Dec 28, 2007

Kenangan Melor

Ligat jejarinya mencabut rumput-rumput yg tumbuh meliar disekitar pohon renek itu. Tangannya penuh bersalut tanah dan pasir hitam. Nampak kotor tapi dibiarkan saja. Fikirannya melayang jauh. Sayu dan rindu bersatu. Namun apa yg boleh dilakukan olehnya, kerana takdir telah ditentukan begitu.

Dedaun hijau yg dimakan ulat, dicantas. Kudip bunga yg masih kecil dibelai. Terlalu istimewa pohon renek ini. Melor. Segalanya terkumpul disitu. Rindunya berlagu sayu... basah. Satu demi satu kenangan melintasi fikiran. Kenangan arwah nenek dan bonda... kenangan bersama teman sekolah... dan kini Nisha mencipta satu lagi kenangan melor bersama suami tercinta... segalanya terlalu indah untuk diabaikan begitu saja.

"Nanti kita penuhi laman rumah kita dengan bunga-bunga yang wangi ya. Kita pegi lagi sekali ke Sungai Buloh, kita beli banyak lagi bunga melor, kenanga, cempaka, kasidang dan bunga cina. Kita jadikan rumah kita macam taman yang semuanya ada bunga wangi. Macam mana, ok tak?"Shazrin bersuara walaupun tangannya sibuk menabur baja di setiap pokok yang baru dipindahkan ke dalam pasu. Nisha tersenyum sambil mengangguk lembut. Matanya bersinar riang mendengar bicara lelaki itu yang seolah faham dengan keinginan dan kerinduannya pada suasana desa yang lama.

Kesibukan Shazrin dengan pelajaran membuatkan bunga-bunga di laman sedikit terabai. Masa di hujung minggu yang selalunya mereka habiskan bersama membelai bunga-bunga yang di tanam, kini terpaksa ditinggalkan untuk Nisha menguruskan sendiri. Rindu pada celoteh Shazrin semakin cambah bila dia leka mencantas daun yang berulat dan membelai bunga melor yang hampir kembang.

"Aziey, Nisha suka sangat melor. Bunganya kecil je, tapi baunya kuat betul... harum sangat. Nenek Nisha selalu letak dalam lipatan kain sembahyang. Sebab tu kain sembahyang dia selalu bau wangi. Nisha nak jadikan hidup Nisha macam bunga tu, walaupun kecil, tapi putih bersih dan harumnya mampu menenangkan. Nisha nak jadikan ianya lambang diri Nisha, sampai Nisha mati. Aziey... Nanti kan, kalau Nisha mati, boleh tak Aziey letakkan bunga melor kat kubur Nisha...?" Kenangan zaman persekolahan bersama teman rapat mengambil tempat. Segalanya masih segar lagi diingatan. Permintaan yg entah masih diingat ataupun mungkin telah dilupakan oleh rakannya itu.

Perbualan yg hampir 20 tahun berlalu masih jelas dimindanya. Mana mungkin Nisha lupa permintaan sendiri. Tapi dia boleh mengagak, Aziey mungkin telah lupa permintaannya itu kerana masa telah terlalu lama berlalu. Temannya itu telahpun bergelar ibu pada 3 org anak. Sibuk dgn tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan pekerja, memang telah merampas masa yg selalu Nisha inginkan dari seorang teman. Namun Nisha faham, tak ada yg kekal dlm hidup ini. Semuanya dipinjamkan... dipisahkan. Sementara atau kekal, hanya Allah yg berkuasa untuk membuat keputusan. Lantas Nisha cuba untuk menghiburkan hati sendiri dgn cara yg dia mampu bila berada di daerah asing yang sememangnya telah menjarakkan dirinya dengan keluarga.

"Nisha tahu tak, Nisha macam bunga melor. Kelopak kecil yg putih bergerak lembut bila di sapa angin, macam reaksi Nisha yg cuba menyembunyikan rasa bila malu diusik...." Benarkah aku begitu? Ira menyoal diri sendiri. Entahlah. Nisha cuma seorang perempuan desa yg sesat di kota. Walaupun telah banyak kali mengintai jalan pulang, nyata rezekinya membuatkan dia kembali terdampar di hutan batu ini.

Tiba-tiba haruman melor menerpa hidungnya. Teringat kenangan lama bersama arwah mak dan nenek. Kenangan tentang bunga-bunga desa yang jelas masih segar bermain di minda. Bau lembut bunga melor yang terselit di sanggul arwah mak dan nenek sama seperti haruman yang dihidunya tadi. Rindunya bertambah pada arwah. Terasa sperti mahu kembali ke zaman kemanjaan bersama mereka.

Sudah menjadi tugasan Nisha memetik bunga melur setiap pagi untuk nenek. Taman kecil dibelakang rumah, nenek tanam dengan bunga melor. Bila tingkap dapur dibuka, keharumannya melor menerpa masuk dibawa angin. Sementara Nisha memetik bunga, nenek akan mengambil kulit batang pokok pisang dan daun kelapa. Kulit batang pisang disiat kecil-kecil untuk untuk dijadikan benang. Daun kelapa diraut untuk diambil lidinya, dipotong pendek and dibuat lubang untuk dijadikan jarum. Semuanya mesra alam, bukan seperti sekarang.

Kata nenek, bunga yg matang tapi belum kembang harus dicucuk dari tangkainya dulu, bukan dari kelopak bunga sebab kalau dibuat terbalik, nanti kelopaknya rosak. Bunga yang kembang pula dijadikan simpulan diakhir benang. Kalau banyak, malamnya nenek akan bawa kemasjid dan dijual pada teman-teman seusia. Hasilnya dia berikan pada Nisha untuk disimpan atau dibelanjakan.

Aduhh, manisnya kenangan itu... semua itu telah lama berlalu. Tapi ingatan Nisha pada mereka masih tetap segar, seolah baru semalam Nisha berada di taman ringkas belakang rumah yang penuh dengan bunga-bunga melor kecil yang berwarna putih bersih.

Nisha menghela nafas panjang... Kembali pada realiti. Kini dalam sekejap waktu, perjalanan hidup telah berubah kerana masa terus berlalu, masa yang tak pernah ada istilah berundur. Takdir telah tertulis yg mrk tak akan bertemu lagi bila Dia menjemput insan-insan kesayangannya itu kembali kepangkuanNya. Di akhirat nanti? Entahlah. Namun doa terus diperdengarkan agar Allah akan aturkan pertemuan untuk mereka bila saat kembali kepada Yang Abadi itu tiba. Nisha tersenyum lagi. Rindu dan pedih beralun dihati mengingatkan kenangan lama yang tak mungkin berulang walaupun nyawa di jadikan cagaran. Hanya kenangan yang menemani Nisha dan kini dia mahu mencipta sebanyak mungkin kenangan bunga desa di kota, kenangan bersama lelaki yang telah di takdirkan untuk menemani sisa hidup yang entah berapa lama lagi tinggal.

“Abang, terima kasih kerana menghadiahkan taman kecil yang di penuhi bunga desa ini pada Nisha. Nisha akan jaga sebaiknya, begitu juga rumahtangga kita...“ Nisha berbisik perlahan, janji yang diucap pada dirinya sendiri. Rumput yg telah dicabut, dikumpulkan ditepi. Fikirannya masih melayang, walaupun tanpa Shazrin sebagai teman untuk berceloteh, Nisha terus menjalankan tugasnya membelai dan memberi kemanjaan kepada pokok-pokok kesayangannya itu. Dia cuba penuhi sunyi hati dengan berzikir terus menerus, mengucapkan kalimah Allah yg diharap untuk menjadi ubat menenangkan hatinya yg sesekali di sapa nada gundah.

Pandangannya disapa oleh satu gerakan di bawah daun. Daun kering itu diangkat. Ulat gonggok hitam berkaki tak terbilang kelihatan merayap mencari tempat berlindung. Nisha malas nak mengendahkan makhluk itu. Di biarkan saja ulat itu bergegas mengatur langkah seribu bila merasakan tempat persembunyiannya terancam. Rindu menerpa lagi. Bibirnya tetap menyebut nama Allah tanpa henti, hatinya berdoa agar kesunyian dan kesakitan dlm diri hilang dibawa awan yg kian kelam. Sesekali hidungnya masih disentuh wangian melor, walaupun didepannya kini hanyalah dedaun hijau tanpa bunga menghiasi.

"Sungguh agung ciptaanMu Ya Allah... Walaupun bunga masih kecil, walau hanya berhias daun hijau, entah dari mana datangnya bau wangi ni..." Nisha berbisik sendiri. Tangannya masih terus menjalankan tugas yg belum selesai. Cuba menyudahkan secepat mungkin apa yg telah dimulakan sedari tadi. Dan rindunya tercurah pada dedaun melor yg telah mulai basah.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Kak Su~

Cerita ni Kak Su yang tulis, ya? Indah. =). Cerita Nisha dan Ira ada kaitan ke, Kak Su? Kenapa ada terselit nama Ira dalam cerita ni? [perenggan yang ke-7, baris ke-3]

Apa pun, saya suka cara Kak Su bercerita. =). Kenangan itu sesuatu yang indah, andai kita tahu bersyukur. Betul tak?

p/s : Nur Nisha Nishrin, nama sepupu saya. Bila sebut saja nama Nisha mesti teringatkan dia. =)