Jan 5, 2009

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 3)

Riduan termenung panjang. Mengingatkan kata-kata isterinya yang tak masuk akal. Kesanggupan dalam keterpaksaan. Dan kini dia kehilangan arah.

“Abang, tolonglah bang. Mintak dia tarik balik apa yang dia dah buat pada saya. Dia boleh mintak apa saja, saya sanggup! Kalau dia nak kawin dengan abang pun, saya akan izinkan. Tolonglah... Saya dah tak tahan lagi... Sakit sangat!” Fini menangis dan merintih. Sejak semalam, itulah yang diulang.

Tangan suaminya digenggam kuat. Jejarinya lembab dengan peluh. Gelap malam membuatkan kesunyian yang terisi terasa lebih menyakitkan.

“Fini! Apa yang Fini cakap ni? Fini, tolonglah, jangan mengalah dengan perempuan tu!” Riduan sedikit kecewa dengan kesanggupan isterinya. Tapi dia tahu, sakit yang ditanggung terlalu menduga. Mahu hilang kewarasan dibuatnya.

“Abang... saya sakit!” Rintih Fini, menambah sayu di hati.

Kata-kata Fini sekarang, jauh berbeza dengan apa yang pernah diucapkan dulu. Keazaman yang hancur. Ketahanan hatinya lebur.

“Abang…. Saya bahagia sekali hidup dengan abang. Saya harap kita hidup macam ni sampai kita tua, tak nak kongsi abang dengan sesiapapun…” Luahan manja seorang isteri yang masih terpahat kemas di ingatannya. Sinar mata Fini begitu menenangkan.

Riduan cuba menjejak masa lalu. Mencari petunjuk yang menyedarkan dia saat bila janji itu mula menjadi kabur dari hati mereka.

“Aduh.... Ya Allah... Sakitnya.....” Rintih Fini sambil mengusap perutnya yang membusung. Dengan sekejap masa, tak sampai sebulan, perutnya seperti orang yang sarat mengandung 8 bulan. Riduan duduk bersandar sambil memegang kepala. Kusut benar fikirannya. Keadaannya jelas tak terurus.

“Mak Lang Endot cakap, satu-satunya cara hanyalah suruh orang yang hantar tu tarik balik.” Kata Kak Long sambil tangannya ligat mengelap lelehan peluh yang bertali di dahi Fini.

“Tapi kita tak tahu siapa yang hantar.” Balas Riduan, buntu.

“Saya boleh agak. Saya yakin dia yang buat semua ni. Siapa lagi kalau bukan perempuan gatal tu!” Suara Fini keras. Hatinya membara.

“Rista?” Kak Long spontan menyebut nama perempuan yang menjadi nanah dalam hati Fini.

“Siapa lagi kalau bukan dia. Lainlah kalau abang ada perempuan lain lagi selain dia.” Sinis suara Fini, menahan getar dan tangis.

“Ya Allah, mana ada. Dengan dia pun, abang cuma berkawan je. Dia tu yang salah faham.” Hatinya sedikit terguris. Namun dia sedar, tak guna bertekak menegakkan benang yang basah. Memang dia tersilap langkah.

“Kau yang buat dia salah faham. Yang kau pegi layan dia tu buat apa?” Soal Kak Long dengan suara yang sedikit meninggi. Kalau boleh, Kak Long tak mahu masuk campur dalam soal ini, tapi Riduan adik kandungnya. Dia tak mahu Riduan jadi suami yang curang. Kalau salah, Riduan perlu ditegur.

“Sekarang ni, dosa abang, saya yang tanggung. Adil ke?” Soal Fini sedikit keras dengan suara yang bergetar. Air mata meluncur laju.

“Fini, abang dah tak hubungi dia lagi.“ Tegas Riduan, mengharapkan Fini akan berhenti memarahinya.

“Saya ni jahat sangat ke bang? Abang dah khianati kepercayaan saya bila abang berhubung dengan betina gatal tu. Boleh tak abang bayangkan remuk hati saya bila tengok sms romantik nak muntah yang dia hantar kat abang tuh?” Bagai air di empangan yang pecah, jeritan derita di hati terluah kasar.

“Atau abang dah pernah terlanjur dengan dia?” Kata Fini sinis menghiris hati Riduan.

“Fini jangan nak menuduh abang sembarangan. Mungkin benar abang pernah berhubung dengan dia, tapi tak perlulah Fini menuduh abang sampai macam tu sekali!” Hati Riduan berdarah. Kalau tak diingatkan Fini yang kesakitan, pasti tangannya ringan menyentuh pipi Fini.

“Abang nak bela diri atau nak bela dia? Cuba abang baca sms yang dia hantar kat saya ni!” Marah Fini semakin membara. Handphone Nokia kesayangannya dicampak, melantun menyembah bantal tipis di hadapan Riduan. Riduan memandang kak long. Tanpa reaksi. Tangannya perlahan mencapai hp itu, hadiah ulang tahun perkahwinannya pada Fini beberapa tahun yang lalu.

~Sakit kamu itu adalah pembalasan dosa Mas Iwan padaku. Jangan ingat dia boleh selamat ya! ~

Riduan terpaku membaca sms yang tertera. Mulutnya terkunci. Benarkah Rista yang…?

“Dia tak bagitahu abang yang sebelum ni saya pernah call dia, mintak dia putuskan hubungannya dengan abang. Abang tahu apa dia cakap? Dia kata abang berhubung dengan dia sebab saya tak pandai layan abang, tak faham apa yang abang mahu.” Marahnya membara. Kalau tak disebabkan oleh sakit yang ditanggungnya, dan kak long yang setia menemaninya, pasti perang periuk belanga akan tercetus. Kepercayaannya pada suami telah patah. Sabarnya telah musnah.

“Jangan percaya cakap dia Fini.” Pinta Riduan, pilu.

“Habis tu siapa yang saya nak percaya? Abang dengar sendiri cakap Pak Teh Muda, Mak Sinah dan Wak Karim. Mereka pun cakap orang yang hantar ilmu hitam untuk kenakan saya ni adalah perempuan Indonesia yang sukakan abang dan nak rebut abang dari saya. Siapa lagi kalau bukan dia!”


`Ya Allah... apa yang telah aku lakukan? Apa yang harus aku lakukan!?’ Hatinya mencari jalan tenang yang telah hilang.

“Kami cuma berkawan. Tak lebih dari itu.” Alasan, penjelasan atau penegasan? Riduan sendiri tak pasti.

“Kalau sekadar berkawan, tak perlulah sampai keluar makan berdua-duaan. Tak payah nak bergayut dan bersms dgn dia siang malam. Kau tak fikirkan perasaan Fini ke?” Madi bersuara keras. Tak setuju dengan perlakuan Riduan.

“Bukan macam tu. Cuma ada masanya aku kecewa dengan sikap Marni yang suka bandingkan aku dengan orang lain. Masa tu aku fikir, teruk sangat ke aku ni, sampai tak boleh nak jadi macam apa yang dia nak.” Mungkin itulah permulaan untuk segala kecelaruan dalam hidupnya.

“Hei... mana perginya pasangan romantik Rafini dan Riduan? Tak kan kau dah lupa persefahaman yang pernah korang ada masa hangat bercinta dulu?” Madi cuba mencari semangat cinta yang lama. Sayang sekali kalau dibiarkan hubungan yang terikat dihinggap kulapuk.

“Kau tak faham Die. Ida tu tak macam Fini.” Keluh Riduan, kematian akal untuk memberi logik atas perbuatannya.

“Tengok tu. Kau pun apa kurangnya. Membandingkan Fini dengan Ida. Kau tak sedar agaknya.” Tempelak Madi. Riduan terdiam.


Perkahwinan ini perlu diselamatkan. Saat melihat wajah-wajah kecil yang terbaring keletihan di sisinya, dia cuba mencari kekuatan untuk menahan segala rasa gelisah dan kecewa yang ada.

“Abang, tolonglah... Kalau sayang abang pada saya masih ada, tolong selesaikan soal hubungan abang dengan dia. Jangan biarkan saya terus menjadi mangsa. Saya tak cukup kuat untuk menahan segalanya.” Rayu Fini menyedarkan lamunan yang jauh. Genggamannya masih basah dengan peluh, tanda sakitnya tak berkurang. Riduan mengangguk perlahan. Tak mahu berjanji, tapi apa lagi yang mampu dilakukan untuk menenangkan resah isterinya.

Malamnya dia tak tidur lena. Kepalanya ligat memikirkan apa jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Dia terperangkap oleh keadaan. Kata-kata Rista sekejap tadi, membuatkan nafasnya seakan terhenti.

“Kalau benar mas mahu membantu isteri mas, hanya ada satu cara saja. Ceraikan dia dan nikahi saya. Saya cuma mahu dia rasa natijah penghinaan yang pernah dia lemparkan pada saya.”

Hatinya kelam. Tak mungkin! Airmatanya mengalir laju. 'Ya Allah… Bantulah aku!!!...'

Nota : Kisah ini berdasarkan apa yang di ceritakan oleh kawan saya. Dan ia tak dapat di pastikan pengakhirannya. Tak banyak yang saya dapat catatkan di bahagian nota ini, kerana saya memang tak mengenali mereka. Cuma mengungkapnya dalam bentuk cerita adalah cara untuk saya cuba menunjukkan bahawa setiap peristiwa yang berlaku ada penyebabnya. Bukan soal salah siapa yang harus ditekankan, tapi pengajaran apa yang boleh diambil.

Tak ada manusia yang sempurna. Tapi ketidaksempurnaan itu boleh diminimumkan dengan kesedaran betapa setiap tindakan yang diambil, pasti akan ada pembalasan. Lalu beringat sebelum kena. Berhati-hati bila berbicara. Harapan bukan semudah luahan, kerana ia mungkin punca penderitaan.

Kembali pada Allah, hanya itu penyelesaian yang perlu dilakukan. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa, yang mampu membantu dengan pelbagai cara. Serahkan padaNya. Sedarlah bahawa kita adalah selemah-lemah hamba...

9 comments:

OJENG said...

jahat betul rista tue.hhuhu

Wan Nurul Adila said...

Kak Suuuuuuu....

Hihihi. Lama dah tak datang sini. Eh datang, tapi tak mengomel je. hihi. Ni, nak ajak Kak Su ke program anti-stigma skizofrenia kat PPUKM Cheras, esok. Tak tau la Kak Su sempat baca ni sebelum esok ke tak. Lambat pula jemputannya. Takpe lah. Better late than never.

p/s: Saya dah ada blog. Kalau sudi, jemput-jemputlah ke sana, ya!

3belas said...

baik mati siksa dari hidup syirik

suara said...

Ojeng...
Semoga Allah mengampuninya dan mencetuskan keinsafan di hatinya. InsyaAllah.

==================
Dlaaaa.....
Skizofrenia tu apa? huhu... nak sebut pun berbelit lidah. hari ni ye? Kak su tak boleh pegi le sayang... keje.

Dla dah ada blog ye? Bolehlah kak su kacau dla kan? Hehehe...

==================
3belas...
Erm...
Mati seksa pun tak nak. Hidup syirik pun tak nak.

Mak Su said...

sihir, sihir. paksa lah kasih sayang seseorang dengan sihir, kalau Tuhan izinkan, mendapatlah... tapi setakat itulah sahaja, dunia ini bukan tuan punya sihir yang empunya

kamar hati said...

hmmmmmm.....tak tau camna nak kata....tp, setiap apa yg berlaku, perlu dijadikan pengajaran yg berguna dlm hidup setiap dr kita...moga kasih sayang mengatasi sihir tu....

suara said...

Maksu...
Dgn sihir, mungkin akan dpt kasih sayang tanpa perasaan. ermm... macam tak betul je ayat ni. atau perhatian tanpa cinta. Tak berbaloikan, merampas kasih sayang org lain untuk satu kehidupan yg sementara. Atau sbnrnya, niatnya cuma dendam yg terisi dgn keinginan lain, tapi bukan sbb sayang lagi. Entahlah... Hanya Allah yg tahu.

===================
Kamar...
Betul tu. Dengan kisah ini, kalau nak ambil pengajaran, rasanya ada bbrp yg boleh ditekankan.

Pengajaran ttg;
1. Fini - isteri kena berusaha utk terima kekurangan dan kelebihan suami. Jgn biarkan suami rasa cuak dgn sikap diri. Ingat, buruk atau baik, dia tetap suami yg perlu dihormati. Andai ada sst yg nak ditegur, kena ada caranya.

2. Riduan - Dia isteri yg telah dipilih. Berusahalah fahami keinginan dan harapan isteri. Jika tak suka dgn sikapnya, tegurlah dgn baik. Jangan lepaskan geram dan rasa tdk puas hati isteri dgn cara yg tak sepatutnya. Tak payahlah nak uji kemampuan memikat lagi, kerana mmg dah ada yg terpikat pun. Kalau tak, tak kan lamaran dulu diterima, kan?

3. Rista - Cinta bukan segalanya. Fahami perasaan ppuan lain, dan ingatlah, kemarahan Allah lebih besar kesannya. Mungkin akan dibalas di dunia lagi. Kalau tidakpun, pembalasan akhirat itu mmg pasti.

4. Kita (pembaca) - tak perlu memihak kepada sesiapa. Kerana pasti Allah mahu beri pengajaran pd kita agar tidak mengikuti tindakan mrk. Sebaiknya berdoa saja agar Allah membantu dan melindungi mrk.

Uih... terpanjang lak tulis kat ruangan komen ni.

Wan Nurul Adila said...

Skizofrenia tu adalah satu penyakit mental yang disbabkan oleh ketidakseimbangan hormon dalam otak. Selalunya masyarakat selalu melabelkan mereka sebagai orang gila. Padahal mereka ni tak gila. Sekiranya mendapat rawatan yang sesuai, mereka boleh pulih sepenuhnya. Wah bagi psychoeducation pula ya...hehe

p/s: Kak Su, nak alamat Kak Su boleh tak? Nanti bagi kat email dla boleh? bionic_butterfly@yahoo.com. Ada surprise. Hihi

suara said...

Ooo... Macam tu rupanya. Tiba-tiba teringat cerita adik ipar yang pernah naik bas masa balik kg. Dia kata pemandu bas tu bercakap sepanjang malam, tapi tak tahu dgn siapa. Mungkin dgn diri sendiri kot. Erm... hormon dia tak seimbang agaknya.

Pssttt... Dah hantar. :)