Jul 19, 2019

Waqaf Buku BDC @ CCRC

Satu lagi amanah telah disampaikan. Waqaf buku BDC.

.....

"Abang, Hari ni lepas kelas di TTS Lundang, Su nak hantar buku kat CCRC Bachok, boleh ya?" Seperti biasa, suami kena approve jadual perjalanan harian saya, walaupun hanya untuk ke kelas pengajian di masjid.

"Jauh jugak tu. Pegi dengan sapa?" Selidik lagi.

"Su ajak kawan penulis jugak sorang." Jawab saya.

"Sapa?"

"Lin. Perempuan. Abang tak kenal. Memang tak pernah jumpa dia lagi." Jelas saya lagi.

"Ok. Hati-hati bawak kete. Jangan balik lambat sangat."

Approved!.. 😄

.....

Distinasi waqaf buku kali ini ialah Cure & Care Rehabilitation Centre, Bachok.

Berkali-kali terpaksa ditangguhkan pertemuan kami dek kesibukan.

Bila saya lapang, dia ada urusan. Bila dia free, saya pulak ada agenda yang perlu diberesi. Allahu, memangnya bila nak buat kebaikan, banyak sekali halangan.

Kami disambut mesra oleh Puan Siti Rugaya Ismail, Pengarah CCRC. Saya diberitahu, penghuninya  💯% adalah wanita yang berumur antara 17 - 56 tahun.

"Banyak faktor yang menyebabkan mereka terperangkap dengan masalah dadah ni. Tapi kebanyakannya payah nak pulih sepenuhnya. Sampaikan ada antara mereka yang rela tinggal di sini sebab lebih terjaga...." Jelasnya bila ditanya.

"Peratusan penglibatan mengikut kaum macamana?"

"95% adalah Melayu, 3% India dan 2% adalah Cina..." Saya ternganga. Terkejut mendengarnya. Perbezaan yang begitu ketara. Sedih menyelubungi hati. Aduhai bangsaku...

"Ada yang mengandung kat sini?" Tanya saya lagi.

"Ramai. Malah pernah ada kes, pelajar 13 tahun yang pernah dihantar di sini lama dulu, mengandung dan cuba menggugurkan kandungannya. Dalam usia semuda itu, dah 3 kali mengandung dan gugurkan...."

'Allahu.... Parah sekali masyarakat kita sekarang ni....' Sedih. Pedih. 😓😢

Saya tak mahu bertanya lagi. Cukup dengan  perkongsian dan maklumat yang diberi oleh Puan Siti Rugaya. Hati saya bagai diramas. Soalan-soalan yang saya susun semalam dalam fikiran, yang mahu saya tanyakan dalam pertemuan ini, terasa menghilang.

"Mereka perlukan perhatian. Sebenarnya, sedikit panduan dan sokongan boleh bantu mereka untuk menjadi lebih baik...." Lin bersuara. Saya setuju.

Benar, mereka mudah terlibat dengan dadah kerana ada sesuatu yang mungkin ibubapa, keluarga dan masyarakat terlepas pandang.

....

Saya sendirian dalam perjalanan pulang. Satu demi satu perbualan tadi melintas difikiran.

Apa yg boleh saya lakukan? Lemah benar rasanya. Mungkin buat masa sekarang, hanya doa... Agar Allah jentikkan kesedaran dan keinsafan dalam hati mereka.

Setiap orang punya masalah. Mungkin sama, mungkin berbeza. Tapi biarlah masalah atau musibah itu mendekatkan diri kita dengan Allah... Dan membuka jalan untuk kembali...

....

Terima kasih kepada pewaqaf. Semoga ia mampu menyentuh hati dan memberi manfaat kepada yang membacanya.

#BDC2019
#bondanor
#muhasabahdiri
#jombelidanbaca
#jomwaqafdankutippahala

Jul 17, 2019

Pilihan kita

Dalam kehidupan kita, sentiasa ada apa yang dikatakan pilihan. Sentiasa wujud apa yang dipanggil kos melepas. Bila telah memilih, maka ada yang terpaksa dilepaskan.

Soal masa depan, ada yang berani bagi jaminan? Siapa yang berani meramal bahawa bahagia akan kekal? Ada ke yang kata tak akan menyesal walaupun duka membelit sehingga nak menelan air liurpun terasa perit?

Antara A dan B, mana yang lebih menarik hati. Antara C dan D, mana yang lebih serasi. Antara E dan F, mana yang lebih mudah ditangani?

Tak tahu mana yang baik, tak pasti mana yang jelek.

Hari ini wajahnya berseri, hari esok bertukar ngeri. Kalau bertukar jadi transformer, mungkin rasa dilindungi. Kalau bertukar jadi monster, seksalah diri.

Lalu, Rasulullah tunjuk kita cara istikharah. Jalan untuk minta pada Allah agar beri clue tatkala temui jalan buntu. 

Ajar anak-anak agar jangan mudah menyerah, pesan selalu agar sentiasa mohon petunjuk dari Allah.

Jangan mudah berjudi dengan nasib, nanti hasilnya mungkin sakit dan perit.

Selamat mendidik!

#masuksyurgasekeluarga
#pilihankita
#istikharahsokmo

Jul 16, 2019

Kesudahan Kita

Semalam. Seorang lagi hamba telah kembali kepada Penciptanya. Membuatkan saya rasa masa untuk saya kembali juga semakin dekat.

Memangnya pemisah antara hidup dan mati kita hanyalah satu helaan nafas. Yang adakalanya kita tak sedar pun kita sedang bernafas.

Ketika kita sedut udara yang dibekalkan percuma oleh Allah, kita sering lupa untuk bersyukur, lupa bahawa bekalan oksigen ini bakal dihentikan bila-bila masa saja, tanpa amaran

.....

Tatkala dia diiringi anak cucu yang ramai untuk menemani perjalanan terakhirnya, saya berperang dengan bayangan masa depan.

Allahu... Bagaimana kesudahanku nanti?

"Ya Allah, andai sampai saat aku dijemput untuk kembali padaMu, permudahkanlah. Jangan biarkan aku hidup menyusahkan orang dan matiku nanti menyakitkan..."

.....

Semoga Allah menerima dia dengan jaminan syurga di alam sana. Aamiin...

#hidupmatibukanhakkita.
#duniahanyasementara
#bekalankitauntukkesana

Jul 14, 2019

Layakkah saya?

Hanya satu karya. Satu kisah yang dikongsikan dalam antalogi Siri Muhasabah Diri Bercakap Dengan Cermin. Mengambil peluang yang Bonda Nor berikan. Menumpang aura penulis best seller. Itu sahaja.

Lalu, layakkah saya digelar penulis? Itu yang selalu bermain diminda.

Saya menulis memang dah lama. Semenjak mengenal pen dan kertas lagi. 😂

Menulis untuk dicetak juga pernah. Semasa muda-muda dulu. Dalam majalah sekolah. 🤣

Tapi menulis untuk diterbitkan dalam bentuk buku begini, memang ini pertama kali. 🤭😁

Penulis. Memang rasa tak layak lagi untuk menerima title itu. 🙂

....

"Su kena berani buat promosi. Siapa lagi yang paling sesuai buat promosi kalau bukan penulis sendiri...." Che Nie terus memberi galakan.

Semangat semakin membara.

.....

Lalu ketika pentas dan microphone diserahkan pada saya, hati nekad untuk bercerita tentang buku BDC walaupun hanya seminit.

"Di luar sana, selain dari buku Masuk Syurga Sekeluarga, ada jualan buku Siri Muhasabah Diri Bercakap Dengan Cermin."

"9 buah buku yang ditulis oleh 215 penulis di bawah Akademi Bonda Nor berdasarkan kisah benar dan pengalaman penulis."

"Kadang dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh kita sama dengan orang lain tapi cara kita melihat dan menghadapi sesuatu itu berbeza. Apa yang dilakarkan di dalam 9 buah buku ini adalah secebis dari kisah hidup penulis yang membuatkan diri melangkah lebih gagah ke arahNya...."

'Cukup!' Saya memberi amaran pada diri. Jangan sampai Seminar Masuk Syurga Sekeluarga menjadi medan bicara buku BDC. Tersasar nanti! 😆

Alhamdulillah... Buku-buku BDC turut terjual di seminar MSS. Terima kasih pada yang membeli. Semoga ada manfaat yang diperolehi tatkala membaca buku-buku kami.

....

Kepada yang berminat untuk menyertai projek waqaf buku atau mahu membeli buku untuk bacaan sendiri, boleh menghubungi saya. Sila klik di link berikut;

Https://orderbukubdc.wasap.my
Atau pm saja saya.

#BDC2019
#seminarmasuksyurgasekeluarga
#PRNNK
#bondanor
#jombelidanbaca
#jomwaqafdankutippahala

Jul 13, 2019

Dia Endah

"Su, ambik peluang ni untuk buat promosi buku BDC." Cadang Che Nie semasa rehat pagi.

"Emcee tengah free tu. Mintak dia buat pengumuman dan perkenalkan Su sebagai salah seorang penulis buku ni." Gesa dia lagi. Penuh semangat. Mahu saya mengambil peluang yang ada sebaiknya.

"Tapi Che Nie, boleh ke? Ini kan seminar MSS. Nanti apa kata orang bila Su buat promosi buku yang tak ada kaitan." Saya ragu. Bimbang mencetuskan ketidakpuasan hati orang tertentu.

"Nak maju kena berani ambik peluang yang ada. Jangan takut. Malu tolak tepi dulu." Katanya lagi.

.....

Saya terharu. Dia yang saya kenali melalui kumpulan pengajian di TTS begitu memberikan sokongan.

Ketika saya mula membuat promosi buku BDC dalam wasap untuk sahabat sepengajian, dia menyahut. Kemudian kami berbalas mesej. Memberikan sokongan dan pelbagai cadangan untuk saya.

"Su kena rajin update FB. Cerita lah apa-apapun. Sesekali selitkan pasal buku BDC. Tak boleh malu. Jangan reserve sangat..." Banyak tips yang dia bagi.

Alhamdulillah...

....

"Cepatlah Su. Sementara orang rehat ni, mereka santai sambil dengar penerangan pasal projek buku BDC..." Dia menarik saya ke dalam dewan. Dee yang menjadi pengacara majlis masih berada di pentas.

"Kejap Che Nie. Ada orang bertanya kat meja buku. Su nak explain kat dia dulu." Saya memberi alasan. Kebetulan memang ada yang bertanya. Rasanya tak sopan bila tiba-tiba saya berlalu tanpa menjawab soalan dia tentang projek waqaf buku dan Bonda Nor semata-mata nak membuat promosi di atas pentas.

Masa rehat dah tamat. Peluang yang Che Nie mahu saya rebut, berlalu begitu saja....

#BDC2019
#SiriMuhasabahDiri
#SeminarMasukSyurgaSekeluarga
#PRNNK
#jombelidanbaca
#jomwaqafdankutippahala
#BondaNor

Jul 12, 2019

Pantang Mengalah

Sehari sebelum seminar.

"Assalamualaikum Su. Makcik nih. Makcik baru keluar hospital, nak daftar seminar 3 orang." Getar suaranya jelas dihujung talian.

"3 orang?" Soal saya meminta kepastian sambil mencongak bilangan peserta yang mendaftar melalui online, call, sms dan WhatsApp.

"Ya... 3 orang. Makcik akan datang dengan kawan. Sebab makcik tak boleh drive dan berjalan pun masih kena papah. Tak kuat nak jalan sendiri." Jelasnya seolah tahu apa yang saya gusarkan. Penyertaan peserta akan berlebihan jika semua yang mendaftar, datang dengan kehadiran penuh.

"Boleh makcik. Tapi Su cadangkan makcik datang awal ya. Kot nanti parking payah. Boleh pilih tempat duduk sama."

....

"Ini Su ke?" Tanya seorang wanita yang berwajah pucat dan dipimpin oleh 2 orang rakannya.

"Ya, saya." Saya memandang dengan senyuman. Hati dah boleh mengagak siapa dia.

"Ini makcik dengan kawan2. Nak daftar masuk seminar nih." Jelasnya sambil menghulurkan tangan.

Huluran tangannya saya sambut. Sejuk. Jelas kelihatan dia masih lemah.

Terus saya minta dia masuk ke dewan. Tak mahu biarkan dia berdiri lama.

Rasa kagum memenuhi dada. Kuat sungguh keazamannya untuk hadir seminar ini.

Saya nampak dia datang dengan harapan. Misi untuk membawa seluruh keluarga masuk ke syurga.

Semoga impiannya terlaksana.

....

Waktu rehat tengahari. Kami bertemu lagi.

Diseluknya bag tangan dan dikeluarkan satu buku nota.

"Ini untuk Su." Katanya sambil menghulurkan buku itu kepada saya.

"Untuk Su? Kenapa?" Kaget seketika.

"Saja makcik nak bagi Su. Tanda terima kasih." Allahu... Tak ada apapun yang saya lakukan untuknya. Sekadar menerima nama untuk pendaftaran. Itu dah memang tugas saya.

Saya teragak-agak. Rasa tak layak menerima pemberian itu.

"Ambik la Su. Makcik memang dah niat nak bagi Su." Kawan yang berada disisi sedari tadi menjelaskan.

Saya sambut pemberiannya. Saya genggam tangannya. Kesan jarum jelas kelihatan. Sedikit lebam. Agaknya dek suntikan memasukkan air  di hospital yang belum sembuh sepenuhnya.

"Terima kasih makcik. Su doakan makcik cepat sembuh. Makcik kena pastikan makan ubat macam doktor cakap ya!" Hanya itu yang mampu saya ucapkan. Sebak seketika. Teringat arwah mertua yang sering saya pimpin dan papah bila mahu kemana-mana.

"Makcik nak solat dulu. Nak rehat. Nanti makcik turun makan kemudian." Katanya sambil beredar.

Allahuakbar... Rasa bahagia menyelinap ke dalam dada. Bukan kerana hadiah yang diberi, tapi kepuasan bila seminar yang diusahakan begitu dihargai oleh peserta sehinggakan sanggup datang walaupun dalam keadaan lemah dan uzur.

Semoga Allah ganjarkan dia dengan syurga dan gugurkan semua dosanya disepanjang perjalanan kehidupan ini...

#masuksyurgasekeluarga
#PRNNK
#kisahpengajaran
#tuanfazrul

Jul 11, 2019

Rezeki Luar Biasa

Mendengar kisahnya membuat diri rasa kerdil.

Ustaz Jaa menarik nafaz dalam. Menyelitkan kisah yang menjadi pengajaran untuk dijadikan panduan, memang berkesan.

Ini kisah Amin. Insan biasa yang luar biasa rezekinya.

Bicaranya tak pernah menyakitkan. Perkataan maaf selalu diulang-ulang. Bantuan yang diperlukan orang tak pernah dihampakan.

"Amin, abang nak mintak tolong sikit, boleh?"

"Boleh... Boleh..." Jawabnya pantas. Belum pun diberitahu apa pertolongan yang diperlukan, dia dah menyanggupi. Begitulah selalunya.

Dia akan cuba sehabis daya untuk membantu. Biarpun terpaksa mengorbankan masa dan keringat, tapi dia tak pernah rasa penat. Kerana sikapnya yang suka membantu, dia ditawar mengerjakan umrah. Percuma. Disponsor oleh hamba Allah. Alhamdulillah

Dia tidak berpendidikan tinggi. Kemampuan membacapun, saya tak pasti. Lalu, apabila ditawarkan bekerja sebagai jaga untuk satu dewan perhimpunan, terus dia terima.

RM1000 sebagai gaji permulaan. Jumlah yang sebenarnya amat sedikit untuk sara hidup zaman sekarang. Tapi dia tak kisah. Syukur dengan rezeki yang ada.

Ustaz bercerita lagi, tentang perbualannya dengan Amin.

"Apa yang Amin buat dengan gaji sebanyak tu?" Tanya ustaz.

"Amin ambik RM200 untuk belanja makan." Jawabnya jujur.

"Cukup ke?" Tanya ustaz lagi. Hairan. Apa yang dia makan dengan hanya RM200 sebulan?

"Cukup. Sebab banyak kali berlaku, bila masuk kedai untuk makan, selalu ada orang bayarkan." Balasnya sambil tersenyum.

"Siapa yang bayar?" Soal ustaz ingin tahu.

"Kadang tu, kenal. Kadang tu, tak tahu sapa yang bayar." Jelasnya lagi.

Allahuakbar! Murahnya rezeki dia.

"Lebih dari yang diambik untuk makan, apa lagi yang dibuat?" Ustaz meneruskan soal siasat.

"Bagi mak." Ringkas jawapannya.

"Semua?" Mata ustaz membutang memandang Amin dengan hairan.

Amin mengangguk. Ustaz tertunduk.

Allahu... Untuk seorang yang bergaji sebanyak itu, sebahagian besar diserahkan pada ibu. Sedangkan ada antara kita yang gaji beribu-ribu, malah berbelas dan berpuluh ribu, pemberian pada ibu tak sampaipun jumlah itu. Malah ada yang langsung tak dihulur dengan alasan belanja sendiri pun tak lepas.

Belum lagi disebut tentang sedekah. Atau kesanggupan menolong pada yang mereka yang memerlukan.

Renungi seketika sikap kita. Sejauh mana kesanggupan untuk membantu tanpa bertanya dulu apa yang perlu?

Kita....
Kadang bantuan dihulur beserta syarat.
Kadang ada maksud tersirat.
Kadang mengharap jasa diingat.
Kadang dibantu tapi kemudian diumpat.

Bagaimana hidup kita nak lapang andai setiap perkara mahukan balasan? Macamana hati nak tenang kalau setiap kali peluang membuat kebajikan, kita selalu cari alasan? 😔

Jom kita perhati, fahami dan hayati surah Al-Mujadila, ayat 11. (Rujuk Al-Quran dan terjemahan)

Allah terangkan setiap tingkah laku baik yang kita buat, akan dibalas Allah dengan lebih lagi. Semudah bantuan yang diberikan, Allah bantu berlipat ganda. Sesungguhnya hidup kita dalam genggamanNya.

Saat kita mencari ilmu buat bekalan akhirat, Dia akan berikan rezeki untuk dunia juga.

Saya teringat satu nasihat dari guru saya, lama dulu.

"Kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Tapi kalau kita kejar akhirat, dengan sendiri dunia akan menghampiri...."

#kongsiilmu
#solusidarilangit
#jomfahamquran

Projek Wakaf Buku BDC

Lama sungguh ia tertangguh. Hati rasa resah gelisah. Amanah orang yang masih di tangan buat saya rasa tak tenang.

Berkali-kali saya mendail nombor itu. Bukan sehari saya cuba, tapi berhari-hari. Nombor telefon yang saya perolehi melalui Mr Google.

Rupanya kabel kena curi. Patutlah ringing memanjang tapi tak ada siapa yang layan panggilan.

Aduhai...

.....

"Assalamualaikum En. Aman, maaf kalau menganggu. Sebenarnya saya dapat hp number En. Aman dari Pn Siti Rogayah...." Laju saya memperkenalkan diri dan menerangkan hajat hati. Bimbang andai panggilan saya mengganggu rutin tugas beliau sebagai pengarah di situ.

Suara yang awalnya kedengaran tegas dan serius dihujung talian, menjadi sedikit kendur setelah mendengar penjelasan saya.

"Alhamdulillah... kebetulannya kami sedang menyiapkan sudut bacaan untuk penghuni di sini. Sumbangan buku memang dialu-alukan...." Balasnya dengan suara ceria.

Syukurlah, saya tak salah memilih tempat untuk mewakafkan buku. Memberi kepada yang memerlukan, lebih terasa kepuasannya.

Semoga sumbangan ini memberi manfaat.

.....

Saya ialah salah seorang penulis buku Sakitnya Tu Di Sini dari kumpulan antalogi Siri Muhasabah Diri, Bercakap Dengan Cermin dibawah bimbingan Bonda Nor.

💯% royalti penulis akan diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Baitul Jannah, Kedah yang mana ianya dikawalselia oleh Prof Kamil Ibrahim.

Projek wakaf buku Siri Muhasabah Diri, Bercakap Dengan Cermin adalah projek berterusan. Selagi ada permintaan, selagi itu akan ditunaikan.

Sesiapa yang membeli buku dengan saya untuk tujuan wakaf, selalunya saya akan memberi lima pilihan tempat.

✓ Sekolah.
✓ Pusat Serenti (C&C)
✓ Penjara
✓ Dialysis Center
✓ Masjid

.....

"Kau nak wakaf kat mana?" Tanya saya pada sahabat.

"Tak kisah mana-mana pun. Pilih je tempat yang kau rasa bagus, yang memerlukan buku dan sesuai untuk diwakafkan mengikut umur pembaca." Jawapannya membuatkan saya mencongak berdasarkan pilihan yang ada.

Bila pilihan tidak dibuat, saya akan uruskan mengikut gerak hati. Jadi kali ini, saya memilih C&C Pengkalan Chepa untuk menerima satu set buku BDC yang mana mengandungi 9 buah buku dan satu set lagi saya mohon En. Aman sampaikan kepada wakil C&C Jeli.

Semoga apa yang ditulis sampai ke hati pembaca.

Terima kasih kepada pewakaf. Semoga Allah membalas keikhlasan kalian dengan pahala berganda. Aamiin.

#BDC2019
#muhasabahdiri
#bercakapdengancermin
#bondanor
#jombelinbaca
#jomwaqafnkutippahala

Jul 10, 2019

Redah n redha...

"So, macamana lepas ni? Sapa nak take over tugas?" Saya risau. Pelik kalau nak biarkan majlis berlangsung tanpa pengacara.

"Su boleh tolong?" Tanya Kak Pah sambil memandang tepat pada saya. Serta merta darah terasa turun ke kaki. Allah... Beratnya permintaan itu.

"Kak Pah je lah. Su tak yakin boleh. Tak ada persediaan langsung ni."

"Ermm... Kak Pah boleh kalau dah terpaksa. Tapi... Tengok dulu macamana ya." Balasnya dengan riak serba tak kena. Memang kecut perut. Saya tak nampak orang lain yang mampu ke depan, selain dia...

Gelisah.

'Tak kan nak mintak VIP ambik alih tugas pengacara. Macam tak sesuai je. Memang Kak Pah boleh, tapi tak proper la. Isshh... Tak boleh jadi ni.' Saya menghitung sendiri. Menimbang antara ketakutan dek tiada persediaan dan menghormati permintaan Kak Pah.

Mampukah saya? Mungkinkah saya akan memalukan diri sendiri apabila memegang microphone di atas pentas nanti? Semalam audiences hanya 30 orang. Hari ini lebih 400 orang!

Terasa aircond tak berfungsi. Peluh mencurah membasahi. Perut dah rasa semacam. Dugupan jantung semakin kencang. Tekak terasa kering. Selera makan terus hilang walaupun sebentar tadi lagu keroncong telah didendangkan.

Melihat saya gelisah, beberapa orang sahabat TOTIQ bertanya. Saya khabarkan situasi yang dihadapi.

"Insya-Allah, Su boleh la. Kak yakin. Semalam boleh, hari ni lagi la boleh. Tak kan nak suruh Kak Pah pulak naik. Tak sesuai sangat." Sedikit kekuatan saya kumpul.

'Macam Bonda Nor kata, redah dan redha je la. Mungkin nanti suara aku tersekat-sekat. Tergagap-gagap. Tapi lepas seketika, tak ada siapa yg akan ingat. Jadi bidan terjun ni apa sangat yang boleh di expect. Tersemban tu biasa la...' Saya berusaha memujuk hati. Mencari punca kuasa yang tak tahu mana nak diraba.

Hanya Allah tempat bergantung. Apa saja doa dan zikir yang terlintas, saya ulang baca.

Fokus please! Fokus!!...

"Kak Pah, Su akan ganti tempat Die. Su cuba ya. Maaf kalau nanti banyak silap." Akhirnya saya menyanggupi lagi tugasan ini.

"Alhamdulillah. Kak Pah yakin Su boleh." Dia memandang dengan senyum. Lega agaknya.

Lalu diberikan senarai pengumuman yang perlu dibuat dan acara yang masih berbaki. Sesi terakhir Tuan Fazrul perlu saya buka dan serahkan selebihnya pada dia.

Kemudian, acara penyampaian cenderahati dan penutup. Selesai. Ringkas dan mudah. Pujuk hati sendiri agar degupan jantung kembali normal.

Kaki melangkah menaiki tangga. Kedudukan microphone saya betulkan sesuai dengan ketinggian yang tak seberapa. Menganggar jarak bagi memberikan impak suara yang jelas untuk pendengar di bawah sana. Cermin mata saya buka dan letakkan di tepi. Wajah mereka berbalam kini. Renungan mereka tak lagi saya rasai.

"Bismillah...." Biarpun kering bibir dan mulut dek gementar yang membalut, tapi tak mungkin saya berundur lagi.

Saya berusaha dengan sebaik mungkin.
Saya berdoa dan bertawakal.
Saya mohon bantuanNya.
Saya redah dan redha.

#seminarMSS
#masuksyurgasekeluarga
#PRNNK
#bondanor
#redahnredha

Bila tiba masa...

Majlis berehat seketika. Masa untuk makan dan solat dah tiba. Mata melilau mencari dia. Ada pengumuman yang saya mahu dia sampaikan.

Dari jauh, bayangannya menyapa mata. Saya terkejut melihat dia menukup muka sambil bahu terhenjut-henjut.

"Dee... Kenapa ni?" Saya mendekati. Kak Pah yang berada di sisinya menepuk-nepuk belakang. Cuba menenangkan.

"Dia baru terima berita kematian." Jawab Kak Pah bagi pihak.

"Innalillah.... Siapa?" Soal saya lagi. Terkejut dan simpati saya melimpah. Allahu.... Dugaan Allah datang tanpa tanda amaran. Semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang dicintai. Permudahkanlah perjalanan peralihan alam buat arwah...

"Mak saudara saya. Maafkan saya. Rasanya saya tak boleh teruskan lagi majlis ni." Katanya tersekat-sekat.

"Takpe Dee... Kami faham. Balik lah. Urusan keluarga perlu diutamakan." Kata Kak Pah lagi.

"Ya Dee. Sebaiknya begitu. Sabar ya." Hanya itu yang terucap. Terkejut sehingga tak tahu apa yang sesuai untuk dikata bagi menenangkan dia.

Selesai bersalam dan berpelukan, dia terus beredar. Saya melepaskan keluhan berat. Memahami situasinya membuatkan saya sebak.

"Su baru nak mintak dia buat pengumuman. Nak tanya samada dia ada bagitahu tak pasal tempat makan dan tempat solat yang kita sediakan..." Saya mahu kepastian.

"Dia tak sempat nak umumkan apa-apa. Blank agaknya bila dapat berita kematian tu." Jelas Kak Pah.

Kelu lidah. Tak semena-mena, ingatan pada arwah menerjah minda. Sayu jadinya.

'Mereka bukan meninggal dunia. Mereka hanya kembali kepada Pencipta. Ibarat balik kampung saja. Mereka akan lebih bahagia di sana. Terlepas dari pedihnya hati dan sakitnya jasad. Bebas dari sebarang beban dan tanggungjawab. Allah... Semoga syurga tempat Kau sediakan buat mereka. Tunggu Su ya! Su sedang mengumpul bekal untuk membeli tiket ke syurga dan semoga kita akan kembali berkumpul sama-sama.'  Hati berbicara... Perasaan saya hanyut seketika.

Allahuakbar!

#seminarMSS
#masuksyurgasekeluarga
#PRNNK

Jul 9, 2019

Tadabbur?

Enam siri TOTIQ telah kami hadiri. Latihan mentadabbur bicara Allah yg telah diamanahkan oleh Tuan Fazrul benar-benar mencabar.

Saya akui, adakala saya tewas dek kemalasan dan akur pada kesibukan yg tak berpenghujung. Allahu... Dunia begitu gigih diraih, akhirat kita bagaimana...?

...

"Tadabbur tu apa?" Tanya seorang sahabat.

"Bila sebut tentang Quran, kau biasa dengar orang sebut apa untuk faham?"

"Baca terjemahan dan tafsir." Balasnya.

"Tadabbur ini advance sikit dari tafsir." Jelas saya.

"Advance setakat mana?" Soalnya lagi.

"Search kat YouTube, dengar penjelasan dari ustaz. Lengkap dengan contoh lagi. Jelas dan padat." Jawab saya. Sungguh saya kurang yakin dengan kemampuan diri untuk menerangkannya.

Allahu... banyak lagi yang perlu saya pelajari.

.....

"Memandangkan buat masa sekarang kita masih belum ada pusat tadabbur yang khusus, Kak Pah bersedia membenarkan A'laa Riverview Lodge digunakan sebagai pusat untuk melatih pentadabbur kita...." Ucapan aluan dari Kak Pah selaku "Hulk" (orang kuat) TOTIQ.

Alhamdulillah. Terima kasih Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad dan En. Azmi atas kemurahan hati mereka. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

.....

"Alu tak berguna jika wujud tanpa lesungnya. Dayung akan sia-sia saja jika tiada sampannya. Dan majlis kita tak berseri jika Tuan Fazrul tidak berbicara..." Dalam gugup yang bersisa, saya menjemput guru pelatih kami yang juga Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk memberikan ucapannya.

"Sijil ini saya bagi bukan untuk saja-saja menambahkan koleksi sijil yang dah ada, tapi saya harap apabila tuan puan tengok sijil ni, dua perkataan Al Quran yang tertulis di situ akan menangkap jiwa. Mengingatkan bahawa Quran bukan sekadar untuk dibaca, tapi difahami maksudnya. Bukan hanya difahami saja, tapi perlu diamalkan juga...." Bicara Tuan Fazrul dihayati satu persatu.

Sungguh menaikkan semangat. Sungguh menginsafkan. Allahuakbar! Terasa sungguh...

.....

"Kak Ani seronok, gembira dan bersemangat dengan semua sahabat TOTIQ yang ada. Walaupun kak Ani tak mampu nak mentadabbur seperti Tuan Fazrul, tapi menjadi sebahagian dari kumpulan ini dah buat kak Ani bersyukur sangat-sangat. Banyak yang Kak Ani rancang untuk Rumah Ngaji... Nanti Kak Ani update dari semasa ke semasa...." ucapan berkobar-kobar dari Datin Norhani sebagai penutup majlis. Adakala tawa kami pecah deh ucapannya yang berselang seli dengan gurau jenaka.

Beliau adalah antara penggerak utama PRNNK.  Cukup ramah dan bersemangat dalam menjayakan apa juga program. Syukurlah PRNNK mendapat timbalan pengerusi sepertinya.

....

Sehari beracara, masa berlalu tanpa dirasa.
Menyusun agenda bersama membina jambatan ke syurga.
Mengharapkan agar jambatan itu diguna untuk kita berjalan kearah sana.
Pengakhiran dunia dan permulaan akhirat yang kekal selamanya.

#TOTIQ
#PRNNK
#akademisinergi
#jalankesyurga

Seminar Masuk Syurga Sekeluarga

Sabtu. Hari yang sibuk. Seminar Masuk Syurga Sekeluarga.

Mampukan saya uruskan pendaftaran peserta yang ramai dengan masa yang singkat? Ya Allah... Bantu saya...

Peserta yang mendaftar melalui online, call, sms dan wasap telah melebihi tempat duduk yang disediakan.

"Peserta yang walk in memang akan ada. Yang tak datang pun ada. Cuma tak boleh jangka berapa ramai." Kata salah seorang ajk dalam mesyuarat.

Pasti berlaku.

....

Mereka hadir dengan bermacam-macam cerita. Ada yang bagi nama tak lengkap, yang daftar berulang, yang daftar nama lain, yang datang orang lain, yang sekadar mintak dibooking tempat pun ada.

Pening.

Tapi memang saya dah jangka situasi begitu. Dah bersedia. Kerana seminar ini dibuka untuk semua peringkat umur dan dari pelbagai latar belakang, maka semestinya banyak 'keajaiban' yang tersedia. 

.....

Permudahkan urusan orang, itu cara untuk membantu diri sendiri. Antara formula menangani stress.

Lagipun seminar ini dibuat dengan niat nak bagi ilmu percuma untuk dunia akhirat, jangan sampai ia mencuakkan dan mengguris hati mana-mana pihak.

Prosedur pendaftaran peserta dibuat sekadar mahu mendapatkan anggaran agar tempat duduk dan makanan mencukupi untuk semua. Lagipun sijil tak ada. Tak perlu nak ambil detail peserta beria-ia sangat..

Buat semampu baik, tapi jangan biarkan masalah kecil buat kita serik. Itu yang saya sematkan dalam dada.

Senyum dan tenang-tenang saja uruskan pendaftaran peserta.

....

"Maaf, nama puan tak ada dalam senarai daftar." Jelas saya setelah berkali-kali menyemak nama dalam laptop. Kekunci search, find ditekan lagi. Tak ada.

"Tapi saya dah bagi nama." Katanya hairan.

"Puan ingat tak, bagi nama kat siapa?" Sekadar bertanya.

"Bagi kat kawan, dia tolong daftarkan."

"Ok. Boleh bagi nama kawan?" Saya mahu cuba cari dalam kumpulan yang saya asingkan mengikut kod.

"Saya panggal dia xxx je. Nama penuh dia tak tahu." Jelasnya. Saya dah agak! 😣

Saya tarik nafas dalam-dalam.

"Puan tulis je nama atas kertas dan masuk dewan dulu. Nanti makan pagi kita akan bagi kemudian. Maaf, kami kena utamakan yang ada nama dulu. Insya-Allah, ada makan, tapi lewat sikit." Ucap saya hati-hati.

Dalam debar, saya berdoa agar segalanya mencukupi.  Mereka datang dengan harapan. Saya tak mahu menghampakan.

Ya Allah... Permudahkanlah...

....

Alhamdulillah, lebih 400 peserta menyertai seminar ini.

Yang datang sendiri, yang datang berteman, dan saya cukup teruja bila ada yang datang bersama semua ahli keluarga.

Walau dengan siapa mereka datang, yang pasti keberkatan tersedia buat mereka. Bukankah berada di majlis ilmu itu ibarat berada di taman-taman syurga? Ganjaran pahala tersedia.

Ya Allah.... Berkati majlis kami, agar segala ilmu yang dikongsi dapat diamalkan oleh semua peserta yang hadir. Berikan syurga buat semua... 🤲

#masuksyurgasekeluarga
#PRNNK
#akademisinergi
#Allahbantu

Tugasan Pertama

Jumaat pagi, dengan bertemankan rama-rama yang berterbangan dalam perut, saya bergegas ke A'la Riverview Lodge.

Nafas rasa tak lepas. Oksigen macam tak cukup. Peluh jantan betina menjadi aktif hari ini. Tandas menjadi distinasi utama. Masuk, keluar, masuk, keluar.

Ya Allah... Penyakit lama dah mai dahhh!!....

Semuanya gara-gara diberikan tugasan untuk bekerjasama dengan microphone sepanjang majlis berlangsung.

"Su... Nanti jadi pengacara majlis ya?" Pinta Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad. Spontan saya mengangguk. Entah macamana saya boleh tersanggup menggalas tugasan itu.

"Tapi Kak Pah kena sediakan back up jugak. Mana tahu kot kaki lemah tetiba." Saya bimbang.

Bila difikirkan kembali, jauh disudut hati, saya mahu mencuba, mahu mencabar diri. Sebagai peserta TOTIQ, antara kelemahan yang perlu diatasi ialah public speaking.

Seram memikirkan pelbagai kemungkinan. Ada ketika, rasa menyesal pun ada... Huhu...

....

Allahu... Gementarnya tak terucap.

Doa tak putus, zikir bertali arus. Mohon Allah lancarkan bicara dan pelihara lidah dari tercakap perkara yang tak sesuai dituturkan dalam majlis.

Sehari sebelumnya, saya selongkar YouTube demi mencari tips menjadi pengacara majlis dan cara menghilangkan gugup bila bercakap depan ramai.

Alhamdulillah.... memang Allah akan bantu bila kita bersungguh meminta.

Saya selesa memulakan bicara. Mungkin kerana berada di kalangan sahabat2 yang dah saya kenali sepanjang 6 siri TOTIQ yang lepas.

Ada ketika ucapan saya sedikit tersekat. Tapi saya atasi dengan mengakui kelemahan diri. Sedikit gurauan membantu menyembunyikan kegugupan. Mereka ketawa kecil. Agaknya jenaka saya menjadi. 🤗😅

Walaupun tak sesempurna pengacara professional, tapi untuk insan yg berstatus hamba Allah berkerjaya surirumah, rasanya lulus kot. Boleh la tu... Kan? 🤗

Berapa markahnya, itu kena la tanya peserta yang hadir di sana. Kerana mereka yang melihat saya beraksi secara live. 😅

Fuhhh... Lega bila segalanya selesai.

.....

Sabtu. Ada tugasan lain sedang menunggu.

Debar belum berlalu...

#TOTIQ
#MSS
#Akademisinergi
#PRNNK

Jul 8, 2019

Sibuk!

Hujung minggu yang padat. Memenatkan tapi gembira.

Jumaat.
Debar.

Majlis Penyampaian Sijil bagi peserta TOTIQ (Training of Trainers, Interaksi Quran) dan Jamuan Hari Raya di A'la Riverview Lodge.

.....

Usai majlis, saya bergegas pulang. Ada janji yang mahu dilunaskan. Memenuhi keinginan adik ipar yang juga kesukaan sendiri. 😁

.....

Sabtu.
Hari yang sibuk.

Seminar Masuk Syurga Sekeluarga di USM, Kubang Kerian.

....

Terima kasih pada suami tercinta, Mohd Nasrom yang mengizinkan saya menggunakan 2 hari ini untuk 'bercuti' dari tugasan hari minggu. 💞😘

.....

Banyak sekali yang mahu diceritakan.... Dan mahu disimpan dalam lipatan kehidupan. Pengajaran, pengalaman, pemerhatian. Dan ilmu bermanfaat yang mahu dikongsi.

Moga Allah izinkan....