Mar 7, 2019

Aku mahu itu!

Tangan saya dipegang. Dia diam dan menarik nafas dalam-dalam. Scanning.

"Ermm... Su ni jenis yang cepat sejuk." Akhirnya dia bersuara. Saya mengangkat kening. Cuba nak faham apa yang dikatakan.

"Mudah bersemangat dan mudah juga hilang semangat. Nak kena ada orang yang selalu tiup semangat, yang selalu support." Dia menjelaskan.

Allah.... Saya begitu ke? Aduhai... Memang kekurangan diri. Saya akui.

~ kak Ina ~
...........

Mendengar suaranya buat saya tenang. Jiwa saya kenyang. Alunan yang dah lama saya cari. Dia langsung tidak melepaskan bacaan saya dengan mudah.

"Setiap huruf ada makhraj yang punya nilai perubatan tersembunyi. Jadi kena sebut dengan betul. Barulah berkesan bacaan tu pada jiwa dan jasad." Tekannya tegas.

"Su doa banyak-banyak. Mintak Allah permudahkan ilmu, nanti boleh sebarkan ilmu tu pulak. Ilmu yang diajarkan, itulah bekalan kita utk akhirat nanti. Ustazah tak akan selamanya boleh mengajar. Sampai masa nanti ustazah akan pergi." Katanya lagi. Saya sebak. Kolam mata saya bertakung.

Ya Allah... Panjangkan usianya dan berikan kesihatan yang baik untuknya. Masih banyak ilmu yang perlu saya kutip dari dia.

~Ustazah W. Khadijah~

.........

Dia antara salah seorang yang Allah anugerahkan kelebihan yang mengagumkan. Ramai yang menulis tentang dia. Ramai yang memujinya, yang mengaguminya, yang menjadikan dia idola.

Saya juga. Tapi setakat ini hanya mampu mengagumi dia dari jauh. Nak bercerita tentang dia, saya tak tahu apa yang nak di tulis.  Tak ada pengalaman istimewa yang boleh dicatatkan.

Bukunya saya beli. Walaupun tak banyak yg saya miliki tapi cukup untuk meminati dia dari jauh. Saya baca dan hayati. Berkali-kali.

Cukuplah kalau saya katakan, saya harap semangat saya untuk menulis, boleh bangkit walaupun sekadar mengikuti jejak bayangannya.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke......

~Bonda Nor~

........

"Setiap masalah ada penyelesaiannya. Solusi dari langit. Allah dah turunkan Al Quran sebagai panduan. Manual dari Yang Maha Agung. Tapi kalau kita baca saja dan tak cuba untuk faham, kita tak akan jumpa 'ubat' untuk 'penyakit' kita. Sebab itulah kita perlu tadabbur dan tazakkur Al Quran." Bersemangat. Saya yang mendengarnya terkesan.

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran (Al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman." Surah Yunus, ayat 57.

Mendengar beliau mengupas kandungan Al Quran secara teratur buat saya berangan nak menjadi seperti dia. Memahami, menjiwai dan menyebarkannya. Banyaknya pahala yang boleh dapat jika itu dapat dilakukan.

Program sebanyak 6 siri selama 6 bulan saya sertai untuk menampung kekurangan diri. Siri yang terakhir telah selesai bulan lepas.

Tapi.... banyaknya kerja 'sekolah' yang nak kena buat. Aahhh.... sungguh saya perlukan semangat yang kuat. 

~Tuan Fazrul~

........

Semoga Allah memberi kekuatan dan mempermudahkan perjuangan saya untuk mencari ilmu.

~dah tua baru nak belajar~

#kembarailmu
#seminarpenulisanbondanor
#TOTIQ

Mar 5, 2019

Prasangka.

"Bodoh la dia tu, orang dok kata macam-macam kat dia tapi dia diam je. Agaknya betul la apa yang orang cakap tu." Kata si A saat mengulas berita yang tersebar di media sosial.

"Kalau tak ada angin, tak kan pokok bergoyang. Padan muka dia. Sekarang satu Malaysia tahu perangai buruk dia." Balas si B pula sambil mencebik bibir.

"Allah dah balas perangai jahat dia tu kat dunia lagi. Memang patut orang hilang hormat kat dia pun. Imej macam alim, tapi perangainya yang sebenar... ya Allah, teruk sangat!" Tokok di C sambil membulatkan mata.

Saya mendengarnya sambil beristighfar. Mahu rasanya saya menyampuk tapi... Biarlah. Pelik amat kalau tiba2 saya mencelah.

2 perkara yang selalu saya ingatkan diri;

1. Kita manusia dengan pengetahuan terbatas dan sering terdedah dengan salah faham atau salah tafsir. Jika khabar itu tidak benar, ia dah dikira memfitnah. Jika benar, ia dikira mengumpat. Kedua-duanya adalah dosa besar.

2. Manusia penuh dengan kelemahan dan kesilapan. Tersalah membuat keputusan, adakala kesannya tak terjangkau dek fikiran. Menyesal? Semoga Allah memberi peluang untuk memperbaiki keadaan dan kerosakan yang dilakukan.

Apa hak kita untuk mengulas, menghakimi ataupun menghukum individu berkenaan. Diam dan beristighfar adalah benteng terbaik untuk melindungi diri dari dosa.

Sebaiknya, doakan yang baik-baik saja.

#dimatakita

Jaga bicaramu!

Tulis apa yg dirasa. Itu pesan bonda Nor dalam seminar penulisan yang lepas. Tapi harus pandai mengolah kata dan mencari masa yang sesuai untuk dipaparkan.

Jangan sampai ada yang terluka. Jangan  dibiar jiwa menjeruk rasa dek kata-kata berbisa.

Bukanlah mata pena itu lebih tajam dari mata pedang? Menikam hati tak perlukan senjata tajam, cukup dgn lidah yg tidak bertulang.

Kata mereka, memberikan pendapat biar ikhlas dan jelas. Guna bahasa berkias adakala mesej yg nak disampaikan terbabas dan terlepas. Lolos tak berbekas.

"Mulut je jahat tapi hati baik, niat jujur nak menegur." Jangan!!.. Luka di hati banyak kategori. Kesannya berbeza pada diri. Pedihnya kadang tak disedari dan tak mampu diubati dalam masa sejarak mentari.

Manusia memang memerlukan teguran untuk perbaiki diri. Tapi lihatlah dulu contoh dalam Al Quran, jadikan ia panduan. 

Baca bagaimana Allah memberi teguran pada kekasihnya Nabi Muhammad dalam salasilah (asbabun nuzul) bagaimana surah Al Kahfi diturunkan. Dalam ketegasan ada kelembutan, ada pujukan yang menghiburkan. Masya Allah... Maha Suci Allah  yang penuh kelembutan dan kesempurnaan....

Tugas kita hanya menyampaikan. Diterima atau tidak, berkesan dihati atau terpadam hilang, mungkin timbul dan mungkin juga tenggelam mesej yang cuba disampaikan, bukan kemampuan kita untuk menentukan.

Kita serahkan pada Allah.

Sungguh kita ini adalah hamba yang lemah... Mohon Allah pelihara lidah dan tinta dari mencoret kata yang sia-sia dan hanya menambah dosa...

Dalam usaha meraih pahala, jangan sampai terkutip dosa.

Ampun Ya Allah....

#seminarpenulisanbondanor
#TOTIQ
#tadabburtazakkur

Mar 2, 2019

Aduhai Payung

Hujan di bandar Osaka. Tak ada beza dengan hujan di Malaysia. Titisan yang jatuh ke tanah, rakus ditelan bumi. Yang singgah di dedauan, santai seketika sebelum takdir menyapa.

"Nak beli tak? Kalau beli baju hujan, kena beli dua. Kalau payung, kita beli satu pun cukup. Beli yang besar sikit. Nanti boleh bawak balik Malaysia". Pujuk saya. Suka tengok payung lutsinar yang sering muncul dalam cerita Korea dan Jepun. 

Akhirnya ia jadi milik kami. Berpayung berdua di dalam hujan di luar negara. Berlari-lari di tengah pusuan manusia di Universal Studio Japan, fuhh... perasan romantik habis!

Ghairah menikmati permainan ciptaan, leka meneroka keseronokan buatan, payung yang dipegang hilang tanpa dapat dikesan!

Jodoh kami tak sampai 24 jam. Amanah yang terabai kerana terleka dengan nikmat seketika.

Allahu.... Yang disayang telah melayang....  Kalau dah bukan rezeki, Allah boleh ambil bila-bila masa.

Aduhai payung, kamu tak ditakdirkan untuk berhijrah ke Malaysia nampaknya....

#kembaradibumiAllah
#seminarpenulisanbondanor

Mar 1, 2019

Usia Kita.

"Semoga dipanjangkan umur....."
Ucapan yang biasa dilafazkan tatkala menyambut ulang tahun kelahiran.

Penting ke umur panjang?

Bagaimana kalau umur panjang tapi tak berkat. Tak ada tambahan dalam ibadat, malah banyak pula dosa yang dicatat oleh malaikat.

Allahu.... ampun ya Allah.

#bondanor
#muhasabahdiri