Oct 8, 2008

Realiti... Ramadhan Terakhir

“Mak, Wa nak keluar kejap ye. Kawan sekolah ajak jumpa. Eh... baju melayu Wa dah basuh ke? Wa nak pakai esok.” Jam menunjukkan pukul 12 malam. Suasana kampung masih meriah dengan bunyi mercun.

“Ye lah. Jangan lama sangat. Esok nak kena bangun awal.“ Pesan Kak Ani sambil memandang sekilas anaknya yang berpakaian t-shirt dan berseluar jeans. Simple tapi nampak begitu segak. Tangannya tetap sibuk menyediakan bahan-bahan untuk di masak esok pagi. Malam raya, keluarga mana yang tak sibuk.

Kak Ani tersenyum. Hatinya gembira benar bila anak menantu yang tinggal jauh pulang untuk beraya. Bunyi deruman motor meninggalkan laman rumah kedengaran semakin perlahan sehingga sunyi malam kembali mengambil tempat.

Kak Ani tahu kebiasaan anaknya. Sesekali pulang, dia suka berkumpul bersama kawan yang dah lama tak berjumpa. Lagipun dia suka melihat kemeriahan bandar KB dimalam lebaran. Berbeza benar dengan hari-hari biasa.

Mata Kak Ani bengkak dan basah kerana menangis sepanjang malam dan pagi, pipinya lencun dengan airmata. Sehingga saat mentari Syawal telah muncul menghiasi hari, air matanya belum kering lagi.

Kawan Arif, kawan Anuar juga. Hubungan mereka memang rapat walaupun jarak umur berbeza 2 tahun.

“Arif, kau baliklah dulu, jaga mak. Nanti kejap lagi aku balik.“ Arif menurut tanpa banyak soal. Entah kenapa malam itu, mereka buat keputusan untuk pergi dengan motor masing-masing. Bila cuti semester, memang itulah peluang yang dinanti Anuar untuk bertemu dengan kawan-kawan lamanya sambil merehatkan minda yang sebu disumbat dengan segala curahan ilmu oleh pensyarah.


Arif termenung panjang. Fikirannya kosong. Hatinya kosong. Suaranya juga hilang bila mendengar berita itu.

‘…kau baliklah dulu, jaga mak….. kau baliklah dulu, jaga mak…. Kau baliklah dulu, jaga mak…’ Bagai pita rakaman yang diputar kembali dan kembali, pesanan itu bergema memenuhi ruang mindanya. Pesanan terakhir dari satu-satunya abang yang dia ada.

“Kak Ina, bagi aku pegang perut kau kejap.“ Pintanya pada kakaknya yang sedang sarat mengandung 7 bulan.

“Ish... gelilah. Nanti kau dah abih belajar dan keje kat hospital, atau bila kau kawin nanti, bolehlah kau pegang perut orang mengandung.“ Ina cuba mengelak.

“Alah... bagilah aku rasa baby kau...“ Katanya bernada rayuan. Tak menghiraukan alasan yang Ina bagi

“Ye lah... yelah... tapi jangan gosok, aku geli. Pegang je tau.“


Azlina tersandar di dinding dengan mata yang bengkak. Tak pernah Anuar mahu menyentuh perutnya semasa mengandung kali pertama. Tiba-tiba kali ini dia meminta. Sentuhan terakhir untuk anak buah yang belum lahir.

“Ana... jangan lupa ye. Kau tolong kenenkan aku dengan budak tu. Aku memang suka kat dia.“

“Jangan risaulah Wa. Tahulah aku nak promote kau kat dia nanti. Kau jangan cakap apa-apa, jangan bagi nampak yg kau tu dah tergila-gilakan sangat kat dia tuh. Biar aku je yang uruskan.“ Janji Farhana. Dia tahu Anuar ikhlas dan bersungguh.

“Lepas ni Ana dah tak de kawan nak balik kolej atau pegi kuliah sama-sama lagi....” Bisikku pada Farhana yang teresak-esak dalam pelukan. Sendunya semakin kuat bila mendengar kata-kataku. Pelukannya semakin erat. Aduh... kesalnya hati meluahkan kata begitu.

Mereka memang membesar bersama. Rumah mereka yang kedudukannya hanya di pisahkan oleh sebatang jalan kampung, menyaksikan hubungan rapat mereka. Tambahan lagi mereka bersaudara dua pupu.

Air mataku bagai anak sungai melihat keadaan mereka semua. Aku bukanlah rapat dengan Anuar. Sekadar mengenalinya sebagai anak kepada kakak sepupuku. Namun aku selalu mendengar cerita tentangnya daripada anak buahku Farhana.

Aduhai... Begitu cantik hari yang dipilih untuk Allah menjemput hambanya. 011008 bersamaan 1 Syawal 1429H. Namun tarikh keramat untuk umat Islam itu meninggalkan kepahitan yang mendalam buat keluarga dan teman-teman Anuar. Entah bagaimana Kak Ani dan Abang Man nak hadapi Syawal yang seterusnya. Tak mampu aku bayangkan.

Aku mendekati Kak Ani yang kelihatan begitu lemah.

“Kak Ani. Sabarlah… Allah lebih sayangkan dia.” Hanya itu kata-kata yang mampu aku keluarkan. Apa lagi kata-kata yang sesuai. Air mata yang gugur semakin lebat mencurah.

Tubuhku dirangkul erat. Aku memeluk tubuh kering itu sambil menggosok-gosok bahu yang jelas terasa tulangnya. Mulutku terkumat-kamit membacakan selawat Syifa. Tak tahu apa yang harus aku baca untuk mengubati kesedihan hatinya. Hanya selawat Syifa yang terlintas, sambil berdoa agar Allah kuatkan hatinya, sembuhkan duka yang bersalut dijiwanya.

Selepas seketika, dia menarik nafas dalam kemudian melepaskannya perlahan. Pelukanku mula dilonggarkan.

“Kak Ani tahu. Kak Ani menangis bukan sebab tak rela Allah ambik dia, cuma sedih...” Katanya lirih. Aku mengangguk faham.

Aku tahu bukan senang melepaskan anak kesayangan yang menjadi harapan keluarga pergi dengan usia sebegitu muda. Tapi ketentuan Allah bukan boleh dihalang. Usia pula bukan penentu masa untuk ajal maut datang bertandang. Malah helmet yang berharga RM1800 yang baru dibelinya tidak langsung menjamin keselamatan.

Menurut cerita temannya, motosikal Anuar di himpit oleh kereta kancil sehingga terlanggar pembahagi jalan. Anuar terpelanting merempuh tiang papan iklan. Kereta kancil itu khabarnya hanya berhenti seketika dan kemudian menghilang dalam kegelapan malam. Dimanakah kemanusiaanmu wahai pemandu? Hatiku menjerit lantang. Kesal.

Selepas solat Zohor, barulah jenazah sampai di rumah. Selepas dimandikan, keluarga dan teman-teman dibenarkan untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Berkali-kali ciuman ibu singgah di pipi jasad anak yang telah kaku. Airmataku tumpah kembali melihat Kak Ani begitu. Tapi dia tak menangis lagi. Tak seperti semalam dan pagi tadi. Tabahnya dia. Mungkin bila melihat mayat yang kembali dari hospital kelihatan begitu sempurna, dia jadi lega. Seolah kematiannya bukan disebabkan oleh kemalangan jalanraya.

“Kak Ani tengok muka dia sekarang... sama macam masa dia lahir dulu...“ luah Kak Ani sayu. Aku mendengar tanpa membalas. Sungguh aku kehilangan kata-kata.

'Ya Allah. Tempatkanlah Mohd Anuar bin Abd Rahman di kalangan hamba-hambaMu yang Kau kasihi. Bakalkanlah kekuatan dan semangat yang kuat kepada ibu bapa dan ahli keluarganya. Bantulah mereka... Bantulah mereka Ya Allah Ya Aziiz...’

Tiba-tiba aku teringat sajak yang kukarang diawal Ramadhan. Sajak 'Ramadhan terakhir' sebagai ingatan...


Dihari terakhir Ramadhan kali ini, saat fajar Syawal masih enak beradu sebelum muncul esok pagi dengan harapan dan kegembiraan, kakak sepupuku telah kehilangan cahaya harapan hari tuanya... Dan tak siapa menyangka itulah Ramadhan terakhir buat Anuar...

Al-Fatihah buat arwah.

Nota : Di ketika insan lain bergembira menyambut kedatangan Syawal, ada hati yang berduka, meratap menangisi pemergian tersayang. Keluarga sepupu saya adalah salah seorang daripadanya. Sungguh kemeriahan raya saya juga sedikit terjejas bila melihat air mata dan wajah-wajah sayu yang berada di depan mata saat saya menziarahi mereka.

Kehilangan... Saya pernah mengalaminya berkali-kali. Melaluinya sekali lagi mengingatkan saya pada arwah ayah yang pendiam tapi tegas, arwah mak yang lembut dan peramah dan arwah nenek yang sangat memanjakan saya. Juga arwah sepupu-sepupu saya yang meninggal di usia muda. Mereka semua telah lama meninggalkan saya.

"Keluarga kita memang ramai yang mati muda... Kita ni, entah bila agaknya." Kata kakak. Saya terdiam. Diam yang mengakui kebenaran. Sesungguhnya ajal dan maut adalah di tangan Tuhan. Tapi kita harus sentiasa bersedia.

'Ya Allah... bantulah aku untuk sentiasa memperbaiki amalanku sehingga tiba masa aku kembali padaMu.'


Edit : Saya baru menziarahi blog hamka (keretamayat). Dia juga bercerita ttg kematian di bulan akhir Ramadhan dan Syawal ini. Semua orang tahu yg 'life goes on' but.... 'death goes on?'

Memang kematian tidak memilih siapa. Munculnya tak mampu diramal. Kita punya pilihan sebelum mati. Maksud saya pilihan untuk sedar dan berubah atau tidak. Apa pilihan kita?

24 comments:

Along Arman said...

salam lEbaran kak su :) sihat? camne raya? mana chatbox ek?

azza_irah said...

su..
sama la..azza pun masih lemau..malas je nak klik sana sini..byk nak postkan ..tapi malassss..mood raya lum abih..

Mak Su said...

Innalillah.....semoga ibundanya terus tabah

Akak said...

Salam Su....

Sedih baca citer nie...

suara said...

salam lebaran along...
kak su sihat je. cbox dah bersara :)

azza...
mood raya dan sisa kesedihan masih ada. tu yg adakala rasa lemah je...

maksu...
su pun selalu doakan agar dia tabah

akak...
salam akak. cerita benar yg mmg sedih. masa su tulis cerita ni pun, su mmg nangis...

echah_syed said...

slm syawal su.. :)

AzmaMurni Aziz said...

su..
antara kematian dan kehidupan.. garisnya terlalu halus. tiada siapa yang tahu atau dapat menentukan di mana, bila atau bagaimana hayat kita akan berakhir juga tiada siapa yang tahu... siapakah yang akan berada di sisi kita saat itu... kecuali Dia.

su.. tabahkan hati dan sentiasa ingatkan diri.. kematian bukanlah bererti berakhirnya sesuatu hubungan.. penghubungnya adalah doa dan pengikatnya adalah kenangan terindah. biarkan dan lepaskan air mata itu yang gugurnya tiap kali mengimbau kenangan. percayalah.. di situlah tertuainya kasih dan sayang yang tidak akan pernah pudar... Insyaallah..

Qasih juga pernah melaluinya.. kehilangan insan yang amat Qasih sayangi.. sehingga kini.. tiap kali mengenangnya.. air mata ini pasti tidak pernah kering.. tapi satu yang Qasih pasti..setiap kali air mata ini gugur.. setiap kali itu jugalah kasih sayang ini semakin utuh. air mata ini.. juga kenangan-kenangan itu lah yang memberikan Qasih semangat dan kekuatan untuk meneruskan hidup ini...

Ibnurashidi said...

Innalillahiwainnailaihirajiun...daripada segumpal tanah, terciptanya mani akhirnya kembali menjadi tanah.

Salam takziah dilebaran buat keluarga Kak SU. Semoga diberi ketabahan dan kekuatan kepada antum. Bersabarlah..Allahummafhirglana zunubana bijami'emuslimina walmuslimat.

............

ryann said...

bagaimana untuk kita gembira bila mana dalam masa yang sama ada yang mengalami saat saat pilu. realiti yang menyayat

fusarium solani said...

Salam,
Kak Su, telah sampai hitungan waktu, maka bertabahlah. Semoga Allah SWT menempatkan arwah dalam kelompok yang sedikit dari yang banyak, amin.

suara said...

Combi...
Salam syawal utk combi juga.. :)

------------------
Qasih...
terika kasih atas kata-kata yang begitu halus. '...penghubungnya adalah doa dan pengikatnya adalah kenangan terindah...' Su akan ingat itu.

Allah tak akan beri laluan hidup begini kalau kita tak kuat, kan? Sbb kita kuatlah, maka Dia pilih kita utk melaluinya. Semoga kita tidak lupa bahawa kita ada Allah untuk meminta apa saja...

------------------
ibnurashidi...
Terima kasih. Semoga ketabahan itu tersalur jua pada ayah bonda Anuar. Mereka benar-benar perlukannya.

------------------
ryann...
ya... realiti yg menyayat hati. Anuar pulang ke kampung untuk bercuti.. dan dia terus 'pulang' kepada Penciptanya untuk 'bercuti' dari segala tanggungjawab sbg insan dan khalifah di bumi Allah.

------------------
Aliff FS...
Amin.

++++++++++++++++++

Saya baru menziarahi blog hamka (keretamayat). Dia juga bercerita ttg kematian di bulan akhir Ramadhan dan Syawal ini. Life goes on... Death goes on?

Memang kematian tidak memilih siapa. Munculnya tak mampu diramal. Kita punya pilihan sebelum mati. Maksud saya pilihan untuk sedar dan berubah atau tidak. Apa pilihan kita?

Tirai Hidup said...

Aku nanes baca kisah ni...aku mudah nanes su....asal tengok tv isah sedih dah bercucuran air mata..apa tah lagi kisah duka ni...yg kau tulis...aduhhhss abih lencun ni..

suara said...

Su pun... samalah kita. mudah sgt nangis.

Itu baru kau baca cerita su, dah lencun. kalau kau sendiri yg ada kat sana, mahu banjir agaknya.

Teringat cerita sultan melaka yg nak airmata tujuh tempayan tu. Kalau sekarang ni senang je nak dapat. Tayang cerita sedih utk org2 macam kita, mesti kejap je tempayan dah penuh. huhu...

Iliana said...

meleleh air mata saya kak bce cte ni...kelu....xthu nk ckp apa...kalaulah kita tahu dia akan pergi selamanya, pasti kita nk tatap dia depan mata kan...tp tuhan tu lebih mengetahui...semoga arwah ditempatkan dikalangan insan2 yg mulia di sana. amin~

al-fatihah

Anonymous said...

ni sorang lagi geng leleh...
ya... moga arwah berada di kalangan hamba2 yg diredhai Allah. Amin.

Balqis said...

sebenar pasti kematian itu...

datang tak tersangkakan dalam waktu yang tak terjangkakan, ketentuan Tuhan, siapa yang mampu mengubahnya...

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un...

sy juga pernah merasai kehilangan...
Allah....

takziah saya ucapkan...

wassalam

suara said...

Setiap org pasti akan merasa pengalaman 'kehilangan', cuma cepat atau lambat. Semakin jauh masa berjalan, semakin banyak kehilangan, sehinggalah kita pula yg 'dihilangkan'.

Tapi dari pengalaman kehilangan, kita telah mengutip sesuatu, kan Balqis?

Nooreena said...

Kak su, wajah baru nampak. ;)

suara said...

Nampak erk? hehe...
Raya selalunya tukar baju baru utk dapat penampilan dan wajah yg baru. Kak su pun nak buat jugak walaupun raya dah lepas. :)

aNgRiAnI said...

Camat Hari Raya Su

maaf zahir dan batin yer

rindu kat su...muahhhsssss

@e_da said...

salam.. selamat hari raya su... sedih sy baca entry ni.. sungguh menyentuh hati...

suara said...

camat beraya riani...
Su pun mintak maaf gak... zahir batin, fizikal, mental, spiritual... muahhh untuk riani gak.

=================
salam eida...
memang sedih pun. kolam mata ni banjir bila teringat wajah kak ani.

MARIA said...

Su, kesusahan dan kerisauan tokma tidaklah sebegitu berat seperti yang ditanggung oleh kakak sepupu su...tapi tokma tahu bagaimana hancur dan terlukanyer hati seorang ibu. Aduuuiiihhh sedihnya terhimpit rasa hati ini. Al-Fathihah buat arwah.

Anonymous said...

Tokma seorang ibu, tokma lebih faham perasaan itu. Kita sama-sama doakan untuk arwah dan keluarganya ya..