Dec 25, 2007

Bagai Pinang.....

Kereta yang di pandu bergerak perlahan. Shazrin memandu dengan tenang walaupun sesekali terdengar dengusan ringan namun tetap tiada sungutan yang kedengaran dari mulutnya. Kesesakan jalan di musim perayaan memang telah dijangka tapi apalah pilihan yang ada selain dari menyertai barisan kereta yang menghala ke destinasi yang hampir sama.

Nisha tahu lelaki di sebelahnya sedang menahan rasa geram kerana beberapa buah kereta memotong dari lorong kiri, laluan yang bertar tapi tidak di khaskan sebagai laluan alternatif untuk pemandu rakus memotong barisan. Sikap mereka yang pentingkan diri dan tidak sabar hanya akan membuatkan kesesakan jalan semakin bertambah buruk untuk orang-orang seperti Shazrin.

Pandangan mata yang terhidang dengan kehijauan pepohon di kiri kanan jalan sedikit menenangkan perasaan. Nisha memerhati dengan leka. Pohon-pohon yang dilihat sebahagiannya memang di ketahui nama dan sebahagiannya memang agak asing. Sebatang pokok pinang yang lebat berbuah menangkap perhatian Nisha. Warna kuning kemerahan pinang masak tampak begitu jelas walaupun dari jarak yang jauh.

"Abang, kenapa ada peribahasa yang menyebut 'bagai pinang di belah dua'?" Nisha bertanyakan soalan untuk memecahkan kesunyian.

"Sebab pinang tu kecik sangat kalau nak belah empat." Jawab Shazrin bersahaja sambil matanya menjeling isteri kesayangan.

"Abang ni... Nisha tanya serius ni."

"Kenapa? Tak sesuai ke peribahasa tu? Nak tukar buah lain pulak ke?" Sengaja Shazrin mengemukakan soalan dengan niat nak mengusik dan yang paling penting, dia sendiri memang tak ada jawapan untuk soalan itu.

"A'ah. Tukar jadi buah kelapa pun ok jugak, besar sikit. Tak pun buah durian ke, tembikai ke, tak pun limau bali, boleh jugak kan?" Nisha berkata geram. Shazrin tergelak kecil bila berjaya buat Nisha menjeling dengan lirikan mata yang paling di sukainya.

Nisha tahu Shazrin tak akan menjawab soalannya dengan logik lalu di biarkan saja soalan itu berlalu tanpa jawapan. Kenangan lama mengambil tempat dan Nisha mencapai buku dan pen yang tersimpan di dalam beg lalu pantas melakarkan bilah-bilah kata di kertas putih itu.

'Memandang pinang masak, membuatkan aku teringat pada arwah nenek, ibu pada arwah ayah yang ku panggil mak tok. Mak tok sememangnya wanita terakhir dalam generasi kami yang menjadikan sireh pinang sebagai makanan ringan ataupun pembasuh mulut.

Hidup di zaman pelita, memang banyak kaedah untuk menyimpan. Mak tok mempunyai cara yang cukup unik untuk menyimpan stok makanan ringannya itu, terutama pinang. Aku masih ingat lagi, Mak Tok mempunyai satu tempayan sederhana besar yang di tanam separas leher tempayan. Seluruh badan tempayan terbenam di dalam tanah dan yang terlihat hanyalah mulut tempayan yang di tutup dengan menggunakan kayu. Arwah ayah yang bekerja sebagai tukang kayu sememangnya lelaki yg cukup kreatif dan dia menggunakan sisa kayu berlebihan untuk membentuk penutup tempayan nenek.

Tempayan yang terisi dengan air dan pinang masak, di buat seolah peti sejuk yang menjaga kesegaran buah pinang masak. Yang penting untuk dijaga ialah isinya yang keras dan bukan kulit sabut pinang yang berwarna oren. Aku tahu lama kelamaan sabut itu akan bertukar warna lalu mereput lantaran terendam dalam air untuk tempoh yang cukup lama.

Apa yang ku ingat, setiap kali mak tok kehabisan pinang, kak ngah atau kak Dah akan ditugaskan untuk mengambilnya. Aku pula pasti tak melepaskan peluang untuk mengikut mereka. Sebaik saja penutup tempayan di buka, bauan busuk masam akan menjamah hidung kami, menyediakan wangian yang cukup meloyakan.

Tak cukup dengan itu saja, berpuluh-puluh ekor nyamuk akan menyerbu keluar dengan gembira kerana bebas dari kurungan yang aku pasti amat tidak menyenangkan itu. Yang nyata, tempayan mak tok bukan sahaja berfungsi sebagai peti simpanan buah pinang nenek, tapi juga pusat pembiakan nyamuk!

Kalaulah di zaman itu ada unit pemeriksaan aedes seperti sekarang, pasti mak tok telah menerima berpuluh-puluh saman dari kementerian kesihatan. Hahaha...'

Nisha menutup bukunya sambil tersenyum. Kenang lama yang begitu bermakna bagi Nisha kerana ia tak mungkin berulang lagi dan bukan semua orang berpeluang untuk mengalami pengalaman itu.

No comments: