Apr 30, 2018

Nombor

“Su pakai kereta CRV?” Tanya Haji Syamsul dalam whatsapp.

“Tak lah… Suami yang pakai. Saya guna kereta kecik je.” Jelasku. Terbenih sedikit rasa hairan.

“XXX 2820?”

“Ya.” Jawabku ringkas.

“Nombor tu, Cina kata takde ong!!!” Bulat mataku membaca ayatnya. Hairan bila orang berpelajaran dan berkedudukan seperti dia, dengan title haji, masih mahu mengambilkira pendapat dan ramalan bangsa lain dengan pegangan yang berbeza.

“Hahaha… Saya bukannya orang Cina.” Aku cuba melawak. Mencari alasan untuk tidak mahu menerima apa yang ditulis.

“Setiap usaha tak akan berhasil Su. Duit tak masuk!!..” Sambungnya lagi. Terkejut lagi. Dia macam percaya apa yang diramalkan.

“Tapi tak payah percaya la Su ya… Just info untuk Su je tu. Tapi eloknya beli kereta baru la Su. Cari yang selesa sikit. Kereta tu dah lama.” Semakin pelik ayatnya ku perhatikan.

“Hahaha… tak ada keperluan untuk beli kereta baru lagi la Hj.” Aku berdalih.

“Jual yang lama dan beli yang baru. Kira keperluan la tu. Sebab Su atau suami memang akan guna kereta kan? Kalau tambah kereta tu lain la.” Aku tak menjawab. Tukar kereta? Alasan untuk orang yang banyak duit. Aku? Akan setia dengan yang lama selagi ia tak buat onar.

“Haji tukar kereta sebab nombor ke?” Aku menyoal dia, cuba mengalih haluan bicara.

“Ehh… tak de lah. Kebetulan memang nak tukar kereta.” Cuba menepis andaian yang mungkin aku buat agaknya.

“Kalau boleh la, lain kali tak perlu lah haji cerita pasal nombor ong atau tak ong ya! Nanti orang terpengaruh secara tak langsung.” Aku tak dapat menahan diri. Di samping berusaha untuk menahan kata-katanya dari menggugat hati ini. Ya Allah… Lindungi hatiku ya Allah. Jangan sampai terpengaruh oleh kepercayaan tak berasas dan mencari alasan untuk menukar kereta.

“Laa… kalau tak percaya, tak payah la. Bukan niat saya nak meramal pun. Sekadar berkongsi info je.” Sedikit nada keras dapat saya kesan dari tulisannya.

“Sebenarnya kan haji… konsepnya sama dengan apa yang kita bincangkan. Kalau haji tak yakin dengan investment nih, tak kan haji nak bercerita dengan saya kan…? Dan kalau saya tak yakin dengan produk Unicity yang saya guna, saya tak akan bagitahu haji. Betul tak?” Aku mengingatkan kembali perbualan awal kami. Bermula dengan bertanya khabar, sehingga cerita kesihatan, kewangan, pelaburan dan perkhabaran kawan-kawan. Orang berkedudukan dan berpengaruh seperti dia memang banyak topic yang boleh dibualkan.

“Su dah banyak dapat duit gamaknya dari orang-orang yang sakit. Ye lah…jual produk kesihatan lah kata kan.” Terasa darah naik ke muka bila membaca balasannya yang ini. Menghiris. Aku mengambil kesempatan dari orang sakit? Kedengarannya seperti aku suka kalau orang sakit kerana mereka boleh dijadikan ‘mangsa’. Ya Allah… begitukah pandangan mereka selama ini?  

“Saya yakin apa yang Allah bagi, rezeki setakat usaha yang dibuat.” Aku masih cuba bertenang. Masih berusaha mengawal jejari dari menaip kata-kata setajam belati.

Aku menyambung; “Saya tak ada niat nak mengambil kesempatan dari orang yang sakit. Sekadar memberi pilihan untuk orang memilih cara mana dan produk apa yang mereka yakin, mampu dan mahu. Samada untuk rawatan atau pencegahan. Tak pernah paksa orang untuk beli." Noktah seketika. Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Tak pernah keyakinan itu tergugat. Namun setiap kali ada yang sudi membeli, aku sertakan doa agar Allah membantu usaha orang yang mengamalkannnya. 

"Kesihatan kita ni pun rezeki jugak.  Alhamdulillah… sebelum makan supplement ni pun, Allah berikan saya kesihatan yang amat baik. Dah lama benar tak makan ubat hospital. Berbelas tahun rasanya. Cuma sekarang ni, saya makan supplement atas dasar nak memelihara kesihatan dan mencegah. Ye lah… umur semakin banyak, banyak penyakit rajin nak menziarah….” Penjelasan yang panjang lebar. Mengharapkan agar dia faham niat yang sebenar.

“Saya sekadar bercerita, sebab haji bagitahu yang haji baru keluar hospital. Kot haji rasa nak cari alternative lain selain dari rawatan kat hospital. Lagipun kos hospital swasta mahal. Itu je.” Saya menambah sedikit lagi, bila responnya sedikit lambat.

“Tak pe lah Su… Duit hasil pelaburan saya banyak dah dapat. Belanja hospital tak ada masalah sangat. Alhamdulillah… Saya tak susahkan sesiapa pun. Dan saya pun sama jugak Su, cerita sebab nak kongsi kelebihan melabur dalam Bxxxxxn ni. Tak de lah Su pening-pening nak jual barang. Duit setiap hari masuk!” Angkuhkah dia kerana diberi Allah rezeki yang melimpah ruah? Aku menggeleng kepala… mahu menepis buruk sangka yang ditiup ke minda. 

Lemah. Mudahnya aku berprasangka.

“Rezeki Haji nampaknya di situ. Alhamdulillah. Tumpang rasa lega bila tahu segalanya mudah bagi haji. Rezeki kita diberikan Allah dengan cara berbeza. Saya serahkan pada Allah untuk menilai hasil usaha saya.” Ayat apakah ini? Hipokritkah aku menulis apa yang berbeza dari yang terlintas di minda. Ya Allah… ampunkan kelemahan hambaMu ya Tuhan….

“Hehe… selalu je cakap berserah pada Allah… Memang la semua orang faham sebab kita orang Islam. Su ni macam orang Tabligh pulak, sikit-sikit... jalan Allah…”  Terkasima. Tabligh? Hahaha…

“Haha… ke situ pulak haji nih. Saya bagitahu apa yang saya percaya dan yakin. Maaf la kalau haji rasa macam nak berdakwah pulak. Saya tak suruh pun haji fikir macam saya” Aku cuba untuk kembali berbicara seperti biasa.

“Erm… Kalau bercakap dengan Su, memang la tak habis. Tak pe lah… saya kat bank nih, nak ambik duit Bxxxxxn. Nak beli laptop.”

“Ok lah haji. Selamat berbelanja ya…”

Alhamdulillah… akhirnya perbualan yang panjang itu tamat juga… Lega.

Sedikit terluka dengan kata-katanya tapi cepat-cepat aku menarik nafas dan beristighfar. Dia bercakap melalui pengalaman, melalui pemerhatian. Tapi yang salah tetap salah. Percaya bahawa nombor kenderaan memberi tuah tak ada bezanya dengan membeli nombor sport toto dan mengharapkan kemenangan. 

Perjudian tanpa sedar. 
Astaghfirullah….. 

Apr 29, 2018

Blog

Lepak di hotel sambil menunggu suami pulang dari tugasannya sebagai auditor jemputan, membolehkan saya mengadap komputer agak lama. Maklumlah, bila berada di rumah, banyak urusan yang harus diselesaikan, berderet senarai tugasan yang perlu disempurnakan.

Melihat kembali catatan lama membuatkan segala macam perasaan bercampur. Sedar tak sedar, sudah lebih 10 tahun saya bergelar blogger. Sebenarnya lebih lama dari itu, cuma blog yang terdahulu telah saya kebumikan tanpa nesan.

Saya mengambil peluang untuk mengintai teman-teman blogger yang lama. Ada yang blognya telah dilupuskan, diklik tapi entah kemana-mana perginya, ramai juga yang 'koma', kaku... mungkin akibat kesibukan rutin harian sehingga tak mampu lagi nak menitip barang sebaris ayat, atau mungkin juga' berpindah rumah' tanpa meninggalkan alamat baru. Yang pasti, saya tak mampu mengesan di mana mereka sekarang. Andai bertemu kembalipun, mungkin sudah tidak mampu dikenali lagi. Ataupun pemiliknya sudah kembali menemui Ilahi... Itu juga tak dapat dipasti.

Setiap dari kita ada kesudahan yang jelas. MATI.

Cuma andai kata suatu hari nanti blog saya ini bisu atau koma, mungkin Allah telah hentikan ilham yang Dia pinjamkan... ataupun, mungkin juga hayat saya sudah sampai kegarisan penamat tanpa saya sempat mengucapkan selamat tinggal dan memohon maaf....

Ye lah kan... Mati tak mampu kita rancang... lalu.... perlukah saya mengucapkan selamat tinggal in advance?

Apr 28, 2018

Selamat Tinggal

Leka.
Ku lihat kereta bersusun-susun di atas jalan raya.
Sekejap lagi kami akan menyertai kalian. 
Pertapaan V didepan istana berakhir sudah. 
Alhamdulillah.
Selamat Tinggal... 

Apr 27, 2018

Kabur

“Kau percaya ke aku yang buat keje tu?” Soalan itu dijawab dengan soalan. Dan jawapannya terlalu payah untuk ditafsirkan.

Dia yang dikenali dulu, bukan begitu orangnya. Dia telus dalam menjalankan tugasnya. Bertanggungjawab dan bersemangat. Sentiasa positif. Namun begitu, tak semua orang menerima kelebihan dan kebaikan itu dengan dada yang lapang, lalu menyokong dan terus memberikan galakan.

Mungkin ada asap beracun yang menyelinap, mengaburi matlamat. Dan tak mustahil juga ada bisikan yang mampu membuatkan manusia berubah. Yang terhasil dari ketidaksempurnaan kita sebagai manusia. Yang terbentuk akibat kesilapan kita mentadbir keperluan dan keinginan. Yang akhirnya membalut situasi dengan pandangan mata orang yang cukup menyakitkan.

“Aku kesal sebab tak bertanya khabar langsung. Lepas resign, tak berhubung langsung dengan dia. Tak sangka cabaran hidup dia begitu hebat. Lepas satu, satu dugaan datang.” Naj mengeluh panjang. Tak ditemui jalan penyelesaian. Tak dijumpai laluan untuk membuka simpulan. Nak di undur, memang mustahil. Nak dikubur, helaan nafas masih berdesir.

Usah dipersoalkan kenapa dan mengapa, kerana setiap yang berlaku ada sebab dan pengajaran disebaliknya. Jangan ditafsir dan dinilai diri dan ukuran maruahnya, sekalipun banyak pendapat diperdengarkan dan bukti dipaparkan.  

Zaman ini zaman fitnah, zaman yang membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Zaman teknologi yang boleh mengubah bukti. Yang palsu kelihatan real, dan yang benar dikaburkan. Kita bukan hakim atau juri yang ditugaskan untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan hujahan dan bukti yang disiarkan. Kita hanya manusia biasa yang ada ketika silap membuat perhitungan. Dia juga sama. Yang tahu hanya Allah...

Bukan membela, tapi berkecuali. Andai berdosa, mohonlah keampunan dan mintalah disembunyikan keaiban. 

Andai benar, mohon Allah permudahkan penyelesaian dan dikekalkan kita pada jalan kebenaran. Bukannya meminta agar dikembalikan segala keburukan kepada yang mencemuh dan memfitnah. Kerana tidak akan muncul kebaikan jika keburukan dibalas keburukan dan dendam dipanjangkan. 

“Semahir manapun kita dalam bidang kita, setinggi manapun ilmu yang kita miliki, sehebat manapun kuasa yang kita ada, tak akan dapat membantu kita menyelesaikan masalah kalau tanpa izinNya. Kadang tu, kerana kelebihan itulah kita di uji, kerana Allah nak tahu adakah kita masih sedar yang kita ni pada dasarnya adalah hamba… yang meminjam segalanya dari Dia… yang mana kalau kita lupa bahawa Dia mampu menarik segalanya dengan sekelip mata, kita memang tak mampu melakukan apa-apa… ” Kata-kata ustazah terngiang ditelinga. Terasa kerdil yang amat. Kecil…. lebih kecil dari zarah… Lemah… lebih lemah dari selembar bulu yang diterbangkan angin petang…

Semoga sedikit ruang masa yang Allah berikan, mampu digunakan untuk muhasabah diri. Jangan dicari salah siapa, jangan diusul apa puncanya, jangan mengeluh setiap masa. Tapi sebaliknya gantikan ia dengan istighfar… basahi bibir dan hati dengan zikrullah… kerana dengan ikhlasnya hati menyerah, akan dibuka jalan penyelesaian seluas langit yang terbentang. 

Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah kerana hidup kita ini, dalam genggamanNya… 

Allahhuakbar!!!...

Apr 20, 2018

Barokah


“Esok akak akan bertolak ke Mekah, nak buat umrah…” Bisiknya ke telingaku dengan senyuman lebar. Aku ternganga, terkejut dan teramat teruja. Terasa baru setahun dua yang lepas dia ke sana, kali ni ke sana lagi? Ya Allah… kerapnya Kau menjemput mereka kerumahMu. Aku cemburu. 

Kak Faridah dan Abg Aziz, mereka ku kenali hampir sepuluh tahun yang lalu, saat diri ini mula belajar bertatih mengisi masa dan hati yang kosong di rumah Allah. Masjid biru yang tersergam indah itu dihampiri dalam usaha mencari pengisian dalam kehidupan yang di rasakan amat suram, kurang dan kosong. Ada sesuatu yang tidak kena, ada aturan yang tak sempurna.

Mendaftarkan diri dikelas pengajian bersijil Masjid Shah Alam menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang berbeza usia. Mereka berada diperingat kematangan yang amat mengagumkan, penuh dengan  pengalaman kehidupan dan memiliki segalanya. Tapi kami mempunyai matlamat yang sama; mencari ilmu agar kami lebih dekat dengan Allah dan Rasululllah.

“Su nak panggil apa ya?” Awalnya terasa sedikit janggal bila bergaul dengan mereka. Perbezaan usia dan latar belakang paling ketara. Ramai yang telah pencen sedangkan diri ini belumpun sampai sedekad bekerja.

“Panggil apa-apapun boleh, panggil kakak pun boleh, nak panggil makcik pun tak pe.” Katanya tersenyum.

“Su panggil kakak lah ye. Biar akak rasa muda…” Usikan pertama dengan senyuman paling manis cuba diberikan. Dengan usia begitu, jelas mereka hanya sedikit muda dari ibu mertuaku sendiri.

Habis pengajian bersijil, kelas khas kami mohon diadakan dengan guru pembimbing, ustaz Burhan. Pelajarnya kebanyakannya adalah suami isteri yeng telah pencen. Aku dan suami adalah pelajar yang paling muda. Alhamdulillah, diberikan ruang oleh Allah untuk bersama di majlis ilmu walaupun siangnya kami sibuk dengan tugasan.

Semenjak mengenali mereka, hidup terasa begitu terisi. Siang sibuk dengan kerja, malam dipenuhi dengan pengajian dan kemudian bersembang sambil membuka bekalan makanan yang disediakan Kak Faridah. Paling tidak, ubi rebus cicah sambal dan kopi panas. Lebih bermakna dan membahagiakan apabila suami masing-masing melangkah seiringan disepanjang perjalanan persahabatan ini.

Mereka seluarga tak lokek dan sentiasa cuba meletakkan tangannya di atas, tangan si pemberi. Bersusah payah menyediakan dan menghantar “supper” untuk kami yang tergeliat lidah membetulkan sebutan ayat-ayat cinta Allah… sehinggakan pak guard juga turut mendapat tempias rezeki makan lewat malam kami. Tak hairanlah jika rezeki Kak Faridah sekeluarga memang murah.

Kak Faridah hanya surirumah. Abang Aziz hanya berniaga digerai kiosk di tepi tasik Shah Alam, menjual keropok dan minuman. Mereka bekerja hanya 5 hari seminggu untuk menanggung anak-anak seramai 7 orang. Dan ketika musim hujan, mereka terpaksa menutup operasi kerasa keadaan cuaca yang tidak sesuai. Pendek kata, cuti mereka lebih banyak dari kita yang bekerja makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Pendapatan mereka mudah terjejas dan tidak menentu. Tapi segalanya berjalan dengan mudah kerana mereka suami isteri mengamalkan ‘hidup dengan kadar kemampuan’.

Pandangan luaranku menafsirkan, mereka berjaya membentuk kehidupan yang sederhana tapi bermakna. Rezeki yang berkat, dari sumber yang jelas dan halal, menghasilkan anak-anak yang ringan tulang membantu di gerai diwaktu siangnya, yang sedia memberi sedikit masa untuk mengurangkan aliran keringat ayah bonda… malah lebih menyejukkan hati bila sesekali ada anak-anak kak Faridah yang turut menghadiri kelas malam kami, memperbaiki bacaan Quran dan mendalami ilmu tajwid.

Kak Faridah dan Abg Aziz yang kami kenal tak pernah bersungut tentang kesusahan hidup, seolah tak pernah ada istilah dugaan atau cabaran dalam kehidupan mereka.

Bila ditanya, dia akan selalu menjawab; “Mana ada kehidupan yang tak ada cabaran… mestilah ada ketika untuk merasa perit dan ada masa airmata tumpah. Tapi, kita kan ada Allah…”

Lalu aku menyimpulkan…. Syukur mereka selalu lebih sehingga menutupi segala kepahitan yang mereka lalui. Agaknya kerana itulah, rezeki mereka untuk ke Tanah Suci selalu melimpah ruah, jemputan Allah buat mereka selalu tiba. 

Dalam cemburu, doa dari hati sentiasa bergema, mengharapkan agar kami juga mampu mengikuti jejak langkah mereka, hidup dalam ketenangan sehingga tiba masa kami dijemput menghadapNya….

Apr 15, 2018

Reunion : Kembali Mengikat Kasih.


Reunion. Pertemuan yang dirancang untuk satu kumpulan kenalan yang satu ketika dulu pernah melalui titik atau garis masa yang sama. Itulah definasi yang difahami. 

Sahabat yg kemudiannya terpisah dek tuntutan hidup dan tanggungjawab. Kalau dulu status dan matlamat kami sama, sebagai pelajar yang sama-sama mengejar ilmu, mengorak langkah seiringan demi cita-cita, kini  segalanya berbeza.

“Zeck, saya segan sebenarnya nak jumpa kawan-kawan lama nih. Ye lah… tak ada pencapaian yang boleh dibanggakan…” Terasa kerdil. Kalau tingginya  jawatan menjadi pengukur kejayaan, diri ini jelas tidak punya kedudukan. Kalau ketebalan poket dan kereta yg dipakai menjadi ukuran kesempurnaan hidup, nyata amat diri ini jauh ketinggalan. Kalau bilangan garis di wajah penanda lanjut usia yang mahu dibandingkan, mungkin diri ini terlebih memilikinya… kalau… kalau…. kalau… semuanya bermain di fikiran tanpa ada noktah. Sukarnya nak mengawal hati dan fikiran. Debarannya lebih hebat dari masa mula-mula menjejakkan kaki ke IPTA, tempat dimana carta hidup kami bersilang.

“Alahh… Tak payah nak segan-segan. Mereka tu sama macam dulu jugak…” Kata Cik Zeck cuba menyapu kerisauan tak berasas.
 
Bimbang dinilai dengan segala kekurangan yang ada, risau andai kemesraan dulu telah berlalu dek hakisan masa. Tapi digagahi jua kerana yakin Allah akan bantu menjaga anggota, menahan lidah agar tidak tersalah kata, mengawal telinga dan mata dari mendengar dan melihat sesuatu yg tak sepatutnya, memimpin hati agar jangan mudah berprasangka. Demi Allah, silaturrahim ini ingin kembali ku jalin agar bila tiba masa kami dibangkitkan selepas sehabis nyawa di dunia, kami mampu saling berpaut dan berpimpin tangan ke syurga.

Kaki melangkah mengekori Cik Zeck, sahabat yang bermurah hati menawarkan tempat bermalam, malah sanggup menghantar dan mengambil dari lokasi kenduri yg dihadiri sebelum ini. Alhamdulillah…. Semoga kebaikan hatimu dibalas Allah dengan sesuatu yang jauh lebih bernilai.
Mata melilau melihat susunan hidangan buffet yang tersusun aturannya. Warna kek yang berlapis-lapis, berselang seli dengan cream pelbagai warna, jelas mengundang selera. Meja bulat yang ditempah telah tersedia menunggu kami memenuhinya dengan nama yang salah dieja. Alahai Gee… Mereka dah tukar nama kau la Gee… Haha...

