Dec 31, 2018

Dimana mula dan akhirnya?

Tak mahu sambut tahun baru bukan bermakna saya tak ada azam. Azam tak perlu diperbaharui saat beralih tahun. Tak perlu tarikh tertentu untuk saya menetapkan matlamat baru. Ia sering berubah dan kerap diperbaharui. Aneh ke kalau begitu?

Saya tak mahu menunggu hari esok untuk berubah menjadi lebih baik. 

Saya tak mahu bertangguh bila dirasakan perlu untuk melangkah dan berhijrah. 

Saya tak mahu hadkan diri dan masa saya untuk sesuatu yang mahu saya capai dan perlu saya gapai. 

Saya cuma mahu melihat masa depan dengan pandangan yg positif dan bersedia untuk esok yg tak pasti. 

Mati dan maut bukan ada tarikh simpanan. 
Ibadah bukan ada tempoh matang. 
Iman bukan sentiasa dalam keadaan tenang.
Rezeki bukan sentiasa dalam genggaman.
Hubungan hati tidak pernah ada jaminan.
Bahagia bukan hak persendirian yg boleh dicagarkan.

Aduhai....
Tidak ada yg pasti dalam kehidupan.... lalu apa alasan untuk saya menetapkan satu haribulan satu tahun dot dot dot dot untuk saya mulakan sesuatu? 

Siapa boleh bagi jaminan bahawa satu haribulan satu, nadi saya masih berdenyut dan udara alam masih boleh disedut?

Seboleh mungkin, saya tak mahu lagi ada sikap bertangguh dlm diri. Malaikat maut tidak pernah memberi amaran yg dia akan datang menyapa. 

Saya harus bersedia! 

Ya Allah, jauhkan aku dari terleka dan bersikap alpa!

Dec 25, 2018

Merawat hati dan minda

Bukan mudah nak bersyukur, bila maruah dah jatuh tersungkur.
Bukan mudah nak merawat jiwa, bila hati telah terluka.
Bukan mudah nak memujuk hati, bila diri sedang diuji.

"Kenapa aku yang harus terima dugaan ini?"

"Aku dah berusaha dan berdoa, kenapa Allah tak kabulkan?"

"Sampai bila aku harus bersabar?"

Jangan! Jangan dilayan soalan sebegini dari melingkari pemikiran dan menguasai hati.

Usah dicari jawapan berdasarkan logik akal. Tak akan lega bebanan minda. Tak akan hilang resah di dada. 

Solusi diturunkan dari langit! Disitu ada jawapan untuk segalanya. 

"Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata innalillahi wa inna ilaihi rojiun.

Mereka itulah orang-orang yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

Al-Baqarah, 2 : 155-157

Kau insan terpilih!
Aku insan terpilih!
Kita insan terpilih!!!

Berbangga dan berbahagialah, dalam sulaman sendu dan pilu, dalam timb
unan resah dan pasrah, hakikatnya kasih Allah sedang mengalir, melimpah ruah.

Seaungguhnya, ujian kelayakan untuk ke syurga, mudah saja.... Terima segalanya dgn sabar dan redha! 

Alhamdulillah... Syukur ya Allah...

Dec 12, 2018

Solusi Kehidupan...

Kita selalu dengar dan sebut, setiap masalah ada
penyelesaiannya... segala penyakit ada ubatnya. Tapi dimana 'ubat' sebenar yang dikatakan itu? Ia tersedia dan ada dimana sahaja. Cuma kita yang tak sedar dan ambil mudah apa yang Allah beri. 

Kita tak beli buku hanya utk dibaca tanpa memahaminya. 
Kita tak beli makanan hanya untuk dilihat, dirasa tanpa diambil nikmat kenyang dan khasiatnya. 
Kita tak hantar anak2 ke sekolah hanya sekadar mahukan kehadiran penuh, duduk dikelas tanpa belajar apa2.
Setiap perkara yg kita lakukan, kita mmg mahukan hasilnya. 

Allah turunkan Al Quran sebagai panduan tapi sejauh mana kita menggunakannya utk membantu kita dlm menyelesaikan masalah dalam kehidupan? 

Al Quran bukan hanya utk dibeli, dibaca dan disimpan sebagai azimat. Ia perlu difahami untuk membantu kita menyelesaikan apa jua masalah. 

Walaupun payah, walaupun susah, tapi Allah itu Maha Pemurah. Dia akan 'reward' kita untuk setiap langkah yang kita atur bagi memahami kalamNya.... 

Jom kita mula melangkah ke....

KURSUS SOLUSI KEHIDUPAN DALAM AL-QURAN (21-23 DISEMBER 2018)
Lokasi : Karangkraf Shah Alam
Penyampai : Ustaz Harfiz Hamzah dan Tuan Fazrul Ismail.

Dec 8, 2018

Risau

Banyak yg saya nak tulis... tapi banyak juga yg saya risaukan...
Risau andai apa yang ditulis disalah erti...
Risau andai ianya menjadi duri...
Risau andai ianya tidak berisi...
Risau andai ianya tidak Allah redhai...

Aduhai hati... banyak benar alasan kamu. Kata nak berjuang mencari bekal untuk dibawa mati. Tapi kenapa teragak-agak? Kenapa setapak pun payah nak bergerak?

#spmbn
#totiq
#Allahbantulahaku

Dec 5, 2018

Kita Serupa

Anak.
Zuriat.
Cahayamata.

Menunggunya penuh debar.
Menantinya penuh sabar.

Yang dipinjamkan seketika, menangis hiba dek tak puas memeluk tubuh kecil itu. Wangi badannya yg mungil memenuhi segenap penjuru. Munculnya meninggalkan rindu dan mengumpul sayu. itulah kamu.

Yang tak pernah merasai kehadiran si kecil, juga menangis hiba, meratap sayu. Rindu yg tak tahu mahu disandarkan ke arah mana, tak mampu diseru walaupun hanya sekadar sebaris nama. Itulah aku.

Bukan soal derita siapa yg lebih hebat, bukan juga dugaan siapa yang lebih kuat.

Kerana sememangnya Allah takdirkan ia untuk kita jadi lebih dekat dengan Yang Maha Lengkap.

Aku redha!

Dugaan kita sama tapi berbeza... walau sakit itu buat kita resah dan rebah, moga kita tetap gagah dalam pasrah...

#Nik Irma Rita Ns
#spmbn
#kembarazuriat

Nov 23, 2018

Bila Cuti Sekolah...

Kak Nora : Inilah antara sebab ada ibu bapa yang marah pada cikgu. Bulan 12 dapat gaji buta je. Sepatutnya cikgu kena pergi sekolah jugak untuk jaga anak-anak mereka!

Lisa : Hamboiii hamboiii...jahatnya mulutttt...😠😡😡...kita ni....ngajar anak depa lebih dari anak sendiri... kan Kak Nora..?

Kak Nora: Ya lah kan.... sebab mereka hanya melihat cikgu ni banyak cuti! Depa tak tahu yang kita ni, cuti pun tak macam cuti, kena kerja jugak. Malah lebih dari masa dok kat sekolah!

Lisa : Betul... betul.... Sedangkan...kita pun serupa je bila bertugas kat rumah. Kena kerja dan dikerjakan. Malah lebih lagi. Kena berperang dgn hulubalang, panglima, tentera, spiderman, superman, ultraman dan macam-macam lagi la. 

Aku : Umi dan ibu pulak, bertukar jadi harimau, singa, gajah dan beruang.... Jadi Tarzan. Buat latihan vokal memanjang. Dari bangun tidur, sampailah tidur balik. Kan...? Hahaha...

Lisa : Sungguh benar bagai dikata.... hahaha

Kak Nora : Kat rumah ni, ada yang transform jadi Transformer terus. Habis kusyen-kusyen jadi medan pertempuran. Hahaha.... 

Aku : Selamat berjuang untuk ibu dan umi ye! Semoga survive sehingga buka sekolah tahun depan. 💪💪💪

Kak Nora : 😝

Lisa : Celik mata je. dia orang akan start beraksi. Tak reti penat pulak tu. Lelah kita dibuatnya ... Itu tak campur lagi dengan kita berperang dengan periuk belanga kat dapur. Bukan setakat 3 kali sehari, berkali-kali.... 😅😂

Aku : Terapi untuk kurus tu.... yeehhaaa!!!

Lisa : Tapi tak kurus-kurus pun.... 😅😂

SELAMAT BERCUTI SEKOLAH!!!

Nov 22, 2018

Di Bumi Sakura - 1

Mata liar memandang sekeliling. Tak ada jugak!

Dari satu platform ke platform yg lain. Dari station ke station, lorong demi lorong dilalui. Laluan pejalan kaki ditelusuri. 

Masih belum jumpa. 

Tangan masih kemas memegang plastik sampah yang terkumpul semenjak memulakan perjalanan pagi tadi. 

Kecewa. 

Alia melangkah masuk ke dalam pasaraya Bic Camera. Pasaraya yang asalnya disangka hanya menjual camera tapi rupanya ia sama seperti pasaraya-pasaraya lain yg menjual pelbagai keperluan harian kecuali barangan basah. 

"Abang, kat sini ada tong sampah!" Teruja. Sambil mata menjengok isi tong. Hanya plastik pembungkus coklat dan biskut yg kelihatan. Dua lagi tong sampah berpenutup dengan tulisan tak difahami, kosong tak berisi.

Airol datang dengan wajah ragu-ragu. Mungkin kerana kedudukan tong sampah itu yg agak privacy dan mungkin juga kerana tulisan asing yang tertulis di atasnya. 

Tiba-tiba lelaki muda dengan pakaian seragam putih berkata sesuatu yg tak difahami datang dengan tergesa-gesa, memberi isyarat menghalang. 

Terkejut! Tapi boleh mengagak apa yg cuba disampaikan. 

"Can I...." Tangan Alia menunjukkan tong sampah. 

"Dekimasen....No... no.... staff only.. Sumimasen.." katanya dgn pelat yang agak pekat, memotong pertanyaan Alia yang tak sempat dihabiskan.

"Ooo... ok. But can I know where is the dustbin outside this building?" Sambil tangan menunjuk ke arah luar bangunan. "For public use?" Sambungnya lagi.

Wajahnya kelihatan sedikit keliru bercampur dengan reaksi yang serba tak kena. Yang pasti dia cuba untuk mencari perkataan dan ayat yang sesuai. 

"Tak payah lah Yang... nanti kita cari tong sampah kat lain." Airol menarik tangan Alia. 

"Ohh... err... no.. no..." Tergagap-gagap lelaki itu menjawab tapi tak terluah apa yang ingin di sampaikan.

"Sumimasen... sumimasen... " Kepalanya ditundukkan berkali-kali.

"Nevermind. Arigato..." Tundukan kepalanya dibalas. Faham kesukaran yang dihadapi dek jurang bahasa yang jauh berbeza. 

Aduhai... orang-orang Jepun ni tak pandai buat sampah ke? Dia orang buang sampah kat mana ye? Tak kan la tak ada yg makan coklat sambil berjalan? Atau yg makan biskut sambil tunggu bas? Agaknya simpan balik dalam poket kot. Positif.

"Alahh... bukan masalah besarpun. Tak pe. Biar abg je yang bawak sampah ni." Pujuk suami. 

Dia diam dan kemudian mengangguk perlahan. Dipandang kiri dan kanan. Antara rasa kagum dengan disiplin rakyat Jepun dan kecewa kerana dirasakan ianya tidak mesra sekitar. Perasaan itu bercampur aduk. 

Otaknya berputar, cuma memahami. Dengan corak kehidupan yg pantas dan moden, bagaimana cara mereka makan dan minum agaknya? Terus makan di kedai atau hanya makan rumah?

Kalau di Malaysia, makan snek sambil berjalan adalah perkara biasa. Kueh atau makanan segera seperti coklat, biskut, jajan adalah rutin pemakanan di Malaysia. Sampah pembalut memang kemestian. Makanan pula adakalanya bersisa kerana tak mampu dihabiskan.

Di negara kita, tong sampah banyak disediakan untuk kegunaan ramai. Sayangnya, sampah tetap ada! 

Ermm... Sikap. Itulah asal punca dan itulah juga jalan penyelesaiannya. Perubahan perlu untuk rakyat Malaysia. 

Tak mudah tapi tak mustahil.

Bandar Nagoya yang sibuk tapi tetap kemas. Memang bersih, tanpa sampah dan tong sampah. Pekerja bandaran pun tak kelihatan! 

Alia leka melayan pemandangan dan fikiran. Airol menghulurkan tangan. Ajakan untuk meneruskan kembara di bumi sakura. 

Tangan mereka bertaut. Hangat membekal haba.

Aduhh... sampai bila dan hingga ke bandar mana perlu dibawa sampah ni? Keluhan dilepaskan...

p.s : Koleksi gambar bunga yg pernah dirakamkan di sana....

Oct 15, 2018

Jalan Ke Syurga - 7


Subuh penuh debaran. 

Hening subuh yang sesekali dihiasi suara penghuni alam bergema seperti hari2 yang biasa. Ayam jantan yang akur dengan rutinnya, berkokok sambung menyambung. Burung tekukur dan ketitir peliharaan ayah juga galak bersembang. 

Itu belum lagi dicampur dengan sapaan kambing dan lembu yang sudah bersedia untuk bersarapan. Kucing singgahan yang entah dari mana asal rumahnya sesekali kelihatan mengintai sambil bersuara sayu meraih simpati. 

Seketika, bunyi enjin motor ayah memasuki laman rumah kedengaran. Balik dari subuh berjemaah di masjid tentunya. 

Entah kenapa bunyi2 itu kedengaran merdu pagi ini. Pasti ada khabar baik yang mahu disampaikan. 

Di dapur, bunyi kuali dan senduk kedengaran bercanda seperti biasa, setelah berehat beberapa hari. 

Senyuman berbunga. Hati berbisik syukur yang tak terhingga. 

Di sudut rehat ayah yang biasa, kelihatan dia leka membelek kitabnya. Air teh dan roti telor bersalut gula sedia terhidang di meja. Bau yang menyelerakan. Kueh ringkas kegemaran ayah. 

"Air dengan roti dah siap ni. Mari lah." Ajak ma. Lembut. 

Ayah segera bangun menuju meja makan. Tindak balas yang jelas menunjukkan jalan damai telah ditemui. Alhamdulillah.... 

Ma duduk di kerusi sebelah. Air teh ayah yang masih berasap dicampur dengan sedikit air putih, untuk mengurangkan kepanasannya. Kalau terlalu panas, ayah memang tak boleh minum. 

Berbeza dengan ma yang suka teh panas. Tapi perbezaan itu tak langsung menyusahkan ma untuk menyediakannya. 

Ayah dan anak, kebiasaan dan kecenderungannya sama. Air teh yang suam untuk alas perut dipagi hari. 

"Ayah dah beli nasi berlauk ni. Ayah beli lauk ikan untuk Su dan nasi dagang untuk Yom. Nanti bawak makan kat opis." Jelas dengan kegemaran anak menantu. 

"Ohh... ye ke? Terima kasih ayah..."  Tanpa diminta, itulah yang ayah sediakan setiap kali balik dari masjid. Singgah di kedai mek nor dan beli beberapa bungkus nasi. Kebiasaan yang ditinggalkan hanya bila dipesan. Kalau tak, memang itulah yang akan dibawa balik. Rutin pagi. 

"Kejap lagi nak ke pasar, nak cari surat khabar. Sah ada nak apa2 ke?" Tanya ayah sambil memandang ma. 

"Beli lauk la sikit. Wie nak makan apa? Beli la apa yang rasa nak makan." Panggilan yang cukup indah. Boleh dikesan dengan mudah.

Confirmed. Segalanya kembali seperti biasa. Syukur Ya Allah.... senyuman suami dibalas. Lega. 

Selesai meneguk air, nasi dicapai. Tangan ma dan ayah dicium. Mohon restu pagi untuk keluar mencari rezeki. Mahu cepat meninggalkan mereka untuk menikmati masa berdua, melepaskan rindu cara orang tua. Pasti banyak yang mahu disembang, menyambumg cerita yang tergendala dan ketinggalan...

Tak perlu ditanya apa kesudahan kisah semalam. Yang dilihat sudah cukup jelas jawapannya. Sebak tapi lega. Kegembiraan yang tak mahu ditunjukkan. Keadaan telah pulih seperti sebelumnya. 

Bantuan Allah telah sampai pada yang ikhlas meminta, yang meniatkan segala perkara hanya keranaNya. Keyakinan yang tak berbelah bagi.

Sinar mentari dilangit semakin galak menyebarkan cahaya. Indahnya dirasakan lebih dari biasa. Semoga sinarnya kekal menerangi jalan ke syurga...

"Maka Nikmat Tuhan mu yang manakah yang engkau dustakan?" Surah Ar Rahman

Suara ayah yang sering mengulang bacaan surah itu setiap pagi jelas kedengaran ditelinga.... 

Kisah cinta mereka terlalu indah untuk diabaikan. Lalu segalanya mahu dilakarkan, agar bila rindu datang bertandang, kisah ini akan dibaca berulang2. Saat cabaran menduga rumahtangga, ia boleh dijadikan azimat cinta yg dibina...

~♡ ...indah... ♡~

Sep 30, 2018

Jalan Ke Syurga - 6


Sungguh bagai di kata... hanya mengambil masa sesaat untuk terluka, tapi mengambil masa yang lama untuk menyembuhkannya.

Bagai memujuk anak kecil, kata2 yang diluahkan kedengaran agak janggal bila diaplikasikan dalam keadaan sekarang. Tapi biarlah, tak salah jika mencuba, kan?

Faham benar apa yang dirasai. Kerana bagi wanita yang sama-sama bergelar isteri, lebih mudah menyelami hati.

"Sabar ya ma...." tangannya masih dalam genggaman. 

"Su tak mahu pertikaikan siapa yg betul atau salah dalam hal ni. Dah nak jadi, tak perlu perkara besar pun untuk jadi penyebab." Pandangan matanya di tundukkan. 

"Ma.... Ma maafkanlah ayah ya.... dan mintak ayah supaya maafkan ma jugak. Bukan sebab ianya salah siapa2. Tapi maaf tu perlu untuk pulihkan keadaan..." Merayu dan merayu. Aduhhh... payah sungguh untuk menghuraikan. 

"Boleh kan ma? Lupakan apa yang dah terjadi. Kalau sakit tu ada lagi, katakan dalam hati, niatkan apa yg ma buat tu kerana Allah... kerana matlamat akhir kita adalah syurga...." semoga ungkapan itu mampu menurunkan suhu hatinya. 

"Su bukan nak ajar ma pasal hidup. Cuma bila hati tengah panas, kita mudah lupa apa sebenarnya yang kita nak."

Ma masih diam. Aduhai... sukar nak dijangka apa yang berlegar difikirannya. Tapi diamnya itu memberi harapan. Diamnya itu mungkin kerana sedang cuba menghadam apa kata-kata yg dilimpahkan tadi.

"Su pun bukannya tak pernah gaduh. Tapi setiap kali Su marah atau sedih, Su ingat harapan ma dan ayah utk lihat kami bahagia. Su istighfar dan maafkan dia." Mana ada hubungan yg sempurna dlm rumahtangga. Tapi dia lelaki yang dipilih untuk memenuhi ruang hati dan menyandang gelaran suami, yang mana akad telah dimeterai, ikrar janji untuk susah senang sama2 dihadapi, jadi seharusnya apa jua dugaan yg datang, seboleh mungkin harus bertahan. 

"Lelaki payah nak mintak maaf ma, apatah lagi bila dia rasa dia tak salah. Tapi biarlah... Su yakin sangat2, yg Allah akan bantu hilangkan rasa sakit, marah dan sedih dalam hati, bila kita niatkan segalanya kerana Allah." Bimbang benar jika disangka cuba mengajar, sedangkan pahit manis kehidupan sendiripun belum cukup asam garamnya. 

"Malam ni, ma tenangkan hati ya. Istighfar banyak2... baca bismillah bila masuk bilik... baca ayat yang kita selalu baca dalam sujud terakhir solat tahajjud. Mohon Allah buka jalan keluar dari masalah ni..." pesanan demi pesanan diulang, ibarat seorang ibu menasihati anak yang nak masuk exam.

"Niatkan semuanya kerana Allah ya ma..." tiada kata yang terkeluar dari bibirnya. Nafas ditarik dalam, seolah mencari kekuatan yang hilang, dan keluhan berat dilepaskan, seolah cuba melepas keluar bahang yang menyesakkan.

"Sekarang... ma masuk bilik dan tidur ya! Percayalah... ayah dok tunggu ma masuk tu. Esok, bila ma bangun, in shaa Allah, hati ma akan tenang dan segala perasaan negatif dalam hati ma akan hilang lenyap." Bahunya disentuh mesra. Andai ada aura positif yg boleh dialirkan, nescaya disalurkan kekuatan sebagai bekalan. 

Adakala bila hati terusik dan terluka, jangan dikaji siapa yg memulakannya, jangan diselidik ianya salah siapa. Kerana ia hanya akan memudaratkan lagi keadaan yg sedia ada. Kita hanya perlu memandang ke depan, membetulkan semula matlamat yang tersasar, mengilatkan kembali niat yang mungkin pudar. 

"Su sayang ma dan ayah... Su nak kita sekeluarga kekal bahagia sampai ke hujung nyawa, sehingga ke syurga... in shaa Allah..." Perlahan susuk tubuh tua itu ditarik, dipeluk kemas dengan iringan mata yang mula basah. 

Moga dengannya, kusut yang menyesakkan dada dan minda dapat dirombak.

Ma meleraikan pelukan. Dengan wajah yang mulai jernih dan pandangan mata yang membayangkan kegugupannya, perlahan2 dia menggagahkan diri untuk bangun. Ibarat pengantin baru yang mahu melalui malam pertama, ma memulakan langkah menuju bilik yang terbuka dengan seribu satu rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata2. 

Langkahnya diiringi doa. Suami yang tersandar di ruang tamu mengangguk dengan senyuman.

Langsir diselak perlahan dan daun pintu pun ditutup. 

Ya Allah... permudahkan urusan mereka.

~♡ bersambung ♡~

Sep 24, 2018

Jalan Ke Syurga - 5


Suram malam tanpa suluhan bulan memang melemaskan. Celik atau pejam, warna sekitar tetap hitam. Sesak nafas bila ada bayangan melintas. Cemas. 

Suram di hati juga sama. Bayangan ngeri tentang segala kemungkinan terus bertandang. Silih berganti.

Walaupun berpuluh tahun menyemai kasih dan sayang, tapi tak mustahil ia akan hilang dek salah faham yang tak dapat dihuraikan. 

Gelisah melihat ma yang tak mahu mengalah. Cemas. Lemas. Terasa seolah udara malam ini kekurangan oksigen.

Aku tak berganjak. Kalau perlu tidur di sofa ini dengan ma, akan kulakukan. Biar ma rasa tak selesa bila aku menempel dengan dia dan membiarkan anaknya, suamiku lena sendiri. 

"Ma... Su suka sangat tengok ma layan ayah. Jaga makan minum ayah, teman ayah pegi mana2 dan bercerita semua perkara dengan ayah." Aku menyambung bila sunyi kembali menyelimuti. Ruang untuk aku berkata2 terbuka luas. Mampukan aku untuk menyentuh hati dan mindanya?

Ya Allah... Tolong.... 

Terbayang di mata, segala layanan istimewa ma pada ayah.... Isi ikan dicubit, diasingkan tulangnya dan diletakkan di pinggan ayah. Persis memberi makan pada dimanja yg belum pandai makan sendiri. 

Ma sentiasa memasak lauk kegemaran ayah, kadang tu sehingga mengabaikan keinginan sendiri. 

"Hari ni ayah ada majlis kat masjid, bolehlah ma masak singgang ikan, makan dengan ikan pekasam!" Berselera ma makan. Bertambah2. Sesekali berpeluang juga memenuhi keinginan sendiri.

Daging panggang akan dihiris nipis, untuk memastikan ayah dapat makan dengan mudah.

"Uishh... tebal nih... Ayah tu gigi tinggal beberapa batang je tapi nak jugak makan daging. Kena hiris nipis sama macam nak bagi makan kat budak2 la jugak... Bak sini, biar ma je buat..." katanya sambil mengambil pisau dari tanganku dan mula menghiris.

Aduhai, layanan ma pada ayah memang superb!

"Ma dan ayah selalu jadi rujukan anak2, adik beradik, sedara mara, jiran2 dan kawan2. Su kagum. Memang contoh terbaik bagi Su. Pasangan yang ideal." Mengumpan lagi. Cuba menjinak hatinya dengan pujian, menyuarakan seikhlas mungkin pendapatku tentang mereka.

"Su harap sangat, jangan sebab perkara kecik macam ni, ma dan ayah rosakkan imej tu." Sambungku lagi. Sayu....

"Su tak faham hati ma. Sakitnya dah lama. Dah tak boleh tahan lagi dah..." Luahnya memberi alasan. Jelas mendedahkan hati wanita yang terluka. Penuh emosi.

"Su faham ma.... Bila dah lama sangat ma bersabar, sakit tu terkumpul, memang pedihnya lebih dari biasa." Cuba untuk menunjukkan empati. 

"Tapi Ma... hidup kita tak lama. Muda atau tua, sampai masa kita akan mati. Sakit itu tak akan kita bawa dan tak akan kita ingat lagi bila nyawa dah putus dari badan." Dia diam. Mungkin memikirkan ke arah mana sebenarnya perbualan ini nak ku bawa. 

Merenung balik punca pergaduhan ini, membuatkan aku yakin, ia menjadi separah ini kerana hembusan syaitan. Makhluk yang tak senang melihat tenang dalam hubungan, yang pernah bersumpah untuk menarik manusia untuk bersamanya di neraka dengan pelbagai cara. 

"Kita tak tahu di mana kesudahan kita; syurga atau neraka. Semua orang nak syurga. Su pun harap dapat masuk syurga, ma pun sama kan?" Diam. Ma tak memberi apa2 reaksi.

Aku bukan ustazah, bimbang jika salah bicara, akan kedengaran seperti orang yang nak berdakwah.

"Tapi kita dah lama tahu, perempuan paling banyak masuk neraka, paling mudah berbuat dosa. Amalan yg kita kumpul, belum tentu boleh bantu kita masuk syurga." Aku menarik nafas, mencari kekuatan untuk menyambung kata, meluahkan apa yang dirasa. 

Teringat kisah orang alim yang bangga dengan ibadat yang dilakukan, tapi sudahnya ke neraka juga sudahnya akibat terpengaruh dengan bisikan syaitan. Kita...? 

Terasa kerdil. Sebak sendiri.

"Tapi Su tahu cara mudah utk masuk syurga. Ma pun tahu... Syurga isteri terletak pada suami, dihati suami. Jika dia redha dengan kita, in sha Allah, peluang kita masuk syurga cerah..." Tegang wajahnya mula mengendur. Harapan dihatiku bercambah.

"Ma dah hidup dengan ayah lebih dari 40 tahun. Tak kan ma nak lepaskan peluang masuk syurga hanya kerana hal sikit tu..." Sayu... Ma tunduk. Tak ada tindak balas. 

Mungkinkah ruang untuk dia berfikir tanpa dikawal emosi mula terbuka?

Harapnya begitu....

~♡ bersambung ♡~

Sep 20, 2018

Jalan Ke Syurga - 4


Serba salah jadinya. Agenda utama untuk merungkaikan kusut yang bergumpal belum menampakkan sinar. Ligat fikiran mencari pendekatan yang harus digunakan. 

Airmata itu harus diseka alirannya malam ini juga. Orang kata lidah itu ibarat pedang, mampu melukakan hati yang paling dalam. Lantas aku perlu berhati2, jangan sampai apa yang diucap memburukkan lagi situasi. 

"Su suka perhati ma dan ayah. Hubungan ma dan ayah macam2 gaya, macam2 cerita ada. Kalau lagu, macam2 rentak. Nada yg tinggi dan rendah, rancak dan perlahan... Semuanya ada. Lengkap!" Berhenti seketika, memancing reaksi. 

"Bila Su kawin dan masuk dalam keluarga ma, Su rasa hidup Su lengkap. Mak dan ayah su dah meninggal awal, Allah bagi ma dan ayah sebagai ganti. Su ada kakak. Bila Su jadi menantu ma, Su dapat abg, adik perempuan dan adik lelaki. Su rasa bertuah sangat... syukur Alhamdulillah...." Tangannya ku genggam. Berharap agar dia boleh rasa keikhlasan kata2 yang diluahkan. 

Diam. Sendunya semakin perlahan. Aliran sungai dipipi telah berhenti.

Bunyi cengkerik diluar sana sayup2 kedengaran. Itulah antara irama desa yang menjadi kebanggaan. 

"Ma dan ayah banyak ajar Su. Layan macam anak sendiri. Sebab tu Su tak kisah bila ma marah, ajar dan tegur Su, sebab Su tahu ma buat gitu sebab ma sayang. Arwah mak dulu cakap, marah tandanya sayang. Betulkan ma?" Soalan untuk mencari pengesahan. 

Pandangan matanya mula lunak. Dia melepaskan keluhan. Entah apa maksudnya...

Lama dulu, marah dan tegurannya pernah mengundang airmata. Mungkin kerana cara dan pendekatan yang berbeza dengan didikan ayah bonda. Tapi suami pandai mengubati, menjadikan ianya tak mereput dihati. Lama kelamaan, aku sudah pandai menepis rasa dan menukar pahit menjadi halwa.

"Marah suami pada isteri, atau rajuk isteri pada suami pun sama jugak. Sebab sayang...." kataku selembut mungkin. Mengharapkan perkataan itu meresap ke jiwa, membunuh serangga perosak cinta, membaja kasih di hatinya agar kembali sirna.

"Huhh..." Dia cuba menepis fakta yg dikemukakan. Tak boleh diterima akal agaknya... tak sesuai. Aduhai... mati akal kalau macam ni. 

"Takpe lah. Su pegilah tidur. Esok nak kerja. Ma tidur sini pun tak pe..." Tegas. Keras.

"Ma... jangan la macam ni..." Aku hampir menangis. Risau melihatkan situasi semasa.

"Sudahlah. Pegilah tidur!" Arahnya lagi. Mungkin dah malas nak dengar nasihat menantu yang macam tak nak faham sakit hatinya.

Fikiranku ligat mencari idea. Ini tak boleh dibiarkan. Kena bagi ruang untuk ma dan ayah berdepan dengan masalah ni. Harus sediakan peluang untuk mereka berbicara hati ke hati. Mesti pastikan mereka bersama meneroka masa lalu yg indah agar perit semalam dilupakan dengan mudah.

Solusinya, aku harus pastikan ma masuk bilik!

Kalau misi memujuk ma gagal dilaksanakan malam ini, esok mungkin marah dan rajuk ayah akan kembali. Tak sanggup membayangkan rajuk orang tua yang terluka.... yang pasti ia akan memberi kesan pada seluruh keluarga.

Ya Tuhan... berikan aku ilham....

~♡ bersambung ♡~

Sep 15, 2018

Jalan Ke Syurga - 3


Untuk ke sekian kalinya, aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Berdoa agar diberikan idea dan kemampuan untuk melunakkan hatinya dengan pujukan.

Sunyi malam semakin menghimpit. Selalunya waktu begini, kami masih seronok berborak di dapur. Ye lah, siang hari kami sibuk bekerja. Malam ialah waktu untuk semuanya. Bercerita tentang peristiwa semasa, berita suka duka saudara mara, kisah nakal cucu2 yang bahagia dan ada kala merancang agenda dan aktiviti keluarga. 

"Masa ma dan ayah bawak Alin pusing2 kat kampung, ma tunjuk la satu binatang tu... tanya dia, apa tu? Lama Alin diam... lepas tu dia cakap... Biru.... Apa? Biru... confident je dia jawab..." rancak ma bercerita.

"Binatang apa sebenarnya tu ma?" Aku teruja. Tertanya-tanya, apa sebenarnya binatang yang di panggil 'biru' itu...

"Biri-biri la..." berderai tawa kami pecah. Kaletah cucu yang baru masuk usia 2 tahun memang menghiburkan. 

Kemeriahan itu terpadam kini. 3 hari, rumah ini sunyi sekali. TV pun tak berbunyi. Radio apatah lagi.

Ayah sememangnya tak mesra dengan TV. Berita adalah satu2nya rancangan yang mampu membuatkan dia mahu duduk bersama diruang keluarga. Dia lebih suka membaca akhbar untuk tahu perkembangan semasa. 

Biasanya ma yang suka menonton TV. Berita, Buletin Utama, rancangan agama seperti Tanyalah Ustaz dan Hal Ehwal Islam, Discovery Channel dan beberapa rancangan tempatan adalah antara rancangan kegemaran ma. Bila ma tak ada, TV pun turut bercuti sama. 

"Ma... jangan la macam ni. Ma tahu tak, ma dan ayah adalah idola Su semenjak Su kenal ma. Ma dan ayah terlalu istimewa bagi Su..." Sebak. Mengingati kembali saat pertemuan pertama kami. Peristiwa dan perasaan tika itu masih jelas terbayang sehingga ke hari ini. 

"Adik, mak ayah kawan adik datang ziarah ayah. Balik la cepat!" Kak Dah menyampaikan berita. 

"Siapa?" Dahiku berkerut. 

"Mana la kak tahu. Dia cuma cakap dia mak ayah kawan adik." Alahai... fikiranku ligat memikirkan siapa orang itu. 

Ermm... kalau mereka datang ziarah ayah, kenapa pulak aku yang dipanggil. 

Bergegas pulang. Saat menghulur tangan bersalaman, fikiranku masih lagi tak dapat meneka siapa pasangan ini. Mereka tenang bersila dan bersimpuh di sebelah ayah yang terbaring lemah. 

"Maaf ya makcik, pakcik.... Err... sapa... err... pakcik makcik ni, mak ayah kawan saya yang mana ya?" Gugup. Sungguh tak dapat meneka. Tak tahu soalan apa yang sesuai ditanya sebagai pembuka bicara.

"Kami ni mak ayah nasrom..." Ternganga. Kaget. Aku pandang kiri dan kanan. Nasrom tak ada pun...

Pertemuan pertama. Mereka datang menziarahi ayah yang ketika itu sakit tenat.

Mereka yang tak pernah ditemui, yang tak pernah dikenali, yang tak kenal sesiapapun ahli keluarga kami, datang seikhlas hati hanya kerana tahu aku berkawan dengan anaknya. Kawan yang hanya pernah sekelas selama 6 bulan ketika ditingkatan satu dan kemudian terpisah, yang hanya berhubung melalui surat2 untuk bertukar soalan2 peperiksaan dan bertemu hanya setahun sekali, itupun semasa kunjungan dihari raya. 

Jauh sekali hubungan kami. Memang tak terlintas untuk menerima ziarah sebegitu. 

Sebak semakin menyesak dada. 

Ma menundukkan pandangannya. Matanya berkaca. Tuala kecil dicapai buat menyapu lelehan air yang tak dapat lagi diseka.

Wanita. Perasaannya terurai dengan airmata.

Sep 13, 2018

Jalan Ke Syurga - 2

Ma diam, keras membatu. Wajahnya suram. Dia meramas2 tangannya yg sememangnya sering kebas selepas kena stroke beberapa tahun yang lepas.

Tangannya ku capai dan ku urut perlahan. Tangan yang tetap lembut walaupun setiap ketika bekerja keras di dapur. Kelebihan yang Allah bagi padanya.

"Dia buat tak tahu je. Tak tegur pun..." Balas ma perlahan, sayu. Wanita ini, dalam kerasnya ada lembut yg tersembunyi. Ombak kehidupan membentuk dia menjadi begitu.

Ma kehilangan ibu semenjak berumur 7 tahun. Di usia sebegitu muda, dibesarkan oleh nenek dan ayah. Adik bongsu tika itu baru berusia 2 minggu. Beberapa tahun kemudian, nenek pula menyusul. Terpaksa menjadi dewasa dengan segera oleh tuntutan hidup, menjadikan dia seorang yang cukup kuat dan berdikari.

Bila saja ada peluang, ma akan bercerita tentang kisah suka dukanya. 

"Kulat sisir tu ma kutip. Telor ayam ma ambik walaupun hanya 2 atau 3 biji. Letak dalam bakul. Junjung. Jalan kaki, jaja kat orang kampung. Dapat la 30 sen hingga 50 sen, boleh la beli beras untuk masak hari tu..." Bagai filem hitam putih zaman P. Ramlee, aku bayangkan setiap episod hidupnya dengan penuh kelekaan. Lagi seronok dari melihat drama tv yang penuh dengan kisah hasad dengki dan iri hati.

Seringkali aku terpegun mendengar kisah zaman kanak2nya yang penuh dengan liku. Sungguh tak jemu. Memahami corak dan warna kehidupan yang dilaluinya, berjaya meletakkan dia dalam kedudukan istimewa dalam hati ini. 

Wajahnya yang telah mulai dipenuhi garis2 ketuaan pada usia 60an, melimpah dengan kasih sayang. 

'Ya Allah, mohon padaMu Tuhan, jadikan pahit hidupnya yg dulu tenggelam dengan kemanisan dan moga bahagia menemaninya sehingga ke akhir hayat.' Doa itu sering ku bisikkan setiap kali dia menamatkan cerita laranya. 

Aku menarik nafas. Mencari ilham menghalau suram.

"Buat tak tahu bukan bermakna ayah tak peduli ma. Dia cuma tak tahu nak mula dari mana. Mungkin jugak ayah segan dengan anak menantu." Masih tiada reaksi yang positif. 

"Dah lewat ni, ma masuklah tidur ya!" Pujukan yang disertai doa, mohon Allah bantu meleraikan kusut hati pasangan ini. 

Sedikit saja puncanya. Dan ia bukan salah sesiapapun. Hanya perbezaan pendapat dan pendekatan, lalu rajuk mula berkembang. Rumah adik Liza dijadikan tempat untuk bertenang. Kami sepakat, biarlah ma berehat di sana 2 malam, sambil berdoa dan mengharap rajuk menjadi sejuk. 

"Ma tidur kat sofa ni je la..." Putusnya. Aahh... sudahh... tak selesai lagi lah jawabnya. 

Lagi 30 minit, jarum jam akan bersatu di angka 12. 

"Jangan macam ni ma. Ayah tunggu ma masuk bilik tu. Sebab tu pintu bilik tu, dia biarkan terbuka." Memujuk lagi. Menterjemahkan bahasa aksi yg mungkin tak dapat dibaca kerana tak ada huruf abjadnya. 

"Huh..." Hanya itu yg kedengaran

Dia masih diam. Membekukan diri. Mengeraskan hati. 

Aduhai... Aku mengeluh perlahan. Dalam.... 

~♡ bersambung ♡~

Sep 12, 2018

Jalan Ke Syurga - 1

Matanya layu berbekas sendu. Rajuk yg tak dipujuk, memang akan melarat jika dibiarkan.

3 hari, cukup untuk tempoh bertenang. Panas dan bahang dihati patutnya dah berkurang. Tapi melihatkan suami yang bersikap tak acuh, sedihnya kembali bertandang. 

