May 18, 2008

Kenapa memilih cerpen?

Assalamualaikum wbh.
Segala puji bagi Allah yang memberikan saya kekuatan untuk menulis walaupun hakikatnya terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang ada... Kali pertama menulis dengan cara yang sedikit berbeza, sekadar mahu mencuba.

Sungguh, terkadang saya rasa macam tak berdaya nak menulis walaupun banyak yang saya nak perkatakan dan saya nak kongsi tentang perjalanan hidup manusia yang boleh dijadikan sempadan dan juga tauladan.

Teringat satu entry tentang
'writer's block'. Rasanya setiap orang akan ada satu masa yang mana tika itu penulis blog rasa sedikit kaku bila nak menzahirkan idea dan kata-kata dalam bentuk tulisan. Sudahnya draft entry kekal menjadi draft, tergantung begitu saja.

Kenapa cerpen menjadi tema penulisan saya? Kerana itu adalah cara penulisan yang saya tahu. Mungkin membosankan bagi sesetengah orang, tapi buat masa ini, hanya itu yang saya mampu. Walaupun saya ingin menjadi seseorang yang mampu melemparkan komentar dan idea yang bernas, tapi saya tak punya kebolehan sebegitu. Lalu ini saja yang mampu saya lakukan...

Saya teringin sekali nak menulis kisah yang boleh dijadikan pengajaran oleh pembaca lain, entah berjaya atau tidak saya pun tak tahu. Tapi kisah-kisah ini sememangnya telah membuatkan saya melihat bahawa ada pengajaran yg tersembunyi disetiap laluan kehidupan. Sesuai dengan kata-kata Sufyan Bin Uyainah yang tersebut dalam kitab terjemahan Mukashafah Al-Qulub, 'Jika orang punya fikiran, segala sesuatu menjadi pengajaran.'

Saya mahu menulis untuk berkongsi kisah mereka yang berduka, supaya jika kita berada dalam keadaan gembira, satu keadaan yang lebih baik dari apa yang dikisahkan, kita akan sentiasa ingat akan nikmat yang Allah berikan pada kita dan jadi hambaNya yang bersyukur. Jika kita berada dalam keadaan yang sama atau lebih buruk, kita akan berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan mendekati ajaran Allah yang nyata mampu membekalkan kekuatan yang bukan calang-calang.

Saya mahu menulis untuk berkongsi kisah bahagia, supaya dengan itu kita akan faham bahagia itu banyak bentuk dan tafsiran bahagia berbeza mengikut individu. Saya mahu memfokuskan kepada bahagia yang sebenar-benar bahagia iaitu bahagia dunia dan akhirat. Saya mahu kita sedar bahagia bagaimana yang patut dikejar, lalu kita akan berusaha untuk mencapai bahagia abadi yang sepatutnya menjadi impian kita semua.

Saya mahu menulis untuk berkongsi ilmu kehidupan yang dikutip andai diizinkan dan diberikan kemampuan oleh Allah, agar kita semua sedar bahawa kita perlu sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat bergantung, kerana Dia Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang tersembunyi, Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Saya mahu menulis untuk membuka mata hati kita supaya kita sedar bahawa kita manusia biasa yang punya banyak kelemahan dan kita boleh jadi manusia yang kuat kalau kita meminta daripada Allah. Jangan mencela orang yang melakukan kesilapan kerana mungkin ia tidak di sengajakan atau hatinya dibutakan, tapi berdoalah agar dia diberi kesedaran agar niat syaitan yang mahu menyesatkan mampu dikalahkan.

Saya menulis untuk memberi ingatan pada diri saya dan juga pada sahabat pembaca blog saya sayangi. Walaupun ramai yang tak saya kenali, tapi bukankah kita semua adalah anak cucu Adam dan kita sememangnya bersaudara. Jadi sebagai saudara, saya menulis untuk saling mengingatkan dan juga untuk memenuhi seruan Allah agar kita saling berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran....

Apapun, semuanya bergantung kepada pembaca. Tercapai atau tidak keinginan saya, impian saya, niat saya bila menulis hanya akan berlaku dengan keizinan Allah. Semoga Allah merestui dan mempermudahkan segalanya.

Saya tak tahu adakah saya mampu mencapai matlamat ini... hasrat tersembunyi (yg kini saya nyatakan) yang membuatkan saya berusaha untuk menulis. Keinginan hati untuk berkongsi kisah yang boleh dijadikan pengajaran, mahu menyampaikan apa yang saya harap tersampai dan moga ada cerita yang saya paparkan boleh dijadikan iktibar...

Sesungguhnya ketawa, bahagia, senang dan tenang didunia bukan kekal selamanya. Sedih, sakit, luka dan duka tak akan menjadi milik kita andai kita kembali kepadaNya. Allah terlalu menyayangi kita, menganugerahkan kita dengan segala nikmat yang melimpah ruah, memberikan apa yang kita minta dan juga apa yang kita tak minta. Permintaan yang kadang tu hanya berdetik seketika dihati saja, tapi Dia telah mengabulkannya.

Buruk baik segala peristiwa yang ditentukan berlaku dalam kehidupan kita adalah kerana Dia sayangkan kita. Dia mahu kita sedar bahawa Dia ada untuk kita bergantung padaNya. Sedar bahawa dunia ini bukan segalanya dan kita ada matlamat lain yang lebih penting iaitu akhirat... bahagia akhirat yang perlu diutamakan.

Entah kenapa saya rasa macam nak mencuba pendekatan penulisan baru pula. Mungkin mengubah sedikit cara saya agar lebih berkesan di hati bila ada yang membaca. Tapi bagaimana ya?

10 comments:

aNgRiAni said...

salam su...apa kabar? semoga sentiasa sihat yer...Insya Allah...Su mmg minat cerpen ek? su mesti kreatif owangnyer kan. dulu riani minat gak nak wat cerpen or novel tapi semua itewww dah terkubur dek kesibukan yg melampau..nak baca novel pun tak sempat sekarang...

kreativiti yg ada pada su kalau dimanfaatkan sebaiknyer mesti best kaannn...best laaaaa...jom riani banje sate kajang... muaaahhhsssss
:-p

Tawel Sensei said...

Kalau sesekali diselang-selikan dengan satu dua kisah hidup Suara, contohnya apa yang terjadi pada hari sekian-sekian, best juga tu. Tapi kalau kisah "hari ini makan megi 5 bungkus", tak payah le..hehe :)

suara said...

salam riani... Alhamdulillah, su sihat. dari zaman sekolah dulu lagi su mmg minat novel dan cerpen, tapi jarang sgt beli. Zaman memuda dulukan, (masa skolah le) su buat cerpen hantar kat majalah sekolah. Bila dah abih belajar, su jarang buat cerpen lagi. :(

Kalau benar su ada sedikit kebolehan utk menulis, su harap ianya boleh memberi kebaikan pada diri dan orang lain... Semoga Allah mengizinkan...

Sate kajang!!!! Bestnyeee... jommm!! :D

suara said...

Erm... ok gak cadangan tawel tu... mungkin saya patut selang selikan dengan sedikit kisah hidup sendiri. tapi kan... saya rasa tak banyak kisah menarik tentang saya. rutin hidup yg terlalu biasa.

Nak menulis sdkt ttg kisah hidup, ttg perasaan, kadang tu dah jadi macam gaya cerpen lak. Camne tu...? mungkin sbb saya tak penah tulis diary kot, sbb tu catatan hidup sendiri tak menjadi... hehe

Tapi InsyaAllah... saya akan cuba nanti... Thks tawel... :)

zamry said...

pada ana cara penulisan nti sudah cukup menarik dan unik

Betul, Ikhlas ni! :)

sipunat said...

Salam

Samaada cerpen atau cerpan yang ko tulis kat sini aku akan tetap akan jadi pengunjung setia nanti..hehe. Bolehlah aku belajar tulis cerpen kat ko nanti ye...

suara said...

Zamry... terima kasih ya. :)

Sipunat... terima kasih juga. Semoga kisah yang dipaparkan mampu memberi pengajaran...
Erk... cerpan ye? Hehe..Kadang saya mmg susah nak pendekkan cerita... :)

Jie said...

tiap orang ada identiti tersendiri...mgkn cara yg berbeza utk kita menyampaikan...

su sudah ada kemahiran spt ini, harus di teruskan, spt kata tawel..mgkn boleh di selang seli dengan sedikit kisah diri sendiri..supaya pengunjung lebih mesra dan lebih kenal...bila dah kenal..baru terbit cinta..hehehe

kaktiny said...

teruskan menulis dan menulis dan menulis.. good luck.. keep on writing..

suara said...

k'jie >>> terima kasih. :)
InsyaAllah... su akan cuba satu hari nanti. cubaan sebelum ni mmg buat su kaku... macam tak menarik je. sudahnya su kuburkan saja.

kaktiny >>> terima kasih :)