May 29, 2009

Cinta Pandang Pertama...

Selesai menunaikan solat dan makan malam, perjalanan ke Madinah diteruskan. Mutawif yang mengiringi kami ialah Ustaz Jaafar Ishaq yang berasal dari Indonesia dan telah tinggal di Makkah selama lebih dari 10 tahun. Memang berpengalaman.

Beliau memberitahu secara ringkas ibadat dan ziarah yang bakal dilakukan bersamanya. Hadirnya dalam kumpulan kami adalah sebagai penunjukcara, jurucakap dan pakar rujuk sekiranya kami ada sebarang kemusykilan. Dari raut wajahnya, saya mengagak yang beliau berusia dalam lingkungan 30-an. Khabarnya beliau masih seorang pelajar. Pelajar dalam ertikata masih menuntut ilmu dengan para ulamak yang ada di sana.

Sesekali, Ustaz Jaafar akan bercerita tentang kisah-kisah di Tanah Suci yang berlaku di situ. Cara yang cukup berkesan untuk menyuntik semangat kami yang datang dari jauh. Katanya, dugaan pertama kami ialah keletihan akibat perjalanan jauh. Malah ada jemaah yang mungkin menghadapi masalah kesihatan akibat perubahan cuaca. "Mohon saja pada Allah agar terpelihara kesihatan semasa berada di sini. Itu paling berkesan." Katanya bila di tanya apa boleh kami lakukan untuk memastikan kesihatan terjaga. Tak lupa dia berpesan pada kami agar sentiasa menjaga hati, kelakuan dan percakapan sepanjang berada di Madinah dan Makkah.

"Sekiranya di tempat kita, kalau sekadar berbisik di hati mahu berlaku jahat, Allah tak akan mencatatkannya sebagai dosa, apatah lagi menghukum niat jahat yang dilakukan, tapi di sini tidak begitu. Allah akan hukum biarpun hanya terlintas jahat di hati." Bayaran 'cash' dari Allah. Teringat istilah yang sering digunakan oleh Ustaz Daud untuk menjelaskan perkara yang sama.

"Itu sebenarnya teguran dari Allah. Ingatan dari Allah tentang hati kita yang tidak bersih tika kita menjadi tetamuNya. Satu latihan untuk kita, supaya sekali-kali jangan punya niat tak baik, apatah lagi melakukannya. Jadi hati-hatilah, bersihkan fikiran dan betulkan niat, jangan sampai kita 'ditegur' dengan satu teguran yang tidak enak..." Pesannya lagi. Slang dan loghat Indonesia yang cuba ditinggalkan, sesekali masih kedengaran.

"Masjid Nabawi dan Masjidil Haram adalah dua tempat yang amat mustajab sekali untuk berdoa. Adakalanya bukan doapun, sekadar satu lintasan fikiran, Allah akan kabulkan. Sebaiknya kita memohon pada Allah, agar dijaga diri kita dari sebarang keburukan yang kita tahu dan yang kita tak tahu. Yang baik di mata, tak semestinya baik buat diri kita. Yang buruk itu mungkin baik sekali buat kita...."

Kami sampai di hotel bilamana jarum panjang dan pendek jam sudah hampir mendekati angka 12. Ustaz Jaafar membacakan nama dan menyerahkan kunci kepada wakil bilik. Proses yang cukup cepat, memandangkan semuanya telah disediakan sedari awal.

Memandangkan saya mengambil pekej bilik yang paling asas (baca: murah), maka saya dianugerahi dengan roommate yang ramai. Menantu perempuan dengan mertuanya, dan anak perempuan dengan ibunya. Dan saya. 5 orang. Suami saya juga sama, 5 orang sebilik.

"Hantar beg ke bilik dulu dan kita jumpa balik kat lobi dalam masa 15 minit." Dia memberi arahan.

"Nak jumpa kenapa pulak? Dah lewat kan?" Saya kehairanan. Semua orang kelihatan begitu letih. Bayangan katil membuatkan saya rasa tak sabar untuk merebahkan diri.

"Kita pegi la ke masjid kejap. Abang nak pastikan esok abang tahu mana nak tuju untuk solat Subuh. Kalau boleh nak masuk kejap untuk solat sunat." Jelasnya. Mendengar katanya itu saya jadi bersemangat. Segala keletihan terasa hilang tika itu juga.

"Abang nak solat kat Raudhah? Nanti doakan untuk Su ye!" Mata saya bersinar. Penuh harapan.

"Memanglah. Itulah sebabnya nak pegi malam ni jugak."

Tepat pukul 12 malam, kami berjalan menuju ke Masjid Nabawi yang jaraknya hanya 100 meter dari hotel tempat kami menginap. Alhamdulillah. Cukup dekat.

Kali pertama melangkah masuk ke dalam kawasan masjid melalui pintu 25, mata saya seolah tak mahu berkelip. Menikmati cinta pandang pertama di tanah bertuah Madinah Al-Munawwarah. Binaan masjid yang cukup indah, memang memukau pandangan. Lampu-lampu yang banyak terpasang, membuatkan kami rasa seolah malam belum bertandang. Pintu masjid berwarna keemasan tertutup rapat, menandakan waktu ziarah telah di hadkan, terutama untuk kaum wanita. Saya kagum melihat payung besar yang unik sekali bentuknya. Begitu memukau. MasyaAllah... itu baru pandangan di luar masjid. Di dalamnya pasti lebih mengagumkan lagi.

Masih ramai yang berkeliaran di sekitar laman masjid. Malam tidak menghalang umat Islam untuk melepaskan rindu pada Masjid Nabawi. Lelaki dan perempuan, bersendirian atau berkumpulan. Ada yang sekadar duduk dan merenung masjid sambil berzikir, dan ada yang merebahkan diri merenung langit malam yang begitu lapang. Ada juga yang lena berbantal lengan, melelapkan mata barang seketika, berehat untuk mengumpul kekuatan. Anak-anak kecil masih ada yang berlari bergurau senda dan ibu bapa mereka hanya membiarkan. Saya leka menikmati malam yang cukup nyaman.

Hampir separuh bangunan masjid kami kelilingi, mata kami menangkap satu pintu yang masih terbuka. Orang ramai keluar masuk dan cahaya yang terbias dari dalam masjid benar-benar indah.

"Itu pintu utama agaknya. Masih ada orang keluar masuk. Kata ayah, hanya ada dua atau 3 pintu yang memang dibuka setiap masa. Pintu yang paling dekat kalau nak pegi ke Raudhah..." Katanya memecah sunyi. Tips-tips yang ma dan ayah berikan sebelum kami bertolak ke sini, nyata terpahat kemas di ingatannya.

"Yang tunggu kat luar kejap, boleh tak? Abang nak masuk dalam." Sambungnya lagi. Saya mengangguk. "Abang jangan lupa, doakan untuk Su!" Pesan saya lagi. Dia mengangguk sambil membuka selipar, berpesan agar saya menjaganya sementara dia masuk ke dalam masjid.

Melihat dia hilang di sebalik pintu masjid, mata saya melilau mencari tempat untuk berlabuh. Saya kemudiannya menghampiri satu tiang besar (yang merupakan tiang lampu yang banyak terdapat di kawasan masjid Nabawi). Seorang perempuan Arab berpakaian serba hitam sedang menatap buku di tangan. Mungkin Al-Quran. Tak lama kemudian ada lelaki Arab menghampiri dan mereka bercakap dengan bahasa yang langsung saya tak faham.

Melepasi waktu yang tersedia, saya hanya berzikir. Hati saya berdoa tanpa henti....

"Ya Allah... terima kasih Tuhan, kerana menjemput aku ke sini. Terima kasih kerana membukakan pintu hati suamiku untuk menerima jemputanMu. Ya Allah, aku datang dengan harapan, aku datang membawa pesanan saudara dan teman. Kau izinkanlah aku untuk solat di masjid kekasihMu ini, izinkan aku untuk melakukan ibadat disini. Aku mahu memberi salam pada Rasulullah... menyampaikan kiriman selawat dan salam pada Baginda dengan jarak sedekat mungkin dengan makam...." Terbayang wajah-wajah yang mengirimkan selawat dan salam buat Baginda Rasulullah. Teringat pesan teman-teman dan saudara mara yang minta diperdengarkan permintaan mereka di tanah barakah ini.

"Aku ingin menunaikan solat di Raudhah, aku mahu berdoa, memohon ampun dan meminta pertolonganMu... Ya Allah, diriku dalam kawalanMu, diriku adalah milikMu, singkatkanlah tempoh haidku kali ini. Sesungguhnya hanya Engkau yang dapat membantuku.... Tolonglah aku Ya Alllah... Bantulah aku ya Rabbi..." Berulang-ulang kali saya perdengarkan doa itu di dalam hati. Sesekali meluahkannya dengan suara berbisik, yang hanya mampu didengari oleh telinga sendiri. Saya merayu, merayu dan merayu... meminta belas kasihanNya, mengharapkan keajaibanNya. Pipi saya basah dek airmata.

10-15 minit kemudian, kelihatan suami saya berjalan menghampiri. Wajahnya ceria.

"Abang dah tengok mimbar Rasulullah. Nampak tiang-tiang yang ma dan ayah ceritakan tu. Abang dapat solat kat kawasan Raudhah!" Katanya dengan nada yang cukup gembira. Teruja.

"Ye ke? Alhamdulillah...." Syukur Ya Allah. Hati saya turut berbunga melihat kegembiraan yang terhias di wajahnya.

Dia seronok bercerita dan saya mendengar penuh leka. Tak lama, kami melangkah untuk pulang. Berjalan mengelilingi masjid dengan perasaan yang terlalu sukar untuk digambarkan. Melihat kubah hijau yang menjadi tanda makam Rasulullah, hati saya kembali membisikkan doa dan harapan. Meminta pada Allah agar diberikan peluang untuk menziarahi makam itu dengan sehampir mungkin.

Jam telah melepasi angka 1. Mata saya masih segar walaupun badan sedikit letih. Saat orang lain telah merebahkan diri di katil empuk, kami menikmati indahnya Masjid Nabawi. Esok, saya berazam untuk ke sana lagi. Melangkah bersama-sama mereka yang mahu menunaikan solat Subuh. Walaupun hanya sekadar pemerhati dari luar, saya mahu menyertai mereka. Merasai indahnya perasaan bila dibaluti sejuk pagi di Madinah...

Ya Allah... pulihkan tenagaku. Berikan kekuatan padaku....

Nota : Saya sebak... Mengingati kembali perasaan lemah tika itu. Benar-benar rasa tidak berdaya....

May 27, 2009

Jalan-jalan sambil makan???

Setibanya di Jeddah, jemaah dibawa dengan bas menuju ke Madinah. Sepuluh minit perjalanan, bas berhenti seketika di satu kawasan pekan. Kami mengambil peluang untuk membeli serba sedikit bekalan memandangkan perjalanan menuju ke Madinah akan memakan masa selama 6 jam.

Teringat deretan pesanan dan saranan yang diberikan tentang makanan dan minuman bila berada di Madinah dan Makkah.

"Sampai sana nanti beli air mineral water. Jangan buang botolnya. Nanti bila pegi masjid, isi air zamzam. Kat sana nanti banyakkan minum air zamzam. Minum sepuas-puasnya. Airnya memang sedap."

"Cubalah jus mangga dan jambu batu kat sana. Tak macam kat tempat kita ni. Cair je... Jusnya memang pekat dan sedap sangat. Memang pure juice."

"Aiskrim kat sana best sangat. Memang lain lah."


"Belilah apa yang abang rasa nak beli. Tapi tak payah beli banyak sangat. Ustaz kata kejap lagi kita akan berhenti makan pulak." Jawab saya bila di tanya suami.

Berpusu-pusu jemaah turun dari bas. Suami saya adalah antaranya. Sebentar kemudian dia naik dengan satu beg plastik di tangan. Segelas fruit cocktail dengan warna yang cukup menarik, sebungkus kebab dan dua botol air mineral.

"Jus mangga ada, tapi fruit cocktail ni nampak sedap sangat. Nak abang beli jus mangga jugak ke?" Tanyanya memastikan kemahuan saya. Saya menggeleng.

Memang enak. Rasa sejuk segar menjalar memenuhi segenap saraf bila saja fruit cocktail itu menelusuri kerongkong. Memang tak rugi membelinya.

"Kebab ni tak de pilihan sos macam yang kita makan kat Australia dulu. Tak tahulah sedap ke tak." Katanya sambil menyuakannya ke mulut saya. Sedap jugak!

Bas kembali bergerak. Saya cuba untuk memperbanyakkan zikir tapi gagal. Memangnya saya punya satu kebiasaan yang sukar nak di ubah. Alah dengan kenderaan yang bergerak diatas jalan raya. Mata saya memang mudah tertutup, kecuali kalau saya yang memandu. Cepat saja saya dihanyutkan. Bagai dibuai dan didodoi, saya 'belayar' sehinggalah tiba-tiba bas berhenti untuk jamak solat maghrib dan isyak serta makan malam.

Kesal singgah dan menapak di hati. Rasa rugi kerana terlena, sedangkan saya sedang menuju tempat ibadat, seharusnya diperbanyakkan zikir dan selawat. "Astaghfirullah hal azhiim...." Beristighfar... beristighfar dan beristighfar. Hanya itu yang meniti di bibir, cuba menyembuhkan kesal yang semakin menebal.

Nasi Arab.
Hidangan yang simple tapi cukup menyelerakan. Nasi dengan lauk ikan goreng dan ayam panggang, berulamkan timun, tomato dan cili besar yang cukup pedas. Satu talam untuk 5 orang makan. Lebih dari mencukupi. Jemaah lelaki dan perempuan makan secara berasingan.

Selesai makan, suami saya keluar untuk basuh tangan. Saya masih leka menyuap hidangan enak ke mulut sendiri. (memanglah suap sendiri, kan?) Tak lama, dia kembali ke dalam restoran sambil menggaru pipi. Tersenyum. Kening saya berkerut. Ini mesti nak mengata lah tu. Hati saya berbisik, geram.

Teringat ayat yang selalu dia gunakan untuk mengusik saya; "Hujan pun dah berhenti, Yang bila nak berhenti makan?" Hakikatnya saya memang makan lambat. Menikmati kononnya. Dapat pulak makanan yang sedap, makan lebih sikit dari biasa, lagilah lambat jadinya.

Dia mundar mandir lagi. Dengan gaya yang sama. Kerutan di dahi saya bertambah. Tak lama. Ketawa saya berderai... Aduhai suami, dah kena perangkap penjual rupanya!

Di luar restoran, ada penjual cincin dan batu permata. Saya baru perasan, dia yang tak pernah memakai cincin, kini jarinya terhias dengan sebentuk cincin berbatu merah. Itu sebenarnya yang cuba nak ditunjukkan bila dia menggaru-garu pipi yang tak gatal tadi... :)

"Ngapa beli? Abang bukannya suka pakai cincinpun." Tanya saya bila kami kembali ke dalam bas.

"Saja beli, buat kenangan." Katanya sambil tersenyum lagi. Saya hanya tergelak bila teringatkan kelakuannya tadi.

Nota : Maaf, entry kali ini cukup ringan, malah rasanya tak ada ilmu yg boleh di kongsi. Sekadar catatan kenangan semasa dalam perjalanan menuju ke Madinah dan sekeping dua gambar yang sempat diambil, sekadar mahu membuatkan perut teman-teman blogger berkeroncong minta di isi. :D

May 22, 2009

Pelajaran sebelum 'terbang'...

Bismillah hirrahman nirrahim...

Beberapa kali saya terfikir, perlukah saya menulis tentang perjalanan dan pengalaman umrah saya di sini? Mampukah saya memberikan gambaran sebenar perasaan saya hanya melalui tulisan, sedangkan keindahan ketika berada di sana adakalanya tak terucapkan oleh kata-kata?

Memangnya saya tak mahu lupa perasaan tika pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Saya tak mahu lupa segala cerita indah yang saya dengari dari para mutawif. Dan paling penting saya tak mahu lupa segala ilmu dan ajaran yang saya kutip sepanjang laluan umrah saya. Sungguh, saya harap segalanya akan kekal di minda, di hati, di jiwa dan di fikiran saya sehingga saat terakhir saya berada di dunia ini.

Pengalaman di sana terlalu berharga. Segala yang saya lalui membuatkan saya berfikir, melihat betapa Allah mampu mengabulkan apa yang kita minta, sekalipun adakalanya ia hanya satu lintasan hati yang ringkas dan bersahaja. Andai ia baik utk kita, andai ia diminta dengan bersungguh dan ikhlas, Dia pasti kabulkan saat dan ketika itu juga.

Saya insan serba kekurangan, masih banyak yang perlu dibetulkan. Ibadat umrah ini antaranya saya jadikan sebagai kembara ilmu. Saya mahu melengkapkan diri sesempurna mungkin sebelum mengerjakan haji nanti, di samping saya mahu mengadu, merayu dan berdoa pada Allah untuk satu senarai permintaan yang terlalu panjang.

Penceritaan saya mungkin bercampur aduk corak dan gaya pengolahan, bergantung kepada mood dan apa yang saya mahu sampaikan. Malah, mungkin jugak tidak tersusun mengikut aturan masa. Jadi harapnya anda yang singgah membaca tak akan kepeningan! :D

Semoga catatan ini akan menjadi nota ilmu dan ingatan buat diri saya dan juga mereka yang sudi membaca.

**************************************************************************

Sesungguhnya hati saya cukup gundah. Sedih. Menyesal. Namun senyuman dan keceriaan tetap saya pamerkan buat ayah dan ma yang datang dari jauh untuk menghantar saya ke Tanah Suci.
Sehari sebelum keberangkatan, saya 'kebocoran'. Walaupun tarikh yang dipilih adalah dalam jangkaan diri berada dalam keadaan bersih, tapi mungkin kesan pengambilan ubatan hormon semasa menjalani rawatan IVF membuatkan jadual bulanan saya tidak menentu. Dan memangnya saya tak mahu lagi mengambil ubat-ubatan dari doktor, terutamanya untuk menahan kunjugan bulanan 'bendera merah'.

Sedih di hati hanya Allah saja yang tahu. Menyesal sungguh kerana melengah-lengahkan doa menahan / melambatkan haid yang diajar oleh Ustaz Daud Che Ngah. Mana mungkin hati saya tak gundah, bila memikirkan betapa ruginya saya jika tidak berpeluang beribadat ditempat penuh barakah itu. Satu solat di Masjid Nabawi bersamaan dengan 1000 kali solat di masjid biasa! Dan solat di masjid biasa adalah 27 kali ganda pahalanya berbanding solat di rumah! Dan solat saya selama hidup ini kebanyakannya hanya di rumah dan di pejabat...

"Sampai di sana jangan lupa berdoa agar darah cepat kering. Walaupun tak boleh solat, tapi duduklah di luar masjid dan berdoa. Mintak Nas berdoa kat Raudhah. Buat solat hajat kat sana. Ma dan ayah akan berdoa dari sini." Bisik ma ke telinga saya saat pelukannya erat memaut badan. Mata saya bertakung. Aduhai...

"InsyaAllah ma. Su akan buat apa yang ma suruh." Janji saya sambil mencium tangannya, memohon restu dan doa.

Penerbangan Gulf Air singgah di Bahrain dulu sebelum ke Madinah. Kami tidur semalaman di sana. Di Bahrain, semua jemaah ditempatkan di satu hotel yang jaraknya lebih kurang 15-20 minit perjalanan menaiki van yang telah di sediakan. Saya dan suami berkongsi satu apartment 3 bilik dengan Makcik Hamizun, Pakcik Mokhtar, Makcik Hajar dan Kak Siti.

Ilmu dan pengalaman mereka mengerjakan haji dan umrah cukup banyak. Tak lokek berkongsi segala kisah lalu, membuatkan kami mudah mesra. Dari mereka, kami perolehi tips-tips mendapatkan tempat mustajab. Malah diberikan doa menahan panas yang dibaca oleh Nabi Ibrahim semasa beliau dibakar.

"Masa kat Masjid Nabawi nanti, Nas ambik air zamzam dan bagi Su minum. Solat hajat jangan lupa. Cari kayu sugi, rendam dalam air dan minum. Bila minum tu, jangan lupa berdoa pada Allah. InsyaAllah, harapnya cepatlah abih." Pesan Makcik Hamizun berulangkali bila tahu situasi saya.

"Ada hikmah kita singgah di Bahrain dulu. Mungkin Allah nak bagi Su masa untuk keluarkan segala darah kotor sebelum mengerjakan umrah." Pujuk Makcik Hajar menenangkan saya yang bersedih. Ya Allah... begitukah perancanganMu? Maha Suci Allah... Hati saya berbisik. Semalaman di Bahrain, memberi saya peluang mengenali insan-insan yang begitu bermurah hati memberikan saya ilmu dan nasihat yang begitu berguna buat saya dan suami. Syukur Ya Allah...

Selepas makan malam, saya dan suami mengambil peluang untuk meninjau kawasan sekitar. Cuaca malamnya sederhana saja, seperti Malaysia. Tenang tanpa bunyi bising. Mungkin kerana tak banyak kenderaan yang lalu lalang. Tak lama merayau, kami kembali ke bilik untuk berehat.

Jam baru menunjukkan pukul 9.30 malam, tapi kami dah kehabisan aktiviti untuk dilakukan, selain dari bersembang dan berkenalan dengan jemaah lain. TV terpasang tanpa perhatian. Tak berminat untuk menonton siaran yang tak kami fahami butir percakapannya.

"Pegi lah tidur Su. Tidur awal, boleh bangun awal, boleh solat sunat tengah malam pulak. Makcik pun nak tidur awal jugak ni. Pakcik ni bukan sihat sangat." Kata Makcik Hamizun sambil mengangkat punggung dari sofa yang cukup empuk, di ikuti oleh Pakcik Mokhtar, suaminya.

"Ye lah makcik. Assalamualaikum." Kata saya akur.

Pukul 3 pagi, saya tersedar bila mendengar suami membuka pintu bilik untuk ke bilik air. Mata saya terasa segar, mungkin kerana tidur yang lena dan rehat yang mencukupi. Sementara menunggu suami menunaikan solat, saya mencapai buku panduan umrah, membaca dan cuba menghafal doa-doa ringkas yang elok dibaca sepanjang berada di Madinah dan Mekah nanti.

Selesai menunaikan solat-solat sunat, dia kembali merebahkan diri menyambung tidur. Saya pula ikut terlena bersama buku yang entah ke mana sudahnya.

Perbezaan waktu yang agak ketara membuatkan kami hampir kesiangan. Suami saya bersolat Subuh bilamana fajar sudah hampir menyuakan wajahnya sedangkan waktu tempatan baru menunjukkan pukul 5.10 pagi. Keliru sebenarnya. Tidak menyangka yang Subuh di Bahrain sebegitu awal!

6 pagi.
"Su! Kami turun breakfast dulu ya!" Terdengar suara dari luar pintu bilik. Awalnya!

Kami menyambung sembang semalam di meja makan. Dan baru saya tahu, rupanya bukan hanya kami yang hampir terbabas waktu Subuh, orang lain pun begitu juga!

***bersambung***

Nota : Sila klik di sini untuk mendapatkan doa menahan/menangguhkan haid buat sementara waktu.

Doa menahan panas Nabi Ibrahim akan saya cuba muatkan kemudian, insyaAllah. Saya cuma ada salinan doa bertulisan tangan sendiri yang amat buruk. Mungkin hanya saya yang mampu membacanya! :D

Ada sesiapa yang sudi membantu?

May 19, 2009

Pulang

Saya dah balik ke Malaysia. Ahad. Isnin terus kerja. Tak sempat berehat.

Teruja. Mulut sentiasa ingin bercerita dan bercerita tentang pengalaman di sana. Adik dan sepupu saya menjadi mangsa sebab merekalah antara yang terawal saya jumpa sekembalinya saya di sini.

Rindu. Saya belum puas berada di sana. Menitis air mata bila merenung sejadah yang bergambar Kaabah. Sayunya hati bila mengingatkan baru beberapa hari yang lepas saya berada disana.

Tempat dimana saya boleh berjemur di terik panas matahari tanpa merasa sakit kepala. Tempat dimana saya boleh merasa sejuknya sentuhan dahi mencecah lantai, nyamannya meresap dan tersebar keseluruh badan. Tempat dimana saya bermandi peluh, kebasahan seluruh pakaian tapi masih selesa berteleku di bawah matahari yg tegak tepat di atas kepala.

Tak sihat. Di sana saya kuat dan bertenaga. Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah Yang Maha Memelihara. Bila kembali ke sini, saya angkut virus batuk dan selsema bersama dengan kurma dan sedikit buah tangan dari sana. Harapnya demam ini tak melarat dan tak lama. Yang pasti ianya bukan selsema **** yang sedang hebat diperkata. ;)

Saya masih keletihan, mungkin kerana perubahan cuaca dan masa. Di sini musim panas, di sana pun sama, tapi panasnya nyata berbeza. Bila fikirkan panas, saya gentar memikirkan panas api neraka. Ya Allah, jauhi aku darinya.

Saya perlu kuat. Tak mahu manjakan diri, mengambil MC sesuka hati hanya untuk berehat di rumah semasa orang lain sibuk bekerja. Cuma yang pasti, saya akan minta cuti memasak dari suami untuk beberapa hari. :D

InsyaAllah. Saya akan bercerita. Berkongsi apa yang saya kutip di sana. Moga diizinkan Allah hendaknya.