“Assalamualaikum!!!”                    
                   
“Waalaikumussalam… Intan!!.. Alhamdulillah… Sampai jugak kau ya…” Kami berbalas pelukan. Senyuman manisnya masih sama seperti dulu.

Kemudian satu demi satu sahabat yang dirindu muncul di depan mata. Gee sampai ke tempat pertemuan kami diiringi anakanda manisnya, Hannah. Kemudian Amy, Naj dan akhir sekali Maz. Kami berpelukan erat, terasa seolah mahu diqadakan pelukan yang terlepas berbelas dan berpuluh tahun yang lepas. 

Meja kami riuh dan rancak dengan pelbagai kisah…. Meriah dan gamat. Saling bertanya khabar, bertukar cerita, berkongsi rasa, mengusik dan tertawa bersama. Tiba-tiba aku rasakan seolah kami kembali ke kolej TEN. Intan masih lagi nakal, bualnya masih rancak dan kelakar.  Cik Zeck, Gee dan Amy juga sama, tetap ramah bercerita dengan gaya ketawa yang indah mesra. Naj seperti biasa, terserlah kaliber bila bersuara dan Maz kekal dengan lembut dan ayunya bila berkata-kata.

Aturan hidup kami jelas berbeza. Laluan dan pengalaman kami tidak sama. Apa yang diraih dan diperoleh juga jelas ketara. Yang masih sama adalah sikap dan keramahan mereka. Malah terasa diri dirai bila adinda bungsu kami, si manis Amy bersusah payah menyediakan cenderamata untuk setiap orang. Terima kasih sahabat, ianya pasti akan ku gunakan sebaik mungkin.

Masa berlalu begitu cepat. Kebimbangan yg awalnya bersarang semakin menghilang sepertimana hilangnya satu persatu hidangan di dalam pinggan kami. Semua menu yang disediakan menyelerakan. Nikmat lidah yang merasa pelbagai jenis masakan yang Allah berikan tak terhitung dengan jari.

Pertemuan yang singkat, dengan pelbagai berita padat. Terlalu banyak yang ingin dikisahkan sehingga jejari ini tak cukup pantas nak menyusun ayat. Andai diizinkan Allah, pasti akan terselit dalam catatan akan datang. Alhamdulillah… syukur Ya Allah kerana mempermudahkan segalanya. 

“Su, kau mampu menulis dengan baik, kau tulislah kisah-kisah hidup manusia. Kita orang ada banyak cerita yang boleh di kongsi. Naj lagi lah banyak sebab dia selalu berhadapan dengan ramai orang….” Aduhai… tingginya harapan untuk seorang insan yang hanya tahu menulis sekadarnya sahaja.

Sedikit kata perangsang dari kalian… terbenih harapan di dada, tapi kebimbangan juga hadir bersama. Ilham bukan milik diri, ianya adalah dari Allah Yang Maha Pemurah, Dia yang sesungguhnya memberi sedikit kemampuan untuk mengolah kata-kata, menyusun ayat yang tak seberapa, yang juga dengan izinNya mungkin mampu menyentuh hati sesetengah pembaca. Blog ini yang lahir hasil dari rasa mahu berkongsi ilham dan pengajaran dalam kehidupan, yang rentaknya tak konsisten, adakalanya menyepi, ada ketika berbunyi… kini terasa ingin kembali di isi.

Malu bila dilabelkan sebagai penulis, kerana tidak pernah ada karya yang pernah dilahirkan, sekadar luahan suara melalui jejari yang tak jelas temponya. Namun, andai ada kebaikan yang dibawa, mohon padaMu ya Allah, ilhamkan daku dengan sebaik kata, tanpa menyakitkan hati sesiapa, tapi memberi pengajaran pada yang sudi membaca. Semoga sedikit perkongsian tentang apa yang difikirkan, tentang perjalanan kehidupan yang punya cabaran tersendiri, mampu memberi kekuatan pada yang memerlukan…. 

In Shaa Allah…