Ego lelaki yg amat difahami. Apatah lagi di depan anak menantu. Malu nak memujuk macam zaman muda2 dulu. 

"Ma, ayah dah tak marah tu. Su nampak muka ayah tadi. Dah tak muram macam semalam. Su tahu ayah suka bila tengok ma dah balik."

"Huh... ye lah tu..." Balasnya tak percaya.

"Betul ma... masa ma takde, ayah diam je. Kami ajak bercakap pun tak dilayan. Makan pun beberapa suap je. Risau Su. Nampak sangat dia muram. Rindukan ma agaknya." Usik yang diharap dapat membuahkan senyum dibibir bonda tercinta. 

Dia mencebik, menolak cerita yang dihidangkan.

"Ma tahu tak, bila Su bagitahu ayah yang Liza akan hantar ma balik malam ni, ayah dah banyak cakap. Dah nak borak dan bertanya itu ini. Dah mula turun rumah jengok ayam itek..."  Ma memandang dengan hujung mata. Meninjau ruang dan sudut rumah yang ditinggalkan beberapa hari.

Di satu sudut, kelihatan tilam terhampar, dengan kipas meja yang setia terletak di situ, dilengkapi dengan rak buku yang penuh tersusun kitab2 lama yang menjadi rujukan ayah. Itulah sudut rehat yang ayah selalu habiskan masanya dengan membaca Quran, membelek kitab2, meneliti perkembangan semasa melalui akhbar harian, bermain dengan cucu2nya dan berehat melepaskan lelah.

Tilam usang itulah yang menjadi saksi kemanjaan cucu yang dipujuk. Terbayang jelas keletah atok dan cucu yang terakam di situ...

"Tak nak tidur ya? Takpe... tak payah tidur. Meh sini, berehat dgn tok ayah..." Pujuknya sambil tangannya terus membelek suratkhabar. 

Sudahnya Nabeel terlena memeluk paha tok ayah, menumpang bantal dan tilam tok ayah. Aahhh... cucu kesayangan tok ayah dah lena dibuai mimpi tanpa perlu didodoi.

Begitulah selalunya... 

Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ianya memang asam garam dalam kehidupan berumahtangga. Tak kira berapa pun usia perkahwinan, ia pasti dialami oleh setiap pasangan. 

Sakitnya hanya seketika.
Marahnya berbunga cinta.
Rajuknya sementara.
Melihat hubungan mereka, jelas sungguh keindahan alam rumahtangga.

Manis pahitnya berbaur rindu...

~♡ bersambung ♡~

Sep 5, 2018

Idola


Lelehan peluh di dahi dibiarkan mengalir. Biar segala toksik dlm badan keluar melalui liang2 roma. Sendi2 dan otot2 badan juga perlu diaktifkan. Jantung dan hati harus melakukan tugas tambahan, mengepam darah dan oksigen untuk badan. Lemak2 lebihan dibawah lapisan kulit juga perlu dibakar. 

Gerakan fizikal bebas cara orang kampung. Bukan jogging, cycling, gym, aerobik ataupun zumba.

Rindu pada sembang lama. Fikiran memutar memainkan filem kenangan. 

"Orang tua dulu2 payah nak cari yg ada penyakit macam orang sekarang. Mereka makan banyak pun tak pe. Minum air manis tapi tak ada kencing manis. Makan ikan kering dengan budu hari2 pun, tak kena darah tinggi, tak dapat stroke pun. Kau tahu kenapa? Sebab mereka kerja kuat, berpeluh... Peluhpun kering dengan angin alam, bukan dengan kipas, bukan dengan aircond..." panjang  ceramah kesihatan percuma oleh pak samad. Aku mengangguk faham, bersetuju dengan apa yg dibentangkan. 

Susuk tubuhnya masih kemas, gambaran jejaka perkasa zaman sebelum merdeka. Tok guru silatkah dia? Soalan yg tak sempat ditanya. 

"Tapi satu perkara kau kena ingat, buat keje bukan sambil bersiul, sambil menyanyi dan merokok. Membebel marahkan tupai, memaki tikus dan siput yg makan padi, menyumpah babi yg menggali ubi...." dia menarik cawan yg berisi kopi buatan sendiri yg masih berasap. Panas. Menghirupnya dengan perlahan. Nikmat.

"Tapi.... buat keje kena bersulam dengan ibadat. Tangan menyangkul, mulut berzikir. Kaki melangkah, hati berdoa... dah dapat hasil, jangan lupa berkongsi, bersedekah.... barulah berkat apa dibuat, berkembang rezeki...." sambungnya. Nada suaranya lembut. Aku mengangkat muka. Rasa kagum semakin melimpah. 

Wajahnya cerah walaupun kulitnya sawo matang. Matanya bercahaya saat bercerita. Gambaran ketenangan hati tampak jelas sekali. 

Zaman dia dan aku jauh berbeza. Gaya hidup memang tak sama. Tapi tak salah kan, andai aku punya cita2 untuk menghabiskan sisa hidup seperti dia. Menikmati tenang desa sambil menyelongkar kenangan lama... berusaha mengutip ilmu dan cuba beramal seperti dia... 

Ya Allah... kuatkan keazamanku, jangan biarkan ia layu... 

Peluh mengalir semakin laju.

Aug 30, 2018

Sentuhan Rindu di Quran Hour

Berpusu2 manusia mula memenuhi ruang. Dari jauh kelihatan wajah yg dikenali. Kak Tie dengan jubah hitam bertudung kelabu. Ayu seperti selalu.

Saat mata bertembung, senyumannya makin lebar. Dengan spontan tangan melambai. Bagai berbulan tak jumpa, pelukan erat berbalas. Sedangkan baru semalam pertemuan berlangsung dipengajian Darul Hadith.

"Masuk la Su, tapi daftar dulu ya. Kak Rah ada di tempat pendaftaran tu..." katanya ramah.

Cepat mata menangkap wajah yg memang dikenali. Senyuman dan pelukan berbalas lagi.

"Uih... daftar utk apa ni kak Rah. Ada cabutan bertuah ke?"

"Takde lah. Nak tahu bilangan jemaah yg hadir je. Kot nak kena tambah order makan tengahari nanti..." jelasnya sambil tersenyum.

Sebahagian besar ruang masjid telah dipenuhi. Jumlah kehadiran muslimin dan muslimat hampir menyamai. Anak2 tahfiz berbaju putih dengan wajah bersih berkumpul dalam kumpulan 10 orang satu bulatan. Bertuahnya wanita yg melahirkan mereka.

Jemaah lain juga sama. Berkumpul membentuk bulatan. Masing2 memegang naskah Al-Quran dan juga buku yg mengandungi Surah An-Naml yang diedarkan dipintu masuk tadi.

Seronok melihat suasana begini. Nikmat ketenangan yg sukar digambarkan dengan kata2. Mata melilau mencari kumpulan jemaah yang mahu disertai.

Sayu tiba2 memenuhi rongga dada. Keluhan dilepaskan.

"Ma... kalau Su berenti keje, Su nak join program agama dan ambik pengajian kat mana2. Ma ikut lah skali ya! Rindu pengajian kat Masjid Shah Alam. Kat sini kebanyakan pengajian dibuat masa hari dan waktu bekerja, memang tak boleh nak pegi la..." Ujarku saat menemani ma menonton program Tanyalah Ustaz.

"Ye lah... kalau Su nak bawak ma, memang la ma nak ikut..." katanya tersenyum.

Indahnya impian itu. Rindu semakin bercambah subur saat kenangan melintas difikiran. Ditambah dengan barisan wajah dengan garisan tua yang rasanya seusia arwah bonda mertua, memenuhi ruang masjid Al-Ismaili.

Tika ingatan dan kerinduan memenuhi hati, kerap aku menghitung hari, berdoa agar diizinkan pertemuan kami di alam sana nanti... tapi, sudah cukupkah bekalan diri? Keluhan dilepaskan lagi. Berat sekali....

Al-Fatihah...

Aug 29, 2018

Bila Gerhana

"Solat sunat gerhana perlu dilakukan secara berjemaah. Sujudnya lama... seperti lamanya bacaan surah Al Baqarah. Ketakutan pada kemungkinan kiamat tergambar pada sujud yg dilakukan..." ustaz qomar panjang lebar mengulas dan menerangkan topik pelajaran dlm kitab misykat hari ini. Itu yg aku faham. 

Terlopong. 

Sujud pertama, lama masa bacaannya seperti menghabiskan bacaan Al-Baqarah.... dua setengah juzuk. Hebatnya ibadat orang2 terdahulu.... mereka takut pd kemungkinan kiamat yg dikhabarkan Rasulullah, sehingga ke tahap itu. Sedangkan kita...?

Terasa amat kerdil. Kolam mataku berair...

Istikharah

Renungannya tidak tertumpu pada objek. Tidak mencari. Tidak juga menikmati. Kosong. Sekadar pandangan mata yg melihat sesuatu secara rawak. Sesekali dipejam lama.

Yang pasti fikirannya sarat berdasarkan keluhan yg dilepaskan.

Persimpangan. Pilihan dan keputusan. Hasil dan kesan. 

Tak mungkin ada manusia waras yg tak pernah melaluinya. Soalnya, sejauh mana penilaian, kemungkinan dan kebarangkalian hasil diambilkira saat satu2 pilihan dibuat atau diputuskan?

Wanita. 
Teliti. Kadang tu keterlaluan.... selalunya begitu. Kebanyakannya, tapi bukan semua. Terlalu memikirkan implikasi yg bakal dihadapi saat pilihan dibuat. Teragak2 sehingga terlepas peluang di depan mata. Tapi adakala keputusan dan pilihan dibuat mengikut perasaan, bukan akal fikiran.

Lelaki. 
Risk taker. Masa depan tak perlu diramal. 'Redah', 'rawat', bila parah, 'bedah' dan mungkin akhirnya 'belah'. Pilih dan hadapi kesannya ikut kesesuaian. Paling mudah, buat tak endah. Masa akan mengubati dan menghakis saki baki perasaan dihati.

Manusia memang dicipta dengan sifat dan kecenderungan begitu. Unik. 

Atas dasar keinginan, solat hajat dilakukan... dorongan hati bersulam nafsu, menyebabkan penilaian yg dibuat jadi terbatas. Bercelaru jadinya. Sedangkan matlamat sebenar adalah utk kebaikan dunia dan akhirat. 

Mungkin apa yg diinginkan bukan yg terbaik. Sukar sekali utk menangkis dan cuba bersedia utk redha jika apa yg dirancang dan diimpikan tidak kesampaian. 

Tangannya meraup muka dan disertai dengan helaan nafas yg panjang. 

Dia bangun menuju paip air diruangan wudhuk.

Istikharah. Itu tindakan yg sebaik2nya. Keyakinan yg tak berbelah bahagi. Allah ada sebagai penunjuk jalan. Allah ada untuk menunaikan permintaan. 

Hanya satu solat sunat untuk dua maksud. Solat istikharah, dua dalam satu. Sedarkah kita, konsep 2 in 1, dah lama wujud dalam Islam....?

Aug 28, 2018

Nikmat

Jendela dibuka, angin pagi rakus menerpa masuk. Segarnya membelai wajah. Alhamdulillah, syukur yg tak pernah putus diucap setiap pagi. Nikmat kehidupan desa yg dulu ditinggalkan dek tuntutan hidup kini kembali dapat dirasa.

Masih di ingat, 2 tahun lepas, saat daun jendela diselak, bau selut yg dihirup. Tapi tetap terasa segar. Agaknya kerana bau tanah itu sebati dgn asal penciptaan manusia. Memangnya itulah haruman yg paling hampir dgn diri....

Ya Allah...  keluhan dilepaskan. Berat.

Memikirkan saat akan kembali menjadi tanah, sedangkan bekalan amal tak mampu disukat....

May 15, 2018

Hari Untuk Ibu

Hari ibu. Di mana harus diletakkan kepentingan sambutan itu. 

Bagi saya yang telah lama kehilangan ibu, yang telah menyimpan kerinduan pada ibu mertua hampir 3 tahun dan yang belum diberi peluang untuk mendengar ucapan itu (entahkan masih berpeluang atau tidak...), hari ibu tidak memberi sebarang makna. Ianya bagai hari-hari biasa sahaja. 

Namun tatkala membaca status fb dan whatsapp yg memuatkan ucapan hari ibu, yg mendoakan ibu dan yg menerima hadiah dari anak2 sempena mengenang jasa ibu, ada sesuatu yg terdetik di hati. 

Rasanya ramai yang dah mendengar dan membaca apa pandangan ulama dan ustaz2 tentang adakah ia boleh diraikan dan disambut oleh penganut Islam. Ada yang kata ianya haram dan ada yg kata, kalau sekadar ucapan yg mengembirakan hati ibu, apa salahnya asal bukan sambutan yang keterlaluan. Yang pasti, ikut kepala masing-masing.

Bagi saya yg tak merayakan hari ibu, memikirkan bilakah sebenarnya hari ibu? Bukankah seorang wanita itu diberikan title sebagai ibu apabila ia melahirkan anak pertama? Lalu kenapa nak pilih satu tarikh yg tak ada kena mengena, satu hari yg nombornya cukup asing bagi kita sebagai hari ibu? 

Sambutlah hari ibu kalau nak sambut, tapi bukan hari ibu sedunia sebab setiap orang punya tarikh yg berbeza. Sambutlah hari ibu pada hari lahir anak yang pertama kerana dari saat itu bermulanya rutin sebagai seorang ibu... pilih hari itu sebagai hari ibu...kalau dipersetujui oleh adik beradik yang lain. 

Kalau tak mahu iktiraf hari itu hari ibu, sambutlah hari lahir kita sendiri sebagai hari ibu... sebab itu adalah hari yg benar-benar dia ditakdirkan menjadi ibu kita. 

Ajar anak2 sedari awal tentang hakikat hari ibu. Malah tak salah kalau terangkan pada ibu kita sendiri bahawa kita nak pilih hari kita sendiri sebagai hari ibu. Hari yg istimewa, hari yg kita tak kongsi dengan siapa-siapapun... Jadi, walaupun ada iklan sebanyak manapun kat TV tentang hari ibu, ianya bukan hari ibu kita atau hari kita menjadi ibu... dan moga tidak ada yg berkecil hati walaupun tiada ucapan atau hadiah istimewa pada hari tersebut. 

Saat ini.... saya meletakkan keistimewaan ibu di sudut hati yg paling dalam. Ia bukan hanya terletak pada hari2 tertentu, tapi setiap hari... 

Hadiah buat mereka juga, disediakan dan diberikan setiap hari. Mereka tidak mendambakan ucapan dan celebration lagi, kerana saat ini, hanya doa dan amalan ikhlas kita sebagai anak yang mereka harapkan dan nantikan... 

Tangisan rindu kini, hanya bergema di sanubari...

Al-Fatihah buat ayah bonda dan mertua... 

May 11, 2018

Pahit

Dia menangis pilu. Aku sekadar memegang tangannya yang sejuk. Mungkin sejuk deh hujan yang turun mencurah. Atau mungkin juga sejuk dek hati yang beku akibat limpahan air mata dari hati yang terluka. 

Aduhai... cuaca dan perasaan kami seiring pula saat ini. Hujan dan airmata sama-sama lebat.

Teringat masa lalu... 
Kami tergelak bila berbicara tentang jodoh. Kabur. Masa depan yang tak dapat dipastikan lantas kami berangan-angan dengan segala keindahan.

"Kau nak cari suami yang macam mana?"

"Mestilah yang sayang kat aku, yang faham kehendak aku... yang boleh aku ajak balik kampung aku setiap kali raya... Hohoho..."

"Aku nak yang bila mana aku tengok matanya aku nampak dua huruf je... R dan M.. Hahaha..."

"Aku nak yang sedap dipandang mata. Ingat lelaki je yang nak bininya cantik, aku pun nak yang hensem jugak... Hehehe.."

"Aku tak kisah yang macamana pun, asalkan dia boleh jadi suami dan ayah yang baik untuk aku dan anak-anak..."

Seribu satu impian kami kongsikan. Kekaburan tentang masa depan membuatkan kami menggambarkan dan mengharapkan yang indah-indah saja tentang jodoh. 

Naif.

"Dia dah tak sayang aku lagi. Dah dapat yang lebih muda, lebih manja...dia tinggalkan aku. Aku tak halang dia nak kawin lagi, tapi kenapa dia mesti lepaskan aku?..." Tangisnya bersambung lagi. Airmatanya masih belum surut.

"Kalau nak pastikan rumahtangga bahagia dan tahan dengan segala cabaran, yang tak mudah goyah dek rintangan dan cubaan, pastikan bila solat kat rumah tu, sentiasa berjemaah. Didik anak biar dia faham, kalau waktu solat, dia kena duduk diam-diam. Mulakan dari dalam kandungan lagi... bila nak solat, bagitahu dia, umi nak solat dengan abah, baby dok diam ya... Kita solat sama-sama... In shaa Allah, lahirnya dia nanti, mudah sangat kita nak berjemaah... Tak percaya cuba buat. Dan yang penting sekali... rumahtangga akan terpelihara dari masalah yang membuatkan kita suami isteri berantakan..." Pesan ustazah Aminah yang masih kekal dalam ingatan. 

Terbayang kenangan bersama arwah mak dan ayah dulu. Kalau ayah tak ke masjid, memang kami sekeluarga akan solat bersama-sama. Contoh yang paling hampir. Dan sememangnya ingin aku kekalkan dan ulangi dalam kehidupan. 

Alhamdulillah...Sehingga kini, itulah yang kami amalkan. Ia benar-benar menjaga hubungan In shaa Allah.. 

Sahabat, 
Aku tak mampu nak bertanya tentang bagaimana kamu menjalani kehidupan sehingga berlakunya tragedy ini. Jauh sekali nak menuding jari mencari kesalahan, apatah lagi nak mengutuk suamimu yang hanya ku kenali secara luaran. Tak adil untuk kau dan dia. Lagipun tak guna berpaling ke belakang.

Sesungguhnya hanya Allah yang tahu kenapa laluan hidupmu sebegitu. Cuma satu yang aku pasti; Allah tak akan biarkan kau bersendirian. Aku hanya mampu mendoakan dalam diam agar segala yang berlaku hanya akan membuatkan kau lebih dekat dengan Allah Al-Waduud, Tuhan Yang Maha Pencinta...  

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…"    
(Al-Baqarah: 286)

May 7, 2018

Anak Omak

Matanya merenung tajam pada lelaki itu. Sedikit bengang dan cuak melihat kelakuan 'buat bodoh' dan sikap 'pedulikan apa orang nak fikir'. Kesabaran lelaki itu melayan karenah ibu tua itu tak mampu melawan rasa tak puas hatinya.

"Biadap!" Bisiknya sendiri bila dilihat lelaki itu yang sewenang-wenangnya duduk bersama muslimah2 lain. Seolah-olah keuzuran ibunya dijadikan alasan untuk dia berada dalam kumpulan wanita dan menjadikan jemaah2 lain tidak selesa.

"You can't stay here. It's only for women! Haraamm!!.." Dia cuba menegur. Gugup tapi dikuatkan hati. Seseorang perlu bersuara.

"My mother is sick and very old. I need to take care of her. Please understand!" Lelaki Pakistan itu membalas sambil tangannya terus mencubit roti dan menyuapkan ke mulut ibunya yang kelihatan sangat uzur. Garis-garis kedut diwajahnya jelas sekali. Seolah mewakili bilangan usia yang telah dilewati. Tangannya lemah dan menggigil seperti pesakit Parkinson.

"You should not bring your mother to perform hajj. Let her rest at home or hospital. Her condition now is not fit to be here. It's very crowd and risk for her. And you interrupted others..." Dia masih merasanya tidak wajar untuk membawa orang sakit datang mengerjakan haji.

"No! I want her to perform hajj with me." Tegas.

"Is it her first time?" Dia cuba mengendurkan suara.

"We came every year." Aduhai... bagi la peluang kepada orang lain yang masih sihat dan tidak menyusahkan orang lain. 

"Then, you should just let her stay at home. She's old. Pity her..." 

"You don't understand. It's maybe my last contribution to her. At a time like this, I can take care of her 24 hours. Otherwise, I have to work." Lelaki itu masih berkeras.

"Your mother might be die here if she not be able to get a proper treatment." Dia cuba membuka kemungkinan yang tak terfikir dek lelaki Pakistan itu.

"Even if that happen... it will be the best present we can give to our parent..." Katanya perlahan.

"What do you mean?"

"To die in this place, is her dream, it's also our dream and I believe, most of the us hope for that too..." Dia terkedu. Mulai faham apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Tanah suci, tempat yang penuh dengan keberkatan.

"Hmmm... Then, just take a good care of her."  Tidak ada kata-kata lagi yang mampu diluahkan setelah sedar bahawa dia memberikan yang terbaik buat ibunya. Walaupun kelihatan kelat di mata orang, tapi manisnya tetap ada.

Setiap individu punya impian tersendiri, dengan cara yang mungkin tak difahami oleh orang lain. Bertolak ansurlah dan cuba melihat dari perspektif yang berbeza. Mungkin dengan cara itu, satu hari nanti impian kita juga akan dipermudahkan Allah... 

Apr 30, 2018

Nombor

“Su pakai kereta CRV?” Tanya Haji Syamsul dalam whatsapp.

“Tak lah… Suami yang pakai. Saya guna kereta kecik je.” Jelasku. Terbenih sedikit rasa hairan.

“XXX 2820?”

“Ya.” Jawabku ringkas.

“Nombor tu, Cina kata takde ong!!!” Bulat mataku membaca ayatnya. Hairan bila orang berpelajaran dan berkedudukan seperti dia, dengan title haji, masih mahu mengambilkira pendapat dan ramalan bangsa lain dengan pegangan yang berbeza.

“Hahaha… Saya bukannya orang Cina.” Aku cuba melawak. Mencari alasan untuk tidak mahu menerima apa yang ditulis.

“Setiap usaha tak akan berhasil Su. Duit tak masuk!!..” Sambungnya lagi. Terkejut lagi. Dia macam percaya apa yang diramalkan.

“Tapi tak payah percaya la Su ya… Just info untuk Su je tu. Tapi eloknya beli kereta baru la Su. Cari yang selesa sikit. Kereta tu dah lama.” Semakin pelik ayatnya ku perhatikan.

“Hahaha… tak ada keperluan untuk beli kereta baru lagi la Hj.” Aku berdalih.

“Jual yang lama dan beli yang baru. Kira keperluan la tu. Sebab Su atau suami memang akan guna kereta kan? Kalau tambah kereta tu lain la.” Aku tak menjawab. Tukar kereta? Alasan untuk orang yang banyak duit. Aku? Akan setia dengan yang lama selagi ia tak buat onar.

“Haji tukar kereta sebab nombor ke?” Aku menyoal dia, cuba mengalih haluan bicara.

“Ehh… tak de lah. Kebetulan memang nak tukar kereta.” Cuba menepis andaian yang mungkin aku buat agaknya.

“Kalau boleh la, lain kali tak perlu lah haji cerita pasal nombor ong atau tak ong ya! Nanti orang terpengaruh secara tak langsung.” Aku tak dapat menahan diri. Di samping berusaha untuk menahan kata-katanya dari menggugat hati ini. Ya Allah… Lindungi hatiku ya Allah. Jangan sampai terpengaruh oleh kepercayaan tak berasas dan mencari alasan untuk menukar kereta.

“Laa… kalau tak percaya, tak payah la. Bukan niat saya nak meramal pun. Sekadar berkongsi info je.” Sedikit nada keras dapat saya kesan dari tulisannya.

“Sebenarnya kan haji… konsepnya sama dengan apa yang kita bincangkan. Kalau haji tak yakin dengan investment nih, tak kan haji nak bercerita dengan saya kan…? Dan kalau saya tak yakin dengan produk Unicity yang saya guna, saya tak akan bagitahu haji. Betul tak?” Aku mengingatkan kembali perbualan awal kami. Bermula dengan bertanya khabar, sehingga cerita kesihatan, kewangan, pelaburan dan perkhabaran kawan-kawan. Orang berkedudukan dan berpengaruh seperti dia memang banyak topic yang boleh dibualkan.

“Su dah banyak dapat duit gamaknya dari orang-orang yang sakit. Ye lah…jual produk kesihatan lah kata kan.” Terasa darah naik ke muka bila membaca balasannya yang ini. Menghiris. Aku mengambil kesempatan dari orang sakit? Kedengarannya seperti aku suka kalau orang sakit kerana mereka boleh dijadikan ‘mangsa’. Ya Allah… begitukah pandangan mereka selama ini?  

“Saya yakin apa yang Allah bagi, rezeki setakat usaha yang dibuat.” Aku masih cuba bertenang. Masih berusaha mengawal jejari dari menaip kata-kata setajam belati.

Aku menyambung; “Saya tak ada niat nak mengambil kesempatan dari orang yang sakit. Sekadar memberi pilihan untuk orang memilih cara mana dan produk apa yang mereka yakin, mampu dan mahu. Samada untuk rawatan atau pencegahan. Tak pernah paksa orang untuk beli." Noktah seketika. Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Tak pernah keyakinan itu tergugat. Namun setiap kali ada yang sudi membeli, aku sertakan doa agar Allah membantu usaha orang yang mengamalkannnya. 

"Kesihatan kita ni pun rezeki jugak.  Alhamdulillah… sebelum makan supplement ni pun, Allah berikan saya kesihatan yang amat baik. Dah lama benar tak makan ubat hospital. Berbelas tahun rasanya. Cuma sekarang ni, saya makan supplement atas dasar nak memelihara kesihatan dan mencegah. Ye lah… umur semakin banyak, banyak penyakit rajin nak menziarah….” Penjelasan yang panjang lebar. Mengharapkan agar dia faham niat yang sebenar.

“Saya sekadar bercerita, sebab haji bagitahu yang haji baru keluar hospital. Kot haji rasa nak cari alternative lain selain dari rawatan kat hospital. Lagipun kos hospital swasta mahal. Itu je.” Saya menambah sedikit lagi, bila responnya sedikit lambat.

“Tak pe lah Su… Duit hasil pelaburan saya banyak dah dapat. Belanja hospital tak ada masalah sangat. Alhamdulillah… Saya tak susahkan sesiapa pun. Dan saya pun sama jugak Su, cerita sebab nak kongsi kelebihan melabur dalam Bxxxxxn ni. Tak de lah Su pening-pening nak jual barang. Duit setiap hari masuk!” Angkuhkah dia kerana diberi Allah rezeki yang melimpah ruah? Aku menggeleng kepala… mahu menepis buruk sangka yang ditiup ke minda. 

Lemah. Mudahnya aku berprasangka.

“Rezeki Haji nampaknya di situ. Alhamdulillah. Tumpang rasa lega bila tahu segalanya mudah bagi haji. Rezeki kita diberikan Allah dengan cara berbeza. Saya serahkan pada Allah untuk menilai hasil usaha saya.” Ayat apakah ini? Hipokritkah aku menulis apa yang berbeza dari yang terlintas di minda. Ya Allah… ampunkan kelemahan hambaMu ya Tuhan….

“Hehe… selalu je cakap berserah pada Allah… Memang la semua orang faham sebab kita orang Islam. Su ni macam orang Tabligh pulak, sikit-sikit... jalan Allah…”  Terkasima. Tabligh? Hahaha…

“Haha… ke situ pulak haji nih. Saya bagitahu apa yang saya percaya dan yakin. Maaf la kalau haji rasa macam nak berdakwah pulak. Saya tak suruh pun haji fikir macam saya” Aku cuba untuk kembali berbicara seperti biasa.

“Erm… Kalau bercakap dengan Su, memang la tak habis. Tak pe lah… saya kat bank nih, nak ambik duit Bxxxxxn. Nak beli laptop.”

“Ok lah haji. Selamat berbelanja ya…”

Alhamdulillah… akhirnya perbualan yang panjang itu tamat juga… Lega.

Sedikit terluka dengan kata-katanya tapi cepat-cepat aku menarik nafas dan beristighfar. Dia bercakap melalui pengalaman, melalui pemerhatian. Tapi yang salah tetap salah. Percaya bahawa nombor kenderaan memberi tuah tak ada bezanya dengan membeli nombor sport toto dan mengharapkan kemenangan. 

Perjudian tanpa sedar. 
Astaghfirullah….. 

Apr 29, 2018

Blog

Lepak di hotel sambil menunggu suami pulang dari tugasannya sebagai auditor jemputan, membolehkan saya mengadap komputer agak lama. Maklumlah, bila berada di rumah, banyak urusan yang harus diselesaikan, berderet senarai tugasan yang perlu disempurnakan.

Melihat kembali catatan lama membuatkan segala macam perasaan bercampur. Sedar tak sedar, sudah lebih 10 tahun saya bergelar blogger. Sebenarnya lebih lama dari itu, cuma blog yang terdahulu telah saya kebumikan tanpa nesan.

Saya mengambil peluang untuk mengintai teman-teman blogger yang lama. Ada yang blognya telah dilupuskan, diklik tapi entah kemana-mana perginya, ramai juga yang 'koma', kaku... mungkin akibat kesibukan rutin harian sehingga tak mampu lagi nak menitip barang sebaris ayat, atau mungkin juga' berpindah rumah' tanpa meninggalkan alamat baru. Yang pasti, saya tak mampu mengesan di mana mereka sekarang. Andai bertemu kembalipun, mungkin sudah tidak mampu dikenali lagi. Ataupun pemiliknya sudah kembali menemui Ilahi... Itu juga tak dapat dipasti.

Setiap dari kita ada kesudahan yang jelas. MATI.

Cuma andai kata suatu hari nanti blog saya ini bisu atau koma, mungkin Allah telah hentikan ilham yang Dia pinjamkan... ataupun, mungkin juga hayat saya sudah sampai kegarisan penamat tanpa saya sempat mengucapkan selamat tinggal dan memohon maaf....

Ye lah kan... Mati tak mampu kita rancang... lalu.... perlukah saya mengucapkan selamat tinggal in advance?

Apr 28, 2018

Selamat Tinggal

Leka.
Ku lihat kereta bersusun-susun di atas jalan raya.
Sekejap lagi kami akan menyertai kalian. 
Pertapaan V didepan istana berakhir sudah. 
Alhamdulillah.
Selamat Tinggal... 

Apr 27, 2018

Kabur

“Kau percaya ke aku yang buat keje tu?” Soalan itu dijawab dengan soalan. Dan jawapannya terlalu payah untuk ditafsirkan.

Dia yang dikenali dulu, bukan begitu orangnya. Dia telus dalam menjalankan tugasnya. Bertanggungjawab dan bersemangat. Sentiasa positif. Namun begitu, tak semua orang menerima kelebihan dan kebaikan itu dengan dada yang lapang, lalu menyokong dan terus memberikan galakan.

Mungkin ada asap beracun yang menyelinap, mengaburi matlamat. Dan tak mustahil juga ada bisikan yang mampu membuatkan manusia berubah. Yang terhasil dari ketidaksempurnaan kita sebagai manusia. Yang terbentuk akibat kesilapan kita mentadbir keperluan dan keinginan. Yang akhirnya membalut situasi dengan pandangan mata orang yang cukup menyakitkan.

“Aku kesal sebab tak bertanya khabar langsung. Lepas resign, tak berhubung langsung dengan dia. Tak sangka cabaran hidup dia begitu hebat. Lepas satu, satu dugaan datang.” Naj mengeluh panjang. Tak ditemui jalan penyelesaian. Tak dijumpai laluan untuk membuka simpulan. Nak di undur, memang mustahil. Nak dikubur, helaan nafas masih berdesir.

Usah dipersoalkan kenapa dan mengapa, kerana setiap yang berlaku ada sebab dan pengajaran disebaliknya. Jangan ditafsir dan dinilai diri dan ukuran maruahnya, sekalipun banyak pendapat diperdengarkan dan bukti dipaparkan.  

Zaman ini zaman fitnah, zaman yang membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Zaman teknologi yang boleh mengubah bukti. Yang palsu kelihatan real, dan yang benar dikaburkan. Kita bukan hakim atau juri yang ditugaskan untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan hujahan dan bukti yang disiarkan. Kita hanya manusia biasa yang ada ketika silap membuat perhitungan. Dia juga sama. Yang tahu hanya Allah...

Bukan membela, tapi berkecuali. Andai berdosa, mohonlah keampunan dan mintalah disembunyikan keaiban. 

Andai benar, mohon Allah permudahkan penyelesaian dan dikekalkan kita pada jalan kebenaran. Bukannya meminta agar dikembalikan segala keburukan kepada yang mencemuh dan memfitnah. Kerana tidak akan muncul kebaikan jika keburukan dibalas keburukan dan dendam dipanjangkan. 

“Semahir manapun kita dalam bidang kita, setinggi manapun ilmu yang kita miliki, sehebat manapun kuasa yang kita ada, tak akan dapat membantu kita menyelesaikan masalah kalau tanpa izinNya. Kadang tu, kerana kelebihan itulah kita di uji, kerana Allah nak tahu adakah kita masih sedar yang kita ni pada dasarnya adalah hamba… yang meminjam segalanya dari Dia… yang mana kalau kita lupa bahawa Dia mampu menarik segalanya dengan sekelip mata, kita memang tak mampu melakukan apa-apa… ” Kata-kata ustazah terngiang ditelinga. Terasa kerdil yang amat. Kecil…. lebih kecil dari zarah… Lemah… lebih lemah dari selembar bulu yang diterbangkan angin petang…

Semoga sedikit ruang masa yang Allah berikan, mampu digunakan untuk muhasabah diri. Jangan dicari salah siapa, jangan diusul apa puncanya, jangan mengeluh setiap masa. Tapi sebaliknya gantikan ia dengan istighfar… basahi bibir dan hati dengan zikrullah… kerana dengan ikhlasnya hati menyerah, akan dibuka jalan penyelesaian seluas langit yang terbentang. 

Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah kerana hidup kita ini, dalam genggamanNya… 

Allahhuakbar!!!...

Apr 20, 2018

Barokah


“Esok akak akan bertolak ke Mekah, nak buat umrah…” Bisiknya ke telingaku dengan senyuman lebar. Aku ternganga, terkejut dan teramat teruja. Terasa baru setahun dua yang lepas dia ke sana, kali ni ke sana lagi? Ya Allah… kerapnya Kau menjemput mereka kerumahMu. Aku cemburu. 

Kak Faridah dan Abg Aziz, mereka ku kenali hampir sepuluh tahun yang lalu, saat diri ini mula belajar bertatih mengisi masa dan hati yang kosong di rumah Allah. Masjid biru yang tersergam indah itu dihampiri dalam usaha mencari pengisian dalam kehidupan yang di rasakan amat suram, kurang dan kosong. Ada sesuatu yang tidak kena, ada aturan yang tak sempurna.

Mendaftarkan diri dikelas pengajian bersijil Masjid Shah Alam menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang berbeza usia. Mereka berada diperingat kematangan yang amat mengagumkan, penuh dengan  pengalaman kehidupan dan memiliki segalanya. Tapi kami mempunyai matlamat yang sama; mencari ilmu agar kami lebih dekat dengan Allah dan Rasululllah.

“Su nak panggil apa ya?” Awalnya terasa sedikit janggal bila bergaul dengan mereka. Perbezaan usia dan latar belakang paling ketara. Ramai yang telah pencen sedangkan diri ini belumpun sampai sedekad bekerja.

“Panggil apa-apapun boleh, panggil kakak pun boleh, nak panggil makcik pun tak pe.” Katanya tersenyum.

“Su panggil kakak lah ye. Biar akak rasa muda…” Usikan pertama dengan senyuman paling manis cuba diberikan. Dengan usia begitu, jelas mereka hanya sedikit muda dari ibu mertuaku sendiri.

Habis pengajian bersijil, kelas khas kami mohon diadakan dengan guru pembimbing, ustaz Burhan. Pelajarnya kebanyakannya adalah suami isteri yeng telah pencen. Aku dan suami adalah pelajar yang paling muda. Alhamdulillah, diberikan ruang oleh Allah untuk bersama di majlis ilmu walaupun siangnya kami sibuk dengan tugasan.

Semenjak mengenali mereka, hidup terasa begitu terisi. Siang sibuk dengan kerja, malam dipenuhi dengan pengajian dan kemudian bersembang sambil membuka bekalan makanan yang disediakan Kak Faridah. Paling tidak, ubi rebus cicah sambal dan kopi panas. Lebih bermakna dan membahagiakan apabila suami masing-masing melangkah seiringan disepanjang perjalanan persahabatan ini.

Mereka seluarga tak lokek dan sentiasa cuba meletakkan tangannya di atas, tangan si pemberi. Bersusah payah menyediakan dan menghantar “supper” untuk kami yang tergeliat lidah membetulkan sebutan ayat-ayat cinta Allah… sehinggakan pak guard juga turut mendapat tempias rezeki makan lewat malam kami. Tak hairanlah jika rezeki Kak Faridah sekeluarga memang murah.

Kak Faridah hanya surirumah. Abang Aziz hanya berniaga digerai kiosk di tepi tasik Shah Alam, menjual keropok dan minuman. Mereka bekerja hanya 5 hari seminggu untuk menanggung anak-anak seramai 7 orang. Dan ketika musim hujan, mereka terpaksa menutup operasi kerasa keadaan cuaca yang tidak sesuai. Pendek kata, cuti mereka lebih banyak dari kita yang bekerja makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Pendapatan mereka mudah terjejas dan tidak menentu. Tapi segalanya berjalan dengan mudah kerana mereka suami isteri mengamalkan ‘hidup dengan kadar kemampuan’.

Pandangan luaranku menafsirkan, mereka berjaya membentuk kehidupan yang sederhana tapi bermakna. Rezeki yang berkat, dari sumber yang jelas dan halal, menghasilkan anak-anak yang ringan tulang membantu di gerai diwaktu siangnya, yang sedia memberi sedikit masa untuk mengurangkan aliran keringat ayah bonda… malah lebih menyejukkan hati bila sesekali ada anak-anak kak Faridah yang turut menghadiri kelas malam kami, memperbaiki bacaan Quran dan mendalami ilmu tajwid.

Kak Faridah dan Abg Aziz yang kami kenal tak pernah bersungut tentang kesusahan hidup, seolah tak pernah ada istilah dugaan atau cabaran dalam kehidupan mereka.

Bila ditanya, dia akan selalu menjawab; “Mana ada kehidupan yang tak ada cabaran… mestilah ada ketika untuk merasa perit dan ada masa airmata tumpah. Tapi, kita kan ada Allah…”

Lalu aku menyimpulkan…. Syukur mereka selalu lebih sehingga menutupi segala kepahitan yang mereka lalui. Agaknya kerana itulah, rezeki mereka untuk ke Tanah Suci selalu melimpah ruah, jemputan Allah buat mereka selalu tiba. 

Dalam cemburu, doa dari hati sentiasa bergema, mengharapkan agar kami juga mampu mengikuti jejak langkah mereka, hidup dalam ketenangan sehingga tiba masa kami dijemput menghadapNya….