Jul 12, 2019

Pantang Mengalah

Sehari sebelum seminar.

"Assalamualaikum Su. Makcik nih. Makcik baru keluar hospital, nak daftar seminar 3 orang." Getar suaranya jelas dihujung talian.

"3 orang?" Soal saya meminta kepastian sambil mencongak bilangan peserta yang mendaftar melalui online, call, sms dan WhatsApp.

"Ya... 3 orang. Makcik akan datang dengan kawan. Sebab makcik tak boleh drive dan berjalan pun masih kena papah. Tak kuat nak jalan sendiri." Jelasnya seolah tahu apa yang saya gusarkan. Penyertaan peserta akan berlebihan jika semua yang mendaftar, datang dengan kehadiran penuh.

"Boleh makcik. Tapi Su cadangkan makcik datang awal ya. Kot nanti parking payah. Boleh pilih tempat duduk sama."

....

"Ini Su ke?" Tanya seorang wanita yang berwajah pucat dan dipimpin oleh 2 orang rakannya.

"Ya, saya." Saya memandang dengan senyuman. Hati dah boleh mengagak siapa dia.

"Ini makcik dengan kawan2. Nak daftar masuk seminar nih." Jelasnya sambil menghulurkan tangan.

Huluran tangannya saya sambut. Sejuk. Jelas kelihatan dia masih lemah.

Terus saya minta dia masuk ke dewan. Tak mahu biarkan dia berdiri lama.

Rasa kagum memenuhi dada. Kuat sungguh keazamannya untuk hadir seminar ini.

Saya nampak dia datang dengan harapan. Misi untuk membawa seluruh keluarga masuk ke syurga.

Semoga impiannya terlaksana.

....

Waktu rehat tengahari. Kami bertemu lagi.

Diseluknya bag tangan dan dikeluarkan satu buku nota.

"Ini untuk Su." Katanya sambil menghulurkan buku itu kepada saya.

"Untuk Su? Kenapa?" Kaget seketika.

"Saja makcik nak bagi Su. Tanda terima kasih." Allahu... Tak ada apapun yang saya lakukan untuknya. Sekadar menerima nama untuk pendaftaran. Itu dah memang tugas saya.

Saya teragak-agak. Rasa tak layak menerima pemberian itu.

"Ambik la Su. Makcik memang dah niat nak bagi Su." Kawan yang berada disisi sedari tadi menjelaskan.

Saya sambut pemberiannya. Saya genggam tangannya. Kesan jarum jelas kelihatan. Sedikit lebam. Agaknya dek suntikan memasukkan air  di hospital yang belum sembuh sepenuhnya.

"Terima kasih makcik. Su doakan makcik cepat sembuh. Makcik kena pastikan makan ubat macam doktor cakap ya!" Hanya itu yang mampu saya ucapkan. Sebak seketika. Teringat arwah mertua yang sering saya pimpin dan papah bila mahu kemana-mana.

"Makcik nak solat dulu. Nak rehat. Nanti makcik turun makan kemudian." Katanya sambil beredar.

Allahuakbar... Rasa bahagia menyelinap ke dalam dada. Bukan kerana hadiah yang diberi, tapi kepuasan bila seminar yang diusahakan begitu dihargai oleh peserta sehinggakan sanggup datang walaupun dalam keadaan lemah dan uzur.

Semoga Allah ganjarkan dia dengan syurga dan gugurkan semua dosanya disepanjang perjalanan kehidupan ini...

#masuksyurgasekeluarga
#PRNNK
#kisahpengajaran
#tuanfazrul

No comments: