Feb 13, 2018

Kafarah

Bila diduga dengan kedukaan, kesedihan, kesusahan, kesakitan, apa yang seringkali terlintas di fikiran kita? Apa yang sering diucapkan untuk menenangkan hati?

Allah duga kerana Dia sayangkan kita...
Allah berikan kesedihan kerana mahu kita kembali padaNya...
Allah anugerahkan kesakitan untuk membasuh dosa-dosa...

Benar. Tapi saat segala dugaan itu telah beransur kurang, sedih telah berlalu dan menghilang, sakit dah sembuh dan diri kembali pulih, adakah hati masih kekal dekat denganNya? Adakah syukur terus disebut? 

"Anak-anak jarang bertanya khabar. Balik pun payah. Menantu yang tinggal dekat pun dah hampir setahun tak datang jengok. Sakit pun sorang-sorang. Makan pun tak de orang nak teman. Anak menantu sibuk, cucu2 pun sama..." Keluh Ummi. Sayu suaranya membuatkan rasa simpati saya melimpah. 

Keluhan dilepaskan perlahan. Teringat cerita Mak Long tentang Ummi. 

"Ummi anak yang berjaya dan senang hidupnya. Anak yang paling Tokbah sayang sebab dia paling cantik dan lembut bila bercakap. Anak manja dan kesayangan Tokbah. Tapi Tokma  tegas. Selalu jugak Ummi kena marah sampaikan Ummi kata Tokma tak sayang dia, benci dia." Keluhan perlahan dilepaskan. Renungannya jauh melewati reban ayam dibelakang rumah. Tangannya memicit-micit betis. Lenguh barangkali.

"Lepas kawin, Ummi jarang balik jengok Tokma dan Tokbah walaupun kereta ada. Kadang tu anak2 tak di bawak balik langsung. Banyak tahun jugak Tokbah tak jumpa cucu2. Bila balik, selalu dengan tangan kosong. Kadang tu makanan yang dibeli kat pekan tu pun Ummi makan sembunyi2 dalam bilik dengan anak-anaknya..." Suaranya berubah. Sebak. Lama Mak Long diam. Mencari kekuatan untuk memulakan kembali imbauan kenangan. 

"Tapi bila Ummi nak balik KL, Tokma selalu kirim macam2. Ubi, labu, telur asin, sambal tempoyak, ikan pekasam dan macam2 lagi. Semua tu makanan kegemaran Ummi anak beranak. Tak pernah mereka balik tak berbekal. Paling tidak nasi goreng telur dadar. Layanannya tak berubah walaupun Mak Long tahu, dia kecik hati..." Sikap pemurah Tokma diwarisi Mak Long. Dia belajar melalui pemerhatian. Yang baik dikutip, yang buruk tidak diusik. 

"Apa yang dialami oleh Ummi sekarang adalah apa yang dia pernah buat pada Tokma. Sedar ke tidak dia tu yang masalah dia dengan anak cucu dia sekarang tu adalah hasil didikan dia jugak. Masa tokma meninggal dulupun, dia tak bawak balik anak cucu dia ke kampung. Alasannya, mereka sibuk." Keluhannya kembali lagi... Kesal yang tak tahu bagaimana nak dihenti. 

Saya menjadi pendengar setia. Nak dihalang, kesian. Dibiarkan berterusan, berat rasanya. Mendengar sungutan negatif tak ubah seperti mendengar orang mengumpat. Dosanya terpalit juga pada saya. Ahhh... bukan niat hati nak dengar tentang keburukan, tapi nak ambik pengajaran agar kesilapan itu tak akan saya lakukan.

Kalaulah Ummi boleh lihat apa yg berlaku adalah balasan Allah terhadap apa yg pernah dia buat pada Tokma dulu... mungkin penerimaan dan sikapnya berbeza. Mungkin istighfar lebih kerap disebut, sungutan dan rintihannya berkurang, dan hatinya redha dengan apa yang menimpa. 

Alangkah baiknya jika masa yang terluang digunakan untuk merenung salah yg lepas, memikirkan segala yang berlaku adalah kafarah akibat dosa2 lalu. 

Ya Allah Ya Basir... Tuhan Yg Maha Melihat... Bukalah pintu hati mereka dengan pandangan yang nyata... Agar roda kehidupan itu tidak berpusing dan melakar sejarah yang sama dalam keluarga mereka. Aku tak mampu mengolah kata untuk membuatkan dia melihat kisah disebalik musibah yang melanda hidupnya. 

Feb 10, 2018

Pasangan

Arina : Assalamualaikum Su Na... bz ke?

Diri : Waalaikumussalam Ina. Bz sesangat nih.

Arina : Laa... ye ke? Maaf la ganggu Su Na...

Diri : Hahaha... Acah je lah. Kat kebun ni haa....Bertanding dengan nyamuk... Kita dok bertepuk tangan berdikir, dia dok sibuk gesek biola.

Arina : Hahaha... Judgesnya sapa? Ada penonton tak?

Diri : Ishh... Mesti lah ada. Ayah Su la... Sapa lagi.

Arina : Alamak... Ganggu Su Na dating la nih ye?

Diri : Tahu tak pe...

Arina : Maaf la.

Diri : Haha... Tak de lah. Ok je. Dating cara orang dulu-dulu. Sekarang ni kan ina... Su Na ditemani oleh asap unggun api... nyamuk2 yg dahagakan darah, yg bermain biola tak pakai note muzik... bulan yg malu mengintai di atas sana... kopi panas yg enak dicicah biskut tawar.... buat hati mekar je...

Arina : Amboi... Jiwangnya. Mesti best kan. Beruntung Su Na dapat Ayah Su.

Diri : Alhamdulillah... Ina pun bakal jadi insan beruntung dalam beberapa bulan lagi...

Arina : Entah lah...

Diri : Aik? Kenapa pulak ni?

Arina : Sesekali rasa risau. Mana tau kat KL dia jumpa yg lebih baik.... Ina tak kisah Su Na, andai Jai jumpa yg lebih baik, selagi kami tak kawin, dia berhak memilih.... Ina cakap kat dia, kami berkawan bukan untuk kami sahaja, tapi untuk keluarga jugak. Sebab kita bukan nak hidup berdua sahaja... Masing-masing ada keluarga, ada tanggungjawab pada mak ayah lagi. So, kena pikir panjang... kena ambik kira penerimaan keluarga jugak...

Diri : Pasal pegangan Ina itu, Su Na setuju sangat. Tapi soal nak cari yg terbaik atau yang lebih baik tu... Su Na kurang setuju. Pendapat Su Na la kan, kita tak boleh target org yang terbaik untuk diri kita, sbb kita tak mungkin tahu, baik tu dari sudut apa...  sehinggalah kita kawin dan tidur sekatil dgn dia, duduk serumah, makan berkongsi pinggan, bersuap, bertelagah pendapat walaupun pasal benda-benda remeh... dan tahu perangai dia luar dan dalam, zahir dan batin....

Arina : Erm....entahlah... takut nanti dah terlambat bila tahu pasal semua tu...

Diri : Soal terlambat tak boleh difikirkan lagi. Sebab perjalanan masa adalah sehala. Perkahwinan tak boleh nak buat macam main tarik tali. Selalulah doa agar kita dan pasangan akan saling melengkapkan apa yang kurang. Jangan nampak yang kurang je, tanpa cuba menjadi penyempurna kekurangan itu... jangan hanya mengharapkan yang lebih tapi berharaplah agar lebihnya dia akan membuatkan dia mampu menerima dan menampung kekurangan kita...

Arina : Alahai... serius la pulak. Adeh...

Diri : Abih tu... Dah memangnya isu ni tak boleh diambil ringan.

Arina : Tak nak la serius Su Na... Makin stress Ina.

Diri : Pulak... Dah la tu, jangan fikir banyak-banyak. Orang bertunang memang dugaannya banyak. Pegi tidur lah, esok kan keje...

Arina : Ok lah... ok lah...
Pokok tinggi, pokok mempelam
Harum manis dimakan saja
Ina nak ucap selamat malam
Semoga sentiasa terus ceria

Diri : Ooo... nak menutup dgn pantun ya... jap, nak cari idea...
Cahaya bulan warnanya biru
Kelam bumi mata kelabu
Selamat malam bersulam rindu
Dalam mimpi moga bertemu.

Arina : Memang kalah je kalau lawan pantun dengan Su Na... Hahaha...

Diri : Sapa suruh lawan... Budak setahun jagung dengan jagung tua yg dah bertahun-tahun... haha

Arina : Ye lah... ye lah... good nite Su Na... Love U. Assalamualaikum...

Diri : Nite my dear. Sweet dream. Waalaikumussalam.

Feb 7, 2018

Prasangka

Hati Makcik Nisah pedih, sakitnya tak mahu ditunjukkan. Disimpan kemas, disembunyikan dengan senyuman buatan. Seboleh mungkin dia cuba untuk mengelak dari membalas kata-kata sindiran yang dilemparkan. Biarlah. Allah lebih tahu situasi sebenar, lebih dari faham suara hatinya. 

"Kalau dah berkawan dengan setan tu, buat la baik macam manapun, tak de nya aku terpedaya. Allah tunjuk nanti, Allah akan balas... tengoklah... Aku tak redha perbuatan khianat yang dibuat kepada abang dan kakak ipar kesayangan aku. Sampai mati aku tak akan maafkan...." Kata Maksu Waini keras. Matanya menjeling tajam pada Makcik Nisah, isteri kedua abangnya.

Perkahwinan kedua abang Firdaus telah mencecah lebih 18 tahun, tapi ada lagi ahli keluarga yang belum mahu menerima hakikat bahawa jodoh itu ditangan Allah. 

"Takpe... takpe... kau duduk dan tengok je. Rehat. Biar kami yang buat." Ujar MakNgah sambil tersenyum. Senyuman yang dibuat. Maksu Waini mengangkat ibu jari. 

"Kau jangan biarkan dia usik apapun kat dapur nih. Nanti entah jampi apa dia baca nak kenakan keluarga kita. Termakan apa yang dia jampi karang, haaa.... lemah kau nanti. Ikut telunjuk je la..." Bisik Maksu Waini semalam, semasa mengupas bawang untuk majlis solat hajat. 

Makcik Nisah bukan tak tahu cerita begitu disebarkan. Dia faham bahawa orang seperti dia akan selalu dipandang serong. Menjadi isteri kedua, memangnya besar dugaan yang terbentang di hadapan. Tapi itulah jalan yang dipilih dulunya. Mengenepikan segala pendapat orang termasuk anak2 dan ibunya, mengakhiri status janda yang dia sandang sebelum ini. 

Janji pada diri sendiri, akan cuba memberikan yang terbaik pada suami dan keluarga barunya. Dia mengharapkan dirinya diterima.

Madunya Makcik Suria, merupakan surirumah sepenuh masa. Sedangkan dia wanita berkerjaya. Lalu, soal nafkah tak begitu diberi perhatian. Menerima apa yang diberi seadanya. Malah, kalau dia beli apa-apa untuk dirinya, pasti ada bahagian yang sama untuk Makcik Suria. Tak mahu dianggap suaminya tidak adil walaupun hakikatnya duit yang dibelanjakan itu adalah duit hasil titik peluhnya. 

Saat poket anak-anak tirinya kering, dialah yang tolong "membasahkan"nya. Tika belanja rumah terputus, dialah yang menyambungnya. Sehinggakan pada ketika perniagaan suaminya jatuh, akaun dia lah yang dijadikan sasaran untuk memulakan balik apa yang telah "hilang". Tak sikitpun dicanangkan pada keluarga. Kerana dia tahu, maruah suami dipandangan mata orang perlu dijaga terutama adik beradiknya. 

Tapi bila musibah menimpa Makcik Suria, segala kebaikan yang pernah dia lakukan, didiamkan saja. Sakitnya itu, dibisikkan kerana sihir yang Makcik Nisah hantar. Sedihnya difitnah begitu. Apa bukti yang mereka ada? Adakah kerana dakwaan bomoh yang dipandu lidahnya dek syaitan dan jin? Atau kerana memenuhi sangkaan dan andaian mereka yang tak pernah mahu menerimanya?

"Demi Allah, Makcik tak pernah buat semua tu. Kalau makcik nak sihirkan makcik Suria, patutnya dah lama makcik buat. Tak perlu tunggu selepas 18 tahun... Tak perlu makcik habiskan duit untuk belanja dia berubat Su. Siap gadaikan berang kemas dan tanah lagi..." Esaknya semakin menjadi. Aku kehilangan kata-kata. Tak jumpa perkataan yang sesuai untuk menenangkan hatinya yang remuk dek prasangka orang. 

Jauh di sudut hati, aku berdoa... agar segala permasalahan ini dirungkaikan Allah dengan sebaik cara. Allah Maha Mnegetahui perkara yang ghaib, yang tak mampu dipandang dek mata, didengari oleh telinga, tak sampai nak disentuh jemari yang panjangnya tak seberapa.... 

Dia Yang Maha Berkuasa mengubah hati dan pandangan manusia, menghapus prasangka dan membuka minda... 

Dia Yang Maha Kaya dan Maha Pencinta.... semoga dipenuhi hati-hati mereka dengan bisikan yang baik-baik saja, disaluti dengan rasa kasih dan sayang sesama saudara, dan diganti dengan redha, akur pada ketentuanNya. 

Sesungguhnya segala yang berlaku punya kisah tersendiri yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui... 

Feb 5, 2018

Impossible Vs Possible

"Jangan berhenti meminta pada Allah walaupun permintaan tu kedengarannya mustahil. Allah tu kan Maha Pemurah..." Pesan ustazah berkali-kali. 

"Dia Maha Kaya dan Maha Berkuasa untuk menjadikan mission impossible menjadi mission possible." Sambungnya lagi bersemangat. 

"Ustazah kenal seorang hamba Allah ni, ustazah panggil dia Pak Man. Orangnya memang susah tapi tawadhuk sangat. Rumahnya tu, kalau terlebih bersandar la... mmg tumbang tiangnya. Tapi solatnya, ibadatnya, pekertinya.... rasanya memang jauh baik berbanding kita-kita nih. Malah kalau dengan ustazah pun, rasanya Pak Man lagi banyak lebihnya. Ustazah ni pun banyak yang kurang..." Katanya merendah diri. Sifat cukup membuatkan saya terpegun dan merasa amat kerdil. Matanya basah.

"Dengan segala kekurangan dirinya, dia sampai ke Makkah. Mengerjakan haji. Masa tu, rasanya hampir sepuluh tahun yang lepas. Masa ustazah berjumpa dengannya, ustazah sampaikan rasa kagum sebab orang yang sesusah dia pun, yang hidup sendiri, yang hanya kerja kampung dan rumah yang amat uzur, mampu kumpul duit untuk ke Makkah."

"Tapi katanya... Dia ke Makkah bukan dengan duit yang dia kumpul. Ada hamba Allah yang bermurah hati sponsor dia ke Makkah. Kalau nak harapkan simpanannya, mungkin tak tersentuh kakinya ke sana. Tapi katanya, itu berkat keyakinan dia pada doa...dia selalu berdoa agar Allah beri dia peluang ke Tanah Suci. Dia tak nampak jalan, tapi dia tahu Allah punya cara untuk menjadikan yang mustahil itu satu kenyataan..."

"Akhirnya doanya dijawab Allah... dikabulkan hasratnya untuk mengerjakan haji.... Alhamdulillah. Sujud syukur dia bila diberi peluang begitu." Sebak ustazah bercerita. Kami yang mendengarpun turut sama bergenang...

"Selepas tahun tu... hampir setiap tahun dia ke Makkah... mengerjakan umrah atau haji. Hairan ustazah. Kata tak ada duit, tapi setiap tahun tak pernah miss."

"Ustazah tanya Pak Man lagi... Macamana dia boleh ke sana hampir setiap tahun? Katanya... masa kali pertama dia ke sana, dia berdoa depan Kaabah dengan penuh yakin dan mengharap, agar diberi peluang mengunjungi Tanah Suci berulang kali. Dan setiap kali dia ke sana, dia akan berdoa yang sama. Tak mahu fikir pasal duit sebab baginya Allah adalah penyelesai masalah dan mampu mengabulkan doa... asalkan kita mintak dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Mulai dari itu, sentiasa ada orang yang mahu sponsor Pak Man... yang upah dia buat haji badal... Dan dia tak keluarkan belanja sendiri pun untuk ke sana... Masya Allah..."

"Sekali lagi ustazah ternganga... kagum dengan kisah Pak Man... Kagum dengan kekuasaan Allah... Sungguh tiada yang mustahil bagiNya.." 

Mendengar kisah Pak Man membuatkan saya sedar, siapalah kita untuk menggunakan logik akal, meramal apa yg bakal dilalui berdasarkan situasi semasa. 

Teringat kata-kata Pak Ngah Pian bila ditanya pasal haji..."Tak mahu aku berangan nak ke sananya aihh... Nak makan pun tak berapa cukup, inikan pula nak buat haji..."

Kalaulah saya mampu temukan Pak Man dan Pak Ngah Pian... mungkin tanggapan dan keyakinannya pada kekuasaan Allah akan berubah...