Suasana beransur gelap, sesekali Syika menjengah dan mencuri pandang memerhati keadaan diluar rumah melalui tingkap dapur, sambil menemani Yuni menyiapkan hidangan makan malam. Amin dan beberapa orang kanak-kanak yang tadinya leka bermain telah lama beredar, menyahut panggilan ibu masing-masing yang menyuruh balik dan mandi untuk mengemaskan diri setelah sepetang bebas beriadhah. Ayam dan itik juga telah mula beredar mencari tempat berehat setelah penat mengais dan mencakar tanah semenjak pagi.
'Sunyi di desa damai terasa, sunyi di bandar menjerut jiwa. Langit yang dijunjung ialah langit yang sama, tapi segalanya sungguh berbeza.' Syika berpuisi sendiri di dalam hati.
'Merenung dan berfikir sesaat lebih baik dari beribadat setahun'. Tiba-tiba teringat sabda Rasulullah yang pernah dibacanya. Dimasa muda, Syika sibuk, leka dan tak punya masa untuk berfikir meneliti kejadian Allah, tak berkesempatan untuk merenung jauh, apatah lagi meneliti rebah jatuh yang pernah berlabuh di sepanjang laluan masa yang pernah dirempuh. Baginya, yang lepas biarkan saja, tak guna meratap dan berhiba kerana perjalanan hidup masih jauh. Kini dia terfikir, jauhkah lagi jalan hidupnya yang kini telah mencecah usia separuh abad?
"Abang! Amin! Makan malam dah siap hidang ni, marilah makan!" Yuni memanggil dari dapur, mengejutkannya dari lamunan. Amirul yang dari tadi tekun menyiapkan Amin, keluar dari bilik dengan berbaju melayu yang dipakai semasa raya tahun lepas.
"Wah... specialnya menu malam ni. Dah le petang ni panas je, dapat pulak air cincau ni...fuh.... best!" Kata Amirul sambil mencapai gelas yang telah diisi air cincau dan meminumnya seteguk bagi membasahkan tekak yang telah tergoda.
“Ayah, ngapa ayah minum tak baca Bismillah?” Amin bertanya bila dilihat perlakuan ayahnya yang minum tanpa membaca Bismillah seperti selalu.
“Err... Ayah dah baca tadi.” Amirul cuba berdalih.
“Ayah dah doa?” soal Amin lagi.
“Dah.” Ringkas jawapannya, mengharapkan Amin akan berhenti menyoal.
“Bila? Amin tak dengar pun.” Katanya tak puas hati.
“Ayah baca dalam hati je tadi.” Alasan.
"Ngapa ayah baca dalam hati? Ayah kan ada mulut, bacalah dengan mulut.” Dia bersuara lagi, tak puas hati dengan penjelasan yang diberikan.
“Erm... Tak pe lah kalau sekali sekala baca dalam hati. Allah tu kan Maha Mendengar.”
“Macam mana nak dengar kalau ayah tak baca." Katanya petah.
"Allah boleh dengar apa yang kita tak dengar. Jadi kalau ayah baca dalam hati, Allah boleh dengar jugak." Jelas Amirul lembut, disamping cuba mengenalkan Amin dengan kebesaran dan kelebihan yang Allah miliki.
“Dulu ayah cakap Allah bagi kita mulut utk baca Bismillah bila nak makan, tapi sekarang ayah baca dalam hati je. Kalau ayah baca dalam hati, ayah kena makan dalam hati je lah." Amirul tersentak mendengar bicara anak kecil itu. Perasaannya bercampur. Lucu, kagum, bangga, tersedar dan tersindir oleh anaknya yang bijak berhujah. Dia bingkas bangun, terus memeluk dan mencium Amin sambil tersenyum. Rasanya tak perlulah ditegakkan pendapatnya lagi. Salah tetap salah, dan dia harus terima kekalahannya itu walaupun hanya pada anak kecil berusia 5 tahun.
"Bagusnya anak ayah. Terima kasih sebab ingatkan ayah tadi. Nanti ayah baca ya!" Kata Amirul sambil tersenyum. 'Ya Allah aku bersyukur kerana Kau telah kurniakan aku dengan anak sebijak ini. Mengingatkan tika aku lupa dan berani menegur apa yang salah.' Bisik hatinya. Amin tersenyum puas dengan pengakuan ayahnya itu.
Syika yang memerhati drama ringas antara anak dan ayah tadi, terpegun melihat reaksi Amirul. Sungguh berbeza dengan apa yang pernah menjadi sejarah hidupnya dulu.
"Papa, cikgu sekolah ajar baca doa. Iham tak dengar pun papa baca tadi."
"Papa baca dalam hati lah." Kata Amran sambil meneguk air kopi yang masih panas sambil matanya tak lepas dari membelek akhbar Berita Harian yang dilanggannya.
"Papa bacalah, Iham nak dengar. Iham nak amin."
"Iham ada belajar baca doa kat sekolah ya. Cuba Iham baca, papa nak dengar."
"Iham belum ingat la papa. Sebab tu Iham nak dengar papa baca."
"Iham belajar dulu sampai pandai, lepas tu baru Iham baca. "
"Tapi cikgu kata...."
"Dah le tu, makan! Jangan banyak cakap depan rezeki." Amran bersuara tegas, memotong dan mematikan segala keghairahan Ilham yang baru belajar sesuatu yang baru. Ilham terus terdiam, terkejut mendengar nada tinggi yang keluar dari mulut papanya. Apa salahnya? Sungguh dia tak faham.
"Iham makan ya. Jangan ganggu papa nak sarapan. Mama pun dah lambat ni. Bas sekolah Iham kejap lagi nak sampai." Syika berkata separuh memujuk. Ilham tunduk, mengangguk dan menyuap nasi goreng kemulutnya perlahan. Kecewa bila mama langsung tak membelanya, apatah lagi nak menyokongnya.
"Makcik Syika, silakan makan. Ngapa termenung jauh tu? Tak kan baru dua hari kat sini dah ingatkan PakCik Amran kot." Kata Yuni mengejutkan lamunannya.
"Tak delah. Mana ada. Tengok Amin tadi buat makcik teringatkan Ilham masa kecik dulu." Jelas Syika sambil memandang Yuni lembut.
"Ilham bagaimana sekarang makcik?" Amirul menyampuk.
"Sihatlah agaknya." Kata Syika sedikit lemah.
"Sihat agaknya? Ngapa pulak makcik macam tak pasti je." Naluri Amirul seolah dapat mengesan sesuatu yang berlainan dalam nada suara Syika.
"Dia dah lama tak balik. Call rumahpun jarang sangat." Matanya memandang pinggan yang sedari tadi menguis nasi yang belum luak walaupun sesuku.
"Ngapa pulak macam tu?" Yuni bertanya ingin tahu.
"Bininya tu... Erm... Entahlah. Ilham tu macam kena queen control je." Syika berkata perlahan, terperangkap antara rasa mahu menyimpan kepedihan didalam hati atau mahu mengadu meluahkan rasa.
"Ilham tu sayang sangat kat isterinya kot." Amirul meneka.
"Sayang sampai tak berani menegur sikap isteri sendiri! Dia lelaki dan suami, mana boleh macam tu. Mungkin dia dah puas bermanja dengan makcik agaknya, sekarang nak bermanja dengan isteri je kot." Kata Syika seolah merajuk.
"Makcik jangan kata begitu. Dia sibuk agaknya." Yuni cuba menenangkan hati seorang ibu yang sedang terluka.
"Ya, mungkin dia sibuk. Makcik bukannya nak mintak duit dia, cuma nak rasa yg dia masih ambil berat tentang makcik. Dah cukup kalau dia bertanya khabar sekali sekala." Syika membalas sambil tersenyum tawar. Dia tahu mereka cuma mahu menenangkan perasaannya yang nyata mudah bergolak bila bercerita tentang anak lelakinya itu. Kalaulah mereka tahu apa yang telah berlaku...
Sesekali Syika terfikir, mungkinkah ini adalah musibah yang Allah turunkan hasil dari cara hidupnya dulu. Anak adalah amanah, dan Ilham adalah hasil dari cara didikan dia dan suaminya. Mungkin dulu bila Ilham masih lagi dalam tempoh pembentukan peribadi, dia dan suami mengambil mudah apa yang dimahukan oleh Ilham, bukan saja tidak menggalakkan tapi juga mematahkan semangat dan potensi yang Ilham cuba tunjukkan. Mungkin kerana sikap mereka itu, secara tidak langsung telah membuatkan Ilham bersikap seperti sekarang. Menjadi pak turut pada kemahuan isteri sehingga sanggup membelakangkan ibubapa. Syika pun tak tahu sebabnya. Hanya Allah yang tahu.
Kini masa telah jauh meninggalkannya. Rebung yang dulunya dibelai kini telah menjadi buluh yang penuh dengan bulu-bulu kecil yang bisa. Buluh yang tingginya mendongak langit, yang terliuk lintuk mengikut angin yang bertiup. Anaknya itu telahpun punya kehidupan sendiri. Rentak laku Ilham bukan lagi dalam kawalannya. Ilham telah lupa pulang menjengoknya lantaran kesibukan. Sunyi menggamit hati tua yang penuh dengan rindu.
"Ma, Iham seronok tengok keluarga Iman. Mereka sembahyang sama-sama, duduk makan sama-sama, bercerita... Tapi kita tak macam tu. Masa sarapan pun papa sibuk baca suratkhabar dan mama pulak selalu kata nak lekas ke pejabat sebab jem. Tak sempat borak dengan Iham, tak ada masa untuk Iham. Ma, Iham sunyi la..." Kata Ilham sayu sambil meletakkan kepalanya di ribaan mamanya.
"Iham, jangan macam ni. Tak payah bandingkan kita dengan orang lain. Apa yg kita ada sekarang, mereka tak ada, kan? Amar pun rasanya tak pernah bercuti macam kita. Bersyukurlah tu. Iham tahu kan, mama kerja untuk penuhi keperluan Iham, keperluan kita sekeluarga. Kerana mama kerjalah kita boleh bercuti macam ni. Papa pun sama jugak. Iham jangan berkira sangat dengan papa, sebab sikap dia memang macam tu. Tapi dia memang sayangkan Iham." Syika mengusap lembut kepala Ilham. Dia tahu penting untuk dia jaga hati Ilham, tapi dia juga perlu bekerja untuk membantu mengurangkan beban Amirul. Bercuti dan meluangkan masa bersama Ilham adalah cara dia tunjukkan kasih sayangnya.
Kata-kata Ilham satu ketika dulu menyentuh kembali buih kenangannya sehingga pecah menjadi zarah yang tak mampu dicantumkan lagi. Seperti juga masa yang tak mungkin berpatah balik. Sunyi yang pernah Ilham suarakan dulu kini telah menjadi miliknya pula.
Rindu pada Ilham membuatkan dia menjengah bilik Amin untuk melihat anak kecil itu tidur. Matanya terpaku pada satu nota yang ditampal di sisi katil.
'Anakku, ingatlah sabda Rasul kita, pesanan pertama yang ayah ingin kau baca dan kau ingati. Katanya; rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sempit, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin dan masa hidup sebelum mati.'
Syika terpaku melihat tulisan itu. Tiba-tiba dia tersedar bahawa pesanan itu telah banyak kali dibaca, tapi tak pernah membuatkan dia rasa seperti apa yang dirasakan sekarang ini.
'Ya Allah... masa... masihkah ada masa untuk aku? Telah banyak masa aku gunakan untuk dunia dan inilah hasilnya. Ampunkan aku Ya Allah!' Rintah hati Syika, insaf.
Malam itu sebelum tidur Syika mengerjakan solat sunat dua rakaat, menadah tangan memohon dan meminta hanya pada yang Esa.
'Ya Allah... Ampuni daku Ya Tuhanku. Andai kesilapan dan kelalaian dulu telah meletakkan aku di tempat sekarang. Jadikanlah aku hambaMu yang redha dengan segala ketetapanMu, jadikan aku hambaMu yang tabah dengan segala dugaanMu, jadikanlah aku hambaMu yang memiliki kesabaran tiap waktu. Kuatkanlah hati dan semangatku untuk mengharungi setiap detik yang menjerut hati. Sesungguhnya hanya Engkau yang mampu mengubah takdir yang telah Kau tetapkan untukku dan hanya Engkau yang mampu mengubah hati anakku itu untuk kembali berpaling kearahku." Telekungnya basah oleh airmata yang deras mengalir.
Nota : Anak adalah anugerah dalam bentuk dugaan. Ramai yang tak sedar bahawa apa yang dilakukan semasa anak masih kecil, yang kononnya dibuat demi masa depan mereka, akhirnya akan membuahkan hasil yang melukakan hati ibubapa bila mereka besar nanti. Tapi itu hanya akan berlaku jika pilihan yang kita buat untuk anak-anak tidak disaluti dan disokong dengan pendidikan iman dan amal.
"Ya Allah, kurniakan aku zuriat dan keturunan yang mampu ku didik dan ku bentuk menjadi hambaMu yang taat pada perintahMu, yang aku dengan suruhanMu, yang sabar dengan dugaanMu dan yang bergantung hanya padaMu. Jadikan aku ibu/bapa yang boleh membawa mereka menuju kebaikan dunia dan akhirat. Amin."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
ni nti karang sendiri juga?
Syok baca dan menusuk hati juga
Keep it up :)
Waa..dalam banyak-banyak air, air cincau pula yang disebut. Dah la kat sini pun sekarang makin panas.
zamry... ya, ana karang sendiri. Menyelami kesedihan orang lain blh menjadikan kita manusia yg bersyukur kerana memiliki apa yang ada skrg. Betul tak?
tawel... cincau.. cincau..cincau.. hehe... saja nak buat anda mengigau nak balik mesia cepat-cepat. :)
Grande post, sim senhora.
Post a Comment