May 13, 2008

Rindu Umi...

Langkah diatur perlahan. Sunyi. Hanya kedengaran derap kakinya memijak ranting dan daun-daun kering. Tiba-tiba kedengaran bunyi bising dari atas pokok di seberang jalan. Serentak pandangannya teralih ke arah bunyi tersebut. Kelihatan beberapa ekor burung kelam kabut melebarkan sayapnya. Agaknya terkejut mendengar bunyi ranting patah, dipijak dek Azrul. Langkahnya terhenti. Merenung burung-burung itu terbang bebas di awan. Azrul terfikir, mungkin antara burung-burung yg terbang itu, ada anak burung yg baru belajar menggunakan sayapnya. Belajar untuk berdikari, belajar mencari makanan sendiri.

'Mampukah aku terbang seperti burung itu, bebas dan berdikari, tak menyusahkan sesiapa, tak perlu memikirkan apa-apa? Adakah aku terdaya memikul tanggungjawab yg telah umi tinggalkan? Menjadi pelindung untuk adik-adik yg masih kecil?' Persoalan demi persoalan berlalu tanpa jawapan. Keluhan dilepaskan berat. Dipandang kesebelah kanannya, seberang jalan. Kubur. Batu-batu nesan terpacak kaku. Hatinya digamit pilu.

Umi....
Mulutnya terkumat-kamit membacakan Al-Fatihah. Sedekah untuk arwah umi. Hanya itu yg mampu dilakukan dari kejauhan. Kalaulah umi disemadikan di sini, pasti setiap hari Azrul akan datang. Membersihkan rumput-rumput liar dan membacakan Yaasin untuk umi.

Terbayang di matanya senyuman umi yg manis. Mungkin umi akan tersenyum lebar bila menerima kiriman ayat suci dari anak-anaknya. Tapi umi menghabiskan hayat terakhirnya diperantauan, didaerah asing. Di situlah dulunya menjadi tempat ayah dan umi mencari rezeki untuk menyara mereka anak beranak.

Sudah ditentukan Tuhan, umur umi tak panjang. Umi pergi dulu, meninggalkan mereka yg masih kecil, masih memerlukan perhatian dan kasih sayangnya. Menghembuskan nafas terakhir di bumi asing. Lantaran masa dan jarak yg tidak mengizinkan, sudahnya tubuh kering umi disemadikan di sana. Dan Azrul kembali ke kampung Jati, menyimpan kerinduan yg semakin sarat untuk umi.

*******************

Kehilangan, itulah hatinya. Mengingati umi, terasa hatinya turut dikebumikan. Kaku dan beku. Sayu dan pilu. Rindu...

Matanya memandang jauh ke depan. Tanah sawah yg terbiar. Kering kontang tapi tanahnya tetap tidak merekah. Rumput-rumput liar dan lalang masih tumbuh subur, degil melawan hukum alam, tumbuh melata menunjukkan kesungguhan untuk berjuang. Azrul kagum dalam diam, walaupun tak dibekalkan dgn baja ataupun air tapi daun-daunnya tetap menghijau, tumbuh tegap, mendada, seolah merenung langit dgn megah.

Pandangan matanya sayu. Jari-jari kecil Sarah dipegang. 'Ah... Dulu jari-jari akupun pun sekecil ini.' Pipi mugil kemerah-merahan dipanah bahang pagi disentuh perlahan. Lembut. Lenanya langsung tidak terganggu. Bangsal ringkas yg tidak berdinding ini ternyata selesa mengulit lena Sarah. Mungkin kerana tidak berdinding, deru angin yg lembut bebas mengusap tubuhnya yg tidak berbaju, nyaman dan menenangkan.

Pandangan Azrul tertumpah di wajah Sarah. Adiknya ini semakin lama dipandang semakin terasa keirasannya dgn wajah umi. Diusap rambut ikal Sarah berkali-kali. Dulu umi yg menyentuh lembut rambutnya, menyikat rapi tiap kali selepas mandi. Dia sempat merasa semua itu, walaupun seketika. Tapi cukup untuk dia merasai indahnya mimpi bila terlena di paha umi yg lembut. Kenangan itulah yg dia simpan kemas dilipatan hatinya, yg menjadi kekuatan untuknya menempuh hari-hari yg rakus. Tapi Sarah, si kecil ini, langsung tidak sempat merasai semua itu. Mengingatkan itu, hati Azrul semakin sayu.

“Azrul, dah lah tu. Jangan menung lagi. Bawak balik Sarah. Kejap lagi panas pulak. Tok ayah nak pegi ke kebun, nak ambik tebu. Nanti Azrul pegi sana ye! ” Azrul mengangguk. 4 tahun dia menetap bersama atuk dan neneknya. Sebahagian tanggungjawab mencari rezeki terpikul di bahunya, secara tidak langsung. Bila cuti sekolah, tanggungjawabnya ialah membawa lembu ke padang atau sawah bila pagi, tengah hari mengalih lembu ke tempat teduh dan petang mengambil balik lembu ke kandangnya. Sepanjang penggal persekolahan, tugasnya hanya tertumpu di waktu petang. Selepas balik dari sekolah, dia bergegas ke gerai jualan air tebu milik atuknya.

Azrul masih menyambung menungannya.
'Umi...'. Bisiknya di hati. Dia mengeluh tanpa sedar. 'Kalau umi ada, mesti umi gembira bila tahu Azrul dapat masuk MRSM. Mesti Umi sibuk nak beli baju dan beg Azrul. Mesti abah pun tak akan halang Azrul nak belajar, walau sesusah manapun hidup kita. Ahh…Abah…. abah dah lupakan kami agaknya, sibuk dengan umi baru dan adik baru.’ Hati kecilnya bersuara lagi. Matanya pedih menahan tangis. Dia menarik nafas panjang. Cuba menenangkan hati yang gundah.

“Sarah, bangun. Jom balik. Nanti Sarah sambung tidur kat rumah ye?” Kejutnya lembut. Sarah membatu. Lena sungguh. Tak sampai hati dia nak mengejutkan lagi. Mungkin Sarah sedang mimpikan umi. Pelukan umi yg hangat dan selesa. Azrul melepaskan keluhan berat.

Kalaulah mimpi boleh dicipta, dia akan pastikan setiap malam mimpinya bertemankan umi. Bermain dgn umi, bercerita tentang sekolah dan kawan-kawan, ketawa berjenaka, makan bersama, berebut tempat untuk tidur sebelah umi dgn Udin, Aina dan Kak Long dan banyak lagi. Pastinya bangkit pagi mereka lebih ceria jika itu yg dimimpikan saban malam. Azrul cuba mengangkat Sarah.

'Beratnya!' Rungut hatinya sendiri. Kalaulah Azrul besar macam abah, mesti tak ada masalah kalau setakat nak mendukung Sarah. Tapi Azrul baru tingkatan satu, sarah pulak cepat membesar, montel pulak tu. Mungkin kerana dia tak tahu erti masalah, tak mengenal tanggungjawab lagi, maka seleranya tak pernah kurang.

Hampir 4 tahun mereka bersama atuk dan nenek, namun Azrul tetap merindukan enak masakan umi. Entah kenapa, walaupun masakan umi begitu ringkas, tapi dia cukup berselera menjamahnya. Walaupun tok ma masak jenis yg sama, selera Azrul tetap tak kembali seperti dulu.

Langkah di atur perlahan menuju rumah atuk yg jaraknya 500 meter dari sawah tempat kegemarannya. Kak Long pasti sedang sibuk di dapur. Menyediakan apa yang perlu untuk makan tengah hari. Kata Kak Long, kita patut bersyukur dgn apa yg ada. Sekurang-kurangnya ada tok ayah dan tok ma untuk menjaga mereka. Abah masih ada walaupun tak tinggal bersama. Masih datang menjengok bila berkesempatan. Jangan terlalu berfikir tentang kekurangan kita.

Mujur dia ada Kak Long. Nasihat Kak Long yang panjang lebar bukannya tak pernah lekat difikiran Azrul. Bukan Azrul tak bersyukur, tapi Azrul cuma rindukan umi. Rindu sangat sehingga matanya sering basah bila dia bersendiri merenungi kehidupan yang dilalui tanpa umi.

Nota : Petikan kisah Azrul yang masih tak siap-siap lagi. :-(
Hari ibu pasti bermakna untuk mereka yang masih boleh merasa kehangatan pelukan ibu, masih boleh menjamu selera dengan masakan ibu, masih boleh mendengar dodoi dan bebel ibu, tapi bagaimana perasaan mereka yang telah kehilangan? Terasa seolah setiap hari mahu dijadikan hari ibu, agar detik yang berlalu mampu disulam dengan segala kemanisan kenangan yang membekalkan kekuatan untuk mengharungi hari-hari mendatang.

Tak mudah menjadi dewasa dengan hanya membiarkan hati dan perasaan menjadi panduan, menjadikan pengalaman sebagai pena warna yang menulis dan mencorak segala perlakuan, menyemai hati yang ketandusan cinta dengan baja kasih sayang yang akhirnya mampu memberi naungan pada yang memerlukan.

Sesungguhnya Allah itu Maha Melindungi. Dia menjaga hambaNya tanpa hamba itu menyedari. Memberi rahmat dan kasih sayang yang tak berbelah bagi, menganugerahkan sesuatu yang mungkin orang lain tak miliki, yang mungkin hanya akan disedari pada satu ketika nanti.

"Ya Allah Ya Ghaffur, ampunilah dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihi dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihi dan mengasihaniku tika aku kecil dahulu. Lapangkanlah ruang kubur untuk mereka, lindungilah mereka dari panas api neraka dan tempatkanlah mereka dikalangan orang-orang yang Kau redhai.

Ya Allah, aku bersyukur padaMu kerana Kau izinkan aku merasai kasih sayang mereka walaupun hanya sekejap cuma. Aku bersyukur padaMu kerana Kau berikan aku peluang untuk aku mengenali mereka walaupun hanya seketika. Terima kasih Ya Allah, kerana mengurniakan aku dengan kenangan yang mengingatkan aku tentang ajaran mereka yang yang meresap kejiwa. Ya Allah, andai segala amalanku dapat membuatkan mereka memaafkan dosa-dosaku pada mereka, menyelamatkan mereka dari kedukaan dialam sana, menggantikan dengan bahagia yang kekal selamanya, aku redha Ya Allah, berikan segala amalku yang tersisa untuk membalas jasa-jasa mereka yang tak mampu kukira.

Ya Allah Ya Waliyy, lindungilah daku dari kepayahan dan kedukaan yang tak mampu ku tanggung, lindungilah daku dari kejahatan yang ada dalam diri dan dari makhluk ciptaanMu yang lain. Lindungilan daku dari kerakusan dunia yang mementingkan diri. Bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat dan sikap yang Kau benci. Salutilah hatiku dengan kesyukuran dan rasa kecukupan terhadap apa yang Kau beri. Bekalkan daku dengan kesabaran yang ketabahan yang Kau beri pada hamba yang Kau cintai. Tetapkan dan tingkatkan keimananku sehingga tiba masa aku dijemput oleh malaikatMu nanti... Amin"

No comments: