yang kita buat, akan dibalas Allah dengan lebih lagi. Semudah bantuan yang diberikan, Allah bantu berlipat ganda. Sesungguhnya hidup kita dalam genggamanNya.

Saat kita mencari ilmu buat bekalan akhirat, Dia akan berikan rezeki untuk dunia juga.

Saya teringat satu nasihat dari guru saya, lama dulu.

"Kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Tapi kalau kita kejar akhirat, dengan sendiri dunia akan menghampiri...."

#kongsiilmu
#solusidarilangit
#jomfahamquran

No comments: