Feb 13, 2018

Kafarah

Bila diduga dengan kedukaan, kesedihan, kesusahan, kesakitan, apa yang seringkali terlintas di fikiran kita? Apa yang sering diucapkan untuk menenangkan hati?

Allah duga kerana Dia sayangkan kita...
Allah berikan kesedihan kerana mahu kita kembali padaNya...
Allah anugerahkan kesakitan untuk membasuh dosa-dosa...

Benar. Tapi saat segala dugaan itu telah beransur kurang, sedih telah berlalu dan menghilang, sakit dah sembuh dan diri kembali pulih, adakah hati masih kekal dekat denganNya? Adakah syukur terus disebut? 

"Anak-anak jarang bertanya khabar. Balik pun payah. Menantu yang tinggal dekat pun dah hampir setahun tak datang jengok. Sakit pun sorang-sorang. Makan pun tak de orang nak teman. Anak menantu sibuk, cucu2 pun sama..." Keluh Ummi. Sayu suaranya membuatkan rasa simpati saya melimpah. 

Keluhan dilepaskan perlahan. Teringat cerita Mak Long tentang Ummi. 

"Ummi anak yang berjaya dan senang hidupnya. Anak yang paling Tokbah sayang sebab dia paling cantik dan lembut bila bercakap. Anak manja dan kesayangan Tokbah. Tapi Tokma  tegas. Selalu jugak Ummi kena marah sampaikan Ummi kata Tokma tak sayang dia, benci dia." Keluhan perlahan dilepaskan. Renungannya jauh melewati reban ayam dibelakang rumah. Tangannya memicit-micit betis. Lenguh barangkali.

"Lepas kawin, Ummi jarang balik jengok Tokma dan Tokbah walaupun kereta ada. Kadang tu anak2 tak di bawak balik langsung. Banyak tahun jugak Tokbah tak jumpa cucu2. Bila balik, selalu dengan tangan kosong. Kadang tu makanan yang dibeli kat pekan tu pun Ummi makan sembunyi2 dalam bilik dengan anak-anaknya..." Suaranya berubah. Sebak. Lama Mak Long diam. Mencari kekuatan untuk memulakan kembali imbauan kenangan. 

"Tapi bila Ummi nak balik KL, Tokma selalu kirim macam2. Ubi, labu, telur asin, sambal tempoyak, ikan pekasam dan macam2 lagi. Semua tu makanan kegemaran Ummi anak beranak. Tak pernah mereka balik tak berbekal. Paling tidak nasi goreng telur dadar. Layanannya tak berubah walaupun Mak Long tahu, dia kecik hati..." Sikap pemurah Tokma diwarisi Mak Long. Dia belajar melalui pemerhatian. Yang baik dikutip, yang buruk tidak diusik. 

"Apa yang dialami oleh Ummi sekarang adalah apa yang dia pernah buat pada Tokma. Sedar ke tidak dia tu yang masalah dia dengan anak cucu dia sekarang tu adalah hasil didikan dia jugak. Masa tokma meninggal dulupun, dia tak bawak balik anak cucu dia ke kampung. Alasannya, mereka sibuk." Keluhannya kembali lagi... Kesal yang tak tahu bagaimana nak dihenti. 

Saya menjadi pendengar setia. Nak dihalang, kesian. Dibiarkan berterusan, berat rasanya. Mendengar sungutan negatif tak ubah seperti mendengar orang mengumpat. Dosanya terpalit juga pada saya. Ahhh... bukan niat hati nak dengar tentang keburukan, tapi nak ambik pengajaran agar kesilapan itu tak akan saya lakukan.

Kalaulah Ummi boleh lihat apa yg berlaku adalah balasan Allah terhadap apa yg pernah dia buat pada Tokma dulu... mungkin penerimaan dan sikapnya berbeza. Mungkin istighfar lebih kerap disebut, sungutan dan rintihannya berkurang, dan hatinya redha dengan apa yang menimpa. 

Alangkah baiknya jika masa yang terluang digunakan untuk merenung salah yg lepas, memikirkan segala yang berlaku adalah kafarah akibat dosa2 lalu. 

Ya Allah Ya Basir... Tuhan Yg Maha Melihat... Bukalah pintu hati mereka dengan pandangan yang nyata... Agar roda kehidupan itu tidak berpusing dan melakar sejarah yang sama dalam keluarga mereka. Aku tak mampu mengolah kata untuk membuatkan dia melihat kisah disebalik musibah yang melanda hidupnya. 

No comments: